
NAJWAN mengejar E-jat di halaman
rumah. E-jat bawa lari bola Liverpool yang baru dibeli oleh Najwan untuknya.
Riuh kawasan rumah mummy dan baba
dengan teriakan E-jat apabila berjaya ditangkap oleh Najwan. Mummy yang duduk di gazebo hanya
menggeleng. Baba tiada. Walau hari ini hari minggu namun baba tetap sibuk
dengan urusan syarikat.
“ Naj,
jangan kejar E-jat camtu. Jatuh karang!” tempik mummy dari gazebo. Mummy hanya mampu menggeleng apabila melihat
tingkah Najwan yang sudah berumur 30 tahun seperti kanak-kanak lima tahun.
Najwan mula sengih. E-jat jelir lidah sebelum berlari masuk ke dalam rumah.
Najwan
berjalan ke arah mummy. E-jat masih
berada di dalam rumah. Entah apalah yang dia buat di dalam. Mungkin mencari
permainan yang lain. Kalau tidak pun mungkin dapur yang menjadi sasaran E-jat.
Suka betul E-jat melihat Mak Bedah atau mummy
memasak.
“ Mummy kata Auni nak datang, mana dia?”
tanya Najwan tanpa pandang muka mummy
sebaik sahaja dia melabuhkan punggungnya di atas gazebo. Mummy gelak kecil.
“ Kenapa?
Tak sabar nak jumpa dia?” tanya mummy
dengan nada mengusik. Najwan menggelengkan kepala.
“ Takdelah macam tu,” balas Najwan
perlahan. Mummy gelak lagi.
“ Takkan
lari gunung dikejar, Naj,” balas mummy.
Masih lagi dengan nada mengusik. Najwan sudah garu kepala.
“ Mummy ni…”
“ Dahlah,
mummy nak masuk dalam sekejap. Kalau
Auni dah sampai, panggil mummy tau? Mummy
masuk dulu,” kata mummy. Najwan hanya
mengangguk. Dia lihat sahaja langkah mummy
masuk ke dalam rumah.
Najwan
mendongakkan kepala ke arah langit. Matahari berada di sebalik awan. Cuaca
tidaklah sepanas beberapa hari yang lalu. Dia senyum sendiri. Langsung tidak
mempercayai kata-katanya semalam.
Ketika
dia mengatakan bahawa dia tidak kisah menerima cadangan mummy dan baba untuk menjodohkan dia dengan Auni, dia seakan-akan
tidak percaya dengan dirinya sendiri sahaja. Kalau nak dikira, dia bukannya
kenal sangat dengan anak kawan mummy
dan baba itu. Tetapi, kalau dah rasa berkenan, apa salahnya, kan?
Lagipun apa yang dia buat kini
merupakan benda baik juga. Mendirikan rumah tangga, tidak ada salahnya kan? Sekurang-kurangnya
bertambah lagi umat Islam yang mendirikan baitulmuslim.
Najwan juga percaya akan janji Allah SWT, rezeki akan melimpah ruah bagi setiap
khalifah-Nya yang mendirikan masjid demi mengikat suatu hubungan yang halal.
Masa
remajanya banyak dihabiskan di Kolej Melayu Kuala Kangsar, Asalnya mereka
sekeluarga tinggal di UK, kemudian Najwan meminta izin ibu bapanya untuk pulang
ke Malaysia sahaja dan tinggal bersama-sama nenek sebelah bapanya sementelah
datuk sebelah bapanya sudah meninggal dunia. Sekurang-kurangnya neneknya ada
peneman di saat keseorangan kerana pemergian datuknya.
Kemudian,
dia terus terbang ke Jepun untuk mengambil jurusan kejuruteraan mekanikal. Tidak
disangka-sangka bahawa setelah selesai sahaja ijazah dalam bidang itu, baba
meminta dia mengambil jurusan pengurusan perniagaan pula. Terpaksalah dia
bermula dari bawah kembali.
Nasibnya
agak baik kerana dia terbang ke Jepun itu dengan menggunakan keputusan
percubaan SPM, tidaklah lama sangat dia menyelesaikan ijazahnya sebelum terbang
ke United Kingdom untuk mengambil jurusan pengurusan perniagaan pula.
Masa
zaman belajar di Jepun dan di UK juga dia tidak pernah punya teman wanita.
Selepas kematian Najwa dan Fuad, perhatiannya hanyalah pada E-jat dan kerjaya
yang semakin berkembang. Memang tiada masa untuk bercinta. Malah Najwan sendiri
tidak ingin mencari masa itu.
Najwan
menggeliat puas. Saat dia menoleh ke pintu pagar rumah, kelihatan sebuah Suzuki
Swift putih baru masuk ke dalam kawasan rumah. Najwan angkat kening. Kelihatan
seorang gadis bertudung putih keluar dari kereta itu. Dia koyak senyum. Memang
dia mengenali gadis itu.
“
Assalamualaikum,” sapa Najwan. Auni pantas menoleh ke belakang. Najwan sedang
berjalan mendekatinya. Kelihatan tenang sahaja lelaki itu dengan senyuman di
wajah.
“ Wa…
waalaikumussalam,” jawab Auni gugup. Najwan hanya senyum.
“ Awak
datang nak bincang hal perkahwinan kita?” tanya Najwan selamba dengan kening
yang diangkat sebelah. Muka Auni berubah. Teragak-agak dia mengangguk. Apatah
lagi dengan perubahan cara Najwan berbicara dengannya. Tiada lagi I-you dan diganti dengan saya-awak.
“
Masuklah,” pelawa Najwan. Sekali lagi Auni mengangguk. Dia mengekori langkah
Najwan masuk ke dalam rumah. Tas tangannya dipegang kemas. Dia sedang cemas
kini. Yalah, datang nak jumpa bakal mentualah kononnya. Mestilah cemas semacam
untuk pertama kali ini.
Najwan
membawa Auni ke ruang tamu. Mummy
masih belum muncul. Najwan hanya biarkan saja. Dia mahu berbicara sebentar
dengan Auni secara bersendirian sebelum mummy
datang. Lain jadinya kalau mummy dah
jumpa dengan bakal menantu dia ni. Entah-entah apa yang ingin dibincangkan
takkan menjadi.
“ Apa
yang awak nak bincangkan?” tanya Najwan setelah melihat Auni masih mendiamkan
diri. Auni ketap bibir. Dia cuba memberanikan diri melihat wajah Najwan.
“ Walid
dan ummi saya kata encik sendiri yang nak masuk meminang saya. Kenapa?” tanya
Auni berterus terang tanpa sebarang mukadimah. Najwan terkejut dengan penyataan
itu tetapi dia bijak menyembunyikan emosinya. Wajahnya biasa-biasa sahaja.
Sejak
bila pulak aku yang beria-ria nak
pinang dia ni? Bukan ke mummy dan
baba pinang dia untuk aku? Aku rasa aku tau kenapa dia cakap macam tu, Najwan
senyum meleret.
Mummy dan baba ni memang suka hati aje
kan? Tahulah dah tak sabar nak tengok aku kahwin. Ha ha.
“ Sebab
saya suka awak,” balas Najwan. Muka Auni berubah merah.
Mamat ni memanglah, tak boleh control sikit ke nak cakap apa? Selamba
aje cakap macam tu, rungut Auni. Najwan hanya senyum. Senyum, senyum dan
senyum.
“ Tapi,
kita baru aje kenal. Kenapa encik still
nak pinang saya?” tanya Auni lagi. Tidak berpuas hati dengan jawapan Najwan.
Najwan gelak kecil.
“ Sebab
saya suka awak, kan saya dah cakap,” kata Najwan lagi. Pipi Auni merah lagi.
Dia malu sendiri dengan kata-kata Najwan yang dianggapnya berani itu. Baru
beberapa kali jumpa dah berani nak mengaku sukakan aku?
“ Saya…”
“
Papa!!!”
Auni dan
Najwan sama-sama menoleh ke arah suara itu. Auni lihat seorang kanak-kanak
lelaki berlari-lari ke arah mereka sebelum melompat naik ke riba Najwan. Muka
Auni berkerut. Papa?
“ Papa,
tuk mummy kata papa nak bawa E-jat ke
Bazaar Ramadhan hari ni. Betul ke?” tanya E-jat yang seakan-akan tidak perasan
akan kehadiran Auni. Najwan mengangguk. Kepala E-jat digosok.
“ Lepas
Asar, ya sayang? Dah, pergi salam dengan auntie,”
kata Najwan. E-jat turun lalu berlari ke arah Auni pula. E-jat menghulurkan
tangan pada Auni yang masih lagi terpinga-pinga dengan situasi yang berlaku
kepadanya sekarang. Papa?
“ E-jat
nak salam,” kata E-jat perlahan. Auni ukir senyum walau dia masih hairan dengan
situasi ini. Papa? Sayang? Erk…
“ Kalau
E-jat nak tau, auntie tulah yang akan jadi mama E-jat nanti, E-jat suka?” tanya
Najwan selamba. Auni menjegilkan matanya. Najwan hanya senyum sahaja.
“ Mama?
Betul ke papa?” tanya E-jat teruja. Wajah Najwan direnung tidak percaya. Najwan
mengangguk.
“ Betul.
Takkan papa nak tipu pulak,” balas
Najwan lagi.
Muka
E-jat berubah gembira. E-jat renung muka Auni yang sudah tidak tahu nak buat
reaksi apa dah.
“ Mama,
E-jat nak salam lagi. Boleh?” tanya E-jat. Auni hanya mengangguk sebelum
menghulurkan tangan. Najwan cuba tahan gelak. Lucu melihat situasi itu.
Pastinya Auni tertanya-tanya apa sebenarnya yang telah terjadi.
“ E-jat,
pergi panggil tuk mummy. Cakap yang
mama dah sampai,” pinta Najwan. E-jat hanya mengangguk sebelum berlari ke arah
dapur. Najwan senyum sahaja melihatkan muka Auni sedemikian.
“ Budak
tu…” kata-kata Auni mati di situ. Najwan gelak perlahan.
“ Awakkan
dengar dia panggil saya apa?” kata Najwan. Auni telan liur. Takkanlah…
“ Dia
anak saya,” kata Najwan lagi. Berubah muka Auni mendengarkan kata-kata Najwan.
Ummi tak cakap pun yang mamat ni
duda?
Sakit
dada Najwan kerana sibuk menahan gelak daripada terhambur keluar. Seronok juga
usik dia ni. He he he…
“ La…
Auni dah sampai?”
Auni
lihat pada Auntie Sofi yang baru
keluar dari arah dapur. E-jat mengekori dari belakang. Cepat-cepat Auni bangun
daripada duduknya. Auntie Sofi
mengukir senyum. Ternyata dia menyenangi kehadiran Auni ke rumahnya.
“ Dah
lama sampai?” tanya mummy. Auni
menggelengkan kepalanya. Mereka bersalaman. Auni tunduk lantas mencium tangan mummy.
“ Baru
aje sampai,” balas Auni dengan senyuman. Mummy
menoleh ke arah Najwan yang sedang bergurau dengan E-jat. Leka benar Najwan dan
E-jat bergurau malah mereka seolah-olah tidak mempedulikan langsung akan
kehadiran mummy dan Auni.
“ Kenapa
Naj tak panggil mummy terus? Tadi
E-jat cakap mama dah sampai, mummy
ingatkan Nawal tapi rupa-rupanya Auni,” kata mummy kepada anak teruna sulungnya itu Najwan hanya tersengih. Auni
tambah pelik.
Nawal?
Bekas isteri dia ke?
“ Saja,”
balas Najwan mudah dengan senyuman lebar di bibir. Mummy geleng kepala.
Mama?
Nawal? Dia ni suami orang lagi ke?
Mummy hairan tengok muka Auni yang sudah
berkerut. Mummy gelak perlahan.
“
Kenapa?” tanya mummy mesra. Pantas
Auni geleng kepala.
“ Tak…
tak ada apa-apa,” kata Auni dengan senyuman. Mummy senyum lagi. Rasa-rasanya mummy
tahu kenapa wajah bakal menantunya itu sedemikian.
“ Maaf ya
Auni. Lupa pula mummy nak cakap,
E-jat tu anak arwah Najwa dan Fuad. Rasanya ummi Auni lupa nak beritahu agaknya
yang Najwa tu adik kembar Najwan. Lepas mereka meninggal, Najlah yang asyik
jaga E-jat sampaikan budak tu panggil dia papa. Nawal pulak anak bongsu mummy.
Biasanya E-jat panggil Nawal tu Mama Nawal, kadang-kadang aje E-jat panggil dia
Che Su,” jelas mummy.
Sekali lagi muka Auni berubah. Apatah
lagi mendengarkan wanita di hadapannya itu membahasakan dirinya dengan
panggilan mummy. Gaya macam dah sah
jadi menantu aje…
“ Oh…”
Hanya itu
sahaja yang mampu Auni katakan. Dia lihat pada Najwan yang berdiri di belakang mummy. Seperti biasa, Najwan hanya senyum.
Memang padanlah muka dia nak sama dengan Mukai Osamu. Dahlah Mukai tu famous bebenor dengan senyuman dia. Auni
ketap bibir. Nak kena dia ni…
“ Mummy rasa baik mummy tinggalkan kamu berdua. Kamu bincanglah ya. Bincang terus
tarikh ke apa-apa semua tu. Mummy ke
dapur dulu, mari E-jat,” kata mummy.
E-jat naik ke dukungan mummy. Najwan
mengangguk. Selepas mummy pergi, dia
merenung terus ke muka Auni.
“ Well… boleh kita sambung bincang?” tanya
Najwan. Teragak-agak Auni mengangguk. Mereka kembali duduk.
“ So, macam mana? Awak nak buat majlis
kita sekali dengan majlis nikah adik saya ke?” tanya Najwan. Auni renung geram
muka Najwan.
“ Encik,
saya tak kata lagi yang saya…” kata-kata Auni terhenti di situ apabila melihat
Najwan angkat kedua-dua tangannya. Mukanya berkerut.
“ Boleh
awak stop panggil saya encik? Formal,
tahu tak?” potong Najwan. Auni mengangguk perlahan. Apa-apa ajelah…
Auni
tarik nafas. Muka Najwan direnung. Mamat
ni memang confirm sangatlah aku nak
terima pinangan dia…
“ En…
awak… awak memang pasti ke dengan semua ni? Saya dan awak… kita bukannya kenal
sangat,” kata Auni agak teragak-agak. Seperti biasa, hanya senyuman menghiasi
wajah Najwan. Auni senyap.
“ Saya
tak main-main. Kalau saya nak main-main saya takkan pinang awak, kan?” kata
Najwan. Auni hanya mengangguk perlahan.
“ So, why don’t we give it a try? Macam
mana?” tanya Najwan selamba. Berubah terus air muka Auni.
“ Awak
ingat marriage ni perkara main-main
ke? Nak cuba-cuba, kalau tak sesuai, bercerai? Macam tu?” kata Auni agak geram.
Senyum
lagi! Takde perkara lain nak buat ke?
Auni makin bengang.
“ Baiklah,
baiklah. Sekarang, saya ada dua options
untuk awak,” kata Najwan selepas menyedari tahap kebengangan Auni sudah
bertambah. Auni sudah menarik senyum. Tentu salah satu pilihan itu akan
berpihak kepadanya.
“ So, tell me the options,” kata Auni
tidak sabar-sabar. Najwan tersenyum. Siaplah dia ni.
“ Okay, I’ll give you two options. First, be
mine. Second, make me yours,” kata Najwan selamba. Auni sudah jatuh rahang
sebaik sahaja kedua-dua pilihan yang dinyatakan oleh Najwan didengari dengan
teliti.
“ Awak..”
Auni kematian kata-kata. Tak adil! Berat sebelah!
Najwan
mengukir senyum dengan muka tenang tanpa riak bersalah. “ See? I’m giving you two choices? Awak nak pilih yang mana satu?”
Tahap
kebengangan Auni sudah meningkat ke paras bahaya! Kedua-dua pilihan yang Najwan
tawarkan hanyalah akan memenangkan diri lelaki itu. Dengan kata lain, Auni akan
kalah juga dengan lelaki bernama Najwan itu.
“ Saya…”
“ Saya
dah fikir semalam dan saya dah tetapkan tarikhnya. Kita bertunang seminggu
sebelum Nawal nikah, then kita nikah
serentak dengan Nawal,” kata Najwan sekaligus memotong percakapan Auni. Auni
terlopong.
Erk?
Najwan
sengih. “ Awak boleh tanya ummi dan walid awak. Saya dah call mereka sebelum awak sampai. Saya pun dah beritahu mereka yang
awak dah setuju dengan pernikahan kita dan takkan fikir lagi pasal nak terima
ke tidak.”
Ha?
“ Kita
ada masa 2 bulan lebih aje untuk prepare
semua benda. Saya akan call awak bila
masanya nak pergi beli semua benda untuk majlis tunang dan nikah kita. Dan saya
rasa kita patut mula uruskan semua hal ni lepas Aidilfitri, kay? Oh ya! Asalnya saya nak kita
bertunang sehari sebelum Nawal nikah tapi rasanya saya perlu awak bagi masa
seminggu untuk kenal saya sebelum kita kahwin,” kata Najwan lagi tanpa henti.
Selesai bercakap, dia sengih lagi. Auni dah mula keluar aura Voldermort.
Memanglah
aku rasa nak hempuk-hempuk aje mamat
ni!
“ DIA cakap camtu? Lawaklah!” Adda gelak besar. Auni pula tarik muka.
Pulang
sahaja dari rumah Najwan, dia terus ke rumah Adda. Nasib baik mak Adda sporting, Adda seorang aje yang rasa nak halau Auni balik sebab
ganggu masa tidur dia tengah hari hujung minggu macam ni.
“ Geram betul aku dengan mamat tu! Sesedap Baskin-Robbins aje dia buat keputusan camtu! Eiii!!!” Auni tumbuk-tumbuk
bantal tidur Adda. Pantas Adda rampas bantal itu sebelum lunyai dek tumbukan
Auni.
“
Rilekslah, cuba kau duduk diam-diam dulu,” kata Adda. Auni cebik. Aku tengah
geram ni kau boleh cakap macam tu? Kau senanglah cakap macam tu. Bukan kau yang
kena. Geramnya aku dengan mamat tu!
Adda
ambil tempat di atas katil di sisi Auni. Dia sengih melihatkan wajah kusut
sahabatnya itu.
“ Habis
tu, kau nak buat apa sekarang?” tanya Adda. Auni geleng kepala. Dia tunduk
melihat ke lantai.
“ Tatau. Dia dah cakap kat ummi dan walid
yang aku dah setuju dan dah tentu dia dah beritahu mak bapak dia pasal ni. Takkanlah aku nak cakap yang aku tak setuju pulak. Mau kena kejar dek parang
dengan walid aku nanti,” kata Auni.
“ Kalau
aku, aku rasa baik kau biarkan saja hal ni berjalan macam biasa,” kata Adda.
Auni angkat muka. Wajah Adda direnung hairan.
“ Why did you say that?”
Adda
sengih lagi.
“ Kau kan
nak sangat lari daripada Kimi? Kau jangan lupa apa yang kau kata pada Kimi
tempoh hari.”
Alamak!
Gara-gara
terlalu memikirkan soal pinangan daripada Najwan, kadang-kadang Auni hampir
terlupa mengenai Hakimi.
“ Once
dia tahu yang kau rupa-rupanya tipu dia, aku berani potong jarilah kalau dia
tak sambung ganggu kau lagi. Sekurang-kurangnya kalau kau dah bertunang dan
kahwin dengan si Najwan tu, Kimi dah tak ada hak untuk ganggu kau. Aku nampak
ni aje jalan penyelesaiannya,” sambung Adda.
Muka Auni berkerut. “ Tapi aku rasa
macam teruk gila. Jadikan Najwan tu macam alat untuk selesaikan masalah aku dengan
Kimi aje. Kecillah hati dia kalau dia tahu aku ni gunakan dia aje.”
“ Tell
me the truth, kau terima pinangan Najwan tu lebih kepada nak selamatkan
diri kau daripada Kimi atau sebab ummi dan walid kau dah berkenan sangat dengan
Najwan tu?”
“ For
my parents’ sake.” Yakin suara Auni mengatakan.
Auni boleh nampak bagaimana ummi dan
walid bersungguh-sungguh mahu dia menerima pinangan Najwan. Ibu bapanya
beria-ria benar mahu bermenantukan Najwan. Auni tidak bodoh untuk
mempertaruhkan masa hadapannya dengan menerima pinangan Najwan secara membuta
tuli hanya untuk melarikan diri daripada Hakimi. Itu ibarat keluar Gurun Sahara
masuk Hutan Amazon namanya itu.
“ Kalau kau buat semua ni untuk
bahagiakan ummi dan walid kau, insya-Allah semuanya akan baik. Cuma kau kenalah
berterus terang pada Najwan pasal Kimi tu. Aku tak nak jadi apa-apa yang tak
elok pula kalau rahsia kau pasal Kimi ni bocor secara tiba-tiba.”
Auni mengangguk sahaja. Adda kelihatan
yakin dengan kata-katanya. Seakan-akan Adda sudah mengenali Najwan walaupun
tidak pernah walau sekali pun mereka bersua muka.
“ Aku
rasa dia memang serius dengan kau. Kalau tak, dia takkan masuk pinang kau.
Dahlah korang baru aje kenal. Tak lama macam kau kenal Kimi tu. Dahlah, jangan
susah hati. Insya-Allah semuanya baik,” kata Adda lagi.
Auni mengeluh. Boleh ke? Adoyai… Time camnilah buat aku rasa nak
nangis ni…
“ YA, saya dah beritahu dia.”
Najwan mengangguk sebelum kembali
mengiakan kata-kata si pemanggil. Dia senyum.
“ Dia nampak terkejut, tapi
insya-Allah takkan apa-apa.”
Najwan renung ke luar tingkap. Dia
boleh nampak mummy sedang melayan
E-jat bermain berhampiran dengan kolam renang di luar. E-jat nampak gembira
sahaja. Sepertimana dirinya yang gembira saat ini.
Diam sejenak. Najwan hanya mendengar
sahaja butir bicara si pemanggil. Akhirnya dia mengeluh. “ Saya cuma harap dia
boleh terima E-jat. Sebab, walau kami dah kahwin, saya tetap perlu jaga E-jat
juga, dia dah macam anak saya.”
Najwan diam lagi. Matanya masih
merenung ke luar kamar. Dia menunggu sahaja si pemanggil di hujung talian
menghabiskan bicara.
“ Insya-Allah. Saya akan beritahu dia
bila masanya nak beli barang-barang hantaran tunang dan nikah. Ya, ya. Baiklah,
kalau ada apa-apa saya akan beritahu. Assalamulaikum, ummi.”
Talian dimatikan. Najwan senyum
sendiri.
Inilah jadinya bila bakal menantu
buat konspirasi besar-besaran bersama-sama bakal mentua sebelum berkahwin.
Najwan senyum lagi.