Ai no Kotoba

Colours make your life beautiful, melody makes your life rhythm and harmony makes your life a life - Hana

Semua karya dalam blog ini hak cipta terpelihara penulis. Anda tidak dibenarkan menciplak, me-copy, memplagiat atau with every means to copy it atau mengaku karya itu anda punya.
Semua karya tidak mempunyai kaitan dengan yang hidup mahupun yang sudah meninggal dunia.
Selamat membaca. Peace!

Watashi no Tomodachi :D

Entri Terbaru! Tengok Sini!

Wednesday, April 24, 2013

Endless Love 48




ZACHARY membantu Ji Hoon turun daripada keretanya. Hyun Min pula mengambil beg plastik yang berisi ubat yang dibekalkan oleh doktor kepada Ji Hoon. Sesudah membersihkan luka di lengan kirinya, Ji Hoon berkeras mahu pulang walau dibenarkan oleh doktor untuk tinggal semalamam di hospital. Zachary dan Hyun Min hanya menuruti sahaja apa yang Ji Hoon mahukan. Mereka tidak mampu untuk membantah.

          Ji Hoon merenung lama pada serpihan-serpihan kaca yang berserakan di atas lantai. Berhati-hati dia melangkah ke sofa. Zachary dan Hyun Min melabuhkan duduk di sofa. Ji Hoon tersandar lesu.

          “ Kau berdua kata nak jelaskan hal yang sebenarnya pada aku? Ceritalah,” pinta Ji Hoon perlahan. Dia membetulkan duduknya.

          Zachary dan Hyun Min saling berpandangan. Mereka kembali merenung Ji Hoon yang kelihatan keletihan.

          “ Macam nilah, biar Zack yang ceritakan sebab semua ni rancangan dia. Aku nak bersihkan kaca tu dulu sebelum kaki orang lain pula yang cedera,” kata Hyun Min seraya bangun menuju ke dapur. Ji Hoon merenung pula pada Zachary. Zachary mula gelisah.

          “ Yalah, yalah. Aku cerita,” kata Zachary pantas apabila merasakan bahang aura daripada renungan tajam Ji Hoon. Ji Hoon hanya mengangguk. Langsung tidak mempamerkan emosi apa-apa.

          “ Sebenarnya... aku cerita pada Hyun Min pasal kes langgar lari tu dan aku fikir, baik aku siasat hal ni dan Hyun Min bantu aku. Aku langsung tak terfikir yang sepupu kau sendiri merupakan dalang di sebalik semuanya,” Zachary bercerita. Hyun Min muncul kembali dari dapur dengan akhbar lama, beg plastik yang dikhaskan untuk sampah serta sebatang penyapu.

          “ Aku cuba kaitkan semua perkara tapi aku buntu sebab aku tak tahu perkara sebenar yang terjadi kat resort kau. Aku minta bantuan Hyun Min. Hyun Min pernah ternampak Da Wei berbual-bual dengan seorang lelaki kat sebuah bar beberapa hari lepas. Dia terdengar perbualan mereka berdua, pada malam kau dilanggar. Di situ, kami tahu yang Da Wei merupakan dalangnya tapi kami diamkan diri dulu, kami tak mahu tergesa-gesa bertindak. Dan, tadi sebelum Hyun Min ke kafe aku, dia perasan Da Wei tak ada dalam chaletnya. Hyun Min beritahu aku dan kami terus ke rumah kau. Nasib baik kami sempat sampai tadi, kalau tak...”

          Zachary menggelengkan kepalanya lemah. Tidak sanggup membayangkan apa yang akan terjadi kepada Ji Hoon jika dia dan Hyun Min lambat tiba tadi. Nyawa Ji Hoon bagaikan telur di hujung tanduk.

          “ Kau kena berterima kasih dengan ejen rahsia kita ni,” sampuk Hyun Min yang sedang menyapu serpihan-serpihan kaca di lantai. Kening Ji Hoon bercantum. Dia mengalihkan perhatian pada Hyun Min yang sedang tersengih.

          “ Ejen rahsia? Siapa?” tanyanya bingung. Zachary pantas ketawa. Dia menggaru kepalanya yang tidak gatal.

          “ Pada hari aku beritahu dia pasal kes langgar lari tu, aku cakap aku ni bekas jurulatih terbaik sebuah ejen rahsia masa aku kat Eropah dulu. Bulat-bulat dia percaya,” kata Zachary yang masih ketawa. Muka Ji Hoon berubah geli hati.

          “ Jadi?”

          “ Maaf, ya. Aku tak percaya pun apa yang kau beritahu tu. Bekas jurulatih ejen rahsia konon,” bidas Hyun Min. Dia bangun menuju ke dapur sambil membawa pergi seplastik beg yang penuh berisi serpihan-serpihan kaca tadi. Lantai sudah bersih daripada sebarang serpihan kaca yang boleh membahayakan.

          Ji Hoon turut tergelak. Dia kembali memandang Zachary. “ Apa kes pula dengan pistol kau guna tadi?”

          “ Oh, pistol tu? Yang tu pistol mainan. Aku pinjam dengan anak jiran aku tadi. Hairan betul dia dengan aku sebab aku beria-ria nak pinjam pistol mainan anak dia,” jelas Zachary. Ji Hoon hanya mampu menggelengkan kepalanya. Kagum dengan kelicikan Zachary berfikir.

          “ Bahaya betullah kau ni. Dibuatnya dia tembak kau dengan pistol tadi, macam mana? Takkan kau nak guna juga pistol mainan tu?” Ji Hoon menghela nafas. Zachary tertawa lagi.

          “ Kau tak payah puji dialah. Meluat aku.” Hyun Min yang baru muncul dari dapur menyampuk. Zachary tersengih mengejek.

          “ Nampaknya, Da Wei tak akan masuk kerja pagi esok. Akulah yang kena uruskan resort tu lepas ni sampailah kau sembuh dan datang tolong aku,” kata Hyun Min lagi. Ji Hoon mengangguk.

          Walau dia lega kerana dia sudah dibuktikan tidak bersalah, namun dia kesal kerana sepupunya sendiri yang merupakan darah dagingnya sendiri sanggup menikamnya dari belakang semata-mata kerana harta. Apabila akal dikaburi oleh nafsu, semuanya boleh terjadi.

          Ji Hoon menghela nafas. Bagaimanalah agaknya keadaan Da Wei sekarang? Sudah pasti lelaki itu akan melarikan diri bagi mengelak daripada ditangkap pihak berkuasa.

          “ Ji Hoon, aku balik dululah. Dah jauh malam ni. Bimbang mengantuk pula masa kerja pagi esok. Kau tak apa-apa kan kalau seorang diri?” tanya Hyun Min tiba-tiba. Dia bangun daripada sofa. Tangan diseluk ke dalam poket seluar bagi mengambil kunci kereta. Ji Hoon pantas mengangguk.

          “ Aku tak apa-apa. Kau baliklah dulu. Kau pun, Zack,” tambah Ji Hoon apabila melihat Zachary masih belum menunjukkan tanda-tanda mahu pulang. Zachary mengerutkan wajahnya. Pandangannya tertumpu pada Ji Hoon.

          “ Betul ke kau tak apa-apa ni? Bimbang aku kalau kau perlukan apa-apa tengah-tengah malam ni. Kau tu dahlah sakit.” Zachary menyuarakan kebimbangannya. Ji Hoon pula tersenyum. Dia mengangguk.

          “ Aku tak akan apa-apa. Lagipun, aku yakin yang Da Wei takkan berani kembali dalam masa terdekat ni. Kau balik sajalah. Esok Hyun Min kena masuk pejabat, kau pula kena bangun awal pagi uruskan kafe kau. Aku baik-baik saja,” ucap Ji Hoon cuba menyakinkan kedua-dua sahabatnya itu.  Namun Zachary tetap dengan kerisauannya.

          “ Kau yakin yang kau tak akan apa-apa?” tanya Zachary lagi. Ji Hoon mengangguk pantas.

          “ Yakin. Sekarang ni baik kau balik sebelum aku halau kau? Macam mana?” ugut Ji Hoon berseloroh. Zachary dan Hyun Min sama-sama ketawa. Tawa mereka bersatu dalam keheningan malam.

          “ Baiklah, asalkan esok aku tak terima berita mayat kau dijumpai dahlah,” kata Zachary. Segera bahunya ditumbuk kasar oleh Hyun Min.

          “ Tak baiklah kau cakap macam tu. Ada ke minta perkara yang bukan-bukan,” marah Hyun Min perlahan. Zachary kelihatan tidak berpuas hati. Dia merenung marah pada wajah selamba Hyun Min.

          “ Mana ada aku minta. Aku cuma...”

          “ Sudahlah kau berdua. Aku halau keluar baru tahu. Dah, cepat balik,” ucap Ji Hoon yang mula pening dengan kerenah Zachary dan Hyun Min. Sama-sama menunjukkan sikap yang tidak matang. Zachary dan Hyun Min mula terdiam.


“ MACAM mana boleh jadi macam ni? Mak terkejut betul lepas baca berita pasal pembunuhan Da Wei. Kamu tak jaga dia ke Ji Hoon?” tanya Presiden Park kesal. Akhbar pagi di tangannya dibelek berulang kali. Ji Hoon di hujung talian hanya mampu mengeluh.

          “ Mak... bukan saya tak jaga dia tapi kami jarang berjumpa,” ujar Ji Hoon membela diri. Matanya melirik pada kaca televisyen. Berita pagi menyiarkan perkembangan suatu kes pembunuhan kejam. Apa yang mengejutkan Ji Hoon, Da Wei merupakan mangsa kes pembunuhan itu.

          Seorang nelayan menemui mayat Da Wei yang dibunuh dengan kejam disebalik bot-bot nelayan di pantai pada awal pagi. Keadaan mayat Da Wei yang berada dalam keadaan mengerikan dengan darah berlumuran di seluruh badannya mencemaskan nelayan itu. Apatah lagi apabila mendapati leher mayat yang ditemuinya itu dikelar dengan kejam. Nelayan tua itu bergegas menghubungi pihak berkuasa dan penyiasatan mula dijalankan.

          “ Mak cik dan pak cik kamu akan sampai ke Seoul malam ni. Mak dah uruskan pemindahan mayat Da Wei. Mayat Da Wei akan dihantar dengan helikopter polis pagi ni dan akan dibedah siasat lepas mak cik dan pak cik kamu sampai dari LA. Kamu dah dipanggil polis?” tanya Presiden Park.

          “ Ya, mak. Polis panggil saya bantu siasatan semalam. Saya beritahu apa yang sepatutnya dan polis dah lepaskan saya. Sekarang ni pihak polis tengah menanti keterangan mana-mana saksi kejadian. Apa yang pihak polis beritahu saya, mereka percaya pembunuhan ini berunsur dendam tapi saya tak tahu siapa yang berdendam dengan Da Wei.”

          Pada pagi semalam dia dikejutkan dengan panggilan daripada pihak polis berhubungan dengan suatu kes pembunuhan. Dia yang pada mulanya kaget terperanjat besar apabila mendapati mangsa ialah Da Wei. Baru kelmarin sahaja dia bergelut dengan Da Wei yang nekad untuk membunuhnya sebelum lelaki itu dibunuh.

          Apa yang jelas pada Ji Hoon, Da Wei dibunuh selepas melarikan diri daripada rumahnya. Walau lelaki itu tergamak untuk mencabut nyawanya, Ji Hoon tetap kesal dengan pembunuhan itu memandang Da Wei sudah dianggap seperti adik kandunganya sendiri.

          Soal siasat berjalan dengan lancar walaupun pada mulanya pihak polis mengesyaki sesuatu yang pelik apabila melihat balutan pada lengan kiri Ji Hoon. Selepas menyakinkan pihak polis bahawa lukanya disebabkan oleh kecuaiannya ketika menggunakan mesin rumput di mana dia terjatuh lalu bahu kirinya mengenai bahagian pemotong yang tajam, barulah soal siasat yang sebenar diteruskan.

          “ Mak dah bermesyuarat dengan pihak lembaga pengarah. Mereka dah bersetuju untuk membenarkan kamu kembali dengan jawatan asal kamu di resort itu. Tambah-tambah lagi sampai sekarang kes itu tidak mempunyai perkembangan. Jadi, kamu dah boleh mula kerja kembali,” kata Presiden Park lagi.

          “ Baiklah, mak.”

          Ji Hoon menyimpan kembali telefon bimbit ke saku seluarnya. Dia tersenyum hambar. Masalah ini telah selesai malah rekodnya akan bersih kembali namun, bilakah masalah yang menimpa dia dengan Eun Hee akan selesai? Ji Hoon hampir putus asa apabila mengenangkan bahawa tiada perubahan dalam hubungan dinginnya dengan Eun Hee.

          Ji Hoon menyandar lesu pada sofa. Perhatiannya terarah kembali pada kaca televisyen.  


RYU MIN berjalan sambil bernyanyi kecil menyusuri laluan ke rumahnya. Dia baru pulang dari sekolah. Langkahnya diperlahankan apabila menyedari ada seorang lelaki sedang berdiri di hadapan pagar rumahnya sambil menggalas sebuah beg. Matanya dikecilkan sedikit sebelum mula menjerit kegembiraan. Dia berlari-lari mendapatkan lelaki itu. 

          “ Abang!!!”

          Lelaki itu menoleh ke arah bunyi suara itu. Serta merta senyuman terukir di wajah lelaki itu. Sebaik sahaja Ryu Min mendapatkannya, tubuh gadis kecil itu dipeluk erat. Ryu Min ketawa mengekeh apabila kedua-dua pipinya dicubit oleh lelaki itu.

          “ Rindunya Ryu Min pada abang. Dah lama abang tak balik,” ucap Ryu Min. Lelaki itu membawa Ryu Min ke dukungan. Dia berjalan masuk ke dalam halaman rumah.

          “ Ya? Maaflah, Ryu Min. Kerja abang banyak di Macau tu,” kata Seung Hyun. Dia mengusap lembut kepala satu-satunya adik kandungnya itu. Ryu Min tersenyum lagi. Dia merangkul leher abangnya itu.

          “ Tak apalah, nasib baik abang balik. Dah lama abang tak balik ke sini, tahu tak? Kami semua rindukan abang,” kata Ryu Min. Seung Hyun ketawa. Dia mencuit hidung Ryu Min.

          Mereka berdua masuk ke dalam rumah. Eun Hee yang baru sahaja muncul di ruang tamu terkejut apabila melihat lelaki yang bersama-sama Ryu Min. Seung Hyun mengukir senyum. Dia menurunkan Ryu Min ke bawah. Gadis kecil itu berlari ke dalam biliknya.

          “ Lama tak jumpa Eun Hee, rindu abang tak?” sapa Seung Hyun berseloroh. Eun Hee menguntum senyum lalu mengangguk. Sudah agak lama dia tidak bertemu dengan abang sepupunya itu sejak lelaki itu bekerja sebagai buruh di Macau.

          “ Ayah mana?” tanya Seung Hyun. Beg galasnya diletak di sisi meja berkaki rendah.  Ryu Min kembali semula ke ruang tamu selepas menyimpan beg sekolah di dalam bilik.

          “ Ayah kerja. Petang ni baliklah. Abang tak nak makan ke? Marilah makan sama-sama,” ajak Ryu Min terlalu berharap. Seung Hyun ketawa geli hati apabila Ryu Min mula membuat muka sedih. Dia menjentik dahi adiknya itu. Pantas Ryu Min menggosok dahinya yang menjadi mangsa jentikan jari abangnya. Sakit!

          “ Yalah, mari makan sama-sama. Eun Hee tak nak makan sekali?” tanya Seung Hyun. Matanya singgah pada wajah gadis yang muda beberapa tahun daripadanya itu. Pantas Eun Hee menggeleng.

          “ Tak apalah kalau macam tu. Jom, Ryu Min!” Seung Hyun menarik tangan Ryu Min menuju ke dapur. Kedengaran mereka berdua berbual dengan gembira. Eun Hee tersenyum melihat kegembiraan pertemuan kembali antara adik dan abang. Ryu Min kelihatan benar-benar gembira dengan kepulangan Seung Hyun.

          Eun Hee turun ke halaman rumah. Dia mahu menyapu halaman rumah Pak Cik Dam Shik yang agak bersepah dengan dedaunan di sekitar halaman. Penyapu yang disandarkan pada sebatang pokok diambil. Dia memulakan kerjanya. Eun Hee merenung gembira pada sebentuk cincin yang tersarung cantik di jari manisnya. 

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...