Ai no Kotoba

Colours make your life beautiful, melody makes your life rhythm and harmony makes your life a life - Hana

Semua karya dalam blog ini hak cipta terpelihara penulis. Anda tidak dibenarkan menciplak, me-copy, memplagiat atau with every means to copy it atau mengaku karya itu anda punya.
Semua karya tidak mempunyai kaitan dengan yang hidup mahupun yang sudah meninggal dunia.
Selamat membaca. Peace!

Watashi no Tomodachi :D

Entri Terbaru! Tengok Sini!

Sunday, April 28, 2013

464 Untuk Nini Bab 1


Orang kata, kadang-kadang kebetulan itulah yang akan membawa bahagia.
Aku harap, ada kebenarannya.
Insya-Allah.

“ ENCIK nak jumpa siapa?”

            Auni Ammaleeyna bertindak sebagai penyambut tetamu tidak bertauliah di kaunter. Jam masih menunjukkan awal pagi. Pukul 9 pun belum masuk lagi tetapi sudah ada orang yang berada di kaunter penyambut tetamu. Rakan sekerja yang bertugas sebagai penyambut tetamu itu pergi ke tandas sekejap. Katanya nak betulkan uniform yang kelihatan selekeh.

            Lelaki tinggi yang kelihatan kemas bersut menoleh kepada gadis itu. Seulas senyuman menyapa pertanyaan Auni. Auni turut membalas. Orang senyum, kita balas ajelah, kan? Nanti kata sombong pula. Lagipun lelaki itu bukannya buat muka gatal pun. Siap beri salam lagi kepada Auni. Salam dijawab sahaja perlahan.

            “ Encik Adam dah masuk ke? I need to see him,” lelaki itu mula bersuara.

            Dengan senyuman pada suatu raut wajah yang bersih, mampu membuatkan Auni tersenyum simpul. Sudahlah lelaki itu boleh tahan kacak. Auni mengutuk dirinya sendiri. Gatal sangat pagi-pagi macam ni.

            “ Oh! Encik ada appointment dengan Encik Adam ke? Awal lagi ni encik. Biasanya tepat pukul 9 baru dia muncul.” Auni melihat pada muka jam. Lagi lima belas minit sebelum jarum jam menandakan pukul 9.

            Lelaki itu mengeluh seraya menggeleng.

            “ Nasib tak baik saya datang awal sangat. Tak buat appointment pun dengan dia, I thought he was here already. Mungkin saya patut pergi breakfast dulu,” balas lelaki itu. Dia turut melihat pada jam di pergelangan tangan.

            Auni melihat sahaja. Dia tidak pernah melihat lelaki itu datang ke tempat kerjanya sebelum ini. Daripada gayanya, kelihatan seperti lelaki itu merupakan kawan kepada Encik Adam. Selamba aje gayanya. Datang pun tidak buat temu janji terlebih dahulu.

            “ I think I should go to any café nearby first. A bit urgent actually. And I need to rush to my office then. Tak apalah, thanks sudi menolong. Lepas ni saya datang cari dia balik. Assalamualaikum,” ucap lelaki itu seraya melangkah pergi. Sempat lagi dia melambai dari belakang. Auni hanya memerhati. Peliknya tengok lelaki ni. Selamba betul.

            Baru sahaja lelaki tu melangkah keluar daripada firma Adam, Munirah yang bertugas sebagai penyambut tetamu kembali ke kaunter. Dia kelihatan lebih kemas daripada sebelum ini. Sebelum dia meninggalkan Auni di kaunter untuk menjadi penyambut tetamu tidak bergaji.

            “ Lelaki tu cari siapa?” Munirah merujuk kepada lelaki yang berbual dengan Auni tadi.

            “ Kawan Encik Adam rasanya. Dia tanya Encik Adam dah sampai ke belum. Aku cakap belum. Biasanya Encik Adam tak sampai lagi time ni kan?” jawab Auni. Dia bermain-main dengan glob salji yang menghiasi kaunter.

            “ Kau cakap macam tu kat mamat tu?” Munirah buat suara tidak percaya. Auni mengangguk. Dia masih leka dengan glob salji comel itu.

            “ Encik Adam dah sampailah. Dia sampai awal hari ni.”

            Erk?

            “ Mimpi apa bos kita datang awal hari ni? Tak perasan pun masa aku naik atas tadi.” Auni kehairanan. Tidak pula dia nampak kelibat bosnya sewaktu naik ke tingkat atas tadi.

            Munirah menggeleng. “ Entah. Bos mimpi bulan jatuh ke riba kot semalam. Sebab tu dia datang awal.”

            Ringan aje tangan Auni menepuk lengan Munirah. Habis klasik mimpi yang diberi. Munirah, Munirah. Tahulah kau peminat tegar filem klasik allahyarham Tan Sri P. Ramlee.

            “ Ada ke cakap camtu. Dengar dek bos, kau nak kena potong gaji?” Auni pura-pura buat muka mengugut. Munirah tergelak.

            “ Tak ada maknanya. Habis tu, kau tak nak pergi cari lelaki tu ke? Kau dah bagi salah information kat dia. Manalah tahu ada perkara penting dia nak jumpa bos kesayangan kita tu. Kalau tak, tak adanya awal pagi lagi dia tercongok depan kaunter ni,” kata Munirah.

            Auni berpaling pada pintu masuk pejabat. Lelaki itu dah lama berlalu. Mungkin sedang menikmati sarapan seperti yang dikatakan olehnya agaknya. Malaslah nak kacau orang makan pagi-pagi macam ni.

            “ Tak apalah. Tak ada jodoh dia nak jumpa bos awal pagi ni kot,” balas Auni mudah. Munirah tersenyum. Ada ada aje Auni ni.


BERKERUT-KERUT muka Auni menghadap skrin Acer. Tangan kiri menopang dagu manakala tangan kanan asyik mengetuk muka meja dengan pen. Macam muka orang susah hati pun ada. Adda terus menepuk meja tanpa memberi salam.

            “ Ya Allah! Adda!”

            Adda sengih. “ Tahu pun terkejut. Yang kau asyik termenung aje dari tadi ni kenapa? Something wrong dengan projek yang kau handle ke?”

            Perlahan-lahan Auni menggeleng. Tetapi tetap kelihatan bahawa dia sedang menyorokkan sesuatu daripada Adda.

            “ Kalau macam tu, jangan buat muka monyok aje. Hilang kecomelan kau tu. Apalah kau ni,” kata Adda. Walaupun dia berkata sedemikian, Adda dapat menghidu sesuatu yang sedang disorokkan oleh sahabatnya itu.

            “ Thanks. Aku tahu aku comel,” jawab Auni selamba. Adda pura-pura mencebik.

            “ Perasanlah kau ni,” balas Adda. Auni ketawa.

            Dia bangun daripada kerusinya. Beberapa helaian kertas bercetak diambil daripada sudut kanan meja.

            “ Kau nak pergi mana tu?” tanya Adda apabila melihat Auni bangun meninggalkan meja kerjanya. Auni mengangguk ke arah bilik Encik Adam.

            “ Jumpa big boss kejap.”

            Helaian kertas di tangan disusun kemas. Mahu jumpa big boss ni. Mana boleh main selamba aje. Dibuatnya mood Encik Adam hari ni tak berapa elok, memang Auni kena cepat-cepat telefon Puan Qistina isteri Encik Adamlah datang jadi penenang.

            “ Eh?”

            Auni mengangkat mata daripada sepasang kasut hitam berkilat kepada empunya kasut itu. Dia berhenti betul-betul di hadapan lelaki yang ditemuinya pagi tadi. Lelaki itu tercegat aje di hadapannya.

            “ Awak dah bagi wrong information kat saya tadi. Bos awak kata dia dah datang awal pagi lagi,” tutur lelaki itu mengenai pertemuan mereka awal pagi tadi. Senyuman tetap terukir pada wajah bersih itu.

            “ Err…” Auni dah tak tahu nak kata apa. Kawan bos ni marah aku ke? Muka senyum bagai aje ni.

            Lelaki itu tergelak. “ No worry. Bukan salah awak pun. Saja je nak usik awak. Assalamualaikum.”

            Lelaki itu berlalu tanpa sempat Auni mengatakan apa-apa. Salam lelaki itu disambut perlahan. Kening Auni bercantum. Kenapalah kawan bos yang ni agak pelik perangainya?

            “ Auni, kamu buat apa kat sini? Nak jumpa saya ke?”

            Auni tercengang. Encik Adam tercegat aje di hadapan pintu biliknya. Pantas Auni mengangguk. Encik Adam memberi isyarat membenarkan pekerjanya itu masuk. Tanpa membuang masa lagi Auni terus ke dalam.

            “ Saya dengar apa kawan saya beritahu awak tadi. Kawan saya tu memang macam tu. Selamba aje dengan orang yang baru dia kenal. Tapi dia baik,” kata Encik Adam seraya duduk di kerusi empuknya. Auni mengangguk perlahan.

            Err… Encik Bos, ada saya tanya ke pasal kawan Encik Bos tu?

            “ Jadi, kenapa awak nak jumpa saya? Something important?”

            Auni mengangguk lagi. Kertas-kertas yang berada dalam pegangannya dihulurkan kepada ketuanya. Encik Adam menyambut huluran Auni. Setiap patah perkataan yang berada pada permukaan kertas itu menjadi santapan matanya.


“ AUNI, kau tak nak balik lagi ke?”

            Adda merapati meja Auni. Gadis itu kelihatan leka membaca sesuatu di skrin Acer. Auni mengalihkan pandangan daripada skrin laptopnya kepada wajah Adda. Gelengan kepalanya menjawab pertanyaan Adda.

            “ Aku nak siapkan kerja sikit lagi. Kau baliklah dulu. Nanti risau pula ibu kau,” kata Auni. Adda diam sejenak.

            “ Yalah. Tapi kau jangan balik lewat sangat. Semua orang dah pulang ni. Encik Adam pun dah balik. Tinggal pak guard kat bawah aje yang temankan kau kat sini. Balik cepat-cepat ya?”

            Auni mengangguk. “ Yalah. Jangan risau. Dah, dah. Kau pergi balik dulu.”

            “ Okey. Jumpa kau esok.”

            Auni melambai kepada Adda yang sudah berlalu pergi. Dia termenung melihat sekitar ruang pejabatnya. Semua orang sudah pulang. Encik Adam pun sudah. Katanya dia ada janji nak bawa isterinya, Puan Qistina makan malam di luar malam ni. Bertuah Puan Qistina dapat suami romantis macam Encik Adam tu.

            Auni pula masih di sini. Sebenarnya ada sesuatu yang menganggu dia sejak pagi tadi. Sebelum Adda ke mejanya dan menegur kenapa dia kelihatan resah aje di hadapan laptopnya tadi.

            Mata Auni kembali pada skrin Acer. Sudah berulang kali dia membaca apa yang tertera, sebolehnya untuk menipu dirinya sendiri bahawa apa yang terpapar di skrin hanya mainan matanya sahaja.


Hakimi Adnan kimi.adnan@yahoo.co.uk                          
            to me

            Assalamualaikum wbt. Auni,

Saya harap awak sihat-sihat sahaja. Dah lama kita lost contact, kan? Sebenarnya, bukan kita, tapi saya. Saya yang lost contact dengan awak. Saya tak boleh lupakan awak, awak yang selalu lari jauh setiap kali saya nak mendekati. Seorang Auni Ammaleeyna yang sukar untuk saya dekati walaupun sudah banyak kali saya mencuba.

Four years saya bermastautin di UK. And four years also, I can’t forget you. Please, Auni. Saya tahu kita tak pernah ada apa-apa. Tapi saya tetap mengharapkan awak, Auni. Saya harap sangat suatu hari nanti, awak akan setuju jika saya melamar awak.

Insya-Allah, saya akan pulang ke Malaysia tak lama lagi. Saya ditukarkan ke cawangan syarikat saya di Malaysia. Saya harap sangat untuk jumpa awak Auni. Please. I’m begging you.

Wassalam.


Auni mengeluh. Kenapa lelaki ini perlu muncul lagi? Sudah bertahun mereka putus hubungan. Malah itulah yang menggembirakan Auni. Dia gembira apabila lelaki itu pergi daripada hidupnya. Mereka juga bukannya pernah ada apa-apa hubungan dahulu.

Auni klik pada simbol tong sampah. E-mel yang dihantar oleh Hakimi itu dibuang. Tiada hati untuk terus menyimpan e-mel yang boleh meresahkan dirinya.

Kimi, kenapa kau cari aku balik?

Bukannya dia tidak terharu dengan perbuatan lelaki itu yang masih setia menunggunya, tetapi Auni tetap dengan keputusannya yang mengatakan dia dan Hakimi tidak patut bersama. Mereka tidak serasi. Dia yakin itu. Dia ditempatkan dalam hati lelaki itu bukannya kerana cinta. Suatu rahsia yang tidak Hakimi tahu. Malah, lelaki itu belum sedar akan hal itu.

Kenapa kau cari aku lagi? Aku bukannya dia.

2 comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...