Ai no Kotoba

Colours make your life beautiful, melody makes your life rhythm and harmony makes your life a life - Hana

Semua karya dalam blog ini hak cipta terpelihara penulis. Anda tidak dibenarkan menciplak, me-copy, memplagiat atau with every means to copy it atau mengaku karya itu anda punya.
Semua karya tidak mempunyai kaitan dengan yang hidup mahupun yang sudah meninggal dunia.
Selamat membaca. Peace!

Watashi no Tomodachi :D

Entri Terbaru! Tengok Sini!

Wednesday, April 24, 2013

Endless Love 38



KEPALANYA yang terasa berat menyukarkan dia untuk membuka mata. Beberapa kali dia terbatuk-batuk. Ji Hoon mengerang. Dia berpusing ke kiri, cuba menggagahkan dirinya untuk membuka mata. Suatu pemandangan yang asing menerpa penglihatannya. Perlahan-lahan dia bangun. Sebelah tangan menggosok kepalanya yang masih terasa berat manakala sebelah lagi menopang bagi menyokong berat tubuhnya.

          Kat mana ni?

          Ji Hoon meliarkan matanya melihat sekeliling. Dia kaget apabila mendapati dirinya masih berada dalam bilik hotel itu, kecuali dia kini berada di atas katil! Ji Hoon menggelengkan kepala, cuba mengingati apa yang berlaku sebelum dia pengsan tadi.

          Ada seorang wanita... tapi...

          Kepalanya dipicit lagi. Sukar baginya mengingati siapa wanita yang dilihatnya tadi. Hanya dia seorang sahaja yang berada dalam bilik itu. Pintu gelongsor balkoni pula masih terbuka. Ji Hoon meneliti jam tangan yang dipakainya. Hampir mencecah pukul 5 pagi.

          Dia segera bangun. Bilik air dituju. Mukanya dibasuh dengan air bagi menyegarkan sedikit dirinya yang masih pening. Ji Hoon bercermin di bilik air. Dia meraup wajah. Tidak ada perkara yang pelik berlaku. Tiada, namun selepas beberapa ketika barulah dia perasan bahawa kot hitamnya tertanggal daripada tubuhnya.

          Dalam mamai dan pening kepala yang masih menjadi-menjadi, segera Ji Hoon mencapai kotnya yang didapati tersangkut di atas katil. Apa yang difikirkannya kini hanyalah segera sampai ke rumah. Langkahnya semakin laju sebaik sahaja keluar dari lif ke lobi hotel.

          Tanpa berlengah-lengah, Ji Hoon memandu keretanya kembali ke rumah. Dia bingung dengan apa yang berlaku. Langsung tiada pertemuan yang terjadi, dan dia tidak faham dengan motif serangan tadi. Sesiapa yang menyerangnya tadi langsung tidak mengapa-apakan dia.

          Pantas Ji Hoon menggeleng kepala. Dia malas mahu memperdulikan hal sedemikian. Asalkan tiada perkara yang buruk terjadi, itu sudah memadai buatnya. Skyline GTR semakin laju meredah kegelapan malam.


BERHATI-HATI Ji Hoon membuka pintu rumah. Dia menarik nafas lega apabila mendapati kawasan rumahnya masih gelap. Hanya lampu di halaman rumah dan lampu di dapur sahaja yang terpasang. Mungkin Eun Hee masih belum bangun daripada tidur. Biasanya pada waktu-waktu sebegini Eun Hee sudah bangun.

          Pintu kembali dikunci. Ji Hoon baru sahaja menjejakkan kaki di anak tangga yang pertama sebelum dia menyedari dia tidak bersendirian di ruang tamu itu. Eun Hee sedang meringkuk kesejukan di atas sofa berangkai tiga. Hati Ji Hoon runtun melihatnya. Pastinya Eun Hee tertunggu-tunggu dia pulang. Dengan berat hati dia mendekati Eun Hee. Dia duduk berlutut di hadapan sofa itu. Bahu Eun Hee digocang perlahan.

          “ Eun Hee? Bangun sayang...”

          Beberapa kali dia menggerakkan tubuh itu barulah Eun Hee membuka matanya. Ji Hoon kaget apabila tidak semena-mena Eun Hee memeluknya erat. Menggigil tangan gadis itu memeluknya.

           “ Maaf... abang dah buat Eun Hee tunggu macam ni...”

           Eun Hee menggeleng perlahan. Cukuplah dia dapat bertemu dengan Ji Hoon lagi. Dia asyik berfirasat buruk sejak gelang tangannya tercabut tadi. Seakan-akan memberi petanda buruk kepadanya mengenai Ji Hoon. Dia bertambah cemas apabila Ji Hoon masih belum pulang walau jam sudah mencecah 1 pagi. Belum pernah lagi Ji Hoon berkelakuan seperti ini.

          “ Sudahlah... abang ada hal tadi, tu yang balik lambat. Mari, tidur kat atas, ya? Muka Eun Hee nampak pucat,” pujuk Ji Hoon. Dalam suram yang hanya diterangi lampu dapur, dia dapat melihat dengan jelas betapa pucatnya wajah itu. Bibir Eun Hee juga nampak bergetar.

          “ Mari,” ajak Ji Hoon lembut. Berhati-hati dia menarik Eun Hee bangun sebelum memeluk bahu isterinya. Perlahan-lahan mereka berdua beriringan naik ke tingkat atas. Eun Hee sudah tidak menggigil seperti tadi lagi cuma pucat wajahnya masih belum berubah.

          “ Abang nak Eun Hee sambung tidur...” Eun Hee didudukkan di atas katil. Ji Hoon menepuk lembut bahu isterinya sebelum menyambung bicara, “... dan jangan risau pasal benda lain. Abang yang akan sediakan sarapan. Sekarang, abang nak Eun Hee tidur, muka Eun Hee pucat sangat ni.”

          Eun Hee hanya mampu mengangguk. Selepas menyelimutkan Eun Hee, Ji Hoon segera mencapai tuala lalu masuk ke dalam bilik air. Lampu biliknya ditutup bagi mengelakkan tidur Eun Hee terganggu. Suis lampu bilik mandi dibuka. Dia mengerling sekilas pada Eun Hee yang sedang tidur di atas katil. Ji Hoon menghela nafas. Pintu ditutup perlahan. Dia perlu segera menemui Zachary pagi ini.


ZACHARY yang baru sahaja muncul dari dapur terus diterpa oleh Ji Hoon. Terpinga-pinga lelaki Eropah itu apabila Ji Hoon menariknya duduk di suatu sudut. Kerusi segera ditarik apabila melihatkan Ji Hoon yang kelihatan cemas.

          “ Kenapa? Macam mana dengan semalam? Kau tak apa-apa, kan?” tanya Zachary tergesa-gesa. Dengan pantas Ji Hoon menggeleng. Dia meraup wajah sebelum kembali merenung wajah Zachary.

          “ Tak ada apa-apa yang jadi semalam, tapi aku nak beritahu kau sesuatu.”

          Terus dia menceritakan apa yang terjadi kepada Zachary. Langsung tiada perkara yang diselindungkan daripada Zachary. Kejadian dia ditembak dengan ubat penenang turut diceritakan. Muka Zachary sudah berkerut cemas.

          “ Kau kena tembak dengan ubat penenang? Lepas tu apa yang jadi?”

          Ji Hoon mendiamkan diri. Sedaya upaya menenangkan hatinya yang sedang gusar. Dia menarik nafas. “ Aku sedar saja dari pengsan, aku tengah baring atas katil. Tak ada sesiapa... tak ada nota... langsung tak ada tanda apa-apa. Aku bingung, tapi aku tak cuba siasat. Aku terus balik ke rumah.”

          “ Tak ada apa-apa?” tanya Zachary hairan. Ji Hoon pantas mengangguk.

          “ Peliknya...” ucap Zachary di bawah sedar. Matanya tajam merenung Ji Hoon. Seakan mahu diterkam sahaja sahabatnya itu. Ji Hoon mula kaget dengan renungan tajam Zachary.

          “ Kenapa?”

          “ Kenapa kau tanya? Nasib baik tak jadi apa-apa pada kau, tahu tak? Dibuatnya lepas kau pengsan sebab ubat penenang tu dia bunuh kau, macam mana? Lain kali jangan buat kerja gila macam ni lagi. Geramnya aku dengan kau ni,” gerutu Zachary melepaskan amarahnya.

          Ji Hoon tersenyum hambar. “ Yalah.”

          Zachary menggelengkan kepalanya. “ Tapi, aku hairan kenapa dia tak buat apa-apa kat kau. Aku takut dia ada muslihat lain.”

          Ji Hoon mengangguk. Tak kisahlah, asal aku selamat.

          “ Eh, baru aku perasan. Awalnya kau datang kafe aku hari ni,” getus Zachary secara tiba-tiba sambil tertawa. Ji Hoon pantas mengukir senyum sinis.

          “ Lepas kau membebel kat aku baru kau perasan aku datang awal hari ni?” sindir Ji Hoon. Zachary ketawa lagi. Dia menepuk dahi. Agak terasa dengan sindiran Ji Hoon.

          “ Aku geram betul dengan kau, sebab tu aku membebel dulu,” jawab Zachary mudah dengan tawa yang masih bersisa. Ji Hoon hanya mencebik.

          “ Aku suruh Eun Hee tidur lagi, aku tengok muka dia pucat. Aku datang ni nak beli rotilah. Kalau nak masak, aku malas pagi-pagi macam ni.” Ji Hoon mengunjuk pada beg kertas yang berisi roti yang masih panas lagi.

          “ Yalah, kau baliklah dulu. Mana tahu Eun Hee dah sedar ke? Nasib baiklah kau ni jenis yang sayangkan isteri, kalau tak aku dah lama hempuk kepala kau tu. Tambah lagi lepas apa yang kau dah buat semalam,” sambung Zachary.

          “ Yalah, yalah. Kerja kau tu cuma nak membebel kat aku. Daripada aku dengar kau membebel, baik aku balik jumpa Eun Hee,” jawab Ji Hoon selamba. Zachary tersengih.

          “ Orang sayang isterilah katakan,” ejek Zachary cuba mengusik. Ji Hoon hanya tersenyum lantas menggeleng kepalanya. Kunci kereta dibawa keluar dari poket jean.

           “ Aku balik dulu, lain kali jumpa lagi,” ucap Ji Hoon lantas membuka pintu keretanya.

          Sengaja dia datang dengan berkereta hari ini. Biasanya dia hanya berjalan kaki sahaja jika mahu ke kafe Zachary, namun dia mula berkereta lantaran tidak mahu kejadian kemalangan yang menimpanya beberapa minggu lalu berulang kembali. Eun Hee juga yang menggesanya untuk berkereta walau ingin ke kafe Zachary sekalipun.

          Zachary hanya mengangguk tanpa suara. Dia mengangkat tangan melambai kepada Ji Hoon tatkala kereta Ji Hoon mula bergerak meninggalkan kawasan itu. Ji Hoon hanya melambai sekilas sebelum mula memandu.


SEGERA Eun Hee berlari menuruni tangga menuju ke pintu utama sebaik sahaja mendengar bunyi deruan enjin kereta. Dia tersenyum lega apabila mendapati suaminya sudah berada di hadapan mata. Dia agak paranoid sejak gelang yang dipakainya semalam terjatuh. Dia masih beranggapan bahawa itu merupakan petanda yang tidak baik.

          “ Eun Hee dah bangun?” sapa Ji Hoon lembut. Dia menghadiahkan senyuman kepada Eun Hee yang berjalan mendapatkannya. Beg kertas yang berisi roti diserahkan kepada Eun Hee lantas bahu Eun Hee dirangkul mesra.

          “ Kenapa merah semacam hidung ni?” usik Ji Hoon. Hidung Eun Hee dicuit sekilas. Eun Hee mencebik namun dengan pantas dia mengukir senyum. Ji Hoon tertawa mesra. Hidung Eun Hee dicuit lagi. Eun Hee hanya tersenyum. Malas mahu memperdulikan usikan suaminya yang kadang kala tidak boleh ditahan lagi. Ji Hoon memang gemar mengusiknya tidak kira waktu.

          Jag kecil yang berisi jus oren dan susu segar diletakkan di atas dulang lalu dibawa ke kawasan kolam renang di luar. Ji Hoon sudah menunggu di situ. Lelaki itu santai berbaring di atas kerusi rehat yang sememangnya disediakan di situ. Ada meja bulat terletak di antara kerusi yang diduduki Ji Hoon dengan sebuah kerusi rehat lagi.

          Berhati-hati dia menuangkan jus oren ke dalam sebiji gelas. Minum jus oren asli pada pagi hari merupakan kewajipan buat Ji Hoon. Menurut suaminya, pati yang terdapat dalam jus oren itu dapat memecahkan lemak. Eun Hee turut terikut-ikut dengan tabiat Ji Hoon.

          “ Terima kasih,” ucap Ji Hoon sebelum meneguk jusnya. Eun Hee hanya menguntum senyum. Dia meneruskan kembali kerjanya. Roti dan pastri yang dibeli dari kafe Zachary disusun di atas pinggan.

          “ Lena tak tidur tadi?” tanya Ji Hoon. Sekeping roti bakar bermentega dicapai daripada pinggan.

          Eun Hee mengangguk kecil. Dia mengambil tempat di kerusi rehat yang bertentangan dengan Ji Hoon. Satu sandwich telur diambil lalu dibawa ke mulut. Leka dia merenung Ji Hoon sambil mengunyah sandwichnya.

          “ Kenapa Eun Hee tak tidur dalam bilik semalam? Bukan ke abang dah pesan sebelum abang pergi semalam, jangan tunggu abang,” tanya Ji Hoon lagi.

          Eun Hee bungkam. Seleranya mula mati. Sandwich yang masih berbaki diletakkan di atas pinggan. Ada persoalan yang harus dijawab oleh Ji Hoon. Satu buku nota kecil dan sebatang pen dibawa keluar daripada poket seluarnya. Menjadi kebiasaannya membawa ke mana-mana sahaja dia pergi sebuah buku nota kecil dan sebatang pen. Dia mula mencoret pada kertas.


Abang ke mana semalam?


          Ji Hoon diam melihatkan coretan pada kertas itu. Dia bingung sama ada mahu berterus terang atau tidak. Kejadian semalam harus dirahsiakan, walau daripada Eun Hee sekalipun.

          Ji Hoon menggeleng resah. “ Maaf, abang tak boleh beritahu Eun Hee.”

          Eun Hee menulis lagi. Kali ini dia menulis dengan tergesa-gesa. Tergopoh gapah dia menghulurkan buku itu kepada Ji Hoon. Dalam terpaksa Ji Hoon membaca juga.


Eun Hee rayu, tolong beritahu Eun Hee. Abang nampak macam ada masalah.


          Wajah Eun Hee mula muram apabila Ji Hoon tidak memberikan sebarang reaksi. Redup matanya memandang Ji Hoon, memohon suaminya menjelaskan perkara yang sebenar. Ji Hoon mengeluh. Sekali lagi dia menggelengkan kepalanya. Dia bangun daripada duduknya.

          “ Abang betul-betul minta maaf, abang tak boleh beritahu Eun Hee. Maaf sekali lagi sebab dah buat Eun Hee bimbangkan abang. Abang boleh uruskan hal ni sendiri, ya?” ucap Ji Hoon.

          Dia nampak gadis itu terluka dengan kata-katanya namun dia terpaksa. Dia lebih rela gadis itu kecewa kerana perkara ini dirahsiakan daripada mendedahkan hal yang sebenarnya. Isterinya akan lebih terluka jika tahu bahawa dia menjadi sasaran pembunuh upahan sekarang.

          “ Abang... abang terpaksa pergi. Ada hal,” ucap Ji Hoon tergesa-gesa. Tanpa menoleh lagi dia meninggalkan Eun Hee yang masih murung di perkarangan kolam. Sejurus, enjin kereta berbunyi menandakan dia sudah meninggalkan rumah.

          Eun Hee menekup mulut. Dia tidak akan mengalirkan air mata lagi. Dia harus kuat untuk menjadi seorang isteri yang terbaik buat Ji Hoon. Dia harus kuat sekiranya Ji Hoon tewas dengan emosinya suatu hari nanti.

          Eun Hee cuma kecewa. Lain yang diharapkan, lain pula yang berlaku. Dia hanya mahu Ji Hoon menceritakan masalahnya kepada dia. Dia bukan sahaja mahu menjadi penenang kepada suaminya, tetapi juga menjadi seorang pendengar yang baik. Seperti mana Ji Hoon mahu menjadi pelindungnya, dia juga mahu melindungi Ji Hoon. Dia hanya dapat berharap agar tiada apa-apa halangan dalam hidup mereka berdua. Spontan, dia teringatkan pada hari dia dan Ji Hoon menjenguk Paradise Florist. Dia mengetap bibir.

          Dia kecewa kerana dia masih tidak dapat menghalau ketakutannya pergi. Rasa takut apabila melihat kedua-dua ibu bapanya dibunuh dengan kejam dahulu masih membuatkan dia trauma untuk bercakap walau sudah bertahun-tahun peristiwa kejam itu berlaku. Dia sentiasa mencuba, namun dia masih gagal walau dengan bantuan yang Ji Hoon berikan sekalipun. Dia gagal dalam mengatasi ketakutannya. Setiap kali dia cuba berbicara, peristiwa mengerikan itu kembali menghantui dirinya.

          Eun Hee... cintakan abang... buat selamanya... dan... Eun Hee harap sangat dapat... ungkapkan pada abang...

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...