Ai no Kotoba

Colours make your life beautiful, melody makes your life rhythm and harmony makes your life a life - Hana

Semua karya dalam blog ini hak cipta terpelihara penulis. Anda tidak dibenarkan menciplak, me-copy, memplagiat atau with every means to copy it atau mengaku karya itu anda punya.
Semua karya tidak mempunyai kaitan dengan yang hidup mahupun yang sudah meninggal dunia.
Selamat membaca. Peace!

Watashi no Tomodachi :D

Entri Terbaru! Tengok Sini!

Wednesday, April 24, 2013

Endless Love 39




SEBIJI batu dilontar ke tasik. Muka Ji Hoon muram, jelas menunjukkan dia serabut dengan apa yang dilaluinya kini. Sesekali, dia mengusutkan rambutnya yang mencecah bahu. Dia masih tidak dapat melupakan bagaimana Eun Hee kelihatan terluka dengan kata-katanya tadi.

          Gadis itu seakan mahu mengalirkan air mata, tetapi tidak. Mungkin Eun Hee sudah semakin kuat sekarang. Gadis itu hanya menyepi sahaja. Dia tahu Eun Hee mahu menahan dia daripada pergi tetapi Ji Hoon tidak mahu mendedahkan masalahnya kepada Eun Hee. Dia tidak mahu isterinya nanti terbeban dengan masalahnya.

          Perlahan Ji Hoon merebahkan diri di atas rumput yang menghijau. Kedua-dua tangannya dibawa ke belakang. Matanya merenung kosong pada langit yang membiru.

          Entah bila masalahnya akan berakhir. Ji Hoon benar-benar berharap dia akan hidup bahagia kembali dengan Eun Hee. Selepas satu masalah selesai, masalah lain pula yang menyusul.

          Mindanya tidak dapat lepas daripada memikirkan kejadian yang menimpanya semalam. Dia hairan kerana tiada apa-apa yang terjadi kepadanya. Bukankah lebih senang untuk membunuhnya jika dia pengsan? Pada saat itu, dia sudah berada di alam bawah sedar. Jika mahu dibunuh, dia tidak akan melawan. Sungguh.

          Telefon bimbitnya dibawa ke hadapan mata. Gallery dibuka. Satu folder khas yang dinamakan JiEun di mana menempatkan gambar-gambarnya dengan Eun Hee dibuka. Dia senyum sendirian. Sebuah gambar dibuka.

          Eun Hee sedang menguntum senyum kepadanya saat gambar itu diambil. Ketika itu mereka berdua sedang berjalan-jalan di pantai. Dia suka melihat Eun Hee tersenyum kerana itu menunjukkan yang gadis itu sedang gembira.

          Dia langsung tidak menyesali tindakannya mengahwini Eun Hee. Hatinya sudah dipenuhi dengan rasa kasih pada gadis itu. Walau ada yang menganggapnya bodoh kerana sanggup berkahwin dengan seorang gadis yang bisu, dia tidak peduli. Asalkan dirinya dan Eun Hee bahagia, dia tidak akan peduli dengan cakap-cakap orang.

          Ji Hoon senyum lagi. Hatinya mula tenang. Dia patut balik dan meminta maaf dengan gadis itu. Tetapi, matanya mula kuyu. Ji Hoon terlelap di situ.


PINTU restoran ditolak. Hyun Min segera menuju ke kaunter. Dia mahu bertemu dengan Chae Rin sekarang. Itu yang penting.

          “ Cik Lee ada?” tanya Hyun Min ramah kepada penjaga kaunter. Lelaki muda itu menghentikan kerjanya.

          “ Cik Lee ada dalam biliknya. Encik nak saya panggilkan ke?” soal lelaki itu sambil melemparkan senyuman. Pantas Hyun Min menggeleng.

          “ Tak mengapa. Saya boleh pergi sendiri. Terima kasih,” kata Hyun Min sebelum mula mengatur langkah menuju ke pejabat Chae Rin. Penjaga kaunter itu mengukir senyum sekali lagi sebelum memberi tunduk hormat.

          Hyun Min bersiul senang hati. Kot yang dipakai dikemaskan sebaik mungkin. Dia melangkah penuh yakin ke hadapan bilik Chae Rin. Gadis itu sedang leka dengan kerjanya, sedang memasukkan kertas ke dalam sebuah sampul surat.

          Tok! Tok!

          Ketukan di pintu berjaya mencuri perhatian Chae Rin. Tergesa-gesa dia menyorokkan sampul surat besar itu ke dalam laci sebelum melemparkan senyuman kepada Hyun Min. Dia mengangguk memberi kebenaran untuk masuk. Senyuman Hyun Min makin lebar.

          “ Sedang buat apa, tuan puteri? Leka patik tengok,” usik Hyun Min. Chae Rin ketawa lantas menggelengkan kepalanya. Dia bangun lalu beredar ke sofa. Hyun Min mengekori langkah gadis itu. Dia mengambil tempat di hadapan Chae Rin.

          “ Kenapa kau datang tak beritahu? Mujur aku tak sibuk hari ni,” ujar Chae Rin. Nadanya kedengaran cemas walau cuba disembunyikan dengan tawanya. Lama Hyun Min memerhatikan gadis itu. Mukanya berkerut.

          “ Kenapa?” soal Chae Rin.

          Hyun Min menggelengkan kepala. “ Aku peliklah dengan kau hari ni.”

          “ Pelik? Kenapa?” Kening Chae Rin terangkat.

          “ Kenapa kau nampak macam cemas semacam hari ni? Kau tak sihat ke?” tanya Hyun Min. Matanya masih pada gadis itu. Dia sememangnya hairan melihatkan gadis itu pada hari ini. Chae Rin tidak pernah begini sepanjang dia mengenali gadis itu. Dia kelihatan cemas dan gembira pada suatu masa.

          Pantas Chae Rin menggelengkan kepalanya. “ Mana ada. Mengarutlah kau ni.”

          Hyun Min menjungkit bahu. Dia duduk bersandar pada sofa.

          “ Kau ada rancangan nak ke mana-mana ke hari ni? Aku fikir nak ajak kau teman aku membeli-belah,” ajak Hyun Min. Dia tersenyum mengenangkan perangai Chae Rin yang gemar membeli-belah. Gadis itu pastinya tidak akan menolak ajakannya itu. Namun Hyun Min terperanjat apabila mendapati gadis itu menggeleng. Dahinya kembali berkerut.

          “ Maaf, hari ni tak boleh,” tolak Chae Rin serta merta.

          “ Tak boleh?”

          Segera Chae Rin mengangguk. “ Aku betul-betul tak boleh nak temankan kau hari ni. Kalau esok bolehlah. Aku ada hal sikit hari ni.”

          “ Hal apa? Kau ada mesyuarat ke?” tanya Hyun Min yang masih kebingungan.

          “ Err... ya, ya! Aku ada mesyuarat lepas ni. Jadi, aku tak boleh teman kau. Maaf ya?” kata Chae Rin lagi.

          “ Kau ada sembunyikan sesuatu daripada aku ke?” soal Hyun Min lagi. Kali ini nadanya tegas. Berubah air muka Chae Rin sebaik sahaja selesai Hyun Min melontarkan soalan.

          “ Mana... mana ada! Mengarutlah kau ni. Dari tadi lagi asyik mengarut saja kerja kau,” bentak Chae Rin tiba-tiba.

          Hyun Min merenung tajam pada wajah itu. Dia dapat menghidu bahawa Chae Rin sedang menyorokkan sesuatu daripadanya. Perilaku Chae Rin amat menghairankan dia. Chae Rin sudah mula gelabah dengan renungan Hyun Min. Gadis itu terus bangun daripada duduknya. Chae Rin kembali ke meja kerjanya.

          “ Aku nak keluar. Kalau kau nak jumpa aku, mungkin aku balik lewat sikit...” Tas tangan diambil. Sampul surat besar tadi juga dibawa keluar daripada laci. Chae Rin melangkah ke pintu. “... pasal beli-belah tu, apa kata kalau kita ke kompleks hujung minggu ni? Itu pun kalau aku boleh temankan kaulah. Mungkin aku dah tak boleh temankan kau ke mana-mana lagi lepas ni.”

          Hyun Min terpaku di situ. Perlahan-lahan dia bangun. Matanya pula melekat pada pintu. Apa dah kena dengan Chae Rin? Pelik betullah...


EUN HEE sedang berada di dapur ketika bunyi loceng pintu ditekan kedengaran. Dia mengelap tangannya yang basah sebelum berlari-lari anak menuju ke pintu. Besar harapannya agar yang menekan loceng itu Ji Hoon. Segera dia membuka pintu. Senyumannya melebar.

          “ Kak Eun Hee!!!”

          Ryu Min segera menerpa Eun Hee sebaik sahaja pintu dibuka. Senyuman di bibir Eun Hee mula hambar. Dia menyangka bahawa Ji Hoon yang pulang, rupa-rupanya Ryu Min yang datang.

          Bodoh betul aku ni. Takkan abang akan tekan loceng, dia kan dah ada kunci sendiri?

          Eun Hee membongkok sedikit. Dia memeluk Ryu Min lalu dibawa masuk ke dalam.

          “ Bosan betul Ryu Min duduk kat rumah. Ayah pun tak ada. Sekarang ni makin sibuk, dah lama Ryu Min tak main dengan ayah,” rungut Ryu Min sambil memeluk tubuh. Dia menghempaskan tubuh pada sofa. Eun Hee tersenyum mendengarkan rungutan itu. Apa yang dikatakan Ryu Min benar. Dia sendiri sudah lama tidak bertemu dengan bapa saudaranya itu.

          “ Abang Ji Hoon mana? Kalau Ryu Min datang, mesti dia tak ada,” Ryu Min menyambung rungutannya. Dia bangun daripada sofa mengekori Eun Hee ke dapur. Eun Hee hanya tersenyum pahit. Dia menggelengkan kepala.

          “ Abang Ji Hoon ni pun sama dengan ayah, sibuk memanjang. Payah nak nampak,” gerutu Ryu Min geram.

          Eun Hee membiarkan sahaja Ryu Min dengan rungutannya. Dia kembali dengan kerjanya. Daging yang sudah siap dihiris dibawa ke dapur. Api dapur dihidupkan. Jam baru menjangkau pukul 11.30 pagi. Sudah berjam-jam lamanya Ji Hoon membawa diri entah ke mana.

          Eun Hee membuka peti ais. Dia mengeluarkan sebekas kecil aiskrim sundae strawberi. Bekas itu diletakkan di hadapan Ryu Min. Bersinar mata gadis kecil itu.

          “ Terima kasih, Kak Eun Hee,” ucap Ryu Min lantas menyuap air krim ke dalam mulutnya. Eun Hee tersenyum lagi. Boleh gemuk Ryu Min kalau setiap hari datang ke rumahnya. Mana tidaknya, setiap kali Ryu Min, pasti dia dihidangkan dengan ais krim, kek dan makanan-makanan yang lain.

          Bunyi loceng kedengaran lagi sekaligus menghentikan kerja Eun Hee. Eun Hee segera ke ruang tamu. Ryu Min masih asyik dengan ais krimnya di dapur.

          Bunyi loceng kedengaran sekali lagi. Tanpa berlengah lagi Eun Hee membuka pintu. Nampaknya orang yang menekan loceng itu seperti tergesa-gesa. Daun pintu dibuka. Bulat mata Eun Hee melihatkan tetamu yang berdiri di hadapan pintu rumahnya. Dia terkedu di situ.

          “ Kenapa? Dah tak pandai nak ajak tetamu masuk?” tanya tetamunya keras. Eun Hee mengangguk teragak-agak. Chae Rin...

          Eun Hee beralih ke tepi bagi membolehkan Chae Rin masuk. Dengan lagak angkuh gadis itu masuk ke dalam. Sengaja dia melanggar bahu Eun Hee. Dia meliarkan matanya ke sekeliling banglo besar itu. Meluat benar Chae Rin apabila mendapati banyaknya gambar Eun Hee dan Ji Hoon dalam rumah itu.

          Eun Hee menutup pintu. Dia mendapatkan Chae Rin yang mula merenungnya tajam.

          “ Aku datang ni nak beri kau hadiah. Nah,” kata Chae Rin dengan lagak angkuh. Sepucuk sampul surat dibawa keluar daripada tas tangannya. Sengaja dia melemparkan sampul itu ke muka Eun Hee.

          “ Mungkin kandungan sampul tu dapat menjelaskan kepada kau bahawa suami yang sangat kau cintai tu sebenarnya tak pernah cintakan kau,” kata Chae Rin. Dia tersenyum sinis apabila melihat betapa gementarnya tangan Eun Hee tatkala mahu membuka sampul itu.

          “ Betul tak apa yang aku cakap?” tanya Chae Rin sinis.

          Hampir pitam Eun Hee apabila melihat beberapa keping gambar Ji Hoon yang hanya berseluar sahaja sedang tidur di atas katil sebuah hotel. Beberapa keping gambar lagi menunjukkan suaminya sedang memeluk Chae Rin yang hanya bergaun tidur. Matanya mula terasa panas. Gambar-gambar itu jatuh daripada pegangannya.

          “ Aku rasa dia tak pernah ceritakan apa sebenarnya yang terjadi, sehinggakan dia sampai ke Jeju ni? Jadi, dengan baik hatinya aku akan tolong ceritakan pada kau,” ucap Chae Rin lagi. Dia tersenyum megah.

          Mata Eun Hee singgah pada wajah penuh kemenangan Chae Rin. Air mata mula bergenang di tubir mata. Eun Hee mengetap bibir. Menghalang dirinya daripada mengalirkan air mata. Chae Rin ketawa sinis. Dia menggelengkan kepalanya.

          “ Kasihan betul aku dengan kau ni. Dahlah bisu, kena tipu hidup-hidup dengan lelaki yang kau cintai pula. Sebenarnya, kalau kau nak tahu, Ji Hoon tak pernah cintakan kau. Memang benar yang dia marahkan aku, tapi... cinta dia tetap pada aku. Dia menyesal sebab kahwin dengan kau, dia kata dia terburu-buru sebab terlalu marahkan aku. Tapi, kesudahannya... macam kau tengoklah. Dia tetap pilih aku,” kata Chae Rin penuh pendustaan.

          Dengan yakinnya dia bercerita perkara-perkara yang tidak benar. Hatinya semakin menggila tertawa gembira apabila melihat wajah isteri Ji Hoon sudah merah padam. Mata gadis itu juga merah namun masih tiada mutiara jernih yang mengalir keluar.

          Ternyata rancangannya berjalan dengan lancar. Ji Hoon terjerat dengan surat yang dihantar ke resort itu. Malah, seorang lelaki juga bersetuju untuk membantunya menjayakan rancangannya. Lelaki upahannya itulah yang menyerahkan kad kepada Ji Hoon malam semalam di kaunter pertanyaan Jeju Floral Hotel.

          Chae Rin tergelak kecil. Matanya sekali lagi menerawang ke sekeliling ruang tamu. Dia mengipas tubuhnya yang terasa panas. Pandangannya kembali pada wajah gadis di hadapannya.

          “ Jadi... sekarang ni atas kau nak buat keputusan apa. Sama ada kau nak terus memperbodohkan diri kau dengan cinta palsu Ji Hoon atau...” Chae Rin ketawa lagi. Kali ini lebih sinis. Dia mendekati Eun Hee. Mulutnya dibawa ke telinga gadis itu.

          “ ... kau lepaskan dia.”

          Bahu Eun Hee ditepuk lembut sebelum dia keluar daripada rumah itu. Eun Hee masih kaku di situ. Lututnya mula berasa lemah. Dia terduduk di situ. Sampul surat itu masih berada dalam genggaman tangannya yang sudah terketar-ketar.

          “ Eun Hee?”

          Perlahan-lahan Eun Hee mengangkat wajah. Dia terkedu apabila melihat Ji Hoon sedang merenung risau kepadanya. Dia langsung tidak menyedari bunyi enjin kereta Ji Hoon tadi. Air matanya mula gugur.

          “ Kenapa ni? Abang minta maaf pasal tadi, abang...”

          Mata Ji Hoon beralih daripada wajah sendu isterinya kepada sampul surat di tangan Eun Hee. Kepingan-kepingan gambar yang berselerak di atas lantai menarik perhatiannya. Ji Hoon kaku apabila melihat dengan jelas gambar-gambar itu. Matanya silih berganti antara wajah Eun Hee dengan gambar-gambar itu. 

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...