Ai no Kotoba

Colours make your life beautiful, melody makes your life rhythm and harmony makes your life a life - Hana

Semua karya dalam blog ini hak cipta terpelihara penulis. Anda tidak dibenarkan menciplak, me-copy, memplagiat atau with every means to copy it atau mengaku karya itu anda punya.
Semua karya tidak mempunyai kaitan dengan yang hidup mahupun yang sudah meninggal dunia.
Selamat membaca. Peace!

Watashi no Tomodachi :D

Entri Terbaru! Tengok Sini!

Wednesday, April 24, 2013

Endless Love 46




PERLAHAN-LAHAN Ji Hoon menolak pintu kafe Zachary. Lelaki itu sedang menyusun sedulang pastri yang masih panas di kaunter sambil dibantu salah seorang pekerjanya. Ji Hoon melambai seketika sebelum mendapatkan tempat duduknya. Zachary menyertai dia di ruang itu selepas kerjanya disiapkan.

          “ Kenapa nampak lebam bawah mata kau tu? Tak cukup tidur?” tanya Zachary. Perkara pertama yang tertumpu olehnya pada wajah Ji Hoon adalah lingkaran gelap di bawah mata Ji Hoon. Ji Hoon mengangguk sekilas.

          “ Tak boleh nak tidur,” ucap Ji Hoon terkuap-kuap. Dia menutup mulutnya. Matanya digenyeh untuk mengelakkan kantuk. Wajahnya sembap. Zachary tergelak perlahan. Dia bangun kembali daripada duduknya.

          “ Kau tunggu kat sini sekejap. Aku nak ke dapur,” kata Zachary. Ji Hoon hanya mengangguk. Dia menyembamkan muka ke meja kafe. Mata dipejamkan.

          Sememangnya dia letih lantaran kejadian yang menimpanya semalam namun sengaja dia menggagahkan dirinya untuk ke D’Armour Cafe. Dia mahu menceritakan hal semalam kepada Zachary. Mungkin lelaki itu boleh membantunya dalam hal ini sementelah Zachary jugalah orang yang membantunya saat dia ditimpa kemalangan tidak lama dahulu. Dia amat mempercayai sahabatnya itu.

          “ Nah, aku tahu yang kau belum sarapan lagi, kan?” Suara Zachary kembali menyapa pendengarannya. Dengan malas Ji Hoon mengangkat wajah. Zachary kembali dengan sepiring paf tuna bermayonis dengan secawan kopi panas. Ji Hoon tersenyum lemah. Dia terharu dengan sikap Zachary yang amat mengambil berat akan sahabatnya.

          “ Terima kasih, Zack,” ucapnya perlahan. Zachary tersenyum. Dulang diletakkan di atas meja.

          “ Sebelum kau beritahu aku apa-apa, sekarang ni aku nak kau makan dulu. Kau tak nak makan, aku akan halau kau keluar dari sini. Faham? Kau makanlah, ya? Aku ada kerja sikit,” beritahu Zachary berserta ugutan. Ji Hoon mengangguk. Dia melihat sahaja Zachary masuk ke dalam pejabat kecilnya di tepi kaunter.

          Paf tuna itu digigit sedikit. Matanya melirik pada potret Julie yang tergantung kemas pada dinding di belakang kaunter. Cita-cita Zachary untuk menunaikan impian Julie sudah tercapai. Buktinya, kafe ini sering menjadi tumpuan orang ramai. Ji Hoon tahu yang mendiang Julie mahu membuka sebuah kafe, namun hasrat mendiang terhalang kerana menghidap penyakit kronik. Pada Zachary sahaja Julie menyandarkan impiannya.

          Ji Hoon tersenyum apabila membayangkan kemesraan antara Zachary dan mendiang isterinya dahulu. Daripada apa yang pernah diceritakan oleh Zachary tidak lama dahulu, Ji Hoon tahu mereka merupakan pasangan yang bahagia. Kerana maut, Zachary terpisah dengan isterinya. Namun lelaki itu tetap hidup dengan memori indahnya bersama-sama Julie. Zachary turut tidak pernah terfikir untuk bercinta dan berkahwin sekali lagi.

          Ji Hoon menelan liur. Dia teringat akan Eun Hee. Bagaimanakah agaknya keadaan gadis itu selepas pertemuan terakhir mereka di halaman rumahnya? Adakah gadis itu sedang bersedih atau sedang bergembira dengan perpisahan mereka? Bagaimana jika Eun Hee meminta penceraian daripadanya? Sanggupkah dia melepaskan gadis itu pergi jauh daripadanya? Ji Hoon mula tidak sedap duduk apabila memikirkan Eun Hee akan bertemu dengan lelaki lain.

          “ Ji Hoon?”

           Lamunannya hancur berkecai. Ji Hoon mengangkat muka daripada piring paf itu. Dia merenung kosong pada Zachary yang kembali duduk di hadapannya. Berkerut wajah Zachary merenungnya.

          “ Sikit saja aku tengok kau makan. Dah, makan dulu. Kalau tak, aku yang akan sumbat paf tu dalam mulut kau,” kata Zachary sedikit marah apabila melihat hanya bahagian hujung paf itu sahaja yang dimakan oleh Ji Hoon. Ji Hoon hanya tersenyum. Dia kembali menyuap paf ke mulutnya.

          Sabar sahaja Zachary menanti Ji Hoon menghabiskan paf itu. Sesudah Ji Hoon meneguk kopi pekat yang dihidangkan, barulah dia mula bersuara.

          “ Kau nak beritahu aku apa?” soal Zachary. Ji Hoon menghela nafas.

          “ Pasal malam tadi. Aku hampir dilanggar lagi semalam,” cerita Ji Hoon. Zachary terkejut mendengarkan cerita itu. Matanya tepat merenung pada wajah cengkung Ji Hoon.

          “ Kau... hampir dilanggar?” tanyanya tidak percaya. Ji Hoon mengangguk lesu. Zachary pula mengeluh berat. Dia memegang kepalanya sebelah, seakan-akan sedang memikirkan sesuatu sebelum mula berbicara kembali. 

          “ Kau macam mana? Ada cedera tak?” tanya Zachary lagi. Pantas Ji Hoon menggeleng menafikan kata-kata Zachary. Lengan kirinya yang masih belum sembuh mula berdenyut sakit.

          “ Nampaknya, apa yang kita fikirkan tu benar. Memang ada orang yang nak bunuh kau.” Zachary merendahkan suaranya. Ji Hoon hanya mendiamkan diri. Dia kembali menghirup kopi.

          “ Jadi, apa yang kita nak buat? Aku buntu tak tahu nak buat apa sekarang,” Ji Hoon berterus terang. Dia benar-benar buntu dengan tindakan dia yang seterusnya. Ditambah lagi dengan masalahnya dengan Eun Hee terasa semakin menyesakkan mindanya.

          “ Aku tak boleh nak cakap sekarang. Macam nilah, kita bincang hal ni kat rumah kau. Boleh aku ke rumah kau malam ni? Perkara-perkara macam ni tak boleh bincang ikut suka hati saja,” kata Zachary. Ji Hoon mengangguk lagi. Cadangan Zachary dipersetujui.

          “ Baiklah. Aku pun tak ke mana-mana malam ni. Aku balik dululah, ada hal kejap. Jumpa malam ni.”

          Ji Hoon bangun menuju ke kaunter. Sesudah membayar bil, dia terus keluar dari kafe tersebut. Zachary hanya mengiringi pemergian lelaki itu dengan anak matanya.


RYU MIN bergegas ke pintu apabila mendengar ketukan. Eun Hee pula masih di bilik. Gadis itu sedang mengemas bilik Ryu Min. Tergesa-gesa Ryu Min membuka pintu. Dia tersenyum gembira apabila melihat Ji Hoon sedang berdiri tegak di hadapannya.

          “ Abang Ji Hoon!” seru Ryu Min gembira. Ji Hoon tersenyum lantas memeluk gadis kecil itu. Dia mengusap rambut ikal Ryu Min.

          “ Kak Eun Hee ada?” tanya Ji Hoon perlahan. Pantas Ryu Min mengangguk.

          “ Tolong panggilkan dia. Tapi, jangan beritahu abang yang datang,” pinta Ji Hoon. Ryu Min mengangguk lagi. Dia segera berlari mendapatkan Eun Hee manakala Ji Hoon pula bersandar pada tiang di kaki lima rumah bercirikan tradisioal Korea itu.

          “ Kak Eun Hee, ada orang datang,” kata Ryu Min lantang. Kerja Eun Hee terhenti di situ. Dia merenung hairan pada Ryu Min. Siapa yang datang?

          “ Cepatlah, kak! Nanti lama pula orang tu tunggu,” gesa Ryu Min. Dia segera mencapai kedua-dua tangan Eun Hee. Ditariknya Eun Hee keluar dari biliknya. Eun Hee terpaksa menurut sahaja. Kuat pegangan Ryu Min pada kedua-dua tangannya membuatkan dia tidak mampu untuk berbuat apa-apa.

          Eun Hee tergamam sebaik sahaja dia sampai di muka pintu. Matanya melihat pada seorang lelaki yang sedang bersandar pada sebatang tiang. Dia mengenali lelaki itu. Teramat mengenali lelaki itu. Perlahan-lahan dia turun ke anak tangga.

          “ Abang Ji Hoon yang nak jumpa kakak,” kata Ryu Min perlahan. Pegangannya dilepaskan. Dia menjauhkan diri daripada pasangan itu. Ryu Min masuk semula ke dalam rumah.

          Ji Hoon berpaling ke belakang. Teragak-agak dia mengukir senyuman hambar. Eun Hee masih memandangnya dengan pandangan yang tidak dapat ditafsirkan olehnya.

          “ Err... hai,” sapa Ji Hoon kekok. Dia merenung pada wajah Eun Hee. Adakah matanya tersilap atau memang benar yang Eun Hee kelihatan sedikit susut daripada kebiasaan? Adakah gadis ini sebenarnya terbeban dengan perpisahan mereka?

          “ Abang... datang nak jumpa Eun Hee,” ucap Ji Hoon sayu.

          Eun Hee termengkelan. Dia mengangguk sedikit.

          “ Dan, abang nak...” Ji Hoon membuka tali jam tangannya. Kilauan cincin yang tergantung kemas di tali jam itu membuatkan Eun Hee tidak keruan. Ji Hoon masih menyimpan cincin itu. Cincin perkahwinan mereka.

          “ ... serahkan ini,” kata Ji Hoon perlahan. Cincin itu dibawa ke tapak tangan Eun Hee. Eun Hee bungkam dengan situasi yang berlaku. Langsung tidak tahu apa yang patut dilakukannya sekarang.

          “ Abang harap... Eun Hee akan pakai kembali cincin tu suatu hari nanti. Cincin tu milik Eun Hee... dan...” Ji Hoon menarik nafas. Sukarnya untuk meluahkan kata-kata. Dia tersenyum pahit.

          “ ... abang tak kisah kalau Eun Hee nak buang cincin tu. Tapi, abang memang tak sampai hati nak simpan... cincin tu.”

          Selesai berkata-kata, Ji Hoon hanya mengangguk tidak keruan. Dia mengetap bibir. Sesekali matanya akan melirik pada wajah Eun Hee. Tanpa berkata apa-apa lagi, Ji Hoon terus berpaling ke belakang dan melangkah pergi.

          Eun Hee mengenggam kemas cincin platinum itu. Dia merenung kosong pada kelibat Ji Hoon yang semakin menjauh. Telapak tangannya dibuka. Matanya merenung sayu pada kilauan berlian putih yang terikat kemas pada cincin itu.

          “ Kak Eun Hee...” panggil Ryu Min teragak-agak. Dia bersembunyi di sebalik pintu sehinggalah Ji Hoon pergi. Dia telah mencuri dengar perbualan mereka berdua. Perlahan-lahan Eun Hee menoleh ke belakang. Dia mengukir senyuman dalam basah matanya.

          “ Abang Ji Hoon cuma nak kakak bahagia,” ucap Ryu Min perlahan. Sesudah itu dia terus masuk kembali ke dalam rumah. Eun Hee termengkelan. Hatinya mula berbelah bahagi.


SEGELAS susu segar dibawa ke kaunter. Ji Hoon duduk bersila di atas kaunter dapur. Dia membelek majalah keusahawanan yang baru sahaja dibelinya. Sesekali dia akan melirik pada jam pula. Menanti kedatangan Zachary seperti yang dijanjikan oleh mereka pagi tadi.

          Ji Hoon beralih ke sinki. Gelas dibasuh lalu ditiarap di situ. Dia baru sahaja membelek kembali majalah itu sebelum irama yang dimainkan jika loceng ditekan berbunyi. Dia segera meninggalkan dapur menuju ke ruang tamu.

          Selak pintu dibuka. Dia menjenguk ke luar. Wajahnya berkerut. Bukan Zachary yang datang, sebaliknya tetamu lain.

          “ Da Wei?”

          Da Wei sedang tercegat di hadapan muka pintu sambil tersenyum. Ji Hoon yang pada mulanya terkejut dengan kehadiran lelaki itu, mengangguk sedikit. Senyuman Da Wei berbalas. Daun pintu dikuak luas.

          “ Kenapa tak cakap yang kau nak datang?” tanya Ji Hoon hairan. Da Wei tersenyum lagi. Kedua-dua tangannya dimasukkan ke dalam jaket hitam yang dipakainya. Walaupun musim panas hampir menjelma, namun kesejukan tetap terasa ditambah pula dengan bayu laut yang sentiasa menderu dilewati ombak.

          “ Masuklah,” pelawa Ji Hoon. Da Wei terus menuruti langkah sepupunya masuk ke dalam rumah. Ji Hoon mempersilakan Da Wei duduk di ruang tamu. Sesudah menutup pintu kembali, dia mengambil tempat di sofa tunggal.

          “ Ada apa hal? Berkaitan dengan resort ke?” tanya Ji Hoon lagi. Walaupun mereka rapat sebagai sepupu, namun Da Wei jarang datang melawatnya di sini. Kali terakhir lelaki itu datang melawatnya pada saat dia baru keluar hospital kerana kemalangan yang menimpanya.

          “ Boleh katakan pasal resort jugalah. Err.. ada orang nak datang ke?” tanya Da Wei pula. Matanya melihat sekeliling rumah Ji Hoon. Pantas Ji Hoon menggeleng.

          “ Tak ada,” bohong Ji Hoon. Da Wei mengangguk lagi. Dia bangun lalu berjalan di sekitar ruang tamu. Ji Hoon pula masih di tempat duduknya. Dia merenung kehairanan ke arah sepupunya itu.

          “ Macam mana dengan resort? Okey?” tanya Ji Hoon. Sudah lama dia digantung kerja hanya kerana kes itu. Sampai sekarang dia tidak tahu akan perkembangan kes penggelapan wang syarikat itu. Masih tidak menunjukkan sebarang petunjuk. Pak Cik Nam Gil juga tidak dapat menolong. Lelaki itu sendiri buntu tatkala melakukan penyiasatan kes.

          “ Macam biasa. Tempahan makin meningkat sebab sekarang ni nak masuk musim panas. Ramai pelancong datang semata-mata untuk bercuti,” terang Da Wei. Ji Hoon mengangguk. Sekurang-kurangnya dia boleh mengharapkan Da Wei dan Hyun Min.

          “ Isteri kau mana? Aku dengar dia balik ke rumah bapa saudaranya. Kau ada masalah dengan dia?”

          Air muka Ji Hoon berubah. Teragak-agak dia mengangguk.

          “ Salah faham. Tapi kami dah berbaik, cuma dia kata nak tinggal lagi kat rumah bapa saudaranya tu.” Ji Hoon berbohong sekali lagi. Tidak senang hati dengan topik yang terkeluar daripada mulut Da Wei. 

          “Emm... kenapa dengan lengan kau tu?” tanya Da Wei ingin tahu. Mata hitamnya tertumpu pada balutan putih di lengan kiri Ji Hoon yang hanya mengenakan singlet hitam. Ji Hoon turut melirik pada lengan kirinya. Dia ketawa perlahan.

          “ Luka sikit, tak ada apa-apalah,” ucap Ji Hoon. Da Wei menyeringai.

          “ Bukan pasal kena langgar semalam?” tanya Da Wei perlahan.

          Ji Hoon terkedu. Matanya terbeliak merenung Da Wei yang sedang tersenyum sinis kepadanya.

          “ Ma.. macam mana kau...”

          Kata-kata Ji Hoon hanya di situ. Dia mulai faham. Dia sudah jelas dengan keadaan sebenar. Perlahan-lahan dia bangkit daripada duduknya. Tajam matanya merenung wajah Da Wei. Buku limanya dikepal erat.

          “ Kau yang nak bunuh aku, kan?” tanya Ji Hoon keras walau dia tidak dapat mempercayainya. Sepupunya sendiri yang menikamnya dari belakang? Da Wei?

          Da Wei ketawa sinis. “ Baguslah kalau kau dah tahu.”

          Sebelah tangannya dibawa keluar daripada poket jaket hitamnya. Muncung pistol dihala tepat kepada Ji Hoon. Jarinya diletakkan di laras pistol. Ji Hoon termengkelan gerun apabila melihat muncung pistol itu. Pada bila-bila masa sahaja muncung itu akan memuntahkan pelurunya. Matanya silih berganti melihat pada wajah Da Wei yang seakan mengejeknya dengan pistol hitam di tangan Da Wei. Dia menelan liur.  

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...