Ai no Kotoba

Colours make your life beautiful, melody makes your life rhythm and harmony makes your life a life - Hana

Semua karya dalam blog ini hak cipta terpelihara penulis. Anda tidak dibenarkan menciplak, me-copy, memplagiat atau with every means to copy it atau mengaku karya itu anda punya.
Semua karya tidak mempunyai kaitan dengan yang hidup mahupun yang sudah meninggal dunia.
Selamat membaca. Peace!

Watashi no Tomodachi :D

Entri Terbaru! Tengok Sini!

Sunday, August 28, 2011

Endless Love 32


CAHAYA matahari terasa mencucuk-cucuk matanya. Perlahan-lahan dia membuka kelopak mata yang terasa memberat. Ji Hoon menggelengkan kepalanya perlahan. Terasa sakit apabila gerakan berlaku. Siling putih menjamah pandangannya. Dia mula terkebil-kebil.

          “ Kau dah sedar? Baguslah.”

          Suara itu amat dikenalinya. Ji Hoon cuba bangun tetapi dia tidak berdaya. Rasa sakit menyerang ke segenap urat sarafnya. Dia dibantu untuk duduk menyandar pada kepala katil. Ji Hoon merenung pada wajah yang menolongnya itu.

          “ Zack?”

          Zachary tersenyum lantas mengangguk. Lelaki itu menuang segelas air sebelum menghulurkan gelas kepada Ji Hoon. Teragak-agak Ji Hoon menyambutnya.

          “ Apa yang dah jadi?” tanya Ji Hoon tanpa meminum air yang dihulurkan. Gelas itu kembali diletakkan di atas meja. Perhatiannya lebih tertumpu kepada Zachary di hadapannya.

          “ Kau kemalangan. Aku jumpa kau kat tengah jalan masa nak pergi pulangkan telefon bimbit kau yang tertinggal kat kafe tadi. Aku terus bawa kau ke hospital,” jelas Zachary. Ji Hoon terkedu.

          “ Hos... hospital?”

          Zachary mengangguk.

          Ji Hoon menggelengkan kepalanya perlahan. Kejadian tadi kembali menerpa mindanya. Masih jelas terasa sakit akibat pelanggaran tadi. Apa yang dia ingat, wajah Eun Hee jelas kelihatan di matanya sebelum pandangannya gelap secara tiba-tiba. Ji Hoon tergamam. Matanya terbeliak secara tiba-tiba.

          “ Eun Hee! Eun Hee! Dia... Macam mana dengan dia? Dia kat mana sekarang? Dia kata mana, Zack?” tanya Ji Hoon tergesa-gesa. Zachary termangu dengan perubahan mendadak Ji Hoon. Beberapa kali bahunya digoncang oleh Ji Hoon.

          “ Relaks, dia tak apa-apa. Aku dah bawa dia ke sini, tenang dulu,” pujuk Zachary. Ji Hoon mengeluh. Kepalanya terasa sakit. Dia merenung wajah gusar Zachary.

           “ Doktor kata apa?” tanya Ji Hoon lemah.

          Zachary mengeluh. Dia melontar pandang ke luar tingkap hospital. “ Doktor kata kepala kau mengalami pendarahan biasa. Nasib baik tak teruk, otak kau mengalami gegaran kecil dan tak ada darah beku. Kiranya, kau cuma cedera ringan. Dan... doktor syak ni kes langgar lari. Tapi, aku rasa bukan macam tu.”

          “ Apa maksud kau?” tanya Ji Hoon gelisah. Dia lebih tertumpu pada ayat terakhir Zachary sahaja. Dia langsung tidak mempedulikan apa kata doktor terhadap keadaan dirinya.

          Zachary kembali merenung wajah Ji Hoon. Lama matanya melekat di situ sebelum dia kembali mengeluh.

          “ Aku syak... perkara ni ada kaitan dengan orang yang nak singkirkan kau daripada syarikat kau tu.”

          Ji Hoon termengkelan. Dia tersandar pada kepala katil. Kedua-dua tangannya dikepal kuat.

          “ Maksud kau... ada orang nak bunuh aku?”

          Zachary mengangguk lagi. Memang berat untuk menerimanya tetapi itulah kenyataannya. Zachary tidak dapat menolak kemungkinan bahawa nyawa Ji Hoon dalam bahaya sekarang. Mungkin benar ada orang yang mahu membunuhnya dan mungkin juga telahannya silap. Zachary hanya mampu memberi pendapat sahaja.

          “ Kau tak beritahu Eun Hee, kan?” tanya Ji Hoon lagi. Ada pengharapan dalam nadanya.

          Pantas Zachary menggeleng. “ Aku tahu kau tak nak aku susahkan hati dia dengan berita ni. Aku tak beritahu dia apa-apa pun. Aku cuma cakap kau tak akan apa-apa. Aku rasa, kalau aku beritahu dia yang ada orang nak bunuh kau dah tentu dia makin risau sekarang. Aku tak nak rosakkan lagi keadaan. Kau pun baru baik dengan dia macam dulu. Aku tak nak hubungan kau dengan dia jadi macam mula-mula kau kena tuduh tu. Kesian Eun Hee, aku takut dia fikir kau tak percayakan dia. Jadi, apa-apa hal pun, kau yang kena beritahu sendiri. Keputusan kat tangan kau.”

          Ji Hoon hanya mampu mengangguk. Sejenak kemudian kedengaran pintu wad dibuka. Dua pasang mata beralih pada muka pintu. Eun Hee muncul dengan Ryu Min di sisinya. Jelas tergambar kerisauan di sepasang matanya. Ryu Min pula berlari mendapatkan Ji Hoon di katil.

           “ Aku yang bawa Ryu Min tadi, temankan Eun Hee. Emm... kami pun dah lama kat sini, aku dengan Ryu Min balik dulu ya? Tak nak ganggu masa rehat kau,” seloroh Zachary. Ji Hoon hanya tersenyum hambar.

          “ Kau nak hantar Ryu Min balik? Pak Cik Dam Shik ada kat rumah tak?”

          “ Dia ada. Masa aku pergi ambil Ryu Min tadi dia baru balik dari tempat kerja. Dia kata nak datang melawat kau tapi aku kata tak payah. Kesian tengok dia baru balik kerja.”

          Ji Hoon mengangguk sahaja. Kepala Ryu Min diusap perlahan.

          “ Terima kasih. Kalau kau tak jumpa aku tadi, tak tahulah apa yang jadi,” ucap Ji Hoon. Zachary gelak kecil.

          “ Patutnya kau berterima kasih kat telefon bimbit kau tu. Kalau kau tak tertinggal dan aku tak pergi hantar balik, aku takkan jumpa kau. Apa pun, jaga diri kau tu baik-baik. Ingat tu,” kata Zachary. Bahu Ji Hoon ditepuk berulang kali. Ji Hoon tersengih.

          “ Yalah, kau pun hati-hati bawa kereta tu.”

          Zachary mengangguk sahaja. Ryu Min memeluk Ji Hoon sebelum dia keluar bersama Zachary.

          “ Abang Ji Hoon cepat sihat, ya? Nanti boleh main dengan Ryu Min lagi,” ucap anak kecil itu. Tergelak Ji Hoon mendengarkan kata-kata Ryu Min. Sengaja dia mengusap kuat kepala Ryu Min. Sudahnya tangan dia ditolak. Ryu Min membetulkan rambutnya yang kusut.

          “ Yalah, bila abang dah sihat kita main sama-sama, janji?”

          “ Janji!”

          Ryu Min berlari mendapatkan Eun Hee pula. Pipi gadis itu dicium sebelum dia mendapatkan Zachary di muka pintu. Dia melambai kepada Ji Hoon dan Eun Hee sebelum keluar. Zachary tersenyum lagi.

          “ Aku akan datang lagi esok. Aku lupa nak beritahu tadi, doktor dah benarkan kau keluar esok. Aku akan datang jemput kau, okey? Dan, kau jangan nak mengelak pula masa doktor nak bagi makan ubat. Doktor bagi ubat sebab nak kau tu sembuh cepat, kalau kau mengelak lambat lagilah nak sembuhnya,” kata Zachary. Sempat lagi dia membebel kepada Ji Hoon. Ji Hoon ketawa lantas menggelengkan kepalanya.

          “ Yalah.”

          Zachary keluar lantas menutup pintu perlahan. Suasana sepi sejenak di dalam wad. Eun Hee membuka termos kecil yang dibawanya. Mangkuk bubur dikeluarkan bersama. Isi termos itu dimasukkan ke dalam mangkuk. Ji Hoon hanya melihat sahaja perilaku isterinya itu. Dia tahu Eun Hee sedang susah hati sekarang. Tangan Eun Hee kelihatan terketar-ketar tatkala mahu mengambil bubur daripada termos itu.

          Tangan Ji Hoon segera mencapai tangan isterinya apabila melihat muka Eun Hee sudah berkerut lantaran terkena tumpahan bubur yang panas pada tangannya. Eun Hee tergamam. Ji Hoon mengisyaratkan isterinya agar duduk di birai katil. Eun Hee hanya menurut sahaja. Dia menundukkan wajah daripada renungan Ji Hoon.

          “ Eun Hee tak apa-apa, kan?” tanya Ji Hoon perlahan.

          Eun Hee tersentak. Dia menggeleng perlahan. Air mata sudah bergenang di tubir matanya. Tiada siapa yang tahu bagaimana dia terasa hampir putus nafas di saat Zachary memaklumkan Ji Hoon dilanggar lari. Tika itu pelbagai bayangan buruk mula difikirkannya. Dia seakan-akan hanya akan dapat melihat jasad kaku suaminya sahaja. Eun Hee tidak dapat menangkis bayangan buruk itu walaupun dia sudah mencubanya. Dia benar-benar takut akan kehilangan Ji Hoon. Dia takut akan kehilangan satu-satunya lelaki yang menyayangi dia setulus hati.

          “ Eun Hee?”

          Air mata Eun Hee gugur juga. Betapa gembiranya dia kerana masih dapat mendengar suara itu menyeru namanya. Eun Hee mengetap bibir, cuba menghalang esakannya daripada kedengaran. Terkedu Ji Hoon melihatkan mutiara jernih itu mengalir. Dia mengeluh. Eun Hee dibawa erat ke pelukannya.

          “ Abang tak apa-apalah. Jangan bimbang, ya?” pujuk Ji Hoon.

          Eun Hee hanya mampu mengangguk sahaja. Baru sahaja semalam mereka bergembira semasa Ji Hoon mengadakan kejutan untuknya di tepi pantai itu. Eun Hee langsung tidak menjangka suaminya akan ditimpa kemalangan sedemikian rupa pada keesokkan harinya.

          “ Eun Hee jangan takut, abang dah okey. Doktor pun kata abang boleh keluar hospital esok. Lepas tu, kita boleh pergi jalan-jalan, kita boleh pergi berkelah sama-sama, kalau Eun Hee nak minta abang tolong kemas rumah pun boleh? Janganlah buat muka macam abang ni dah nazak? Takkanlah Eun Hee nak abang mati cepat, kan?” Ji Hoon senyum kecil. Sempat lagi dia berlawak. Matanya jatuh pada kolam mata Eun Hee. Eun Hee mengangguk perlahan.

          Air matanya dikesat. Dia cuba mengukir senyum. Kepalanya diusap lembut oleh Ji Hoon. Ji Hoon gelak kecil.

          Kata-kata Zachary tadi kembali terngiang-ngiang di telinganya. Dia bimbang jika kenyataan bahawa ada orang yang ingin membunuhnya itu benar. Dia hanyalah manusia biasa yang takut akan kematian. Bagaimana jika selepas ini dia harus menghabiskan masanya dengan mengelak daripada takdir bahawa ada seseorang di luar sana ingin membunuhnya?

          Lemah matanya bertentangan dengan sepasang mata isterinya. Dia tidak akan sesekali memberitahu Eun Hee apa yang telah Zachary katakan kepadanya. Membuat Eun Hee risau akan dirinya merupakan perkara terakhir yang akan dia lakukan. Ji Hoon mengeluh berat. Keadaan sudah semakin kacau sekarang.


“ APA? Tuan muda kemalangan?”

          “ Pak cik! Jangan bising sangat! Saya tak nak mak saya tahu!” desis Ji Hoon cemas.

          Serta merta Pak Cik Nam Gil menutup mulut. Perlahan-lahan dia menoleh ke belakang, menembusi cermin biliknya. Matanya lekat seketika pada pintu bilik Presiden Park. Wanita itu sedang tekun berkerja. Pak Cik Nam Gil mengurut dada. Boleh kecoh jadinya jikalau wanita itu tiba-tiba sahaja menerjah masuk tatkala dia sedang berbicara dengan anak majikannya itu dan mendengar setiap butir perkataannya tadi.

          “ Presiden Park ada di biliknya. Jadi, apa sebenarnya yang jadi?” tanya Pak Cik Nam Gil. Kali ini suaranya direndahkan sedikit.  Dia menuju ke pintu dengan telefon bimbit masih melekat di telinganya. Sebelah tangannya yang bebas menjatuhkan pembidai pintu, mengelakkan ada orang luar yang dapat melihat dirinya. Sejurus itu, lelaki tua itu beralih ke tingkap.

          “ Apa yang dah jadi sebenarnya?” Pak Cik Nam Gil mengulangi pertanyaannya. Kedengaran keluhan Ji Hoon di hujung talian.

          “ Sebenarnya...”

          Segala-galanya diceritakan kepada lelaki tua itu. Agak bungkam Pak Cik Nam Gil mendengarnya. Dia meraup wajah. Hatinya mula gelisah.

          “ Zachary kata mungkin itu cubaan nak bunuh tuan muda? Jadi, apa tuan muda nak buat sekarang? Tuan muda nak kalau pak cik beritahu Presiden Park? Atau... pak cik boleh ke sana untuk temankan tuan muda kalau tuan muda nak ke mana-mana? Pak cik...”

          “ Tak! Tak! Saya tak nak mak saya tahu. Saya cuma fikir... yang saya patut beritahu pak cik,” pintas Ji Hoon. Memberitahu ibunya mengenai perkara sedemikian rupa mungkin merupakan perkara yang paling ingin dia elakkan. Biarlah ibunya tidak mengetahui keadaan dirinya daripada dia membimbangkan ibunya.     

          “ Jadi... tuan nak...”

          “ Saya  akan jalani hidup saya macam biasa. Kalau benar apa yang Zack katakan tu, saya akan ikut permainannya. Mungkin dengan cara ni saja saya dapat tahu motif sebenar ‘dia’. Pak cik kan tahu, ‘dia’ dah banyak menyusahkan saya sekarang? Mula-mula menyebabkan saya dituduh menggelapkan wang syarikat, sekarang, ‘dia’ nak cuba bunuh saya pulak. Kalau dia nak, saya tak takut nak bersemuka dengan ‘dia’!” Ji Hoon memintas geram. Dia memicit-micit kepalanya yang mula berdenyut sakit.

          Ji Hoon benar-benar berharap dia dapat bersemuka dengan ‘dia’ secepat mungkin. Biarlah mereka segera bertemu empat mata daripada dia asyik memikirkan apakah helah ‘dia’ yang seterusnya. Jika ‘dia’ mahu bertarung dengan dia sekalipun, dia tidak akan gentar menyahut cabaran ‘dia’ Dan jika benar dia akan tewas juga di tangan ‘dia’, dia akan akur. Ji Hoon mengetap bibir. Matanya menyeringai memikirkan kemungkinan itu.

          “ Tuan... tolong... jangan lakukan apa-apa yang boleh membahayakan tuan. Tolonglah... pak cik benar-benar rayu. Tolong jangan sesekali cari ‘dia’, biar pak cik... biar pak cik yang uruskan,” kata Pak Cik Nam Gil tergesa-gesa.

          Dia dapat mengesan tekad dalam nada Ji Hoon tadi. Lelaki muda itu benar-benar memaksudkan kata-katanya. Pak Cik Nam Gil bimbang jika Ji Hoon akan pergi cuba mencari ‘dia’ yang terlalu ingin melihat kemusnahan Ji Hoon. Dia tidak sesuatu yang buruk terjadi pada anak majikannya itu.

          “ Saya tahu apa yang saya buat. Cuma satu saya minta daripada pak cik, jangan sesekali beritahu hal ni pada mak saya, faham?” kata Ji Hoon tegas.

          Pak Cik Nam Gil terdiam. Benar seperti yang difikirkannya, Ji Hoon mahu menyelesaikan hal ini secepat mungkin dan kemungkinan yang anak muda itu akan pergi mencari ‘dia’ tidak dapat dielakkan.

          “ Saya benar-benar harap pak cik dapat laksanakan hal ni. Tak ada satu patah perkataan pun akan keluar.”

          Pak Cik Nam Gil mengeluh. Dia hanya mampu menggumam. Sejenak, talian diputuskan. Pak Cik Nam Gil mengeluh lagi. Dia meraup wajah. Harapannya Ji Hoon tidak mengotakan kata-katanya untuk pergi mencari ‘dia’.       


DERINGAN telefon bimbit menganggu tumpuannya yang sedang leka menonton televisyen. Dengan agak malas Tae Hwan menyambutnya. Dia bangun daripada sofa dan beralih ke tingkap bilik hotel penginapannya.

          “ Helo?”

          “ Dia tak mati lagi.”

          Tae Hwan ketawa sinis. “ Aku fikir kau nak tengok dia mati depan kau?”

          Garau suara di hujung talian ketawa galak.

          “ Rancangan baru yang akan berjalan, lupakan rancangan asal aku. Kali ni, biar aku yang selesaikan dia. Aku rasa, mungkin rasa terkejut mengetahui siapa yang terlalu ingin melihat dia mati akan mengurangkan sikit rasa takut nak mati dia. Mungkin dia akan lebih aman di sana lepas tahu siapa dalang di sebalik semua ni.”

          “ Aku tak kisah. Asalkan, ganjarannya lumayan,” kata Tae Hwan lagi. Dia mula tamak akan wang yang disogok kepadanya setiap kali dia menyelesaikan kerja kotornya. Apatah lagi jumlahnya lumayan. Terlalu sukar bagi dia untuk menolaknya dalam keadaannya yang sentiasa memerlukan wang yang banyak bagi menampung kos hidupnya.

          “ Aku dah masukkan lagi wang dalam akaun kau. Kali ini, aku yang akan bereskan dia. Langgar lari tempoh hari cuma umpama kad jemputan pertemuan aku dengan dia. Tapi, aku nak kau laksanakan suatu kerja lagi. Kau jangan gunakan cara yang sama. Aku nak kau cederakan dia tapi ingat, jangan sampai dia mati. Aku yang akan bunuh kau dulu sebelum sempat kau sembunyikan diri lepas ni kalau dia mati dalam tangan kau, faham?” Lelaki itu mula bersuara tegas. Tae Hwan hanya menggumam.

          “ Jangan lakukannya lagi. Tunggu arahan aku dan laksanakannya. Jangan sesekali kau ganggu rancangan ni! Pertarungan sebenar baru nak bermula.”

          Tut!

          Tae Hwan memandang marah pada telefon bimbitnya. Kerusi yang berada berdekatan dengannya ditendang kuat. Dia menghempaskan dirinya di atas katil. Telefon bimbitnya digenggam kuat. Cuba melepaskan rasa amarah yang dipendam selama ini terhadap lelaki yang mengupahnya itu.

          Ada suatu rahsia yang disorokkan daripada lelaki itu mengenai Park Ji Hoon. Tae Hwan senyum sendirian. Dia sendiri terkejut apabila mendapat tahu bahawa Ji Hoon mempunyai kaitan dengan seseorang yang dikenalinya.

          Tae Hwan sendiri tiada hati untuk memberitahu rahsia itu. Apatah lagi melibatkan dirinya juga. Melibatkan identiti sebenar dirinya. Siapa dia dan dari mana dia berasal. Dan dia sendiri fikir yang dia tidak mahu rahsia identitinya terdedah. Baik sekarang mahu pun di masa hadapan.


HYUN MIN meletakkan telefon bimbitnya di atas meja. Dia meraup wajah kesal. Tubuhnya disandarkan pada dinding. Kolar bajunya diangkat tinggi. Tali lehernya direnggangkan. Hyun Min terduduk di atas lantai. Dia duduk memeluk lutut. Wajahnya dibenamkan ke lutut. Dia benar-benar kelihatan keletihan sekarang.

          “ Chae Rin...”

          Sudah hampir dua minggu lamanya dia tidak menemui gadis itu. Ketika Hyun Min pergi ke restoran gadis itu, pasti pemangku pengurus akan memaklumkan bahawa gadis itu tiada. Tidak pula Chae Rin meninggalkan pesanan di mana dia berada. Hampir sasau dia mencari gadis itu. Panggilannya buat Chae Rin juga tidak diangkat oleh gadis itu. Hyun Min tidak tahu kenapa Chae Rin berubah sikap. Gadis itu tiba-tiba sahaja menjauhkan diri daripadanya. Pastinya kerana perbalahan di antara mereka yang berlaku pada pertemuan mereka yang terakhir tidak lama dahulu.

          Hyun Min mengeluh berat. Dia mendongak memandang siling. Dia rindu akan Chae Rin. Tidak pernah selama dia hidup dia merindui seorang wanita sedemikian rupa. Inilah kali pertama.

          Dia bimbang jika Chae Rin akan memulakan rancangannya. Rancangan untuk memiliki Ji Hoon kembali. Walau Hyun Min tahu bahawa hati Ji Hoon tidak akan berpaling daripada isterinya tetapi dia masih bimbang. Dia takut akan muslihat Chae Rin. Gadis itu kelihatan bersungguh-sungguh untuk mendapatkan Ji Hoon kembali.

          Bukkk!!!

          Dinding konkrit itu ditumbuk sekuat hati. Darah yang mengalir tidak diendahkan. Rasanya tidak terlalu sakit berbanding dengan luka di hatinya ini. Hyun Min mengetap bibir. Dia meraup wajah. Hanya seorang sahaja yang boleh membantunya kini.

          Hyun Min bingkas bangun. Dia tahu apa yang perlu dilakukannya sekarang. Kedua-dua tangannya dikepal kuat.

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...