Ai no Kotoba

Colours make your life beautiful, melody makes your life rhythm and harmony makes your life a life - Hana

Semua karya dalam blog ini hak cipta terpelihara penulis. Anda tidak dibenarkan menciplak, me-copy, memplagiat atau with every means to copy it atau mengaku karya itu anda punya.
Semua karya tidak mempunyai kaitan dengan yang hidup mahupun yang sudah meninggal dunia.
Selamat membaca. Peace!

Watashi no Tomodachi :D

Entri Terbaru! Tengok Sini!

Wednesday, April 24, 2013

Endless Love 40



ZACHARY keluar dari dapur D’Armour Cafe bersama dulang yang berisi secawan kopi pekat dan sepiring kek keju di tangan. Langkahnya perlahan mendekati seorang lelaki yang daripada tadi sedang termenung di meja yang terletak di hujung kafe. Berhati-hati dia meletakkan dulang itu di atas meja. Kerusi ditarik lalu dia melabuhkan duduknya. Wajah muram lelaki itu direnung.

          “ Kau okey?” berhati-hati dan teratur dia bertanyakan soalan itu. Dia hanya mampu menghela nafas apabila sahabatnya itu hanya mendiamkan diri.

          Mata Ji Hoon merenung kosong ke arahnya. Lemah lelaki itu mengangguk. Pandangan matanya dilempar ke luar tingkap. Deru ombak menyapa pendengarannya. Sesaat matanya melihat pada suatu kawasan pantai yang menyimpan memori indah buatnya.

          “ Eun Hee kat mana sekarang ni?” tanya Zachary lagi.

          Tersentap hati Ji Hoon mendengarkan nama itu terpacul keluar daripada bibir Zachary. Serta merta wajahnya berubah. Dia segera menunduk. Terasa tubuhnya menggigil kuat. Bibirnya sengaja diketap kuat. Jemarinya pula dikepal sekuat hati.

          “ Ji Hoon, maaf. Aku...” Kata-kata Zachary untuk memohon kemaafan kerana menyebabkan perubahan air muka sahabatnya segera dipintas Ji Hoon.

           “ Rumah Pak Cik Dam Shik,” ucap Ji Hoon lemah dan perlahan. Hampir sahaja tidak didengari Zachary. Zachary mengeluh perlahan.

          “ Kau dah jelaskan perkara yang sebenar kepada dia?”

          Ji Hoon mengangguk sekilas. Matanya melekat pula pada lantai kafe. Sesekali dia bermain-main dengan jari jemarinya. Sesekali dia meraup wajah. Keadaannya kelihatan tidak menentu.

          “ Apa reaksi Eun Hee?”

          Sekali lagi hatinya bagaikan direntap. Sedaya upaya cuba dikawal air mukanya daripada berubah. Dia mula menyepi. Soalan Zachary seakan-akan menusuk hatinya dengan sesuatu yang dia tidak ketahui. Hatinya luka dan masa untuk meyembuhkannya tidak ada dalam perkiraannya. Untuk bernafas pun terasa menyesakkan dada.

          “ Dia... tak bagi reaksi apa-apa. Tapi, aku tahu yang dia tak percayakan aku...” jelas Ji Hoon. Jelas nada terluka dalam setiap bait kata-katanya. Matanya juga dapat menzahirkan duka yang dirasainya sekarang.

          “ Mana kau tahu dia tak percayakan kau? Dia langsung tak bagi reaksi atas apa yang dah jadi,” kata Zachary pantas. Tajam matanya pada wajah Ji Hoon.

          Ji Hoon tersenyum pahit. Dia mengangkat matanya membalas renungan Zachary. Dia cuba ketawa, namun tawanya kedengaran hambar sahaja.

          “ Kau rasa apa kalau kau dah jelaskan perkara yang sebenar tapi isteri kau lari ke rumah orang lain?”

          Zachary mengeluh lagi. Kasihan benar dia melihat Ji Hoon kini. Lelaki itu benar-benar kelihatan tidak bermaya. Matanya juga kuyu. Tidak seperti hari-hari biasa, lelaki itu biasanya kelihatan gembira sentiasa. Tetapi, kini Ji Hoon kelihatan seperti seseorang yang berpenyakit kronik yang menunggu maut datang menjemput.

          “ Mungkin dia terkejut lagi? Sebab tu dia nak ke rumah Pak Cik Dam Shik, cuba cari ketenangan,” pujuk Zachary. Dia cuba bersikap rasional. Tiada gunanya jika dia memarahi Ji Hoon atas rasa putus asanya. Ji Hoon masih lagi bingung dengan apa yang telah terjadi.

          Ji Hoon hanya mampu menggeleng. Dia meraup wajahnya yang kelihatan kusut.

          “ Aku tak tahu nak kata apa. Aku... langsung tak menyangka yang Chae Rin sanggup bertindak sejauh ni. Aku fikir... lepas aku jelaskan semuanya pada dia... dia akan baik-baik saja... Aku langsung tak menyangka yang dia dalang segalanya...”

          “ Dia yang umpan kau dengan surat tu, kan?”

          Ji Hoon mengangguk lagi. Dia tiada hati untuk berbicara panjang lebar mengenai perkara ini. Rasa sakit hatinya pada Chae Rin semakin menjadi-jadi. Gadis itulah yang menjadi dalang dalam perselisihan faham antaranya dengan Eun Hee. Jika tidak berfikir dengan waras akalnya, sudah lama gadis itu dibunuh lantaran menebus sakit hatinya terhadap gadis itu.

          Selepas kejadian tengah hari tadi, Eun Hee terus kembali ke rumah Pak Cik Dam Shik. Sudah beberapa kali dia merayu, memberitahu bahawa apa yang dilihat oleh Eun Hee pada gambar itu hanya fitnah, namun Eun Hee tetap tidak kembali kepadanya. Ji Hoon hanya mampu berserah pada Eun Hee sahaja. Ryu Min yang turut membantunya memujuk Eun Hee juga tidak berjaya. Akhirnya, Ji Hoon mengalah dengan keputusan Eun Hee untuk tinggal di rumah Pak Cik Dam Shik.

          “ Kau nak aku cakap dengan dia?” Lembut Zachary menawarkan bantuan namun Ji Hoon hanya menggeleng. Dia tersenyum pahit sekali lagi.

          “ Aku terharu sebab kau sudi tolong aku tapi... biarlah aku yang selesaikan semua ni sendiri. Lagipun, ni masalah rumah tangga aku,” jelas Ji Hoon. Pelawaan Zachary ditolak baik. Dia tidak mahu melibatkan sesiapa dalam masalah seperti ini. Biarlah dia dan Eun Hee yang menyelesaikannya sendiri.

          Zachary mengangguk. Dia tidak mahu memaksa.

          “ Kau buatlah apa yang terbaik untuk kau. Aku percaya yang Eun Hee hanya terkejut disebabkan perkara tadi. Dia akan kembali pada kau, percayalah,” tutur Zachary cuba menaikkan semangat. Ji Hoon mengangguk lagi.

          “ Terima kasih, Zack...”

          Zachary mengukir senyum. Dia hanya mampu berharap agar Ji Hoon akan cekal dalam menghadapi dugaannya. Sejak kebelakangan ini, kerap benar lelaki itu diduga dengan dugaan yang besar. Ji Hoon termenung lagi.


HYUN MIN terdorong ke tepi bahana dilanggar seseorang. Pantas dia menoleh ke belakang. Dia mengecilkan mata. Sepertinya dia mengenali lelaki yang mengenakan sut sukan hitam yang berjalan membelakanginya itu. Serta merta Hyun Min menepuk dahi.

          “ Ji Hoon?” serunya lantang.

          Langkah lelaki yang bersut sukan itu terhenti. Perlahan-lahan lelaki itu menoleh. Wajah Ji Hoon jelas kebingungan melihat kehadiran Hyun Min. Hyun Min tersenyum gembira. Dia segera mendapatkan lelaki itu.

          “ Kau buat apa kat sini? Seorang diri pula tu,” ramah Hyun Min menyapa. Ji Hoon tersenyum hambar.

          “ Jalan-jalan, kau?”

          Hyun Min mengangguk. “ Samalah. Mana Eun Hee? Bukan ke kau tak boleh berenggang langsung dengan dia?”

          Sepi. Ji Hoon hanya menunduk. Dia menguis kerikil kecil dengan kasut sukan yang dipakainya. Kedua-dua tangannya dimasukkan ke dalam poket sweater.

          “ Ji Hoon, kenapa dengan kau?” tanya Hyun Min hairan dengan perubahan mendadak wajah Ji Hoon. Langsung tidak kelihatan ceria.

          Pantas Ji Hoon menggeleng. “ Tak ada apa-apa. Aku... aku nak balik cepat.  Selamat tinggal.”

          Laju langkah Ji Hoon meninggalkan Hyun Min di belakang. Tergamam Hyun Min dengan tindakan Ji Hoon. Berkerut mukanya melihat lelaki itu menapak pergi daripadanya.

          Hyun Min mengeluh berat. Tidak mengerti akan perubahan sikap Ji Hoon yang nampak murung, tidak ceria seperti kebiasaannya. Lelaki itu juga kelihatan cuba mengelak apabila ditanyakan perihal isterinya sedangkan jika membicarakan pasal Eun Hee, Ji Hoon pasti akan tertawa bahagia. Adakah dia mempunyai masalah dengan Eun Hee? Hyun Min hanya mampu mengandaikan sedemikian sahaja.

          Hyun Min menggelengkan kepalanya bingung. Baru sahaja dia berpusing ke belakang untuk meneruskan perjalanannya sebelum dia menyedari kehadiran seseorang. Dia mengangkat wajah melihat pada lelaki itu.

          “ Boleh kita bercakap sekejap? Pasal Ji Hoon.”

          Lama mata Hyun Min melekat pada wajah lelaki yang kelihatannya berbangsa Eropah itu sebelum dia mengangguk. Dia mengikut langkah lelaki itu ke bangku yang sudah tersedia di taman itu yang berdekatan. Mereka berdua melabuhkan duduk.


SUDAH lama Eun Hee duduk berteleku di tepi almari di dalam biliknya di rumah Pak Cik Dam Shik. Saat ditanyakan oleh bapa saudaranya kenapa dia mahu berpindah ke sini, Eun Hee hanya tersenyum hambar. Dia masih belum bersedia untuk menceritakan masalahnya. Apatah lagi itu merupakan masalah peribadinya, masalah rumah tangganya dengan Ji Hoon. Eun Hee amat berterima kasih apabila Pak Cik Dam Shik tidak memaksa dia untuk meluahkan semuanya.

          “ Kak Eun Hee?”

          Eun Hee mengangkat wajah lalu melihat pada muka pintu. Ryu Min sedang menjenguk dari situ. Dia tersenyum apabila Ryu Min mendapatkannya.

          “ Kak Eun Hee tak apa-apa?”

          Eun Hee mengangguk. Terasa pahit baginya untuk terus tersenyum. Duka yang melanda tidak dapat disembunyikan lagi. Air matanya mula berlinangan.

          “ Kak Eun Hee? Kak Eun Hee tak apa-apa, kan? Kan?” cemas suara Ryu Min melihatkan kakak sepupunya mula menangis. Dia memeluk gadis itu.

          “ Kak Eun Hee jangan sedih... jangan marah Abang Ji Hoon. Ryu Min tahu yang Abang Ji Hoon tak jahat... tentu ada orang yang dengki dengan Abang Ji Hoon... sebab tu jadi macam ni,” pujuk Ryu Min. Eun Hee hanya menyepi. Dia hanya membiarkan air matanya yang berbicara.

          Apa yang berlaku masih jelas dalam ingatannya. Suara Chae Rin yang dengan angkuh bercerita mengenai hubungannya dengan Ji Hoon tadi juga masih kuat terngiang-ngiang di telinganya yang saling meningkah dengan kata-kata rayuan Ji Hoon semasa dia mahu ke rumah Pak Cik Dam Shik.

          Eun Hee mengetap bibir. Dia masih tidak boleh melupakan riak yang terpancar pada wajah suaminya saat dia meminta kebenaran untuk tinggal di rumah Pak Cik Dam Shik buat sementara waktu. Ji Hoon hanya kaku melihat dia memeluk sebuah beg yang sederhana besar. Ji Hoon kelihatan sangat terluka di saat dia mengatur langkah untuk meninggalkan banglo itu. Dan... lelaki itu tidak mampu untuk berkata-kata untuk menghalangnya pergi. Dia boleh melihat dengan jelas getar di bibir lelaki saat itu melihatnya pergi.

          Dia keliru dengan apa yang hatinya mahukan. Dia percayakan Ji Hoon, namun dia tidak dapat menolak kata-kata Chae Rin. Dia percayakan Ji Hoon dengan sepenuh hatinya tetapi dia begitu takut dalam mempertaruhkan kebahagiaan hidupnya sendiri.

          Eun Hee sudah cukup menderita dengan apa yang pernah dilaluinya dahulu dan dia tidak mahu kehilangan insan yang dicintainya sepenuh hati lagi. Dia sudah lama berduka dengan kehilangan ahli-ahli keluarganya dan dia tidak mahu kehilangan Ji Hoon lagi. Dia takut jika Ji Hoon akan meninggalkannya untuk pulang ke pangkuan Chae Rin. Dia takut untuk menerima kenyataan itu.

          Chae Rin mempunyai banyak kelebihan di matanya jika dibandingkan dengan dia. Gadis muda itu lahir dalam keluarga yang kaya raya, setaraf jika mahu digandingkan dengan Ji Hoon. Gadis itu juga sempurna sifatnya jika dibandingkan dengan dia yang naif dan masih tidak mampu melawan trauma bagi membolehkan dia bercakap semula. Gadis itu juga lebih lincah dan lebih anggun berbanding dengan dirinya.

          Eun Hee melepaskan diri daripada pelukan Ryu Min. Basah matanya dikesat perlahan. Dia berjalan ke tingkap biliknya yang terbuka luas. Apa agaknya yang sedang Ji Hoon lakukan kini? Sudah makan ke belum? Spontan, jemarinya mengusap cincin perkahwinan yang tidak pernah ditanggalkan di jari manisnya.

          Maaf, abang...


TERGESA-GESA Hyun Min keluar daripada keretanya. Hampir sahaja dia tersadung laluan pejalan kaki ketika melangkah ke atas. Tanpa berlengah lagi dia berlari menuju ke lif. Tingkat di mana menempatkan unit kondominium Chae Rin menjadi destinasinya. Bagai nak pecah ketika dia mengetuk pintu kediaman Chae Rin, langsung tidak terfikir untuk menekan loceng yang sememangnya tersedia di situ.

          “ Hyun Min... kenapa?” tanya Chae Rin kaget sebaik sahaja membuka pintu. Terkejut apabila melihat betapa merah padamnya muka Hyun Min merenung tajam ke arahnya.

          Tanpa memperdulikan pertanyaan Chae Rin, terus Hyun Min menolak gadis itu masuk ke dalam. Berkerut muka Chae Rin dengan perilaku kasar lelaki itu. Dia terundur beberapa langkah daripada lelaki itu lantaran tolakan itu.

          “ Kenapa dengan kau ni? Sakit tahu tak?” marah Chae Rin. Bahunya yang sakit kerana ditolak tadi diusap perlahan.

          “ Sakit kau, kau kira? Macam mana dengan sakit hati Ji Hoon, sakit hati Eun Hee, sakit hati aku? Macam mana? Pernah kau peduli perasaan orang lain? Pernah?”

         Lantang suara Hyun Min mendominasi seluruh unit kondominium dua tingkat itu. Chae Rin bungkam seketika dengan intonasi yang Hyun Min gunakan untuk berbicara dengannya. Tidak pernah lagi Hyun Min meninggikan suara sebegitu rupa kepadanya. Inilah pertama kali.

          “ Apa maksud kau ni? Aku tak fahamlah! Jangan tinggikan suara boleh tak?” marah Chae Rin lagi. Geram dengan Hyun Min yang tiba-tiba sahaja datang ke rumahnya dengan mengetuk pintu seakan-akan mahu memecahkan pintu itu. Apatah lagi Hyun Min baru sahaja meninggikan suara kepadanya. Bapa dan ibunya sendiri tidak pernah bercakap lantang sebegitu dengannya.

          “ Tak faham? Habis tu, apa yang kau dah buat dengan Ji Hoon? Dengan Eun Hee? Apa yang kau dah buat sampai mereka berpisah? Apa?” bentak Hyun Min bengang. Dia bercekak pinggang. Mahu sahaja dia menampar wajah wanita kesayangannya itu.

          Pucat wajah Chae Rin mendengarkan kata-kata itu. Tidak dapat difikir dek akal bagaimana Hyun Min mendapat tahu tentang rancangan jahatnya. Tidak mungkin Ji Hoon akan memberitahu Hyun Min mengenai perkara ini. Mereka bukannya kenal satu sama lain. Ji Hoon dan Hyun Min hanya mempunyai hubungan sebagai rakan kongsi sahaja. Tidak mungkin Ji Hoon boleh bersahabat baik dengan Hyun Min. Mengarut!

          “ Macam mana kau tahu?”

          Pandangan Chae Rin bertaut dengan renungan tajam Hyun Min. Renungan Hyun Min sudah cukup untuk menakutkannya, apatah lagi dengan jerkahan lelaki itu tadi. Dia kaget apabila menyedari bahawa lelaki itu mengetahui apa yang telah dia lakukan untuk memusnahkan hubungan Ji Hoon dengan Eun Hee. Dia menelan liur. Namun rasa takutnya itu tidak bermakna dia akan tunduk dengan kata-kata Hyun Min.

          “ Aku tak perlukan nasihat kau dalam menentukan apa yang baik dan buruk dalam hidup aku. Aku hargai kau sebagai kawan aku tapi aku takkan benarkan kau ganggu dalam apa yang aku rancangkan atau buat,” dingin Chae Rin meluahkan rasa tidak puas hatinya.

          “ Kau tak boleh buat macam tu! Kau sepatutnya fikirkan apa yang Ji Hoon rasa, apa yang Eun Hee rasa? Kau fikir Ji Hoon akan bahagia kalau kau buat macam ni?” marah Hyun Min. Amarahnya masih tidak dapat dibendung malah nadanya semakin meninggi memarahi Chae Rin.

          “ Kau tak ada hak dalam menentukan apa yang aku buat! Langsung tak ada! Aku percaya yang Ji Hoon akan kembali pada aku! Akan kembali cintakan aku! Kami akan bahagia sama-sama!” Chae Rin turut meninggikan intonasi suaranya.

          Dia tidak suka jika hidupnya diatur oleh orang lain. Ibu bapanya sendiri tidak pernah masuk campur dalam setiap tindakannya. Dia lebih suka mengarah daripada diarahkan oleh orang lain. Dia berhak dalam menentukan apa yang dia suka. Tiada sesiapa dibenarkan menghalang dia daripada melakukan apa yang dia inginkan. Hyun Min sekalipun tak boleh!

          “ Aku beri amaran pada kau...” nada Hyun Min bergetar. Jarinya ditunding pada wajah Chae Rin yang kelihatan meluat seakan-akan sengaja mencabar kemarahannya. “... jauhkan diri kau daripada Ji Hoon dan Eun Hee. Seperti mana kau, mereka berhak bahagia...”

          Chae Rin menepis tangan Hyun Min daripada menunding kepadanya. Dia tersenyum mengejek. Matanya menyeringai merenung Hyun Min.

          “ Kalau aku tak nak?” tanyanya sengaja menduga sejauh mana Hyun Min mahu menghalangnya.

          “ Aku akan pastikan kau menyesal dengan tindakan kau...”

          “ Aku dah beritahu kau! Jangan kacau hidup aku? Kau tak ada hak! Cuba kau beritahu aku kenapa kau berhak nak tentukan hidup aku! Cuba kau beritahu!!! Aku nak...”

          “ Sebab aku masih cintakan kau!”

          Bagaikan terkunci bibir Chae Rin saat Hyun Min selesai berkata-kata. Dia terpaku melihat wajah Hyun Min di hadapannya. Dia menggelengkan kepalanya, tidak percaya dengan kata-kata Hyun Min. Bibirnya bergetar tanpa diketahui sebabnya. Dia mula merasai sesuatu.

          “ Aku masih cintakan kau. Walau macam mana pun aku buat untuk lupakan kau, aku tak berjaya. Aku tak dapat mengelak daripada sentiasa berada di sisi kau. Aku tak dapat nafikan kata hati aku.”

         Tegas kata-kata Hyun Min menusuk hati gadis itu. Mata lelaki itu masih singgah pada wajah Chae Rin walau sepasang mata itu sudah mula kemerahan. Perlahan-lahan Hyun Min menunduk. Dia kelihatan mula tidak menentu.

          “ Kau... bohong...”

          Adakah lelaki ini yang pernah dikatakan oleh Ji Hoon kepadanya dahulu. Chae Rin masih ingat, Ji Hoon meminta dia menerima lelaki yang sudah sekian lama menanti dirinya. Adakah lelaki yang dimaksudkan oleh Ji Hoon itu ialah... Hyun Min?

          Suasana sepi lagi. Masing-masing tidak mampu untuk menutur kata. Hyun Min menghela nafas perlahan.

          “ Aku tak akan cari kau lagi. Aku akan lepaskan kau... cari sendiri kebahagiaan kau. Silap aku sebab tidak dapat melupakan kau walau kita dah berpisah. Maaf atas kesilapan aku. Aku...” Hyun Min tidak dapat menuturkan lagi kata-katanya. Setiap patah perkataan yang terluah dirasakan menikam tajam ke hatinya.

          “ ... pergi dulu.”

          Segera Hyun Min berpaling dan melangkah pergi. Langsung tidak memandang wajah Chae Rin yang mula kemerahan. Hayunan kakinya semakin laju. Dirasakan air mata lelakinya akan gugur jika dia berlama-lama di situ. Dengan berat hati dia mengucapkan selamat tinggal dalam hatinya. Semoga Chae Rin akan bahagia dengan pilihannya, itu sahaja yang mampu Hyun Min harapkan.  

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...