Ai no Kotoba

Colours make your life beautiful, melody makes your life rhythm and harmony makes your life a life - Hana

Semua karya dalam blog ini hak cipta terpelihara penulis. Anda tidak dibenarkan menciplak, me-copy, memplagiat atau with every means to copy it atau mengaku karya itu anda punya.
Semua karya tidak mempunyai kaitan dengan yang hidup mahupun yang sudah meninggal dunia.
Selamat membaca. Peace!

Watashi no Tomodachi :D

Entri Terbaru! Tengok Sini!

Showing posts with label Endless Love. Show all posts
Showing posts with label Endless Love. Show all posts

Wednesday, April 24, 2013

Endless Love 57 [END]




“ ABANG, tolong bawa ayam-ayam ni ke depan.”

          “ Ya!”

          Eun Hee ketawa kecil melihat telatah suaminya yang tergesa-gesa membawa bekas yang berisi ayam yang akan dibakar ke halaman rumah. Dia mengacau minuman di dalam jag. Dia berpaling ke belakang untuk mengambil gelas. Matanya melekat pada sebingkai gambar yang tergantung di dinding dapur. Dia menarik senyum.

          Dia dan Ji Hoon sedang tersenyum bahagia membelakangi pemandangan indah di The Blue Mountains. Suaminya mengotakan janjinya untuk membawa dia ke sana.

          “ Eun Hee, kenapa buat kerja berat-berat ni? Eun Hee kan tengah sarat tu,” tegur Ji Hoon yang baru sahaja memasuki dapur. Matanya terpaku melihat kecantikan isterinya yang mengenakan blaus putih yang dikhususkan untuk wanita hamil. Isterinya kelihatan lebih cantik daripada sebelumnya.

          “ Ada-ada sajalah abang ni. Kan lambat lagi nak bersalin?” Eun Hee merenung penuh kasih pada bayi yang sedang membesar dengan sihat di dalam rahimnya. Mengikut jangkaan doktor, dia akan melahirkan bayi itu dua minggu lagi. Dan, dalam tempoh itu dia masih lagi aktif ke sana ke sini.

          Ji Hoon menarik muncung. Dia menolak isterinya ke halaman. “ Tak boleh, kalau jadi apa-apa kan susah? Abang tak benarkan, Eun Hee duduk saja tengok abang buat kerja.”

          Eun Hee hanya menggeleng. Dia tersenyum pada Hyun Min dan Pak Cik Dam Shik yang sedang meletakkan arang ke tempat pembakaran. Ryu Min pula membantu Chae Rin menyusun gelas di atas meja.

          “ Kenapa ni?” tanya Chae Rin apabila melihat wajah masam Ji Hoon. Eun Hee tertawa kecil. Dia menoleh pada wajah suaminya.

          “ Dia larang saya dari buat kerja tapi saya tak nak. Itu yang buat muka merajuk tu,” cerita Eun Hee. Chae Rin turut ketawa.

          Tanpa menghiraukan perbualan mereka yang pastinya berlanjutan sehingga menyalahkan dirinya, Ji Hoon berlalu ke dapur. Dia kembali bersama-sama sedulang minuman. Sesudah meletakkan dulang itu ke atas meja, dia mendapatkan Hyun Min dan Pak Cik Dam Shik yang sedang membakar ayam dan sosej.

          “ Zack mana? Tak sampai-sampai lagi ni,” kata Ji Hoon gusar. Lelaki itu terlewat dari masa yang dijanjikannya. Jarang benar lelaki itu memungkiri masa yang ditetapkan.

          Hyun Min menggeleng tidak tahu. Perhatiannya masih tertumpu pada deretan ayam dan sosej yang sedang dibakarnya. “ Tak tahu. Mungkin dia ada hal.”

          Ji Hoon hanya mengangguk. Dia membantu Hyun Min meletakkan ayam-ayam yang sudah siap dibakar ke dalam pinggan. Kini mereka sedang mula membakar ikan pula. Bahang para itu terkena pada wajah mereka.

          Berkerut wajah mereka bertiga menghadap bara yang panas itu ketika tiba-tiba sahaja, seseorang menjerit cemas di belakangnya. Ji Hoon, Hyun Min dan Pak Cik Dam Shik sama-sama menoleh ke belakang. Ketiga-tiga mereka terperanjat.

          Eun Hee sedang terbongkok-bongkok. Gadis itu menekan-nekan perutnya. Chae Rin pula menggosok-gosok belakang gadis itu. Pantas Chae Rin berpaling pada suaminya dan Ji Hoon. Wajahnya berkerut cemas.

          “ Cepat! Saya rasa Eun Hee dah nak bersalin!” kata Chae Rin cemas. Kata-katanya mengejutkan mereka bertiga. Laju langkah masing-masing mendapatkan Eun Hee yang sedang mengerang kesakitan.

          “ Eun Hee... tahan ya, sayang? Sabar, ya?” ucap Ji Hoon cemas. Eun Hee hanya mengangguk. Dia terlalu sakit untuk mengatakan apa-apa saat ini. Chae Rin dan Ji Hoon membantunya untuk bangun. Terasa dia akan jatuh balik ke tanah. Lututnya terlalu lemah untuk menampung berat tubuhnya yang sedang menahan kesakitan.

          Ji Hoon berlari sambil mendukung Eun Hee ke keretanya. Eun Hee didudukkan di kerusi penumpang di sebelahnya. Kerusi itu direndahkan sedikit, membolehkan Eun Hee berada dalam keadaan berbaring. Yang lain-lain mengikutinya dari belakang. Ji Hoon menoleh pada mereka.

         “ Aku ke hospital dulu! Kalau ada apa-apa, aku akan telefon, ya?” kata Ji Hoon tergesa-gesa. Dia merenung cemas pada Hyun Min. Enjin kereta dihidupkan. Hyun Min mengangguk pantas.

          “ Jangan bimbang. Kami...”

          “ Apa bising-bising ni?”

          Baik Ji Hoon mahu pun yang lain-lain menoleh ke belakang. Zachary sedang memasuki halaman sambil tersenyum. Dia segera mendapatkan mereka yang berkumpul di kereta Ji Hoon.

          “ Maaf, aku lambat. Tadi...” kata-katanya mati di situ. Berkerut wajah Zachary melihat pada wajah cemas mereka.

          “ Apa yang...”

          “ Eun Hee dah nak bersalin! Aku pergi dulu,” potong Ji Hoon dan tanpa berkata apa-apa lagi, kereta dipecut meninggalkan kawasan rumahnya. Zachary terkedu. Dia berpaling pada mereka yang berada di belakangnya. Hyun Min tersenyum lalu menjungkit bahu.


MATANYA dibuka perlahan-lahan. Terasa sudah berhari-hari lamanya dia terlena sebelum dibangunkan. Dia mengiring ke kanan perlahan-lahan, mengelak rasa sakit pada bahagian bawah tubuhnya. Eun Hee tersenyum nipis pada suaminya yang bergegas mendapatkannya.

          “ Sayang dah bangun?” tegur Ji Hoon perlahan. Di bibirnya terukir suatu senyuman. Dahi isterinya dikucup lembut.

          Senyuman suaminya dibalas. Dia menggengam erat jemari Ji Hoon. “ Mana anak kita, abang?”

          Dahinya menerima kucupan lagi. Ji Hoon membantu dia bangun daripada pembaringannya. Sejurus itu, lelaki itu membawa sebuah kerusi beroda ke hadapan Eun Hee. Tubuh yang lemah itu didukung lalu diletakkan dengan penuh hati-hati ke kerusi beroda itu.

           “ Abang dah telefon mak dan Pak Cik Dam Shik. Mak akan terbang ke sini malam ni, mungkin dia sampai awal pagi esok. Pak Cik Dam Shik pula akan ke sini petang ni,” tutur Ji Hoon. Eun Hee mengangguk sahaja. Kerusi beroda itu ditolak menuju ke pintu.

          “ Kita tengok anak kita ke?” tanya Eun Hee hairan namun Ji Hoon hanya tersenyum. Kerusi ditolak keluar dari wad. Ji Hoon membawanya ke suatu bilik. Kaca yang lebar menggantikan bahagian dinding di luar. Eun Hee melihat ke dalam bilik itu menembusi kaca. Dia terpegun.

          “ Yang kat sana, dua-dua pakai lampin warna biru,” ucap Ji Hoon. Tangannya menunjuk pada arah yang sepatutnya. Eun Hee segera menoleh memandang wajah suaminya.

          “ Dua-dua? Kembar?”

          “ Ya, sayang. Dua-dua lelaki. Kita dah ada dua hero kat rumah kita sekarang,” jawab Ji Hoon penuh sabar. Eun Hee terpaku. Air matanya mula menitik.

          “ Kita akan jaga anak-anak kita dengan baik, jadi papa yang baik untuk mereka, jadi mama yang baik untuk mereka. Pastikan mereka sihat dan bahagia, ya sayang?” kata Ji Hoon perlahan. Matanya turut melekat pada kedua-dua bayi yang masih berwarna merah di dalam bungkusannya. Eun Hee mengangguk.

          Saat dia melihat pada bayi-bayi itu, dia merasakan hidupnya kini sudah lengkap. Dia sudah mempunyai seorang suami yang setia kepadanya dan sekarang, dia mempunyai anak-anak yang akan mengubah hidupnya menjadi seorang ibu yang baik. Walau ibu bapanya sudah tiada, Eun Hee sudah cukup bersyukur dengan apa yang dimilikinya kini.

          “ Eun Hee?” bisik Ji Hoon romantis. Kepala isterinya diusap penuh kasih sayang.

          “ Em?” Mata Eun Hee masih melekat pada kedua-dua bayinya. Dia tersenyum apabila melihat mereka berdua menguap dalam masa yang sama.

          “ Terima kasih untuk semuanya,” sambung Ji Hoon. Eun Hee menggeleng.

          “ Bukan...”

          “ Dah tu?”

          Eun Hee tersenyum. Sebelah tangan suaminya dielus perlahan. Matanya tertumpu pada kilauan sebentuk cincin yang tersarung di jari suaminya.

          “ Kita sama-sama berterima kasih, abang dah lupa?” ucap Eun Hee. Ji Hoon terdiam sejenak sebelum mengangguk.

          “ Abang tak lupa,” balas Ji Hoon.

          Sambil menggengam erat tangan masing-masing, mereka sama-sama merenung kembali pada kedua-dua bayi yang sedang tidur itu. Eun Hee tersenyum gembira. Bahagia yang sekian lama dicari sudah muncul dalam hidupnya.

          Warna warna ceria yang dahulunya menghilang begitu sahaja, akhirnya kembali dalam hidupnya. Dia tidak akan lengkap tanpa Ji Hoon, dan kini... tanpa anak-anaknya juga. Tangan Ji Hoon digenggam erat. Dia tidak akan melepaskan pegangan erat tangan lelaki itu lagi. Walau apa pun yang terjadi.  

Endless Love 56




JI HOON terpana. Matanya terpaku seketika pada cermin sisi kereta. Berkali-kali dia melihat pada cermin sisi itu. Adakah ini khayalannya sahaja atau memang dia melihat Eun Hee sedang berlari ke arahnya yang sedang memandu kereta?

          Kakinya menekan brek. Dia terdorong ke hadapan kerana berhenti secara mengejut. Ji Hoon segera berpaling ke belakang melepasi tempat duduk belakang yang tidak dipasang bumbung keretanya. Dia terkedu.

          “ Abang!!!”

          Pantas Ji Hoon melompat keluar daripada pintu kereta. Dia terpaku di sisi keretanya. Mata di balik kaca matanya hitamnya masih merenung tidak percaya pada Eun Hee yang sedang berlari mendapatkannya. Langkah gadis itu terhenti beberapa langkah di hadapan suaminya.

          “ To... long ja...ngan pergi! Eun Hee... tak nak a... bang pergi! Tolong!” esak Eun Hee. Air matanya mengalir membasahi pipi. Dia menggeleng perlahan.

          “ Ja... ngan pergi...”

          Tanpa mengucapkan apa-apa, Ji Hoon terus meluru ke depan lalu memeluk erat gadis itu. Eun Hee merangkul lehernya. Gadis itu tersedu-sedan. Ji Hoon tidak menghiraukan basah bahunya dengan air mata gadis itu. Dia cukup tidak percaya dengan apa yang berlaku. Mendengar gadis itu menuturkan kata-kata!

          “ Eun... Hee nak cakap yang... Eun Hee... tak... nak a... bang... pergi... Abang... de... ngar tak?” kata Eun Hee sayu. Cuba dikawal sebaik mungkin pertuturannya yang terasa janggal. Leher Ji Hoon dirangkul erat. Dia menangis lagi.

          “ Ya, sayang. Abang dengar, abang dengar. Abang takkan pergi, abang janji,” bisik Ji Hoon sayu. Kepala gadis itu diusap penuh kasih sayang.

          Ji Hoon seakan mengalami suatu keajaiban. Dalam putus asanya menanti Eun Hee, gadis itu kembali kepadanya dalam keadaan normal. Walaupun bunyinya janggal pada pendengaran Ji Hoon, namun dia amat menghargai kata-kata gadis itu. Dia tahu betapa sukarnya untuk gadis itu bertutur kembali seperti sedia kala selepas sudah lama berada dalam dunia bisunya.

          “ Eun Hee... nak cakap... yang... Eun Hee sa... yangkan a... bang,” ucap Eun Hee lagi dalam esakannya. Ji Hoon mengangguk lagi. Dia mengucup bahu gadis itu. Betapa dia bersyukur dengan apa yang telah terjadi kepadanya.

          “ Eun Hee... nak cakap yang... Eun Hee... cintakan abang...” Eun Hee sendu. Kali ini lebih erat pelukan Ji Hoon padanya. Eun Hee termengkelan. Wajahnya berubah merah. Kedua-dua tangan Ji Hoon hinggap di pipinya. Direnung lama wajah yang basah dengan tangisan itu.

          “ Kita balik rumah kita ya, sayang?” pinta Ji Hoon terlalu berharap. Sudah lama rumah itu sepi dengan bayangan Eun Hee. Dia mahu mengembalikan suasana bahagia rumah itu.

          “ Ta... pi... macam mana dengan... Seoul?” tanya Eun Hee terkejut. Dia gembira dengan pelawaan itu tetapi bagaimana dengan penerbangan suaminya ke Seoul? Bukankah lelaki itu harus pulang ke sana?

          Ji Hoon menggeleng tegas. Dia menarik tangan Eun Hee masuk ke dalam keretanya. Pintu kereta di bahagian Eun Hee ditutup sebelum dia meluru ke tempat duduk pemandu. Dia menoleh ke wajah bingung isterinya.

          “ Abang tak akan pulang ke Seoul tanpa Eun Hee. Kita akan ke Seoul sama-sama dan kita akan kembali ke sini. Abang akan tetap pegang jawatan abang di resort tu. Kita akan tinggal di sini,” jelas Ji Hoon. Eun Hee menarik senyum. Dia mengangguk sedikit. Air matanya dikesat perlahan oleh Ji Hoon.


EUN HEE terpaku sebaik sahaja kakinya dijejakkan ke dalam banglo putih itu. Dia terlalu rindukan rumah ini. Sudah lama rumah ini ditinggalkan olehnya. Suasana dalamnya tidak banyak berubah.

          “ Kita naik atas,” pelawa Ji Hoon. Bagasinya dibawa keluar daripada bonet kereta lalu dibawa ke ruang tamu. Eun Hee menurut sahaja. Kejap pegangan Ji Hoon pada jemarinya seakan tidak mahu dilepaskan. Mereka berlalu ke tingkat atas.

          “ Itu...”

          Mata Eun Hee melekat pada sebuah balang kaca yang terletak di atas meja kecil di sisi katil mereka. Ji Hoon mendapatkan balang kaca itu lalu ditunjukkan kepada Eun Hee. Penutup balang kaca itu dibuka. Ji Hoon tersenyum kecil.

          “ Abang yang simpan. Setiap kertas yang Eun Hee coretkan pada abang, abang akan ambil dan simpan dalam ni. Daripada kertas pertama yang abang dapat daripada Eun Hee sehingga kertas terakhir yang Eun Hee coretkan kata-kata. Setiap malam, abang akan buka dan baca kembali semua kertas ni. Sekurang-kurangnya, rindu abang akan terubat,” jelas Ji Hoon. Dia tertawa kecil namun wajah Eun Hee berubah muram.

          “ Kenapa, Eun Hee?” tanya Ji Hoon cemas. Bimbang jika dia ada mengatakan apa-apa yang mungkin melukakan hati gadis itu. Dia menarik nafas lega apabila melihat gadis itu menggeleng. Eun Hee tersenyum hambar.

          “ Maaf... Eun Hee memang bodoh... sebab...”

          Kata-katanya terhenti di situ. Dia melihat Ji Hoon menggeleng perlahan.

          “ Bukan salah Eun Hee. Eun Hee terlalu paranoid dengan apa yang menimpa ibu bapa Eun Hee dulu, kan? Abang tak salahkan Eun Hee, abang cukup bersyukur dengan apa yang jadi sekarang,” ucap Ji Hoon lembut.

          Eun Hee mengangguk perlahan. Dia menguntum senyum. Tangan Ji Hoon yang dipakaikan cincin perkahwinan mereka ditarik. Eun Hee mengucup cincin itu penuh syahdu. Dia mengangkat wajah, menunjukkan jari manisnya yang turut memakai cincin itu.

          “ Eun Hee tak akan tanggalkan cincin ni lagi, itu janji Eun Hee,” ucap Eun Hee lebih lancar daripada sebelumnya. Ji Hoon mengangguk berpuas hati. Dahi gadis itu dikucup lembut.


RYU MIN tersenyum melihat siapa yang datang ke rumahnya. Melonjak-lonjak dia memanggil bapanya keluar rumah. Tergesa-gesa Pak Cik Dam Shik meluru mendapatkan Ryu Min yang sedang terkinja-kinja. Dia merenung kehairanan kepada anak bongsunya itu.

          “ Kenapa? Siapa yang...”

          Pak Cik Dam Shik terpaku melihat Ji Hoon muncul bersama-sama Eun Hee yang merangkul erat lengan kanan lelaki itu. Lama matanya terpaku pada pasangan suami isteri itu. Ryu Min terpaksa menarik tangan bapanya dengan kuat untuk menyedarkan lelaki itu.

          “ Oh... ya! Ya! Kamu... berdua dah baik?” gugup Pak Cik Dam Shik bersuara. Ryu Min ketawa terkekeh-kekeh. Dia meluru mendapatkan Ji Hoon dan Eun Hee di hadapannya. Tawanya kian galak apabila Ji Hoon mendukung dirinya.

          “ Ya, pak cik,” jawab Ji Hoon sopan. Dia menoleh pada Eun Hee di sisi. Eun Hee kelihatan teragak-agak namun Ji Hoon mengangguk menyakinkan gadis itu. Eun Hee menarik nafas.

          “ Pak cik... Ryu Min...”

          Kali ini bukan Pak Cik Dam Shik sahaja yang kaku di tempatnya, Ryu Min juga begitu. Terlopong mulut Ryu Min melihat pada wajah Eun Hee. Pak Cik Dam Shik menggosok-gosok matanya seakan tidak percaya dengan apa yang dilihatnya. Telinganya pula ditarik kuat.

          “ Pak cik...” ucap Eun Hee gugup. Dia tersenyum cemas.

          Pak Cik Dam Shik terpaku lagi. Telinganya ditarik kuat sekali lagi. Benar, ini bukan khayalannya. Eun Hee benar-benar menuturkan kata-kata itu. Gadis itu...

          “ Kak Eun Hee dah boleh cakap balik! Kak Eun Hee dah boleh cakap balik!” sorak Ryu Min kuat di dukungan Ji Hoon. Ji Hoon dan Eun Hee sama-sama tertawa melihat pada telatah gadis itu. Terkocoh-kocoh Ryu Min minta diturunkan daripada dukungan. Gadis kecil itu memeluk Eun Hee pula.

          “ Tahniah, kak! Ryu Min betul-betul gembira untuk Kak Eun Hee. Mula-mula, Kak Eun Hee baik balik dengan Abang Ji Hoon, lepas tu Kak Eun Hee dah boleh cakap balik. Yay!” Ryu Min melompat gembira. Pak Cik Dam Shik turut menyertai tawa Eun Hee dan Ji Hoon.

          “ Eun Hee,” panggil Pak Cik Dam Shik. Wajah anak saudaranya itu direnung penuh kasih sayang.

          “ Pak cik gembira untuk kamu,” ucap lelaki itu. Eun Hee mengangguk gembira. Dia memeluk bapa saudaranya itu.

          “ Terima kasih, pak cik,” balas Eun Hee. Ryu Min dan Ji Hoon saling berbalas pandang. Kedua-dua tersenyum bahagia.


KESEMUA pakaiannya dimasukkan ke dalam beg pakaian. Dia akan berpindah balik ke rumah Ji Hoon selepas ini. Suaminya sedang berbual-bual dengan Pak Cik Dam Shik di luar. Ryu Min pula masih di sini membantunya berkemas.

          Eh?

          Eun Hee menjenguk ke bawah katil. Matanya menangkap sesuatu, seakan-akan pernah dilihatnya. Tangannya dijangkau ke bawah katil. Sebuah kotak sederhana besar berwarna hitam ditarik keluar. 

          Mata Eun Hee melekat pada kotak itu. Inilah kotak yang dia temui sehari sebelum perkahwinannya dengan Ji Hoon. Kotak itu ditemui ketika dia sedang membersihkan bilik di rumah itu. Dia masih ingat yang Pak Cik Dam Shik melarangnya membuka kotak itu.

          “ Kak Eun Hee jumpa kotak tu?” tegur Ryu Min seraya menghentikan kerjanya. Dia duduk di sisi Eun Hee. Matanya juga tertumpu pada kotak hitam itu.

          “ Kotak apa ni?” tanya Eun Hee hairan. Dia melihat senyuman Ryu Min terukir. Kotak itu bertukar tangan. Ryu Min membuka penutup kotak tersebut.

          “ Kotak ni...” Isi kotak itu didedahkan. Mata Eun Hee terpaku pada isi dalaman kotak itu. “ ... ayah letakkan gambar-gambar mak, barang-barang perhiasan mak. Ryu Min selalu nampak ayah buka kotak ni tengah-tengah malam. Ryu Min nak tengok, tapi ayah tak bagi, jadi Ryu Min tengok curi-curi. Tapi, dah lama Ryu Min tak nampak ayah buka kotak ni. Sejak Kak Eun Hee tinggal balik kat sini.”

          Beberapa keping foto Pak Cik Dam Shik bersama-sama mendiang isterinya berada dalam kotak itu. Terdapat juga sebilah sikat yang berukir cantik pada pemegangnya, rantai-rantai tangan dan keronsang yang cantik berada di dalamnya.

          Eun Hee mengukir senyum. Dalam diam, bapa saudaranya itu merindui mendiang isterinya. Sudah tentu dia tidak mahu menunjukkannya di hadapan Eun Hee dan Ryu Min. Lelaki itu menyimpan perasaan itu jauh dalam sudut hatinya.

          Semua orang... berhak mencintai dan dicintai. Begitu juga aku. Aku tak akan lepaskan lagi bahagia milik aku, tak akan...

          Eun Hee tersenyum lagi. Kotak itu kembali disimpan ke bawah katil.


PERLAHAN-LAHAN kaki Ji Hoon menginjak mendapatkan isterinya yang sedang duduk di balkoni. Dia tersenyum apabila melihat gadis itu menarik rapat blaus putih yang dipakai rapat ke tubuhnya. Tubuh isterinya dirangkul rapat dari belakang. Eun Hee tersentak dari lamunannya. Dia tersenyum apabila melihat Ji Hoon sedang menguntum senyum kepadanya.

          “ Eun Hee tengah tengok apa?” tanya Ji Hoon. Suaranya direndahkan.

          Eun Hee tersenyum. Matanya kembali pada langit malam. “ Abang...”

          Ji Hoon mengangkat sebelah keningnya, menanti gadis itu menyambung bicaranya.

          “ ... agak-agak, mama dan papa gembira tak tengok Eun Hee?” soal gadis itu polos. Ji Hoon tersenyum lalu tertawa kecil. Tubuh isterinya dibawa menghadapnya. Kedua-dua tangannya dilekatkan pada pipi Eun Hee.

          “ Dah tentu, sayang. Ibu bapa mana yang tak gembira tengok anak mereka sedang bahagia sekarang ni?” jawab Ji Hoon perlahan. Dahi isterinya dikucup hangat. Eun Hee tersenyum malu.

          “ Terima kasih, sebab sudi bersama Eun Hee selama ni. Walau pun...” Ji Hoon menggeleng perlahan, menghalang Eun Hee daripada meneruskan kata-katanya. Redup pandangannya menikam ke wajah gadis itu. Ji Hoon mengukir senyum.

          “ Bukan Eun Hee saja yang patut berterima kasih. Eun Hee berterima kasih pada abang sebab abang sudi menerima Eun Hee yang punya kekurangan saat perkahwinan kita dan abang tak pernah menyesal dengan pilihan abang. Dan...” Ji Hoon menarik nafas. Rambut isterinya yang jatuh menutupi mata dibawa ke telinga.

          “ ... abang patut berterima kasih dengan Eun Hee sebab Eun Hee dah bagi peluang pada abang untuk mencintai dan dicintai Eun Hee, walau masa tu Eun Hee masih ragu-ragu dengan abang.”

          Eun Hee tersenyum penuh mengerti. “ Kita sama-sama berterima kasih?”

          “ Dah tentu,” ucap Ji Hoon. Dia mengangguk penuh sabar. Mereka kembali berpaling menghadap ke balkoni. Sekali lagi tubuh gadis itu dipeluk erat.

          “ Eun Hee?” seru Ji Hoon perlahan.

          “ Em?”

          “ Masih ingat janji kita?” tanya Ji Hoon perlahan. Pantas Eun Hee berpaling ke belakang. Dahinya berkerut.

          “ Ingat tak janji abang untuk bawa Eun Hee ke Australia? Yang kita akan melawat Blue Mountains sama-sama?” jelas Ji Hoon.

          Lama Eun Hee memikirkannya, barulah dia mengangguk tersenyum. Dah lama janji itu termeterai, dan baru kini suaminya akan melaksanakan janji itu. Ji Hoon tertawa kecil. Kepala isterinya diusap perlahan.

          “ Lepas kita ke Seoul, abang nak bawa Eun Hee ke Australia dan Paris, kota cinta. Kita pergi sama-sama, ya?” bisik Ji Hoon rendah. Eun Hee tersenyum lalu mengangguk lagi.

     Mata mereka sama-sama singgah di dada langit, merenung bintang-bintang yang bertaburan. Eun Hee tersenyum penuh kesyukuran. Akhirnya dia mendapat kembali apa yang telah dia hilang dahulu. Dan dia gembira kerana dia masih belum terlewat untuk semua ini.     
     

Endless Love 55




“ ABANG... rindukan Eun Hee...” ucap Ji Hoon perlahan.

          Dia cuba menguatkan dirinya. Dia mahu berbincang tentang segala-galanya dengan Eun Hee. Meminta gadis itu mengerti. Merayu gadis itu kembali kepadanya.

          Eun Hee menggeleng perlahan. Dia menghela nafas kecewa. Jadi, inilah sebabnya Ryu Min beria-ria mengajak dia ke pantai? Supaya Ji Hoon dapat bertemu dengannya? Eun Hee mengetap bibir. Langkahnya diatur laju melepasi bahu Ji Hoon. Dia mahu segera kembali ke rumah. Dia tidak mahu mendengar walau sepatah pun perkataan daripada bibir lelaki itu. Dia takut dia akan tewas dengan perasaannya.

          “ Eun Hee!”

          Kakinya terus kaku untuk melangkah. Dia merenung kosong ke hadapannya. Perlahan-lahan Ji Hoon berpaling, merenung belakang gadis itu. Dia menarik nafas perlahan.

          “ Eun Hee memang nak berpisah dengan abang?” tanya Ji Hoon sayu. Suaranya mula serak. Tajam matanya merenung pada gadis itu.

          Eun Hee terpana mendengar pertanyaan itu. Dia menunduk. Teragak-agak dia mengangguk. Kedua-dua tangannya dikepal erat.

          “ Eun Hee sudah tak cintakan abang? Langsung tiada tempat untuk abang di hati Eun Hee?” tanya Ji Hoon lagi.

          Dia mahu menamatkan kemelut perasaannya pada malam ini. Dia akan melepaskan gadis itu pergi jika itu yang diinginkan oleh Eun Hee. Dia tidak mahu menyeksa Eun Hee dengan ikatan antara mereka. Namun jauh di sudut hatinya, dia amat mengharapkan kepulangan gadis itu. 

          Lambat-lambat Eun Hee mengangguk. Mutiara jernih berkilauan dalam kelam malam menuruni pipinya. Eun Hee mengetap bibir. Sedaya upaya dia menahan esakannya daripada kedengaran.

          “ Jangan bohong pada abang! Kalau tak, sudah tentu Eun Hee dah tanggalkan cincin tu, macam Eun Hee tanggalkan cincin tu depan abang dulu! Kalau tak dah tentu Eun Hee tak akan susah payah jaga abang di hospital masa abang koma dulu! Dah tentu Eun Hee tak beritahu Zachary yang Eun Hee masih cintakan abang!” keras Ji Hoon berkata-kata. Cuba disabarkan hatinya yang sedang bertarung hebat antara dua pilihan. Melepaskan gadis itu pergi atau mendapatkan Eun Hee kembali dengan apa jua cara.

          Sekali lagi Eun Hee kaget. Dia menarik nafasnya yang seakan tersekat. Dari mana Ji Hoon mengetahui perkara itu. Zachary... ya. Ji Hoon memberitahu Zachary yang menceritakan perihal itu kepadanya. Hanya lelaki itu sahaja yang mengetahui sebab kenapa dia mahu meninggalkan Ji Hoon. Nafasnya semakin sesak. Matanya dikatup rapat.

         “ Kenapa Eun Hee buat semua tu kalau betul Eun Hee dah tak cintakan abang? Mahu pergi dari hidup abang? Kenapa Eun Hee fikir yang abang akan sentiasa ditimpa bahaya jika bersama Eun Hee? Kenapa?” tanya Ji Hoon lagi. Nadanya mula merendah.

          Eun Hee tidak menunjukkan reaksi apa-apa. Hanya bahunya sahaja yang terhinggut menandakan dia sedang menahan sebak. Ji Hoon menghela nafas berat. Dia menggeleng perlahan.

          “ Kembali pada abang?” pintanya terlalu berharap. Basah matanya merenung gadis itu. 

          Eun Hee membuka kelopak matanya. Air mata masih tidak berhenti mengalir. Dia tersentuh mendengar nada yang digunakan oleh lelaki itu. Dia mahu bahagia, mahu kembali bersama Ji Hoon namun... silam yang cuba ditinggalkannya masih menghantui dirinya. Dia masih paranoid dengan apa yang berlaku. Kejadian yang menimpa Ji Hoon masih menghantuinya, sama seperti kejadian pembunuhan ibu bapanya dan kemalangan ngeri yang menimpa abangnya sehingga meragut nyawanya dahulu.

          Kepalanya digeleng perlahan. Eun Hee mula membuka langkah. Dia tidak mahu berlama-lama di situ. Berada di situ dengan lebih lama lagi bermakna hatinya akan mula lembut dan dia tidak mahu perkara itu terjadi. Tergesa-gesa Ryu Min mengikut langkah kakak sepupunya itu. Ryu Min berpaling seketika pada Ji Hoon yang seakan-akan sudah kaku di situ. Dia mengangguk geram. Pantas Ji Hoon tersedar. Lama matanya merenung pada Ryu Min sebelum kembali pada Eun Hee yang semakin menjauh daripadanya.

          “ Eun Hee!”

          Langkah Eun Hee mati lagi. Kakinya seolah-olah sudah digam di situ. Ryu Min turut berhenti melangkah di sisinya.

          “ Pagi esok... abang akan balik ke Seoul,” tutur Ji Hoon perlahan. Dia menarik nafas, mencari kekuatan dalam berkata-kata.

          “ Dan... mungkin akan ambil masa untuk abang... pulang ke sini. Abang akan uruskan perceraian kita... tentu itu yang Eun Hee tunggu kan?” Ji Hoon tersenyum pahit. Dia menelan liur. Mulutnya terasa berpasir.

          “ Cuma... satu abang minta... abang minta Eun Hee fikir masak-masak pasal hubungan kita. Kalau... Eun Hee nak kekalkan hubungan ni... datang ke rumah kita pagi esok, sebelum pukul 10. Kalau tidak...” Ji Hoon tersekat di situ. Tidak sanggup rasanya mahu meneruskan kata-kata yang ingin diluahkan.

          “ ... Eun Hee tak perlu datang...”

          Ji Hoon mengetap bibir. Dia menggeleng sebelum pantas meninggalkan tempat itu. Langkahnya diatur ke arah pantai. Eun Hee dan Ryu Min ditinggalkan di situ. Dia perlu mengubat hatinya yang kecewa.

          Di tempatnya, air mata Eun Hee sudah semakin lebat mengalir. Mulutnya ditekup rapat, tubuhnya menggigil tanpa kawalan. Cincin di jarinya dikucup perlahan.


KOSONG pandangan Ji Hoon pada seluruh kawasan rumahnya. Dia akan meninggalkan tempat ini, untuk suatu jangka masa yang lama. Dan, mungkin dia tidak akan kembali lagi ke sini, buat selama-lamanya.

          Matanya singgah pada satu persatu gambarnya bersama-sama Eun Hee yang berada di ruang tamu. Matanya mula memerah. Pandangannya melekat pula pada potret perkahwinannya. Di situ, senyuman bahagia menghiasi wajahnya dengan Eun Hee. Siapa sangka, senyuman itu tidak akan kelihatan lagi.

          Sesudah mengunci pintu utama, Ji Hoon keluar ke halaman rumah. Kesemua beg yang mengandungi pakaiannya sudah dimasukkan ke dalam bonet kereta. Hyun Min dan Zachary akan menemuinya di lapangan terbang sebelum dia berlepas. Mereka berkeras untuk membawa Ji Hoon ke lapangan terbang pada asalnya, namun Ji Hoon membantah. Dia mahu bersendirian sahaja tatkala meninggalkan rumahnya.

          “ Eun Hee...”

          Dia amat berharap gadis itu akan muncul, sekaligus meleraikan pergaduhan mereka. Dia berdiri di tengah halaman, menanti kemunculan gadis itu. Cuba diyakinkan hatinya bahawa gadis itu akan datang menemuinya. Menemuinya dengan senyuman manis. Namun keyakinannya mula goyah apabila melihat jam di tangannya. Jarum jam sudah menunjukkan tepat pada pukul 10 pagi.

          Tidak... dia akan datang. Aku tahu dia akan datang... lima minit lagi... dia akan datang... aku tahu... pasti dia tak sengaja lewat... seminit lagi... satu saat saja... tolonglah!

          Suasana di halaman itu tetap sunyi. Jam sudah menginjak ke 10.10 pagi. Ji Hoon mengeluh hampa. Dia membuka pintu kereta. Tamat sudah episod cintanya bersama Eun Hee, gadis yang dicintai sepenuh hatinya. Dia terpaksa merelakan gadis itu pergi daripadanya. Namun, dia tidak akan melupakan gadis itu. Tidak walau sesaat.

          Kaca mata hitam dibawa ke muka. Ji Hoon menggeleng. Dia sudah nekad. Dia tidak akan berpaling lagi. Kereta dibawa ke jalan besar.


EUN HEE merenung setiap patah perkataan yang dicoretkan pada halaman diari itu. Coretan rasanya itu pernah ditatap oleh suaminya. Dia tersenyum pahit. Air matanya menitis.

          “ A... bang...”

          Kata-kata itu dizahirkan. Ini kali kedua dia boleh menzahirkan kata-kata, selepas beberapa minggu sudah berlalu sejak kali yang pertama. Walaupun sukar, dia mencuba juga. Dia ingin mengungkapkan kata-kata itu kepada Ji Hoon, namun dia tahu ianya mustahil. Mereka akan berpisah.

          “ Eun Hee,” seru Pak Cik Dam Shik perlahan. Eun Hee menoleh ke pintu. Lelaki itu segera mendapatkannya. Bahu Eun Hee dipaut rapat.

          “ Pak cik rayu pada kamu, kembali pada Ji Hoon sebelum semuanya terlambat. Ryu Min dah ceritakan semuanya pada pak cik pasal malam tadi. Cepat, pak cik rayu, Eun Hee,” kata Pak Cik Dam Shik tergesa-gesa. Bahu Eun Hee digoyang berulang kali. Eun Hee terkesima.

          “ Ya, kak! Ryu Min pun rayu pada Kak Eun Hee! Kejar Abang Ji Hoon sebelum terlambat!” Ryu Min meluru masuk ke dalam bilik. Mata gadis kecil itu merenung tepat pada wajah sendu Eun Hee.

          Eun Hee menggeleng, dia melepaskan pautan tangan Pak Cik Dam Shik. Matanya mengerling pada jam di dinding. Hampir sepuluh minit berlalu selepas jarum jam menginjak ke pukul 10 pagi. Semuanya sudah terlewat.

          “ Sampai bila Kak Eun Hee nak macam ni? Kak Eun Hee berhak bahagia! Apa yang ibu bapa kakak akan rasa kalau mereka lihat kakak macam ni? Tolonglah! Ryu Min rayu! Kejar Abang Ji Hoon. Masih belum terlambat!” tegas Ryu Min. Eun Hee terpana. Kata-kata Ryu Min menyedarkannya tetapi...

          Eun Hee merenung ke arah gadis kecil itu dan Pak Cik Dam Shik silih berganti. Dia kelihatan teragak-agak. Adakah dia akan sempat?

         “ Pergilah!”

         Eun Hee tersentak dengan jerkahan itu. Tergesa-gesa Eun Hee berlari keluar dari rumah itu menuju ke halaman rumah. Dia hampir terjatuh tatkala menyarung sandal dengan tergesa-gesa. Lariannya diatur ke pintu pagar rumah bapa saudaranya. Kepalanya dijenguk ke luar.

         Zup!

         Eun Hee tergamam. Dia menoleh ke kanan. Kereta Ji Hoon baru sahaja meluncur meninggalkan hadapan rumah Pak Cik Dam Shik ketika melalui jalan itu. Dia mengetap bibir. Eun Hee berlari sekuat hati mengejar kereta itu. Lariannya dikuatkan lagi.

         Tolong... jangan pergi... Eun Hee tak nak abang pergi... tolonglah... abang...

         Skyline GTR Ji Hoon semakin menjauhi dirinya. Eun Hee menggeleng pantas. Dia tidak mahu berputus asa. Walau nafasnya terasa semput, digagahkan juga kakinya untuk terus berlari. Dia akan mengejar Ji Hoon sehingga ke saat yang terakhir. Sehingga kakinya sudah tidak berdaya untuk melangkah lagi. Walau dia sehingga perlu merangkak untuk mengejar lelaki itu, dia akan melakukannya! Dia tidak akan membiarkan dirinya dibayangi silamnya lagi. Tidak!

          “ Abang!!!” 

Endless Love 54




RENUNGAN tajam yang menikam pada wajahnya tidak dipedulikan oleh Hyun Min. Dia mengenggam tangan Chae Rin yang sudah menggigil dalam pegangannya. Bapanya sedang memandang tajam ke arahnya. Ibunya pula sedang duduk kegelisahan di sisi lelaki itu.

          “ Kamu nak kahwin? Kamu dah fikir masak-masak?” tanya Presiden Han dingin.

          Hyun Min mengangguk. Wajahnya menunjukkan betapa dia sudah nekad dengan keputusannya.

          “ Ya.”

          Presiden Han dan Puan Han saling berpandangan. Wanita itu kelihatan tersentak namun dia kembali memandang anak sulung lelakinya itu.

          “ Hyun Min, kamu pasti dengan keputusan kamu? Betul-betul pasti?” tanya Puan Han tidak yakin.

          “ Saya betul-betul pasti dengan keputusan saya dan saya harap mak dan ayah akan hormati keputusan saya. Saya perlukan restu mak dan ayah,” balas Hyun Min. Puan Han terdiam. Dia mengalih pandangan pada wajah suaminya pula. Presiden Han menghela nafas. Dia menggeleng perlahan.

          “ Kamu... lepas sekian lama tak berjumpa dengan mak dan ayah... terus buat keputusan nak kahwin? Apa ni? Mana rasa hormat kamu pada kami?” tanya Presiden Han keras. Baik Puan Han mahupun Hyun Min terkejut mendengarkan kata-kata lelaki itu.

          “ Abang...”

          “ Sebab saya hormatkan mak dan ayahlah saya balik ke sini, beritahu mak dan ayah pasal kami. Saya cuma akan berkahwin dengan Chae Rin sahaja,” jawab Hyun Min penuh sabar. Dia mengerling sekilas pada Chae Rin yang kelihatan bimbang di sebelahnya.

          “ Ayah...” Presiden Han mengeluh perlahan. Sudah tiba masanya untuk dia meluahkan apa yang telah dipendam sekian lama terhadap anaknya itu. Dia sudah tidak betah berlakon di hadapan anaknya lagi. Sudah sekian lama mereka tidak bertemu dan dia tidak mahu kemelut ini berterusan dalam keluarganya.

           “ ... ayah akan sokong keputusan kamu. Mungkin.... ini yang terbaik...” Presiden Han terdiam seketika. Dia meraup wajahnya.

          Sabar Hyun Min menanti bicara ayahnya. Ibunya pula masih mendiamkan diri.

          “ ... kamu dah besar, dah boleh buat keputusan sendiri. Ayah kesal sebab keadaan keluarga kita tidak seperti yang kamu mahukan. Maafkan ayah sebab tak mampu berikan kamu sebuah keluarga yang sempurna di mata kamu dan ayah fikir....” Sekali lagi Presiden Han mematikan ayat, pandangan matanya berlabuh pada wajah Chae Rin.

          “ ... kamu boleh bina keluarga sebegitu dengan Chae Rin.”

          Hyun Min yang pada mulanya agak tergamam dengan keberanian bapanya untuk mengakui apa yang sudah lama dinanti-nantikannya akhirnya menarik senyum nipis. Dia mengangguk sekilas.

          “ Terima kasih, ayah,” ucapnya gembira. Dia menoleh pada Chae Rin di sisi. Gadis itu juga kelihatan gembira. Pegangan tangannya pada jemari gadis itu semakin dikemaskan. Bahagia mereka sedang menanti untuk menyambut mereka. Hyun Min tersenyum lagi.


JI HOON mengatur langkah ke balkoni biliknya. Seperti malam-malam yang lalu, dia akan berdiri di situ sambil merenung kejauhan pada rumah Pak Cik Dam Shik. Dia tidak dapat melihat Eun Hee dengan lebih kerap lagi, hanya dengan memikirkan bahawa gadis itu selamat berada dalam jagaan bapa saudaranya barulah dia boleh menarik nafas lega.

          Selepas kejadian yang hampir meragut nyawanya itu, aktivitinya pulang awal dari resort dan ke rumah Pak Cik Dam Shik untuk memerhati Eun Hee dari kejauhan masih lagi berjalan seperti biasa. Setakat ini Eun Hee masih tidak perasan dengan kehadirannya. Dia amat berterima kasih dengan Ryu Min yang membantu dia dalam hal ini.

          Lamunan Ji Hoon dikejutkan oleh deringan telefon bimbitnya. Kelam kabut dia berlari masuk ke dalam biliknya. Telefon bimbitnya tergeletak di atas meja solek. Nama ibunya timbul di skrin. Ji Hoon segera menyambut panggilan.

          “ Helo, mak?” sapa Ji Hoon.

          Presiden Park menggumam. “ Kamu tak tidur lagi?”

          Ji Hoon menggeleng perlahan. Dia kembali ke balkoni yang masih lagi dibuka luas. “ Belum. Kenapa mak telefon saya malam-malam macam ni?”

          “ Mak ada hal nak beritahu kamu ni,” balas Presiden Park rendah. Ji Hoon menghela nafas. Dia menyandar pada pagar balkoni.

          “ Ada apa?”

          Sudah pasti ada perkara mustahak yang ingin ibunya katakan. Jika tidak, masakan wanita itu akan menelefonnya pada malam-malam sebegini. Jam di dinding sudah menunjukkan pukul 11.30 malam. Jarang bagi ibunya untuk berjaga lagi pada waktu-waktu seperti ini.

          “ Mak nak kamu pulang ke Seoul hari Rabu ni.”

          Ji Hoon tersentak. “ A... apa? Pulang ke Seoul? Rabu ni?”

          “ Ya.”

          “ Tapi... kenapa?” lemah Ji Hoon menyoal. Jika dia pulang ke Seoul, walau hanya untuk beberapa hari sahaja itu sudah cukup memeritkan untuk dia. Dia akan tertanya-tanya tentang keadaan Eun Hee. Dalam keadaan yang sebegini pun sudah cukup untuk membuatkan dia terfikirkan gadis itu setiap hari, apatah lagi kalau dia meninggalkan Jeju.

          “ Kamu ada urusan penting di Seoul. Kamu akan pulang ke Seoul pada Rabu ni dan tiada bantahan. Mungkin kamu akan lama di Seoul,” tekan ibunya. Ji Hoon mengangguk lesu. Tiada gunanya dia membantah kata-kata ibunya. Ibunya sudah bertegas dengannya.

          “ Baiklah, mak...”

          Talian segera dimatikan. Ji Hoon tiada hati untuk meneruskan perbualan dengan ibunya. Dia meraup wajahnya lama. Pandangannya kembali berlabuh pada kawasan rumah Pak Cik Dam Shik yang masih disimbahi dengan cahaya. Dia mengeluh perlahan.


KENING Zachary bertaut ketika melihat wajah muram Ji Hoon. Ji Hoon langsung tidak menyentuh hidangannya. Zachary menghela nafas. Apa lagi yang tak kena ni?

         “ Kenapa?” tanya Zachary perlahan. Sudah pasti pasal Eun Hee. Hanya pasal itu sahaja yang membuatkan lelaki di hadapannya bermuram sedemikian rupa.

         Ji Hoon mengeluh berat. Dia mengangkat wajah, bertentang mata dengan wajah Zachary. “ Aku akan tinggalkan Jeju.”

         Riak di wajah Zachary berubah terkejut. Disangkakan bahawa lelaki itu memikirkan perihal Eun Hee, rupa-rupanya perkara lain yang difikirkan. Dia tergamam.

          “ Tinggalkan Jeju? Kenapa?” tanyanya tidak percaya.

          “ Mak aku suruh aku balik ke Seoul. Ada perkara yang nak diuruskan. Mungkin ambil masa yang lama,” jelas Ji Hoon. Dia merenung ke dasar cawan yang berisi kopi hitam pekat itu. Langsung tidak tembus pandangannya ke dasar cawan itu.

          “ Lepas tu... kau akan kembali lagi?” Zachary termengkelan. Ji Hoon merupakan sahabat baiknya sejak dia tinggal di pulau yang indah itu. Kehadiran Ji Hoon membuatkan dia tidak berasa keseorangan. Ada sahaja perkara yang dapat dikongsi bersama sebagai seorang sahabat. Jika lelaki itu tidak akan kembali, dia akan kehilangan sahabat paling baiknya.

          Ji Hoon menjungkit bahu. “ Aku tak pasti. Aku fikir... aku sudah tak sanggup nak kembali ke sini...”

          Nadanya bergetar. Memikirkan bahawa dirinya akan ditinggalkan oleh Eun Hee membuatkan dia tidak betah berlama-lama di pulau itu. Di sinilah dia bertemu dengan gadis itu, di sini jugalah dia akan berpisah dengan gadis itu.

          Zachary mengeluh. Nampaknya dia harus membantu Ji Hoon. Janji yang diungkapkan perlu dimungkirinya, semuanya demi kebaikan Ji Hoon. Dia mahu melihat lelaki itu tertawa bahagia lagi. Zachary menarik nafas. Bersedia untuk mendedahkan suatu rahsia kepada Ji Hoon. Rahsia yang bakal merubah hidupnya jika jalan yang dipilih itu benar.

          “ Sebenarnya, ada hal aku nak beritahu kau,” tutur Zachary lambat-lambat. Ji Hoon mengangkat kening. Menanti bicara Zachary.

          “ Pasal Eun Hee...”

          Wajah Ji Hoon berkerut. Tubuhnya ditegakkan. Lama matanya merenung pada Zachary. Nafasnya dihela perlahan.


 “ RYU MIN, abang betul-betul minta tolong dengan Ryu Min ni. Tolong, ya?” pinta Ji Hoon bersungguh-sungguh. Wajah Ryu Min ditatap lama. Ryu Min mengeluh perlahan. Kakinya yang berjuntai ke bawah digoyangkan.

          “ Susahlah bang,” keluh Ryu Min. Ji Hoon menghela nafas. Wajahnya jelas benar kelihatan kecewa.

          “ Tolonglah, Ryu Min. Ryu Min tak nak tengok abang dan Kak Eun Hee baik semula ke?” tanya Ji Hoon.

          Ryu Min terdiam. Dengan pantas dia mengangguk. “ Dah tentulah nak!”

          “ Kalau nak, Ryu Min kenalah tolong abang. Cuma Ryu Min saja yang boleh tolong abang. Lagipun, esok abang kena balik ke Seoul. Macam mana kalau lepas ni abang dah tak boleh jumpa Kak Eun Hee? Tolonglah, ya?” kata Ji Hoon lagi. Sekali lagi Ryu Min mengeluh.

          “ Yalah, yalah. Ryu Min akan cuba. Ryu Min akan tolong Abang Ji Hoon. Kat tempat biasa, malam ni?” Ryu Min bersetuju. Wajahnya berkerut. Ji Hoon tersenyum lega. Dia mengangguk pantas.

          “ Terima kasih,” ucapnya perlahan. Ryu Min menggeleng. Gadis kecil itu mengukir senyum.

         “ Ryu Min buat semua ni bukan pasal ni saja tahu? Ryu Min setuju nak bantu abang sebab Ryu Min tahu yang abang memang sayangkan Kak Eun Hee, kan?” kata Ryu Min petah. Ji Hoon tertawa kecil. Kepala gadis itu diusap perlahan.

          “ Terima kasih,” ucapnya lagi. Dia menarik nafas lega. Semoga semuanya akan berjalan dengan lancar. Pertemuannya dengan Zachary beberapa hari yang lalu diimbas kembali.


LAMBAT-LAMBAT Eun Hee mengatur langkah mengikuti Ryu Min. Dia menarik baju sejuknya merapati tubuh. Walaupun kini sudah menghampiri musim panas, namun sejuk deruan angin pantai masih seperti biasa. Tambahan lagi pada malam-malam sebegini.

          “ Kak Eun Hee, cepatlah!” laung Ryu Min apabila melihat Eun Hee masih jauh di belakangnya. Gadis kecil itu berpatah balik ke belakang lalu meraih tangan kanan Eun Hee. Dia menarik Eun Hee berjalan ke hadapan.

          Selepas makan malam tadi, Ryu Min beria-ria mengajaknya ke pantai. Pada mulanya dia membantah kerana malam sudah menjelma, namun dia terpaksa menurut sahaja tatkala bapa saudaranya memujuk dia menemani Ryu Min. Pak Cik Dam Shik turut mahu menemani Ryu Min, namun Ryu Min berkeras membantah. Kesudahannya, hanya dia sahaja yang akan menemani gadis kecil itu ke pantai. Ryu Min tidak memberitahu sebabnya kenapa dia beria-ria mahu ke pantai pada malam hari.

          “ Dah sampai,” tutur gadis kecil itu perlahan.

          Eun Hee melempar pandangan merenung ke sekelilingnya namun tiada apa-apa yang dapat menarik perhatiannya. Dia merenung pada Ryu Min. Ryu Min hanya tersenyum sebelum menjungkit bahu. Kening Eun Hee berkerut. Kenapa? Tiada apa-apa di sini.

          “ Eun Hee...”

          Eun Hee terpana. Dia mengenali suara itu. Suara yang sudah sekian lama dirinduinya. Hatinya bergetar tatkala mendengar suara itu menyeru lembut namanya. Perlahan-lahan Eun Hee berpaling ke belakang. Ji Hoon berdiri di belakannya. Kini mereka saling bertentangan. Redup sepasang mata itu merenung kepadanya. Eun Hee menelan liur.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...