Ai no Kotoba

Colours make your life beautiful, melody makes your life rhythm and harmony makes your life a life - Hana

Semua karya dalam blog ini hak cipta terpelihara penulis. Anda tidak dibenarkan menciplak, me-copy, memplagiat atau with every means to copy it atau mengaku karya itu anda punya.
Semua karya tidak mempunyai kaitan dengan yang hidup mahupun yang sudah meninggal dunia.
Selamat membaca. Peace!

Watashi no Tomodachi :D

Entri Terbaru! Tengok Sini!

Thursday, August 29, 2013

464 Untuk Nini Bab 20



ADDA menguntum senyum pada pegawai yang bertugas di kaunter bank tempat dia menjalankan urusannya. Sesudah memasukkan dompetnya ke dalam tas tangan, dia berlalu untuk keluar dari situ. Masih ramai pelanggan yang sedang menunggu giliran untuk menjalankan urusan masing-masing.

          Pintu kaca ditarik perlahan. Adda merenung sekilas pada jam di tangan. Jam baru menginjak ke 12 tengah hari. Dia baru sahaja pulang dari urusan kerja di luar pejabat sebelum singgah sebentar di bank bagi menunaikan cek yang dikirimkan oleh sepupunya.

          “ Bosan betullah sejak Auni tak ada ni,” keluh Adda perlahan. Auni sedang bercuti sekarang. Katanya, Najwan mahu membawanya berbulan madu tetapi Auni hanya mendiamkan diri sahaja tatkala disoal ke mana mereka ingin pergi kerana Auni sendiri tidak tahu. Najwan masih lagi merahsiakan destinasi percutian mereka.

          Adda mengeluh lagi. Kepalanya menunduk sahaja ke kaki lima bangunan. Dia agak kebosanan kerana dia hanya berseorangan ketika ini. Langkahnya terhenti apabila menyedari ada seseorang yang berhenti betul-betul di hadapannya. Kepalanya diangkat ke atas.

          “ Tunduk aje, kenapa? Ada masalah?” tanya lelaki berkemeja kemas itu sambil tersenyum. Adda tercengang-cengang. Lama dia memerhatikan lelaki itu sebelum menyedari siapakah lelaki itu sebenarnya.

          “ Awak rupanya, Ashraf. Ingatkan siapalah tadi,” kata Adda agak gugup. Kenapa aku berdebar semacam aje ni?

          Ashraf tergelak perlahan. Kepalanya digelengkan.

          “ Saya baru pulang dari site. Tak sangka boleh terserempak dengan awak kat sini. Awak nak ke mana? Sekarang ni lunch time. Kita lunch sama-sama, nak?” pelawa Ashraf tiba-tiba. Adda terpinga-pinga.

          “ Err… saya…” Adda dah tak tahu nak kata apa. Wajah Ashraf menunjukkan betapa dia mengharapkan Adda akan menerima pelawaannya.

          “ Tak boleh ke? Kalau…”

          “ Bukan! Bukan! Err… maksud saya… baiklah.” Adda bersetuju. Senyuman di wajah Ashraf kian melebar.

          “ Kita ke kafe sana, nak? Saya pernah makan kat sana, makanan kat situ sedap.” Ashraf menunjuk pada sebuah kafe yang terletak tidak jauh dari kedudukan mereka. Adda mengangguk lagi. Dia berjalan beriringan dengan Ashraf menuju ke kafe yang dimaksudkan.


ABANG!”

“ Ya sayang?” Najwan ketawa sakan.

“ Dahlah gelak tu! Nini mengadu dengan opah baru tahu!” omel Auni geram. Tajam pandangannya pada Najwan yang sedang galak mengetawakannya.

          “ Adulah! Ingat abang takut? Abang dah jadi cucu kesayangan opah, tau?” kata Najwan. Dia ketawa lagi. Kali ini dia terbaring di atas batas sawah kerana tidak dapat menahan tawa.

          Auni merengus. Bibirnya digigit kuat. Kalaulah Auni tahu macam ini jadinya, dah sah dia tak bawa Najwan berjalan-jalan ke sawah milik opah dan atuk. Habis baju yang dipakainya berlumuran dengan lumpur. Semuanya gara-gara Najwan menolaknya ke dalam petak sawah. Nasib baik sahaja petak sawah itu tidak terlalu dalam airnya. Muncung bibirnya tatkala Najwan bangun daripada baringnya.

          “ Ala… comelnya isteri abang,” kata Najwan dengan suara yang agak mendayu. Auni hanya mencebik. Mahu sahaja dia turut sama menolak suaminya ke dalam petak sawah itu. Biar sama-sama mandi lumpur!

          “ Tidur luar malam ni,” kata Auni geram. Dia melihat kepada kemeja T yang tersarung di tubuhnya. Memang sampai aje rumah opah, bilik airlah yang akan jadi sasaran utama. Mesti!

Mujur Auni memakai kemeja T yang berwarna agak gelap, dibuatnya kemeja T putih yang menjadi pilihan sebelum dia keluar tadi, memang naya sungguh nak basuh. Sekurang-kurangnya kemeja T yang berwarna agak gelap itu tidak terlalu terjejas dengan warna lumpur.

          Auni menjeling suaminya yang masih mengetawakan dirinya. Najwan langsung tidak menunjukkan tanda-tanda bahawa dia akan berhenti daripada tawanya. Auni menggeleng sebal.

          Semalam, mereka berdua sampai ke rumah opah dan atuk Auni. Rupa-rupanya, Najwan membawanya berbulan madu ke sini. Pada mulanya, mummy dan baba agak terkejut apabila diberitahu akan khabar itu tetapi walid dan ummi biasa-biasa sahaja.

          Mummy bising kenapa tak bawa Auni ke Paris tetapi Najwan diam sahaja. Baba sahaja yang mengerti perancangan anak sulungnya itu. Najwan mahu menenangkan fikiran di suasana desa. Jika ada kesempatan barulah dia akan membawa Auni bercuti ke luar negara.

            “ Siaplah abang bila kita dah sampai rumah opah.” Auni masih belum berhenti mengomel. Sememangnya dia berasa geram yang teramat dengan insan bernama Najwan Faqqimi itu. Mahu kena cekik-cekik aje barulah dia berpuas hati.

          “ Abang cakap kat opah yang Nini jahat dengan abang,” balas Najwan mudah. Auni mencebik lagi. Laju langkahnya meninggalkan Najwan di belakang. Tercengang-cengang Najwan dengan tingkah isterinya itu.

          “ Nini? Nak ke mana tu?” laung Najwan. Auni hanya mendiamkan diri.

          Najwan tersengih. Auni dah merajuk dan dialah yang akan jadi tukang pujuk tidak bertauliah isterinya. Pantas dia berlari mendapatkan Auni yang sedang meniti batas-batas sawah untuk balik rumah opah.

          “ Ala… janganlah merajuk. Abang gurau aje,” kata Najwan. Bahu Auni dipaut rapat. Auni mengerling sekilas pada wajah suaminya. Najwan mula tersenyum.

          “ Gurau apa macam ni? Habis kotor baju Nini,” kata Auni. Suaranya merendah. Najwan tarik sengih serba salah.

           “ Errrsorry, ya?” kata Najwan. Tidak senang dengan ekpresi muka Auni sekarang.

          Auni mendiamkan diri seketika. Pandangannya ditebarkan ke sekitar kawasan sawah yang menghijau. Dia tersenyum kecil.

          “ Nini maafkan abang kalau…”

          Najwan mula tersenyum lega. “ Kalau abang apa? Nini nak abang belanja DVD K-dorama ke? DVD Flower Boy Next Door nak?” tanya Najwan. Auni tertawa perlahan. Kepalanya digeleng.

          “ Setakat DVD tu, Nini boleh beli sendiri. Nini nak abang buat…”

          Pantas tangan Auni menolak Najwan ke dalam petak sawah yang berhampiran. Riak di wajah Najwan berubah terkejut, tidak menyangka isterinya akan berbuat demikian. Habis seluruh tubuhnya berlumuran dengan lumpur. Auni sudah cabut lari meninggalkan suaminya di belakang. Tanpa berlengah-lengah lagi Najwan segera bingkas daripada petak sawah itu lalu mengejar Auni.

          “ Nini!”

          Ternyata langkah larian Najwan yang panjang memudahkan dia mengejar Auni yang sudah memasuki kawasan rumah opah dan atuk. Terjerit-jerit Auni apabila pinggangnya dirangkul kemas oleh Najwan dari belakang. Opah yang baru muncul di muka pintu dapur kelihatan terpinga-pinga dengan telatah kedua-dua cucunya itu. Apatah lagi apabila melihat kedua-duanya berlumuran dengan lumpur.

          “ Astagfirullahalazim! Apa yang dah kena dengan kamu berdua ni?” Opah beristighfar panjang. Mana tidaknya, kedua-duanya muncul dengan lumpur yang terpalit pada seluruh badan. Malah di muka masing-masing pun turut terdapat kesan lumpur. Najwan yang hanya ketawa mula melepaskan tangannya daripada pinggang Auni.

          “ Abang Naj ni opah! Dia yang tolak adik masuk sawah!” adu Auni geram. Dia segera mendapatkan opah lalu menyorok di belakang tubuh wanita itu. Najwan mencebik.

          “ Tak adalah opah! Naj main-main aje, Nini yang over!” balas Najwan. Auni berdiri bercekak pinggang. Geram dengan balasan kata-kata suaminya.

          “ Abang Naj yang mula dulu! Adik tak kacau dia pun!” Auni masih mengadu pada opah tersayang manakala Najwan hanya tersengih.

          “ Nak gurau pun tak boleh?” kata Najwan yang masih tersenyum sumbing. Auni menggeleng pantas.

          “ Tak boleh!” jawabnya pantas.

          Opah sudah tertawa melihat telatah kedua-duanya. Apatah lagi dalam keadaan comot sebegitu. Nama aje pengantin baharu, perangai kedua-duanya sama naik dengan budak umur lima tahun. Manalah nak aman hidup.

“ Dah! Dah! Baru aje kahwin dah gaduh macam ni? Dua-dua pergi mandi. Lepas ni baliklah atuk dari pekan tu. Membebel pulak orang tua tu nampak kamu macam ni. Kejap, opah pergi ambil tuala.”

          Opah masuk kembali ke dapur tanpa mempedulikan Auni dan Najwan yang masih berbalas mulut. Najwan mengerling pada wajah Auni yang masih masam. Akhirnya dia tertawa lagi. Auni menjegilkan matanya.

          “ Apa tengok-tengok?” katanya sedikit keras.

          “ Tengok pun salah? Awak kan isteri saya?” jawab Najwan mudah. Auni menggigit bibir. Kepalanya dipalingkan ke arah lain. Geram juga apabila melihat sengih di wajah Najwan.

          Seketika kemudian, opah muncul dengan dua helai tuala di tangan. Kedua-duanya dihulurkan kepada Najwan dan Auni. Opah tersengih apabila melihat wajah Auni yang masih lagi masam.

          “ Adik masuk dalam, mandi. Dan kamu, Naj, mandi kat telaga tu. Opah suruh bersiar-siar aje, bukan suruh masuk sawah berkubang macam kerbau. Ini bukannya kerbau yang berkubang dalam tu, tapi kamu berdua pula yang berkubang dalam sawah tu. Boleh jahanam semua padi opah.” Opah mengambil kesempatan ini untuk memberi leteran percuma kepada kedua-duanya. Boleh tahan juga mulut opah tatkala membebel.

          Najwan yang masih tersengih menurut sahaja kata-kata opah. Sempat dia mengenyit mata pada Auni yang mengekori opah masuk ke dalam rumah. Auni hanya menjegilkan matanya seakan-akan memberi amaran ‘adu kat mummy nanti’.

          Najwan gelak lagi. Dia masuk ke dalam kawasan berdindingkan kayu yang menempatkan telaga. Pertama kali dalam hidupnya mandi di telaga.

Ketika awal-awal sampai di rumah opah, dia sudah teruja apabila melihat telaga di belakang rumah itu. Tetapi memandangkan dia masih tidak berpeluang untuk mandi di situ, terpaksa sahaja dia memendamkan hasrat hatinya. Dek Auni yang menolaknya masuk ke dalam petak sawah, dapat juga dia merasa peluang mandi di telaga.


AUNI membawa sedulang Nescafe panas dan biskut ke anjung rumah atuk dan opah. Najwan sedang duduk bersantai di anjung. Opah dan atuk sudah pun tidur lepas Isyak, letih benar nampaknya. Hanya tinggal mereka berdua sahaja yang masih berjaga di rumah itu.

          Mereka tidak ke rumah Siti sepanjang bercuti di kampung. Siti baru sahaja ke Mekah bersama-sama Mak Nab jiran sekampung. Siti hanya ke sana untuk mengerjakan umrah. Dah hampir seminggu Siti berada di tanah suci itu, selepas beberapa hari majlis perkahwinan Auni dan Najwan diadakan.

                   “ Air, bang,” pelawa Auni perlahan. Najwan tersentak. Pandangannya pada dada langit beralih pada Auni. Cawan yang disua oleh isterinya diambil. Perlahan dia menghirup Nescafe yang masih panas.

          “ Macam mana ya E-jat sekarang?” kata Auni secara tiba-tiba. Dia mendongak ke langit. Najwan tersenyum. Tiba-tiba sahaja isterinya teringatkan E-jat yang jauh berada di Selangor sedangkan mereka kini berada di Kedah.

          “ Miss our boy?” Cawan diletakkan kembali di atas dulang. Auni mengangguk.

          Najwan turut memerhati pada langit. Dia menghela nafas. Perlahan-lahan dia menoleh pada Auni di sebelah.

          “ Nini memang boleh terima E-jat?” tanya Najwan. Kerutan muncul di dahi Auni. Dia menoleh pada Najwan. “ Kenapa tanya macam tu?”

          Najwan tersenyum. “ Yalah, E-jat bukannya anak Nini, anak abang pun bukan. Jadi, abang fikir yang…”

          “ Nini boleh terima E-jat, bang,” ucap Auni memintas kata-kata Najwan. Najwan hanya mengangguk. Dia tersenyum hambar. Agak terharu dengan keikhlasan Auni menerima E-jat seadanya.

          “ Thanks,” balas Najwan perlahan. Tiba-tiba sahaja dia teringatkan arwah Najwa. Banyak kenangan manis antara dia dengan Najwa dahulu. Walau mereka kembar, namun tingkah mereka tidak sama. Najwan gemar mengusik manakala Najwa pula lebih senyap.

          “ Abang?” panggil Auni apabila sudah lama mereka membisu. Najwan menoleh sekilas pada isterinya.

          “ Kenapa?”

          Auni kelihatan mahu menanyakan sesuatu, namun dia seperti teragak-agak mahu mengutarakan soalannya. Najwan tertawa.

          “ Nini nak tanya apa?” Nadanya dilembutkan. Auni tersenyum malu.

          “ Abang… tak pernah bercinta?” tanya Auni. Wajahnya ditundukkan. Sudah tentu mukanya sedang merah sekarang. Najwan tergelak.

          “ Apa yang Nini fikir?” tanya Najwan. Suaranya masih dilembutkan seperti tadi. Auni pantas menggeleng. Bahunya digoyangkan. Tawa Najwan kedengaran lagi.

          “ Nope! Abang tak pernah fall in love dengan mana-mana perempuan,” jawab Najwan. Auni mengerutkan dahi.

          “ Tak pernah? Even just for once?” soal Auni kehairanan. Najwan mengangguk lagi.

          “ Abang tak pernah jatuh cinta dengan sesiapa, apatah lagi bercinta. Kalau setakat suka tu adalah. Tapi, kalau falling in love, Auni gadis pertama yang abang mula jatuh cinta,” kata Najwan lagi namun Auni masih lagi kehairanan.

            Auni sukar untuk mempercayai kata-kata suaminya itu. Mungkin benar suaminya tidak pernah bercinta, tetapi takkanlah sehingga tidak pernah jatuh cinta pada seorang gadis? Bukankah itu lumrah manusia. Mungkin suaminya sekadar mahu menyedapkan hatinya. Auni malas mahu banyak bersoal jawab.

          “ Tapi, abang kan study kat Jepun dan UK dulu? Takkan tak sangkut dengan mana-mana perempuan?” tanya Auni. Dia sekadar bertanya. Langsung tiada nada cemburu dalam pertanyaannya. Najwan senyum. Kepalanya digeleng perlahan.

          “ Tak pernah. Auni cinta pertama abang dan insya-Allah, you will be my forever love as long as He wants me to love you,” penuh sabar Najwan menjawab. Auni mengangguk teragak-agak. Dia malu sendiri. Najwan memang baik.

          “ Nini pula? Tak pernah bercinta?” Soalan yang pada asalnya diutarakan kepadanya, disoal kembali pada Auni. Auni pantas menggeleng.

          “ Sama macam abang, Nini tak pernah bercinta,” jawab Auni. Najwan tersengih.

          “ Kiranya, kalau mummy dan ummi tak berpakat nak jodohkan kita, Nini tak bercinta lagilah?” tanya Najwan. Tawanya kedengaran kembali. Teragak-agak Auni mengangguk. Malu dengan pengakuannya.

          “ Kita dikira bertuah, Nini. Memang impian abang nak bercinta lepas berkahwin. Lepas kahwin, kira halal dah semua. Nak dating ke apa. Sebab abang memang tak tahu nak kata apa dengan orang muda zaman sekarang. Holding hands even dah tau benda tu haram kalau belum kahwin, peluk, berdua-duaan kat tempat sunyi,” kata Najwan.

Nafasnya dihela berat. Auni yang hanya mendengar luahan suaminya agak terkejut apabila tiba-tiba sahaja tangannya diraih Najwan. Najwan tersenyum, jemari isterinya diusap perlahan.

          “ Abang pun nak berterima kasih pada Nini sebab pandai jaga diri selama ni dan abang janji abang akan jaga Nini dengan baik, insya-Allah,” sambungnya lagi. Auni mengangguk. Senyumannya terukir manis untuk suaminya.

          “ Insya-Allah.”

          Najwan mengangguk. Dia berlapang dada kerana dikurniakan seorang isteri yang solehah. Apa yang diharapkannya kini hanyalah masjid yang dibina ini dapat dipertahankan sehingga akhir hayat mereka. Insya-Allah.      


nota : Kepada semua pembaca 464 Untuk Nini, especially Ruunna Qizbal yang tak pernah jemu beri komen, terima kasih banyak-banyak2 :D Much appreciated it! Semua posts dalam blog ni Hana dah scheduled-kan awal-awal. Kalau tak, susah nak update every week or two :) Enjoy reading!    
  

Thursday, August 22, 2013

464 Untuk Nini Bab 19



BAU dari dapur menggamit perhatian Najwan dan Syah yang baru sahaja pulang daripada berjoging dengan baba di sekitar kawasan rumah mereka. Masuk sahaja ke dapur, kelihatan dua orang perempuan sedang sibuk memasak manakala dua orang lagi sedang enak bersantai di kaunter dapur. E-jat turut serta bersama keempat-empat mereka.

            Auni dan Nawal sedang memasak manakala mummy sedang berbual-bual dengan Mak Bedah.

            “ Amboi mummy! Mentang-mentanglah Nini dah sah jadi isteri Naj, suka hati aje mummy nak buli dia masak kat dapur,” kata Najwan sebaik sahaja dia memasuki dapur. Syah mengekorinya dari belakang. Mummy yang sedang berbual-bual dengan Mak Bedah mencebik mendengarkan kata-kata anak sulungnya itu.

            “ Nak aje mummy cabaikan mulut kamu tu. Nini yang beria-ria nak buat breakfast untuk hari ni, bukannya mummy yang dera dia. Nanti kamu juga yang suka sebab dapat merasa masakan isteri kamu tu,” balas mummy serta-merta. Tawa mereka yang berada di dalam dapur itu serentak bergema lantaran lucu melihatkan Najwan dan mummy.

            “ Nini masak apa tu?” soal Najwan berminat. Dia mendekati isterinya yang sedang menggoreng ayam. Kalau diikutkan hati mahu sahaja dia memeluk isterinya itu. Itu pun kalau dia nak merasa cubitan Auni.

            “ Nasi lemak ayam berempah. Abang pergilah mandi dulu. Lepas ni Nini panggil,” kata Auni apabila Najwan semakin mendekati dirinya. Sebenarnya dia segan dengan ibu mentua dan orang lain yang turut berada di situ. Najwan kelihatan seperti mahu bermanja dengannya. Auni berpura-pura membetulkan tudungnya.

            Walaupun Najwan dan baba sudah menjadi muhrimnya, namun Auni tetap perlu bertudung dan berbaju lengan panjang sekiranya dia ingin keluar dari biliknya dan Najwan di banglo ini. Ini kerana auratnya tetap haram dilihat oleh Syah yang merupakan birasnya.

Janggal rasanya apabila terpaksa bertudung di dalam rumah namun Auni lebih takutkan dosa yang bakal ditanggung sekiranya dia memperagakan aurat kepada bukan muhrimnya. Najwan juga selalu berpesan agar Auni berhati-hati dalam menjaga auratnya. Auni juga hanya berseluar track sepanjang dia berada di banglo ini. Untuk berseluar legging yang melekat terus ke kakinya itu tidak akan sesekali dipakainya. Itu bungkus aurat! Bukan tutup aurat!

            “ Tak nak abang tolong masak ke?” Najwan tersenyum nakal. Tangannya sudah gatal untuk meraih pinggang Auni.

            “ Tak apalah. Abang naik atas, mandi. Lepas ni Nini panggil turun breakfast.”

            “ Abang boleh tolonglah. Nak …”

            “ Najwan Faqqimi! Pergi naik atas, mandi! Tak malu ke nak manja-manja dengan isteri depan kami ni? Malu Nini tu mummy tengok!”

            Suara mummy yang meninggi mengejutkan mereka berdua. Tajam mata mummy merenung kepada anak lelaki sulungnya yang sudah tersengih-sengih. Auni pula sudah merah mukanya. Dia meneruskan kerjanya tanpa mempedulikan si suami.

            “ Alah mummy ni. Naj baru nak manja-manja,” kata Najwan separuh merungut namun mummy menggeleng dengan wajah yang serius.

            “ Dah, dah. Kamu pergi naik mandi. Belengas aje mummy tengok kamu ni. Syah, kamu pun sama. Pergi heret abang ipar kamu ni naik atas sebelum miang dia menjadi-jadi,” kata mummy seraya menoleh ke arah Syah yang baru sahaja selesai meneguk air kosong. Syah tergamam.

            Apa aku pun kena juga ni?

            “ Dahlah tu bro. Jom naik atas, mandi. Kang mummy membebel lagi dengan kau tu,” kata Syah. Dia menarik Najwan agar menjauhi Auni yang tidak surut-surut warna merah pada wajahnya. Najwan buat muka terkejut.

            “ Takkan kau nak mandi dengan aku pula?” Najwan buat muka tidak percaya. Sengaja mahu mengusik adik iparnya. Syah menjegilkan matanya.

            “ Tak ingin aku mandi dengan kau! Mengarut aje kerja kau kan? Tak senonoh punya abang ipar,” balas Syah serta merta. Najwan tergelak.

            “ Habis kau fikir kau tu senonoh sangat?”

            Pertikaman lidah antara Najwan dan Syah berlarutan sehinggalah mereka berdua keluar dari dapur. Mummy hanya mampu menggelengkan kepalanya. Wanita itu mengeluh seraya melihat ke arah anak dan menantunya itu.

            “ Mereka berdua tu boleh buat darah tinggi mummy naiklah,” kata mummy perlahan. Serentak, tawa mereka semua bergabung. Mummy hanya tersengih. E-jat pula terkebil-kebil melihat ke arah mereka semua.

            Usai menghidangkan makanan di atas meja makan, Auni naik ke tingkat atas untuk memanggil suaminya. Perlahan dia menguak daun pintu. Auni hanya mampu menggelengkan kepalanya tatkala dia melihat Najwan sedang tidur di atas sofa. Dia mendekati suaminya selepas menutup pintu bilik.

            “ Abang?” lembut Auni memanggil. Sekejap sahaja Najwan sudah membuka matanya. Lelaki itu hanya tidur-tidur ayam sahaja.

            “ Dah boleh makan?” Najwan tersengih. Auni mengangguk. Dia menarik tangan Najwan.

            “ Jomlah. Semua orang dah tunggu kat bawah tu,” pujuk Auni melihatkan suaminya masih lagi malas untuk bangkit.

            “ Alah… Kejap aje lagi,” rengek Najwan. Auni ketawa perlahan.

            “ Dah, dah. Nanti mummy bising pula,” Auni terus memujuk. Najwan tergelak apabila mendengar nama mummy disebut. Cepat-cepat dia bangun.

            “ Okey, okey. Jom turun. Abang dah tak sabar nak makan nasi lemak Nini ni,” kata Najwan. Auni hanya tersenyum.

            “ Nini ingat tak apa yang abang janjikan lepas majlis kita kat hotel tu?” tanya Najwan seraya merangkul pinggang isterinya. Muka Auni berkerut kehairanan. 

            “ Yang mana ya?” Auni ingat-ingat lupa akan apa yang dijanjikan oleh Najwan kepadanya.

            “ Yang abang kata nak bawa Nini ke suatu tempat tu,” kata Najwan mengingatkan. Auni pantas mengangguk. Ingat pun!

            “ Lepas breakfast, kita pergi ya? Siap-siap teruslah lepas breakfast nanti,” sambung Najwan.

            “ Okey!” sahut Auni tidak sabar-sabar. Entah ke manalah suaminya itu ingin membawa dia pergi.

            “ Oi pengantin baru! Tak nak turun makan lagi ke? Along jangan nak bermanja sangatlah dengan Kak Long tu! Kami dah lapar!”

            Najwan dan Auni dikejutkan dengan jeritan Nawal daripada balik pintu. Tawa Najwan dan Auni bersatu. Ada-ada aje si Nawal ni. Macamlah dia tu bukan penganti baharu juga.


AUNI diam tidak mampu berkata apa-apa. Bulat matanya melihat kepada sebuah rumah yang terletak di hadapannya kini. Najwan membuka pintu Priusnya sebelum dia bergegas membuka pintu di tempat duduk penumpang sebelah pemandu. Auni masih lagi tergamam dengan apa yang dilihatnya kini.

          “ Err… rumah siapa ni, bang?” tanya Auni tatkala dia dipimpin Najwan masuk ke halaman depan rumah itu. Langsung tidak kelihatan walau sesiapa pun di kawasan rumah itu. Najwan membisu sahaja. Pintu pagar dibuka.

          Mata Auni masih melekat pada banglo itu. Banglo dua tingkat itu memang cantik. Warna biru pastel melatari setiap dinding banglo itu. Ada juga diselitkan dengan warna putih. Halaman rumah itu juga luas. Namun tidaklah seluas halaman rumah mummy dan baba.

          “ Masuk dulu,” kata Najwan tanpa membalas pertanyaan Auni. Dia membuka pintu hadapan rumah. Dia menolak Auni masuk ke dalam. Sekali lagi Auni tergamam dengan apa yang sedang dilihatnya kini.

          “ Apa semua ni, bang? Ni rumah…”

          Najwan mengangguk. “ Ini rumah kita.”

          Wajah suaminya direnung tidak percaya. Najwan mengangguk sekali lagi. Dia tersenyum melihat wajah isterinya yang kelihatan bingung.

          “ Abang beli rumah ni masa Nini dah setuju nak kahwin dengan abang, sebelum Aidilfitri lagi. Abang juga yang uruskan soal perabot dan halaman rumah ni. Ummi kata Nini suka gaya klasik Perancis. Jadi, inilah dia,” jelas Najwan. Teragak-agak Auni mengangguk. Matanya melihat pada suasana sekeliling.

          Sama seperti luar banglo itu, warna biru pastel menghiasi seluruh ruang banglo itu. Langsir putih pula menambahkan seri banglo tersebut. Auni tersenyum.

          “ Macam mana kalau Nini tak jadi bertunang dengan abang lepas persetujuan tu? Abang nak buat apa dengan rumah ni?” tanya Auni. Wajah suaminya direnung lagi. Najwan tertawa.

          “ Abang akan bakar rumah ni,” balas Najwan mudah. Auni turut tertawa.

          Najwan mengajak Auni naik ke tingkat atas. Satu per satu ruang dalam banglo itu diterjahnya. Boleh dikatakan semua isi rumah itu sudah dilengkapi dengan perabot. Tidak perlu Auni menyusahkan dirinya sendiri untuk memikirkan soal hiasan dalaman rumah. Rumah itu sudah dihias cantik.

          “ Yang ni pula…” Najwan membuka pintu sebuah bilik di tingkat atas. Dia menguntum senyum kepada isteri tercinta. “ … bilik kita berdua.”

          Daun pintu dikuak seluas mungkin. Mereka berdua masuk ke dalam sebuah bilik yang dicat dengan warna ungu pastel dan merah jambu. Auni menoleh ke arah suaminya.

          “ Kenapa warna bilik ni lain?” soal Auni sambil tersenyum.

          “ Ummi kata Nini suka warna ungu pastel dan pink untuk bilik,” jawab Najwan. Dia mengenyit mata sekaligus mengundang tawa Auni.

          “ Memang abang selidik pasal Nini sampai macam ni ke?” tanya Auni tidak percaya. Najwan turut meledakkan tawanya. Dia mengangguk.

          “ Mestilah. Nama lagi Nini bakal isteri abang,” kata Najwan. Auni mencebik. Tentu dah lama berkomplot dengan ummi pasal aku ni. Ada ke patut? Ish!

          Mereka mengatur langkah ke balkoni. Auni berdiri sambil menyandar pada pagar balkoni. Najwan tersenyum apabila melihat Auni menggeliat.

          “ Emmm… kenapa abang sampai beli rumah ni? Bukan ke mummy nak kita tinggal sekali dengan dia?” tanya Auni.

Pandangannya dilemparkan pada kawasan sekitar banglo itu. Banglo itu bukannya jauh sangat daripada rumah mummy dan baba, malah berada dalam kawasan perumahan yang sama. Cuma banglo ini terletak lebih ke dalam sedikit daripada kawasan rumah mummy dan baba.

          “ Abang dah fikir masak-masak. Abang nak hidup macam pasangan lain, ada rumah sendiri, ada kehidupan sendiri. Abang tak nak bergantung dengan mummy atau baba. Tanggungjawab abang untuk jaga Nini, cuma abang aje yang kena pikul. Lagipun, kesian pula abang tengok Nini kalau kita tinggal sekali dengan mummy dan baba,” jelas Najwan. Berkerut dahi Auni mendengar kata-kata itu.

          “ Kenapa abang cakap macam tu?”

          Najwan mengukir senyuman. “ Nawal dan Syah kan tinggal dengan mummy dan baba untuk sementara waktu, before Syah fly ke Jerman atas urusan kerja? Nawal akan ikut dia sekali lepas ni. For the time being, Ninilah yang kesian, sebab kalau nak keluar bilik kena pakai tudung sebab Syah ada. Maksudnya, I’m being your knightlah ni.”

          Auni tersenyum puas hati. Ternyata Najwan perasan akan ketidakselesaan dia berada di rumah mummy dan baba. Jika Syah tiada, barulah dia boleh menanggalkan tudungnya kerana Najwan dan baba sudah menjadi muhrimnya. Nasib baik sahaja Najwan tidak punya adik lelaki yang lain. Jika tidak, makin parah pula jadinya.

           “ Thanks, my knight in shining armour,” balas Auni. Matanya dilirikkan manja kepada Najwan. Najwan ketawa lantas menggelengkan kepalanya.

          “ Nini ni suka betul tengok abang macam tu sejak kita kahwin ni. Boleh tergugat iman, tahu tak?” kata Najwan. Auni senyum sahaja. Dia berlari keluar dari bilik itu selepas menyedari dia akan dikejar Najwan selepas ini.

          “ Nini!!!”

          Auni ketawa. Memang benarlah tekaan dia. Najwan sudah angkat kaki untuk mengejarnya. Riuh ruang dalaman banglo itu dengan jeritan Auni tatkala Najwan mengejarnya. Najwan galak menghamburkan tawanya saat dia berjaya mendapatkan Auni.


KOPI yang dihidangkan dihirup perlahan. Mata baba melirik pada Najwan yang sedang khusyuk membaca Top Gear di tangan. Memang Najwan hantu kereta! Nasib baik sahaja dia bukannya jenis yang sanggup berhabis ribuan ringgit untuk keretanya atau membeli kereta yang sentiasa berkenan di hati. Kata Najwan, Prius itu sudah baik untuknya walau dia turut meminati Subaru, Audi dan sportcars yang lain.

          “ Nini mana?” tanya baba. Najwan angkat muka daripada majalah. Dia menoleh sekilas pada baba yang duduk di seberang meja bulat kecil itu.

          “ Tengah layan mummy berborak kat atas,” balas Najwan. Dia meletakkan majalah itu di atas meja. Sekeping biskut oat dicapai daripada piring.

          “ Mujurlah Nini tu jenis yang baik dengan orang tua. Kalau tak, merungutlah sebab kena layan mummy kamu tu,” kata baba yang sudah tertawa. Najwan tersengih. Kata-kata baba ada benarnya. Sudahlah Auni tu memang menantu kesayangan, tentu mummy makin suka mengajak Auni untuk bersama-samanya jika ada apa-apa.

          “ Happy betul mummy sebab hajat nak bermenantukan Nini tu tercapai,” kata Najwan. Biskut oat itu dikunyah perlahan.

          Baba mengangguk. “ Jadi, macam mana dengan rumah kamu? Bila nak pindah?”

          “ Baba ni gaya macam nak halau Naj keluar dari rumah ni aje,” seloroh Najwan. Baba ketawa. Dia menggelengkan kepala.

          “ Insya-Allah, next week. Lagipun, Naj nak slow talk dengan E-jat dulu. Naj nak bawa E-jat sekali, tapi Naj takut Nini tak selesa. Lagipun, mummy pun tak kasi Naj bawa E-jat tinggal sekali. Naj pun fikir macam tu, sebab lepas ni Naj dan Nini akan sama-sama sibuk dengan kerja, siapa nak pedulikan pasal E-jat kalau kami outstation or ada meeting? Kesian pula E-jat tu,” balas Najwan.

          Baba tersenyum. Kopi pekat itu dihirup lagi sebelum dia kembali berbicara.

          “ Baba fikir, tak ada masalah. Baba pernah tanya E-jat sebelum Naj kahwin dulu, macam mana kalau Naj dah tak boleh jaga dia macam sekarang? E-jat kata okey. Biar pun dia tu kecil lagi, tapi kadang-kadang fikiran dia macam orang dewasa. Naj boleh bawa dia tinggal dengan Naj bila Naj tak sibuk, kan?”

          Najwan mengangguk sahaja. Dia membiarkan baba menyambung bicara.

          “ Jadi, Naj dah ada solutionnya. Baik Naj pergi cakap dengan E-jat sekarang, biar dia biasakan diri dulu sebelum Naj pindah, okey?” Baba senyum. Najwan mengangguk sekali lagi. Majalah di atas meja diambil. Dia bangun daripada kerusi. Sebelum sempat dia pergi, baba menahannya.

          “ Kenapa, baba?” tanya Najwan. Baba ketawa.

          “ Kamu nak bawa Nini pergi honeymoon bila? Baba boleh luluskan cuti kamu kalau kamu nak bawa dia pergi honeymoon lepas ni. Kamu dan Nini pun cuma ambil cuti seminggu aje untuk kahwin ni. Mana sempat nak pergi honeymoon kalau cuti sekejap macam ni.”

          Najwan turut ketawa. Dia mengangkat bahu.

          “ Kena tanya Nini dulu.”

          Baba ketawa lagi. Dia melihat sahaja langkah Najwan masuk ke dalam rumah.


PERLAHAN-LAHAN Najwan mengetuk pintu bilik E-jat. Pintu itu dibuka perlahan. E-jat sedang meniarap di atas katil bereka bentuk kereta sambil membaca buku cerita Disney di tangan. Najwan masuk lalu duduk di birai katil.

          “ Papa!” seru E-jat gembira. Buku yang pada asalnya sedang dibaca diletak ke tepi. Najwan ketawa. Kepala E-jat diusap perlahan.

          “ Macam mana? E-jat baik-baik aje tidur sorang-sorang, kan?” tanya Najwan. Laju E-jat mengangguk.

          “ Papa dah lupa? I’m a boy, right? Jadi, E-jat mana boleh takut-takut ni,” jawab E-jat bersemangat. Najwan ketawa lagi.

          “ That’s the reason why you’re my favourite boy,” kata Najwan. E-jat tersengih.

          “ Emmm… E-jat dah tahu kan yang papa kena pindah rumah dengan mama lepas ni?” tanya Najwan. Teragak-agak dia bersuara. Bimbang E-jat akan berkecil hati dengan khabar itu. Tetapi reaksi daripada E-jat kelihatan berlainan daripada apa yang dia fikirkan.

          Pantas E-jat mengangguk dengan wajah yang ceria. Najwan mula tersenyum lega. Syukur.

“ Tahu. Tuk mummy yang beritahu.”

          “ Jadi… E-jat tak kisah kalau papa pindah?” tanya Najwan lagi. Laju E-jat menggeleng.

          “ Tak kisahlah papa. Bukannya papa tak kasi E-jat pergi jenguk papa pun, kan?” kata E-jat petah. Najwan mengangguk. Dahi E-jat dikucup.

          “ Papa bimbang E-jat tak biasa,” kata Najwan. E-jat ketawa mengekeh.

          “ No! I’m okay. Tapi papa kena janji yang papa kena belanja E-jat aiskrim nanti,” kata E-jat. Najwan hanya ketawa. Kepala E-jat diusap lagi.

          “ Papa janji.”

          E-jat senyum. Dia merangkul leher Najwan.

          “ E-jat sayang papa,” katanya perlahan di telinga Najwan. Najwan mengangguk. Dia membalas pelukan E-jat.

          “ Papa pun sayang E-jat.”


MASUK office aje, terus jumpa Adam ya?” pesan Najwan saat Auni membuka pintu kereta untuk keluar daripada perut Prius. Spontan Auni menoleh kepada suaminya. Kenapa pula kena jumpa dengan Encik Adam?

          “ Kenapa perlu jumpa dia?” tanya Auni pelik. Najwan sengih sahaja.

          Auni keluar dari Prius dengan wajah yang penuh dengan kerutan. Najwan tidak mahu memberitahunya sebaliknya Auni perlu bertemu dengan Adam jika ingin mengetahui sebabnya.

          “ Berkerut aje muka kau ni? Takkan gaduh dengan hubby kot?” tanya Adda sebaik sahaja melihat Auni memasuki pejabat. Segera Auni menggeleng.

          “ Mengarutlah kau ni. Tak adalah,” balas Auni. Adda tersengih.

          Selepas meletakkan begnya di atas meja, dia terus mengatur langkah ke pejabat Encik Adam. Walau lelaki itu merupakan sahabat baik suaminya, namun Auni tetap menghormati lelaki itu sebagai majikannya.

           “ Morning,Cassy. Encik Adam ada kat office?” tanya Auni pada Cassy yang sedang membaca berita di laman sesawang. Cassy mengangguk.

          “ Dia baru aje masuk,” balas Cassy.

          “ Thanks.”

          Pintu pejabat Encik Adam diketuk perlahan. Setelah mendengar suara lelaki itu membenarkan dia masuk, barulah dia membuka pintu. Encik Adam sedang duduk meneliti fail di meja kerjanya. Auni memberi salam.

          “ Ni mesti Qimi yang suruh jumpa I awal pagi macam ni, kan?” teka Adam sambil tersengih. Auni mengangguk pantas. Tahu tahu aje ya Encik Adam ni?

          “ Dia suruh I beritahu you, mulai minggu depan you cuti selama seminggu,” kata Adam. Matanya kembali melilau pada isi fail di hadapannya.

          “ Cuti? Tapi kenapa?” tanya Auni pelik? Bukan ke cuti kahwin aku dah lepas? Aku minta cuti seminggu aje sebab nak kahwin hari tu.

          Adam ketawa. “ Dia kata nak bawa you pergi honeymoon.”

          Ha?

          “ Better you yang tanya dia sendiri,” kata Adam lagi apabila melihat kerutan di dahi Auni kian bertambah. Adam cukup pasti Najwan merahsiakan mengenai percutian bulan madu mereka daripada pengetahuan Auni sendiri.

          “ Aaa… okey.” Auni mengangguk. Selepas dia memberi tunduk hormat, dia terus keluar dari pejabat majikannya. Adam tergelak. Kepalanya digeleng perlahan.

          “ Nasiblah aku kerja dengan bini kau. Pandai betul kau pujuk aku luluskan cuti yang kau minta tu. Qimi, Qimi.”

          Adam ketawa lagi. Teringatkan perbualan dia dengan Najwan semalam.


NAJWAN ketawa kecil apabila nada dering Sideway Figure Eight berkumandang dalam pejabatnya. Matanya beralih kepada BlackBerry di atas meja. Telefon bimbitnya dicapai.

          “ Assalamulaikum, sayang. Kenapa?” tanya Najwan. Sekadar mahu berpura-pura dengan Auni. Semestinya Auni sedang mencebik sekarang. Tekaannya betul apabila mendengar isterinya merengus.

          “ Abang ni, buat malu Nini aje pergi minta cuti dengan Encik Adam,” kata Auni sebal. Najwan ketawa perlahan.

          “ Alah, takkan Nini tak nak pergi honeymoon? Papa pun dah luluskan cuti abang ni,” kata Najwan. Dia melihat pada bingkai gambar yang diletakkan gambarnya bersama-sama Auni ketika majlis persandingan mereka di hotel minggu lepas. Dia tersenyum sendirian.

            “ Bukan macam tu maksud Nini,” sambung Auni. Najwan ketawa.

            “ Then? Bunyi macam tak nak aje tu,” usik Najwan.

          “ Siapa kata tak nak? Abang nak ajak Nini pergi mana ni?” tanya Auni. Mata bulatnya bersinar. Tertarik dengan percutian yang dikatakan oleh suaminya.

          Najwan beralih ke tingkap. Matanya melihat ke sekitar kawasan bangunan syarikatnya.

          “ Nini nak ke overseas ke?” tanya Najwan. Auni mengeluh perlahan. Dia menggeleng pantas.

          “ Kalau honeymoon, mesti overseas. Kalau honeymoon, mesti overseas. Tak naklah. Kita pergi tempat lain ajelah dulu. Tempat yang jarang orang pergi kalau honeymoon, okey tak? Overseas tu lain kali pun boleh pergi. Kat dalam Malaysia ajelah abang,” kata Auni. Sejurus, dia mengetuk kepalanya. Kenapalah aku ni demand sangat? Mujur Abang Naj nak bawa aku pergi honeymoon aje.

          Najwan diam seketika. Mindanya mencongak kata-kata Auni. Akhirnya dia mengangguk.

          “ Abang rasa abang tau kita nak honeymoon kat mana. Nini mesti suka kalau abang bawa Nini ke sana,” kata Najwan. Terangkat kening Auni mendengarkan kata-kata itu. Dahinya berkerut kembali.

          “ Abang nak bawa Nini ke mana?” tanya Auni. Najwan tersenyum. Dia diam sahaja. Mungkin dia harus merahsiakan destinasi bulan madu yang difikirkannya sebentar tadi. Tetapi Najwan cukup yakin, Auni akan gembira dengan pilihannya ini.

            “ Abang? Cakaplah, abang nak bawa Nini ke mana? Onegai (tolonglah),” Auni menyoal sekali lagi tetapi Najwan tidak memberi sebarang respon.

            “ Kalau abang tak nak cakap, tak apalah. Just make sure yang Nini akan suka tempat tu,” kata Auni berbaur sedikit ugutan. Tawa Najwan kembali menyapa telinganya.

            “ Nini akan suka, trust me.”

            Auni mencebik. Entah ke manalah Najwan mahu membawa dia pergi.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...