
BERKERUT muka Nawal melihat pada wajah
monyok abangnya. Sudah lama dia memerhatikan Alongnya yang sedang duduk di
birai balkoni. Najwan duduk di atas pagar balkoni sambil bersandar pada tiang. Sebelah
kakinya diangkat ke atas, satu lagi terjuntai ke bawah. Nawal menggelengkan
kepalanya. Kenapa pula ni? Macam orang mati bini pun ada.
“ Along Naj,” panggil Nawal mendayu,
cuba menarik perhatian abangnya daripada terus tenggelam dalam dunianya
sendiri. Perlahan-lahan Najwan menoleh. Nawal sedang tersengih-sengih berjalan
ke arahnya.
“ Monyok semacam aje muka tu. Kenapa
ni?” tanya Nawal cuba mengusik namun muka Najwan tetap seperti tadi. Muram
sahaja lagaknya. Kalau sekali imbas, memang boleh dikatakan seperti muka
seorang suami yang kematian isterinya. Bahkan, lebih daripada itu.
“ Along!” panggil Nawal geram apabila
Najwan tidak membalas. Geram juga apabila dilayan seperti tunggul kayu oleh
abangnya itu.
Najwan turun daripada pagar balkoni
terus berjalan ke biliknya. Dia langsung tidak memberi sebarang respon kepada
Nawal hatta gerakan badan sekalipun. Termangu-mangu Nawal dengan tindakan
Alongnya. Berkerut-kerut mukanya melihat Najwan yang menghilang ke dalam bilik.
“ Kenapa pula tu? Takkanlah gaduh
dengan Kak Long kut,” getus Nawal kehairanan. Kenapalah Along macam kena sampuk
aje petang-petang macam ni?
Nawal
terus berlari ke tingkat bawah untuk mendapatkan mummy. Mungkin mummy tahu
jawapannya. Mummy sedang menghias
dulang hantaran pertunangan bersama-sama jiran sebelah rumah, Auntie Lia. E-jat pula sudah terbaring
di atas sofa bersama-sama buku cerita Disney di atas perutnya. Matanya kuyu.
Barangkali sudah mengantuk.
“ Mummy,”
panggil Nawal. Dia duduk di sebelah mummy
yang sedang membersihkan habuk yang sememangnya sudah tiada pada dulang
hantaran. Nampaknya sudah banyak kali mummy
membersihkan dulang-dulang itu semua berdasarkan kilauan pada permukaan
dulang-dulang itu. Mummy menoleh
sekilas.
“ Kenapa?”
Perhatian mummy kembali pada dulang hantaran. Nawal gelak perlahan. Sudah
berkilat pun namun mummy tetap
mengelapnya lagi. Memang tak sabar betul nak dapat menantu untuk anak sulung
ni.
“ Kenapa dengan Along tu? Monyok
semacam aje,” tanya Nawal. Dia bermain-main dengan reben putih di atas lantai.
Reben itu mummy gunakan untuk
menghias dulang-dulang hantaran tersebut.
Hairan
betul dia dengan abang sulungnya itu. Apa yang tak kena ni? Esokkan dah nak
bertunang, kenapa nampak tak gembira aje? Takkanlah tiba-tiba berubah fikiran
tak nak bertunang pula sedangkan Along merupakan orang yang paling tidak sabar
menanti hari yang cukup bersejarah baginya itu.
“ Along tu mengada nak ikut ke rumah
Kak Auni esok. Ada ke patut? Ikut adat manalah dia tu,” kata mummy. Nawal tergelak lagi. Patutlah
monyok semacam pun, mummy tak kasi
ikut. Ha ha ha…
Seperti yang dirancang, Najwan-Auni
akan berkahwin pada hari yang sama dengan Nawal-Syah selepas usia pertunangan
mereka sudah genap seminggu. Hantaran perkahwinan sudah disediakan terlebih
dahulu sebelum mummy menyiapkan
hantaran pertunangan. Semalam Nawal menemani mummy ke salah sebuah hotel lima bintang di Kuala Lumpur bagi melihat
persiapan untuk majlis persandingan.
Mummy
berpuas hati apabila suasana yang menenangkan di halaman hotel itu. Majlis
bertemakan perkahwinan di dalam taman menjadi pilihan Nawal. Auni hanya menurut
sahaja. Dia turut bersetuju dengan konsep itu. Konsep itu turut menjadi
pilihannya kerana Auni mendapati ianya bakal memberi kelainan pada
perkahwinannya walaupun tema seperti itu sudah menjadi pilihan ramai pengantin
yang lain.
Nawal mengangkat muka, matanya
merenung pada siling tinggi di atasnya. Agak-agak, Along tak rancang apa-apa ke
untuk esok? Takkan dia nak diam aje ikut apa mummy suruh. Tak percayalah. Ha
ha ha… Nawal cukup kenal akan sikap abangnya itu. Jangan sesekali fikir
Najwan tidak akan memikirkan alternatif yang lain bagi menyelesaikan
masalahnya. Itulah abang sulung Nawal yang cukup dia kenali.
AUNI menjenguk sekilas ke halaman rumah.
Dup dap dup dap jantungnya sejak dia
bangun daripada tidur masa Subuh lagi. Semuanya gara-gara rombongan meminang
dia akan tiba dari rumah Najwan beberapa minit sahaja lagi. Buat masa sekarang,
Auni merasakan semuanya serba tidak kena pada dirinya.
“ Adik!”
“ Astagfirullah!”
Pantas Auni memalingkan wajah ke
belakang. Bibirnya diketap kuat. Memanglah manusia yang seorang ni tak boleh
tengok dia senang walau sesaat pun. Terus ditampar bahu Along yang menyergahnya
tadi. Padan muka!
“ Apa ni adik?” tanya Aisar geram.
Digosoknya bahagian bahu yang sakit akibat perbuatan adik bongsunya itu.
“ Padan muka! Suka betul kacau adik! Emph!” Auni angkat kaki menuju ke bilik
Angah yang terletak bersebelahan dengan biliknya. Along ditinggalkan
terkebil-kebil di situ.
Geram
betul Auni dengan Aisar. Masa hatinya bagai nak tercabut kerana terlalu
berdebar-debar, boleh pula Along buat lawak antarabangsa dengan menyergahnya
tadi? Mujur aje dia tidak punya sebarang masalah jantung, kalau tidak mahu aje
dia pengsan di situ dek terkejut.
Angah sedang membetulkan selendang
biru mudanya di hadapan cermin. Dia senyum sahaja apabila melihat wajah masam
Auni yang baru sahaja memasuki biliknya. Auni duduk di birai katil lalu
disertai Angah. Angah tersenyum melihat adiknya yang cantik mengenakan kurung
moden berwarna biru muda.
“ Kenapa masam semacam ni? Patutnya
sekarang ni Angah tengok adik happy,
bukan masam macam ni,” tanya Angah. Dia menolong membetulkan lipatan selendang
adiknya. Auni mengeluh perlahan.
“ Along punya kerjalah ni. Suka betul
kacau orang,” rungut Auni.
Angah ketawa. Faham benar dengan
perangai Along mereka. “ Sudahlah. Lepas ni rombongan dah nak sampai. Takkan
adik nak buat muka macam ni depan orang ramai?”
Auni sengih. Dia mengangguk sahaja.
Ya tak tak juga. Nanti jatuhlah saham aku depan parents Najwan.
Riuh rendah di bawah memaksa mereka
berdua menjenguk. Auni tergamam apabila melihat deretan kereta yang diparkir di
hadapan rumahnya. Berbelas-belas orang masuk ke halaman rumahnya sambil membawa
dulang hantaran yang sudah berhias cantik. Angah pula kelihatan teruja.
“ Mereka dah sampailah!”
Pintu bilik Angah diketuk. Segera
Angah pergi membuka pintu. Ummi tercegat di hadapan pintu. Ummi juga cantik
dengan jubah biru muda di tubuhnya.
“ Adik, mari turun. Acara dah nak
mula ni,” kata ummi lembut. Teragak-agak Auni mengangguk. Ummi dan Angah
mengiringi Auni turun ke ruang tamu.
Debaran hati Auni kian menggila
apabila melihat betapa ramainya orang di ruang tamu. Dia nampak mummy duduk bersimpuh di sebelah baba.
Wanita itu tersenyum apabila ternampaknya. Perlahan-lahan Auni mengukir senyum.
Dia duduk di sisi ummi sambil diapit oleh Angah.
Upacara pertunangan berlangsung. Auni
asyik tahan gelak sahaja sewaktu acara berbalas pantun berjalan. Baba yang
mewakili pihak Najwan langsung tidak pandai berpantun. Begitu juga dengan
walidnya. Riuh rendah ruang tamu itu yang berhias cantik dengan tawa para
tetamu.
Auni menoleh sekilas pada Kak Syara
yang duduk di sisi Along. Kasihan pula dia melihat kakak iparnya itu. Kelihatan
sarat benar. Hanya menunggu masa untuk melahirkan sahaja. Walau bagaimanapun,
seri seorang bakal ibu terlakar pada wajah itu.
“ Adik, tu,” bisik Angah di telinga Auni
apabila mendapati Auni langsung tidak menyedari situasi di majlis itu. Auni
tersenyum gugup apabila melihat mummy
mendekatinya dengan satu kotak cincin berbaldu merah. Mummy duduk bersimpuh di hadapan Auni. Tangan Auni diraih perlahan.
“ Terima kasih sebab sudi jadi
menantu mummy,” ucap mummy terharu. Auni tersenyum. Air
matanya menitis setitik apabila melihat sebentuk cincin platinum berbatu
permata nilam di jari manisnya. Pantas dia mengesat mata, lepas ni mesti teruk
kena sakat dengan Along.
“ Naj nak datang juga sebenarnya,
tapi mummy tak bagi. Ada ke patut dia
datang waktu bertunang ni? Tak tahu adat ke?” beritahu mummy. Auni tergelak kecil. Mummy
memeluknya erat. Auni bersyukur kerana kehadirannya dalam keluarga Najwan
direstui oleh kedua-dua belah keluarga.
Masa yang seterusnya dihabiskan
dengan bergambar sahaja. Dua orang jurugambar lelaki sedang mengambil
gambar-gambar mereka. Auni mengerling sekilas pada kedua-dua jurugambar itu.
Seorang
berpakaian kemas manakala yang seorang lagi memakai kaca mata hitam besar dan
berjambang. Betul-betul tidak kemas pada pandangan Auni. Namun lelaki
berjambang itulah yang beria-ria mengambil gambarnya.
Ummi dan walid mempersilakan para
tetamu menjamu hidangan yang disediakan di halaman rumah. Auni menuruti sahaja
ibu bapanya. Sedari tadi mummy tidak
lepas-lepas daripada mengukir senyum kepadanya. Nawal yang turut hadir sama
sahaja seperti mummy.
Hidangan yang disediakan di halaman
rumah itu ditempah secara katering. Ummi bimbang jika dia tidak punya masa
untuk menyediakan hidangan untuk hampir lima puluh orang tetamu itu, tambahan
lagi dengan jiran terdekat yang turut diundang bersama.
Kepanasan kerana mengenakan selendang
yang berbelit-belit di kepala, Auni meminta diri untuk ke halaman belakang
sekejap. Dia bukannya biasa bertudung dengan gaya yang baginya keterlaluan. Pin
sana, pin sini. Ini semua cadangan Angah yang memang suka bergayalah macam inilah.
Pada
mulanya Auni mahu mengenakan tudung biasa tetapi Angah berkeras mahu
menggayakan dirinya dengan seledang. Kata Angah, masa bertunang seperti ini
sepatutnya Auni memberi kelainan daripada gayanya yang biasa. Dek tidak mahu
bertikam lidah kerana hal yang remeh seperti ini, Auni turutkan sahaja
permintaan Angah.
Eh?
Auni pandang sekejap pada lengannya
yang dipegang oleh seseorang sebelum matanya pergi pada wajah orang yang
memegang tangannya itu. Berubah air mukanya apabila melihat jurugambar yang
berjambang dan bercermin mata hitam tadi yang memegang lengannya. Auni mula
rasa tidak sedap hati.
“ A…”
Sebelum sempat dia berkata apa-apa,
lelaki berjambang itu terus menariknya ke belakang rumah. Mereka berdua
bersembunyi di sebalik dinding bahagian dapur. Auni mula ketakutan. Apa yang mamat ni nak buat? Aaa!!!!
Auni terus menarik tangannya daripada
pegang lelaki itu. Dia meronta-ronta untuk melepaskan diri. Mahu menjerit,
suaranya tidak terkeluar. Namun lelaki itu tetap tidak melepaskan pegangan
tangannya. Semakin kuat rontaan Auni untuk melepaskan dirinya daripada
genggaman lelaki yang tidak dikenalinya itu.
“ Lepaskan tangan saya! Awak…”
Kaki lelaki itu ditendang sekuat hati
tetapi tangannya masih lagi tidak dilepaskan. Sekali lagi dia menendang kaki
lelaki itu sekaligus memukul bahu lelaki itu dengan sebelah tangannya yang
masih lagi bebas. Lelaki itu mula mengaduh kesakitan.
“ Lepaskan saya!”
“ Eh.. aduh… Nini!”
Terbeliak mata Auni mendengar
kata-kata lelaki itu. Tangannya yang masih bebas berhenti daripada memukul
lelaki itu. Dia tergamam buat seketika.
“ Ini sayalah!” Cepat-cepat Najwan
membuang kaca mata hitamnya. Jambang palsu yang sekian lama dipakainya sejak
tadi turut dibuang. Terlopong mulut Auni melihat pada wajah lelaki yang sudah
bergelar tunangnya itu.
“ Naj?”
“ Ya! Ni sayalah!” tegas Najwan. Dia
menggosok bahunya yang sakit dipukul Auni. Auni mencebik. Rasa malu pun ada.
Dia mula bercekak pinggang.
“ Yang awak tak cakap awal-awal tu
kenapa? Saya ingatkan awak nak buat apa-apa pada saya! Gaya awak tu memanglah
saya tak cam! Sakit tahu tak awak tarik macam tu?” bebel Auni geram, teringat
akan lengannya yang dipegang Najwan tadi. Nasib baik beralas, kalau tak memang
aku hempuk-hempuk mamat ni!
Najwan tersengih. Dia mengangkat
tangan dengan gaya memohon maaf. “ Sorry,
tapi cuma ni aje cara untuk saya jumpa awak. Mummy berkeras tak kasi saya pergi majlis ni, terpaksalah saya
menyamar macam ni.”
Auni tepuk dahi. Tidak sangka nekad
benar lelaki ini mahu hadir ke majlis pertunangan ini sehingga sanggup menyamar
bagai nak rak. Adush!
“ Tak ada orang tahu ke yang awak
menyamar macam ni?” tanya Auni. Nadanya direndahkan kerana bimbang akan
diketahui oleh orang lain. Najwan sengih lagi. Dia menggaru belakang
tengkuknya.
“ Baba aje yang tahu. Kalau mummy tahu, memang sah saya kena balun
dengan mummy,” kata Najwan perlahan.
Auni tepuk dahi sekali lagi.
“ Kenapa awak nekad sangat nak datang
majlis ni? Bukannya menarik pun,” kata Auni. Najwan tergelak perlahan.
“ Sebab nak tengok awaklah! Bukan
senang tau nak menyamar macam ni. Nasib baik baba boleh tolong cover line. Mummy fikir saya merajuk duduk dalam bilik sepanjang hari ni sebab
dia tak kasi saya datang sama, padahal saya dah join photographer yang
satu lagi. Nasib baik jugalah photographer
tu tak kata apa masa saya datang menyelit,” kata Najwan lagi.
Auni mula
tersipu malu. Kata-kata Najwan pada mulanya membuatkan dia malu sendiri. Nak
tengok aku?
“ Suka hati awaklah. Sekarang ni awak
dah puas tengok saya so awak dah
boleh pergi. Macam mana kalau ada orang lain nampak kita berdua-dua macam ni?
Saya tak nak ada orang fikir kita ada skandal pula,” kata Auni. Sedaya upaya
dia menahan dirinya daripada ketawa. Najwan mencebik.
“ Kenapa pula skandal? Kita kan dah
bertunang?” soal Najwan tidak puas hati.
“ Masalahnya, boleh ke orang cam awak
ni tunang saya? Tengoklah pakaian awak sekarang, dengan jambang palsu tu lagi,”
Auni mengomel.
Turun
naik matanya melihat pada Najwan. Lelaki itu kelihatan selekeh dengan jean
hitam dan kemeja berpetak-petak yang agak longgar. Berlainan sekali dengan imej
Najwan yang sentiasa bergaya walau hanya mengenakan kemeja T sahaja.
Najwan sengih lagi. Auni pula mula
mencebik. “ Ya tak ya. Tak apalah, saya pergi dululah. Saya datang ni pun sebab
nak jumpa awak. Jumpa sekejap pun jadilah. Err…
assalamualaikum.”
Salam itu dibalas perlahan. Auni
memerhatikan sahaja Najwan berlari pergi meninggalkannya. Dia menggelengkan
kepalanya perlahan, masih tidak percaya dengan apa yang terjadi. Baru sahaja
dia berpaling ke belakang, namanya diseru lagi.
“ Ada apa?” tanya Auni. Najwan berlari
mendapatkannya kembali. Lelaki itu hanya tersenyum.
“ Saya lupa nak beri awak benda ni,”
kata Najwan. Kali ini klip kertas berwarna biru pula yang diberikan kepada
Auni. Auni tersenyum.
“ Ingat juga awak. Saya pun lupa
tadi,” kata gadis itu. Matanya melihat pada klip kertas itu. Seperti biasa,
klip kertas itu akan disimpan di dalam balang kaca pemberian Najwan tempoh
hari.
“ Mana boleh lupa. Saya dah janji,
kan?” kata Najwan. Berbunga hatinya apabila melihat senyuman Auni mekar
untuknya.
“ Dan…” Najwan menyeluk poket
jeannya. Sekeping kertas kecil yang berlipat dihulurkan kepada Auni, “ … saya
nak beri awak kertas ni.”
Berkerut dahi Auni selepas membaca
apa yang tertulis pada kertas itu. Hanya ada nombor 464 sahaja pada kertas itu.
Dia mengangkat wajah lalu merenung wajah lelaki yang baru sahaja bergelar
tunangannya itu.
“ Apa maksud 464?” tanyanya dengan
kerutan masih di dahi. Najwan tersenyum.
“ Maksudnya, Saya Sayang Awak. Kan
sama tu, S.A.Y.A ada empat huruf, S.A.Y.A.N.G ada enam huruf, A.W.A.K pula ada
empat nombor. Jadilah 464,” jawab Najwan dengan gaya guru sedang mengajar anak
muridnya mengeja. Auni ketawa.
“ Bukan ke orang biasa guna 143?”
tanya Auni lagi. Najwan senyum lagi. Kali ini lebih meleret.
“ 464 hanya untuk awak. 143 tu dah
berjuta orang guna,” jawab Najwan mudah. Auni ketawa lagi. Ada-ada aje ulah
lelaki ini. Macamlah tak ada orang guna 464 tu.
“ Tak apalah, saya nak kena pergi
dah. Silap kantoi dengan mummy, nahas
saya,” kata Najwan.
Auni mengangguk sahaja. Tanpa berkata
apa-apa lagi, Najwan terus meninggalkan tempat itu. Najwan senyum lagi. Jambang
palsu dan kaca mata hitamnya dipakai kembali.
3 comments:
best...
best2
Comel je..464..hihi