Ai no Kotoba

Colours make your life beautiful, melody makes your life rhythm and harmony makes your life a life - Hana

Semua karya dalam blog ini hak cipta terpelihara penulis. Anda tidak dibenarkan menciplak, me-copy, memplagiat atau with every means to copy it atau mengaku karya itu anda punya.
Semua karya tidak mempunyai kaitan dengan yang hidup mahupun yang sudah meninggal dunia.
Selamat membaca. Peace!

Watashi no Tomodachi :D

Entri Terbaru! Tengok Sini!

Wednesday, April 24, 2013

Endless Love 56




JI HOON terpana. Matanya terpaku seketika pada cermin sisi kereta. Berkali-kali dia melihat pada cermin sisi itu. Adakah ini khayalannya sahaja atau memang dia melihat Eun Hee sedang berlari ke arahnya yang sedang memandu kereta?

          Kakinya menekan brek. Dia terdorong ke hadapan kerana berhenti secara mengejut. Ji Hoon segera berpaling ke belakang melepasi tempat duduk belakang yang tidak dipasang bumbung keretanya. Dia terkedu.

          “ Abang!!!”

          Pantas Ji Hoon melompat keluar daripada pintu kereta. Dia terpaku di sisi keretanya. Mata di balik kaca matanya hitamnya masih merenung tidak percaya pada Eun Hee yang sedang berlari mendapatkannya. Langkah gadis itu terhenti beberapa langkah di hadapan suaminya.

          “ To... long ja...ngan pergi! Eun Hee... tak nak a... bang pergi! Tolong!” esak Eun Hee. Air matanya mengalir membasahi pipi. Dia menggeleng perlahan.

          “ Ja... ngan pergi...”

          Tanpa mengucapkan apa-apa, Ji Hoon terus meluru ke depan lalu memeluk erat gadis itu. Eun Hee merangkul lehernya. Gadis itu tersedu-sedan. Ji Hoon tidak menghiraukan basah bahunya dengan air mata gadis itu. Dia cukup tidak percaya dengan apa yang berlaku. Mendengar gadis itu menuturkan kata-kata!

          “ Eun... Hee nak cakap yang... Eun Hee... tak... nak a... bang... pergi... Abang... de... ngar tak?” kata Eun Hee sayu. Cuba dikawal sebaik mungkin pertuturannya yang terasa janggal. Leher Ji Hoon dirangkul erat. Dia menangis lagi.

          “ Ya, sayang. Abang dengar, abang dengar. Abang takkan pergi, abang janji,” bisik Ji Hoon sayu. Kepala gadis itu diusap penuh kasih sayang.

          Ji Hoon seakan mengalami suatu keajaiban. Dalam putus asanya menanti Eun Hee, gadis itu kembali kepadanya dalam keadaan normal. Walaupun bunyinya janggal pada pendengaran Ji Hoon, namun dia amat menghargai kata-kata gadis itu. Dia tahu betapa sukarnya untuk gadis itu bertutur kembali seperti sedia kala selepas sudah lama berada dalam dunia bisunya.

          “ Eun Hee... nak cakap... yang... Eun Hee sa... yangkan a... bang,” ucap Eun Hee lagi dalam esakannya. Ji Hoon mengangguk lagi. Dia mengucup bahu gadis itu. Betapa dia bersyukur dengan apa yang telah terjadi kepadanya.

          “ Eun Hee... nak cakap yang... Eun Hee... cintakan abang...” Eun Hee sendu. Kali ini lebih erat pelukan Ji Hoon padanya. Eun Hee termengkelan. Wajahnya berubah merah. Kedua-dua tangan Ji Hoon hinggap di pipinya. Direnung lama wajah yang basah dengan tangisan itu.

          “ Kita balik rumah kita ya, sayang?” pinta Ji Hoon terlalu berharap. Sudah lama rumah itu sepi dengan bayangan Eun Hee. Dia mahu mengembalikan suasana bahagia rumah itu.

          “ Ta... pi... macam mana dengan... Seoul?” tanya Eun Hee terkejut. Dia gembira dengan pelawaan itu tetapi bagaimana dengan penerbangan suaminya ke Seoul? Bukankah lelaki itu harus pulang ke sana?

          Ji Hoon menggeleng tegas. Dia menarik tangan Eun Hee masuk ke dalam keretanya. Pintu kereta di bahagian Eun Hee ditutup sebelum dia meluru ke tempat duduk pemandu. Dia menoleh ke wajah bingung isterinya.

          “ Abang tak akan pulang ke Seoul tanpa Eun Hee. Kita akan ke Seoul sama-sama dan kita akan kembali ke sini. Abang akan tetap pegang jawatan abang di resort tu. Kita akan tinggal di sini,” jelas Ji Hoon. Eun Hee menarik senyum. Dia mengangguk sedikit. Air matanya dikesat perlahan oleh Ji Hoon.


EUN HEE terpaku sebaik sahaja kakinya dijejakkan ke dalam banglo putih itu. Dia terlalu rindukan rumah ini. Sudah lama rumah ini ditinggalkan olehnya. Suasana dalamnya tidak banyak berubah.

          “ Kita naik atas,” pelawa Ji Hoon. Bagasinya dibawa keluar daripada bonet kereta lalu dibawa ke ruang tamu. Eun Hee menurut sahaja. Kejap pegangan Ji Hoon pada jemarinya seakan tidak mahu dilepaskan. Mereka berlalu ke tingkat atas.

          “ Itu...”

          Mata Eun Hee melekat pada sebuah balang kaca yang terletak di atas meja kecil di sisi katil mereka. Ji Hoon mendapatkan balang kaca itu lalu ditunjukkan kepada Eun Hee. Penutup balang kaca itu dibuka. Ji Hoon tersenyum kecil.

          “ Abang yang simpan. Setiap kertas yang Eun Hee coretkan pada abang, abang akan ambil dan simpan dalam ni. Daripada kertas pertama yang abang dapat daripada Eun Hee sehingga kertas terakhir yang Eun Hee coretkan kata-kata. Setiap malam, abang akan buka dan baca kembali semua kertas ni. Sekurang-kurangnya, rindu abang akan terubat,” jelas Ji Hoon. Dia tertawa kecil namun wajah Eun Hee berubah muram.

          “ Kenapa, Eun Hee?” tanya Ji Hoon cemas. Bimbang jika dia ada mengatakan apa-apa yang mungkin melukakan hati gadis itu. Dia menarik nafas lega apabila melihat gadis itu menggeleng. Eun Hee tersenyum hambar.

          “ Maaf... Eun Hee memang bodoh... sebab...”

          Kata-katanya terhenti di situ. Dia melihat Ji Hoon menggeleng perlahan.

          “ Bukan salah Eun Hee. Eun Hee terlalu paranoid dengan apa yang menimpa ibu bapa Eun Hee dulu, kan? Abang tak salahkan Eun Hee, abang cukup bersyukur dengan apa yang jadi sekarang,” ucap Ji Hoon lembut.

          Eun Hee mengangguk perlahan. Dia menguntum senyum. Tangan Ji Hoon yang dipakaikan cincin perkahwinan mereka ditarik. Eun Hee mengucup cincin itu penuh syahdu. Dia mengangkat wajah, menunjukkan jari manisnya yang turut memakai cincin itu.

          “ Eun Hee tak akan tanggalkan cincin ni lagi, itu janji Eun Hee,” ucap Eun Hee lebih lancar daripada sebelumnya. Ji Hoon mengangguk berpuas hati. Dahi gadis itu dikucup lembut.


RYU MIN tersenyum melihat siapa yang datang ke rumahnya. Melonjak-lonjak dia memanggil bapanya keluar rumah. Tergesa-gesa Pak Cik Dam Shik meluru mendapatkan Ryu Min yang sedang terkinja-kinja. Dia merenung kehairanan kepada anak bongsunya itu.

          “ Kenapa? Siapa yang...”

          Pak Cik Dam Shik terpaku melihat Ji Hoon muncul bersama-sama Eun Hee yang merangkul erat lengan kanan lelaki itu. Lama matanya terpaku pada pasangan suami isteri itu. Ryu Min terpaksa menarik tangan bapanya dengan kuat untuk menyedarkan lelaki itu.

          “ Oh... ya! Ya! Kamu... berdua dah baik?” gugup Pak Cik Dam Shik bersuara. Ryu Min ketawa terkekeh-kekeh. Dia meluru mendapatkan Ji Hoon dan Eun Hee di hadapannya. Tawanya kian galak apabila Ji Hoon mendukung dirinya.

          “ Ya, pak cik,” jawab Ji Hoon sopan. Dia menoleh pada Eun Hee di sisi. Eun Hee kelihatan teragak-agak namun Ji Hoon mengangguk menyakinkan gadis itu. Eun Hee menarik nafas.

          “ Pak cik... Ryu Min...”

          Kali ini bukan Pak Cik Dam Shik sahaja yang kaku di tempatnya, Ryu Min juga begitu. Terlopong mulut Ryu Min melihat pada wajah Eun Hee. Pak Cik Dam Shik menggosok-gosok matanya seakan tidak percaya dengan apa yang dilihatnya. Telinganya pula ditarik kuat.

          “ Pak cik...” ucap Eun Hee gugup. Dia tersenyum cemas.

          Pak Cik Dam Shik terpaku lagi. Telinganya ditarik kuat sekali lagi. Benar, ini bukan khayalannya. Eun Hee benar-benar menuturkan kata-kata itu. Gadis itu...

          “ Kak Eun Hee dah boleh cakap balik! Kak Eun Hee dah boleh cakap balik!” sorak Ryu Min kuat di dukungan Ji Hoon. Ji Hoon dan Eun Hee sama-sama tertawa melihat pada telatah gadis itu. Terkocoh-kocoh Ryu Min minta diturunkan daripada dukungan. Gadis kecil itu memeluk Eun Hee pula.

          “ Tahniah, kak! Ryu Min betul-betul gembira untuk Kak Eun Hee. Mula-mula, Kak Eun Hee baik balik dengan Abang Ji Hoon, lepas tu Kak Eun Hee dah boleh cakap balik. Yay!” Ryu Min melompat gembira. Pak Cik Dam Shik turut menyertai tawa Eun Hee dan Ji Hoon.

          “ Eun Hee,” panggil Pak Cik Dam Shik. Wajah anak saudaranya itu direnung penuh kasih sayang.

          “ Pak cik gembira untuk kamu,” ucap lelaki itu. Eun Hee mengangguk gembira. Dia memeluk bapa saudaranya itu.

          “ Terima kasih, pak cik,” balas Eun Hee. Ryu Min dan Ji Hoon saling berbalas pandang. Kedua-dua tersenyum bahagia.


KESEMUA pakaiannya dimasukkan ke dalam beg pakaian. Dia akan berpindah balik ke rumah Ji Hoon selepas ini. Suaminya sedang berbual-bual dengan Pak Cik Dam Shik di luar. Ryu Min pula masih di sini membantunya berkemas.

          Eh?

          Eun Hee menjenguk ke bawah katil. Matanya menangkap sesuatu, seakan-akan pernah dilihatnya. Tangannya dijangkau ke bawah katil. Sebuah kotak sederhana besar berwarna hitam ditarik keluar. 

          Mata Eun Hee melekat pada kotak itu. Inilah kotak yang dia temui sehari sebelum perkahwinannya dengan Ji Hoon. Kotak itu ditemui ketika dia sedang membersihkan bilik di rumah itu. Dia masih ingat yang Pak Cik Dam Shik melarangnya membuka kotak itu.

          “ Kak Eun Hee jumpa kotak tu?” tegur Ryu Min seraya menghentikan kerjanya. Dia duduk di sisi Eun Hee. Matanya juga tertumpu pada kotak hitam itu.

          “ Kotak apa ni?” tanya Eun Hee hairan. Dia melihat senyuman Ryu Min terukir. Kotak itu bertukar tangan. Ryu Min membuka penutup kotak tersebut.

          “ Kotak ni...” Isi kotak itu didedahkan. Mata Eun Hee terpaku pada isi dalaman kotak itu. “ ... ayah letakkan gambar-gambar mak, barang-barang perhiasan mak. Ryu Min selalu nampak ayah buka kotak ni tengah-tengah malam. Ryu Min nak tengok, tapi ayah tak bagi, jadi Ryu Min tengok curi-curi. Tapi, dah lama Ryu Min tak nampak ayah buka kotak ni. Sejak Kak Eun Hee tinggal balik kat sini.”

          Beberapa keping foto Pak Cik Dam Shik bersama-sama mendiang isterinya berada dalam kotak itu. Terdapat juga sebilah sikat yang berukir cantik pada pemegangnya, rantai-rantai tangan dan keronsang yang cantik berada di dalamnya.

          Eun Hee mengukir senyum. Dalam diam, bapa saudaranya itu merindui mendiang isterinya. Sudah tentu dia tidak mahu menunjukkannya di hadapan Eun Hee dan Ryu Min. Lelaki itu menyimpan perasaan itu jauh dalam sudut hatinya.

          Semua orang... berhak mencintai dan dicintai. Begitu juga aku. Aku tak akan lepaskan lagi bahagia milik aku, tak akan...

          Eun Hee tersenyum lagi. Kotak itu kembali disimpan ke bawah katil.


PERLAHAN-LAHAN kaki Ji Hoon menginjak mendapatkan isterinya yang sedang duduk di balkoni. Dia tersenyum apabila melihat gadis itu menarik rapat blaus putih yang dipakai rapat ke tubuhnya. Tubuh isterinya dirangkul rapat dari belakang. Eun Hee tersentak dari lamunannya. Dia tersenyum apabila melihat Ji Hoon sedang menguntum senyum kepadanya.

          “ Eun Hee tengah tengok apa?” tanya Ji Hoon. Suaranya direndahkan.

          Eun Hee tersenyum. Matanya kembali pada langit malam. “ Abang...”

          Ji Hoon mengangkat sebelah keningnya, menanti gadis itu menyambung bicaranya.

          “ ... agak-agak, mama dan papa gembira tak tengok Eun Hee?” soal gadis itu polos. Ji Hoon tersenyum lalu tertawa kecil. Tubuh isterinya dibawa menghadapnya. Kedua-dua tangannya dilekatkan pada pipi Eun Hee.

          “ Dah tentu, sayang. Ibu bapa mana yang tak gembira tengok anak mereka sedang bahagia sekarang ni?” jawab Ji Hoon perlahan. Dahi isterinya dikucup hangat. Eun Hee tersenyum malu.

          “ Terima kasih, sebab sudi bersama Eun Hee selama ni. Walau pun...” Ji Hoon menggeleng perlahan, menghalang Eun Hee daripada meneruskan kata-katanya. Redup pandangannya menikam ke wajah gadis itu. Ji Hoon mengukir senyum.

          “ Bukan Eun Hee saja yang patut berterima kasih. Eun Hee berterima kasih pada abang sebab abang sudi menerima Eun Hee yang punya kekurangan saat perkahwinan kita dan abang tak pernah menyesal dengan pilihan abang. Dan...” Ji Hoon menarik nafas. Rambut isterinya yang jatuh menutupi mata dibawa ke telinga.

          “ ... abang patut berterima kasih dengan Eun Hee sebab Eun Hee dah bagi peluang pada abang untuk mencintai dan dicintai Eun Hee, walau masa tu Eun Hee masih ragu-ragu dengan abang.”

          Eun Hee tersenyum penuh mengerti. “ Kita sama-sama berterima kasih?”

          “ Dah tentu,” ucap Ji Hoon. Dia mengangguk penuh sabar. Mereka kembali berpaling menghadap ke balkoni. Sekali lagi tubuh gadis itu dipeluk erat.

          “ Eun Hee?” seru Ji Hoon perlahan.

          “ Em?”

          “ Masih ingat janji kita?” tanya Ji Hoon perlahan. Pantas Eun Hee berpaling ke belakang. Dahinya berkerut.

          “ Ingat tak janji abang untuk bawa Eun Hee ke Australia? Yang kita akan melawat Blue Mountains sama-sama?” jelas Ji Hoon.

          Lama Eun Hee memikirkannya, barulah dia mengangguk tersenyum. Dah lama janji itu termeterai, dan baru kini suaminya akan melaksanakan janji itu. Ji Hoon tertawa kecil. Kepala isterinya diusap perlahan.

          “ Lepas kita ke Seoul, abang nak bawa Eun Hee ke Australia dan Paris, kota cinta. Kita pergi sama-sama, ya?” bisik Ji Hoon rendah. Eun Hee tersenyum lalu mengangguk lagi.

     Mata mereka sama-sama singgah di dada langit, merenung bintang-bintang yang bertaburan. Eun Hee tersenyum penuh kesyukuran. Akhirnya dia mendapat kembali apa yang telah dia hilang dahulu. Dan dia gembira kerana dia masih belum terlewat untuk semua ini.     
     

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...