Ai no Kotoba

Colours make your life beautiful, melody makes your life rhythm and harmony makes your life a life - Hana

Semua karya dalam blog ini hak cipta terpelihara penulis. Anda tidak dibenarkan menciplak, me-copy, memplagiat atau with every means to copy it atau mengaku karya itu anda punya.
Semua karya tidak mempunyai kaitan dengan yang hidup mahupun yang sudah meninggal dunia.
Selamat membaca. Peace!

Watashi no Tomodachi :D

Entri Terbaru! Tengok Sini!

Friday, February 26, 2010

You're In My Forgotten Memories 4


TAJAM renungan mata Yun Ho semakin menambah resah di hati Hye Sun. Serba tidak kena dibuatnya. Dia melempar pandangan ke kawasan taman yang lengang. Tidak sanggup untuk bertentang mata dengan lelaki itu.

         “ Betul ke kata Hyo Rin tadi?”

         Hye Sun semakin gelisah. Dia tidak tahu apa yang patut dikatakan. Mahu menceritakan perkara yang sebenarnya atau hanya mendiamkan diri? Dia benar-benar buntu.

         “ Hye Sun! Betul atau tak hubungan kita tak baik selama ni?” tanya Yun Ho. Sudah banyak kali dia mengaju soalan itu namun tiada jawapan balas daripada Hye Sun. Dia benar-benar ingin tahu akan kebenarannya.

         “ Hye Sun!”

         Hye Sun tersentak. Dia sudah tidak boleh berdalih lagi. Rahsianya sudah terbongkar. Dia sudah tidak boleh berpatah balik lagi. Hyo Rin telah membocorkan rahsianya itu.

         “ Be… betul,” kata Hye Sun tersekat-sekat. Sukar buatnya untuk berkata-kata saat ini. Dia tunduk merenung lantai. Tajam pandangan mata Yun Ho menikam wajahnya.

         “ Jadi, memang betullah hubungan kita tak baik selama ni?” tanya Yun Ho lagi. Hye Sun mengangguk lemah. Tidak ada gunanya jika dia ingin menafikan. Lambat laun Yun Ho akan tahu juga.

         “ Kenapa?”

         Hye Sun terdiam. Dia mendongak lantas memberanikan diri untuk merenung wajah lelaki itu. Renungan Yun Ho tidak lekang daripada wajahnya. Hye Sun menarik nafas dalam-dalam.

         “ Pertunangan kita diatur keluarga dan awak tak setuju,” jelas Hye Sun.

         “ Kalau macam tu, kenapa kita tetap bertunang?” tanya Yun Ho tidak percaya. Dia mengeluh. Wajahnya diraup berulang kali.

         “ Awak tak setuju, tapi… awak tak bantah pertunangan ni.”

         Kata-kata Hye Sun mengejutkan Yun Ho. Pantas dia melihat pada wajah itu. Dahinya berkerut.

         “ Saya tak bantah?” tanya Yunh H lagi. Hye Sun mengangguk teragak-agak.

         “ Tak mungkin…” ujar Yun Ho. Dia benar-benar tidak percaya. Kenapa dia tidak membantah jika benar dia tidak sukakan Hye Sun. Kenapa?

         “ Kenapa awak tak beritahu awal-awal?”

         Hye Sun mengeluh. “ Saya… saya tak sanggup. Hubungan kita baik lepas awak sedar daripada koma dan saya tak... saya tak nak kita kembali dingin.”

         “ Awak patut beritahu saya.”

         Serentak dengan kata-kata itu, Yun Ho bangun daripada bangku taman. Dia berjalan meninggalkan Hye Sun yang tergamam dengan tindakannya itu. Hye Sun mengeluh berat. Benar sangkaannya. Yun Ho akan berubah sikap sebaik saja cerita sebenat tentang mereka diketahuinya. Dia hanya memerhati setiap langkah lelaki itu pergi daripadanya dengan hati yang remuk.


LANGIT biru diperhati tanpa rasa jemu. Yun Ho bersantai di gazebo yang terletak di halaman rumahnya. Dia mengeluh. Sudah beberapa kali dia mengeluh. Jus oren diteguk perlahan. Dirasakan ada tangan yang menepuk bahu. Yun Ho menoleh.

         “ Jauh termenung,” sapa Dong Wook. Serta merta senyuman Yun Ho terukir.

         “ Kau datang dari mana?“ tanya Yun Ho. Dong Wook ketawa. Dia mengambil tempat di hadapan lelaki itu.

         “ Dari pejabat. Bila kau nak masuk pejabat balik? Dah lama kau cuti,” kata Dong Wook. Yun Ho tersenyum hambar. Dahi Dong Wook berkerut seribu. Kenapa pula ni? Murung benar wajah Yun Ho saat ini.

         “ Kenapa?”

         Yun Ho menjungkit bahu. Dia menebar pandang ke sekitar halaman rumahnya. Lama kemudian, keluhan Yun Ho terhembus. Kedengaran berat. Dong Wook mencuit lengan lelaki itu.

         “ Kenapa?” soalnya sekali lagi. Yun Ho menoleh ke arah sahabatnya itu. Wajah Dong Wook ditenung. Dong Wook masih tersenyum kepadanya.

         “ Kau tahu pasal aku dan Hye Sun?”

         Senyuman Dong Wook mati serta-merta. “ Kau gaduh dengan dia?”

         Pertanyaan Dong Wook tidak dijawab sebaliknya Yun Ho terus melontarkan soalan yang sama. Perlahan sahaja nada yang dituturkan.

         “ Kau tahu pasal hubungan aku dan Hye Sun bagaimana sebelum ni?”

         Sengaja dia mengutarakan soalan itu walaupun dia sendiri tahu bahawa Dong Wook tinggal di Amerika sebelum ini. Lelaki itu menetap di Amerika hampir setahun. Belum tentu Dong Wook akan tahu tentang kedudukan hubungan mereka.

         “ Dong Wook?” panggil Yun Ho apabila melihat sahabatnya hanya mendiamkan diri. Akhirnya Dong Wook mengangguk.

         “ Aku tahu,” pendek sahaja jawapannya. Yun Ho mengeluh.

         “ Hubungan aku dan Hye Sun memang tak rapat, kan?” duga Yun Ho sekali lagi. Dong Wook mengangguk perlahan sebelum tiba-tiba sahaja kepalanya terangkat. Seolah-olah baru tersedar daripada sesuatu. Renungan matanya tepat pada wajah Yun Ho.

         “ Kenapa?” Kali ini Yun Ho pula yang dilanda kehairanan.

         “ Kau dapat tahu dari mana?” soal Dong Wook pantas. Bagaimana Yun Ho boleh ingat sedangkan doktor sendiri yang kata ingatan Yun Ho akan mengambil masa untuk pulih seperti sedia kala. Masakan Hye Sun sendiri yang mengatakan perkara itu.

         “ Hyo Rin yang beritahu.”

         Mata Dong Wook terbeliak. Hyo Rin? Tak guna! Dong Wook menyebak rambut ke belakang. Fikirannya kusut secara tiba-tiba apabila teringatkan gadis itu. Hyo Rin memang tidak jemu mengejarnya. Kali ini dia menyusahkan Hye Sun pula.

         “ Kenapa?” tanya Yun Ho. Dong Wook tersentak. Pantas dia menggeleng.

         “ Jadi… memang betullah hubungan aku dengan Hye Sun tak baik?” tanya Yun Ho buat kesekian kalinya. Dong Wook terpaksa mengangguk. Sudah tiada cara untuk dia berpatah balik.

         “ Kau dah mula bencikan Hye Sun?” Giliran Dong Wook untuk bertanya. Yun Ho menjungkit bahu. Dia kembali meluruskan pandangan ke hadapan.

         “ Aku... aku tak tahu. Tapi, aku rasa macam... kecewa sebab dia tak beritahu perkara ni.”

         “ Dah berapa hari korang tak bercakap?”

         “ Tiga.”

         Yun Ho mengeluh. Tangannya dibawa ke muka. Dia meraup wajah. Selama tiga hari itu jugalah dia mulai gelisah. Resah memikirkan keadaan Hye Sun. Gadis itu tidak menghubunginya. Yun Ho sendiri tidak mengambil tindakan untuk menghubungi gadis itu.

         “ Kesian Hye Sun. Dia bukannya sengaja. Dia nak jaga hubungan korang, sebab tulah dia tak beritahu. Dia bimbang kau akan semakin jauh daripada dia kalau kau dapat tahu. Sudahlah, pergi jumpa Hye Sun,” pujuk Dong Wook. Dia menepuk bahu Yun Ho. Yun Ho mengalih pandang kepada Dong Wook.

         “ Patut ke aku jumpa dia?”

         Dong Wook mengangguk. “ Hye Sun tunang kau dan lambat laun korang akan kahwin. Takkan kau nak hubungan kau dengan Hye Sun tidak baik seperti sebelum ni. Mungkin ni masanya untuk kau baiki hubungan kau dengan dia.”

         Yun Ho mengangguk. Ada juga kebenaran di sebalik kata-kata Dong Wook itu. Dia bangun daripada duduknya lantas menuju ke dalam luar. Dong Wook terkejut dengan tindakan sahabatnya itu yang secara mendadak.

         “ Oi! Kau nak ke mana?” laung Dong Wook.

         Yun Ho hanya melambai tanpa menoleh ke belakang. Seketika kemudian dia mendapatkan kereta di garaj sebelum kereta itu meluncur meninggalkan perkarangan rumah. Dong Wook ketawa sendirian. Lucu melihat aksi Yun Ho.


LAPTOP ditutup dan ditinggalkan di atas meja. Hye Sun berjalan ke beranda rumah. Dia mengeluh. Jarinya bermain-main dengan cincin pertunangan di jari manis. Gambar pertunangan antara dia dengan Yun Ho direnung seketika.

         Sudah tiga hari berlalu sejak peristiwa itu dan selama itulah Hye Sun tidak berhubungan dengan Yun Ho. Dia tidak berani apatah lagi memikirkan reaksi Yun Ho ketika lelaki itu mendapat tahu keadaan sebenar hubungan mereka. Bagi Hye Sun, Yun Ho sudah kembali kepada keadaan sedia kala. Hubungan mereka benar-benar tidak dapat berjalan dengan lancar.

         Hye Sun duduk di buaian besi yang diletak di beranda. Kakinya terjuntai ke bawah. Kepala direhatkan pada palang besi. Dia menggumam sendirian. Dia lesu saat ini. Pening kepalanya apabila memikirkan masalah dia dengan Yun Ho.

         “ Hye Sun!”

         Hye Sun tergamam. Rasanya dia dengar suara Yun Ho menjerit memanggil namanya. Pantas dia menggeleng. Tak mungkin! Itu bukan suara Yun Ho!

         “ Hye Sun!”

         Sekali lagi namanya diseru seseorang. Kali ini suara itu lebih kuat daripada tadi. Dahi Hye Sun berkerut. Dia segera berjalan ke pagar beranda. Terbuntang luas matanya apabila melihat Yun Ho sedang berdiri di luar pagar rumahnya.

         “ Keluarlah!”

         Jelas di matanya Yun Ho sedang melambai dari bawah. Hye Sun menggosok-gosok matanya. Dia benar-benar tidak percaya dengan apa yang dilihatnya. Sekali lagi suara Yun Ho menjengah telinga.

         “ Keluarlah! Atau awak nak saya panjat masuk ke dalam?” laung Yun Ho sekali lagi.

         Hye Sun menelan liur. Dia bergegas turun ke bawah. Ke mana pula orang gajinya? Takkan seorang pun tiada untuk membuka pintu pagar? Ibu dan bapanya tiada. Mereka ke rumah teman mereka. Hanya tinggal Hye Sun dan beberapa orang gaji mereka sahaja di rumah.

         “ Hai.”

         Itu perkataan pertama Yun Ho sebaik sahaja Hye Sun berdiri di hadapannya. Hye Sun mengetap bibir. Senyuman terukir dalam paksaan.

         “ H… Hai…”

         Yun Ho tersenyum. Tangan Hye Sun ditarik secara tiba-tiba. Hye Sun terkejut dengan tindakan itu. Dia cuba menarik tangannya namun gagal. Ternyata kudrat wanitanya tidak mampu menandingi tenaga seorang lelaki dewasa.

         “ Kita nak ke mana?” tanya Hye Sun sebaik sahaja dia didudukkan di dalam kereta. Yun Ho hanya mengukir senyum. Dia menjenguk ke dalam kereta.

         “ Saya nak bawa awak ke satu tempat,” kata Yun Ho sebelum pintu kereta di bahagian penumpang ditutup. Yun Ho masuk pula ke dalam kereta. Hye Sun tergamam.

         “ Tapi… saya… rumah saya…” Hye Sun kehilangan kata-kata. Dia benar-benar kebingungan dengan sikap Yun Ho. Yunho ketawa perlahan.

         “ Ikut sajalah,” ucapnya pendek.

         Hye Sun benar-benar tidak tahu apa untuk dikatakan. Dia menoleh ke arah rumahnya saat kereta itu bergerak meninggalkan banglo mewah itu. Pintu pagar kecil di sebelah pintu pagar utama masih terbuka. Janganlah ada pencuri masuk. Tolonglah, doa Hye Sun dalam hati.


BULAT mata Hye Sun melihat pada benda di tangan Yun Ho. Yun Ho sedang tersengih kepadanya. Dia tahu kenapa Hye Sun terkejut sedemikian rupa. Semuanya hanyalah kerana benda di pegangan tangannya. Benda yang baru sahaja dibawa keluar dari bonet kereta.

         “ Senapang air?” tanya Hye Sun seolah-olah tidak percaya.

         Dia menarik nafas perlahan-lahan. Pertama, Yun Ho tiba-tiba sahaja datang menemuinya. Kedua, lelaki itu mengajak dia keluar tanpa persetujuan daripadanya dan membawa dia ke taman bunga ini. Ketiga, sekarang ni pegang senapang air pulak? Takkanlah nak sambung main Water Splash seperti mana yang mereka lakukan beberapa hari lepas?

         “ Jom, kita main. Saya nak sambung main,” kata Yunho sambil ketawa.

         Hye Sun menggelengkan kepalanya. Dia merenung pada Yun Ho yang masih ketawa. Dia mengeluh sebelum dia berbicara.

         “ Awak dah lupakan perkara tu?” tanya Hye Sun perlahan. Bibirnya bergetar. Serta merta tawa Yun Ho mati. Renungannya tetap pada gadis itu.

         “ Ya.”

         Hye Sun mengeluh. Pandangan dilarikan ke bawah. Dia bermain dengan hujung lengan bajunya. Dia tidak tahu apa yang sesuai untuk dikatakan saat ini.

         “ Saya nak hubungan kita baik,” ujar Yun Ho. Kepala Hye Sun terangkat. Dia kembali merenung wajah tunangnya itu. Yunho mengangguk.

         “ Saya nak baiki hubungan kita. Saya tak nak hubungan kita dingin, seperti mana apa yang berlaku sebelum saya ditimpa kemalangan. Sudah sampai masanya untuk hubungan kita dibaiki. Saya tak nak kita kekal seperti dulu,” ucap Yun Ho tegas.

         Hye Sun tergamam. Kata-kata Yun Ho benar-benar ikhlas dalam pendengarannya. Perlahan-lahan dia mengangguk.

         “ Baik… lah,” ucapnya ringkas. Senyuman Yun Ho kembali di wajah itu.

         “ Jom! Sambung main!”

         Hye Sun tersentak. Dia menggeleng perlahan. Biarkan bajunya basah seperti tempoh hari? Tak mungkin! Tanpa sedar langkahnya menghala ke belakang beberapa tapak. Dia masih lagi menggeleng.

         “ Tak nak!”

         Yun Ho mula sengih jahat. Jelas mengambarkan apa yang sedang difikirkannya sekarang. Laras senapang air di tangan ditarik.

         “ Dah sedia?”

         “ Tak nak!”

         Serentak dengan itu kakinya mula berlari meninggalkan Yun Ho. Yun Ho yang sedang ketawa mula mengejarnya. Riuh taman itu dengan suara jeritan Hye Sun dan tawa Yun Ho. Pengunjung yang hadir hanya mampu menggeleng sahaja sambil tersenyum-senyum.

하나

Thursday, February 18, 2010

SHINE: You're My Melody 4


ARGHHH!!!

         Shikari sudah rasa mahu menjerit biar seluruh dunia mendengarnya. Alahai sibuknya! Dia berjalan ke sana sini. Dia perlu memastikan semuanya berjalan dengan lancar. Nasibnya baik kerana Jun ada untuk membantu dia. Kalau tidak, boleh hancur semua perkara yang sudah dirancang.

         “ Shikari!”

         Shikari menoleh ke belakang. Jun sedang berlari-lari anak mendekatinya. Langkahnya dimatikan. Kotak di tangan terasa semakin memberat. Kenapa pulak?

         “ Konsert akan bermula sekejap lagi. SHINE dah sedia?” tanya Jun cemas. Shikari mengangguk.

         “ Mereka keluar sebaik sahaja dengar arahan. Sekarang ni mereka dah sedia di balik tabir,” jelas Shikari. Jun mengangguk. Dia melihat pada kotak di tangan Shikari.

         “ Err… kotak apa pula ni?” tanya Jun kehairanan. 

         Shikari ketawa. Dia turut melihat pada isi kotak tersebut. Penuh dengan kotak yang berhias indah. Siap dengan reben yang diikat cantik lagi!

         “ Konsert belum mula, tapi mereka dah terima banyak hadiah daripada peminat. Saya nak pergi simpan dalam bilik mereka, kalau tidak tentu makin bertambah lepas ni,” jelas Shikari. Jun ketawa.

         “ Nasib kamulah. Mereka dah mula terkenal. Kesian pulak abang tengok. Abang pergi letak kotak ni dan abang nak kamu ke belakang pentas. Di situ ada tersedia skrin untuk tonton persembahan mereka di luar. Pergi cepat,” kata Jun. Dia segera mengambil kotak yang masih dipegang oleh Shikari.

         “ Tak apa ke abang?” tanya Shikari ragu-ragu. Bimbang juga jikalau dia menyusahkan lelaki itu. Pantas Jun menggeleng.

         “ Pergilah. Mereka dah nak keluar ke pentas,” kata Jun lagi. Shikari mengangguk. Dia berlari ke belakang pentas.

         Benar kata Jun. Memang ada skrin yang tersedia di belakang pentas itu. Shikari nampak mereka berlima sudah berada di atas pentas. Sambutan yang diberi amat menggalakkan. Memang sah populariti SHINE semakin meningkat!

         SHINE sedang menyanyikan lagu pertama yang dikeluarkan oleh mereka. Lagu pertama yang turut dinamakan sebagai S.H.I.N.E. Shikari tersenyum sendirian. Nampaknya impian mereka untuk berada di pentas Tokyo Dome dalam masa yang terdekat sudah tercapai. Orang ramai yang hadir juga kelihatan amat teruja dengan kemunculan mereka.

         Daripada satu lagu ke satu lagu mereka nyanyikan. Tidak pula SHINE menunjukkan wajah yang keletihan. Tarian mereka juga masih ligat. Kelihatan bertenaga. SHINE benar-benar gembira dengan persembahan mereka. Persembahan yang diadakan buat kali pertama. Persembahan seterusnya pula dijangka akan dilakukan dalam musim panas. Pihak pengurusan MTS tidak mahu menganggu persekolahan mereka buat masa ini.


         “ Shikari,” Jun menyapa dari belakang. Pantas Shikari menoleh. Jun kembali ke belakang pentas. Ada seorang gadis cantik di sisi lelaki itu.

         “ Kenalkan, ini kawan baik abang. Kumi, ini Nishikawa Shikari pengurus SHINE. Shikari, ini Toyoda Kumi,” Jun menjelaskan. Bingkas Shikari bangun daripada duduknya. Dia memberi tunduk hormat.

         “ Gembira bertemu dengan kak,” perlahan Shikari berkata-kata. Kumi ketawa perlahan. Dia turut memberi tunduk hormat.

         “ Panggil je Kak Kumi. Kamu tak kisahkan kalau kakak tak panggil nama keluarga kamu?” soal Kumi. Shikari mengangguk. Dia turut tersenyum.

         Mereka duduk dan menonton sahaja dari belakang pentas. Sekejap lagi persembahan SHINE akan tamat untuk berehat seketika sebelum disambung kembali. Riuh dari luar benar-benar memeningkan Shikari.

         “ Dengar khabar, kamu sekolah sekali dengan SHINE, betul ke?” tanya Kumi. Shikari mengangguk.

         “ Kami kawan sejak kecil. Eichii pulak adik saya. Sebab tulah kami rapat,” jelas Shikari. Kumi mengangguk. Tepukan gemuruh kedengaran dari luar. Jun bangun daripada duduknya.

         “ Mereka dah masuk,” katanya perlahan.

         Shikari melihat ke pintu keluar ke pentas. SHINE memasuki bahagian belakang pentas. Masing-masing sudah kelihatan keletihan namun mereka tetap nampak gembira. Tuala dihulur kepada mereka.

         “ Seronok tak?” tanya Shikari. Sho mengangguk.

         “ Tapi letih jugak sebab kebanyakan lagu rancak yang dinyanyikan,” celah Eichii. Shikari ketawa perlahan. Dia memahami maksud Eichii. Tentu berkaitan dengan tarian.

         “ Tak apa. Lepas ni persembahan dah tamat. Esok cuti, korang bolehlah rehat,” komen Shikari. SHINE mengangguk. Mereka berjalan ke bilik persalinan. Mereka perlu menukar pakaian untuk persembahan yang seterusnya.

         Jun tersengih. Dia merenung wajah Shikari. “ Macam tulah kalau nak jadi penyanyi. Mereka kena korbankan masa mereka, apa saja.”

         “ Tapi, saya tak tahu macam mana mereka nekad untuk menyertai syarikat ni sedangkan sekolah pun belum habis,” keluh Shikari.

         Sering kali bertanya, kenapa mereka sanggup mengenepikan kebebasan diri semata-mata untuk menjadi penyanyi? Sejak mereka popular, di sekolah pun mereka diekori peminat. Takkanlah mereka mahu mengejar nama semata-mata sedangkan Shikari tahu mereka berlima bukannya jenis yang dahagakan populariti.

         “ Ini pilihan mereka. Kakak rasa mereka cuma mahu mengejar impian mereka. Kamu kan kenal mereka sejak kecil lagi? Kak percaya kamu faham,” kata Kumi. Bahu dijungkit. Shikari menggeleng perlahan.

         “ Entahlah. Tapi mereka memang minat menyanyi. Sejak masuk menengah rendah lagi mereka suka menyertai persembahan. Tak sangka pulak, bila masuk menengah tinggi mereka dah dikenali ramai,” kata Shikari. Kumi ketawa.

         “ Ini apa yang mereka mahukan. Kita cuma boleh beri sokongan,” kata Kumi lagi. Shikari mengangguk. Benar juga kata gadis itu. Dia tiada hak untuk menghalang. Setiap kali dia pertandingan aikido, SHINElah yang sering memberi galakan kepadanya. Mereka juga sanggup datang demi menyaksikan pertandingan itu.

         “ Mereka dah banyak tolong saya selama ni. Saya akan jadi pengurus yang baik untuk mereka,” kata Shikari sambil ketawa. Jun dan Kumi hanya mengangguk. Shikari mengalih pandangan pada pintu bilik persalinan mereka. Dia tersenyum.


“ WOO! Patung!” Itsuki ketawa.

         SHINE dan Shikari berkumpul di ruang tamu bilik muzik mereka. Terlopong mulut Shikari apabila melihat hadiah-hadiah yang diterima daripada peminat-peminat semasa persembahan tadi. Menggunung macam Gunung Everest!

         “ Siapa yang dapat paling banyak?” tanya Naoki.

         “ Lebih kurang sama je semua. Terkejut aku, tinggi mengalahkan gunung!” komen Sho. Yang lain-lain ketawa. Shikari terdiam.

         “ Terkejut aku. Korang nak buka semua hadiah ni ke?” tanya Shikari. Satu persatu wajah ahli SHINE diperhati. Kelima-lima menjungkit bahu. Shikari mengeluh.

         “ Kalaulah tiap-tiap kali persembahan macam ni, boleh meletup bilik ni dengan kotak hadiah,” kata Shikari perlahan.

         Pintu bilik muzik dibuka dari luar. Jun memasuki bilik itu terus menuju ke ruang tamu. Dia hanya tersengih apabila melihat timbunan hadiah berkenaan.

         “ Seronok tak?”

         
         Sho mengangguk. “ Tapi letihlah.”

         “ Biasalah. Korang kena biasakan diri. Nasib baik persembahan seterusnya dalam musim panas, taklah korang terkejar dengan sekolah,” kata Jun. Dia mengambil tempat duduk di sebelah Eichii.

         “ Pengurusan syarikat kata apa?” tanya Hiko. Jun baru sahaja kembali daripada pejabat utama MTS. Entah apalah yang sedang dibincangkan mengenai mereka.

         “ Mereka beritahu, sambutan yang diberi terlalu baik. Mereka minta korang jaga nama SHINE sebab korang ada peluang untuk berjaya dalam bidang ni. Esok, korang dibenarkan berehat. Tak payah datang ke sini. Lusa sekolah tapi jadual macam biasa,” kata Jun. Sho mengangguk.

         “ Baguslah macam tu. Saya rasa saya cuma berlingkar atas katil je esok,” kata Sho. Rakan-rakannya yang lain ketawa. Shikari merebahkan diri di atas timbunan hadiah tersebut.

         “ Kau nak pengsan ke?” tanya Naoki apabila melihat gaya Shikari yang sudah seperti mahu pengsan. Shikari mendegus. Matanya dipejam rapat.

         “ Aku letihlah. Nasib baik esok cuti,” kata Shikari tanpa membuka mata. SHINE ketawa diikuti oleh Jun. Shikari hanya membiarkan sahaja. Dia benar-benar keletihan.

         “ Dah lewat malam. Abang rasa lebih baik korang balik dulu. Kalau tak, ada juga yang pengsan tengah jalan nanti,” kata Jun sambil melihat Shikari. Eichii ketawa. Dia menarik tangan kakaknya.

         “ Dahlah, jom balik! Eichii tahu kakak letih, tapi takkanlah kakak nak tidur kat sini. Jom balik!” ajak Eichii lagi. Shikari mendengus. Eichii mula garu kepala. Alamak... dah tidur rupanya.

         “ Macam mana ni?” tanya Eichii. Sho dan Itsuki angkat bahu. Naoki menggelengkan kepalanya. Hiko hanya tersenyum. Masing-masing mengeluh serentak.

         “ Abang boleh tolong hantarkan tapi abang rasa lebih baik kakak kamu tidur kat sini je malam ni. Kesian pulak kalau tidurnya diganggu,” celah Jun. Eichii menggumam. Apa nak buat ni?

         “ Bolehlah bang. Tapi, tak apa ke kakak saya tidur kat syarikat?” tanya Eichii. Jun ketawa.

         “ Jangan bimbang. Ada jugak pekerja kat syarikat ni tidur di pejabat. Angkat dia ke atas sofa, kamu nak temankan kakak kamu ke?” tanya Jun pula. Eichii hanya mengangguk. Dia tidak tergamak untuk meninggalkan kakaknya keseorangan di sini.

         “ Telefon mak kamu dulu. Mengantuk sungguh kakak kamu tu. Kunci untuk bilik ni abang tinggalkan pada kamu, ya?”

         Eichii mengangguk sekali lagi. Dia mengeluarkan telefon bimbit daripada kocek seluar jeansnya. Nombor rumah didail. Dia beralih ke dapur untuk berbicara dengan ibunya.

         Sho ketawa perlahan. Dia melihat pada Shikari yang sudah lena dibuai mimpi.

         “ Kalau macam tu, kami balik dululah Abang Jun. Hari pun dah lewat sangat ni,” kata Sho. Jun mengangguk.

         “ Kamu semua pulanglah dulu. Abang nak tunggu Eichii sekejap.”

         Sho mengangguk. Beg galas dibawa ke bahu sebelum dia melihat ke wajah rakan-rakannya. Yang lain-lain turut menggalas beg.

         “ Kami pulang dulu.”

         Mereka keluar dari bilik muzik itu. Eichii sudah kembali ke ruang tamu. Dia hanya tersengih. Jun menyoal berkenaan ibunya.

         “ Mak saya benarkan. Abang dah boleh pulang. Terima kasih sebab membantu,” ucap Eichii. Ketawa Jun kedengaran perlahan.

         “ Okeylah. Kalau ada apa-apa, telefon abang,” kata Jun. Eichii mengangguk. Bahu Eichii ditepuk perlahan sebelum dia keluar dari bilik itu.

         Pintu bilik muzik ditutup. Eichii merenung kakaknya yang sedang menggeliat. Kakaknya masih belum diangkat ke atas sofa. Alahai...


APASAL rasa terang semacam je ni?

         Matanya dibuka perlahan-lahan. Shikari tergamam buat seketika. Dia merenung siling yang dilatari dengan warna-warna pastel. Dia menelan liur. Ni bukan bilik aku. Ni macam...

         “ Mak!!!”

         Dia bingkas bangun daripada pembaringannya. Sah! Ni bilik muzik SHINE! Macam mana pulak aku boleh ada kat sini? Sepatutnya aku tengah syok berlingkar atas katil dalm bilik aku.

         “ Kak?”

         Shikari menoleh ke sisinya. Eichii yang masih terkuap-kuap sedang memandangnya. Sebelah tangan menggosok mata manakala tangan yang sebelah lagi pula sedang memeluk bantal. Jelas kelihatan timbunan bantal dan selimut di atas lantai bilik.

         “ Eichii! Macam mana pulak kakak boleh ada kat sini?” tanya Shikari tidak sabar. Dia bangun daripada duduknya sebelum menyambar lengan adiknya. Kuat Eichii mengaduh kesakitan. Pegangan di tangan dilepaskan.

         “ Relakslah, kak. Kakak sendiri yang tertidur kat bilik ni semalam, Eichii ajak balik kakak tak nak. Abang Jun yang suruh kakak tidur kat sini,” jelas Eichii. Lengan yang terasa sakit kerana cengkaman gadis itu digosok berulang kali. Mulut Shikari terlopong.

         “ Kakak tidur kat sini?”

         Pantas Eichii mengangguk. Lengan masih digosok. Shikari terduduk di atas sofa. Tangan menekup pada muka. Eichii hanya melihat sahaja perlakuan kakaknya itu.

         “ Kenapa tak kejut kakak? Mak tak cakap apa-apa ke?” tanya Shikari. Alahai! Malunya!

         “ Kakak yang tak nak bangun. Eichii dah banyak kali ajak kakak tapi kakak tetap tak bangun. Eichii dah telefon mak, mak tak cakap apa-apa pun. Cuma mak suruh kita balik pagi ni,” kata Eichii. Shikari menepuk berulang kali dahinya. Malunya dengan SHINE! Abang Jun juga! Tentu semakin kuat Sho menyakatnya nanti! Abang Jun... arghh!!! Kalau dengan Sho tu okey lagi, tapi aku baru je kenal dengan Abang Jun. Macam mana ni?

         Eichii ketawa. Dia melabuhkan duduk di sisi kakaknya. Wajah Shikari berubah menjadi masam.

         “ Alah, mak tak marah pun. Lebih baik kita balik sekarang, Eichii nak sambung tidur kat rumahlah. Letih lagi pasal konsert semalam. Jomlah,” ajak Eichii. Shikari mengangguk perlahan. Dia menoleh pada adiknya.

         “ Pergi ambil beg.”

         Eichii meluru ke dalam bilik. Shikari membasuh muka di sinki. Dia mula berasa segar. Namun begitu, rasa malu akibat peristiwa di bawah sedar semalam masih dirasai. Kenapalah dengan aku ni?

         “ Jom, kak!”

         Eichii muncul dengan jaket sudah tersarung di tubuh. Kaca mata hitam dikenakan. Shikari ketawa melihat penampilan adiknya itu.

         “ Tak payahlah pakai cermin mata hitam tu. Pagi-pagi macam ni tak ramai orang lain, kamu takkan kena kejar punyalah,” kata Shikari dengan sisa ketawanya. Eichii hanya tersengih. Kaca mata hitam ditanggalkan.

         “ Sho punya idealah ni,” kata Eichii.

         “ Siapalah yang suruh kamu ikut kepala tak betul dia tu? Dah, jom balik. Kakak pun mengantuk lagi ni.”
         Eichii mengangguk. Tergesa-gesa dia mengikut langkah kakaknya itu.   

하나




Monday, February 15, 2010

You're In My Forgotten Memories 3


“ DONG WOOK, tunggulah!” laung Hyo Rin.

         Nafasnya mula tercungap-cungap. Tidak terkejar dia dek langkah Dong Wook yang lebar. Lelaki itu langsung tidak mengendahkan panggilan dia. Sebaliknya Dong Wook terus berjalan meninggalkan Hyo Rin.

         “ Dong Wook, tolonglah tunggu sebentar!” laung Hyo Rin lagi. Kali ini dia berlari ke sisi Dong Wook. Langkah Dong Wook mati. Dia melihat pada Hyo Rin yang sudah berada di sisi.

         “ Kenapa?”

         Dong Wook benar-benar rimas dengan gadis itu. Hyo Rin tidak sudah-sudah mengacau hidupnya. Dia sudah mengatakan perasaan sebenarnya namun Hyo Rin hanya buat tidak peduli. Dia sama sekali tidak punya perasaan buat Hyo Rin.

         “ Sampai bila awak nak larikan diri daripada saya? Sampai bila?” tanya Hyo Rin. Dia mengetap bibir. Lelaki ini tidak pernah mahu memberikan kesempatan untuknya.

         Dong Wook mengeluh. Dia mengalih pandangan ke sisi sebelah lain. Malas mahu melihat wajah jelita itu.

         “ Sampai bila-bila. Saya tak pernah ada perasaan untuk awak, faham?” kata Dong Wook. Nadanya dinaikkan sedikit. Hyo Rin mencebik.

         “ Saya ikhlas sukakan awak!”

         “ Tapi saya tak pernah sukakan awak.”

         Dong Wook segera berlalu sebaik sahaja ayat itu habis dituturkan. Hyo Rin menghentak kaki. Dia mengekori langkah Dong Wook dari belakang. Dia tidak peduli jika lelaki itu mahu memarahinya.

         “ Awak tak adil! Awak patut bagi saya peluang!”

         Kata-kata Hyo Rin tidak diendahkan sebaliknya langkah Dong Wook kian laju. Hyo Rin semakin sakit hati. Langkahnya mati secara tiba-tiba. Matanya melihat pada sisi belakang Dong Wook seolah-olah mahu ditelan sahaja.

         “ Saya tahu apa sebabnya! Hye Sun, kan?”

         Dong Wook tergamam. Dia menghentikan langkah kakinya secara tiba-tiba. Dia menoleh ke belakang. Hyo Rin sedang tersenyum sinis kepadanya. Gadis itu berdiri berpeluk tubuh.

         “ Awak tak nak terima saya sebab awak sukakan Hye Sun, kan? Selama ni, cuma Hye Sun je gadis yang awak ada perasaan suka. Saya percaya, tak ada gadis lain lagi,” kata Hyo Rin dengan penuh keyakinan. Dong Wook meraup wajah.

         “ Hye Sun dah berpunya! Dia dan Yun Ho dah bertunang! Awak takkan ada peluang lagi!” kata Hyo Rin lagi.

         Panas hatinya apabila memikirkan tentang Hye Sun. Sudah lama lelaki itu menyimpan perasaan buat Hye Sun namun Hyo Rin tahu bahawa Dong Wook tidak akan ada peluang. Hye Sun sukakan Yun Ho dan mereka telah bertunang.

         “ Walau macam mana pun, saya tetap takkan sukakan awak!” keras Dong Wook melontar ayat. Sakit kepalanya kerana melayan kerenah Hyo Rin.

         “ Awak pernah luahkan perasaan pada Hye Sun, kan?”

         Dong Wook tergamam. Bagaimana Hyo Rin boleh tahu? Itu hanya rahsia di antara dia dan Hye Sun. Yun Ho juga tidak tahu mengenai perkara itu. Bagaimana pula Hyo Rin boleh dapat tahu?

         “ Saya dengar semasa kat taman. Saya sendiri yang dengar bagaimana Hye Sun tolak cinta awak. Lepas pertunangan mereka, awak terbang ke Amerika. Awak kecewa sebab Hye Sun tolak awak,” kata Hyo Rin lagi. Dong Wook mengetap bibir. Buku limanya digenggam kemas. Tangannya terketar-ketar.

         “ Buat selamanya Hye Sun takkan terima cinta awak,” ucap Hyo Rin.

         Dong Wook merengus. Dia kembali menyambung langkah. Hatinya boleh terluka dengan lebih parah jika dia berlama-lama di situ. Dong Wook masih ingat, peristiwa yang telah membuatkan dia nekad untuk terbang ke Amerika. Petang itu...


HYE SUN menyanyi kecil. Dong Wook yang berada di sebelah dibuat seolah-olah tidak wujud. Matahari masih melimpahkan sinarnya. Jam di tangan dikerling sekilas.

         “ Lambatnya Yun Ho ni. Janji jumpa kat taman ni,” rungut Hye Sun. Dong Wook ketawa.

         “ Awak tak takut ke kalau dia marah awak?” tanya Dong Wook. Nyanyian Hye Sun terhenti secara tiba-tiba. Dia tunduk merenung rumput yang menghijau di kaki.

         “ Saya tak tahu. Tapi, saya gembira dengan pertunangan ni walau saya tahu Yun Ho tak sukakannya.”

         Dong Wook mengangguk. Dia sudah maklum benar. Yun Ho tidak bersetuju dengan pertunangan mereka namun tiada apa yang boleh Dong Wook lakukan untuk menolong Hye Sun. Hye Sun sahabatnya, Yun Ho juga sahabatnya.

         “ Macam mana dengan persiapan majlis?” tanya Dong Wook lagi. Dia melihat ke sekitar taman. Bayang Yun Ho masih tidak kelihatan.

         “ Setakat ni baik je. Kenapa?” tanya Hye Sun. Dia mengukir senyum. Dong Wook ketawa.

         “ Saya tak sempat lagi pergi ke dewan tu.”

         “ Awak pula bila lagi?”

         Kening Dong Wook berkerut. Dia tidak memahami kata-kata Hye Sun. Bila apa? Hye Sun hanya ketawa apabila melihat muka Dong Wook yang jelas kehairanan.

         “ Awak pula bila nak bertunang? Hyo Rin dah lama tunggu awak,” jelas Hye Sun. Dia teringatkan Hyo Rin. Gadis itu memang sudah sekian lama sukakan Dong Wook namun lelaki itu tidak melayan kerenah Hyo Rin. Entah kenapa, tidak pula Hye Sun tahu.

         “ Hyo Rin? Tak naklah. Saya tak pernah sukakan dia,” kata Dong Wook sambil ketawa. Hye Sun tersenyum.

         “ Hyo Rin betul-betul sukakan awak. Kalau tidak, takkanlah dia sanggup kejar awak. Dah hampir empat tahun dia kejar awak, minta awak terima cinta dia. Takkan tak pernah terdetik di hati untuk sukakan dia?” tanya Hye Sun.

         “ Saya… sukakan orang lain,” kata Dong Wook perlahan. Hye Sun menoleh ke arah Dong Wook. Ketawanya mula kedengaran.

         “ Siapa? Gadis tu tak sukakan awak ke?” tanya Hye Sun dengan sisa tawanya.

         “ Awak…”

         Tawa Hye Sun mati. Bulat matanya merenung ke wajah Dong Wook. Dong Wook mengangguk perlahan.

         “ Saya sukakan awak, Hye Sun.”

         Hye Sun menggelengkan kepalanya. Dia melarikan matanya daripada wajah Dong Wook. Wajah lelaki itu jelas menampakkan kesungguhan tentang apa yang diperkatakan tadi. Hye Sun mengetap bibir.

         “ Saya sukakan awak. Selama ni saya sukakan awak,” kata Dong Wook lagi.

         Dia menghela nafas. Sudah sampai masanya untuk dia membuat pengakuan. Dia tidak boleh memendam perasaan ini buat selamanya.

         “ Saya tak boleh pendam lagi perasaan saya. Saya memang sukakan awak, Hye Sun,” kata Dong Wook lagi. Hye Sun tetap menggeleng. Perlahan sahaja gelengannya itu. Sukar buatnya untuk mempercayai Dong Wook.

         “ Awak tahu saya sukakan Yun Ho, kan?”

         Dong Wook mengangguk. Memang sudah jelas bahawa Hye Sun tidak akan menerima dirinya. Dia tahu betapa Hye Sun sayangkan Yun Ho, sahabat karibnya sejak kecil lagi. Selama ini, hanya Yun Ho sahaja lelaki yang Hye Sun cintai.

         “ Awak tak patut ungkapkannya. Maaf, Dong Wook. Tapi hati saya hanya untuk Yun Ho,” kata Hye Sun lagi. Perlahan nada yang dikeluarkan. Dong Wook mengangguk sekali lagi.

         “ Saya faham…”


CINCIN platinum sebagai tanda ikatan pertunangan mereka diusap perlahan. Hye Sun mengeluh. Perlahan sahaja bunyinya agar tiada sesiapa yang dapat mendengar keluhan itu. Dia melihat pada Yun Ho yang berada di hadapan.

         Hari ini hari minggu dan Yun Ho telah mempelawa Hye Sun bersiar-siar di sekitar Seoul. Hye Sun yang tiada perancangan terus bersetuju. Apatah lagi, dia mahu hubungannya dengan Yun Ho benar-benar baik, seperti mana yang diminta oleh Puan Jung tempoh hari.

         “ Hye Sun? Kenapa, muram je saya tengok?” tanya Yun Ho secara tiba-tiba. Hye Sun menggeleng perlahan. Senyuman kecil diukir di bibir. Yun Ho turut mengukir senyum.

         “ Dari tadi lagi saya tengok awak muram je. Kenapa? Atau awak ada urusan lain hari ni?” tanya Yun Ho lagi. Hye Sun tetap menggeleng.

         “ Saya memang lapang hari ni. Salah saya, kuat sangat berkhayal,” dalih Hye Sun. Dia ketawa kecil. Yun Ho hanya mengangguk. Lelaki itu meneruskan suapan di mulut.

         Hye Sun tersenyum lemah. Dia turut menyambung suapan yang terhenti seketika tadi. Dia mengerling pada jam di tangan sekilas. Hampir dua jam mereka bersiar-siar di sekitar Seoul. Entah apa lagi yang ingin Yun Ho lakukan selepas ini.

         “ Emm… Hye Sun?”

         Suapan Hye Sun terhenti. Dia melihat pada wajah tunangnya. Lebar senyuman Yun Ho kepadanya. Hye Sun turut menghadiahkan senyuman pada lelaki itu.

         “ Kenapa?”

         Yun Ho tersenyum lagi. Senyuman itulah yang telah memikat Hye Sun. Lelaki itu punya senyuman yang mampu menawan hati semua orang. Tawa kecil Yun Ho kedengaran.

         “ Macam mana kita boleh bertunang? Awak… saya…” kata-kata Yun Ho tersekat. Lelaki itu merehatkan kepalanya di atas meja. Dia mendongak, melihat pada Hye Sun.

         “ Apa yang awak nak tahu?”

         Yun Ho ketawa sekali lagi. Dia menggaru-garu kepalanya yang tidak gatal. Rambutnya berubah kusut sedikit.

         “ Apa-apa saja, asalkan pasal kita,” kata Yun Ho lagi.
         Hye Sun menelan liur. Agaknya apa yang patut dia katakan? Dia mula buntu. Dia tidak mahu Yun Ho mengetahui bahawa hubungan mereka sebenarnya tidak baik. Dia tidak mahu kehilangan layanan baik lelaki itu. Dia tak nak!

         “ Saya pun tak tahu nak cakap apa. Tapi, kita memang dah lama kenal. Keluarga masing-masing pun dah rapat,” kata Hye Sun perlahan. Teratur sahaja dia menutur kata. Dia bimbang jika ada kata-kata yang tidak enak didengar akan terlepas daripada bibirnya.

         “ Emm… tak apalah. Saya yakin, saya boleh ingat semula tentang kita. Dah, jom!”

         Yun Ho bangkit daripada duduknya lantas menarik tangan Hye Sun. Terkejut Hye Sun dengan tindakan drastik Yun Ho itu. Nasibnya baik kerana tidak tersadung kaki meja semasa Yun Ho menariknya tadi.

         “ Kita nak ke mana?” tanya Hye Sun apabila Yun Ho menarik dia keluar dari restoran itu. Yun Ho menoleh ke arahnya. Senyuman tidak lekang daripada wajah itu.

         “ Kita pergi main, nak?”

         Hye Sun tayang muka terkejut. Main.... apa?


HYE SUN dan Yun Ho ketawa terbahak-bahak. Hye Sun cuba melarikan diri namun Yunho tetap mampu mengejarnya. Terpaksalah dia menurut sahaja kehendak lelaki itu.

         “ Berhentilah, Yun Ho! Dah basah baju saya!” kata Hye Sun.

         Yun Ho ketawa. Senapang air di tangan dibawa ke tepi. Dia berjalan mendekati Hye Sun. Hye Sun mengesat wajahnya yang turut dibasahi dengan air.

         “ Tak apalah. Nama lagi kita ke taman tema,” kata Yun Ho sambil ketawa. Hye Sun mencebik.

         “ Saya tak ajak pun awak main Water Splash. Awak yang beria-ria nak main,” balas Hye Sun. Geram juga dia dengan tunangnya itu.

         Hampir dua jam lebih mereka di taman tema itu. Sudah hampir kesemua permainan sudah dicuba. Kini Yun Ho ingin mencuba permainan Water Splash pula. Permainan yang menggunakan senapang air untuk menembak lawan itu memang menyusahkan Hye Sun. Baju yang dipakai sudah basah kerana ditembak oleh Yun Ho.

         “ Okey, okey. Lepas ni kita pergi cari baju ganti, okey?” pujuk Yun Ho. Hye Sun tersengih.

         Mereka berdua keluar dari kawasan itu. Hye Sun perlu ke kedai pakaian untuk mengantikan pakaiannya yang basah. Pengunjung yang turut bermain Water Splash kesemuanya mengenakan baju hujan. Hanya Yun Ho dan Hye Sun sahaja yang tidak mengenakan sebarang perlindungan daripada basah air. Nasib Hye Sun baik kerana di taman tema itu menyediakan beberapa buah kedai pakaian untuk pengunjung yang datang.

         “ Pergilah pilih. Saya tunggu di sini,” ujar Yun Ho. Ketawanya masih kedengaran. Hye Sun mengangguk. Dia mengekori jurujual yang bertugas.

         Yun Ho mengambil tempat di ruang menunggu. Sementara menunggu Hye Sun, dia membaca akhbar yang tersedia di situ. Terasa bahunya ditepuk dari belakang. Pantas Yun Ho menoleh.

         “ Awak siapa?”

         Seorang gadis berdiri di belakangnya. Gadis itu sedang tersenyum kepadanya. Tangan dihulur kepada Yun Ho untuk berjabat.

         “ Seol Hyo Rin, kawan Dong Wook.”

         Yun Ho mengangguk sedikit. Huluran tangan Hyo Rin disambut.

         “ Maaf, saya lupa,” kata Yun Ho perlahan. Hyo Rin mengangguk. Dia masih mengukir senyuman.

         “ Saya ada dengar mengenai kemalangan tu. Tak sangka pulak boleh jumpa awak kat taman tema ni,” kata Hyo Rin sambil ketawa. Yunho tersengih.

         “ Saya baru saja keluar dari hospital. Tengah tunggu Hye Sun, dia beli pakaian sekejap,” kata Yun Ho. Tiba-tiba sahaja kening Hyo Rin bercantum. Wajahnya berubah pelik.

         “ Kenapa?” tanya Yun Ho kehairanan. Tiba-tiba sahaja wajah gadis itu berubah. Adakah dia sudah tersalah cakap?

         “ Awak cakap awak dengan Hye Sun?”

         Yun Ho mengangguk. “ Kenapa, ada masalah ke?”

         “ Bukan ke selama ni hubungan awak dengan dia memang tak baik? Macam mana pulak boleh rapat macam ni? Setahu saya, kamu berdua asyik bergaduh je selama ni.”

         Yun Ho tergamam. Dia terkejut mendengarkan kenyataan itu. Dia menoleh ke belakang. Hye Sun sudah berdiri di situ dengan pakaian ganti tersarung di tubuhnya. Wajah gadis itu juga kelihatan terkejut.

하나

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...