BERHATI-HATI Ji Hoo mengeluarkan sebuah
balang kaca daripada sudut hujung dalam almari pakaiannya. Wajahnya redup
merenung pada kandungan balang kaca itu. Senyumannya terukir sedih. Dia bangun
lalu duduk di birai katil. Balang kaca itu dibawa ke riba.
Berpuluh-puluh malah beratus-ratus
keping nota kecil yang terdiri daripada pelbagai warna hampir memenuhi balang
besar itu. Ji Hoon membuka penutup balang kaca itu. Sebelah tangannya
dimasukkan ke dalam balang tersebut. Beberapa keping kertas dikeluarkan.
Ji Hoon tersenyum pahit. Dia masih
ingat pada saat pertama kali Eun Hee datang ke rumahnya dengan membawa tart
telur buatan tangannya selepas kejadian dia menyelamatkan Ryu Min di kawasan
pantai beberapa bulan yang lalu. Tangannya yang pernah merasai usapan Eun Hee
semasa gadis itu merawat tangannya yang melecur dahulu direnung sayu.
Pada hari itu, hari yang dirasakan
amat bermakna dalam dirinya kerana hari itulah saat dia mula berkenalan dengan
baik dengan Eun Hee. Mereka berbual-bual melalui coretan Eun Hee pada
kepingan-kepingan nota kecil yang terdiri dalam pelbagai warna. Pada hari itu
jugalah dia mula menyimpan setiap keping kertas yang pernah Eun Hee tintakan
padanya dan isterinya tidak pernah mengetahui perbuatannya itu.
Setiap keping kertas itu dianggap
amat berharga buat Ji Hoon. Kesemuanya dimasukkan ke dalam balang itu dan
disimpan rapi. Ji Hoon tersenyum hambar. Tangannya mengambil dua keping kertas
yang berwarna kuning, antara kertas terakhir yang Eun Hee coretkan untuknya
sewaktu mereka bersarapan bersama-sama sebelum dia menghilangkan diri ke kafe
Zachary, pada hari Chae Rin datang membuat onar.
Tinta hitam dan biru yang terlakar
pada setiap keping kertas itu dibaca berulang kali. Sesekali Ji Hoon akan
mengucup kepingan-kepingan kertas itu. Dia menggeleng perlahan. Matanya
menerawang ke luar tingkap, tepat pada langit malam yang tidak kelihatan
bintang-bintang bersinaran, kelam seperti mana hatinya saat ini. Wajah
isterinya tergambar pada dada bulan yang bersinar terang dilitupi awan.
BANTAL ditekup pada mukanya. Sesekali
Hyun Min mengusutkan rambutnya. Matanya merenung ke luar tingkap chalet yang
terbuka. Walau matanya melekat pada langit yang membiru namun fikirannya
menerawang ke tempat lain. Jam di meja sudah menunjukkan pukul 2 petang namun
Hyun Min masih belum teringin untuk menjamah apa-apa. Dia terperuk sahaja di
dalam chalet yang dikhaskan untuknya. Pejabatnya juga tidak dijenguk.
Peristiwa di kediaman Chae Rin
semalam terus berlegar dalam benaknya, seperti sebuah tayangan filem yang sentiasa
diulang tayang. Laju sahaja kata-katanya meluncur keluar daripada mulutnya
sekaligus mendedahkan rahsia bahawa dia masih mencintai gadis itu.
Hyun Min tidak sanggup melihat wajah
Chae Rin selepas rahsia hatinya terbongkar. Dia tidak sanggup menerima
penolakan gadis itu walau dia sendiri tahu bahawa Chae Rin tega memburu cinta
Ji Hoon walau lelaki itu sudah beristeri.
Saat dikhabarkan oleh Zachary,
sahabat Ji Hoon yang berbangsa Eropah itu mengenai badai yang melanda hubungan
Ji Hoon dan Eun Hee, dia terperanjat besar. Dia hairan kerana mereka berdua
saling menyayangi, bagaimana boleh melancarkan perang dingin pula?
Pertanyaannya terjawab apabila
Zachary memberitahunya bahawa Chae Rin yang bertanggungjawab dalam hal ini.
Cerita sebenar di sebalik pergaduhan antara Ji Hoon dan Eun Hee dihurai satu
persatu. Berkenaan dengan surat yang diterima oleh Ji Hoon sehinggalah
gambar-gambar yang dihantar sendiri oleh Chae Rin.
Dia tidak menyangka bahawa Chae Rin
akan bertindak senekad itu. Sanggup menggadaikan maruahnya hanya kerana seorang
lelaki. Namun, dia masih tidak dapat membuang gadis itu daripada hatinya.
Hyun Min mendengus. Dia mengiring ke
kiri. Bingkai gambar di mana sekeping gambarnya dan Chae Rin yang diambil
bersama sewaktu mereka bercuti di Paris dibawa rapat ke dada. Matanya dikatup
rapat. Cuba lari daripada realiti hidupnya. Perbualannya dengan Zachary semalam
kembali mengetuk benaknya.
PANDANGANNYA melekat pada wajah lelaki
berkulit putih itu. Hyun Min mengenalinya sebagai salah seorang daripada
sahabat Ji Hoon sahaja. Lelaki Eropah ini juga turut kelihatan semasa Chae Rin
menemui Ji Hoon sewaktu lelaki itu baru sahaja keluar dari hospital.
“ Jadi...” Hyun Min menarik nafas
seakan tidak percaya akan kata-kata yang baru terluah oleh Zachary.
Pandangannya dilemparkan pada tasik di hadapannya. “... kau kata Chae Rin
puncanya?”
Zachary terdiam seketika sebelum
mengangguk perlahan.
“ Chae Rin yang perangkap Ji Hoon ke
hotel tu. Aku dah larang Ji Hoon pergi sebab aku bimbang kalau perkara buruk
menimpa dia tapi dia degil. Dia tetap nak pergi. Apa yang Ji Hoon beritahu,
sebaik sahaja dia masuk dalam bilik tu, dia langsung tak sedarkan diri.
Sedar-sedar, hari dah awal pagi. Aku syak, dia terkena ubat penenang,” ucap
Zachary menceritakan semuanya. Hyun Min yang duduk di sebelahnya hanya khusyuk
mendengar. Dia langsung tiada hati untuk menyampuk.
“ Dan... pagi semalam, dia datang
jumpa aku. Dia cerita pasal Eun Hee yang nak tahu masalah dia tapi, Ji Hoon
berat hati nak beritahu. Dia tak nak susahkan Eun Hee dengan masalah dia. Kami
bercakap macam biasa. Kemudian, tiba-tiba aku dapat berita pasal ni. Pagi tadi,
dia ke kafe aku dan beritahu yang... Eun Hee dah keluar rumah.”
“ Tapi, apa yang Chae Rin buat lepas
tu? Maksud aku... macam mana Ji Hoon tahu yang dalang perbuatan ni Chae Rin?”
tanya Hyun Min. Sebenarnya dia kaget dengan pernyataan itu. Dia tidak mahu
menerima hakikat bahawa apa yang diceritakan oleh Zachary benar. Dia yang akhirnya
akan patah hati.
Zachary merenung pada Hyun Min. Dia
mengeluh berat. Kepalanya digeleng sedikit. “ Dia ambil gambar dia dengan Ji
Hoon tidur atas katil di mana Ji Hoon hanya berseluar sahaja dan Chae Rin...
hanya berbaju tidur.”
Bagaikan gelap seketika dunia Hyun
Min mendengarkan kisah yang selanjutnya. Bungkam dia memandang Zachary yang
masih kelihatan tenang di sebelahnya.
“ Mana... mana boleh... Chae Rin...”
“ Peristiwa tu terjadi malam kelmarin
tapi Chae Rin dah pergi ke rumah Ji Hoon untuk sampaikan sendiri gambar-gambar
tu tengah hari semalam. Nampaknya, dia memang dah lama rancang semua ni dan tak
sabar-sabar nak serahkan gambar-gambar tu pada Eun Hee,” sambung Zachary. Dia
seakan-akan tidak menyedari perubahan di wajah Hyun Min yang mula merah padam.
Zachary duduk menyandar pada bangku
taman. Matanya singgah pada sepasang angsa putih yang sedang berenang pada
permukaan tasik. Dia tersenyum hambar.
“ Ji Hoon tak benarkan aku beritahu sesiapa
tapi aku rasa kau patut tahu. Lagipun... dia pernah beritahu aku yang dia...”
Zachary terhenti seketika. Dia ketawa
perlahan.
“ Dia apa?” gesa Hyun Min tidak
sabar. Hairan kerana Zachary menghentikan bicaranya.
“ Dia betul-betul harap kau akan
bahagia dengan Chae Rin, kau tahu? Dia harap sangat yang Chae Rin akan buka
mata dia dan terima kau, seseorang yang sudah mencintainya. Tapi, dia juga pernah
berharap yang kau akan lupakan Chae Rin dan terima gadis lain, mungkin yang
lebih baik daripada Chae Rin. Dia tak nak kau terseksa lagi sebab Chae Rin
seakan-akan tak akan terima kau,” kata Zachary perlahan. Sesekali dia akan
ketawa perlahan.
Terkedu Hyun Min mendengar cerita
Zachary. Dia tahu bahawa Ji Hoon baik, tetapi dia langsung tidak menyangka
bahawa hati lelaki itu lebih mulia daripada yang difikirkannya.
“ Jadi... macam mana dengan Ji Hoon
sekarang?” tanya Hyun Min lesu. Dia turut bersandar pada bangku taman.
“ Dia...” Zachary terhenti. Dia
menggelengkan kepalanya lantas keluhannya dihembus berat. Wajahnya berkerut
kerisauan.
“ ... aku tak tahu nak cakap macam
mana. Dia nampak macam... bukan dirinya sendiri... seolah-olah hilang dalam dunianya.
Nampaknya, ketiadaan Eun Hee benar-benar buat diri dia berubah...”
Hyun Min hanya mampu mengangguk
lemah. Dia turut dapat merasakan bagaimana perasaan Ji Hoon kerana ketiadaan
Eun Hee di sisi, sama seperti sakit hatinya apabila mendapat tahu apakah yang
dilakukan oleh Chae Rin bagi memisahkan kedua-dua pasangan ini. Mungkin
sakitnya tidak seteruk apa yang dialami Ji Hoon, namun lukanya tetap ada.
“ Aku harap...”
Hyun Min kembali memandang wajah
Zachary. Zachary mengangguk sedikit apabila melihat sepasang mata yang sudah
menunjukkan kedukaan.
“ Aku harap kau dapat selesaikan hal
ni. Kau tahu apa maksud aku...”
Sejurus itu Zachary bangun daripada
duduknya. Dia mengangguk sekali lagi sebelum menepuk bahu Hyun Min.
“ Aku pergi dulu.”
Zachary menguntum senyum sebelum
berjalan pergi. Hyun Min pula masih melayan duka yang dirasainya kini. Serta
merta dia bangun. Wajahnya kelihatan seakan-akan sudah nekad dengan sesuatu.
Dia turut berjalan pergi melangkah ke keretanya. Dia harus melakukan sesuatu.
Semuanya untuk kebaikan semua orang. Harus!
HYUN MIN tersentak daripada lamunannya. Dia menoleh
pada pintu chalet yang diketuk seseorang. Dengan malas dia bangun daripada
katil lalu ke pintu. Pintu segera dibuka tanpa melihat siapa dahulu yang
menganggu lamunannya secara tiba-tiba.
Da Wei tercongok di hadapan chalet
Hyun Min. Hyun Min hanya mengangguk lalu membuka pintu membenarkan Da Wei
masuk. Namun Da Wei hanya menggeleng sahaja.
“ Tak apa. Saya datang ni cuma nak
jenguk awak saja. Kenapa tak masuk pejabat hari ni? Sakit?” tanya Da Wei
apabila melihat wajah pucat lesu Hyun Min. Hyun Min tersenyum hambar.
“ Kenapa tak beritahu?” tanya Da Wei
lagi.
“ Tak larat,” pendek sahaja jawapan yang
Hyun Min berikan. Da Wei mengangguk. Dia mejenguk sedikit ke dalam chalet Hyun
Min. Dengan suasana yang bersepah, Da Wei yakin Hyun Min bukan mengalami sakit
seperti mana yang diberitahu tadi sebaliknya lelaki itu kelihatan lebih kepada
sakit hati.
Keadaan bilik yang bersepah-sepah
dengan barangan yang seolah-olah dilempar dengan sengaja menguatkan andaian
Hyun Min. Namun dia hanya mendiamkan diri. Dia tidak mahu masuk campur dalam
urusan peribadi lelaki itu.
“ Awak perlukan apa-apa? Saya boleh
dapatkan makanan kalau awak lapar. Chef kita boleh masak sesuatu untuk awak,” pelawa
Da Wei tapi dengan pantas Hyun Min menggeleng. Dalam keadaannya yang seperti
ini dia langsung tiada selera untuk makan.
Hyun Min tersenyum hambar. Dia
merenung pada Da Wei. “ Tak perlu. Terima kasih atas pelawaan tu.”
“ Kalau macam tu... tak apalah. Tapi
kalau awak perlukan apa-apa, telefon Cik Im. Dia akan sediakan apa yang awak
perlukan,” kata Da Wei. Hyun Min mengangguk lagi.
Da Wei berpaling untuk meninggalkan
chalet itu. Berhati-hati dia menuruni anak tangga chalet Hyun Min. Sebaik
sahaja kakinya mencecah laluan berbatu yang disusun rapi, terasa bahunya
disentuh dari belakang. Da Wei menoleh. Hyun Min sedang berdiri satu anak
tangga di atasnya. Da Wei mengangkat kening. Dia mengerutkan dahi apabila
menyedari mata Hyun Min mula merah.
“ Ji Hoon... macam mana dengan dia?”
Da Wei terdiam. Tidak memahami
pertanyaan Hyun Min. Mata Hyun Min masih melekat pada wajah lelaki itu.
PERLAHAN-LAHAN Ji Hoon menapak masuk ke
dapur. Langkahnya terhenti selepas melepasi pintu dapur. Sayu matanya merenung
ke segenap ruang di dapur itu. Dia merasai kekosongan yang begitu mencengkam
lubuk hatinya. Dirasakan warna-warna ceria hidupnya sudah dibawa pergi.
Lebam di bawah sepasang matanya jelas
kelihatan. Ternyata Ji Hoon tidak lena tidur semalam. Ketiadaan Eun Hee di sisi
seakan-akan telah meragut sebahagian besar jiwanya. Dia tidak betah
berlama-lama tanpa kehadiran gadis itu.
Ji Hoong bungkam di tempat dia
berdiri. Terasa kakinya sudah tidak berdaya untuk berdiri. Lututnya seakan-akan
sudah tidak mampu untuk menampung berat tubuhnya lagi. Di mana-mana sahaja dia
akan dapat melihat bayangan diri Eun Hee di ruang itu, tempat kegemaran Eun
Hee. Apatah lagi di seluruh ruang di banglo besar itu.
Eun Hee sedang memasak, Eun Hee
sedang menyiram pokok di halaman, Eun Hee sedang mengemas rumah. Semuanya.
Senyuman Eun Hee juga tergambar jelas di matanya. Namun...
Perlahan-lahan bayangan isterinya
yang tercinta itu menghilang. Sudah tiada lagi gelak tawanya kerana mengusik
Eun Hee. Tak akan ada lagi hidangan air tangan Eun Hee tersedia di atas meja
makan. Tiada lagi teman buatnya untuk melakukan aktiviti bersiar-siar
bersama-sama. Tak akan ada lagi.
Ji Hoon meraup wajahnya yang pucat.
Dia tidak dapat menerima kenyataan bahawa Eun Hee sudah tiada di sini. Mindanya
tidak dapat lepas daripada memikirkan gadis itu. Dia ingin bertemu dengan Eun
Hee. Memberitahunya bahawa dia tidak bersalah. Memberitahunya bahawa dia tidak
akan sesekali berpaling pada wanita lain. Memberitahunya bahawa... dia akan
selamanya mencintai Song Eun Hee.
Ji Hoon sudah tidak mampu untuk
berdiri lagi. Dia terundur ke belakang sebelum tersandar lesu pada dinding
dapur. Matanya ditutup. Setitis air mata lelakinya gugur juga. Air mata yang
dititiskan hanya kerana Eun Hee.
“ Eun Hee... baliklah...”
Dia terduduk di lantai. Matanya merenung
kosong pada kaunter di dapur itu. Dia tersenyum hiba apabila melihat Eun Hee
sedang tersenyum kepadanya sebelum meneruskan kerja memotong sayurnya. Dan,
bayangan itu mula menghilang seperti kabus pagi.
No comments: