“ KAU nak ke mana?” laung Hyun Min sebaik sahaja
melihat Ji Hoon berlari ke pintu. Ji Hoon berhenti sejenak. Cemas wajahnya
menoleh pada wajah bingung Hyun Min.
“ Eun Hee! Aku tak nak jadi apa-apa
pada dia! Macam mana kalau lelaki tu sanggup apa-apakan dia?” kata Ji Hoon
cemas. Dia baru sahaja berlari keluar pintu sebelum masuk kembali ke dalam
pejabat. Dia meluru ke peti besi yang tersorok di balik langsir di belakang
meja kerjanya. Tergesa-gesa dia membuka peti besi itu.
“ Kau nak buat apa dengan benda tu?”
tanya Hyun Min terkejut apabila melihat Ji Hoon mengeluarkan sepucuk pistol.
Dia tidak hairan dengan kewujudan pistol itu, apatah lagi dia turut mempunyai
lesen untuk menyimpan pistol atas tujuan keselamatan. Apa yang dia hairankan
adalah untuk apa Ji Hoon mengeluarkan pistol itu.
“ Aku... nak pergi rumah Pak Cik Dam
Shik...” Kelosong peluru diperiksa. Ji Hoon tersenyum apabila mendapati
kelosong pelurunya masih penuh. Tergesa-gesa dia menyimpan pistol itu ke dalam
poket seluarnya sebelum kembali memandang Hyun Min.
“ Habis tu kau nak buat apa dengan
pistol tu?” Hyun Min mengulangi pertanyaannya. Ji Hoon terdiam. Matanya melekat
kembali pada pistol di tangannya. Dia menghela nafas. Sejurus, pandangan
matanya singgah pula wajah bingung Hyun Min.
“ Kalau aku tak balik dalam masa
sejam, tolong hubungi Zachary, okay? Aku tak yakin dengan apa yang berlaku. Aku
tak pasti sama ada Eun Hee dalam bahaya atau pun tak. Tapi aku cuma nak
berjaga-jaga dan aku rasa aku perlukan pistol ni,” kata Ji Hoon tenang. . Dia
menepuk bahu Hyun Min sebelum berlari keluar pejabat.
Hyun Min masih berdiri kebingungan di
situ. Setelah sekian lama, dia menepuk kuat dahinya. Segera dia mengeluarkan
telefon bimbitnya. Arahan Ji Hoon tidak dipedulikan. Nama Zachary dicari
sebelum dia menekan butang hijau. Telefon dibawa ke telinga.
“ KAU dah nampak?”
Perlahan-lahan Seung Hyun bangun
daripada duduknya. Renungan dia kepada Eun Hee seakan mampu membunuh. Eun Hee
menggeleng perlahan. Wajahnya berubah pucat. Dia berundur setapak demi setapak
apabila Seung Hyun mengatur langkah kepadanya.
“ Kau nak tahu dari mana aku dapat
parut tu? Nak tahu?” kata Seung Hyun dingin. Sekali lagi Eun Hee menggeleng.
Perwatakan Seung Hyun berubah secara mendadak. Lelaki itu kelihatan mahu
menerkamnya seperti seekor singa di hutan.
“ Ayah kau yang tak guna tu yang
hadiahkan aku parut ni! Kau nak tahu bila aku dapat?” Suara Seung Hyun bergetar
menahan marah. Kerutan di wajahnya menakutkan Eun Hee. Eun Hee menggeleng
pantas. Dia mula panik.
“ Masa dia nak selamatkan kau! Masa
aku datang nak bunuh kau sekeluarga!”
Eun Hee termengkelan. Dia terpaksa
mengakui kata-kata Seung Hyun. Memang pada malam itu, papanya berkeras untuk
dia menyelamatkan dirinya sendiri. Malah papanya jugalah yang membenamkan mata
pisau ke betis lelaki yang datang membunuh mereka sekeluarga. Sungguh dia tidak
menyangka bahawa lelaki pembunuh itu merupakan sepupu kandungnya sendiri!
“ Kau tahu? Aku terpaksa kembali dari Macau
untuk bunuh ayah kau! Sebab ayah kau yang tak guna tu, rahsia aku bocor! Dia
dapat tahu aku sertai kongsi gelap masa dia melawat Macau! Dia terserempak
dengan aku! Dia dah saksikan sendiri macam mana aku belasah, bunuh seorang
lelaki masa aku jalankan kegiatan aku! Dan... aku terpaksa bunuh bukan saja
dia, tapi semua ahli keluarga kau....”
Seung Hyun berhenti melangkah. Dia
tersenyum mengejek pada Eun Hee yang sudah terjelepok ke lantai. Sebelah tangannya
dibawa ke belakang seluar. Eun Hee tergamam apabila melihat sepucuk pistol
dibawa keluar dari saku jean Seung Hyun.
“ Hidup aku tak tenang sebab gagal
bunuh kau. Aku selalu fikir, macam mana kalau kau tahu rahsia aku? Macam mana
kalau kau dedahkan rahsia aku? Aku tak nak ditangkap polis. Aku tak nak
meringkuk dalam penjara,” kata Seung Hyun. Nadanya berubah-ubah. Sekejap
meninggi, sekejap merendah. Mata putihnya melebihi anak mata hitamnya. Dia
kelihatan seperti sudah hilang kewarasan akal untuk berfikir.
Eun Hee menggeleng. Seung Hyun sudah
berdiri betul-betul di hadapannya. Muncung pistol diletakkan di lehernya. Dia
menangis ketakutan.
“ Kemudian, seorang lelaki tawarkan
upah untuk cari dan bunuh seorang lelaki. Ternyata lelaki itu merupakan suami
kau, aku betul-betul gembira dengan peluang itu,” kata Seung Hyun sambil ketawa
perlahan. Mata Eun Hee terbeliak. Ji
Hoon?
“ Akulah yang langgar dia tempoh
hari, tapi dia bernasib baik sebab tak mati. Kemudian...” Nafas Eun Hee
tersekat. Muncung pistol itu dibawa ke seluruh mukanya.
“ Lelaki tu kata... dia sendiri yang
akan bunuh suami kau. Dan aku terima saja, sebab sasaran utama aku adalah kau.”
Seung Hyun ketawa galak. Dagu Eun Hee diangkat kasar. Takut-takut Eun Hee
merenung ke wajah itu.
“ Kau tahu? Suami kau hampir-hampir
mati masa lelaki tu datang ke rumah kau. Dia bernasib baik sebab lelaki tu
gagal bunuh dia. Sebab takut rahsia aku terbongkar, lelaki itu aku bunuh. Aku
sorokkan mayat lelaki tu di kawasan nelayan. Dan, sekali lagi suami kau
terselamat. Dia memang bernasib baik.”
Eun Hee menggeleng sekuat hati
apabila Seung Hyun menarik kasar bahunya. Tangannya dikilas kasar ke belakang.
Eun Hee mengerang kesakitan apabila kedua-dua tangannya dipegang kemas oleh
genggaman kejap Seung Hyun.
“ Aku pernah nak bunuh kau dulu.
Tapi, aku tak bernasib baik sebab masa tu suami kau yang tak guna tu, ayah aku
dan adik aku ada bersama-sama kau. Aku terpaksa melarikan diri. Dan, suatu hari
aku ekori kau pulang dari pasar. Malangnya kau sedar yang kau dalam bahaya. Aku
tak dapat kejar kau yang balik ke rumah. Dan hari itu...” Seung Hyun berhenti
berkata-kata. Rambut panjang Eun Hee direntap kasar.
“ ... aku dah hampir-hampir bunuh
kau, tapi malangnya sekali lagi suami kau dah gagalkan rancangan aku. Dia
muncul dan hentak aku dari belakang. Aku hanya berjaya cederakan dia sebelum
aku larikan diri. Dan, sekali lagi aku gagal...”
Bulat anak mata Eun Hee mendengar
pernyataan itu. Jadi, lelaki yang berserkup muka hitam itu adalah Seung Hyun?
Kejadian mengerikan yang menimpa dirinya itu masih diingati. Apatah lagi sebab
peristiwa itulah dia semakin menjauhkan diri daripada Ji Hoon.
“ Tapi...” Seung Hyun ketawa
menggila. Eun Hee kaku apabila muncung pistol itu rapat mengenai dahinya.
“ ... tak akan ada sesiapa yang dapat
selamatkan kau kali ni. Aku akan bunuh kau, buang mayat ke dalam laut dan lari
ke luar negara. Aku punya banyak wang untuk itu,” kata Seung Hyun perlahan. Eun
Hee menggeleng perlahan.
Dia akan mati tidak lama lagi. Tak
akan sesiapa lagi yang akan datang menyelamatkannya. Dia akan mati di tangan
darah dagingnya sendiri. Sungguh dia tidak menyangka abang sepupunya itu sudah
menjadi seorang lelaki yang tidak berperikemanusiaan.
“ Arghhh!!!”
Seung Hyun terbongkok menahan perit
peluru menembusi kulit tangannya. Eun Hee segera menoleh ke pintu. Dia
terperanjat besar. Bergetar bibirnya melihat seseorang yang sedang berdiri di
muka pintu rumah itu. Ji Hoon! Ji Hoon datang menyelamatkannya sekali lagi!
Ji Hoon segera masuk ke dalam rumah
itu. Bengis wajahnya merenung pada Seung Hyun yang masih terbongkok menahan
kesakitan yang teramat. Pistol yang tergenggam kemas di tangannya dihala kepada
lelaki itu.
“ Kaulah yang nak bunuh aku, kan?
Lepas tak berjaya bunuh aku, kau nak bunuh isteri aku pula? Sepupu kau
sendiri?” Suara Ji Hoon lantang menengking lelaki itu. Jika iikutkan hatinya
mahu sahaja dia menembak lelaki itu sehingga mati. Mujurlah kewarasan akalnya
mampu menghalang dia daripada bergelar seorang pembunuh pula, sama seperti
lelaki yang dipandang hina di hadapannya kini.
Seung Hyun bangun lalu meluru ke arah
pistolnya yang tergeletak tidak jauh daripadanya. Eun Hee menekup mulut. Tidak
sanggup membayangkan apa yang bakal terjadi.
“ Kau memang bodoh! Sepupu kau si Da
Wei bangsat tu sendiri sanggup bunuh kau! Apatah lagi aku? Dah banyak nyawa
melayang di tangan aku. Termasuklah nyawa sepupu kesayangan kau tu,” kata Seung
Hyun merendahkan nada di akhir percakapannya. Ji Hoon kaku seketika.
Pembunuhan
Da Wei berpunca daripada Seung Hyun sendiri? Lelaki upahan Da Wei sendiri?
“ Kau tak akan berjaya bunuh aku. Aku
akan bunuh kau kemudian...” Seung Hyun ketawa berdekah-dekah. Dia menoleh ke
arah Eun Hee yang masih terduduk bersandar pada dinding sebelum matanya segera
kembali pada wajah bengis Ji Hoon.
“ ... isteri kesayangan kau.”
Seung Hyun ketawa lagi. Dia benar-benar
kelihatan lupa diri. Dia ketawa terbahak-bahak. Pistol di tangannya digenggam
erat. Dia mengangkat pistol itu. Muncung dihalakan tepat kepada Ji Hoon.
“ Kalau kau fikir kau boleh bunuh aku
macam mana kau bunuh Da Wei, kau silap besar,” deram Ji Hoon bengang. Seung
Hyun mengangkat keningnya.
“ Oh ya?”
Dia menerpa ke arah Ji Hoon tanpa
sempat dihalang oleh lelaki itu. Eun Hee merintih tatkala melihat suaminya
sedang bergelut dengan sepupunya sendiri. Perlahan-lahan dia bangun. Hampir
tidak berdaya dia untuk melangkah mendapatkan Ji Hoon. Dia terpaksa merangkak
perlahan-lahan.
“ Aku... yang akan bunuh kau...
bukannya kau!” bentak Seung Hyun. Pistolnya ditepis oleh Ji Hoon, jatuh
tergeletak di hujung ruang tamu itu. Ji Hoon mencengkam belakang leher Seung
Hyun. Dia sedang bergelut dengan Seung Hyun untuk mengelakkan lelaki itu
daripada merampas pistolnya pula.
“ Kau... takkan... dapat...”
Bum!
Eun Hee membongkok sambil menutup kedua-dua
telinganya apabila bunyi tembakan dilepaskan kedengaran. Teresak-esak dia
mengangkat wajah. Wajahnya pucat tidak berdarah apabila melihat jasad yang
terkena tembakan itu ialah Ji Hoon! Ji Hoon terbaring di lantai sambil memegang
dada kirinya. Nafasnya tersekat.
Abang... abang...
Tergesa-gesa dia mendapatkan Ji Hoon
yang hampir nyawa-nyawa ikan. Dia menggeleng pantas. Air matanya bercucuran
menuruni pipi. Dipangku lembut kepala suaminya itu. Dia menangis tersedu sedan.
“ Eun Hee...” panggil Ji Hoon
perlahan. Dadanya berombak tidak sekata. Dia meraih sebelah tangan gadis itu.
Eun Hee menggeleng lagi. Dia menarik tubuh itu ke pelukannya. Basah rambut Ji
Hoon dengan tangisan Eun Hee.
“ Maaf...”
“ Aku dah kata, kau bakal mati dalam
tangan aku,” kata Seung Hyun sinis. Eun Hee mengangkat wajah. Dia kesal dengan
kekejaman Seung Hyun. Hanya kerana dendam lampau, dia sanggup membunuh!
“ Sekarang, kau pula...” Muncung
pistol dihala pula pada Eun Hee. Eun Hee termengkelan.
Eun Hee membenamkan wajahnya pada
kepala Ji Hoon. Dia menutup matanya rapat. Jatungnya berdegup pantas. Dia akan
mati! Bunyi tembakan kedengaran lagi.
Sepi. Eun Hee kaget. Perlahan-lahan
dia membuka mata. Kabur pandangannya melihat sekeliling. Dia melihat Zachary
dan Hyun Min meluru masuk ke dalam rumah. Eun Hee terpana.
“ Ji Hoon, kau tak apa-apa?” Zachary
berlari mendapatkan Ji Hoon yang berbaring di pangkuan Eun Hee manakala Hyun
Min berdiri di hadapan mereka, cuba menghalang Seung Hyun daripada melakukan
apa-apa yang bakal memburukkan lagi keadaan. Kerutan di wajah Ji Hoo jelas
menunjukkan kesakitan yang sedang dilaluinya. Zachary tergamam apabila melihat
Ji Hoon sedang memegang rapat pada bahagian dada kirinya.
“ Kau...”
Tergesa-gesa Zachary membantu memapah
Ji Hoon berdiri. Goyah lutut Eun Hee melihat kesengsaraan yang tergambar di
wajah suaminya. Dia menggeleng dalam tangisan. Saat mereka mahu melangkah
pergi, Seung Hyun menerpa ke hadapan, menghalang mereka daripada keluar dari
rumah itu.
“ Pergi!” bentak Zachary bengang.
Pautannya pada pinggang Ji Hoon dikuatkan. Seung Hyun menggeleng sinis.
“ Tak semudah itu. Aku takkan
benarkan siapa pun di antara kau semua boleh hidup lepas ni!” kata Seung Hyun
bongkak. Jarinya menarik laras pistol. Sebelum sempat dia melepaskan tembakan,
Hyun Min terlebih dahulu bertindak. Dia meluru kepada Seung Hyun lalu menepis
tangan yang memegang pistol. Perut Seung Hyun ditumbuk kuat sebelum dia
mengilas kedua-dua tangan Seung Hyun ke belakang. Seung Hyun jatuh tertiarap.
Pistol Seung Hyun dan piastol Hyun Min sama-sama jatuh jauh daripada mereka.
“ Kau takkan terlepas! Pihak polis
dalam perjalanan ke sini! Kami akan bongkarkan semua kejahatan kau!” bentak
Hyun Min. Wajah Seung Hyun berubah panik. Sebelah kakinya menendang kuat
belakang Hyun Min sebelum dia berlari meloloskan diri.
Kesemua mereka kaget dengan kejadian
yang berlaku dengan pantas itu. Hyun Min terus berlari keluar rumah. Serentak
dengan itu suatu bunyi dentuman yang kuat kedengaran. Lariannya diperlahankan
saat dia menjejakkan kaki ke tanah. Dia terkedu melihat apa yang berlaku di
hadapannya.
“ Hyun Min! Cepat!” pekik Zachary dari
belakang sekaligus mengejutkan Hyun Min. Hyun Min lekas berpaling. Dia
tergamam. Wajah Ji Hoon semakin pucat. Lelaki itu menarik nafas dengan bersusah
payah. Tangan Ji Hoon masih menekan pada luka tembakan di dada kirinya.
Akhirnya, Ji Hoon jatuh terkulai daripada papahan Zachary.
No comments: