Ai no Kotoba

Colours make your life beautiful, melody makes your life rhythm and harmony makes your life a life - Hana

Semua karya dalam blog ini hak cipta terpelihara penulis. Anda tidak dibenarkan menciplak, me-copy, memplagiat atau with every means to copy it atau mengaku karya itu anda punya.
Semua karya tidak mempunyai kaitan dengan yang hidup mahupun yang sudah meninggal dunia.
Selamat membaca. Peace!

Watashi no Tomodachi :D

Entri Terbaru! Tengok Sini!

Tuesday, August 31, 2010

SHINE: You're My Melody 16


DI bahu Hikari tergalasnya sebuah beg sandang yang besar. Kesemua keperluan yang diperlukan semasa berkhemah sudah dimasukkan ke dalamnya. Dia melihat ke kawasan MTS. Sudah ramai yang berkumpul di situ. Sebanyak empat buah bas diperlukan untuk membawa para peserta ke tapak perkhemahan. Hikari mendekati Jun yang sedang berbual-bual dengan SHINE. Perbualan mereka terganggu dengan kehadiran Hikari.

          “ Kenapa tak letak beg lagi?” tanya Jun. Matanya tertumpu pada beg galas besar di bahu Hikari. Hikari tersengih.

          “ Orang ramai sangatlah. Lepas nilah,” balas gadis itu. Hikari menoleh ke arah bas-bas yang diparkir di tepi jalan. Orang ramai sedang beratur untuk meletakkan beg dan barangan keperluan yang dibawa.

          “ Tak apalah. Hmm… cantik baju,” kata Jun sambil melepaskan tawa kecil. Dia melihat pada kemeja T merah jambu yang mempunyai dua jalur putih menegak yang tersarung pada tubuh Hikari dan SHINE. Pantas Hikari mencebik.

          “ Abang ni… sengaja je nak perli saya,” gumam Hikari rendah. Jun ketawa.

          Memang tidak boleh digambarkan bagaimana rupa Hikari dan SHINE apabila melihat warna kemeja T pasukan mereka. Mana tidaknya, warna merah jambu menjadi pilihan. Memang sengaja Jun mencadangkan warna kegemaran Kumi; merah jambu sewaktu menelefon gadis itu beberapa hari yang lalu. Nak tak nak, terpaksa juga mereka memakainya.

          “ Salah kaulah ni. Kalau setuju dengan aku, tak adanya kita pakai baju merah jambu ni,” kata Sho perlahan. Hikari menjegilkan mata. Ada salahkan aku pulak?

          “ Banyaklah salah aku. Kau tu, patut setuju dengan aku, tau tak? Dah tau nak masuk hutan, pilihlah warna hijau,” balas Hikari. Kali ini Sho pula yang menjegilkan matanya. Segera Jun masuk campur sebelum sempat mereka berdua berbalas kata.

          “ Dah! Dah! Abang fikir dah tak gaduh, rupa-rupanya gaduh lagi pasal baju ni! Korang gaduh lagi, memanglah sorang-sorang abang buang dalam gaung kat hutan tu,” ugut Jun. Pantas Sho dan Hikari diam. Tak sangka pula yang Jun boleh mengugut sedemikian. Senyuman Jun terukir apabila melihat mereka berdua mendiamkan diri.

          “ Lepas ni, Sho duduk dengan abang, Hiko dengan Itsuki, Naoki dengan Eichii. Hikari pula duduk dengan Kak Kumi, boleh?” kata Jun lagi. Serentak mereka mengangguk.

          Pengumuman kedengaran untuk para peserta perkhemahan. Hikari bergegas pergi menyimpan begnya ke ruang penyimpanan. Kumi ditemui di dalam bas. Gadis itu awal-awal lagi sudah naik ke dalam bas. Hikari menyapa gadis itu seraya mendapatkan tempat duduknya.

          “ Yang lain-lain mana?” tanya Kumi. Dia melihat-lihat ke sekitar ruang dalam bas. Mencari-cari Jun dan SHINE dalam kelompok manusia yang ramai. Hikari tersengih. Dia menunjuk pada deretan kerusi di belakang mereka.

          “ Mereka duduk kat situ.”

          Kumi mengangguk. Mereka berdua mendiamkan diri tatkala bas mula bergerak. Kumi asyik dengan bacaannya manakala Hikari pula sedang asyik mendengar lagu. Tidak akan sekali-kali dia akan meninggalkan MP3nya jika ke mana-mana.

          Sepanjang perjalanan yang mengambil masa hampir dua jam setengah itu, ada sahaja persembahan daripada artis-artis yang terlibat dalam perkhemahan ini. Ada yang berlakon, menyanyi bersama peminat tidak kurang juga sesi soal jawab dengan para peminat. SHINE tidak terkecuali malah merekalah yang paling menjadi tumpuan apatah lagi mereka baru sahaja memenangi anugerah di MTV Japan Awards. Ramah mereka melayan para peminat mereka apatah lagi dengan perangai Naoki dan Sho yang suka berlawak.

          “ Dah sampai,” kata Kumi secara tiba-tiba. Hikari melihat ke luar tingkap. Fon telinga ditanggalkan lantas MP3 disimpan ke dalam poket seluar. Dia menarik senyum.

          Para perserta beratur mengikut kumpulan. Taklimat ringkas disampai sebelum mereka berpecah mengikut kumpulan. Mereka dikehendaki mendirikan khemah terlebih dahulu. Acara selanjutnya adalah pembahagian kumpulan mengikut sukarelawan dan para peminat yang turut serta perkhemahan itu. Kumpulan mereka diasingkan dengan kelompok artis namun mereka akan berkerjasama juga dengan kumpulan yang terdiri daripada artis apabila acara diadakan. Dua kumpulan bergabung menjadi satu dan kumpulan itu tidak boleh diubah.

          “ Kita dirikan khemah kat situlah,” kata Jun sambil mengunjuk pada sebuah kawasan lapang yang berdekatan dengan sungai. Yang lain-lain hanya mengangguk. Mereka bersetuju sahaja.

          Empat buah khemah didirikan. Satu untuk Hikari dan Kumi manakala tiga lagi untuk Jun, Sho, Hiko, Itsuki, Naoki dan Eichii. Satu khemah diperuntukkan untuk dua orang. Khemah untuk Hikari dan Kumi dibina agak jauh sedikit daripada keempat-empat khemah yang lain.

          “ Abang, pukul berapa acara seterusnya?” tanya Hiko yang kini sudah berada dalam khemah. Itsuki yang tinggal bersamanya dalam khemah itu sudah melelapkan mata. Katanya mahu berehat sebentar. Barangkali keletihan bahana perjalanan yang panjang.

          Jun yang turut berehat dalam khemahnya bangun daripada pembaringan. Dia mengeluarkan sehelai kertas daripada poket beg sandang. Sho yang mendiami khemah itu bersamanya turut terlena. Masing-masing kepenatan.

          “ Pukul 12. Ada lebih kurang 45 minit lagi,” ujar Jun. Hiko yang berada dalam khemah setentang dengan khemah Jun menarik senyum.

          “ Bolehlah nak tidur sebentar,” kata Hiko. Jun ketawa perlahan. Dia mengiakan kata-kata Hiko. Kedua-duanya rebah dalam khemah. Mata dipejamkan.

          Sementara di dalam khemah yang paling hujung, Hikari dan Kumi hanya berbaring-baring sahaja tanpa memejamkan matanya. Kedua-dua nampaknya cergas walaupun mengharungi perjalanan yang panjang.

          “ Hikari, kamu nak pergi mandi tak?” ajak Kumi tiba-tiba. Satu fon telinga ditarik manakala majalah yang sedang dibaca diletak ke tepi. Wajah Kumi direnung.

          “ Mandi? Kat sungai?” tanya Hikari. Kumi tersenyum.

          “ Ada lebih kurang 45 minit lagi,” kata Kumi. Serta merta senyuman di bibir Hikari berbunga. Bingkas dia bangun lantas terus menerus merenung Kumi.

          “ Okay!”

          Mereka menyusuri denai menuju ke arah sungai yang terletak berdekatan dengan kawasan perkhemahan SHINE. Kawasan yang agak tersorok menjadi pilihan mereka. Mereka tidak mandi, hanya sekadar membersihkan muka. Air sungai yang sejuk mengundang tawa Hikari.

          “ Sejuknya!”

          Hikari melihat pada air sungai yang jernih itu. Mengalir daripada kawasan perbukitan di sebelah atas. Hikari dan Kumi melabuhkan duduk lantas merendam kaki ke dalam sungai. Kawasan persekitaran diperhati. Ciutan beburung kedengaran menyapa telinga.

          “ Macam mana dengan kamu sekarang? Okey?” Kumi mula memecahkan sunyi. Hikari tersenyum lebar. Dia mengangguk.

          “ Dah biasa. Kalau dulu memang rasa macam nak berhenti tapi sekarang tak lagi. Bilik muzik kat MTS tu dah jadi macam bilik kedua saya pula,” balas Hikari. Kata-katanya disambut dengan tawa Kumi.

          “ Baguslah. Kalau tak memang kalutlah jadinya. Mana nak ulang kaji, mana nak uruskan SHINE, mana nak rehat? Memang kena uruskan masa dengan betul,” ucap Kumi. Hikari mengangguk. Kata-kata gadis itu memang benar.

          “ Oh ya!”

          “ Kenapa, kak?” tanya Hikari hairan. Kumi tersenyum. Dia mengalih pandang pada Hikari yang duduk di sebelahnya.

          “ Teman lelaki kamu tak marah ke kamu asyik sibuk je?” tanya Kumi. Serta merta Hikari tergelak. Dia menggelengkan kepala. Kumi yang merenungnya mula mengerutkan dahi kehairanan.

          “ Teman lelaki? Mengarutlah Kak Kumi ni. Saya tak pernah ada teman lelaki,” kata Hikari dengan sisa tawanya.

          “ Ya?” tanya Kumi tidak percaya. Hikari mengangguk.

          “ Betul. Kalau nak kata saya ada teman lelaki pun, tu budak-budak lima orang tulah teman lelaki saya. Sejak kecil lagi kami kenal, saya memang tak rapat dengan mana-mana budak perempuan,” jelas Hikari.

          “ Oh… patutlah…”

          Dahi Hikari berkerut. “ Patutlah apa?”

          “ Patutlah kakak tengok kamu tu… asyik rapat je dengan Sho. Kamu suka Sho?” Pertanyaan Kumi berjaya membuatkan mata Hikari terbeliak.

          “ Kenapa pulak Kak Kumi boleh fikir macam tu? Saya asyik gaduh je dengan Shot tu. Takkanlah saya boleh suka Sho pulak,” balas Hikari yang sudah mula gelak memanjang. Kumi tersengih.

          “ Kadang-kadang, kita akan jatuh cinta dengan musuh kita sendiri,” kata Kumi sambil mengenyit mata. Selesai sahaja bercakap, Kumi terus bangun dari situ lalu menuju ke tapak perkhemahan. Hikari ditinggalkan terpinga-pinga di belakang.


ITSUKI dan Naoki mengatur langkah ke kawasan urus setia. Jun meminta mereka mengambil senarai atur cara aktiviti. Gara-gara bermain air, kertas yang sudah siap bercetak berkenaan dengan segala aktiviti yang akan dilakukan basah.

          “ Ni kau punya pasallah ni. Kalau kau tak ajak main air kat sungai tadi tak payah kita susah-susah ke sini,” rungut Itsuki. Naoki mencebik.

          “ Banyaklah kau semua ni salah aku. Tadi, kau jugak yang beria-ria nak main,” balas Naoki. Itsuki tarik sengih bersalah. Ya juga…

          Cuma ada seorang gadis bertopi dan seorang lelaki sahaja di urus setia itu. Itsuki menyapa sopan sebelum kedua-duanya menoleh. Gadis itu tersentak. Itsuki juga sebegitu. Matanya tertumpu pada gadis bertopi itu.

          “ Awak?”


p/s: gomen... pendek pulak...

하나



464 + 143 = Naj + Nini [Watak-watak]

 
464+143 = Naj+Nini


Han Hyo Joo as Auni Ammaleeyna bt. Muhd Zakaria (24 tahun)
p/s:bayangkan pakai tudung ya? :) 


Mukai Osamu as Najwan Faqqimi b. Luqman Hakim (27 tahun)


 SHINee's Hello Baby's Jung Yoo Geun as Ezzat Ridhuan b. Ahmad Fuad (5 tahun)




Girls' Generation's Tae Yeon as Alia Syuhada bt. Suhaimi (24 tahun)

p/s:bayangkan pakai tudung jugak ya? :) 

Super Junior's Si Won as Ahmad Ashraf Hakim b. Ahmad Fauzi (27 tahun)


Horikita Maki as Nadira Sharliza bt. Ahmad Fauzi (23 tahun)
p/s: adik Ashraf, pakai tudung


U-KISS' Ki Seop as Rifqi Akashah b. Lutfi (25 tahun)
p/s: tunang Nadira


 

464 + 143 = Naj + Nini [Teaser]





Ada apa pada Naj di mata Nini?
Ø  Hensem macam Mukai Osamu 
Ø Nini rasa Najlah jejaka Malaya yang Nini kenal hantuuuuu sangat dengan drama Korea!
Ø Suka sakitkan hati Nini, lepas tu pujuk balik
Ø Kadang-kadang, layan Nini cam budak kecil lagi
Ø Suka buat klip kertas yang warna-warni tu jadi bentuk love, then beri pada Nini
Ø Baik dengan budak (suka tengok time Naj main dengan budak-budak)


“ Mula-mula jumpa, Nini langsung tak rasa apa-apa. Kali kedua tu, Nini dah rasa lain macam. Betul ke Nini suka Naj?” - Nini


Ada apa pada Nini di mata Naj?
Ø  Comel cam Han Hyo Joo 
Ø  Nampak je senyap tapi bila masuk gear mengusik, boleh tahan
Ø  Boleh lawan cakap pasal drama Korea
Ø  Suka sangat buat origami bentuk swan, lepas tu simpan banyak-banyak dalam botol
Ø  Semua pasal Nini, Naj suka (tambah lagi Naj suka perempuan pakai tudung) 


“ Dunia Naj hanya untuk E-jat lepas Wawa pergi. Naj tak pernah bercinta dengan siapa-siapa pun. Naj tak tahu nak confess macam mana. Tapi, Naj dah suka Nini. Naj nak bahagiakan Nini, boleh?” – Naj


Asalnya, mummy dan ummi cadang nak jodohkan Naj dan Nini tapi dah tak perlu, sebab Naj dan Nini dah sama-sama suka. E-jat si anak saudara yang sudah anggap Naj tu papa pun dah sokong sama. Bila dah kahwin, macam-macam hal yang seronok terjadi, tambah-tambah lagi bila nak bertikam lidah nak mempertahankan pendapat masing-masing time tercatuk depan TV sebab drama Korea punya pasal. Tapi, boleh ke quote Naj "464" untuk Nini tu akan kekal selamanya? Tapi, kalau dah jodoh insya-Allah tak akan ke mana, kan?


p/s: my first trial ntuk novel Melayu :). pepun Hana akan utamakan entry Eternal,  Don't Forget n' citer yg dulu2 sbb yg ni Hana cadang nak hantar ntuk publisher. ok tak?



Thursday, August 26, 2010

new URL....

www.harunohana19.blogspot.com

tukar balik, panjang sangat URL lama :)


link baru.... lagi?

www.harunohana19.blogspot.com

tukar balik, panjang sangat URL lama :)

Monday, August 23, 2010

Lovin' You @ KakiNovel



anttention! anttention anttention!
kat sini ada good news ( pada Hana lah. tapi pada korang tak tahu lah good news ke tak) :)
sebelum ni Hana ada hantar sinopsis Lovin' You pada KakiNovel and then, dapat reaksi positif. KakiNovel akan terbitkan Lovin' You dalam versi cetak ;)
happpyyyyy!!!!!

Hana asyik senyum je. so, Hana akan buang semua entry Lovin' You kat blog ni. ni je yang Hana nak cakap, semua jadi tiba-tiba je ;)

gomen pada sapa-sapa yang baru je baca Lovin' You kat blog ni. 
arigatou pada sokongan korang sume ;)

하나


Saturday, August 21, 2010

Eternal 7

-->


PAK CIK UKIE mengiringi Ryuu memasuki sebuah bilik. Bilik itu sudah dikhaskan sebagai tempat pertemuan antara Ryuu dengan kumpulan infantri elit Yakuza Ryuu. Kebanyakan ahli kumpulan itu sangat terlatih dengan ilmu mempertahankan diri terutamanya ilmu ninja. Satu persatu wajah di hadapannya diperhati. Lebih kurang 15 orang yang diserapkan dalam kumpulan elit itu. Wajah masing-masing kelihatan tegang.

          “ Kamu semua tahu kan apa tugas kamu semua?” tanya Ryuu tegas. Matanya melirik pada wajah Yamasaki Orochi, lelaki yang mengetuai kumpulan itu. Orochi dan yang lain-lain pantas mengangguk. Seperti mana maksud namanya, jika lelaki itu sudah beraksi dia tidak ubah seperti seekor ular yang licik. Menyelusuri jalan tanpa pengetahuan musuh. Para ninja sememangnya handal dalam menyembunyikan diri. Pergerakan mereka juga sukar untuk dikesan.

          “ Kami faham, tuan. Kami akan memerhati dari jauh dan akan bertindak bila keadaan memerlukan,” kata Orochi. Dia memberi tunduk hormat kepada ketuanya itu sebagai tanda menzahirkan rasa hormat dan setia yang tidak terhingga. Ryuu mengangguk. Orochi merupakan salah seorang anggota kumpulannya yang dia percayai selain daripada Pak Cik Ukie. Lelaki itu sudah melewati umur 30-an.

          “ Aku percayakan kamu semua. Kamu semua dah bersumpah setia akan melindungi kumpulan ini sehingga akhir nyawa kamu. Jangan buat aku terpaksa ingatkan kamu semua berkenaan sumpah setia itu,” tegas Ryuu. Orochi dan ahli-ahli bawahannya hanya mengangguk. Mereka masih mengingati ritual sempena pelantikan Ryuu sebagai ketua Yakuza Ryuu atau lebih dikenali sebagai Oyabun Yakuza Ryuu. Kedudukan Ryuu berada di tempat yang tertinggi dan mereka semua, anggota Yakuza Ryuu, sudah berjanji dengan darah bahawa kesetiaan mereka tidak akan pernah berbelah bahagi.

          “ Tuan Ryuu boleh percayakan kami,” kata Orochi.

          Ryuu hanya mendengar sahaja janji lelaki itu. Dia melihat pada jam di tangan. Masih ada lebih kurang 48 jam lagi sebelum operasi dimulakan. Pada kali ini Ryuu akan lebih berhati-hati. Nalurinya mengatakan bahawa sesuatu akan terjadi ketika operasi penyeludupan masuk senjata itu.

          Sesudah pertemuan mereka, Ryuu kembali ke pejabatnya dengan ditemani oleh Pak Cik Ukie. Pintu pejabat ditutup kemas mengelakkan sebarang perbualan didengari orang di luar. Ryuu berjalan ke arah tingkap. Pandangannya dilempar ke luar.

          Ibu pejabat Yakuza Ryuu terletak di tengah-tengah bandar Shinjuku di Tokyo namun kehadiran mereka tidak pernah dicurigai oleh mana-mana pihak berkuasa kerana mereka semua menyembunyikan diri di sebalik identiti perniagaan yang sah di sisi undang-undang. Di sebelah bangunan yang merupakan ibu pejabat Yakuza Ryuu, terletak cawangan Eastern Star yang berpusat di Ginza. Rangkaian kompleks beli belah milik Ryuu yang merupakan satu-satunya perniagaannya yang sah di sisi undang-undang.

          “ Kenapa pak cik tengok tuan makin gelisah?” tanya Pak Cik Ukie berterus-terang. Dia melihat pada lelaki muda itu. Jarang baginya untuk melihat lelaki itu kelihatan cemas. Kebiasaannya, lelaki itu tenang sahaja walaupun operasi yang akan dilakukan amat berisiko namun kali ini berbeza sekali. Ryuu kelihatan gelisah.

          Ryuu menggelengkan kepalanya. Sebelah tangannya bercekak pinggang manakala yang sebelah lagi diletakkan pada dahi. Mukanya berkerut. Ryuu berpusing pada Pak Cik Ukie. Dia menghela nafas.

          “ Entah, saya tak tahu kenapa saya cemas. Mungkin sebab Takuji bersungguh-sungguh nak ambil hak pemilikan tu kembali,” kata Ryuu tanpa berselindung. Pak Cik Ukie mengangguk. Benar kata Ryuu. Anak lelaki Tuan Sakate itu kelihatan amat bersungguh-sungguh kali ini. Mungkin disebabkan oleh tekad yang terhasil selepas asyik dikalahkan oleh Ryuu. Mungkin Takuji merasa amat tercabar dan ingin menunjukkan kepada mereka bahawa dia lebih hebat daripada Ryuu.

          “ Jangan bimbang. Pak cik tak rasa kita akan alami masalah. Sudah banyak operasi yang sudah kita jalankan dan semuanya berjaya. Pak cik rasa tak ada apa yang perlu tuan bimbangkan,” pujuk Pak Cik Ukie. Dia merenung pada wajah kusut Ryuu. Ryuu mengangguk. Mungkin ada benarnya kata-kata lelaki tua itu.

          “ Tak apalah, pak cik. Saya rasa saya nak pulang awal hari ni. Pak cik tolong uruskan apa-apa yang patut. Kalau ada apa-apa, telefon saya,” putus Ryuu. Pak Cik Ukie mengangguk.

          Ryuu keluar dari pejabatnya. Langkahnya dicepatkan menuju ke tempat meletak kereta di bawah tanah. Skyline dibawa meluncur laju di atas jalan raya. Walaupun Pak Cik Ukie sudah berkata sedemikian, fikirannya masih lagi kusut.


SAKURA melihat ke sekeliling kondominium. Semuanya sudah dikemaskan malah pakaian juga sudah berbasuh. Sejak hari dia mengemas rumah ini, Ryuu langsung tidak membantah apa yang ingin dia lakukan. Dia juga sudah berasa agak seronok sedikit, tidak lagi bosan seperti dahulu.

          Tugasan hariannya termasuklah membasuh pakaian, mengemas rumah, memasak dan lain-lain lagi. Mata Sakura tertumpu pada pakaian Ryuu yang sudah dilipat dengan kemas yang masih terletak di atas meja kopi di hadapan antara televisyen dan sofa. Pakaiannya pula sudah disimpan dengan elok di dalam almari. Kebiasaannya, dia akan meletakkan pakaian Ryuu di situ dan lelaki itu sendiri yang akan menyimpannya. Semuanya kerana Ryuu telah melarang dia daripada memasuki biliknya. Tetapi, nampaknya sejak dua hari lalu lagi pakaian itu diletakkan di situ. Langsung tiada tanda-tanda bahawa Ryuu akan mengambilnya. Malah, jumlah pakaian juga sudah semakin bertambah. Sakura mengerutkan kening.

          Aku nak bawa masuk ke? Tapi, kalau dia marah macam mana pula? Nampak macam dia tak ingat je dengan baju-baju ni semua, fikirnya. Sakura melihat pada jam di dinding. Baru sahaja mencecah pukul 3.15 petang. Waktu makan tengah hari sudah lama berlalu. Dia hanya makan sebiji epal sahaja lantaran ketiadaan selera. Jika dia memasak pun bukannya Ryuu akan pulang pada waktu petang sebegini. Sekarang dia tidak ubah seperti isteri kepada lelaki itu. Menguruskan setiap keperluan Ryuu.

          Nampak serabut je dengan baju-baju ni semua. Aku bawa masuklah, dia dah lupa agaknya, putus Sakura. Dia langsung terlupa akan arahan Ryuu. Langsung terlupa bahawa lelaki itu mungkin akan mengamuk jika arahannya diingkari.

          Kesemua lipatan pakaian Ryuu diambil Sakura. Dia membawa pakaian itu ke tingkat atas. Bilik Ryuu terletak di tingkat atas manakala Sakura pula ditempatkan di bilik bawah. Pergerakannya agak lincah sekarang apatah lagi luka di kakinya sudah sembuh. Sakura membuka pintu bilik Ryuu.

          Suasana dalam bilik itu agak kelam. Mungkin kerana Ryuu tidak membuka tingkap dan hanya membiarkan cahaya matahari masuk melalui pintu selungsur. Langsir juga dibiarkan menutupi pintu selungsur itu. Sakura menarik senyum. Disangkanya bilik itu penuh dengan pelbagai senjata yang berbahaya namun telahannya tidak tepat. Bilik Ryuu sama sahaja dengan bilik orang lain walaupun lelaki itu merupakan seorang ketua yakuza.

          Boleh tahan kemas juga bilik ni, getus hati Sakura. Dia memasuki bilik itu dan menuju ke arah almari pakaian. Ketika dia membuka salah satu pintu almari itu, sesuatu terjatuh ke atas lantai. Sakura terkesima. Dia membongkok sedikit untuk mengambil helaian kertas yang jatuh itu. Pakaian Ryuu masih berada dalam tangannya.

          “ Gambar?” bisiknya perlahan.

          Benda yang jatuh yang disangkanya sebagai helaian kertas rupa-rupanya ialah sekeping gambar. Sakura meneliti gambar itu. Gambar itu jelas menunjukkan seorang wanita sedang bermain dengan seorang kanak-kanak kecil. Jelas terpancar kegembiraan dan kebahagiaan mereka berdua. Sakura menarik senyum tanpa sedar.

         Ini pasti Ryuu. Comel jugak dia masa kecil. Dia…

         “ Kau buat apa dalam bilik aku?”

          Pantas Sakura menoleh setelah mendengar jerkahan itu. Dia tergamam. Ryuu sedang berdiri di muka pintu. Tajam mata lelaki itu merenung wajahnya. Dirasakan tubuhnya mula menggigil. Muka Sakura pucat tidak berdarah. Apa yang dia lihat sekarang, Ryuu tidak ubah seperti seekor singa yang bengis dan akan menerkam mangsanya pada bila-bila masa sahaja.

          “ Sa… saya…” Nafasnya tersekat dan mula turun naik. Sakura kehilangan kata-kata. Langkah Ryuu laju mendekati gadis itu. Gambar di pegangan Sakura dirampas kasar. Sakura makin pucat. Pakaian Ryuu yang pada asalnya kemas dalam genggamannya, jatuh ke atas lantai. Mata Sakura tidak lepas daripada wajah Ryuu yang kian membengis.

          “ Kenapa kau masuk ke dalam bilik aku? Bukan ke aku dah larang kau masuk ke dalam ni? ” Jerkahan Ryuu semakin kuat. Sakura menggigil teruk. Dia berundur sedikit, bimbang jika akan diapakan-apakan oleh Ryuu. Langkahnya mati apabila merasakan tubuhnya sudah rapat ke almari. Dia terperangkap di tengah-tengah! Antara Ryuu dan almari pakaian itu.

          “ Kenapa kau masuk dalam bilik aku?” tanya Ryuu lantang sekali lagi. Sakura menggelengkan kepalanya. Wajahnya kian pucat. Jika ditoreh belum pasti lagi berdarah. Sakura mendiamkan diri. Dia tidak pasti sama ada dia boleh bersuara atau tidak tika ini. Suaranya seolah-olah sudah tersekat di kerongkong.

          “ Jawablah!” tengking Ryuu lagi. Kali ini lebih kuat. Geram kerana gadis itu tidak menjawab pertanyannya. Terketar-ketar tangannya menahan marah. Jika diikutkan apa yang biasa dilakukan jika anggota kumpulannya melakukan kesalahan, sudah pasti saat ini pipi Sakura sudah ditampar. Tetapi seolah-olah ada sesuatu yang menghalangnya daripada berbuat demikian. Hanya renungan mata dan intonasi suaranya yang makin meninggi menzahirkan kemarahannya saat ini.

          Tengkingan itu memaksa Sakura menunduk ke bawah. Tangannya menggenggam skirtnya erat. “ Saya… saya cuma nak simpan baju awak,” katanya tersekat-sekat. Mata Sakura jatuh pada pakaian Ryuu yang sudah jatuh ke lantai. Wajah Ryuu kian merah akibat menahan marah.

          “ Keluar… lebih baik kau keluar sekarang sebelum aku apa-apakan kau… Keluar!”

          Pantas Sakura menyelinap keluar dari bilik itu. Tergesa-gesa langkahnya berlari menuruni tangga. Imbangan badannya tidak stabil dan dia terjatuh di anak tangga, terlantar di lantai marmar yang sejuk itu. Segera dia bangun dan berlari sekuat hati. Dia sudah tidak menghiraukan apa yang akan terjadi. Dia cukup takut dengan tengkingan lelaki itu.  Sungguh. Dia benar-benar takut dengan apa yang terjadi. Inilah kali pertama Ryuu menengkingnya sedemikian rupa. Air matanya mula mengalir menuruni pipi. Semangatnya dirasakan kian pudar. Ketika sampai ke ruang tamu, pandangan Sakura hinggap pada pintu keluar kondominium itu.


KEMAS Ryuu mengepal buku limanya. Terketar-ketar tubuhnya lantaran menahan marah yang teramat sangat. Dia melihat pada gambar yang sudah renyuk dalam genggamannya. Gambar ketika dia masih kecil. Di saat dia sedang bergembira dengan ibunya. Hanya itu sahaja gambar keluarga yang berada dalam simpanannya. Gambar mendiang Tuan Kamenashi? Langsung tiada dalam simpanannya.

          Ryuu melabuhkan duduk di atas katil. Dia menghela nafas seolah-olah sedang putus nafas sekarang. Ryuu mengesat peluh di dahi. Gambar itu diletakkan di atas katil. Dia langsung tidak menyangka bahawa bilik peribadinya akan dimasuki orang lain. Dia akan lantang memarahi sesiapa sahaja yang menceroboh masuk ke ruang privasinya tanpa kebenaran. Hanya Pak Cik Ukie sahaja yang dibenarkan memasuki mana-mana bahagian kondominiumnya itu.

          Ryuu memejam matanya. Dia merebahkan badan di atas katil. Nafasnya masih lagi turun naik. Entah kenapa, dia mula merasa menyesal kerana memarahi gadis itu tadi. Masih jelas dalam fikirannya bagaimana pucatnya wajah itu tadi. Malah, tubuh Sakura yang menggigil teruk juga jelas di matanya. Sakura…

          Sakura!

          Pantas Ryuu bangkit daripada pembaringannya. Dia seolah-olah baru tersedar daripada mimpi. Dia telah mengarahkan gadis itu keluar daripada biliknya tadi dan ini bermaksud…

         Ryuu berlari ke tingkat bawah. Sangkaannya tepat. Pintu keluar terbuka dan ini menandakan bahawa gadis itu sudah berjaya melarikan diri. Ryuu menghempas vas bunga yang terletak berhampiran dengannya. Berderai vas itu tatkala dihempas ke lantai. Ryuu mengepal buku limanya. Terketar-ketar tubuhnya saat ini. Dia mengutuk dirinya yang sudah bertindak bodoh. Tetapi, dia bukannya risau tentang rahsia kumpulannya yang akan bocor jika Sakura pergi membuat laporan di balai polis tetapi apa yang dia risaukan sekarang adalah… keselamatan gadis itu.

          Ryuu mengeluarkan telefon bimbitnya. Dia harus melakukan sesuatu dengan segera. Nombor Pak Cik Ukie didail. Sebaik sahaja panggilan diangkat dia terus mengemukakan arahan. Tanpa sebarang mukadimah.

          “ Pak cik? Kerahkan anggota kita di sekitar Tokyo. Cari Sakura sampai dapat, dia dah larikan diri!”


TEH hijau itu dihirup perlahan. Wajah resah si anak seolah-olah tidak langsung menggamit simpatinya. Tuan Sakate kembali meletakkan cawan teh itu di atas meja. Dia membetulkan duduknya di atas kusyen. Wajah Takuji di hadapan diperhati lama.

          “ Kamu nak lakukan serangan?” tanya Tuan Sakate. Pantas Takuji mengangguk. Sesekali dia membetulkan duduk. Kakinya mula terasa kebas apabila lama duduk dalam keadaan sedemikian, mengikut tradisi masyarakat Jepun.

          Tuan Sakate ketawa perlahan. Dia melihat pada luar rumah. Sesekali dia kembali menghisap paip. Asap dihembus ke luar rumah. Takuji semakin tidak sabar menanti bicara bapanya.

          “ Saya nak gunakan sebahagian ahli kita untuk serangan itu pada malam Sabtu ni,” kata Takuji lagi berterus-terang. Tuan Sakate hanya ketawa. Wajah satu-satunya anak lelaki keluarga Sakate itu direnung lagi.

          “ Adakah perkara ni ada kaitan dengan hak pemilikan tu?” tanya Tuan Sakate lagi. Takuji tergamam. Dia teringat bagaimana marahnya lelaki itu selepas mendapat tahu hak pemilikan itu sudah jatuh ke tangan Ryuu. Sesungguhnya Takuji ingin menebus kembali maruahnya yang terasa sudah tercalar pada mata bapanya.

         “ Takuji?” panggil Tuan Sakate apabila melihat anaknya mendiamkan diri. Takuji tersentak. Teragak-agak dia mengangguk. Tuan Sakate mengeluh.

          “ Kamu masih mentah, Takuji. Ayah tak nak kamu terlalu ikutkan emosi,” kata Tuan Sakate. Lembut sahaja bicaranya saat ini. Baginya, ini merupakan perbincangan antara seorang bapa dan anak, bukannya perbincangan di antara ketua Yakuza Jiro dengan anggotanya. Dalam kemegahan dalam melakukan pelbagai jenayah, Tuan Sakate tetap merupakan seorang bapa yang baik walaupun kadang kala emosinya dipengaruhi dengan persekitarannya sebagai seorang ketua kumpulan yakuza.

          “ Apa maksud ayah?” tanya Takuji kehairanan. Apa maksud kata-kata bapanya? Dia masih mentah?

          Tuan Sakate mengangguk sekilas. Pandangannya kembali berlabuh pada wajah anak lelakinya itu.

          “ Kamu terlalu muda dan setiap tindakan kamu dipengaruhi oleh emosi kamu. Kami masih gagal dalam mengawasi emosi kamu. Disebabkan inilah, kamu sering kali gagal dalam setiap tindakan kamu,” kata Tuan Sakate perlahan. Dia kembali menghirup teh hijau. Dia melakukannya dengan penuh tertib. Takuji hanya mendiamkan diri. Bapanya masih belum habis berbicara dan dia tidak boleh mencelah percakapan lelaki itu.

          “ Kamenashi Ryuu sudah dilatih dalam mengawal emosinya agar tindak-tanduknya terkawal malah dia telah dilatih dengan baik sejak kecil lagi. Jadi, tidak hairanlah kenapa dia berjaya memegang tampuk pemerintahan Ryuu sehingga kini tanpa sebarang masalah malah kejayaan demi kejayaan berjaya dia capai. Dan kamu, Sakate Takuji, kamu belum berjaya mengawal emosi kamu. Kamu biarkan sahaja tindakan kamu dipengaruhi oleh emosi kamu. Kamu harus belajar mengawalnya jika kamu mahu berjaya dalam segala perancangan kamu,” tutur Tuan Sakate. Dalam berbicara, dia tidak lepas daripada memuji anak tunggal mendiang Tuan Kamenashi itu. Jauh di sudut hatinya, dia mengakui Ryuu seorang lelaki yang mempunyai sifat kepemimpinan walau masih muda untuk memegang jawatan yang tertinggi dalam sesuatu kumpulan yakuza.

          Wajah Takuji berubah riak. Apatah lagi bapanya sendiri memuji Ryuu yang sudah dianggap sebagai musuh ketatnya. Tuan Sakate yang perasan akan perubahan wajah anaknya itu hanya tersenyum.

          “ Jadi, ayah tak benarkan kamu lakukan sebarang serangan malam Sabtu ni. Ayah nak kamu usaha sendiri dalam menangani situasi seperti ini. Selain lakukan serangan, masih ada banyak lagi perkara yang lebih baik yang boleh kamu lakukan,” kata Tuan Sakate memberi kata putus. Dia bangun daripada duduknya yang berjalan keluar dari ruang tamu. Anaknya ditinggalkan berseorangan. Biarlah dia berfikir. Apa yang diharapkan, Takuji boleh menggunakan akalnya sebaik mungkin. Itu merupakan harapan seorang bapa kepada anaknya.
           

LANGKAH Sakura kian perlahan. Tubuhnya makin lemah. Dia seolah-olah orang yang hilang arah kini. Hari sudah menjengah ke malam namun sehingga kini Sakura tidak tahu apa yang patut dilakukan olehnya. Dia pernah terfikir untuk ke balai polis, tetapi mungkin tindakannya akan mengundang bahaya jika ada orang Ryuu yang menyamar sebagai anggota polis mengetahui perihalnya. Dia tidak mahu mengambil risiko.

          Sakura menyelusuri lorong-lorong gelap di belakang bangunan. Dia takut untuk mengambil laluan utama. Bimbang jika terserempak dengan orang-orang Ryuu, bimbang jika terserempak dengan Ryuu. Dia takut. Dia tidak mahu kembali ke tempat itu semula.

          Keluhan terhembus daripada bibir mungil itu. Dia mahu kembali ke Numazu, tempat asalnya namun itu merupakan perkara yang mustahil. Numazu terletak kira-kira 130 kilometer dari Tokyo dan mengambil masa kira-kira dua jam lebih perjalanan. Jarak itu terlampau jauh apatah lagi dia kini hanyalah sehelai sepinggang.

          “ Apa yang aku patut buat sekarang ni?” kata Sakura bersendirian. Tubuhnya semakin lemah malah dia juga amat lapar sekarang. Sakura melihat ke persekitaran sekeliling. Dia mula gerun. Bersendirian di tempat yang gelap memang menakutkan.

          Sakura menggosok kedua-dua telapak tangannya. Sesekali dia menghembus nafas hangat. Dia sudah lama kesejukan. Sekarang ini hanya sehelai kemeja T wanita lengan paras siku dan skirt paras lutut sahaja yang tersarung di tubuhnya. Angin malam pada musim bunga memang sejuk. Apatah lagi musim sejuk baru sahaja berlalu.

          Perlahan-lahan Sakura bersandar pada dinding sebuah bangunan. Dia duduk berpeluk tubuh. Tubuhnya kian menggigil kesejukan. Boleh dilihat wap nafasnya. Sakura memejamkan mata. Dia berasa letih… sangat…

          “ Cik?”

          Sakura membuka matanya kembali. Dia tergamam. Ada dua orang lelaki muda yang berwajah bengis dan seorang lelaki tua yang kemas dalam sut hitam sedang berjalan ke arahnya. Hatinya mula menjangkakan sesuatu yang tidak enak akan berlaku. Sakura bingkas bangun daripada duduknya.

          Mulut Sakura terkunci rapat. Dia tidak mengenali mana-mana antara lelaki yang berada di hadapannya ini. Lelaki yang kelihatan agak berusia itu menoleh ke belakang, melihat pada dua orang lelaki lagi di belakangnya.

          “ Panggil tuan,” katanya ringkas. Kedua-dua lelaki itu mengangguk sebelum berlari ke suatu arah.

          Sakura melihat sahaja pada perlakuan lelaki itu. Di saat dia melihat seorang lagi lelaki muncul, mulutnya terlopong. Bulat matanya melihat Ryuu yang sedang berjalan di hadapannya melepasi lelaki tua itu. Seperti biasa, renungan Ryuu tajam melihatnya. Sakura berundur ke belakang.

          Ryuu mengarahkan dua orang lelaki tadi meninggalkan dia. Hanya dia dan Pak Cik Ukie sahaja yang berada di situ. Langkah Ryuu makin mendekati Sakura. Sakura sudah menggigil ketakutan. Matanya dilarikan daripada melihat pada wajah Ryuu yang semestinya kini sedang tegang.

          “ Kenapa kau lari?” tanya Ryuu dengan nada yang agak keras. Sakura menggigit bibir. Dia tidak berani langsung untuk bersuara apatah lagi untuk memandang wajah itu. Dia sudah bersedia jika lelaki itu mahu membunuhnya saat ini juga. Dia sudah tidak mampu berfikir dengan rasional sekarang ini. Lama dia membiarkan pertanyaan Ryuu tanpa jawapan. Kedengaran Ryuu menghela nafas.

          Eh?

          Sakura mengangkat wajah apabila terasa ada sesuatu yang diletakkan pada bahunya. Kot hitam Ryuu sudah disarung pada bahunya. Ryuu mengemaskan kedudukan kot itu apatah lagi dia hanya meletakkan kot itu pada bahu Sakura, bukannya menyarungkan pada tubuh gadis itu. Sakura termengkelan.

          “ Kita balik. Aku akan ketatkan lagi pengawasan di kawasan kondo tu. Aku tak nak kau lari lagi,” kata Ryuu perlahan. Sakura menelan liur. Dia langsung tidak menyangka bahawa lelaki itu akan berbuat demikian. Ryuu langsung tidak memarahinya. Tidak memarahinya seperti petang tadi. Saat dia masuk ke bilik Ryuu.

          Ryuu menoleh ke belakang. Pak Cik Ukie berjalan mendekatinya.

          “ Pak cik, tolong arahkan anggota kita kembali bertugas di kawasan masing-masing. Terima kasih sebab tolong saya,” kata Ryuu. Pak Cik Ukie mengangguk. Mata lelaki itu singgah pada wajah pucat Sakura.

          “ Sakura, ini Sahara Ukie. Panggil saja Pak Cik Ukie. Pak cik, ni Haruno Sakura,” kata Ryuu. Pak Cik Ukie menarik senyum. Dia tunduk memberi hormat.

          “ Selamat berkenalan, Cik Haruno,” kata Pak Cik Ukie ramah. Teragak-agak Sakura mengukir senyum nipis segaris. Senyumannya mati tatkala merasakan tangan kanannya dipegang seseorang.

          “ Jom, kita pulang,” kata Ryuu. Sakura tergamam. Ryuu menariknya menuju ke sebuah kereta. Sakura mengutuk dirinya sendiri. Betapa mudah bagi Ryuu untuk mencarinya semula. Betapa mudah dia merelakan Ryuu menangkapnya semula. Betapa mudah… Hatinya mula menangis.


SKYLINE GTR diparkir di hadapan sebuah tasik. Ryuu dan Sakura sama-sama mendiamkan diri di dalam kereta. Dari tadi lagi Sakura kelihatan tidak selesa. Kerap kali dia memandang ke luar tingkap. Ryuu hanya membiarkan sahaja perilaku gadis itu.

          “ Kau tak apa-apa?” tanya Ryuu memecahkan sepi di antara mereka. Sakura tidak menjawab pertanyaan itu sebaliknya hanya mengangguk. Dia kehairanan kenapa lelaki itu langsung tidak memarahinya. Ryuu kelihatan seperti biasa, seolah-olah tiada apa-apa yang berlaku.

          “ Aku tahu apa yang kau tengah fikirkan. Aku tak marahkan kau sebab aku tahu itu salah aku. Tempat kau bukannya di tempat aku tetapi di luar sana, di dunia yang luas. Tapi, kau dah tak boleh kembali lagi ke dunia kau. Sekarang, dunia kita sama walaupun hakikatnya kita berbeza,” kata Ryuu perlahan. Sakura mendiamkan diri. Dia memejamkan mata seketika.

          Sepi kembali menjengah. Baik Ryuu mahupun Sakura langsung tidak bersuara. Gadis itu mendengar suatu bunyi. Segera dia mendongak ke atas. Bumbung kereta dibuka oleh Ryuu. Dia dapat melihat dengan jelas bintang-bintang yang sedang bersinar di langit malam. Ryuu menyandarkan kepala pada sandaran. Dia menghela nafas.

          “ Kelopak sakura dah mula mekar,” katanya perlahan.

          Matanya dilabuhkan pada pokok-pokok bunga sakura yang sudah berbunga. Bunga sakura tidak akan mekar lama. Selepas itu kelopak-kelopak yang cantik dan mekar itu akan mengecut pula. Begitulah yang akan terjadi setiap kali musim bunga menjelang.

          Sakura turut menyandar pada kerusi. Dia melihat melepasi bumbung kereta yang sudah dibuka itu. Dia menarik nafas perlahan. Sakura, bunga yang mekar cantik pada awal musim bunga.



하나


LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...