
CORBY berdering lantang minta segera
diangkat. Auni meletakkan novel yang sedang dibacanya di atas katil lantas
segera mencapai Corby. Dia tersenyum lebar apabila menyedari siapa yang
menelefonnya. Punat hijau segera ditekan.
“ Assalamualaikum,” sapa Auni
perlahan. Dia mengigit bibir. Kenapalah aku gatal semacam aje ni? Senyum sorang-sorang. Bahaya, bahaya…
Salam Auni dibalas. Najwan berjalan ke
balkoni biliknya.
“ Nini dah nak tidur ke? Saya call nak tanya khabar,” kata Najwan. Dia
melemparkan pandangan ke sekitar kawasan rumahnya. Walau jam sudah menjangkau
ke 12 tengah malam, dia masih belum boleh melelapkan matanya.
Pada mulanya, dia agak ragu untuk
menelefon Auni, apatah lagi apabila menyedari betapa lewatnya masa sekarang.
Sudah pasti gadis itu sudah lama tidur memandangkan esok merupakan hari bahagia
mereka berdua. Ternyata dia silap, Auni masih lagi belum tidur.
Auni senyum lagi. “ Tak. Belum nak
tidur lagi. Awak? Kenapa awak tak tidur lagi?”
Najwan tertawa perlahan. Dia
menggeleng. “ Entah, tak boleh tidur.”
Mata Najwan dan Auni sama-sama singgah
pada langit malam walau mereka berada di tempat yang berasingan. Tidak sabar
rasanya, esok dia akan sah bergelar suami kepada Auni Ammaleeyna dan Auni akan
sah bergelar isteri kepada Najwan Faqqimi. Hidup baru mereka akan bermula
sebaik sahaja akad sah dilafazkan.
“ Nini?” panggil Najwan. Auni hanya
menggumam perlahan.
“ Pernah dengar tak quote dalam Al-Quran yang mengatakan
‘lelaki yang baik hanya untuk perempuan yang baik dan perempuan yang baik hanya
untuk lelaki yang baik’?” tanya Najwan. Auni mengangguk perlahan.
“ Pernah,” balasnya. Auni senyum
sendirian. Itu merupakan salah satu kata-kata kegemarannya jika membaca
Al-Quran yang disertakan dengan terjemahan. Dan dia percaya akan janji Allah
yang itu.
“ Awak seorang perempuan yang baik dan
sebenarnya… saya ragu-ragu untuk mengahwini awak. Macam mana kalau saya bukan
jodoh awak? Macam mana kalau saya tak mampu jadi suami yang baik untuk awak?”
keluh Najwan.
Sudah lama dia memikirkan soal itu,
namun baru sekarang dia berdaya untuk meluahkan apa yang sering bermain dalam
fikirannya. Dia tidak pernah menyayangi mana-mana perempuan seperti mana dia
menyayangi Auni seumur hidupnya selain daripada mummy, arwah Najwa dan
Nawal. Malah rasa sayangnya kepada Auni berbeza dengan rasa sayangnya kepada
ketiga-tiga mereka.
“ Insya-Allah, semuanya akan baik
untuk kita. Saya akan usaha jadi a good
wife untuk awak dan awak usaha untuk jadi a good husband untuk saya, boleh?” kata Auni. Dia tersenyum.
Auni langsung tidak menyangka bahawa
soal itu akan diutarakan oleh Najwan. Tetapi dia bersyukur kerana Najwan
mengutarakan soal itu, setidak-tidaknya mereka boleh saling memperingati
tanggungjawab masing-masing selepas ijab kabul kelak. Baik dia mahupun Najwan
akan mempunyai tanggungjawab yang besar selepas ini.
Najwan menghela nafas. Dia mengangguk
sedikit. “ Baik. I’ll be a good husband,
right?”
Auni senyum lagi. “ Right.”
Najwan jeling sekilas pada muka jam di
dinding. Hampir menginjak ke pukul 12.30. Tentu bising mummy esok kalau tengok dia mengantuk sebab tidur lewat. Baik dia
masuk tidur sekarang kalau tak nak tadah telinga dengar mummy membebel esok. Nawal pula lepas solat Isyak terus masuk
tidur. Nak nampak berseri-seri katanya.
“ Err…
tak apalah, Nini. Saya dah nak tidur dah ni, dah lewat sangat sekarang. Takut mummy bising pulak kalau saya mengantuk esok,” kata Najwan. Auni ketawa. Faham
benar dengan sikap bakal ibu mentuanya itu.
“ Okey. Selamat malam,
assalamualaikum,” kata Auni. Dia berbaring di atas katil. Salamnya dibalas
perlahan. Corby diletakkan di atas meja di sisi katil. Hamtaro di tangan
dipeluk erat. Dia senyum sendirian.
PAGI-PAGI lagi pintu bilik Najwan
diketuk kuat oleh mummy. Mummy menyuruhnya untuk segera bangun
dan mandi. Dia yang masih mamai hanya menurut sahaja arahan mummy. Hampir sahaja dia terlanggar
dinding tatkala mahu memasuki bilik air. E-jat pula masih tidur. Dia tadah
sahaja telinga masa mummy membebel.
Betullah apa yang dia beritahu pada Auni semalam, mummy memang akan membebel apabila menyedari betapa mengantuknya
dia kini.
Najwan menepuk mukanya berulang kali,
cuba menghalau rasa mengantuknya daripada terus menggoda dia untuk tidur
kembali. Wajahnya dibasahkan dengan air sejuk. Kepalanya digeleng berulang
kali.
Sesudah mandi, dia terus menunaikan
solat Subuh. Khusyuk Najwan menunaikan solatnya, langsung tidak terusik dengan
bunyi E-jat yang sedang mengigau. Pada Dia, Najwan memohon agar segala
urusannya dipermudahkan pada hari ini. Hari bahagia dia dengan Auni.
“ Papa…”
Mendayu suara E-jat memanggilnya
menarik senyum Najwan. Dia menepuk pipi E-jat yang masih mamai. E-jat tidak
juga bangun-bangun sebaliknya dia menarik selimut dan memeluk Tweety di tangan.
Najwan ketawa. Pipi E-jat ditepuk lagi.
“ E-jat, bangunlah. Dah Subuh ni…”
kata Najwan perlahan namun E-jat hanya menggeleng. Mengantuknya…
“ Bangunlah. E-jat kata nak bangun
awal hari ni,” kata Najwan lagi. Dia menarik selimut E-jat. E-jat tarik balik
selimut yang dipegang oleh Najwan. Dia menggeleng dalam mamainya.
“ Mengantuk…”
Najwan menggeleng kepala. Kedua-dua
tangannya menepuk pipi E-jat sekali lagi. E-jat masih lagi memejamkan matanya.
Degil betul matanya untuk menurut arahan papanya.
“ Bangunlah. E-jat kata nak bangun
awal hari ni, nak tengok papa kahwin. Hari ni…”
Erk?!
E-jat bingkas bangun. Dia merenung
tajam pada Najwan yang duduk di birai katil. Bulat matanya melihat pada Najwan
yang sedang menahan tawa.
“ Hari ni ke papa?” tanya E-jat tidak
percaya. Najwan mengangguk perlahan. E-jat seakan-akan terkedu dengan jawapan
Najwan. Lama dia mendiamkan diri sebelum…
“ Yayy!!!”
Kali ini Najwan pula yang terkedu.
Dia tergamam apabila melihat E-jat sudah menari-nari gembira di atas katil.
Tweety di tangan dihayun berulang kali. Najwan sudah tidak dapat menahan
tawanya. E-jat yang masih hanyut dengan tariannya dipeluk kuat. Dia pula yang
kena hayun oleh Najwan. Tweety dah jatuh ke lantai.
“ Apa ni papa? Lepaslah! Geli!” kata
E-jat yang terkejut dengan tindakan Najwan. Najwan tergelak lagi. Dia
meletakkan E-jat di atas lantai. Muncung E-jat dengan tindakan mengejut Najwan
tadi.
“ Dah, tak payah nak mengarut. Ambil
tuala, masuk bilik air, basuh muka, gosok gigi, mandi, ambil wuduk dan solat,
okey?” Satu per satu dia memberi arahan kepada E-jat. Pipi E-jat dicubit.
Najwan hanya tersengih apabila E-jat masih memuncung.
“ Okey…” kata E-jat mendayu. Tuala
bergambar Mickey Mouse yang tersangkut dicapai lalu dia masuk ke dalam bilik
air. Sempat Najwan menggosok kepala anak kecil itu.
Najwan meletakkan songkok di atas
para. Sejadah yang digunakan tadi dilipat rapi sebelum dia menghamparkan
sejadah yang bersaiz agak kecil di atas lantai, untuk kegunaan E-jat selepas
ini. Dia duduk kembali di birai katil. Apa yang dibualkan bersama-sama Auni
semalam cuba diingatinya sebaik mungkin.
Dia senyum sendirian. Najwan bangun
lalu menuju ke pintu gelongsor bilik itu. Pintu itu dibuka lalu dia masuk ke
dalam balkoni. Hawa sejuk menerpa kepadanya namun Najwan hanya buat tidak endah
sahaja. Dia berdiri di balkoni itu, menikmati suasana fajar. Nafasnya ditarik
perlahan.
AUNI menarik nafas perlahan. Dia
membelek wajahnya di cermin berulang kali, memastikan agar tiada apa yang
mencacatkan penampilannya hari ini. Auni tersenyum nipis apabila mendapati dia
sudah berpuas hati dengan penampilannya.
“ Adik,” panggil Angah. Auni menoleh
ke pintu. Dia melemparkan senyuman kepada Angah yang sudah cantik dengan baju
kurung ungu muda tersarung di tubuhnya.
“ Ummi tanya dah siap belum? Ummi dan
walid dah tunggu kat tingkat bawah,” kata Angah. Dia membetulkan tudung Auni
yang senget sedikit. Auni mengangguk. Dia mencapai tas tangannya lalu mengikut
Angah keluar dari bilik. Persalinan serba putih sudah membaluti tubuhnya.
“ Angah Reza datang ke?” tanya Auni,
merujuk kepada tunang Angah. Angah tersenyum lalu mengangguk.
“ Dia kata nak cedok ilmu nikah dulu
sambil tengok adik baru dia nak ajak Angah kahwin,” kata Angah sambil ketawa.
Auni turut ketawa.
Ummi, walid, Along dan Kak Syara
serta Reza menanti di ruang tamu. Ummi tersenyum apabila melihat Auni kelihatan
cantik dan berseri-seri dalam persalinan putihnya. Ummi bangun lalu memeluk
Auni erat.
“ Cantik anak ummi,” bisik ummi
perlahan. Auni hanya tersenyum. Dalam kegembiraan, dia tetap merasai duka.
Selepas ini, dia akan meninggalkan rumah ini dan tinggal bersama-sama Najwan
pula. Itu tanggungjawabnya sebagai seorang isteri.
“ Cantik adik Along. Macam nilah baru
Along mengaku ada adik macam Auni,” kata Aisar yang sempat mengusik. Auni
mencebik sedikit sebelum ketawa.
“ Yalah, yalah.”
Aisar sengih lagi. Aisar dan Alin
membantu Syara yang sudah sememangnya sarat keluar dari rumah itu menuju ke
kereta. Walau doktor sudah mengatakan bahawa masa untuk dia bersalin hampir
tiba, namun Syara tetap berkeras mahu menyaksikan majlis akad nikah Auni dan
Najwan. Aisar hanya menurut sahaja permintaan Syara itu.
Hanya tinggal Auni, walid dan ummi sahaja lagi yang berada
di dalam rumah. Auni tersenyum hiba. Tak lama lagi tempatnya tidak lagi di
sini.
“ Adik?”
Auni menoleh pada walid yang sudah berdiri di sebelahnya.
Wajah walid kelihatan sayu. Auni cuba mengukir senyuman walau dia tahu,
kesedihan yang dialami walid turut sama dirasainya.
“ Walid,” panggil Auni sayu. Tubuh walid terus didakap
erat. Lagak Auni kelihatan seperti kanak-kanak yang tidak ingin berpisah dengan
bapanya. Walid tersenyum hambar. Pelukan anaknya dibalas.
“ Susahnya walid nak lepaskan adik,” ucap walid perlahan.
Ubun-ubun Auni yang sudah dibaluti dengan tudung diusap perlahan. Auni
mengangguk perlahan. Sayangnya nak tinggalkan walid dan ummi.
“ Adik sayang walid,” ucap Auni perlahan. Walid tersenyum
lagi.
Ummi yang turut sama menyaksikan situasi itu hanya mampu
tersenyum hiba. Biarlah suaminya meluahkan apa yang ingin dikatakan. Biarlah
anak bongsunya ingin bermanja sebegitu buat kali terakhir sebelum bergelar
isteri. Biarlah. Ummi hanya mampu melihat.
“ Sah aje akad lepas ni, adik bukan lagi milik walid, bukan
lagi milik ummi. Suami adik seorang aje yang ada hak sepenuhnya atas adik.
Kalau suami kata tak boleh, maka tak bolehlah. Adik kena patuh setiap kata
suami adik selagi suami adik tak langgar syariat. Kalau dia tak benarkan adik
balik ke rumah ni, adik kena dengar cakap dia, ya adik?”
Sayu walid menyusun ayat untuk dijadikan nasihat. Setitik
air mata Auni mengalir. Dia menggeleng perlahan. Kepala disandarkan pada dada
walid.
“ Walid janganlah cakap macam tu. Walid buat adik rasa nak
batalkan aje kahwin ni,” balas Auni merengek manja. Matanya dipejam lama. Tawa
walid kedengaran menyapa telinga.
“ Walid nak adik jadi isteri yang solehah untuk Naj. Ambil
ummi sebagai contoh untuk adik. Walid bersyukur sangat sebab dikurniakan
seorang isteri yang sanggup bersusah payah dengan walid. Jangan sesekali
abaikan suami kalau dia dalam kesusahan.”
Walid sempat merenung pada wajah isterinya. Ummi tersenyum
malu. Tangan ummi meraih tangan Auni yang masih melekap pada belakang walid.
Auni beralih untuk memeluk ummi.
“ Adik jangan sedih-sedih. Lepas ni, syurga adik bukan
bawah tapak kaki ummi dah. Syurga adik di bawah tapak kaki suami adik. Patuhi
dia selagi tak langgar syariat. Kalau ada masalah, bincang sama-sama. Adik
faham maksud ummi kan?” ummi berucap lembut. Auni mengangguk lagi.
“ Adik sayang ummi, adik sayang walid,” kata Auni perlahan.
Dia menahan air mata yang ingin menitis lagi. Walid dan ummi saling
berpandangan. Mereka sama-sama tersenyum.
Menangislah syaitan selepas ini di saat ijab dan kabul
dilafazkan. Menangislah syaitan kerana satu pasangan umat Muhammad sudah
mempunyai ikatan yang sah. Menangislah syaitan kerana akan lahirlah zuriat
halal yang akan meneruskan legasi Rasulullah SAW di bumi ini.
“ Ya Allah! Along ingatkan kenapalah lama sangat adik, ummi
dan walid ambil masa untuk keluar. Rupa-rupanya tengah berdrama swasta pula kat
dalam ni. Adik ni manja sangatlah.”
Suara Aisar mengejutkan mereka bertiga. Auni menggigit
bibir. Tahu-tahu aje Along nak kenakan dia. Punyalah dia syok feeling sedih dengan walid dan ummi tadi,
tahu aje Along nak menyibuk. Lepas ni dah tak boleh bermanja selalu dengan ummi
dan walid dah.
“ Dah, dah. Jom keluar. Nanti meraung bakal adik ipar Along
sebab bakal isteri lambat sampai ni,” kata Aisar lagi. Dia menarik Auni
daripada pelukan ummi dan walid. Auni terpaksa menurut sahaja. Bibirnya mula
berceloteh memarahi Aisar.
“ Along ni kan.. bla
bla bla..”
Aisar menjeling sekilas pada walid dan ummi yang masih
berdiri di ruang tamu. Lantas dia menundukkan wajahnya. Aisar sedar, bukan
mudah bagi seorang bapa untuk melepaskan anak perempuannya yang dijaga sejak kecil
lagi ke tangan lelaki lain.
Jangan bimbang ummi, walid. Adik will always be our adik. No more, no less. She’ll always be.
Along tahu.
Enjin Civic dihidupkan. Stream Along
dan Fiesta Reza akan mengikut dari belakang. Ummi duduk di sebelah walid
manakala Alin menemani Auni di tempat duduk belakang. Alin menggengam erat tangan adik bongsunya itu,
sekadar mahu meredakan sedikit gemuruh dalam hati Auni.
BABA menepuk perlahan bahu Najwan yang
sedang berdiri di beranda masjid sejak daripada awal ketibaan mereka di masjid
itu. Najwan menoleh ke belakang. Dia tersenyum sedikit.
“ Baba,” katanya perlahan. Baba
turut tersenyum.
“ Macam mana?” tanya baba. Najwan
tersenyum lagi.
“ Nervous
sikit,” jawab Najwan jujur. Baba ketawa perlahan.
“ Biasalah tu. Time baba dan mummy nak
kahwin pun baba nervous juga,” kata
baba cuba menenangkan hati anak terunanya itu. Najwan tersengih lagi. Dia hanya
mengangguk.
“ Baba,” Najwan memanggil perlahan. Baba mengangkat kening
sebelah.
“ Naj pernah berjanji dengan dua orang, yang Naj mahu
mereka berdua jadi pengapit Naj kalau Naj kahwin. Tapi, kedua-duanya pergi
tinggalkan Naj. Naj langsung tak menyangka yang Naj tak dapat kotakan janji
itu,” kata Najwan perlahan. Baba mengangguk.
“ Arwah Wawa dan… Ikhwan?”
Najwan mengangguk. Pada hari bahagianya ini, dia
teringatkan dua insan yang sentiasa bermain dalam kotak ingatannya. Najwa Sofia
dan Ikhwan Rahaman. Seorang adik kembar kesayangan manakala seorang lagi
merupakan sahabat yang baik.
“ Naj, sudahlah tu. Jangan ungkit lagi kisah lalu. Allah
lebih sayangkan mereka, sebab tu mereka pergi dulu. Kita yang masih bernafas ni
seelok-eloknya bersyukur kerana masih diberi peluang untuk beramal kepada-Nya.
Sudahlah tu, ya? Jangan fikir kisah sedih tu lagi, hari ni kan hari bahagia
kamu,” baba memberi nasihat. Najwan terpaksa mengiakan kata-kata baba.
Mummy
tengah temankan Nawal di dalam masjid. Syah berserta rombongan sudah pun
sampai. Mereka akan dinikahkan selepas Najwan dan Auni selamat sah sebagai
suami isteri. Najwan melemparkan pandangan ke kawasan masjid. Matanya terarah
pada jalan yang dikhaskan masuk ke kawasan masjid itu. Dia diam tiba-tiba.
Deretan kereta yang memasuki halaman
masjid menarik perhatian mereka yang berada di dalam masjid dan juga Najwan.
Najwan tersenyum apabila melihat susuk orang yang sudah lama dinantikannya
keluar dari salah sebuah kereta-kereta tersebut.
Bahu Najwan ditepuk lagi. “ Mari
masuk.”
Najwan mengangguk. Dia tersenyum
lagi. Kali ini lebih meleret. Baba masuk ke dalam masjid mendahului Najwan.
Berhati-hati Najwan mengatur langkah ke arah rombongan keluarganya.
Keluarga Auni sudah masuk ke dalam
masjid. Najwan mengerling sekilas pada Auni yang hanya tunduk sahaja. Dia
nampak gadis itu sedang tersenyum malu. Kemudian dia melihat pula pada E-jat
yang duduk di riba mummy. Bersinar
mata E-jat merenungnya.
Najwan cuba menahan tawanya. Dia
menumpukan sahaja pada walid Auni yang bertindak sebagai wali Auni di
hadapannya. Syah sudah mengambil tempat di sebelahnya. Selepas dia selamat
diijabkabulkan, baba pula yang akan mengambil tempat walid untuk mewalikan
Nawal.
“ Dah sedia?” tanya walid sambil
tersenyum meleret. Najwan tersengih, dia mengangguk sahaja. Syah yang duduk di
sebelahnya memerhatikan Najwan. Tangan walid menggenggam erat tangannya.
“ Aku nikahkan dikau dengan anakku
Auni Ammaleeyna binti Muhd Zakaria dengan mas kahwin RM100 tunai.”
Najwan menarik nafas. “ Aku terima
nikahnya akan Auni Ammaleeyna binti Muhd Zakaria dengan mas kahwin RM100
tunai.”
Walid melihat ke sekelilingnya. “
Sah?”
“ Sah,” jawab dua orang saksi jelas.
Walid mengangguk berpuas hati.
Baba tersenyum bangga pada anak
tunggal lelakinya itu. Mummy pula
kelihatan terharu. Najwan merenung kembali pada Auni. Jelas di matanya wajah
itu mula berona merah. Kali ini giliran Syah pula. Baba pula yang mengambil
tempat walid tadi.
Angah memaut rapat bahu Auni yang
sudah menangis. Dia tahu, adiknya sedang menangis gembira sekarang. Alin senyum
bahagia, selamat juga adik bongsunya berkahwin.
Hanya tinggal dia sahaja. Reza sedang merenungnya dengan senyuman penuh
bermakna. Alin hanya buat bodoh. Tahu benar apa yang sedang difikirkan oleh
tunangnya itu.
Sekali lagi ucapan saksi jelas pada
pendengaran mereka semua. Auni merenung pada Nawal yang sudah menangis sama
sepertinya. Dia kehairanan. Semua perempuan yang baru kahwin akan nangis ke? He he…
Upacara pembatalan air sembahyang
akan bermula pula. Auni merenung sahaja kepada Najwan yang sedang tersenyum ke
arahnya. Di tangan kanan Najwan ada sebentuk cincin platinum. Najwan
menghulurkan tangannya, mahu memegang tangan Auni. Auni menelan liur.
Perlahan-lahan dia menghulurkan jari-jemarinya.
Cincin pertunangan itu berganti
dengan cincin kahwin mereka berdua. Auni makin tidak dapat menahan rasa
terharunya apabila dahinya dikucup perlahan oleh Najwan. Kemudian, Najwan
berkata perlahan bagi mengucapkan sesuatu namun jelas pada pendengaran Auni.
“ Ya Allah, berkatilah perkahwinan di dunia mahupun di
akhirat. Kurniakanlah kami zuriat yang mampu mengembangkan syiar-Mu di bumi
ini. Lindungilah kami daripada bala yang mampu merosakkan rumah tangga kami dan
keluarga kami. Kurnialah kami rezeki Mu ya Allah. Binalah mahligai indah buat
kami di samping-Mu di jannah-Mu kelak.”
Hati Auni tersentuh. Dia akan berusaha untuk menjadi
seorang isteri yang solehah untuk Najwan, seperti mana Najwan yang juga akan
berusaha untuk menjadi seorang suami yang boleh membimbingnya bersama-sama ke
syurga Ilahi.
Tangan
Najwan dikucup lembut. Reza yang bertindak sebagai jurukamera rasmi pada hari
itu mengambil gambar sebagai tanda kenang-kenangan. Kesemua yang hadir turut
tersenyum gembira. Mereka turut mengambil peluang untuk menangkap gambar
pasangan suami isteri yang baru sahaja diijabkabulkan itu. Pasangan Nawal-Syah
turut termasuk sekali. Entah berapa puluh gambar mereka diambil.
Auni mencapai sebuah kotak cincin
yang berbaldu biru daripada tangan ummi. Cincin kahwin juga sudah selamat
tersarung di jari manis Najwan. Najwan beralih pada walid dan ummi. Kedua-dua
tangan mertuanya itu disalami. Sempat walid menitipkan pesan agar menjaga Auni
dengan baik. Najwan mengangguk.
“ Saya janji. Saya akan…”
Kata-katanya mati di situ. Semua yang
berada di dalam masjid itu mengalih perhatian mereka pada bunyi jeritan yang
kedengaran secara tiba-tiba. Auni tergamam apabila melihat wajah Along yang
cemas. Kak Syara pula sudah terbaring di lantai. Tangan kakak iparnya itu
menekan-nekan pada perutnya. Along pandang pada wajah ummi dan walid.
“ Syara dah nak bersalin! Dia dah nak
bersalin!”
Walid dan ummi kaku seketika sebelum
mereka bergegas mendapatkan Syara di samping Aisar. Syara semakin mengaduh
kesakitan. Kelihatannya dia sudah tidak mampu untuk menahan kesakitan itu lagi.
Auni mula kaget. Perlahan-lahan dia menoleh ke sisinya. Najwan turut kelihatan
tergamam, tidak mampu berkata apa-apa. Mereka saling berpandangan.
2 comments:
sambung lagiii
best...