Ai no Kotoba

Colours make your life beautiful, melody makes your life rhythm and harmony makes your life a life - Hana

Semua karya dalam blog ini hak cipta terpelihara penulis. Anda tidak dibenarkan menciplak, me-copy, memplagiat atau with every means to copy it atau mengaku karya itu anda punya.
Semua karya tidak mempunyai kaitan dengan yang hidup mahupun yang sudah meninggal dunia.
Selamat membaca. Peace!

Watashi no Tomodachi :D

Entri Terbaru! Tengok Sini!

Tuesday, November 6, 2012

Endless Love 36


“ AKU nampak dia kat rumah kau minggu lepas.” Hyun Min berterus-terang. Pertanyaan Ji Hoon tidak dihiraukan. Ji Hoon senyap buat seketika. Dahinya berkerut.

          “ Kau nampak? Bila?”

          “ Hari kau buat dia menangis depan rumah kau,” jawab Hyun Min terburu-buru. Tidak dapat dipastikan sama ada dia ingin memarahi Ji Hoon kerana telah membuat Chae Rin menangis atau atas sebab apa. Muka Hyun Min jelas kemerahan dengan kerutan di muka.


          “ Aku dah jelaskan semuanya pada dia. Aku dah beritahu dia, kalau dia nak aku kembali pada dia, perkara tu mustahil untuk berlaku. Aku dah ada isteri dan aku hanya anggap dia sebagai adik aku,” jelas Ji Hoon.

          “ Yalah...” jawab Hyun Min malas. “ Aku pun...”

          “ Kau kan tahu yang aku dan ada Eun Hee dan tak akan kembali pada dia,” tegas Ji Hoon. Tajam matanya pada wajah kelat Hyun Min.

          “ Yalah, aku tahu aku bertindak bodoh sebab dia,” getus Hyun Min. Ji Hoon tersenyum lucu.

          “ Kenapa kau senyum pula?” tanya Hyun Min. Hairan melihatkan senyuman di wajah Ji Hoon. Tadi lelaki itu kelihatan tegas, kali ini senyum pula?

          “ Biasalah kalau kau rasa kau bertindak bodoh sebab dia. Kau cintakan dia dan bukannya kau seorang saja yang rasa telah bertindak bodoh sebab orang yang kau sayang. Aku pun macam tu,” ucap Ji Hoon tenang. Hyun Min menyeringai.

          “ Kau nak cakap yang kau dah banyak kali rasa bertindak bodoh sebab Eun Hee. Betul tak apa yang aku cakap?” usik Hyun Min. Ji Hoon ketawa perlahan. Dia menjungkit bahunya.

          “ Mungkin. Kita mana sedar, kan?”

          Kali ini Hyun Min pula yang turut ketawa. Rasa bebannya berkurang lepas bercakap dengan Ji Hoon. Lelaki ini memang menyenangkannya. Apatah lagi dalam keadaan fikirannya kusut memikirkan Chae Rin.

          “ Dua hari lepas, aku telefon dia,” kata Hyun Min perlahan.

          Mata Hyun Min beralih menembusi dinding kaca kafe resort terus ke taman. Ji Hoon hanya mendiamkan diri. Menunggu lelaki itu menyambung bicaranya.

          “ Dia menangis.”

          Sekali lagi kerutan muncul di dahi Ji Hoon.

          “ Kenapa?”

          Hyun Min tersenyum pahit. Matanya kembali pada Ji Hoon sebelum mula menunduk merenung lantai kafe.

          “ Tentu sebab kau. Dia tak pernah menangis macam tu sepanjang aku kenal dia,” luah Hyun Min. Nadanya jelas perlahan dan seakan-akan tidak mahu Ji Hoon mendengar kata-katanya.

          Ji Hoon mula mengeluh berat. Jelas di matanya betapa Hyun Min terluka. Lelaki itu benar-benar cintakan Chae Rin. Jika tidak, sudah lama Hyun Min pergi mencari wanita lain untuk dirinya daripada menunggu Chae Rin yang masih mengharapkan Ji Hoon.

          “ Aku percaya yang kau dengan dia ditakdirkan bersama. Kalau tak, kenapa kau masih betah di sisi dia. Chae Rin pun langsung tak hilangkan diri dia daripada kau. Sabarlah, aku yakin suatu hari nanti dia akan sedar betapa pentingnya kau pada dia,” pujuk Ji Hoon walau dia tahu sudah banyak kali ayat seperti itu diluahkan kepada Hyun Min. Hyun Min menjungkit bahu.

          “ Mungkin.”

          Ji Hoon mula menyepi. Dia kasihankan Hyun Min tetapi tidak tahu apa yang patut dilakukan olehnya. Chae Rin punya banyak pilihan tetapi malangnya gadis itu terlalu mengharapkannya. Dia hanya boleh berharap, sekali lagi, yang gadis itu sedar akan kehadiran Hyun Min yang ikhlas terhadapnya tidak lama lagi.


JI HOON senyum sahaja apabila melihat Da Wei sedang tekun dengan kerjanya. Agaknya, adakah disebabkan oleh sikap Da Wei yang mementingkan kerja yang menyebabkan sepupunya itu tiada teman wanita? Memang patutlah bapa dan ibu saudaranya itu menggesa Da Wei untuk segera berkahwin.

          Pintu pejabat Da Wei diketuk perlahan. Perhatian Da Wei yang hanya pada kertas-kertas yang bertimbun di atas meja mula beralih kepadanya. Sepupunya itu mula tersenyum sebelum mengangguk.

          “ Aku fikir kau tak datang? Dah lama aku tunggu,” kata Da Wei sebaik sahaja Ji Hoon membuka pintu. Eun Hee masih di pejabatnya. Sengaja tidak mahu menyusahkan gadis itu dengan urusannya.

          “ Aku jumpa dengan Hyun Min tadi, tu yang lambat jumpa kau. Apa pun, boleh tak kau tunggu aku duduk dulu baru kita borak?” kata Ji Hoon. Da Wei tersenyum. Dia menepuk dahi menyedari kesilapannya.

          “ Yalah, yalah.”

          Ji Hoon duduk di set sofa di suatu sudut manakala Da Wei masih di meja kerjanya. Fail di hadapannya ditutup sebelum dia berjalan menyertai Ji Hoon di sofa itu. Dia duduk berhadapan dengan lelaki itu. Ji Hoon mencapai akhbar yang tergeletak di atas meja kopi.

          “ Kepala kau dah okey ke?” tanya Da Wei.

          “ Kalau tak okey, kau tak akan nampak aku muncul kat sini,” kata Ji Hoon sinis. Akhbar di hadapannya dibuka. Beberapa tajuk menarik minatnya.

          “ Jadi, apa kata Mak Cik Da Hae? Teruk ke dia marah?” tanya Da Wei lagi tanpa dapat menahan gelak. Mengingati bagaimana pucatnya wajah Ji Hoon apabila dimaklumkan bahawa ibunya itu mengetahui kemalangan yang menimpanya membuatkan dia ketawa lucu.

          “ Kau rasa mak aku macam mana dalam konteks ayat ‘teruk ke dia marah’ tu?” tanya Ji Hoon pula. Matanya masih melekat pada baris-baris ayat di akhbar. Da Wei tersengih lagi. Jika berdasarkan perangai Mak Cik Da Haenya itu, jelas benar teruk sepupunya itu dimarahi.

          “ Mak kau tak cuba datang sini?”

          Ji Hoon mengangguk malas. “ Cuba juga. Nasib baik Pak Cik Nam Gil dapat halang. Kalau tak, dah tentu makin teruk aku kena marah.”

          Kepala Da Wei tersentak ke hadapan. Dia menepuk dahi seakan-akan baru mengingati sesuatu. Ji Hoon mengangkat muka daripada akhbar yang sedang dibacanya apabila menyedari lagak aneh Da Wei.

          “ Kenapa?” tanyanya hairan.

          Da Wei bingkas bangun daripada sofa yang sedang didudukinya dan segera menuju ke meja kerjanya. Laci dibuka lantas sepucuk surat dikeluarkan. Surat itu diserahkan kepada Ji Hoon sebaik sahaja dia duduk kembali.

          “ Surat apa ni?” tanya Ji Hoon hairan namun huluran itu disambut. Nama dan alamat yang tertera merupakan nama dan alamat resort ini.

          “ Aku dapat surat ni kelmarin. Aku tak buka sebab beralamat dan nama kau. Cubalah buka, mana tahu ada urusan penting,” jelas Da Wei.

          Ji Hoon menurut sahaja. Berhati-hati dia mengoyak bahagian hujung sampul surat itu, bimbang akan turut mengoyakkan kandungannya. Sekeping yang berlipat kemas dibuka. Matanya mula melirik pada isi kandungan yang bertaip kemas pada permukaan kertas itu.

          “ Surat apa?” tanya Da Wei sebaik sahaja melihat Ji Hoon melipat kembali surat itu.

          “ Aku diminta ke Jeju Floral Hotel malam lusa,” kata Ji Hoon perlahan. Jelas dia sendiri bingung dengan kandungan surat yang turut diterimanya itu. Dia merenung wajah Da Wei yang turut kehairanan.

          “ Jeju Floral Hotel? Siapa yang ajak kau?” tanya Da Wei lagi. Kedua-dua keningnya bercantum.

          Sekali lagi mata Ji Hoon melirik pada kertas itu. Oh Kwang Hee, Pengurus Besar Jeju Floral Hotel. Satu nama yang asing baginya. Dia tidak mengenali sesiapa dengan nama itu dan apa yang difikirkannya adakah lelaki itu merupakan salah satu daripada rakan kongsinya daripada hotel itu sedangkan resort itu tidak pernah bekerjasama dengan Jeju Floral Hotel.

          “ Siapa?”

          Ji Hoon tersentak. Segera dia menghulurkan kertas itu kepada Da Wei. Da Wei sendiri kelihatan hairan sebaik sahaja selesai membaca isi kandungan surat itu.

          “ Oh Kwang Hee? Dia bukan salah seorang pemegang saham kita, kan?” tanya Da Wei. Ji Hoon menggelengkan kepala. Seperti mana Ji Hoon, Da Wei sendiri tidak pernah bersua dengan lelaki itu.

          “ Kalau ikutkan surat tu, dia nak aku jumpa dia malam lusa. Kat bilik hotel J-24 dan dia nak aku hadir seorang diri. Apa pendapat kau, patut ke aku pergi?”

          Lama mata Ji Hoon singgah pada wajah sepupunya. Masing-masing mula berandaian yang tidak buruk. Hairan dengan kehadiran surat yang dianggap misteri itu. Seorang lelaki yang tidak dikenali mahu bertemu secara persendirian dengan Ji Hoon. Mungkin lelaki itu mahu menawarkan kerjasama dengan Ji Hoon, tetapi kenapa harus dilakukan pada waktu malam? Secara persendirian dan tanpa ditemani sesiapa pula tu.

          “ Aku tak yakin yang lelaki ni berniat baik. Kalau tak, tentu dia jelaskan sebab dia nak bertemu dengan kau. Lagipun, kenapa dia nak jumpa kau seorang? Tentu dia ada niat tak baik,” gerutu Da Wei. Matanya merenung marah pada kertas di tangan Ji Hoon.

          “ Tak baik kau fikir macam tu. Mana tahu dia ada masa nak jumpa waktu malam saja? Lagipun, ada nombor telefon dia kalau aku nak hubungi dia. Takkan dia nak tinggalkan nombor telefon dia kalau dia ada niat tak baik?” ucap Ji Hoon tenang. Da Wei mula bengang.

          “ Kau nak pergi seorang diri? Kau dah hilang akal ke? Macam mana kalau dia ada tak baik?” Da Wei mengulang kebimbangannya. Ji Hoon agak tersentak dengan nada sepupunya yang mula meninggi tetapi dia kelihatan tenang sahaja.

          “ Jangan bimbang. Aku akan okey. Aku...”

          “ Jujurnya, kau fikir semua orang atas dunia ni baik ke? Kalau jadi apa-apa pada kau, macam mana?” pintas Da Wei geram. Berkerut mukanya menahan marah.

          Inilah satu perangai Ji Hoon yang tidak disukai Da Wei. Memanglah baik kalau tidak berprasangka buruk terhadap orang lain tanpa menyiasat dulu. Tetapi kalau sampai mengabaikan keselamatan sendiri, itu bukan baik namanya. Sudah sampai tahap menganiayai diri sendiri.

          “ Aku boleh temankan kau malam tu. Aku tetap fikir lelaki ni ada niat tak baik.” Da Wei mendengus.

          Ji Hoon menggeleng pantas. Terang-terangan dia tidak bersetuju dengan cadangan Da Wei walaupun ia hanyalah demi keselamatan dia.

          “ Tak, tak. Aku seorang saja yang pergi, kau duduk senyap-senyap dalam bilik resort kau tu. Dia nak jumpa aku seorang, maknanya aku seorang saja. Jangan nak memandai temankan aku pula. Lagipun, kalau jadi apa-apa pada kita berdua, macam mana dengan resort ni? Takkan kau nak Hyun Min seorang yang kendalikan?” bantah Ji Hoon agak tegas.

          “ Tapi ni demi keselamatan kau juga!” marah Da Wei. Sekali lagi Ji Hoon menggeleng. Lelaki itu bangun daripada duduknya. Surat itu kembali dilipat sebelum dimasukkan ke dalam sampulnya.

          “ Kau dengar apa aku kata, Da Wei.”

          Perlahan tetapi tegas dia mengucapkan kata-kata itu dengan renungan tajam pada wajah Da Wei. Da Wei terpaku di situ. Ji Hoon sudah menunjukkan ketegasannya dan dia tidak berani menyangkal lagi. Buruk padahnya jika dia membantah walau dia tahu Ji Hoon sudah menunjukkan ketegasan yang jarang sekali dipamerkan kepada sesiapa. Dia hanya merenung sepi sahaja langkah lelaki itu keluar daripada pejabatnya.   


SEKALI lagi Ji Hoon membaca kandungan surat itu. Kata-kata Da Wei tadi kembali diingatinya. Dia tidak boleh mengatakan bahawa sepupunya itu salah tetapi dia punya sebab yang tersendiri mengapa dia mahu melakukannya sendirian, bertemu seorang diri dengan Oh Kwang Hee.

          Bagaimana kalau Oh Kwang Hee merupakan orang yang terlibat dalam kemalangannya tempoh hari? Bagaimana kalau lelaki itu merupakan orang suruhan dia yang terlalu ingin melihat kemusnahan hidupnya. Atau... mungkin lelaki itu merupakan dalangnya? Dia tidak mengenali sesiapa dengan nama itu dan mungkin telahannya benar. Mungkin lelaki itu punca segala-galanya.

          Pantas Ji Hoon menyimpan kembali surat itu apabila menyedari pintu bilik dibuka dari luar. Segera dia menoleh ke belakang. Eun Hee muncul di pintu. Ji Hoon cuba mengukir senyum dalam melindungi rasa gugupnya.

          “ Kenapa?” tanya Ji Hoon lembut. Eun Hee turut membalas senyumannya. Perlahan-lahan dia meraih tangan suaminya. Sesuatu diletakkan dalam telapak tangan Ji Hoon sebelum ditutup.

          “ Apa ni?” tanya Ji Hoon lagi apabila merasakan ada sesuatu yang lembut berada di tapak tangannya. Segera dia membuka kepalan tangannya. Suatu ukiran kayu berbentuk hati dengan tali berwarna hitam. Jelas tertera di ukiran itu suatu nama, nama yang dianggap membahagiakan dirinya. Nama ‘JiEun’ jelas terukir pada ukiran hati berbentuk kayu itu.

          “ Eun Hee yang buat sendiri?” soal Ji Hoon teruja. Eun Hee mengangguk gembira. Dia menunjukkan gelang platinum pemberian Ji Hoon tidak lama dahulu yang turut terukir nama itu.

          Telefon bimbit diambil daripada saku jean. Ukiran itu digantung sebagai hiasan telefon bimbit. Dahi Eun Hee dikucup lembut. Hiasan yang tergantung di telefon bimbitnya ditunjuk betul-betul di hadapan mata gadis itu.

          “ Terima kasih, abang akan jaga baik-baik.”

          Eun Hee mengangguk lagi. Dia tersenyum bahagia.

          “ Petang ni...” Ji Hoon menarik Eun Hee membelakanginya. Tubuh gadis itu dipeluk. Kepalanya direhatkan di atas bahu Eun Hee. “ ... kita ke Paradise Florist...”


          Belum pun habis Ji Hoon berkata-kata, Eun Hee sudah melepaskan pelukannya. Pantas gadis itu berpusing menghadapnya di belakang. Ji Hoon melepaskan tawanya apabila melihat mata Eun Hee yang mula bersinar.

          “ Kita ke Paradise Florist. Abang tahu, Eun Hee nak sangat lawat kedai tu, kan? Lagipun, dah lama kita tak ke sana,” kata Ji Hoon yang masih ketawa geli hati. Hidung Eun Hee dicuit.

          Senyuman di bibir Eun Hee mula melebar. Dia melompat kegembiraan sebelum leher Ji Hoon dirangkul erat. Ji Hoon yang masih ketawa hanya membalas pelukan isterinya. Dia melupakan terus kerisauannya. Yang penting Eun Hee gembira.

          “ Dahlah tu... Eun Hee nak abang mati tercekik ke? Nanti tak ada siapa pula yang boleh bawa Eun Hee ke sana...”

          Eun Hee mencebik. Segera dia melepaskan rangkulannya sebelum menjelirkan lidah kepada Ji Hoon. Kakinya pantas berlari meninggalkan bilik itu sebelum dia menjadi mangsa Ji Hoon pula. Ji Hoon hanya tersengih sebelum turut mengejar isterinya.

          “ Nak lari ya? Tunggu!!!”

          Riuh banglo itu dengan jeritan Ji Hoon mengejar Eun Hee. Sehingga ke halaman rumah dikejar isterinya itu. Di wajah masing-masing tertera kebahagiaan. 

Friday, June 22, 2012

Endless Love 35


DAVICHI – FROM ME TO YOU menganggu tidur Chae Rin. Mukanya masih ditekupkan pada tangan manakala sebelah tangan lagi sedang ligat mencari telefon bimbitnya yang diletakkan di atas katil. Tangannya menekan butang hijau tanpa melihat pada skrin telefon. Telefon bimbit dibawa ke telinga.

          “ Helo?” sapanya mamai. Dia bangun daripada pembaringan. Sebelah tangannya menekan-nekan kepalanya yang terasa sakit.

          “ Chae Rin?”

           Chae Rin bungkam di situ. Dia amat mengenali suara garau itu. Bibirnya bergetar.

          “ Hyun Min...”

          Suara Hyun Min yang berada di hujung talian mendesah resah. Chae Rin mula menyepi. Sudah lama rasanya sejak kali terakhir dia berbual-bual dengan lelaki itu. Sebelah tangannya mencengkam kuat pada bantal. Chae Rin menggigit bibir. Buat pertama kali dalam hidupnya dia merasa kekok untuk bercakap dengan lelaki itu.

          “ Kau sihat?” lembut Hyun Min menyoal. Chae Rin bungkam lagi. Air matanya gugur tanpa diketahui sebabnya.

          “ Chae Rin?” seru Hyun Min. Perlahan tetapi terasa menusuk hati gadis itu. Esakannya semakin kuat.

          “ Kau nangis? Kenapa?” Nada Hyun Min masih begitu. Chae Rin menekup mulut, menghalang esakannya daripada kedengaran. Tetapi dia gagal, esakannya semakin menggila.

          Dan, Hyun Min sabar menanti Chae Rin menghabiskan tangisannya. Mereka kekal diam. Hanya bunyi esakan Chae Rin sahaja yang menandakan gadis itu masih belum memutuskan talian.


RYU MIN menerpa di saat Ji Hoon baru sahaja menjejakkan kakinya ke dapur. Terpinga-pinga lelaki itu melihatkan Ryu Min yang sudah memeluk kakinya. Mengekeh tawa Ryu Min di saat dia terpandangkan wajah bingung Ji Hoon. Eun Hee yang sedang menuang susu segar ke dalam gelas, menghentikan kerjanya. Dia tersenyum sahaja melihatkan wajah bingung suaminya.

          “ Ryu Min datang bila?” tanya Ji Hoon hairan. Pandangannya bersilih ganti pada Eun Hee yang masih menguntum senyum dan Ryu Min yang masih mengekeh ketawa.

          “ Sebelum abang bangun. Ayah yang hantar,” jawab Ryu Min. Dia berlari pula untuk duduk di meja makan. Ji Hoon tersenyum sahaja lantas menggelengkan kepalanya.

          “ Yalah,” jawabnya dengan nada yang mendayu. Tangannya menggosok kuat pada kepala Ryu Min sewaktu dia ingin mendapatkan tempat duduknya di meja makan. Tajam jelingan Ryu Min padanya sewaktu gadis kecil itu membetulkan rambutnya yang kusut.

          Dulang yang berisi minuman Eun Hee letakkan di atas meja. Dia menyertai suami dan sepupunya di meja makan. Botol jem strawberi dan marmalad dicapai dari atas kaunter. Ji Hoon membuka botol marmalad. Sekeping roti bakar diambil.

          “ Kita pergi ke pantai nak?” cadang Ji Hoon yang masih menyapu marmalad pada roti bakarnya. Kening Eun Hee terangkat sebelah. Ryu Min pula mengalihkan perhatian daripada roti bakarnya kepada wajah Ji Hoon.

          Ji Hoon tarik sengih. “ Boleh bawa Ryu Min jalan-jalan. Dah lama kita tak jalan-jalan sama-sama.”

          Ryu Min sudah senyum melebar tetapi kerutan pula yang muncul di dahi Eun Hee. Suaminya baru sahaja sembuh, baru sahaja buka balutan di kepalanya semalam. Hari ini sudah mahu keluar berjalan-jalan? Macam mana kalau kepala Ji Hoon sakit lagi?

          Ji Hoon hanya mampu tersenyum melihatkan kerutan di wajah isterinya. Bukannya dia tidak faham maksud kerutan di dahi Eun Hee itu. Tentu isterinya tidak bersetuju apatah lagi dia baru sahaja sembuh.

          “ Abang dah sihat, jangan bimbang. Lagipun, bukan senang kita nak bawa Ryu Min jalan-jalan bersama kita. Nak jumpa dia pun payah. Boleh ya, Eun Hee?” Penuh pengharapan Ji Hoon memujuk.

          Kata-kata Ji Hoon memang benar, Eun Hee akui itu tetapi dia masih risau. Suaminya masih belum sihat sepenuhnya. Matanya jatuh pula pada wajah Ryu Min yang jelas berharap mereka akan pergi ke pantai bersama-sama. Eun Hee mengeluh lembut. Teragak-agak dia mengangguk.

          Senyuman Ryu Min makin melebar. Ryu Min segera memeluk Eun Hee yang duduk di sebelahnya. Kanak-kanak itu menjerit kesukaan.

          “ Terima kasih, Kak Eun Hee!”

          Ji Hoon senyum lagi sebelum kembali memakan roti bakarnya. Buat masa ini dia tidak mahu mengusutkan fikirannya dengan masalah yang menimpa. Biarlah dia bergembira dahulu dengan orang yang dia sayang. Dia bimbang dia tidak mampu berbuat begitu lagi selepas ini. Lembut pandangan matanya pada Eun Hee yang sedang melayan Ryu Min makan.


RIUH kawasan pantai itu dengan jeritan Ji Hoon dan Ryu Min tatkala mereka berdua bermain ombak. Eun Hee hanya menjadi pemerhati sahaja. Dia duduk sahaja di atas tikar yang menempatkan bekalan mereka.

          Ryu Min berlari mendapatkannya diikuti Ji Hoon dari belakang. Melekat pasir pada hujung seluar Ji Hoon dan kaki Ryu Min gara-gara bermain dengan ombak di pesisiran pantai. Pantas Ryu Min mencapai botol yang berisi jus oren sejuk sebelum sempat Ji Hoon mengambilnya. Ryu Min menghadiahkan pandangan mengejek kepada Ji Hoon sebelum meminum jus oren itu.

          “ Pandai nak kenakan abang ya?” tanya Ji Hoon. Matanya menyeringai jahat. Ryu Min buat bodoh. Hampir separuh botol jus oren diminumnya.

          “ Nah.”

          Botol itu diletakkan di tapak tangan Ji Hoon sebelum dia berbaring di atas tikar. Ji Hoon dan Eun Hee hanya mampu menggeleng dan tersenyum sahaja melihat telatah Ryu Min. Muncung botol dibawa ke mulut. Segarnya apabila rasa sejuk jus oren itu membasahi tekak.

          Sejurus, Ji Hoon turut merebahkan diri di sebelah Ryu Min. Eun Hee memerhatikan sahaja mereka berdua tanpa niat untuk menyertai aktiviti mereka berdua. Dia lebih selesa merenung langit yang membiru sahaja.

          “ Ryu Min...” panggil Ji Hoon dengan mata yang tertutup.

          “ Ya...” balas Ryu Min mendayu. Matanya juga tertutup. Ji Hoon dan Ryu Min, sama-sama meletakkan tangan mereka di belakang kepala manakala sebelah kaki pula diangkat dan disilangkan. Eun Hee merenung lucu pada kedua-duanya.

          “ Dulu, ayah Ryu Min kata Ryu Min ada abang. Betul ke?” tanya Ji Hoon.

          “ Ya...”

          “ Abang tak pernah nampak pun?” tanya Ji Hoon lagi. Sudah lama dia mendengar Pak Cik Dam Shik bercerita akan anak lelaki sulungnya itu, saat pertama kali dia menjejakkan kaki ke rumah Pak Cik Dam Shik lagi. Namun, sehingga kini dia tidak melihat anak lelaki Pak Cik Dam Shik.

          “ Abang sibuk. Dia kerja kat Macau. Payah nak balik sini,” balas Ryu Min. Suaranya semakin lama semakin perlahan.

          “ Nama abang siapa?” soal Ji Hoon lagi.

          “ Kim  Seung Hyun...”

          Selepas itu tiada lagi kedengaran suara Ryu Min dan Ji Hoon yakin benar yang Ryu Min sudah terlena sekarang. Sangkaannya tepat apabila mendengar dengkuran halus di sebelahnya. Ji Hoon ketawa lucu. Eun Hee mengambil kardigan yang dibawa bersama lantas diselimutkan menutupi badan Ryu Min. Rambut Ryu Min diusap sayang.


JI HOON membawa Eun Hee masuk ke dalam pejabat yang dikhaskan untuknya. Sengaja dia berkunjung ke resort tersebut setelah lebih daripada sebulan dia tidak menjejakkan kaki ke sana. Jangka masa yang lama itu tidak melenyapkan hubungan baiknya dengan staf-staf di resort tersebut.

          Hampir kesemua mereka tidak percaya akan khabar angin yang mengatakan bahawa Ji Hoon merupakan orang yang bertanggungjawab dalam masalah dalaman resort itu. Bagi mereka, lelaki itu seorang majikan yang terbaik pernah mereka bekerja bersama.

          Ji Hoon hanya mampu tersenyum senang hati mendengarkan kenyataan itu. Sekurang-kurangnya dia tidak terlalu dihantui dengan rasa bersalah yang luar biasa tidak menyenangkannya apabila memikirkan cakap-cakap orang di belakangnya tentang hal itu.

          Pembidai ditarik membenarkan cahaya matahari di luar menyinari pejabatnya. Sudah lama bilik yang dilengkapi dengan pelbagai peralatan mewah itu tidak dimasuki sesiapa. Hanya tukang sapu sahaja yang bertanggungjawab membersihkan pejabat itu sepanjang ketiadaannya. Hyun Min dan Da Wei yang bertindak sebagai pemangkunya di resort itu pula bertegas tidak mahu menggunakan pejabat itu walau sudah diberitahu berkali-kali oleh Ji Hoon bahawa salah seorang daripada mereka boleh menggunakannya.

          “ Rindunya abang dengan pejabat ni,” ucap Ji Hoon perlahan. Dia membawa Eun Hee ke meja kerjanya. Eun Hee menarik senyum nipis apabila menyedari banyaknya potret mereka berdua di dalam bilik itu. Di tengah-tengah dinding belakang meja kerja Ji Hoon pula, tergantung potret wajahnya dengan bingkai keemasan. Sebuah lagi bingkai keemasan terletak elok di atas meja kerja Ji Hoon yang memaparkan potret perkahwinan mereka. Terasa damai yang menenangkan hati apabila melihat wajah mereka berdua sedang tersenyum bahagia pada potret itu.

          “ Memang patut pun kalau Hyun Min dan Da Wei berkeras tak nak gunakan pejabat abang,” gerutu Ji Hoon rendah. Eun Hee mengangkat keningnya sebelah. Tertanya-tanya apakah sebabnya.

          “ Tentu mereka tak sanggup nak bekerja dalam pejabat yang penuh dengan gambar kita berdua. Nak buang pula, tak sampai hati,” jawab Ji Hoon sambil ketawa. Eun Hee menggelengkan kepala. Dia tersenyum lucu.

          Ji Hoon duduk di meja kerjanya, meneliti kembali fail-fail tebal yang masih berada dalam pejabatnya sementara Eun Hee pula menapak ke suatu sudut yang menempatkan satu set sofa dan meja kopi. Dia duduk melutut di atas lantai, mula mengemaskan majalah dan akhbar yang diletakkan dengan tidak teratur di bawah meja kopi itu.

          Sambil mengemas meja, Eun Hee curi-curi melihat ke arah suaminya. Nampaknya Ji Hoon memang seorang yang serius dengan kerjanya. Dengan sepenuh perhatian, mata Ji Hoon sedang melirik di atas kertas-kertas yang dipegangnya itu.

          Bunyi ketukan di pintu mengalih tumpuan Eun Hee daripada wajah suaminya. Matanya beralih ke pintu pejabat. Begitu juga dengan Ji Hoon. Jelas kelihatan Hyun Min sedang berdiri di hadapan pintu pejabat Ji Hoon yang melalui cermin kaca yang tidak ditutup dengan pembidai. Hyun Min melambai sekilas kepada Ji Hoon sambil mengukir senyum. Ji Hoon menganggukkan kepala sedikit sebagai tanda dia membenarkan Hyun Min masuk. Daun pintu dibuka.

          “ Aku nampak kau kat ruang parkir tadi. Tak sangka kau bawa isteri kau sekali,” sapa Hyun Min sambil tersengih. Ji Hoon turut tersenyum. Dia mengerling sekilas pada Eun Hee yang masih duduk melutut mengemas meja. Sempat dia mengenyit mata kepada isterinya itu. Eun Hee mencebik sedikit sebelum akhirnya tersenyum juga.

          “ Saja aku datang, dah lama tak ke sini,” jelas Ji Hoon seraya memperlawa Hyun Min duduk di hadapannya. Kerusi yang terletak di hadapan meja kerja Ji Hoon ditarik keluar. Hyun Min melabuhkan duduk di situ.

          “ Yalah, dah sebulan lebih sejak kes tu, kan? Bilalah nak selesai,” dengus Hyun Min perlahan. Ji Hoon mengangguk sahaja. Dia mula mencoret sesuatu di atas kertas kerjanya dengan sebatang pensil. Sejurus, perhatiannya kembali pada Hyun Min.

          “ Kau ada benda nak cakap dengan aku, kan?” teka Ji Hoon.

          Pantas Hyun Min mengangguk. Matanya mengerling sekilas pada Eun Hee yang tenggelam dengan pembacaannya di sudut yang menempatkan set sofa itu. Gadis itu sudah mula membaca sebuah majalah. Mata Hyun Min kembali pada Ji Hoon.

          Ji Hoon mengangguk faham. Dia mula bangun daripada kerusi empuknya.

           “ Eun Hee, abang dan Hyun Min nak ke luar sekejap. Eun Hee tunggu kat sini ya?” Wajah isterinya dipandang. Hyun Min sudah berdiri. Menunggu masa sahaja untuk keluar.

          Eun Hee tersenyum sebelum mengangguk sedikit. Ji Hoon menuju ke pintu pejabat diekori Hyun Min. Mereka berdua menuju ke kafe resort itu. Ramai pelanggan memenuhi kafe itu. Mereka segera memilih tempat yang agak tersorok daripada pandangan orang ramai.

          “ Jadi...” Kerusi ditarik namun pandangan Ji Hoon masih pada Hyun Min. Mereka duduk bertentangan. “... macam mana kau dengan Chae Rin?”

p/s : assignments, assessments, tasks bla3 (=.=) sorry kalau bab ni tak best.. kadang-kadang rasa macam nak delete je blog ni sebab makin kurang masa nak update (=.=)

Monday, February 6, 2012

Eternal 17

GAUN putih yang sudah tersarung di tubuhnya direnung kosong. Sakura tidak pasti apakah perasaannya kini. Gembira, sedih atau marah? Dia mengetap bibir. Dia melihat pula pada cermin besar di hadapannya kini. Di hadapannya kelihatan seorang gadis yang sudah dirias cantik dengan sehelai gaun pengantin yang indah di mata sudah tersarung di tubuh langsing gadis itu. Sakura senyum sendiri namun hambar. Perlahan-lahan air matanya menitis.

          “ Sakura?”

          Panggilan Mak Cik Megumi dari belakang menyedarkan dia. Wajah wanita itu dipandang sayu. Langkah Mak Cik Megumi pantas mendekati gadis yang sudah selamat bergelar isteri Kamenashi Ryuu itu. Belakang Sakura digosok perlahan.

          “ Kenapa ni?” tanya Mak Cik Megumi perlahan. Sedih terasa apabila melihat gadis semuda Sakura kelihatan keliru dengan pilihannya sendiri. Sakura menggelengkan kepala. Tubuh Mak Cik Megumi dipeluk. Wanita itu kembali menggosok belakang Sakura. Sesekali rambut Sakura diusap di balik veil itu. 

          “ Kenapa ni? Jangan sedih macam ni. Lepas ni majlis keraian akan bermula,” kata Mak Cik Megumi dengan soalan yang masih belum dijawab oleh Sakura. Matanya melihat pada pintu bilik yang agak terbuka. Bimbang jika ada orang yang mendengar perbualan mereka. Sakura mengeluh berat. Pelukannya pada wanita itu dilepaskan. Wajah Mak Cik Megumi ditenung.

          “ Saya tak tahu. Saya sangka semuanya akan berjalan dengan lancar tapi… lepas balik dari kuil, lepas semuanya, saya… saya keliru,” luah Sakura. Air matanya semakin galak mengalir. Menanggalkan mekap yang sudah dipakaikan di wajahnya. Mak Cik Megumi mengeluh.

          “ Sayang, kalau kamu nak menyesal dah terlambat. Kamu dah sah sebagai isteri Tuan Ryuu. Jangan risau, semuanya baik, okay?” pujuk Mak Cik Megumi. Sendu Sakura semakin menjadi-jadi. Dia menggelengkan kepala perlahan.

          “ Mak cik… boleh ke saya bahagia lepas ni? Sebagai isteri Ryuu?” tanya Sakura tenggelam timbul. Mak Cik Megumi terpana. Dia diam sejenak. Soalan itu sukar untuk dijawab. Jawapannya hanya ada pada Ryuu. Lambat-lambat Mak Cik Megumi mengangguk.

          “ Ya… kamu akan bahagia. Mak cik percaya kamu akan bahagia juga,” balas Mak Cik Megumi. Suaranya semakin perlahan. Dia sendiri tidak yakin dengan apa yang dikatakan tadi. Sekadar untuk memujuk Sakura yang semakin tenggelam dalam kesedihannya.

          Teriakan Sakura semakin meledak. Pantas dia merangkul balik tubuh wanita itu. Dia teresak-esak dalam pelukan Mak Cik Megumi. Dan, Ryuu yang berdiri di luar bilik itu menyandarkan diri pada dinding. Matanya dipejamkan buat seketika. Keluhan terhembus daripada bibirnya. Ryuu menggeleng perlahan. Terasa kata-kata Sakura menyentap tangkai hatinya.


“ KI.. KITA nak ke mana?” tanya Sakura teragak-agak apabila melihat laluan yang diambil Ryuu bukannya menuju ke kondominium mereka. Wajah suami yang baru dikahwininya itu tidak berani ditenung. Ryuu menoleh ke arah Sakura yang kelihatan takut-takut.

          “ Aku cakap pada Pak Cik Ukie dan Mak Cik Megumi yang kita akan ke vila percutian aku kat kawasan pergunungan untuk sementara waktu. Kau anggap jelah ni percutian untuk kita berehat lepas apa yang dah berlaku,” balas Ryuu. Sakura mengangguk perlahan. Dia melihat ke luar.

           Skyline Ryuu melintas jalan raya yang hanya terdapat pokok-pokok sakura di bahu jalan. Dari kejauhan kelihatan gunung ganang. Sesekali kelihatan burung-burung terbang bertentangan dengan arah mereka sedang tuju. Tenang suasana yang sedang dilihatnya kini. Sakura senyum sendiri.

          Ryuu di sebelah hanya mengerling pada gadis itu tanpa sepatah kata. Mindanya kembali mengingati apa yang didengarinya secara tidak sengaja tadi. Perbualan di antara Sakura dengan Mak Cik Megumi.


          “ Saya tak tahu. Saya sangka semuanya akan berjalan dengan lancar tapi… lepas balik dari kuil, lepas semuanya, saya… saya keliru.”

          “ Mak cik… boleh ke saya bahagia lepas ni? Sebagai isteri Ryuu?”


          Ryuu menggelengkan kepalanya perlahan. Pada mulanya, dia ingin menemui Sakura sebelum majlis bermula namun niatnya terbantut selepas mendengar apa yang dikatakan oleh Sakura kepada Mak Cik Megumi tadi. Dia tidak menyangka bahawa gadis itu akan meluahkan kata-kata yang sedemikian kepada Mak Cik Megumi. Ryuu resah sendirian.

          Kereta membelok ke sebuah selekoh sebelum berhenti di hadapan sebuah vila dua tingkat. Mereka berdua keluar daripada perut kereta. Mata Sakura meliar ke sekeliling. Vila itu dibina daripada kayu malah rekaannya cantik walaupun hanyalah sebuah vila dua tingkat yang biasa. Hanya rumput yang berada di sekitar kawasan itu. Tidak jauh dari vila itu, kelihatan sebuah tasik yang agak besar. Dari kejauhan, Sakura dapat lihat Gunung Fuji yang dilitupi oleh awan. Memang cantik.

          “ Kita masuk dalam. Lepas tu aku bawa kau jalan-jalan,” tutur Ryuu. Sakura hanya mengangguk. Dia mengekori langkah Ryuu dari belakang. Lelaki itu menarik sebuah bagasi kecil masuk ke dalam.

          Seperti suasana di luar, begitu juga dengan dalam vila itu. Perabot tersusun kemas malahan setiap ruang vila itu kelihatan lapang. Mereka menuju ke tingkat atas. Ada dua buah bilik yang kedudukannya saling bertentangan. Ryuu membuka salah sebuah pintu bilik itu. Sakura hanya mengagak mungkin itu biliknya dan bilik Ryuu merupakan yang satu lagi.

          “ Kita kemaskan barang-barang ni dulu. Aku nak turun ke bawah sekejap. Dalam beg ni ada pakaian kau dan pakaian aku. Aku dah kemaskan untuk kau. Bilik aku kat depan. Kalau kau perlukan apa-apa, cari aku kat bawah,” pesan Ryuu. Bagasi diletakkan di sisi katil. Sakura mengangguk sahaja. Ryuu segera keluar dari bilik itu menuju ke tingkat bawah.

          Zip bagasi itu dibuka. Pakaiannya mula diasingkan daripada pakaian Ryuu. Selesai sahaja menyusun pakaian-pakaian itu, Sakura beralih ke pintu selunsur yang terdapat di dalam bilik itu. Langsir ditarik ke tepi. Pintu itu dibuka. Sakura mengatur langkah ke beranda. Pandangannya dilemparkan ke luar. Kening Sakura terangkat. Perhatiannya tertumpu pada Ryuu yang sedang bersandar di sebatang pokok sakura di bawah. Kelopak mata lelaki itu terpejam rapat.

          Gadis itu mengeluh perlahan. Kadang kala, dia merasakan bahawa lelaki itu mudah sahaja untuk difahami namun ada masanya dia merasakan lelaki itu terlalu sukar untuk difahami. Sakura tidak pasti bagaimana hidupnya selepas ini, selepas bergelar isteri kepada lelaki itu. Sebelum ini pun, sudah banyak kejutan yang dia alami bahana terjebak dalam alam yakuza.

          Sakura menuruni tangga menuju ke luar. Ryuu masih lagi berada di bawah pokok itu, bersandar pada pokok sekaligus membelakanginya. Terasa angin yang bertiup menyapa lembut tubuhnya.

          “ Dah siap kemas barang?”

          Pertanyaan itu mengejutkan Sakura. Dia melihat pada Ryuu yang kini menoleh ke arahnya. Teragak-agak dia mengangguk. Ryuu menggamit gadis itu agar mendekati dirinya. Perlahan sahaja langkah Sakura. Dia hanya berdiri sahaja manakala Ryuu masih lagi bersandar pada pokok itu. Masing-masing mengunci bicara.

          Air tasik yang kelihatan berkocak sedikit direnung lama. Sakura mengetap bibir. Sesekali dia mengerling pada Ryuu di sisi melalui ekor matanya. Lelaki itu turut merenung ke tasik. Sakura melepaskan keluhan halus. Dia memejamkan mata. Menghirup udara segar sekitar kawasan itu.

           Eh?

          Matanya dibuka semula. Kepalanya terangkat melihat Ryuu yang kini sedang memegang belakang kepalanya. Sakura mula tidak keruan. Mata Ryuu seperti kebiasaannya merenung tajam padanya.

          “ Ryuu… kenapa?” tanyanya gugup.

          Lama Ryuu memerhatikan wajah itu. Tanpa berkata apa-apa, dia menarik Sakura ke dalam pelukannya. Sakura tergamam dengan tindakan lelaki itu. Inilah kali pertama lelaki itu memeluknya selepas kejadian di dalam gudang lama itu. Jantung Sakura berdegup kencang. Perlahan-lahan dia mengangkat wajah merenung Ryuu. Gerun tatkala melihat muka Ryuu yang sedang melihat tepat ke matanya. Seakan-akan ada sesuatu yang ingin disampaikan oleh lelaki itu.

          “ Ryuu?” tanyanya perlahan.

          Pelukannya dilepaskan. Kejap tangan Ryuu pada kedua-dua bahu Sakura. Sakura semakin hairan dengan perilaku lelaki itu. Mata Ryuu masih tidak lepas daripada wajah Sakura yang kelihatan tidak keruan. Bibir gadis itu bergetar.

          “ Ryuu… kenapa?” Sakura sudah rasa mahu menangis. Apa yang dibualkan bersama-sama Mak Cik Megumi tadi kembali berlayar di ruang ingatannya. Dia bimbang jika Ryuu mendengar perbualan mereka. Dia takut dengan penerimaan Ryuu.

          “ Kau menyesal dengan apa yang dah jadi?”

          Sakura terkesima. Wajah Ryuu turut dipandang.

          “ A… apa maksud awak?” tanyanya teragak-agak.

          Ryuu terdiam seketika. Dia menjarakkan sedikit dirinya daripada gadis itu. Wajah Sakura masih tidak lepas daripada renungannya. Jelas di matanya gadis itu sebenarnya tidak selesa tidak dengan keadaan mereka.

          “ Kau menyesal kahwin dengan aku?” tanya Ryuu tanpa berselindung.

          Sakura terkesima. Dia mula panik memikirkan kemungkinan Ryuu mendengar perbualan dia dengan Mak Cik Megumi tadi. Matanya dilarikan daripada melihat Ryuu.

          “ Kenapa awak tanya macam tu?” tanya Sakura teragak-agak, langsung tidak berani melihat wajah lelaki itu. Berharap bahawa lelaki itu tidak mendengar perbualannya dengan Mak Cik Megumi. Bukan sahaja Sakura takut jika Ryuu mengamuk namun entah mengapa, dia risau hati lelaki itu akan terguris.

          “ Aku yakuza, kau gadis biasa. Kita dari dunia yang berbeza,” balas Ryuu pantas. Sakura mengangguk perlahan. Kenyataan itu memang tidak dapat disangkal.

          “ Saya… saya seorang diri kat dunia ni. Tak pernah kenal ibu bapa saya. Saya patut bersyukur sebab awak sudi jaga saya dengan baik walaupun awak…” Kata-kata Sakura mati di situ. Tidak berani untuk meneruskan kata-katanya. Keluhan Ryuu kedengaran.

          “ Walau aku kejam, kan?”

          Kepala Sakura terangkat merenung Ryuu. Dia mengetap bibir. Tidak menyangka Ryuu salah faham akan apa yang ingin dia sampaikan. Apa yang dia ingin katakan bukannya itu. Bukan! Mereka berdua sama-sama tidak pernah saling mengenal sebelum ini namun lelaki itu sudi menjaganya. Dia benar-benar berterima kasih kepada Ryuu.

        “ Aku dah janji yang aku akan jaga kau dan aku tak suka mungkiri janji aku. Aku akan lindungi kau kalau kau ada masalah, dan kita akan kekal macam ni sebab aku tak akan pernah lepaskan kau. Kau faham?” kata Ryuu tegas. Sakura hanya mampu mengangguk. Dia hanya mampu berharap yang Ryuu akan mengotakan kata-katanya.

          Mereka kembali menyepi. Sakura hanya mampu merenung air tasik yang berkocak daripada merenung wajah lelaki itu. Ryuu juga hanya membisu tanpa sebarang bicara. Lama mereka berada dalam keadaan sedemikian sehingga tiba-tiba Sakura merasakan tangannya ditarik Ryuu.

          “ Ryuu?” serunya apabila mula menyedari Ryuu menariknya berjalan ke hadapan. Ryuu menoleh ke belakang.

          “ Kita nak ke mana?” tanya Sakura ragu-ragu.

          “ Aku nak bawa kau ke suatu tempat.”

          Dan… Ryuu terus menarik tangan gadis itu tanpa menghiraukan Sakura yang sudah kehairanan dengan tingkahnya.


SAKURA terpegun seketika. Suasana di sekitar memang cantik. Kini dia dan Ryuu sedang berdiri di atas sebuah kawasan berbukit yang menghadap tasik di sekitar vila itu. Jelas kelihatan keindahan tasik itu dari atas bukit itu. Sakura menoleh ke arah Ryuu di sisinya.

          “ Kenapa awak bawa saya ke sini?” soalnya hairan. Mata Sakura jatuh pada kilauan pada permukaan tasik itu. Memang membuatkan dia terpukau dengan keindahan tasik itu.

          Ryuu menghela nafas. Dia turun sedikit ke kawasan yang curam di bawah. Sakura hanya memerhatikan sahaja perbuatan lelaki itu. Lama Ryuu merenung permukaan tasik yang tenang itu. Kedua-dua tangannya dimasukkan ke dalam poket.
          “ Kawasan ni ada kenangan antara aku dengan mendiang ibu aku. Kat sinilah kami selalu berkelah sebelum dia meninggal dunia,” jelas Ryuu. Nadanya amat perlahan, hampir sahaja tidak didengari Sakura. Sakura agak tergamam dengan pernyataan itu. Dia merenung Ryuu yang masih membelakanginya.

          “ Mak awak…”

          Ryuu menoleh ke belakang. Kata-kata Sakura mati di situ juga. Nampaknya ada sesuatu yang menganggu Ryuu. Sakura turut berjalan mendekati Ryuu. Ryuu melontarkan pandangan ke hadapan.

          “ Mak aku meninggal masa aku tujuh tahun. Aku takkan dapat lupakan hari tu, sejak hari tu aku merasakan aku dah sebatang kara di dunia ni. Tanpa ada siapa-siapa lagi dalam hidup aku,” kata Ryuu. Suaranya makin merendah. Sakura tunduk ke tasik itu.

          “ Ayah awak?”

          Mendengarkan pertanyaan Sakura, Ryuu tergelak sinis. Dahi Sakura berkerut.

          “ Dia bukan ayah aku. Dan, aku tak mahu kau cakap apa-apa lagi pasal dia,” kata Ryuu keras. Dia merenung ke mata Sakura. Sakura termangu. Perlahan-lahan dia mengangguk. Risau jika Ryuu akan naik marah kelak.

          Ryuu kembali melihat ke permukaan tasik. Wajahnya berubah tegang. Dia paling tidak suka jika berbicara soal bapanya. Baginya, lebih baik dia hidup sebagai gelandangan daripada pernah hidup dengan lelaki itu. Ryuu tersentak apabila merasakan hujung sikunya disentuh seseorang. Dia menoleh ke belakang.

          “ Maaf…” ucap Sakura perlahan. Redup renungannya pada wajah Ryuu. Ryuu menggeleng perlahan. Dia meraup wajah. Sekali lagi dia merenung wajah polos itu.

          “ Jangan risau, aku yang terlebih emosi tadi,” kata Ryuu perlahan. Dia cuba mengukir senyuman. Kepala Sakura digosok perlahan. Sakura juga tersenyum namun hambar sahaja.

          Ryuu menghela nafas. Hidup barunya sudah bermula. Dia bukan lagi hidup seorang diri seperti dahulu. Sudah ada orang yang sudi hadir dalam hidupnya. Walau tidak berlandaskan cinta, tetapi dia amat berharap Sakura tidak akan pergi daripadanya. Dia sendiri tidak mengerti kenapa. Adakah kerana dia tidak mahu keseorangan lagi? Ryuu mengeluh berat. Kepalanya digeleng perlahan.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...