Ai no Kotoba

Colours make your life beautiful, melody makes your life rhythm and harmony makes your life a life - Hana

Semua karya dalam blog ini hak cipta terpelihara penulis. Anda tidak dibenarkan menciplak, me-copy, memplagiat atau with every means to copy it atau mengaku karya itu anda punya.
Semua karya tidak mempunyai kaitan dengan yang hidup mahupun yang sudah meninggal dunia.
Selamat membaca. Peace!

Watashi no Tomodachi :D

Entri Terbaru! Tengok Sini!

Tuesday, November 6, 2012

Endless Love 36


“ AKU nampak dia kat rumah kau minggu lepas.” Hyun Min berterus-terang. Pertanyaan Ji Hoon tidak dihiraukan. Ji Hoon senyap buat seketika. Dahinya berkerut.

          “ Kau nampak? Bila?”

          “ Hari kau buat dia menangis depan rumah kau,” jawab Hyun Min terburu-buru. Tidak dapat dipastikan sama ada dia ingin memarahi Ji Hoon kerana telah membuat Chae Rin menangis atau atas sebab apa. Muka Hyun Min jelas kemerahan dengan kerutan di muka.


          “ Aku dah jelaskan semuanya pada dia. Aku dah beritahu dia, kalau dia nak aku kembali pada dia, perkara tu mustahil untuk berlaku. Aku dah ada isteri dan aku hanya anggap dia sebagai adik aku,” jelas Ji Hoon.

          “ Yalah...” jawab Hyun Min malas. “ Aku pun...”

          “ Kau kan tahu yang aku dan ada Eun Hee dan tak akan kembali pada dia,” tegas Ji Hoon. Tajam matanya pada wajah kelat Hyun Min.

          “ Yalah, aku tahu aku bertindak bodoh sebab dia,” getus Hyun Min. Ji Hoon tersenyum lucu.

          “ Kenapa kau senyum pula?” tanya Hyun Min. Hairan melihatkan senyuman di wajah Ji Hoon. Tadi lelaki itu kelihatan tegas, kali ini senyum pula?

          “ Biasalah kalau kau rasa kau bertindak bodoh sebab dia. Kau cintakan dia dan bukannya kau seorang saja yang rasa telah bertindak bodoh sebab orang yang kau sayang. Aku pun macam tu,” ucap Ji Hoon tenang. Hyun Min menyeringai.

          “ Kau nak cakap yang kau dah banyak kali rasa bertindak bodoh sebab Eun Hee. Betul tak apa yang aku cakap?” usik Hyun Min. Ji Hoon ketawa perlahan. Dia menjungkit bahunya.

          “ Mungkin. Kita mana sedar, kan?”

          Kali ini Hyun Min pula yang turut ketawa. Rasa bebannya berkurang lepas bercakap dengan Ji Hoon. Lelaki ini memang menyenangkannya. Apatah lagi dalam keadaan fikirannya kusut memikirkan Chae Rin.

          “ Dua hari lepas, aku telefon dia,” kata Hyun Min perlahan.

          Mata Hyun Min beralih menembusi dinding kaca kafe resort terus ke taman. Ji Hoon hanya mendiamkan diri. Menunggu lelaki itu menyambung bicaranya.

          “ Dia menangis.”

          Sekali lagi kerutan muncul di dahi Ji Hoon.

          “ Kenapa?”

          Hyun Min tersenyum pahit. Matanya kembali pada Ji Hoon sebelum mula menunduk merenung lantai kafe.

          “ Tentu sebab kau. Dia tak pernah menangis macam tu sepanjang aku kenal dia,” luah Hyun Min. Nadanya jelas perlahan dan seakan-akan tidak mahu Ji Hoon mendengar kata-katanya.

          Ji Hoon mula mengeluh berat. Jelas di matanya betapa Hyun Min terluka. Lelaki itu benar-benar cintakan Chae Rin. Jika tidak, sudah lama Hyun Min pergi mencari wanita lain untuk dirinya daripada menunggu Chae Rin yang masih mengharapkan Ji Hoon.

          “ Aku percaya yang kau dengan dia ditakdirkan bersama. Kalau tak, kenapa kau masih betah di sisi dia. Chae Rin pun langsung tak hilangkan diri dia daripada kau. Sabarlah, aku yakin suatu hari nanti dia akan sedar betapa pentingnya kau pada dia,” pujuk Ji Hoon walau dia tahu sudah banyak kali ayat seperti itu diluahkan kepada Hyun Min. Hyun Min menjungkit bahu.

          “ Mungkin.”

          Ji Hoon mula menyepi. Dia kasihankan Hyun Min tetapi tidak tahu apa yang patut dilakukan olehnya. Chae Rin punya banyak pilihan tetapi malangnya gadis itu terlalu mengharapkannya. Dia hanya boleh berharap, sekali lagi, yang gadis itu sedar akan kehadiran Hyun Min yang ikhlas terhadapnya tidak lama lagi.


JI HOON senyum sahaja apabila melihat Da Wei sedang tekun dengan kerjanya. Agaknya, adakah disebabkan oleh sikap Da Wei yang mementingkan kerja yang menyebabkan sepupunya itu tiada teman wanita? Memang patutlah bapa dan ibu saudaranya itu menggesa Da Wei untuk segera berkahwin.

          Pintu pejabat Da Wei diketuk perlahan. Perhatian Da Wei yang hanya pada kertas-kertas yang bertimbun di atas meja mula beralih kepadanya. Sepupunya itu mula tersenyum sebelum mengangguk.

          “ Aku fikir kau tak datang? Dah lama aku tunggu,” kata Da Wei sebaik sahaja Ji Hoon membuka pintu. Eun Hee masih di pejabatnya. Sengaja tidak mahu menyusahkan gadis itu dengan urusannya.

          “ Aku jumpa dengan Hyun Min tadi, tu yang lambat jumpa kau. Apa pun, boleh tak kau tunggu aku duduk dulu baru kita borak?” kata Ji Hoon. Da Wei tersenyum. Dia menepuk dahi menyedari kesilapannya.

          “ Yalah, yalah.”

          Ji Hoon duduk di set sofa di suatu sudut manakala Da Wei masih di meja kerjanya. Fail di hadapannya ditutup sebelum dia berjalan menyertai Ji Hoon di sofa itu. Dia duduk berhadapan dengan lelaki itu. Ji Hoon mencapai akhbar yang tergeletak di atas meja kopi.

          “ Kepala kau dah okey ke?” tanya Da Wei.

          “ Kalau tak okey, kau tak akan nampak aku muncul kat sini,” kata Ji Hoon sinis. Akhbar di hadapannya dibuka. Beberapa tajuk menarik minatnya.

          “ Jadi, apa kata Mak Cik Da Hae? Teruk ke dia marah?” tanya Da Wei lagi tanpa dapat menahan gelak. Mengingati bagaimana pucatnya wajah Ji Hoon apabila dimaklumkan bahawa ibunya itu mengetahui kemalangan yang menimpanya membuatkan dia ketawa lucu.

          “ Kau rasa mak aku macam mana dalam konteks ayat ‘teruk ke dia marah’ tu?” tanya Ji Hoon pula. Matanya masih melekat pada baris-baris ayat di akhbar. Da Wei tersengih lagi. Jika berdasarkan perangai Mak Cik Da Haenya itu, jelas benar teruk sepupunya itu dimarahi.

          “ Mak kau tak cuba datang sini?”

          Ji Hoon mengangguk malas. “ Cuba juga. Nasib baik Pak Cik Nam Gil dapat halang. Kalau tak, dah tentu makin teruk aku kena marah.”

          Kepala Da Wei tersentak ke hadapan. Dia menepuk dahi seakan-akan baru mengingati sesuatu. Ji Hoon mengangkat muka daripada akhbar yang sedang dibacanya apabila menyedari lagak aneh Da Wei.

          “ Kenapa?” tanyanya hairan.

          Da Wei bingkas bangun daripada sofa yang sedang didudukinya dan segera menuju ke meja kerjanya. Laci dibuka lantas sepucuk surat dikeluarkan. Surat itu diserahkan kepada Ji Hoon sebaik sahaja dia duduk kembali.

          “ Surat apa ni?” tanya Ji Hoon hairan namun huluran itu disambut. Nama dan alamat yang tertera merupakan nama dan alamat resort ini.

          “ Aku dapat surat ni kelmarin. Aku tak buka sebab beralamat dan nama kau. Cubalah buka, mana tahu ada urusan penting,” jelas Da Wei.

          Ji Hoon menurut sahaja. Berhati-hati dia mengoyak bahagian hujung sampul surat itu, bimbang akan turut mengoyakkan kandungannya. Sekeping yang berlipat kemas dibuka. Matanya mula melirik pada isi kandungan yang bertaip kemas pada permukaan kertas itu.

          “ Surat apa?” tanya Da Wei sebaik sahaja melihat Ji Hoon melipat kembali surat itu.

          “ Aku diminta ke Jeju Floral Hotel malam lusa,” kata Ji Hoon perlahan. Jelas dia sendiri bingung dengan kandungan surat yang turut diterimanya itu. Dia merenung wajah Da Wei yang turut kehairanan.

          “ Jeju Floral Hotel? Siapa yang ajak kau?” tanya Da Wei lagi. Kedua-dua keningnya bercantum.

          Sekali lagi mata Ji Hoon melirik pada kertas itu. Oh Kwang Hee, Pengurus Besar Jeju Floral Hotel. Satu nama yang asing baginya. Dia tidak mengenali sesiapa dengan nama itu dan apa yang difikirkannya adakah lelaki itu merupakan salah satu daripada rakan kongsinya daripada hotel itu sedangkan resort itu tidak pernah bekerjasama dengan Jeju Floral Hotel.

          “ Siapa?”

          Ji Hoon tersentak. Segera dia menghulurkan kertas itu kepada Da Wei. Da Wei sendiri kelihatan hairan sebaik sahaja selesai membaca isi kandungan surat itu.

          “ Oh Kwang Hee? Dia bukan salah seorang pemegang saham kita, kan?” tanya Da Wei. Ji Hoon menggelengkan kepala. Seperti mana Ji Hoon, Da Wei sendiri tidak pernah bersua dengan lelaki itu.

          “ Kalau ikutkan surat tu, dia nak aku jumpa dia malam lusa. Kat bilik hotel J-24 dan dia nak aku hadir seorang diri. Apa pendapat kau, patut ke aku pergi?”

          Lama mata Ji Hoon singgah pada wajah sepupunya. Masing-masing mula berandaian yang tidak buruk. Hairan dengan kehadiran surat yang dianggap misteri itu. Seorang lelaki yang tidak dikenali mahu bertemu secara persendirian dengan Ji Hoon. Mungkin lelaki itu mahu menawarkan kerjasama dengan Ji Hoon, tetapi kenapa harus dilakukan pada waktu malam? Secara persendirian dan tanpa ditemani sesiapa pula tu.

          “ Aku tak yakin yang lelaki ni berniat baik. Kalau tak, tentu dia jelaskan sebab dia nak bertemu dengan kau. Lagipun, kenapa dia nak jumpa kau seorang? Tentu dia ada niat tak baik,” gerutu Da Wei. Matanya merenung marah pada kertas di tangan Ji Hoon.

          “ Tak baik kau fikir macam tu. Mana tahu dia ada masa nak jumpa waktu malam saja? Lagipun, ada nombor telefon dia kalau aku nak hubungi dia. Takkan dia nak tinggalkan nombor telefon dia kalau dia ada niat tak baik?” ucap Ji Hoon tenang. Da Wei mula bengang.

          “ Kau nak pergi seorang diri? Kau dah hilang akal ke? Macam mana kalau dia ada tak baik?” Da Wei mengulang kebimbangannya. Ji Hoon agak tersentak dengan nada sepupunya yang mula meninggi tetapi dia kelihatan tenang sahaja.

          “ Jangan bimbang. Aku akan okey. Aku...”

          “ Jujurnya, kau fikir semua orang atas dunia ni baik ke? Kalau jadi apa-apa pada kau, macam mana?” pintas Da Wei geram. Berkerut mukanya menahan marah.

          Inilah satu perangai Ji Hoon yang tidak disukai Da Wei. Memanglah baik kalau tidak berprasangka buruk terhadap orang lain tanpa menyiasat dulu. Tetapi kalau sampai mengabaikan keselamatan sendiri, itu bukan baik namanya. Sudah sampai tahap menganiayai diri sendiri.

          “ Aku boleh temankan kau malam tu. Aku tetap fikir lelaki ni ada niat tak baik.” Da Wei mendengus.

          Ji Hoon menggeleng pantas. Terang-terangan dia tidak bersetuju dengan cadangan Da Wei walaupun ia hanyalah demi keselamatan dia.

          “ Tak, tak. Aku seorang saja yang pergi, kau duduk senyap-senyap dalam bilik resort kau tu. Dia nak jumpa aku seorang, maknanya aku seorang saja. Jangan nak memandai temankan aku pula. Lagipun, kalau jadi apa-apa pada kita berdua, macam mana dengan resort ni? Takkan kau nak Hyun Min seorang yang kendalikan?” bantah Ji Hoon agak tegas.

          “ Tapi ni demi keselamatan kau juga!” marah Da Wei. Sekali lagi Ji Hoon menggeleng. Lelaki itu bangun daripada duduknya. Surat itu kembali dilipat sebelum dimasukkan ke dalam sampulnya.

          “ Kau dengar apa aku kata, Da Wei.”

          Perlahan tetapi tegas dia mengucapkan kata-kata itu dengan renungan tajam pada wajah Da Wei. Da Wei terpaku di situ. Ji Hoon sudah menunjukkan ketegasannya dan dia tidak berani menyangkal lagi. Buruk padahnya jika dia membantah walau dia tahu Ji Hoon sudah menunjukkan ketegasan yang jarang sekali dipamerkan kepada sesiapa. Dia hanya merenung sepi sahaja langkah lelaki itu keluar daripada pejabatnya.   


SEKALI lagi Ji Hoon membaca kandungan surat itu. Kata-kata Da Wei tadi kembali diingatinya. Dia tidak boleh mengatakan bahawa sepupunya itu salah tetapi dia punya sebab yang tersendiri mengapa dia mahu melakukannya sendirian, bertemu seorang diri dengan Oh Kwang Hee.

          Bagaimana kalau Oh Kwang Hee merupakan orang yang terlibat dalam kemalangannya tempoh hari? Bagaimana kalau lelaki itu merupakan orang suruhan dia yang terlalu ingin melihat kemusnahan hidupnya. Atau... mungkin lelaki itu merupakan dalangnya? Dia tidak mengenali sesiapa dengan nama itu dan mungkin telahannya benar. Mungkin lelaki itu punca segala-galanya.

          Pantas Ji Hoon menyimpan kembali surat itu apabila menyedari pintu bilik dibuka dari luar. Segera dia menoleh ke belakang. Eun Hee muncul di pintu. Ji Hoon cuba mengukir senyum dalam melindungi rasa gugupnya.

          “ Kenapa?” tanya Ji Hoon lembut. Eun Hee turut membalas senyumannya. Perlahan-lahan dia meraih tangan suaminya. Sesuatu diletakkan dalam telapak tangan Ji Hoon sebelum ditutup.

          “ Apa ni?” tanya Ji Hoon lagi apabila merasakan ada sesuatu yang lembut berada di tapak tangannya. Segera dia membuka kepalan tangannya. Suatu ukiran kayu berbentuk hati dengan tali berwarna hitam. Jelas tertera di ukiran itu suatu nama, nama yang dianggap membahagiakan dirinya. Nama ‘JiEun’ jelas terukir pada ukiran hati berbentuk kayu itu.

          “ Eun Hee yang buat sendiri?” soal Ji Hoon teruja. Eun Hee mengangguk gembira. Dia menunjukkan gelang platinum pemberian Ji Hoon tidak lama dahulu yang turut terukir nama itu.

          Telefon bimbit diambil daripada saku jean. Ukiran itu digantung sebagai hiasan telefon bimbit. Dahi Eun Hee dikucup lembut. Hiasan yang tergantung di telefon bimbitnya ditunjuk betul-betul di hadapan mata gadis itu.

          “ Terima kasih, abang akan jaga baik-baik.”

          Eun Hee mengangguk lagi. Dia tersenyum bahagia.

          “ Petang ni...” Ji Hoon menarik Eun Hee membelakanginya. Tubuh gadis itu dipeluk. Kepalanya direhatkan di atas bahu Eun Hee. “ ... kita ke Paradise Florist...”


          Belum pun habis Ji Hoon berkata-kata, Eun Hee sudah melepaskan pelukannya. Pantas gadis itu berpusing menghadapnya di belakang. Ji Hoon melepaskan tawanya apabila melihat mata Eun Hee yang mula bersinar.

          “ Kita ke Paradise Florist. Abang tahu, Eun Hee nak sangat lawat kedai tu, kan? Lagipun, dah lama kita tak ke sana,” kata Ji Hoon yang masih ketawa geli hati. Hidung Eun Hee dicuit.

          Senyuman di bibir Eun Hee mula melebar. Dia melompat kegembiraan sebelum leher Ji Hoon dirangkul erat. Ji Hoon yang masih ketawa hanya membalas pelukan isterinya. Dia melupakan terus kerisauannya. Yang penting Eun Hee gembira.

          “ Dahlah tu... Eun Hee nak abang mati tercekik ke? Nanti tak ada siapa pula yang boleh bawa Eun Hee ke sana...”

          Eun Hee mencebik. Segera dia melepaskan rangkulannya sebelum menjelirkan lidah kepada Ji Hoon. Kakinya pantas berlari meninggalkan bilik itu sebelum dia menjadi mangsa Ji Hoon pula. Ji Hoon hanya tersengih sebelum turut mengejar isterinya.

          “ Nak lari ya? Tunggu!!!”

          Riuh banglo itu dengan jeritan Ji Hoon mengejar Eun Hee. Sehingga ke halaman rumah dikejar isterinya itu. Di wajah masing-masing tertera kebahagiaan. 

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...