Ai no Kotoba

Colours make your life beautiful, melody makes your life rhythm and harmony makes your life a life - Hana

Semua karya dalam blog ini hak cipta terpelihara penulis. Anda tidak dibenarkan menciplak, me-copy, memplagiat atau with every means to copy it atau mengaku karya itu anda punya.
Semua karya tidak mempunyai kaitan dengan yang hidup mahupun yang sudah meninggal dunia.
Selamat membaca. Peace!

Watashi no Tomodachi :D

Entri Terbaru! Tengok Sini!

Wednesday, April 24, 2013

Endless Love 44




HAMPIR kesemua isi beg dan almarinya diselongkar namun apa yang dicari masih belum kelihatan. Eun Hee bingung sendirian. Rasa-rasanya dia membawa diarinya ke rumah Pak Cik Dam Shik. Lantaran beberapa kejadian yang menimpanya kebelakangan ini membuatkan dia terlupa akan diari itu. Malah, pada malam pertama dia tiba di rumah Pak Cik Dam Shik, dia langsung terlupa akan diarinya itu.

          “ Kak Eun Hee cari apa?” tanya Ryu Min yang muncul tiba-tiba di muka pintu bilik Eun Hee. Eun Hee segera menoleh ke belakang. Dia hanya tersenyum sahaja sebagai jawapannya.

          “ Kak Eun Hee?” panggil Ryu Min apabila Eun Hee berjalan melepasinya ke ruang tamu. Dia berlari-lari mengejar kakak sepupunya itu.

          “ Kak Eun Hee nak ke mana?” tanya Ryu Min apabila melihat Eun Hee menuruni anak tangga pula. Sandal disarung ke kaki. Eun Hee langsung tidak menjawab pertanyaan Ryu Min sebaliknya terus melangkah.

          Walau apapun dia harus mendapatkan kembali diarinya itu. Diari itu umpama sahabat baiknya untuk meluahkan segala rasa hatinya dan hanya satu tempat sahaja di mana diarinya berada sekarang jika tidak ada bersama-samanya di rumah Pak Cik Dam Shik. Di banglo putih yang terletak di hujung jalan itu.

          Eun Hee menyusuri laluan ke hujung jalan. Sesekali dia akan menoleh ke belakang apabila terdengar bunyi yang asing pada pendengarannya. Trauma lantaran kejadian pembunuhan yang hampir meragut nyawanya tempoh hari masih menghantuinya.

          Di hadapan Pak Cik Dam Shik dan Ryu Min, dia kelihatan ceria dan cekal namun tiada siapa yang tahu bahawa dia tidak lena tidur pada setiap malam lantaran terlalu mengingati kejadian itu. Malah, dia sering kali berasa tidak selamat jika berseorangan di rumah tatkala Pak Cik Dam Shik ke tempat kerjanya manakala Ryu Min pula ke sekolah.

          Kepada Pak Cik Dam Shik dan Ryu Min dia menyorokkan perihal kejadian mengerikan yang hampir mencabut nyawanya itu. Dia tidak mahu mereka berdua bimbang akan keselamatan dirinya. Dia hanya akan menggelengkan kepala sambil tersenyum sahaja sewaktu Ryu Min menyoal tentang hari itu.

          Sudah pasti gadis kecil itu terkejut kerana terserempak dengan Ji Hoon yang berlumuran darah pada tengah hari kejadian. Kesudahannya, Ryu Min mogok tidak mahu bercakap dengannya sehari suntuk sebagai tanda protes kerana Eun Hee tidak mahu memberitahu keadaan sebenar kepadanya.

          Langkah Eun Hee diperlahankan saat dia semakin menghampiri banglo putih itu. Dia menjenguk ke halaman rumah. Skyline GTR tiada tersadai di situ menandakan tiada penghuni di dalam banglo itu saat ini. Eun Hee tersenyum lega. Nampaknya dia datang pada saat yang sesuai. Dia mahu mengelak daripada bertemu dengan Ji Hoon. Rayuan lelaki itu agar kembali semula ke banglo ini sentiasa bermain di mindanya dan Eun Hee tidak mahu tewas dengan rayuan lelaki itu.

          Berhati-hati dia mengeluarkan segugus kunci daripada kocek skirt paras betisnya. Dia sentiasa membawa gugusan kunci pendua banglo itu ke mana-mana sahaja dia pergi. Kunci yang agak kecil dimasukkan ke dalam lubang manggar yang diletakkan pada pintu pagar kecil bersebelahan dengan pintu pagar utama.

          Langkah Eun Hee tergesa-gesa menuju ke halaman belakang. Dia membuka pula pintu dapur. Dia terkedu apabila merasakan betapa sunyinya rumah itu saat ini. Perlahan-lahan langkahnya diatur ke ruang tamu. Matanya menerawang di situ.

          Masih ada. Potret perkahwinan dia dengan Ji Hoon yang dibingkaikan dengan bingkai gambar besar yang berwarna keemasan masih tergantung kemas pada tempatnya. Begitu juga dengan gambar-gambar yang lain. Namun dia perasan akan kedudukan bingkai-bingkai tersebut agak tidak teratur, tidak sama seperti dahulu.

          Pantas Eun Hee menggelengkan kepalanya menyedari kealpaannya. Dia terlupa tujuan utama dia ke sini. Pantas dia berlari naik ke tingkat atas. Dia mengatur langkah ke bilik yang pernah dihuninya bersama-sama Ji Hoon. Daun pintu dikuak.

          Eun Hee kaku seketika apabila menyedari keadaan bilik itu. Suasana kelam menyelubungi bilik itu apabila sinaran cahaya matahari daripada tingkap dan pintu gelongsor dihalang oleh langsir yang hanya bertiup dibawa angin. Teragak-agak dia masuk ke dalam. Sesuatu yang berada di atas katil menarik perhatiannya.

          Dia terkejut apabila mendapati betapa banyaknya kepingan kertas kecil yang terdiri pelbagai warna bertaburan di atas katil. Sebuah balang kaca yang kosong terletak di atas meja sisi katil. Patung beruang pemberian Ji Hoon pada awal perkahwinan mereka pula tergeletak di hujung katil. Tangannya menjangkau untuk mengambil salah satu daripada kertas-kertas itu. Bulat mata Eun Hee menyedari apa sebenarnya kertas-kertas itu. Dia bungkam di situ.

          Kertas-kertas itu merupakan kertas-kertas yang pernah dia gunakan untuk mencoret apa yang hendak dia katakan! Ternyata kesemua kertas itu dijaga dan disimpan dengan baik oleh suaminya malah disimpan tanpa pengetahuannya. Bibir Eun Hee bergetar. Dia terharu dengan apa yang Ji Hoon lakukan di belakangnya.

          Eun Hee sedar bahawa hanya dirinya sahaja yang dicintai Ji Hoon. Namun ada sesuatu yang menghalangnya untuk kembali kepada lelaki itu. Malah keinginannya untuk kembali ke sisi suaminya semakin pudar selepas kejadian ngeri yang berlaku di rumah Pak Cik Dam Shik dahulu. Dia ada sebab yang kukuh untuk terus mengelakkan diri daripada Ji Hoon walau dia sendiri sengsara dengan keputusannya itu.

         Dengan pantas Eun Hee meletakkan kembali kertas itu. Dia takut dia tidak mampu untuk melawan kemahuannya untuk kembali ke sisi Ji Hoon. Dia menuju ke birai katil. Tilam diangkat tinggi. Dia menarik nafas lega apabila mendapati diarinya masih berada di situ, disorokkan di bawah tilam.

          Eun Hee terus meninggalkan bilik itu selepas mendapatkan apa yang dia mahukan. Dia tergesa-gesa menuruni tangga. Sesampai sahaja di anak tangga terakhir, dia kaku di situ.

          Ji Hoon sedang merenung tepat kepadanya. Lengan kiri lelaki itu masih berbalut kemas.

          “ Eun Hee? Eun Hee dah balik? Abang...” Ucapan Ji Hoon terhenti di situ apabila Eun Hee berlari melepasinya menuju ke dapur. Wajahnya yang riang kerana menemui isterinya tadi mula lesu kembali. Dia segera berlari ke dapur.

          “ Eun Hee!”

          Langkah Eun Hee mati di situ. Larian Ji Hoon semakin laju bagi mendapatkan isterinya. Lengan isterinya ditarik. Ji Hoon termengah-mengah menarik nafas.

          “ Eun Hee masih tak maafkan abang lagi?” Sayu suara Ji Hoon menerpa ke telinganya. Eun Hee menggigit bibirnya. Dia cuba menarik tangannya daripada genggaman Ji Hoon tetapi suaminya semakin menguatkan lagi pegangan tangannya.

          “ Eun Hee tak nak kembali pada abang?” tanya Ji Hoon lagi. Suaranya seakan terlalu mendesak untuk merayu. Pandangan matanya tidak pernah lari daripada tubuh itu walau sesaat.

          Eun Hee masih tidak menunjukkan sebarang reaksi terhadap kedua-dua pertanyaannya. Ji Hoon semakin patah hati. Sayu dia merenung isterinya daripada belakang.

          “ Eun Hee...” Getar suara suaminya semakin jelas kedengaran, sekaligus meruntunkan lagi hati Eun Hee. Kuat Eun Hee memejamkan matanya. Cuba untuk tidak menghiraukan nada yang cukup meruntun hatinya saat ini daripada mencairkan hatinya yang sengaja dikeraskan.

          “ ... dah tak percayakan abang lagi?”

          Hati Eun Hee berdetap mendengar pertanyaan itu. Perlahan-lahan dia berpaling lalu berhadapan dengan Ji Hoon. Sakit hatinya apabila melihat betapa cengkungnya wajah itu. Dia menarik nafas. Dengan berat hati, Eun Hee membuang cincin perkahwinan yang tersarung di jari manisnya. Ji Hoon bungkam melihat perbuatan isterinya.

          Terketar-ketar tangan Eun Hee saat dia menghulurkan cincin itu kepada Ji Hoon. Ji Hoon menyambutnya dengan rasa tidak percaya. Matanya merenung hiba pada cincin itu sebelum kembali pada wajah sendu isterinya. Dia tersenyum pahit.

          “ Dulu... abang pernah kata...” Tangisan Eun Hee mula pecah. Dia menekup mulut bagi menahan esakan yang akan mula menggila. Wajah Ji Hoon mula kabur dalam pandangannya.

          “ ... yang... kalau Eun Hee benar-benar tak percayakan abang... mahu... abang pergi dari hidup Eun Hee... abang benarkan...” kata-kata Ji Hoon tersekat di situ. Dia tidak dapat meneruskan kata-katanya lagi. Setiap patah yang telah terluah itu telah menambah luka di hatinya.

          Eun Hee mengesat air matanya. Dia tersenyum sayu. Ji Hoon menarik nafas. Matanya mula merah. Bergenang anak matanya singgah pada wajah gadis yang paling dicintainya itu.

          “ ... a... abang benarkan...” Ji Hoon termengkelan. Dia mengetap bibir. Matanya ditutup rapat. Setitis mutiara jernih mengalir menuruni pipinya.

          “ ... benarkan... Eun Hee tanggalkan cincin... perkahwinan kita.”

          Ji Hoon menarik nafas. Untuk menamatkan kata-katanya sahaja seakan-akan sudah mampu untuk meragut nyawanya. Apatah lagi dengan realiti yang harus dihadapinya selepas ini.

          Eun Hee segera berpaling lalu berjalan meninggalkan Ji Hoon. Diari di tangannya dipegang kemas. Tangannya menggeletar. Langkahnya terhenti sekali lagi apabila mendengar sayu Ji Hoon menyeru namanya.

          “ Abang... cintakan Eun Hee... selamanya...”

          Langkah Eun Hee bertukar kepada larian. Dia tidak sanggup untuk mendengar rayuan lelaki itu lagi. Dia tidak sanggup untuk berlama-lama di situ lagi. Dia tidak sanggup untuk melihat wajah lesu itu lagi. Dia takut dia akan kalah dengan emosinya sendiri.

          Ji Hoon mengeluh kecewa apabila melihat isterinya berlari meninggalkan banglo milik mereka berdua. Dia terjelepok ke tanah. Cincin platinum itu digenggam kemas dalam tangannya.


HYUN MIN mempercepatkan langkahnya mendapatkan Zachary yang duduk di hujung kafe. Selepas kejadian itu, dia semakin rapat dengan lelaki Inggeris tersebut. Malah dia sering ke D’Armour Cafe semata-mata mahu menemui sahabat barunya itu.

          “ Apa hal kau nak jumpa aku ni?” Hyun Min terus melontarkan pertanyaan sebaik sahaja dia melabuhkan duduk. Zachary tersenyum mendengar soalan itu. Dia mengacau jus lemonnya dengan penyedut minuman.

          “ Kalau ya pun, boleh tak kalau kita minum seteguk dua dulu baru kau soal aku macam-macam?” seloroh Zachary. Hyun Min tersengih menutup malu. Kepada pelayan yang datang untuk mengambil menu yang dimahukan, dia memesan segelas teh ais limau.

          “ Sebenarnya, aku suruh kau datang ni sebab nak cakap pasal Ji Hoon.” Zachary berterus-terang. Dia menyedut jus lemon dingin yang terhidang. Hyun Min hanya mengangguk walau dia masih belum mengetahui pokok cerita yang ingin disampaikan oleh Zachary.

          “ Kenapa... dengan dia?” tanya Hyun Min teragak-agak. Bunyinya serius sahaja mendengarkan pada intonasi suara yang digunakan oleh Zachary.

          Zachary mendiamkan diri buat seketika. Matanya masih tertumpu pada dasar gelas berkaki tinggi itu. Buat seketika dia mengeluh sebelum menguis pulpa lemon yang berada di dasar gelas.

          “ Kau... ingat tak pasal kemalangan Ji Hoon dulu?” tanya Zachary tanpa memandang Hyun Min.

          “ Ingat. Tapi kenapa?” tanya Hyun Min lagi. Kenapa pula dengan kemalangan itu?

          “ Ji Hoon dah ceritakan apa yang berlaku masa kemalangan tu. Memang dia kata kes tu kes langgar lari tapi aku percaya yang...”

          Mata Zachary bertentangan dengan mata Hyun Min buat seketika. Khusyuk lelaki itu mendengar. Memang apa yang ingin dikatakan oleh Zachary serius nampaknya.

          “ ... aku dan Ji Hoon percaya yang kes tu sebenarnya cubaan untuk membunuh Ji Hoon,” Zachary bersuara perlahan.

          Berubah air muka Hyun Min selepas Zachary selesai berkata-kata. Mukanya berkerut. Dia agak terperanjat dengan kenyataan Zachary. Cubaan membunuh Ji Hoon? Masuk akal ke?

          “ Macam mana kau dan Ji Hoon boleh fikir macam tu?” tanya Hyun Min. Ada nada cemas dalam percakapannya. Zachary tersengih.

          “ Kau kan tahu pasal kes penggelapan wang syarikat tu? Kat situ kita dah boleh nampak yang ada orang memang nak sabotaj Ji Hoon. Kita memang tak boleh nak sangkal yang kes itu memang kes langgar lari, tapi aku rasa kemungkinan untuk mengatakan bahawa kes itu merupakan cubaan untuk membunuh Ji Hoon juga ada.”

          “ Jadi...” Hyun Min terhenti seketika. Pelayan tadi kembali dengan minuman yang dipesannya tadi. Dia mengucapkan terima kasih sebelum kembali menumpukan perhatian pada Zachary.

          “ Jadi... kau nak buat apa kalau hal tu benar?” soal Hyun Min. Dia masih tidak dapat menangkap motif sebenar Zachary memberitahunya akan hal itu. Zachary tertawa perlahan lalu menyeringai.

          “ Aku nak siasat hal ni,” ucap Zachary perlahan. Kening Hyun Min terangkat. Dia merenung Zachary seolah tidak percaya. Zachary ketawa lagi.

          “ Kau jangan tak tahu, aku antara jurulatih ejen rahsia yang berjaya dulu masa aku kat Eropah. Cuma aku berhenti selepas aku berkahwin dengan Julie. Sekarang, aku rasa masanya untuk aku beraksi kembali lepas lama berehat macam ni. Dan, cuma kau saja yang tahu. Aku tak pernah beritahu sesiapa walau pada Ji Hoon sekalipun,” kata Zachary menyakinkan. Mulut Hyun Min terlopong.

          Dia mula merasakan apa yang dikatakan oleh Zachary tidak masuk akal. Namun Zachary hanya tersenyum sambil mula minum jus lemon yang sudah semakin mencair aisnya. Hyun Min pula kelihatan cemas dan pucat.


DENGAN malas Tae Hwan melangkah ke meja untuk menjawab panggilan. Deringan telefon bimbit terasa menyesakkan fikirannya. Dengan rengusan dia menjawab panggilan itu. Ternyata hanya lelaki itu sahaja yang menghubunginya.

          “ Ada apa?” soal Tae Hwan kasar. Dia kembali duduk di birai katil. Matanya tertumpu pada kaca televisyen. Sebuah iklan ditayangkan buat seketika. Dia merebahkan diri di atas katil.

          “ Aku akan bertindak tak lama lagi,” jelas suara itu dingin. Tae Hwan ketawa mengejek. Dia menggaru-garu kepalanya yang kegatalan.

          “ Jadi... dah tiba masanya untuk aku bertindak?”

          Suara di hujung talian mula katawa galak. “ Kau tahu apa yang kau patut lakukan. Cederakan dia tapi jangan sampai dia mati. Lepas tu, barulah tiba giliran untuk aku bertindak. Aku yang akan habiskan nyawa dia.”

          “ Baiklah. Aku akan laksanakan apa saja arahan kau. Kau boleh harapkan aku,” ucap Tae Hwan cuba menyakinkan pemanggil di hujung talian. Namun lelaki itu hanya mendengus.

          “ Lakukan saja apa yang sepatutnya. Kau...”

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...