Ai no Kotoba

Colours make your life beautiful, melody makes your life rhythm and harmony makes your life a life - Hana

Semua karya dalam blog ini hak cipta terpelihara penulis. Anda tidak dibenarkan menciplak, me-copy, memplagiat atau with every means to copy it atau mengaku karya itu anda punya.
Semua karya tidak mempunyai kaitan dengan yang hidup mahupun yang sudah meninggal dunia.
Selamat membaca. Peace!

Watashi no Tomodachi :D

Entri Terbaru! Tengok Sini!

Sunday, August 28, 2011

Endless Love 32


CAHAYA matahari terasa mencucuk-cucuk matanya. Perlahan-lahan dia membuka kelopak mata yang terasa memberat. Ji Hoon menggelengkan kepalanya perlahan. Terasa sakit apabila gerakan berlaku. Siling putih menjamah pandangannya. Dia mula terkebil-kebil.

          “ Kau dah sedar? Baguslah.”

          Suara itu amat dikenalinya. Ji Hoon cuba bangun tetapi dia tidak berdaya. Rasa sakit menyerang ke segenap urat sarafnya. Dia dibantu untuk duduk menyandar pada kepala katil. Ji Hoon merenung pada wajah yang menolongnya itu.

          “ Zack?”

          Zachary tersenyum lantas mengangguk. Lelaki itu menuang segelas air sebelum menghulurkan gelas kepada Ji Hoon. Teragak-agak Ji Hoon menyambutnya.

          “ Apa yang dah jadi?” tanya Ji Hoon tanpa meminum air yang dihulurkan. Gelas itu kembali diletakkan di atas meja. Perhatiannya lebih tertumpu kepada Zachary di hadapannya.

          “ Kau kemalangan. Aku jumpa kau kat tengah jalan masa nak pergi pulangkan telefon bimbit kau yang tertinggal kat kafe tadi. Aku terus bawa kau ke hospital,” jelas Zachary. Ji Hoon terkedu.

          “ Hos... hospital?”

          Zachary mengangguk.

          Ji Hoon menggelengkan kepalanya perlahan. Kejadian tadi kembali menerpa mindanya. Masih jelas terasa sakit akibat pelanggaran tadi. Apa yang dia ingat, wajah Eun Hee jelas kelihatan di matanya sebelum pandangannya gelap secara tiba-tiba. Ji Hoon tergamam. Matanya terbeliak secara tiba-tiba.

          “ Eun Hee! Eun Hee! Dia... Macam mana dengan dia? Dia kat mana sekarang? Dia kata mana, Zack?” tanya Ji Hoon tergesa-gesa. Zachary termangu dengan perubahan mendadak Ji Hoon. Beberapa kali bahunya digoncang oleh Ji Hoon.

          “ Relaks, dia tak apa-apa. Aku dah bawa dia ke sini, tenang dulu,” pujuk Zachary. Ji Hoon mengeluh. Kepalanya terasa sakit. Dia merenung wajah gusar Zachary.

           “ Doktor kata apa?” tanya Ji Hoon lemah.

          Zachary mengeluh. Dia melontar pandang ke luar tingkap hospital. “ Doktor kata kepala kau mengalami pendarahan biasa. Nasib baik tak teruk, otak kau mengalami gegaran kecil dan tak ada darah beku. Kiranya, kau cuma cedera ringan. Dan... doktor syak ni kes langgar lari. Tapi, aku rasa bukan macam tu.”

          “ Apa maksud kau?” tanya Ji Hoon gelisah. Dia lebih tertumpu pada ayat terakhir Zachary sahaja. Dia langsung tidak mempedulikan apa kata doktor terhadap keadaan dirinya.

          Zachary kembali merenung wajah Ji Hoon. Lama matanya melekat di situ sebelum dia kembali mengeluh.

          “ Aku syak... perkara ni ada kaitan dengan orang yang nak singkirkan kau daripada syarikat kau tu.”

          Ji Hoon termengkelan. Dia tersandar pada kepala katil. Kedua-dua tangannya dikepal kuat.

          “ Maksud kau... ada orang nak bunuh aku?”

          Zachary mengangguk lagi. Memang berat untuk menerimanya tetapi itulah kenyataannya. Zachary tidak dapat menolak kemungkinan bahawa nyawa Ji Hoon dalam bahaya sekarang. Mungkin benar ada orang yang mahu membunuhnya dan mungkin juga telahannya silap. Zachary hanya mampu memberi pendapat sahaja.

          “ Kau tak beritahu Eun Hee, kan?” tanya Ji Hoon lagi. Ada pengharapan dalam nadanya.

          Pantas Zachary menggeleng. “ Aku tahu kau tak nak aku susahkan hati dia dengan berita ni. Aku tak beritahu dia apa-apa pun. Aku cuma cakap kau tak akan apa-apa. Aku rasa, kalau aku beritahu dia yang ada orang nak bunuh kau dah tentu dia makin risau sekarang. Aku tak nak rosakkan lagi keadaan. Kau pun baru baik dengan dia macam dulu. Aku tak nak hubungan kau dengan dia jadi macam mula-mula kau kena tuduh tu. Kesian Eun Hee, aku takut dia fikir kau tak percayakan dia. Jadi, apa-apa hal pun, kau yang kena beritahu sendiri. Keputusan kat tangan kau.”

          Ji Hoon hanya mampu mengangguk. Sejenak kemudian kedengaran pintu wad dibuka. Dua pasang mata beralih pada muka pintu. Eun Hee muncul dengan Ryu Min di sisinya. Jelas tergambar kerisauan di sepasang matanya. Ryu Min pula berlari mendapatkan Ji Hoon di katil.

           “ Aku yang bawa Ryu Min tadi, temankan Eun Hee. Emm... kami pun dah lama kat sini, aku dengan Ryu Min balik dulu ya? Tak nak ganggu masa rehat kau,” seloroh Zachary. Ji Hoon hanya tersenyum hambar.

          “ Kau nak hantar Ryu Min balik? Pak Cik Dam Shik ada kat rumah tak?”

          “ Dia ada. Masa aku pergi ambil Ryu Min tadi dia baru balik dari tempat kerja. Dia kata nak datang melawat kau tapi aku kata tak payah. Kesian tengok dia baru balik kerja.”

          Ji Hoon mengangguk sahaja. Kepala Ryu Min diusap perlahan.

          “ Terima kasih. Kalau kau tak jumpa aku tadi, tak tahulah apa yang jadi,” ucap Ji Hoon. Zachary gelak kecil.

          “ Patutnya kau berterima kasih kat telefon bimbit kau tu. Kalau kau tak tertinggal dan aku tak pergi hantar balik, aku takkan jumpa kau. Apa pun, jaga diri kau tu baik-baik. Ingat tu,” kata Zachary. Bahu Ji Hoon ditepuk berulang kali. Ji Hoon tersengih.

          “ Yalah, kau pun hati-hati bawa kereta tu.”

          Zachary mengangguk sahaja. Ryu Min memeluk Ji Hoon sebelum dia keluar bersama Zachary.

          “ Abang Ji Hoon cepat sihat, ya? Nanti boleh main dengan Ryu Min lagi,” ucap anak kecil itu. Tergelak Ji Hoon mendengarkan kata-kata Ryu Min. Sengaja dia mengusap kuat kepala Ryu Min. Sudahnya tangan dia ditolak. Ryu Min membetulkan rambutnya yang kusut.

          “ Yalah, bila abang dah sihat kita main sama-sama, janji?”

          “ Janji!”

          Ryu Min berlari mendapatkan Eun Hee pula. Pipi gadis itu dicium sebelum dia mendapatkan Zachary di muka pintu. Dia melambai kepada Ji Hoon dan Eun Hee sebelum keluar. Zachary tersenyum lagi.

          “ Aku akan datang lagi esok. Aku lupa nak beritahu tadi, doktor dah benarkan kau keluar esok. Aku akan datang jemput kau, okey? Dan, kau jangan nak mengelak pula masa doktor nak bagi makan ubat. Doktor bagi ubat sebab nak kau tu sembuh cepat, kalau kau mengelak lambat lagilah nak sembuhnya,” kata Zachary. Sempat lagi dia membebel kepada Ji Hoon. Ji Hoon ketawa lantas menggelengkan kepalanya.

          “ Yalah.”

          Zachary keluar lantas menutup pintu perlahan. Suasana sepi sejenak di dalam wad. Eun Hee membuka termos kecil yang dibawanya. Mangkuk bubur dikeluarkan bersama. Isi termos itu dimasukkan ke dalam mangkuk. Ji Hoon hanya melihat sahaja perilaku isterinya itu. Dia tahu Eun Hee sedang susah hati sekarang. Tangan Eun Hee kelihatan terketar-ketar tatkala mahu mengambil bubur daripada termos itu.

          Tangan Ji Hoon segera mencapai tangan isterinya apabila melihat muka Eun Hee sudah berkerut lantaran terkena tumpahan bubur yang panas pada tangannya. Eun Hee tergamam. Ji Hoon mengisyaratkan isterinya agar duduk di birai katil. Eun Hee hanya menurut sahaja. Dia menundukkan wajah daripada renungan Ji Hoon.

          “ Eun Hee tak apa-apa, kan?” tanya Ji Hoon perlahan.

          Eun Hee tersentak. Dia menggeleng perlahan. Air mata sudah bergenang di tubir matanya. Tiada siapa yang tahu bagaimana dia terasa hampir putus nafas di saat Zachary memaklumkan Ji Hoon dilanggar lari. Tika itu pelbagai bayangan buruk mula difikirkannya. Dia seakan-akan hanya akan dapat melihat jasad kaku suaminya sahaja. Eun Hee tidak dapat menangkis bayangan buruk itu walaupun dia sudah mencubanya. Dia benar-benar takut akan kehilangan Ji Hoon. Dia takut akan kehilangan satu-satunya lelaki yang menyayangi dia setulus hati.

          “ Eun Hee?”

          Air mata Eun Hee gugur juga. Betapa gembiranya dia kerana masih dapat mendengar suara itu menyeru namanya. Eun Hee mengetap bibir, cuba menghalang esakannya daripada kedengaran. Terkedu Ji Hoon melihatkan mutiara jernih itu mengalir. Dia mengeluh. Eun Hee dibawa erat ke pelukannya.

          “ Abang tak apa-apalah. Jangan bimbang, ya?” pujuk Ji Hoon.

          Eun Hee hanya mampu mengangguk sahaja. Baru sahaja semalam mereka bergembira semasa Ji Hoon mengadakan kejutan untuknya di tepi pantai itu. Eun Hee langsung tidak menjangka suaminya akan ditimpa kemalangan sedemikian rupa pada keesokkan harinya.

          “ Eun Hee jangan takut, abang dah okey. Doktor pun kata abang boleh keluar hospital esok. Lepas tu, kita boleh pergi jalan-jalan, kita boleh pergi berkelah sama-sama, kalau Eun Hee nak minta abang tolong kemas rumah pun boleh? Janganlah buat muka macam abang ni dah nazak? Takkanlah Eun Hee nak abang mati cepat, kan?” Ji Hoon senyum kecil. Sempat lagi dia berlawak. Matanya jatuh pada kolam mata Eun Hee. Eun Hee mengangguk perlahan.

          Air matanya dikesat. Dia cuba mengukir senyum. Kepalanya diusap lembut oleh Ji Hoon. Ji Hoon gelak kecil.

          Kata-kata Zachary tadi kembali terngiang-ngiang di telinganya. Dia bimbang jika kenyataan bahawa ada orang yang ingin membunuhnya itu benar. Dia hanyalah manusia biasa yang takut akan kematian. Bagaimana jika selepas ini dia harus menghabiskan masanya dengan mengelak daripada takdir bahawa ada seseorang di luar sana ingin membunuhnya?

          Lemah matanya bertentangan dengan sepasang mata isterinya. Dia tidak akan sesekali memberitahu Eun Hee apa yang telah Zachary katakan kepadanya. Membuat Eun Hee risau akan dirinya merupakan perkara terakhir yang akan dia lakukan. Ji Hoon mengeluh berat. Keadaan sudah semakin kacau sekarang.


“ APA? Tuan muda kemalangan?”

          “ Pak cik! Jangan bising sangat! Saya tak nak mak saya tahu!” desis Ji Hoon cemas.

          Serta merta Pak Cik Nam Gil menutup mulut. Perlahan-lahan dia menoleh ke belakang, menembusi cermin biliknya. Matanya lekat seketika pada pintu bilik Presiden Park. Wanita itu sedang tekun berkerja. Pak Cik Nam Gil mengurut dada. Boleh kecoh jadinya jikalau wanita itu tiba-tiba sahaja menerjah masuk tatkala dia sedang berbicara dengan anak majikannya itu dan mendengar setiap butir perkataannya tadi.

          “ Presiden Park ada di biliknya. Jadi, apa sebenarnya yang jadi?” tanya Pak Cik Nam Gil. Kali ini suaranya direndahkan sedikit.  Dia menuju ke pintu dengan telefon bimbit masih melekat di telinganya. Sebelah tangannya yang bebas menjatuhkan pembidai pintu, mengelakkan ada orang luar yang dapat melihat dirinya. Sejurus itu, lelaki tua itu beralih ke tingkap.

          “ Apa yang dah jadi sebenarnya?” Pak Cik Nam Gil mengulangi pertanyaannya. Kedengaran keluhan Ji Hoon di hujung talian.

          “ Sebenarnya...”

          Segala-galanya diceritakan kepada lelaki tua itu. Agak bungkam Pak Cik Nam Gil mendengarnya. Dia meraup wajah. Hatinya mula gelisah.

          “ Zachary kata mungkin itu cubaan nak bunuh tuan muda? Jadi, apa tuan muda nak buat sekarang? Tuan muda nak kalau pak cik beritahu Presiden Park? Atau... pak cik boleh ke sana untuk temankan tuan muda kalau tuan muda nak ke mana-mana? Pak cik...”

          “ Tak! Tak! Saya tak nak mak saya tahu. Saya cuma fikir... yang saya patut beritahu pak cik,” pintas Ji Hoon. Memberitahu ibunya mengenai perkara sedemikian rupa mungkin merupakan perkara yang paling ingin dia elakkan. Biarlah ibunya tidak mengetahui keadaan dirinya daripada dia membimbangkan ibunya.     

          “ Jadi... tuan nak...”

          “ Saya  akan jalani hidup saya macam biasa. Kalau benar apa yang Zack katakan tu, saya akan ikut permainannya. Mungkin dengan cara ni saja saya dapat tahu motif sebenar ‘dia’. Pak cik kan tahu, ‘dia’ dah banyak menyusahkan saya sekarang? Mula-mula menyebabkan saya dituduh menggelapkan wang syarikat, sekarang, ‘dia’ nak cuba bunuh saya pulak. Kalau dia nak, saya tak takut nak bersemuka dengan ‘dia’!” Ji Hoon memintas geram. Dia memicit-micit kepalanya yang mula berdenyut sakit.

          Ji Hoon benar-benar berharap dia dapat bersemuka dengan ‘dia’ secepat mungkin. Biarlah mereka segera bertemu empat mata daripada dia asyik memikirkan apakah helah ‘dia’ yang seterusnya. Jika ‘dia’ mahu bertarung dengan dia sekalipun, dia tidak akan gentar menyahut cabaran ‘dia’ Dan jika benar dia akan tewas juga di tangan ‘dia’, dia akan akur. Ji Hoon mengetap bibir. Matanya menyeringai memikirkan kemungkinan itu.

          “ Tuan... tolong... jangan lakukan apa-apa yang boleh membahayakan tuan. Tolonglah... pak cik benar-benar rayu. Tolong jangan sesekali cari ‘dia’, biar pak cik... biar pak cik yang uruskan,” kata Pak Cik Nam Gil tergesa-gesa.

          Dia dapat mengesan tekad dalam nada Ji Hoon tadi. Lelaki muda itu benar-benar memaksudkan kata-katanya. Pak Cik Nam Gil bimbang jika Ji Hoon akan pergi cuba mencari ‘dia’ yang terlalu ingin melihat kemusnahan Ji Hoon. Dia tidak sesuatu yang buruk terjadi pada anak majikannya itu.

          “ Saya tahu apa yang saya buat. Cuma satu saya minta daripada pak cik, jangan sesekali beritahu hal ni pada mak saya, faham?” kata Ji Hoon tegas.

          Pak Cik Nam Gil terdiam. Benar seperti yang difikirkannya, Ji Hoon mahu menyelesaikan hal ini secepat mungkin dan kemungkinan yang anak muda itu akan pergi mencari ‘dia’ tidak dapat dielakkan.

          “ Saya benar-benar harap pak cik dapat laksanakan hal ni. Tak ada satu patah perkataan pun akan keluar.”

          Pak Cik Nam Gil mengeluh. Dia hanya mampu menggumam. Sejenak, talian diputuskan. Pak Cik Nam Gil mengeluh lagi. Dia meraup wajah. Harapannya Ji Hoon tidak mengotakan kata-katanya untuk pergi mencari ‘dia’.       


DERINGAN telefon bimbit menganggu tumpuannya yang sedang leka menonton televisyen. Dengan agak malas Tae Hwan menyambutnya. Dia bangun daripada sofa dan beralih ke tingkap bilik hotel penginapannya.

          “ Helo?”

          “ Dia tak mati lagi.”

          Tae Hwan ketawa sinis. “ Aku fikir kau nak tengok dia mati depan kau?”

          Garau suara di hujung talian ketawa galak.

          “ Rancangan baru yang akan berjalan, lupakan rancangan asal aku. Kali ni, biar aku yang selesaikan dia. Aku rasa, mungkin rasa terkejut mengetahui siapa yang terlalu ingin melihat dia mati akan mengurangkan sikit rasa takut nak mati dia. Mungkin dia akan lebih aman di sana lepas tahu siapa dalang di sebalik semua ni.”

          “ Aku tak kisah. Asalkan, ganjarannya lumayan,” kata Tae Hwan lagi. Dia mula tamak akan wang yang disogok kepadanya setiap kali dia menyelesaikan kerja kotornya. Apatah lagi jumlahnya lumayan. Terlalu sukar bagi dia untuk menolaknya dalam keadaannya yang sentiasa memerlukan wang yang banyak bagi menampung kos hidupnya.

          “ Aku dah masukkan lagi wang dalam akaun kau. Kali ini, aku yang akan bereskan dia. Langgar lari tempoh hari cuma umpama kad jemputan pertemuan aku dengan dia. Tapi, aku nak kau laksanakan suatu kerja lagi. Kau jangan gunakan cara yang sama. Aku nak kau cederakan dia tapi ingat, jangan sampai dia mati. Aku yang akan bunuh kau dulu sebelum sempat kau sembunyikan diri lepas ni kalau dia mati dalam tangan kau, faham?” Lelaki itu mula bersuara tegas. Tae Hwan hanya menggumam.

          “ Jangan lakukannya lagi. Tunggu arahan aku dan laksanakannya. Jangan sesekali kau ganggu rancangan ni! Pertarungan sebenar baru nak bermula.”

          Tut!

          Tae Hwan memandang marah pada telefon bimbitnya. Kerusi yang berada berdekatan dengannya ditendang kuat. Dia menghempaskan dirinya di atas katil. Telefon bimbitnya digenggam kuat. Cuba melepaskan rasa amarah yang dipendam selama ini terhadap lelaki yang mengupahnya itu.

          Ada suatu rahsia yang disorokkan daripada lelaki itu mengenai Park Ji Hoon. Tae Hwan senyum sendirian. Dia sendiri terkejut apabila mendapat tahu bahawa Ji Hoon mempunyai kaitan dengan seseorang yang dikenalinya.

          Tae Hwan sendiri tiada hati untuk memberitahu rahsia itu. Apatah lagi melibatkan dirinya juga. Melibatkan identiti sebenar dirinya. Siapa dia dan dari mana dia berasal. Dan dia sendiri fikir yang dia tidak mahu rahsia identitinya terdedah. Baik sekarang mahu pun di masa hadapan.


HYUN MIN meletakkan telefon bimbitnya di atas meja. Dia meraup wajah kesal. Tubuhnya disandarkan pada dinding. Kolar bajunya diangkat tinggi. Tali lehernya direnggangkan. Hyun Min terduduk di atas lantai. Dia duduk memeluk lutut. Wajahnya dibenamkan ke lutut. Dia benar-benar kelihatan keletihan sekarang.

          “ Chae Rin...”

          Sudah hampir dua minggu lamanya dia tidak menemui gadis itu. Ketika Hyun Min pergi ke restoran gadis itu, pasti pemangku pengurus akan memaklumkan bahawa gadis itu tiada. Tidak pula Chae Rin meninggalkan pesanan di mana dia berada. Hampir sasau dia mencari gadis itu. Panggilannya buat Chae Rin juga tidak diangkat oleh gadis itu. Hyun Min tidak tahu kenapa Chae Rin berubah sikap. Gadis itu tiba-tiba sahaja menjauhkan diri daripadanya. Pastinya kerana perbalahan di antara mereka yang berlaku pada pertemuan mereka yang terakhir tidak lama dahulu.

          Hyun Min mengeluh berat. Dia mendongak memandang siling. Dia rindu akan Chae Rin. Tidak pernah selama dia hidup dia merindui seorang wanita sedemikian rupa. Inilah kali pertama.

          Dia bimbang jika Chae Rin akan memulakan rancangannya. Rancangan untuk memiliki Ji Hoon kembali. Walau Hyun Min tahu bahawa hati Ji Hoon tidak akan berpaling daripada isterinya tetapi dia masih bimbang. Dia takut akan muslihat Chae Rin. Gadis itu kelihatan bersungguh-sungguh untuk mendapatkan Ji Hoon kembali.

          Bukkk!!!

          Dinding konkrit itu ditumbuk sekuat hati. Darah yang mengalir tidak diendahkan. Rasanya tidak terlalu sakit berbanding dengan luka di hatinya ini. Hyun Min mengetap bibir. Dia meraup wajah. Hanya seorang sahaja yang boleh membantunya kini.

          Hyun Min bingkas bangun. Dia tahu apa yang perlu dilakukannya sekarang. Kedua-dua tangannya dikepal kuat.

Friday, August 26, 2011

Endless Love 31


PERLAHAN langkah Eun Hee menuju ke banglo putih itu. Di tangannya ada beberapa beg plastik dan beg kertas yang memuatkan barangan basah dan roti. Dia keluar awal pagi lagi untuk ke pasar. Ji Hoon masih belum sedar daripadanya lenanya tatkala dia keluar rumah. Eun Hee tidak mahu menganggu lena suaminya lantas dia mengambil keputusan untuk pergi seorang diri sahaja. Kalau dahulu, boleh sahaja dia mengajak Ryu Min menemaninya ke pasar.

          Eh?

          Eun Hee mematikan langkahnya. Perlahan-lahan dia menoleh ke belakang. Terasa seperti setiap gerak gerinya diperhatikan seseorang. Dia menelan liur. Matanya diliarkan melihat kawasan sekeliling.

          Sepi sahaja. Langsung tiada tanda ada orang lain selain daripadanya melalui jalan itu. Jalan yang menuju ke rumahnya agak lengang apatah lagi kebanyakan penduduk sudah pergi ke tempat kerja. Matahari masih di ufuk timur. Cahayanya baru sahaja menyinari bumi.

          Pantas Eun Hee menggelengkan kepalanya. Cuba menyingkirkan segala bayangan buruk yang mula terbayang di dalam mindanya. Eun Hee mula mengatur langkah kembali. Kali ini kakinya laju menuju ke kawasan rumahnya. Sesekali dia menoleh ke belakang. Rasa diperhatikan seseorang mula menakutkan dia. Apatah lagi jalan yang dilaluinya itu lengang. Susah jika musibah menimpa lantaran tiada orang yang boleh diharapkan menolongnya.

          Eun Hee masuk melalui pintu kecil di sebelah pintu pagar utama banglo itu. Tergesa-gesa dia masuk melalui pintu dapur. Pintu dapur terus dikunci. Eun Hee berpaling ke belakang. Dia terperanjat apabila melihat Ji Hoon betul-betul sedang berdiri di belakangnya. Nasib baik sahaja tidak berlanggar.

          “ Eun Hee? Kenapa ni? Nampak kalut saja,” tanya Ji Hoon hairan.

          Eun Hee menelan liur. Perlahan-lahan dia menggelengkan kepala. Dia mengukir senyuman. Kerut di dahi Ji Hoon masih tidak hilang. Dia masih hairan melihatkan kekalutan isterinya memasuki rumah itu. Seakan-akan diancam dengan bahaya di luar sana.

          “ Betul tak apa-apa ni?” tanya Ji Hoon risau.

          Eun Hee mengangguk lagi. Dia menuju ke sinki. Sayur-sayuran dan daging ayam serta ikan diletakkan di dalam sinki. Roti pula diletakkan di atas meja. Gerak gerinya diperhatikan Ji Hoon. Ji Hoon mendekati isterinya yang sedang sibuk membasuh sayuran. Pergerakan Eun Hee terhenti apabila tangannya dipegang Ji Hoon. Eun Hee mengangkat wajah, merenung ke wajah suaminya. Ji Hoon mengeluh.

          “ Lain kali kalau Eun Hee nak ke mana-mana tolong beritahu abang ya? Jangan buat macam ni lagi. Risau betul abang, sedar-sedar Eun Hee dah tak ada. Tolong ya” pinta Ji Hoon bersungguh-sungguh. Matanya melirik pada mata bundar Eun Hee.

          Eun Hee termangu. Jelas riak kerisauan di wajah Ji Hoon kini. Mata Ji Hoon masih lekat pada sepasang matanya. Dia mula serba salah.

          “ Kalau abang tidur sekalipun, tolong kejutkan abang kalau Eun Hee nak ke mana-mana. Abang minta sangat-sangat, ya?” kata Ji Hoon lagi. Dia risau dengan keadaan Eun Hee kini. Hatinya sering kali berasa tidak sedap kalau Eun Hee hilang di hadapan matanya. Ada sesuatu yang menganggu perasaannya. Apatah lagi apabila mengingati kejadian di rumah Pak Cik Dam Shik tempoh hari.

          Eun Hee menundukkan wajah. Tidak berani untuk bertentangan mata dengan suaminya lagi. Tangannya dilepaskan perlahan daripada pegangan suaminya. Dia menarik nafas panjang. Perlahan-lahan dia mengkat wajah. Wajah suaminya ditatap kembali.

          “ Abang bukan nak mengongkong Eun Hee tapi abang takut kalau apa-apa jadi kat Eun Hee. Eun Hee kan tahu situasi abang sekarang ni? Abang takut kalau orang yang nak apa-apakan abang turut libatkan Eun Hee dalam hal ni,” kata Ji Hoon lagi. Kepala isterinya diusap penuh kasih. Kerutan makin bertambah di wajahnya menzahirkan emosinya kini.
         
          Eun Hee tersenyum nipis. Tangan suaminya diraih lalu dielus perlahan. Dia mengangguk sahaja.

          “ Ingat apa yang abang pesan, ya?” kata Ji Hoon lagi. Eun Hee mengangguk lagi.

           Kalaulah Ji Hoon tahu bahawa dia merasakan dirinya diekori seseorang tadi sudah tentu suaminya akan lebih bimbang. Dia tidak mahu memberitahu Ji Hoon akan perkara itu. Kelak Ji Hoon akan risau lagi. Dia hanya mengangguk sahaja atas apa sahaja pesanan Ji Hoon. Eun Hee tersenyum hambar.

          “ Maaf, kalau Eun Hee rasa abang dah kongkong Eun Hee.” Ji Hoon menyuarakan kekesalannya. Pantas Eun Hee menggeleng. Cukuplah dengan kerisauan suaminya kini. Dia tidak mahu menambah beban lelaki itu.

          Ji Hoon cuba mengukir senyum namun semuanya sia-sia. Dia menggeleng perlahan. Perasaannya mula tidak enak. Nafasnya terasa sesak memikirkan bahaya yang akan menimpa tanpa diduga kelak.


JI HOON membuka pintu D’Amour Cafe. Zachary sedang berbicara dengan salah seorang pekerjanya di kaunter. Mungkin membicarakan hal kerja. Ji Hoon hanya mengangguk lantas melambaikan tangan sekilas apabila Zachary menyedari akan kehadirannya. Zachary bergegas mendapatkan Ji Hoon di hujung kafe.

          “ Jadi... apa cerita kau semalam?” tanya Zachary tanpa sempat melabuhkan duduk terlebih dulu. Ji Hoon mula ketawa.

          “ Aku tahulah kau teruja sangat nak tahu, tapi duduklah dulu. Ini tak, belum apa-apa lagi kau dah serbu aku dengan soalan,” kata Ji Hoon. Zachary turut ketawa.

          “ Yalah, yalah. Aku duduklah ni.”

          Salah seorang pelayan di kafe itu mendekati mereka. Buku yang memaparkan kesemua jenis menu itu dihulurkan kepada Ji Hoon. Ji Hoon hanya menggeleng sahaja.

          “ Macam biasa,” pintanya. Pelayan itu hanya mengangguk. Macam biasa. Kopi hitam pekat panas dan sekeping kek keju. Menu yang sentiasa dipesan oleh Ji Hoon jika singgah di kafe Zachary sehingga semua pelayan di situ mengenalinya dan mengetahui menu kegemarannya.

          Telefon bimbit dikeluarkan daripada poket jean. Nama Eun Hee dicari sebelum dia menaip mesej. Ji Hoon senyum sendirian. Langsung tidak menghiraukan Zachary yang sudah tidak sabar menunggu dia bercerita.


          Tunggu abang balik.


          Butang Send ditekan. Ji Hoon senyum lagi.

          “ Ha... ceritalah cepat! Kau ni suka betul buat aku tertunggu-tunggu,” gesa Zachary tidak sabar. Ji Hoon termangu sebelum ketawa lagi. Lucu melihatkan gelagat Zachary yang tidak sabar-sabar. Telefon bimbit diletakkan di atas meja.

          “ Ya, aku nak ceritalah ni. Semalam, aku bawa dia ke pantai, macam aku rancanglah. Bukan ada apa-apa yang istimewa pun,” kata Ji Hoon mudah. Zachary menjegilkan matanya lantas kepala Ji Hoon diketuk kuat.

          “ Aduh!”

          “ Padan muka kau! Aku suruh cerita baik-baik, kau main-main pula!” Zachary meluahkan ketidakpuasan hatinya. Ji Hoon hanya mampu tersengih.

          “ Malulah nak cerita kat kau,” balas Ji Hoon. Zachary hanya mampu menggelengkan kepalanya. Nasiblah dapat kawan macam ni...

          Perbualan mereka terhenti seketika apabila pelayan tadi kembali dengan menu pesanan Ji Hoon. Secawan kopi panas juga dihidangkan pada Zachary. Seusai mengucapkan terima kasih, pelayan itu beredar.

          “ Kita tutup cerita pasal semalam dan aku nak tanya kau benda lain pula,” putus Zachary. Ji Hoon mengangkat kening. Kopi pekat itu dihirup perlahan.

          “ Apa cerita kau sekarang? Mereka masih syak kau dalang yang menggelapkan duit syarikat tu?” tanya Zachary. Ji Hoon tersentak. Cawan itu kembali diletakkan di atas piring. Keluhan berat terhembus. Dia mengangguk perlahan.

          “ Hal ni tak selesai lagi. Tapi, bukan tu yang aku bimbangkan sekarang ni.”

          “ Kau bimbangkan apa pula?” tanya Zachary pantas. Ji Hoon mengeluh lagi. Pandangannya dilontar keluar tingkap sekilas.

          “ Pasal Eun Hee.”

          Kening Zachary bertaut menjadi satu. Hairan mendengarkan kerisauan Ji Hoon. Rancangan semalam tak berjalan dengan lancar ke?

          “ Kenapa pula dengan dia?” tanya Zachary gusar.

          “ Aku bimbangkan keselamatan dia. Aku tak pernah lagi cerita kat kau, tapi benda ni dah lama. Perkara ni terjadi kat rumah Pak Cik Dam Shik,” kata Ji Hoon resah. Zachary tergamam.

          “ Apa yang dah jadi?” tanya Zachary perlahan. Ji Hoon menggelengkan kepalanya. Keluhan kedengaran lagi daripada bibirnya.

          “ Masa aku dan Eun Hee ke rumah Pak Cik Dam Shik, ada lelaki yang berpakaian serba hitam kat halaman belakang rumah Pak Cik Dam Shik dan Eun Hee jelas-jelas nampak takutkan dia. Muka dia nampak pucat sangat lepas nampak lelaki tu. Macam dia pernah jumpa dengan lelaki tu. Dan, pagi tadi... Aku... aku tahu yang dia tipu aku tapi aku nampak yang dia macam ketakutan... tergesa-gesa masuk ke dalam rumah lepas pulang dari pasar. Aku tak tahu nak buat macam mana. Aku tinggalkan dia kat rumah ni pun aku dah bimbangkan dia,” jelas Ji Hoon. Jelas nada resah dalam percakapannya. Zachary termangu.

          “ Kau tak tanya dia betul-betul?”

          “ Eun Hee tak nak cakap dan aku pun tak nak paksa dia. Sekarang aku cuma boleh minta dia benarkan aku teman dia kalau dia nak ke mana-mana. Aku risau... tapi aku tak tahu apa yang patut aku buat,” jelas Ji Hoon lagi. Dia menunduk.

          Zachary mengangguk perlahan. Dia faham perasaan Ji Hoon. Itu jugalah perasaannya terhadap mendiang Julie ketika mendiang isterinya ditimpa bahaya dulu. Memang jelas di matanya bahawa Ji Hoon benar-benar cintakan Eun Hee.

          “ Aku rasa... baik kau balik cepat,” kata Zachary perlahan. Ji Hoon mengangkat wajah. Wajah Zachary direnung hairan.

          Zachary mengukir senyum. “ Aku tahu kau risaukan dia dan aku percaya kau tak betah tinggalkan dia seorang diri kat rumah, kan? Jadi, aku rasa lebih baik kau balik cepat dan temankan Eun Hee kat rumah. Aku rasa kau akan lebih tenang kalau nampak Eun Hee depan mata kau.”

          Ji Hoon hanya mampu mengangguk. Kata-kata Zachary ada benarnya. Hatinya mula tidak tenteram tatkala menjejakkan kaki ke luar rumah dan meninggalkan Eun Hee berseorangan di rumah. Dia khuatir jika ada perkara buruk yang menimpa Eun Hee. Apatah lagi dia tidak berada bersama isterinya.

          “ Baliklah...”

          Mata Zachary masih melekat pada wajah Ji Hoon. Dibibirnya terukir senyuman.

          “ Baliklah. Aku tahu kau risaukan dia, kan?” kata Zachary lagi.

          Ji Hoon termangu. Perlahan-lahan dia mengangguk. Zachary senyum lagi.

          “ Aku doakan kau dan Eun Hee baik-baik saja. Dah, cepat balik. Kali ni aku belanja kau, tak payah bayar. Cepatlah!” gesa Zachary. Dia menarik Ji Hoon bangun lantas ditolak ke muka pintu kafenya. Ji Hoon tersengih.

          “ Terima kasih, Zack.”

          Zachary hanya mengangguk. Dia melambai sahaja kepada Ji Hoon yang sudah berjalan meninggalkan kafenya. Akhirnya, dia mengeluh perlahan.


JI HOON melangkah laju menyusuri jalan yang menghala ke rumahnya. Jalan yang dilaluinya lengang sahaja. Langkah dicepatkan. Tidak sabar-sabar sahaja mahu sampai ke rumah. Hatinya masih risau memikirkan akan keselamatan Eun Hee.

          Lama kelamaan, langkahnya beransur perlahan. Kepalanya menunduk ke bawah. Ji Hoon mengeluh berat. Memikirkan Eun Hee membuatkan dia mula terfikirkan suatu perkara. Suatu perkara yang penting buatnya.

          Adakah dia boleh melindungi Eun Hee selamanya dan adakah dia boleh melindungi Eun Hee sebaik mungkin?

          Ji Hoon sedar yang dia tidak mahu dan sesekali tidak akan mahu Eun Hee disakiti. Dia mahu gadis itu selamat disisinya. Tetapi, dia bimbang jika dia tidak mampu menjadi pelindung yang terbaik buat gadis itu. Ji Hoon khuatir keselamatan Eun Hee tidak terjamin dalam tangannya sedangkan dia mahukan yang terbaik buat isterinya.

          Dia berhenti melangkah. Kepalanya didongakkan ke langit. Sejenak, dia mendengar bunyi deruman enjin kenderaan sebelum...

          “ Arghhh!!!”

          Ji Hoon jatuh terdorong ke hadapan. Terasa kuat dia dilanggar dari belakang. Dia jatuh meniarap di atas tanah. Pandangannya mula menjadi tidak teratur. Imej di hadapannya mula bertindih-tindih. Samar-samar dia dapat melihat ada sebuah kereta memecut laju meninggalkannya di belakang. Ji Hoon mengerang kesakitan. Terasa ada cecair pekat mengalir daripada kepalanya. Pandangannya terus kabur. Dia seakan-akan dapat melihat wajah Eun Hee sedang tersenyum manis kepadanya dan... gelap.

          Eun Hee...
     

Saturday, August 13, 2011

Endless Love 30


EUN HEE berjalan menuruni tangga rumahnya. Kelihatan Ji Hoon di luar rumah. Lelaki itu sedang mencuci kereta kesayangannya. Eun Hee menguntum senyum. Dia berjalan perlahan-lahan mendekati Ji Hoon dari belakang lalu menutup kedua-dua belah mata suaminya dengan tapak tangannya.

         Tawa Ji Hoon pecah. Tahu benar siapa yang berada di belakangnya. Dia memegang tangan yang menutup pandangannya itu lalu menoleh ke belakang.

         “ Abang dah agak, siapa lagi manusia kat rumah ni selain Eun Hee,” kata Ji Hoon. Eun Hee ketawa tanpa suara.

         Eun Hee benar-benar gembira kini. Selepas peristiwa semalam, dia merasakan hatinya sudah lapang selepas mendengar kata-kata Ji Hoon semalam. Apa yang diharapkan kini hanyalah semuanya akan menjadi lebih baik daripada sebelumnya.

         Sedang Eun Hee asyik mengelamun, Ji Hoon menghala hos getah ke arahnya. Terkejut Eun Hee apabila melihat seluruh tubuhnya basah dengan air. Ji Hoon yang berada di sebelah sana kereta sudah galak mengetawakannya.

         “ Alala… comelnya dia.” Ji Hoon masih ketawa. Eun Hee mengetap bibir. Matanya menyeringai. Ada juga yang nak kena ni...

         Eun Hee pandang pada baldi berisi air sabun yang terletak berdekatan dengan tempatnya berdiri. Dia menyeringai lagi. Pandangannya kembali pada Ji Hoon yang masih galak ketawa. Tanpa suaminya sedari, tangannya mengambil baldi tersebut dan...

         Tawa Ji Hoon mati. Kali ini tubuhnya pula yang basah. Tetapi keadaan dia lebih teruk daripada Eun Hee, siap dengan air sabun lagi. Ji Hoon merenung wajah Eun Hee. Seolah-olah tidak bersalah sahaja lagaknya. Dia mengetap bibir.

         “ Eun Hee!”

         Alamak!

         Pantas Eun Hee berlari meninggalkan Ji Hoon. Kalau sempat ‘ditangkap’ oleh suaminya itu, pasti ada lagi perkara yang Ji Hoon akan lakukan. Namun, sepantas mana pun dia berlari, sempat juga dikejar oleh Ji Hoon. Terasa pinggangnya diraih dari belakang. Dia segera menoleh. Ji Hoon dah tayang muka jahat.

         “ Pandai nak kenakan abang ya? Mari sini abang kenakan balik,” kata Ji Hoon. Eun Hee tarik muka. Ji Hoon ketawa sakan. Tangannya dilepaskan daripada pinggang Eun Hee. Dia menggosok kepala isterinya lagak anak kecil. Perlahan-lahan Eun Hee mengukir senyuman.

         “ Kita dah sama-sama basah, adillah ya?” kata Ji Hoon. Hujung dagu isterinya dicuit. Eun Hee mengangguk dengan senyuman di bibir. Ji Hoon menarik isterinya ke arah kereta yang masih belum dicuci sepenuhnya.

         “ Mari tolong abang basuh kereta ni. Lepas ni, Eun Hee bersihkan diri dan kita keluar. Abang nak ke pusat beli belah, dah lama tak ke sana,” ucap Ji Hoon. Eun Hee mengangguk.

         Hos getah diserahkan kepada Eun Hee manakala Ji Hoon pula mencurah air sabun ke keratanya. Sesekali Eun Hee sengaja juga menghala hos itu ke arah suaminya. Kedengaran rungutan Ji Hoon setiap kali tubuhnya basah dengan air. Eun Hee hanya buat bodoh.

         Eun Hee menggigit bibir. Aliran air dibiarkan mengalir dengan lebih kuat. Sekali lagi hos paip itu dihala ke arah suaminya dan...

         “ Eun Hee!”

         Memang betullah kali ini dia kena selamatkan diri awal-awal lagi.


HYUN MIN ketawa sendirian sebaik sahaja dia menutup pintu keretanya. Dia berjalan menuju ke restoran milik Chae Rin. Kedua-dua tangannya dibawa ke belakang. Ada sesuatu yang dipegang olehnya.

         “ Hai,” sapa Hyun Min sebaik sahaja dia masuk ke dalam pejabat Chae Rin. Gadis itu sedang membaca majalah. Chae Rin mengukir senyum. Dia bangun daripada duduknya dan berjalan ke arah sofa. Hyun Min sudah melabuhkan duduk di situ.
 
         “ Kenapa datang?” tanya Chae Rin ceria. Hyun Min tersengih. Gembira dengan melihat wajah ceria gadis itu. Dia menghulurkan sesuatu kepada Chae Rin.

         “ Hadiah?” soal Chae Rin kehairanan. Hyun Min mengangguk.

         “ Bukalah. Harap kau suka,” balas Hyun Min. Chae Rin segera membuka kotak sederhana besar itu. Dia tergamam. Sehelai gaun malam dikeluarkan. Chae Rin merenung Hyun Min.

         “ Cantiknya, terima kasih. Tapi, kenapa tiba-tiba je ni? Nak kata hari lahir aku pun tak juga. Ada apa-apa ke ni?” tanya Chae Rin. Dahinya berkerut. Tiba-tiba sahaja Hyun Min muncul dengan hadiah untuknya.

         “ Tak adalah. Aku jalan-jalan kat pusat beli belah semalam, ternampak gaun ni. Manalah tahu kalau masa aku ajak kau ke butik tu gaun ni dah dibeli orang. Jadi, aku beli dan hadiahkan kat kau,” jawab Hyun Min mudah. Chae Rin ketawa perlahan. Dia menggelengkan kepalanya.

         “ Yalah tu. Apa pun, terima kasih.”

         Hyun Min mengangguk. Sebenarnya itu bukanlah alasannya yang sebenar. Sebenarnya, hari ini merupakan hari ulang tahun di mana mereka mula bergelar kekasih dahulu. Mungkin Chae Rin sudah lupa tetapi tidak Hyun Min. Tarikh itu masih kekal dalam ingatannya.

          Chae Rin berjalan ke arah pantri. Dua mug kopi dibawa ke ruang tengah. Hyun Min melabuhkan duduk di hadapan gadis itu. Mug kopi itu diletak di atas meja.

          “ Kau apa cerita sekarang? Sibuk uruskan resort?” Tanya Chae Rin. Hyun Min mengangguk. Kopi panas itu dihirup sedikit. Matanya masih tertumpu pada wajah gadis itu.

          “ Makin sibuk. Sejak Ji Hoon dikenakan tindakan buat sementara waktu ni, kerja-kerja yang selama ni diuruskan oleh dia, aku yang kena uruskan.”

          Wajah Chae Rin berubah riak. Dia cuba menyembunyikannya dengan meraup wajahnya tetapi Hyun Min lebih cekap mengesan perubahan mood gadis itu.

          “ Chae Rin?”

          Pantas Chae Rin menggeleng. “ Tak ada apa-apa.”

          Hyun Min mengeluh. “ Kau masih mengharap?”

          “ Aku tak nak cakap pasal ni. Kau tak boleh halang aku! Keputusan aku dah muktamad! Apa yang aku sumpah aku akan buat, aku akan tetap lakukannya!” keras Chae Rin bersuara. Hyun Min tersentak. Perlahan-lahan dia mengangguk.

          Chae Rin mengetap bibir. Rasa bersalah pula apabila memarahi Hyun Min sedemikian rupa. Dia mengepal kedua-dua tangannya.

          “ Boleh tinggalkan aku sendirian tak?” pinta Chae Rin. Suaranya direndahkan sedikit. Hyun Min hanya mengangguk. Dia bangun daripada duduknya.

          “ Baiklah,” jawab Hyun Min. Suaranya juga berubah menjadi perlahan. Tanpa menoleh ke belakang ditinggalkannya ruang pejabat Chae Rin. Chae Rin hanya memerhati lelaki itu menaiki kereta sebelum meninggalkan kawasan restoran tersebut.


KEDUA-DUA mata Eun Hee ditutup dengan tapak tangannya. Tangan gadis itu menggagau ke hadapan, bimbang jika terlanggar sesuatu dalam keadaan penglihatannya tertutup. Ji Hoon ketawa perlahan.

          “ Eun Hee jangan bimbanglah. Kalau ada benda kat depan tu dah tentu abang akan beritahu,” kata Ji Hoon dalam tawanya. Eun Hee tersenyum kecil. Betul juga.

          Ji Hoon melihat ke langit. Bintang-bintang sedang berkelipan di langit malam. Dia tersenyum. Harap-harap kejutannya kali ini berhasil. Perlahan-lahan dia membimbing Eun Hee berjalan. Risau juga jika gadis itu terjatuh. Terasa halus pasir di kakinya. Dia dan Eun Hee menanggalkan sandal mereka sebaik sahaja memasuki kawasan pantai. Entah di manalah Ji Hoon sorokkan sandal-sandal itu.

          Malam itu Eun Hee terpaksa mengikut sahaja perbuatan Ji Hoon. Ji Hoon yang berkeras mahu menutup mata Eun Hee. Katanya, dia ada kejutan buat isterinya. Kejutan apa tidak dapat Eun Hee pastikan. Yang pasti, Ryu Min tidak terlibat kali ini, berlainan ketika kejutan sempena hari lahirnya kelmarin.

          “ Kita dah sampai. Abang lepaskan tangan abang dan Eun Hee buka perlahan-lahan, ya?” bisik Ji Hoon. Eun Hee mengangguk. Tidak sabar rasanya mahu melihat kejutan yang lelaki itu sediakan untuknya. Hatinya mula berdebar-debar.

          “ 3… 2… 1… Buka.”

          Seperti yang diminta, perlahan sahaja Eun Hee membuka mata. Eun Hee tergamam sebaik sahaja dia melihat pemandangan di hadapannya. Kedua-dua tangannya menekup mulut, tidak percaya dengan apa yang dilihat di hadapannya. Pantas dia menoleh ke arah suaminya di sisi. Ji Hoon mengangguk.

          “ Abang nak tebus balik pasal majlis kelmarin. Kali ni abang dah masak dengan betul-betul. Zack yang jadi tukang pantau,” bisik Ji Hoon di telinga isterinya. Eun Hee tergamam. Dia meluruskan pandangan ke hadapan.

          Ada sebuah pondok kecil di hadapannya. Boleh dikatakan hampir keseluruhan pondok itu diletakkan dengan tanglung kecil yang berwarna merah. Di dalam pondok itu, ada sebuah meja bulat dengan dua tempat duduk. Pelbagai jenis makanan disediakan di atas meja bulat itu. Ada satu jambangan ros putih yang digandingkan dengan ros merah di atas meja itu.

          “ Mari kita masuk,” ajak Ji Hoon. Dia menarik isterinya masuk ke dalam. Sebuah kerusi ditarik sebelum Ji Hoon mempersilakan Eun Hee duduk. Jambangan ros putih-merah itu dihulur kepada Eun Hee. Senyuman tidak lekang daripada bibir Ji Hoon.         

          “ Untuk Eun Hee,” kata Ji Hoon romantis. Dahi isterinya dikucup perlahan sebelum dia mengambil sesuatu di bawah meja. Sebuah gitar. Dahi Eun Hee berkerut. Apa pula kali ni?

          Ji Hoon tersenyum. Tentu Eun Hee kehairanan saat ini.

          “ Kali ni, abang nak nyanyikan lagu untuk Eun Hee. Jangan Eun Hee terkejut pula kalau suara abang sedap mengalahkan Kim Tae Woo,” seloroh Ji Hoon. Eun Hee ketawa tanpa suara.

          “ Abang akan nyanyikan Forever Love nyanyian asal DBSK. Mungkin Eun Hee tak faham sebab lagu ni lagu Jepun, tapi abang akan terjemahkannya nanti, ya?” kata Ji Hoon. Dia pernah memberitahu Eun Hee tidak lama dahulu yang dia fasih berbahasa Jepun lantaran pernah belajar di negara itu. Eun Hee mengangguk. Tak kisahlah. Teringin juga mahu melihat kebolehan suaminya menyanyi.

          Ji Hoon menarik nafas. Tali gitar mula dipetik. Suaranya mula kedengaran dibawa angin pantai.

Ma asugu hutari o terashita yuuyake
kirame iteru
Ima made kanjita koto nai kurai, mune
no fukaku ga atsui
Hitori de mo heikisa nan te
iikikasenagara
Jibun ni uso o tsuite sugoshi dekita keredo
Kore kara wa kimi dake o hanasanai

Nan do mo, nan do mo, okuru yo kimi ga
sagashite iru mono
Mayoino subete o tokashite ikite yukou
Forever love

          Mata Ji Hoon melirik pada wajah isterinya. Dia menarik senyum.

Sakamichi nagai kageyosete
Nigitta te no kanshoku
Yasashiku yawarakaku setsunasa o
keshite yukumitaidatta
Don na miraiega iteru no?
Osanai koro no kimi no sugata o sora ni
Ukabete mitsuketa ichiban boshi
Ima kimi ni age you

Nan do mo, nan do mo, utau yo
Taisetsu na kimi no tame ni
Kono yode hitotsu no tashikana takara mono
Believe in love
You’re the only one forever

Tatoe donna toki datte mamorinuku jishin arusa
Kokoro ni sasatta toge o nuita nare
Daki atte hateshinai yume o miyou

          Tangan terus memetik gitar manakala kakinya berjalan ke arah Eun Hee. Ji Hoon tunduk sedikit. Dia mengucup ubun-ubun isterinya sebelum kembali menyanyikan lagu.

Nan do mo, nan do mo, kanae you
Kini ga nozomu koto subete
Kono yode hitotsu no tashikana kagayaki o
Believe in love

Nan do mo, nan do mo, okuru yo kimi ga
sagashite iru mono
Mayoino subete o tokashite ikite yukou
Futari de
You’re the only one forever


          Gitar dibawa ke tepi. Ji Hoon berjalan ke arah isterinya. Eun Hee ditarik ke atas.

          “ Okey tak abang nyanyi?” tanya Ji Hoon seraya merangkul tubuh Eun Hee. Eun Hee mengangguk sambil ketawa kecil. Siapa sangka waris tunggal sebuah syarikat besar pandai menyanyi?

          “ Kali ni abang nak terjemahkannya pulak,” bisik Ji Hoon. Dia membawa Eun Hee menghadap laut. Angin malam menyapa tubuh. Mata masing-masing lekat di langit malam.


Shining right before our eyes, the glittering sunset
Inside my chest, a profound love like nothing I have ever felt before
If I say to myself that I’m fine on my own, I’m telling a lie

I’ve been passing time like this, but from now on, you’re the only one I’ll never part from
Time and time again I'll send it to you, what you’re looking for
All your hesitation will melt away, let’s live and Forever Love

With shadows inching closer on a steep path, the feel of your clasped hand
It seemed like that gently, tenderly erased the pain

What kind of a future are you painting? The image of your young self
Finding the first star of the evening
Now, I’ll give it to you

Time and time again I’ll sing for you, my precious one
The single most undeniable treasure in this world, believe in love

You're the only love forever
      I’m confident that I’ll protect you forever
The thorns stuck deep within your heart
If they’re pulled out, I’ll hold you close
An endless dream

Time and time again I’ll grant it for you, everything that you wish for
The single most undeniable brilliance in this world, believe in love
Time and time again I’ll give it to you, what you’re looking for
All your hesitation will melt away and let’s live, together

You're the only love forever
         

         Ji Hoon menghela nafas. Dia melarikan jemarinya di rambut panjang Eun Hee.

          “ Abang tak pandai nak terjemahkannya dengan ayat puitis melalui Bahasa Korea. Tapi, abang tahu Eun Hee tahu kan apa yang abang katakan?” kata Ji Hoon. Eun Hee mengangguk.

          Dia amat memahami setiap kata-kata Ji Hoon ketika menerjemahkan lagu itu tadi. Bahasa Inggerisnya boleh dikatakan berada di tahap yang baik apatah lagi mendiang ibu Eun Hee pada asalnya merupakan seorang guru bahasa Inggeris di sebuah pusat tuisyen.

          Ji Hoon tersenyum. Dia memeluk isterinya dari belakang. Dagunya direhatkan di bahu Eun Hee. Matanya dipejamkan seketika.

          “ Abang maksudkan setiap kata-kata abang ketika abang nyanyikan lagu tu,” bisik Ji Hoon. Eun Hee tergamam. Dia mengangguk sedikit. Matanya dipejamkan. Cincin perkahwinan yang tidak pernah ditanggalkan oleh Eun Hee diusap perlahan.    


p/s: Hana akan start post citer ni pulak.. dah lama tak post.. and blog ni takkan ditutup.. thanks untuk yg kasi feedback :)  sorry takleh balas komen sorang2.. arigatou


春の花

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...