Ai no Kotoba

Colours make your life beautiful, melody makes your life rhythm and harmony makes your life a life - Hana

Semua karya dalam blog ini hak cipta terpelihara penulis. Anda tidak dibenarkan menciplak, me-copy, memplagiat atau with every means to copy it atau mengaku karya itu anda punya.
Semua karya tidak mempunyai kaitan dengan yang hidup mahupun yang sudah meninggal dunia.
Selamat membaca. Peace!

Watashi no Tomodachi :D

Entri Terbaru! Tengok Sini!

Saturday, January 1, 2011

Eternal 12



DARI hari ke hari, Ryuu makin mengetatkan pengawasan di kawasan sekitar bangunan kondominium yang didudukinya. Walaupun sehingga sekarang tiada apa-apa yang terjadi tetapi dia masih menaruh syak terhadap Takuji. Anggapannya bahawa Takuji akan membalas dendam melalui Sakura masih kuat dalam dirinya. Sakura? Masih tidak diberitahu apa-apa berkenaan dengan lelaki yang dilihatnya tempoh hari kecuali pesanan agar jangan sesekali mendekati lelaki yang dilihatnya itu.

          Waktu masih di awal pagi, jam baru sahaja berdenting menandakan pukul 4 pagi. Ryuu berkalih ke kanan. Baringnya di atas katil terasa tidak selesa. Dia menghadap ke kiri pula. Mindanya terasa berserabut. Akhirnya dia memilih untuk baring menelentang menghadap siling putih. Walaupun tetap berasa tidak selesa, kali ini Ryuu buat tidak peduli. Dia resah kini.

          Suatu keluhan berat terhembus. Dia jarang begini. Tetapi dirasakan hatinya amat gelisah. Dia tidak tahu bagaimana untuk menzahirkannya. Tetapi nalurinya kuat mengatakan bahawa bahaya akan menimpa. Dan fikirannya kini hanyalah tertumpu pada Takuji. Anak lelaki Tuan Sakate itu nekad dalam usaha untuk membalas dendam terhadapnya.

          Walaupun setiap tindakan Takuji dipandang remeh, namun kali ini berlainan sekali apatah lagi memikirkan kemungkinan Sakura akan turut terheret dalam perperangan antara mereka berdua. Peperangan bagi Takuji untuk menuntut kembali maruahnya yang terasa diinjak-injak oleh Ryuu lantaran dirinya yang sentiasa kalah pada lelaki itu. Peperangan bagi Ryuu yang menganggap Takuji sebagai penghalangnya kini. Peperangan antara mereka berdua.

          Ryuu bangkit daripada pembaringannya lalu turun daripada katil. Dia mengatur langkah menuju ke almari pakaiannya. Pintu almari dibuka. Dia mencari sesuatu yang disorokkan di sebalik lipatan pakaiannya. Sebuah kotak berwarna hitam sebesar kotak cincin dibawa keluar. Penutup kotak itu dibuka. Senyumannya ditarik seketika sebaik sahaja matanya menjamah isi kotak kecil itu.

          Ryuu kembali duduk di birai katil. Lama dia memerhatikan kotak hitam kecil itu. Mindanya mula merangka sesuatu. Sejurus, laci meja kecil di sisi katil ditarik. Kotak hitam itu menjadi penghuni di situ. Ryuu kembali merebahkan badan ke atas katil.


USAI menyiapkan diri, Sakura keluar dari biliknya menuju ke dapur. Dia ingin menyiapkan sarapan. Rambut panjangnya diikat tinggi sebelum memulakan kerjanya. Jika tidak memasak, dia lebih senang membiarkan sahaja rambutnya itu lepas bebas.

          Pagi ini dia bercadang menyediakan sup miso dengan natto sahaja, sarapan rasmi kebanyakan masyarakat Jepun yang berasaskan kacang soya. Bahan-bahan dibawa keluar daripada peti sejuk. Sejurus itu Ryuu masuk ke dapur. Dia mengambil segelas air suam tanpa menegur gadis itu. Sakura meneruskan kerjanya. Tiada niat untuk menyapa lelaki itu. Sup miso di dalam periuk dikacau. Dia berpaling ke belakang.

          “ Ry… Ryuu,” ucap Sakura terkejut. Terkejut apabila melihat lelaki itu berdiri hampir di belakangnya. Ryuu tidak menunjukkan reaksi apa-apa. Gelas di tangan diletakkan di atas kaunter dapur.

          “ Aku pergi dulu,” ucap Ryuu perlahan.

          “ Tak nak sarapan dulu?” tanya Sakura. Matanya melihat pada jam di dinding dapur. 5.15 pagi. Masih terlalu awal. Biasanya, bila menginjak hampir pukul 6.00 pagi barulah suasana di bandar riuh dengan orang ramai yang bergegas menuju ke destinasi masing-masing.

          Pantas Ryuu menggeleng. “ Tak apalah.”

          Sakura mengangguk perlahan. Nampaknya, dialah yang terpaksa menghabiskan kesemua sarapan yang disediakan. Hmmm…

          Eh?

          Sakura terkesima apabila merasakan dia berada dalam pelukan Ryuu. Mukanya berubah menjadi merah serta merta. Kejap Ryuu memeluk gadis itu. Mulutnya dibawa rapat ke telinga Sakura. Desah nafas Ryuu terasa bagaikan menggetarkan jiwa. Sakura malu sendiri. Pantas dia mengusir perasaan yang mula bertandang di hatinya.

          “ Jaga diri,” bisik Ryuu perlahan.

          Sejurus itu dia berlalu ke ruang tamu tanpa memandang wajah Sakura. Langkahnya terus keluar dari unit kondominiumnya. Sakura terpinga-pinga keseorangan di dapur. Pipinya terasa panas. Dia kehairanan dengan perilaku Ryuu sebentar tadi. Belum pernah lagi Ryuu berkelakuan sedemikian. Berulang kali Sakura menggelengkan kepalanya. Bayangan peristiwa tadi cuba disingkir jauh namun dia gagal. Bayangan ketika Ryuu menariknya ke dalam pelukan tadi terus menerus muncul di mindanya. Wajahnya bertambah merah.


PAK CIK UKIE masuk ke dalam pejabat Ryuu setelah mendengar suara dari dalam memberi kebenaran masuk. Pintu ditolak lantas dia mengatur langkah ke arah Ryuu yang sedang berdiri di tepi tingkap. Ryuu tidak berkalih pandang daripada pemandangan luar. Pak Cik Ukie tunduk memberi hormat.

          “ Ada apa-apa berita terkini?” tanya Ryuu. Pak Cik Ukie mengangguk.

          “ Pergerakan Jiro dalam organisasi Gorou mengundang curiga. Mereka seolah-olah merancang sesuatu. Pak cik bimbang kalau-kalau Jiro memujuk Gorou untuk berkerjasama dengan mereka demi menghapuskan kita,” lapor Pak Cik Ukie. Suaranya jelas menggambarkan kebimbangannya. Ryuu mengangguk sekilas. Kali ini dia berpusing ke belakang. Wajah tua itu direnung.

          “ Saya tak akan benarkan perkara itu berlaku, pak cik,” tegas Ryuu bersuara. Pak Cik Ukie terangguk-angguk. Setiap kata-kata Ryuu ibarat janji yang akan ditepati. Dan dia amat mempercayai bakat kepimpinan lelaki itu.

          “ Err… tuan. Macam mana dengan Cik Haruno sekarang?” sambung Pak Cik Ukie. Wajah Ryuu berkerut serta merta. Dia menghela nafas melepasi rengkung. Dia kembali menghadap tingkap. Sebelah tangannya diletakkan pada dinding. Dia menunduk.

          “ Dia okey…”

          “ Tuan?”

          Pak Cik Ukie mula gusar. Daripada nada percakapan Ryuu, dia dapat mengagak bahawa ada sesuatu yang sedang difikirkan anak muda itu. Sesuatu yang terasa berat membebankan minda. Bahu Ryuu disentuh lembut. Ryuu berkalih sedikit. Wajah Pak Cik Ukie kembali menjamah pandangan.

          “ Takuji dah tahu pasal kewujudan Sakura,” jelas Ryuu. Kelopak mata Pak Cik Ukie membesar. Dia tidak terkata-kata. Masalah dah tiba, getus Pak Cik Ukie. Wajahnya berubah serius. Pak Cik Ukie menanti kata-kata Ryuu yang seterusnya. Lama Ryuu mendiamkan diri. Tidak pasti apa yang harus dikatakan sekarang. Dia memejamkan mata. Lama.

          “ Saya bimbang Jiro akan mula bertindak dengan menggunakan Sakura sebagai sasaran untuk membalas dendam,” tutur Ryuu. Dia masih tidak membuka kelopak matanya. Pak Cik Ukie mengangguk. Ini sememangnya perkara yang serius. Takuji benar-benar nekad dalam tindakannya untuk melunaskan dendam antara mereka berdua dan kali ini dia pasti, gadis yang tidak bersalah itu akan menjadi mangsa. Yakuza tidak akan mengenal orang apabila bertindak. Kanak-kanak kecil turut dibunuh jika terasa perlu.

          “ Apa tindakan tuan sekarang?” soal Pak Cik Ukie.

          Matanya dibuka kembali. Ryuu merenung wajah tua itu.

          “ Saya cuma arahkan anggota kita melakukan pantauan dengan kerap di kawasan sekitar kondo saya, pak cik.”

          Pak Cik Ukie menunduk. Dia turut mengeluh berat.

          “ Harap-harap semuanya selamat.”

          Ryuu mengalih pandang ke luar tingkap. Deringan telefon bimbit mula kedengaran. Pantas telefonnya diangkat. Suara anak buahnya kedengaran di hujung talian. Wajahnya berubah serius. Itu suara Junichi, lelaki yang diarahkan mengetuai kumpulan untuk mengawasi kawasan kawasan tempat tinggalnya. 

          “ Kenapa?” Ryuu bersuara tegas. Pak Cik Ukie yang mendengarnya mula berasa gelisah. Seakan-akan ada perkara yang buruk telah terjadi.

          “ Kami dapati kereta Tuan Muda Sakate berlegar-legar berhampiran kawasan ini. Sudah lama kami perhatikan, tuan,” jelas Junichi tanpa berlengah-lengah lagi. Wajah Ryuu berubah riak. Sebelah tangannya dikepal kuat.

          “ Teruskan pemerhatian,” arah Ryuu. Nadanya perlahan walaupun terasa api mula membakar dalam dirinya. Kedengaran suara Junichi membalas. Talian dimatikan serta merta.

          “ Kenapa, tuan?” tanya Pak Cik Ukie. Ryuu mengerling pada lelaki tua itu melalui ekor matanya.

          “ Kereta Takuji berlegar-legar di kawasan kondo,” tutur Ryuu perlahan. Riak Pak Cik Ukie berubah terkejut. Ramalannya ternyata tepat. Sesuatu yang buruk bakal terjadi tidak lama lagi.


SAKURA termengah-mengah. Dia melihat pada bangunan kondominium yang setinggi 15 tingkat itu. Tangannya yang terasa lenguh ditautkan. Dia duduk bersandar pada dinding bahagian belakang bangunan itu. Terketar-ketar tubuhnya kerana menahan ketakutan daripada menguasai diri. Pernafasannya tidak teratur.

          Sakura menekup muka. Langsung tidak menyangka bahawa dia akan berani memanjat turun daripada tingkat 10 kondominium itu sehingga kakinya menjejak bumi melalui saluran paip yang bersambung berhampiran dengan balkoni kondominium Ryuu. Jikalau tersilap langkah ketika menuruni saluran itu tadi boleh mengundang maut. Tetapi Sakura sudah nekad.

          Sesuatu telah terjadi dan dia harus menyelamatkan dirinya. Dia sudah lupa akan pesanan Ryuu. Lupa akan segala pesanan dan titipan lelaki itu kepadanya. Seawal 9.00 pagi tadi…


          Terhenti pergerakan Sakura yang sedang leka mengemop lantai apabila mendengar bunyi loceng pintu dibunyikan. Dia merenung pada pintu itu. Takkanlah Ryuu… awal lagi ni. Tak pernah dia balik seawal ni, bisik Sakura sendirian. Dia mengatur langkah menuju ke pintu. Bunyi loceng kedengaran sekali lagi. Tanpa berfikir panjang Sakura membuka pintu.

          Langsung tiada kelibat Ryuu atau sesiapa di hadapan pintu. Kening Sakura berkerut. Tidak tahu siapa yang ingin mempermain-mainkannya. Dia menjenguk ke luar. Mataya melilau ke sekitar koridor tertutup itu. Langsung tiada orang di kawasan itu. Unit kondominium yang dibeli Ryuu terletak di hujung bangunan. Mata Sakura berlabuh pada lantai. Ada sebuah bungkusan yang sederhana besar saiznya diletakkan di situ. Sekali lagi kehairanan menerjah diri Sakura. Dia membongkok untuk mengambil bungkusan yang berbalut kemas itu. Pintu kembali ditutup.

          Sakura melangkah ke ruang tamu. Bungkusan di tangan diperhatikan. Dia menggeleng-gelengkan kepalanya. Tertera namanya di hadapan bungkusan tersebut tanpa nama pengirim. Lincah tangan Sakura mula membuka bungkusan itu. Penutup kotak dibuka.

          “ Arghhh!!!”

          Kotak itu terlucut daripada tangan Sakura yang mula menggigil ketakutan. Dia melihat pada kotak itu. Isi kotak itu terkeluar setelah terjatuh ke lantai. Bangkai ular yang berdarah tercampak tidak jauh daripada kotak tersebut. Sakura terundur ke dinding. Nafasnya turun naik. Ketakutan benar-benar menguasai dirinya.

          “ Si… siapa?” kata Sakura terketar-ketar. Lebat air matanya menuruni pipi. Siapa yang mengirim bungkusan sebegini kepadanya? Dia langsung tidak dapat memikirkan sesiapa yang mungkin dapat disyaki. Dia tidak percaya Ryuu yang melakukannya. Lelaki itu takkan tergamak melakukan perkara seperti itu kepadanya.


          Mata Sakura tertancap pada sehelai kertas yang terletak tidak jauh daripada bangkai ular itu. Terketar-ketar dia melangkah untuk mendapatkan kertas itu. Cuba menaikkan semangatnya yang luntur secara tiba-tiba akibat kejutan tadi. Helaian kertas itu diambil . Bulat matanya sebaik sahaja isi kertas itu selesai dibaca. Tinta merah seakan darah menghiasi kertas putih itu.


          JAUHI RYUU DAN URUSAN YAKUZA! KAU TAK AKAN SELAMAT BUAT SELAMA-LAMANYA. JIKA BUKAN RYUU YANG MEMBUNUH KAU, AKU YANG AKAN MEMBUNUH KAU. AKU!



          Kertas itu turut dilempar ke tepi. Sakura semakin tidak keruan. Dia terduduk menyandar pada dinding lantaran terlalu takut. Isi surat itu benar-benar menghancurkan semangatnya. Sedikit sebanyak Sakura termakan dengan kata-kata dalam surat itu. Pelbagai bayangan menakutkan mula hadir dalam mindanya. Dia keliru dalam mencari jawapan. Sama ada patut atau tidak melarikan diri demi menyelamatkan nyawanya.

          Sakura bingkas bangun. Air mata yang membasahi pipi dikesat pantas. Dia tidak boleh berlengah. Segala kemungkinan boleh terjadi. Dia harus menyelamatkan diri! Semangat yang hilang tadi lantaran kejutan yang muncul akibat bungkusan yang diterima secara misteri itu diganti dengan suatu semangat yang baru. Dia mengatur langkah pantas ke balkoni. Dia melihat ke bawah. Tiada orang. Kaki mula memanjat ke beranda. Agak sukar kerana dia memakai skirt paras betis namun tidak dihiraukannya.

          Saat dia mengangkat sebelah lagi kakinya, pasu bunga yang menghiasi balkoni itu terjatuh dan retak kerana terlanggar kakinya. Sakura tidak peduli. Dia benar-benar tidak peduli! Batang paip yang terletak agak jauh dicapai. Hampir-hampir sahaja di tergelincir ketika mula memanjat paip itu. Dia menelan liur. Rasa gerun mula hadir. Perlahan-lahan dia memanjat turun melalui saluran paip yang menghubungkan dari tingkat 15 sehingga ke tingkat satu.


         Berulang kali Sakura menggelengkan kepalanya. Cuba mengusir bayangan menakutkan peristiwa pagi tadi menguasai mindanya. Perlahan-lahan dia bangun daripada duduknya. Dia harus segera keluar dari kawasan kondominium ini. Sakura cuba berlagak tenang ketika melalui pos pengawal. Ketika pengawal itu ramah bertanya ke mana dia ingin pergi lantaran kelihatan bersendirian, hanya dikatakan mahu keluar ke bandar. Kawasan kondominium itu ditinggalkan.

          Sakura tercatuk di perhentian bas yang terletak berdekatan dengan kawasan kondominium itu. Perhentian bas itu kosong tanpa orang. Dia hanya menunduk merenung lantai, memikirkan apa yang patut dilakukan sekarang. Tidak tahu arah mana yang harus dituju. Sakura sendiri tidak biasa dengan kawasan bandar metropolitan ini. Seumur hidupnya, dia tidak pernah menjejakkan kaki ke Tokyo. Tempatnya hanyalah di Numazu, sebuah kawasan yang terletak sejauh 130 kilometer  dari Tokyo. Dia hanya sehelai sepinggang. Ada sepasang kaki berhenti betul-betul di hadapannya. Sakura mengangkat wajah. Dia terkejut.

          “ Sila ikut saya.”

          Seorang lelaki yang mengenakan sut hitam sedang berdiri betul-betul di hadapannya. Wajah lelaki itu kelihatan bengis dengan parut di pipi. Sakura mula menggeletar. Dia bangun untuk melarikan diri namun usahanya gagal. Lelaki itu berjaya mencengkam kuat lengannya. Rontaannya tidak mampu membantu dia melepaskan diri.

          “ Sila berikan kerjasama yang baik,” tutur lelaki itu perlahan. Muncung pistol dikeluarkan sedikit daripada kot hitam yang dipakai. Sakura menelan liur. Laras pistol ditarik.


KUAT hempasan pintu pada dinding. Langkah Ryuu pantas memasuki kediamannya. Dia berlari ke ruang tamu. Di situ, dia terperanjat apabila melihat ada bangkai seekor ular yang masih berdarah di ruang tamu. Perhatiannya tertumpu pada helaian kertas yang berada di atas lantai. Pantas helaian kertas itu diambil.

          “ A… apa?” terketar-ketar suaranya. Isi surat itu dibaca sekali lagi sebelum dikeronyok lantas dibuang ke lantai. Hatinya benar-benar panas. Suara Ryuu bergema memanggil Sakura namun langsung tiada sahutan. Angin yang masuk melalui balkoni menarik perhatiannya. Mata Ryuu tertancap pada sebuah pasu yang tergolek ke lantai. Ada sedikit retakan pada pasu itu. Ryuu mengatur langkah ke balkoni pula. Ternyata Sakura melarikan diri melalui balkoni. Pastinya gadis itu memanjat menuruni bangunan melalui saluran paip. Ryuu menghela nafas kasar. Dia tidak menyangka bahawa gadis itu akan senekad itu.

          Mata Ryuu liar melihat ke bawah bangunan melepasi kawasan kondominium mewah itu. Umpama mata haiwan pemangsa yang sedang mencari mangsanya. Nalurinya kuat mengatakan bahawa gadis itu masih berada di kawasan sekitar. Matanya terhenti pada kawasan perhentian bas. Serentak dengan itu telefon bimbitnya berdering. Telefon diangkat tanpa melepaskan pandangan daripada perhentian bas itu. Sebuah kereta berwarna hitam berhenti betul-betul di hadapan perhentian bas itu.

          “ Tuan, kami nampak kereta tu berhenti di hadapan perhentian bas,” lapor Junichi. Dia dan beberapa orang rakan-rakan sekumpulannya masih memerhatikan kereta yang dikatakan milik Takuji. Mereka memberhentikan kereta agak jauh daripada kereta hitam itu bagi mengelakkan pergerakan mereka dikesan.

          Nafas Ryuu mendesah. Benar sangkaannya. Kereta hitam yang berhenti di hadapan perhentian bas itu sememangnya milik Takuji. Sejurus kemudian, dia melihat seorang lelaki yang berpakaian serba hitam sedang mengheret seorang gadis masuk ke dalam kereta. Gadis itu meronta untuk melepaskan diri namun usahanya gagal. Gadis itu dihumban masuk ke dalam kereta. Dan Ryuu percaya, gadis itu adalah Sakura.

          “ Ekori mereka. Aku akan ikut dari belakang,” arah Ryuu. Emosinya yang terasa tidak terkawal cuba ditahan. Dia kembali tenang.

          “ Baiklah, tuan!”

          Ryuu bergegas keluar dari kediaman lalu menuju ke arah keretanya. Dia menekan-nekan sesuatu pada telefon bimbitnya. Suatu peta muncul di hadapan skrin. Ada titik merah yang bergerak pada peta sekitar Tokyo itu. Ryuu menekan gear. Takuji memang sengaja mencari nahas!



p/s: Selamat Tahun Baru 2011. harap2 tahun ini akan lebih baik dari sebelumnya. amin... :)

4 comments:

OkiE a.k.a WitcH said...

1. saya terperasaan sekejap dgn scene Sakura dgn Ryuu..hehe..sorry...:)

2. Itu perbuatan Takuji, ka? arap2, Takuji dgn Ryuu ble b'kerjasama nti...

overall:
Waiting for the next n3!

fallenmoon ( Liya Zafrina ) said...

Aaaa...tidak! Ryuu selamatkan Sakura!

Adam said...

:) Slmt taun baru gak hana. Good luck exam nnti! You can do it! Hwaiting.

Nnti dah free sket, tulis lg ye. =D

Anonymous said...

ala best nyer..
bila nk sambung ni??

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...