Ai no Kotoba

Colours make your life beautiful, melody makes your life rhythm and harmony makes your life a life - Hana

Semua karya dalam blog ini hak cipta terpelihara penulis. Anda tidak dibenarkan menciplak, me-copy, memplagiat atau with every means to copy it atau mengaku karya itu anda punya.
Semua karya tidak mempunyai kaitan dengan yang hidup mahupun yang sudah meninggal dunia.
Selamat membaca. Peace!

Watashi no Tomodachi :D

Entri Terbaru! Tengok Sini!

Saturday, February 5, 2011

Eternal 13


SENYUMAN sinis Takuji bergayut di wajah tatkala melihat wajah gadis yang sedang menggigil ketakutan itu. Sakura terduduk di atas lantai gudang terbiar itu sambil diperhatikan oleh Takuji dan beberapa orang suruhan lelaki itu. Tubuh Sakura menggigil teruk. Dapat dirasakan dia akan menemui ajalnya sebentar lagi. Takuji berjalan mendekati gadis itu. Pantas Sakura tunduk apabila Takuji duduk bercangkung di hadapannya. Dia benar-benar takut. Tidak sanggup rasanya menatap wajah bengis lelaki itu.


          “ Kau memang bodoh. Senang betul terperangkap. Tapi, kebodohan kau tu memudahkan urusan aku,” ujar Takuji perlahan. Dia merapatkan bibirnya dengan telinga gadis itu. Sakura mengelak apabila terasa nafas hangat lelaki itu mengenai wajahnya. Takuji ketawa sinis. Sebelah tangannya membelai rambut panjang Sakura. Sekali lagi gadis itu mengelak. Tidak selesa dengan perlakuan lelaki itu.

          “ Jadi… kaulah gadis yang tinggal dengan Ryuu?” soal Takuji. Nadanya perlahan dengan senyuman sinis di bibir. Sakura memejam matanya rapat-rapat. Dia menunduk. Langsung tidak menjawab pertanyaan Takuji.

          “ Macam mana kau boleh tinggal dengan dia?” Takuji mengubah soalan apabila melihat gadis itu hanya menunduk mendiamkan diri. Sekali lagi soalannya dibiarkan berlalu tanpa sebarang jawapan. Takuji mula naik berang. Rambut Sakura direntap kasar. Teriakan gadis itu tidak dihiraukan. Anak-anak buah Takuji hanya mendiamkan diri. Membiarkan sahaja kekejaman itu berlaku.

          “ Kau ni bisu ke? Aku tanya elok-elok kau tak jawab pulak!” bentak Takuji. Nadanya berubah serta merta. Kemarahannya memuncak apabila terasa diperbodohkan oleh gadis itu hanya kerana soalan-soalannya tidak dijawab. Sakura meraung kesakitan. Sekali lagi rambut Sakura ditarik kasar. Air mata Sakura berlinangan. Takuji ketawa sinis.

          “ Kau fikir kau perempuan aku akan kasihankan kau? Macam tu? Kau memang bodoh! Aku tak akan sesekali buat macam tu,” tutur Takuji sinis. Tubuh Sakura ditolak kasar ke belakang. Gadis itu tertiarap jatuh. Dia termengah-mengah. Perlahan-lahan Sakura cuba bangun namun kesakitan terasa ke segenap urat saraf. Dia benar-benar lemah.

          Takuji bangun dan mendekati gadis itu. Ketika Sakura ingin bangun, satu sepakan kuat hinggap pada perut gadis malang itu. Sakura jatuh ke lantai sekali lagi. Tangannya menekan perut yang terasa sakit. Takuji berdiri di hadapan gadis itu. Wajah gadis itu direnung bengis. Sakura bangun. Sebelah tangannya menekan perut yang masih terasa sakit manakala sebelah lagi menongkat pada lantai. Nafasnya turun naik.

          “ Perempuan hanyalah mainan kami,” kata Takuji serentak disambut oleh tawa  pengikut-pengikutnya. Mata Sakura bulat mendengarkan kata-kata itu. Itu bukannya petanda yang baik. Dia mengengsot  sedikit, berundur ke belakang. Takuji ketawa kuat. Dekahan tawanya sekali lagi disambut para pengikutnya.

          “ Aku akan bunuh kau… selepas kau layan aku. Aku rasa, Ryuu akan ‘gembira’ dengan apa yang aku lakukan,” putus Takuji. Tergesa-gesa Sakura mengengsot ke belakang. Perilakunya disambut dengan tawa kuat Takuji. Langkahnya semakin menghampiri gadis itu.

          Air mata Sakura semakin galak mengalir bagaikan hujan lebat yang membasahi bumi. Wajah dingin Ryuu mula bermain di minda. Sejuta penyesalan meresap ke dalam hati lantaran kebodohannya termasuk ke dalam perangkap Takuji. Jika dia mengikuti arahan Ryuu, sudah pasti dia tidak ditangkap oleh Takuji. Jika dia mengikuti arahan Ryuu, sudah pasti kini dia selamat berada dalam kondominium. Jika dia…

          Ryuu… tolong… tolong saya…

          Sakura memeluk kedua-dua lututnya lantas kepalanya disembam ke bawah. Terasa tangan Takuji mula memegang bahunya. Dia tidak boleh berkata-kata apatah lagi menjerit. Suaranya bagaikan sudah tersekat di kerongkong. Ryuu… tolong saya…

          Bam!

          Bunyi kuat yang terhasil akibat tembakan itu menarik perhatian mereka semua. Takuji dan pengikut-pengikutnya menoleh ke arah pintu gudang lama itu. Beberapa orang Jiro yang berkawal di luar dihumban masuk ke dalam. Mereka sudah tidak bernyawa. Darah merah mengalir daripada dahi masing-masing. Mata mereka terbelalak menandakan mereka mati dalam keadaan yang menyeksakan.

          Wajah Takuji berubah riak apabila melihat Ryuu menerjah masuk diikuti oleh anggota-anggotanya. Takuji bingkas bangun. Sakura yang masih ketakutan, mengangkat wajah perlahan-lahan. Wajah Ryuu kabur dalam linangan air mata.

          “ A… apa kau buat kat sini?” terketar-ketar suara Takuji menyoal lantang. Langsung hilang kebengisan yang dia pamerkan pada Sakura tadi. Ryuu tidak menunjukkan riak apa-apa. Dia hanya memandang Takuji dengan mata aisnya. Sebelah tangannya diangkat, mengarahkan para pengikutnya mula bertindak. Arahan segera dipatuhi.

          “ Tak guna kau!”

          Takuji menarik pistol yang tersisip di pinggang. Laras pistol ditarik sebelum picu ditekan. Muncung dihalakan kepada Ryuu namun Ryuu cekap mengelak tembakan itu. Dia menerpa ke hadapan sebelum menghentak kuat bahu Takuji. Takuji terdorong ke belakang lantas jatuh ke lantai. Giliran Ryuu pula menghalakan muncung pistolnya.

          “ Kau fikir kau boleh selamatkan dia?” sinis Takuji berkata dalam menahan kesakitan. Dia berguling menyorokkan diri di sebalik kotak kayu yang besar yang masih terdapat dalam gudang lama itu. Niat Ryuu untuk bertindak mengejar lelaki itu terhenti apabila seorang anggota Jiro menyerangnya daripada belakang. Ryuu pantas menoleh.

          “ Kau nak mati?” perlahan suara Ryuu menyoal. Wajah anggota Jiro itu membengis. Seolah hilang pertimbangan, lelaki Jiro itu berlari menerpa ke arah Ryuu dengan pedang samurai di tangan. Ryuu berundur sedikit sebelum mula menerpa ke arah lelaki itu. Sebelum sempat pedang samurai itu melukakannya, tangan Ryuu pantas menepis tangan lelaki itu. Pedang samurai yang berat itu terpelanting ke lantai. Lelaki itu berubah panik.

          “ Selamat tinggal,” ucap Ryuu perlahan. Tembakan yang dilepaskan tepat mengenai dada kiri lelaki itu. Lelaki Jiro itu terundur ke belakang sebelum jatuh tepat di hadapan Sakura. Sakura menjerit ketakutan. Kuat sehingga membingitkan telinga apatah lagi dalam suasana yang sudah sedia riuh.

          Tergesa-gesa dia berundur ke belakang. Takut melihat mayat lelaki yang mati ditembak di hadapannya. Kedua-dua tangannya terketar-ketar menutup mulut. Apa yang sedang disaksikannya kini umpama suatu mimpi buruk. Mayat sudah banyak bergelimpangan dalam gudang usang itu. Darah merah memercik ke merata-rata tempat.

          “ Sakura…” Ryuu ingin mendapatkan gadis itu namun langkahnya terhenti apabila merasakan bahu kirinya terasa perit. Darah mengalir daripada bahu kirinya. Pantas Ryuu menoleh ke belakang. Takuji sedang berdiri di hadapannya dengan senyuman menggila di bibir. Kedua-dua tangannya memegang pistol yang dihalakan kepada Ryuu. Sebutir peluru telah menembusi bahu kirinya dan terbenam di situ.

          Esakan Sakura semakin menjadi-jadi. Ryuu sedang membelakanginya dan sedang berhadapan dengan lelaki yang menculiknya tadi. Runtun hatinya melihat darah yang mengalir dari bahu kiri Ryuu. Suaranya serak menyeru nama lelaki itu.

          “ Kau memang sengaja cari nahas dengan aku, kan?” tutur Ryuu tenang seakan-akan tidak terkesan dengan perit akibat luka di bahu. Senyuman di wajah Takuji mati apabila melihat musuh ketatnya itu masih lagi kelihatan tenang walaupun sudah mengalami kecederaan. Pegangannya pada pistol dikuatkan. Kelihatan tangannya menggigil.

          “ Kau dah silap orang kalau kau fikir aku boleh dikalahkan,” kata Ryuu lagi. Dia turut mengangkat pistol. Serentak Ryuu dan Takuji menekan picu pistol. Dua butir peluru dimuntahkan daripada dua pucuk pistol yang berasingan dan…

          Ryuu beralih ke tepi namun Takuji tidak sempat mengelak. Tembakan Ryuu terlalu pantas lalu mengenai bahagian dada kirinya. Darah keluar membuak-buak daripada dada dan mulut Takuji seakan-akan tidak mahu berhenti. Takuji terduduk di hadapan Ryuu. Mukanya berkerut menahan sakit. Takuji rebah tidak sedarkan diri. Ryuu membuat andaian bahawa lelaki itu telah di mati di tangannya. Apatah lagi melihatkan pelurunya tepat mengenai dada kiri Takuji.

          Ryuu menghela nafas. Walaupun sudah tenang kini namun tiada segaris senyuman pun terukir di wajahnya.Dia melihat ke sekeliling gudang itu. Hampir kesemua anggota Jiro sudah tidak bernyawa lagi manakala yang lain hanyalah nyawa-nyawa ikan. Seorang dua anggotanya turut terbunuh namun tidak meninggalkan kesan apa-apa dalam dirinya. Dalam pertempuran sesama yakuza, yang ada hanyalah kalah mati. Musuh yang kalah tidak akan dibenarkan hidup.

          Ryuu segera menoleh ke belakang apabila mendengar namanya diseru perlahan. Sakura masih terduduk di atas lantai. Gadis itu duduk memeluk lutut. Lebat air mata Sakura mengalir menuruni pipi melalui kelopak mata yang ditutup. Pantas dia mendekati gadis itu. Ryuu menjatuhkan satu kepala lututnya ke bawah manakala satu lagi diangkat paras dagu. Dia menyentuh rambut Sakura. Sentuhan lembut itu mendorong Sakura untuk membuka mata.

          “ Sakura…”

          Panggilan Ryuu mati di situ apabila kedua-dua tangan Sakura merangkul lehernya. Erat gadis itu memeluk dirinya. Bahu Ryuu basah dengan air mata gadis itu. Sakura teresak-esak dalam pelukan. Ryuu tergamam. Setelah kematian ibunya, dia tidak pernah merasa pelukan mana-mana wanita. Inilah kali pertama. Lidahnya kelu. Terasa hangat tubuh Sakura pada dirinya. Dapat dirasakan tubuh gadis itu menggigil teruk. Perlahan-lahan dia membalas pelukan itu. Kepala Sakura dirapatkan pada dadanya.

          “ Jangan takut…” dia berbisik perlahan di telinga gadis itu. Esakan Sakura bertambah teruk. Lembut tangannya membelai rambut gadis itu. Cuba meredakan ketakutan yang menyelubungi gadis naif itu. Sudah pasti kejadian sebegini tidak pernah dialami oleh Sakura. Kejadian pembunuhan beramai-ramai yang telah meragut banyak nyawa.

          “ Jangan takut. Aku ada…” Ryuu berbisik lagi. Sakura menggelengkan kepalanya. Raungannya kedengaran tenggelam timbul di dada Ryuu. Ryuu memperkemaskan pelukannya. Dia tidak mengerti kenapa hatinya runtun apabila melihat keadaan Sakura yang sebegitu. Dia tidak mengerti.


RYUU berkaca di hadapan cermin kamar mandinya tanpa memakai baju. Sebilah pisau kecil dan sebuah First Aid Kit diletakkan di atas sinki. Dia melihat pada luka di bahu kirinya yang masih berdarah. Peluru yang tertanam di situ masih belum dikeluarkan. Air panas ditakung ke dalam sebuah bekas plastik. Peluru yang tertanam itu harus dikeluarkan.

          Pisau kecil itu diambil lalu diletakkan pada luka kesan tembakan pada bahunya sebelum dirobek perlahan-lahan. Kesakitan yang dialami membuatkan wajahnya berkerut kerana menahan sakit. Peluh berjejeran di dahi Ryuu. Darah membuak keluar daripada kesan luka ditembak itu. Sebutir peluru berjaya dikeluarkan. Luka di bahu kiri jelas kelihatan di cermin.

          Kepala sinki diputar. Air bersih yang mengalir daripada paip dikotori dengan darah yang masih membuak keluar daripada luka di bahu Ryuu. Sehelai kain digumpal lantas dicelup ke dalam takungan air panas. Gumpalan kain itu ditekap lama pada luka. Ryuu bersandar pada dinding kamar mandi. Matanya terus ke cermin.

          Bukannya dia tidak boleh mendapatkan khidmat doktor untuk mengeluarkan peluru itu kerana Yakuza Jiro mempunyai dua orang doktor yang sah sijil perubatannya namun Ryuu enggan. Dia lebih suka melakukannya sendiri walau tanpa ubat bius untuk menahan kesakitan. Dia lebih selesa begitu. Merobek sendiri luka untuk mengeluarkan peluru. Sudah berkali-kali dia melakukan hal yang sedemikian.

          Ryuu memutar kepala shower. Air suam dibiarkan mengalir membasahinya yang masih mengenakan jean. Rasa perit lantaran lukanya terkena air tidak dihiraukan. Tangan kanannya meraup wajah. Pertempuran tadi kembali bermain di layar ingatan. Dia bernasib baik kerana dia telah meletakkan sesuatu pada Sakura bagi memudahkan gadis itu untuk dikesan jika lesap secara tiba-tiba.

          Pagi tadi, sengaja dia memeluk gadis itu. Ketika itulah sekeping cip kecil yang mempunyai peranan seperti GPS- Global Positioning System dilekat pada celah kolar kemeja T gadis itu. Cip itu bertindak balas terus dengan satelit di luar atmosfera bumi dengan telefon bimbit Ryuu. Ciptaan secara haram oleh saintis Yakuza Ryuu namun amat berguna sekali kegunaannya.

          Sebelum kesemua mereka meninggalkan gudang usang itu, Ryuu mengarahkan tempat itu dibakar. Mayat-mayat anggota Jiro berserta Takuji dibiarkan sahaja rentung di dalam gudang itu. Sudah pasti dia harus menanggung akibat kemarahan Tuan Sakate kelak kerana satu-satunya anak yang bakal mewarisi pusaka Jiro telah maut di tangannya sendiri. Ryuu tersenyum sinis. Jika bukan Takuji yang memulakan angkara, pasti dia tidak akan membunuh lelaki itu.

          Kepala shower diputar kembali. Air yang pada asalnya turun mencurah-curah mula berhenti. Kesan darah masih ada di lantai bilik mandi walaupun tidaklah sejelas tadi. Ryuu menutup pintu bilik mandi lantas segera menyalin jeannya yang basah. Diganti dengan sehelai jean yang baru dan sehelai singlet hitam dipakai bagi memudahkan pergerakannya.

          First Aid Kit kembali diambil lantas dibuka. Pembalut luka, gunting kecil, kapas dan beberapa botol ubat dibuka. Bersusah payah Ryuu membalut luka itu sendirian tanpa bantuan sesiapa. Balutannya kemas pada bahu kiri melindungi kesan tembakan itu.

          Ryuu bersandar pada birai katil. Dia hanya duduk di atas lantai. Matanya dipejamkan.


SAKURA mundar mandir dalam biliknya. Dia resah berkeadaan sebegitu. Sejak pulang ke kediaman Ryuu, sehingga kini langsung dia tidak berkata sepatah pun dengan lelaki itu. Ketakutan yang menyelubungi diri beransur hilang. Masih jelas di matanya bagaimana darah mengalir daripada bahu kiri Ryuu. Rasa bersalah semakin lama semakin merantai hati. Jika bukan kerana mahu menyelamatkan dia, pasti Ryuu tidak akan luka parah sebegitu.

          Pintu bilik ditolak lantas dia mengatur langkah ke ruang tamu. Suasana dalam kondominium itu malap, hanya dibiarkan limpahan cahaya bangunan-bangunan di luar sahaja menerjah masuk dan menerangi suasana. Sakura menelan liur. Ryuu sedang berada di balkoni di ruang tamu. Jauh lelaki itu merenung ke luar. Seakan-akan tidak merasai dingin angin awal musim bunga dengan hanya bersinglet hitam. Teragak-agak dia mendekati lelaki itu.

          Kaki mula menjejak pada lantai balkoni. Langsung tiada sebarang suara yang keluar daripada bibir Sakura. Dia merenung Ryuu yang berdiri membelakanginya. Balutan pada bahu kiri Ryuu membuatkan dia makin serba salah. Sakura mengetap bibir. Cuba menghalang dirinya daripada menangis. Dia tersentak apabila mendengar namanya diseru perlahan.

          “ Kenapa tak tidur lagi?” tanpa sebarang nada Ryuu menyoal. Ryuu masih berdiri di hadapan balkoni tanpa memandangnya. Mata lelaki itu sedang merenung bintang yang berkerlip indah di langit malam. Sakura memejamkan mata. Kaki semakin bergerak mendekati Ryuu dan berhenti di belakang lelaki itu. Hasratnya untuk bersuara terkunci seakan-akan ada sesuatu yang telah menghalangnya.

         “ Pergilah rehat. Tentu kau penat lepas peristiwa tadi. Itu kali pertama kau berhadapan dengan situasi demikian,” kata Ryuu lagi. Dia langsung tidak berkalih pada Sakura di belakang. Renungannya masih pada dada langit. Sakura menelan liur. Rasa bersalah terasa menggigit tangkai hati. Mahu tidak mahu dia harus menyatakan juga apa yang ingin dikatakan sejak tadi lagi. Dia menghela nafas perlahan. Cuba mencari kekuatan dalam berkata-kata.

         “ Terima kasih.”

         Refleks Ryuu menoleh ke arahnya. Jelas kelihatan kerutan di dahi Ryuu, menandakan kehairanan yang mula bercambah di hati. Sakura hanya tunduk merenung lantai. Tidak berani untuk melihat wajah itu. Sesungguhnya rasa bersalah yang dirasai kini. Apatah lagi apabila melihat balutan pada luka tembakan itu.

         “ Kenapa?” tanya lelaki itu. Seperti biasa, hanya suara tanpa nada yang dituturkan. Dingin melebihi air di lautan dalam. Sakura menggigit bibir. Kelopak matanya dipejamkan. Kedua-dua tangannya dipegang erat berada pada paras paha.

         “ Terima kasih sebab... sebab awak dah selamatkan saya. Dan, saya nak ucapkan maaf jugak sebab saya dah susahkan awak. Awak nyaris-nyaris terbunuh tadi. Kalau...” kata-katanya mati di situ. Dia tidak dapat meneruskan ayatnya lagi. Suaranya bertukar menjadi serak. Dengusan halus kedengaran menyapa telinga.

         “ Aku dah beritahu kau, kau tak akan selamat kalau keluar seorang diri dari kawasan ni. Aku tak boleh jamin keselamatan kau. Bila-bila masa saja kau boleh mati kalau kau keluar dari kawasan ni,” ucap Ryuu tegas. Sakura terpana. Hakikat itu memang tidak boleh dielakkan. Hampir sahaja dia hilang nyawa tadi.

         Suasana sepi seketika. Masing-masing tidak tahu apa yang harus dibicarakan lagi. Ryuu merenung pada Sakura yang masih menunduk ke lantai. Dia menghela nafas perlahan. Kepalanya digeleng seketika sebelum kembali mata kembali menjamah wajah gadis itu.

         “ Kita kahwin.”

         Kening Sakura terangkat secara tiba-tiba. Wajahnya mendongak untuk melihat pada raut lelaki yang sedang menuturkan ayat itu secara tiba-tiba. Wajah itu masih tiada sebarang riak. A…apa?

         “ Kita kahwin dan aku akan jaga kau. Kau dah tak ada sesiapa lagi dan aku juga bukannya seorang lelaki yang mengejar cinta mana-mana wanita. Kau fikirlah, kalau kau nak lari daripada aku, aku tak boleh jangka berapa lama nyawa kau akan bertahan lama.”

         Sakura menelan liur. Wajah Ryuu lebih serius daripada kebiasaannya namun pandangan itu lembut, berbeza dengan wajah lelaki itu yang kini serius. Redup renungan lelaki itu pada wajahnya. Sakura mengetap bibir. Dia kembali menundukkan wajah. Kahwin?

          Ryuu berjalan mendekati Sakura. Sakura semakin merasakan tidak enak. Dia tergamam dengan kata-kata Ryuu tadi. Perlahan tangan kanan Ryuu mengangkat dagu gadis itu, memaksa Sakura bertentangan mata dengannya. Wajah Ryuu masih sama seperti tadi. Renungannya masih lagi redup.

          “ Aku maksudkan kata-kata aku. Terpulang pada kau nak terima atau tak. Kalau kau selesa kita tinggal bersama tanpa sebarang ikatan, kau tak perlu terima lamaran aku,” perlahan Ryuu menuturkan ayat. Jarinya dilepaskan daripada wajah gadis itu. Sakura termengkelan.

          “ Sa… saya…” Sakura kehilangan kata-kata.

          “ Kau fikirlah selama mana yang kau nak. Aku nak masuk tidur dulu. Jangan berjaga lewat sangat,” pesan Ryuu seraya berjalan meninggalkan balkoni. Sakura terpinga-pinga. Terasa tidak percaya dengan tawaran lelaki itu. Dia berdiri berdekatan dengan beranda. Dingin angin malam terasa mencucuk hingga ke tulang hitam. Sakura berdiri berpeluk tubuh.

          Patut ke aku… terima lamaran Ryuu? Kahwin dengan dia?

          Sakura menghela nafas. Tidak menyangka akan menghadapi situasi sebegini. Ryuu serius ketika melamarnya tadi dan dia tidak tahu apa keputusan paling tepat yang harus dibuat.


p/s: suka tak? he~

春の花

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...