Ai no Kotoba

Colours make your life beautiful, melody makes your life rhythm and harmony makes your life a life - Hana

Semua karya dalam blog ini hak cipta terpelihara penulis. Anda tidak dibenarkan menciplak, me-copy, memplagiat atau with every means to copy it atau mengaku karya itu anda punya.
Semua karya tidak mempunyai kaitan dengan yang hidup mahupun yang sudah meninggal dunia.
Selamat membaca. Peace!

Watashi no Tomodachi :D

Entri Terbaru! Tengok Sini!

Sunday, June 13, 2010

Eternal 1

-->


TERGESA-GESA Sakura menyembunyikan diri di sebuah bilik yang terletak di bawah tanah. Langkahnya pantas memasuki sebuah bilik rahsia. Pintu bilik rahsia itu ditutup rapat. Debu-debu yang jatuh ke atasnya menyesakkan pernafasan. Sedaya upaya dia cuba untuk menahan diri daripada batuk. Beberapa orang lelaki kelihatan daripada celah retakan lantai rumah itu.

         “ Ada sesiapa di sini?” kedengaran suatu suara bertanya. Sekata tanpa sebarang nada. Sakura cuba melihat wajah itu namun lelaki itu terlindung di sebalik badan seorang lelaki lain yang agak gempal. Dia tidak dapat mengagak siapa mereka sebenarnya.

         “ Tak ada, tuan!”

         Menggigil tangan Sakura memegang palang pada pintu rahsia itu. Terketar-ketar dan menimbulkan resah dalam naluri. Dia tidak tahu siapa mereka namun dia tahu mereka bukannya orang yang baik-baik. Apa yang sempat Sakura lihat tadi, kesemua mereka mengenakan kot hitam dan mempunyai pistol. Ada juga yang kelihatan memegang pedang samurai.

         “ Bakar rumah ni. Aku nak tengok rumah ni musnah. Faham?” suara itu kembali memberi arahan. Nadanya mendatar namun kedengaran tegas. Lelaki berbadan gempal itu hanya mengangguk malah memberi tunduk hormat kepada lelaki yang mengeluarkan arahan itu. Lagaknya lelaki itu merupakan ketuanya.

         “ Baiklah, tuan!”

         Derap tapak kasut pada lantai kayu itu menandakan mereka telah meninggalkan bilik itu. Sakura mengurut dada tanda kelegaan. Terasa dadanya lapang sedikit. Walau begitu, dia masih tidak boleh keluar daripada tempat persembunyiannya. Mereka masih ada di sekitar kawasan rumah ini. Lebih baik dia mendiamkan diri seketika di dalam bilik rahsia itu daripada menempah bala di luar.

         Sebentar tadi, dia datang ke rumah peninggalan Yamashita semata-mata mahu menjenguk suasana rumah yang sudah tidak berpenghuni itu. Yamashita merupakan keluarga angkatnya dan dia merupakan cucu angkat kepada Yamashita Kazuo. Sakura tinggal berdekatan dengan kawasan rumah ini. Datuk tua yang menjaganya sejak kecil itu telah meninggal dunia beberapa bulan lepas dan sejak itu Sakura berpindah keluar. Tinggal di sebuah rumah kecil yang dihadiahkan oleh datuk tua itu suatu ketika dahulu. Kadang-kadang, dia akan datang menjenguk rumah peninggalan lelaki tua itu memandangkan lelaki tua itu tidak mempunyai keluarga.

         Sakura tergamam. Ada kepulan asap yang masuk melalui celah-celah retakan itu. Rumah ini sedang dibakar! Jika dia tidak keluar dengan segera, dia boleh mati dalam kebakaran rumah ini. Hangus rentung begitu sahaja.

         Pintu rahsia itu dibuka dengan penuh hati-hati. Sakura menjenguk sedikit. Tiada orang lain di dalam bilik itu selain daripada dia. Dia menarik nafas lega. Api sudah semakin marak membakar rumah tradisi itu. Menyala-nyala dan hanya akan berhenti apabila keseluruhan bangunan penuh tradisi itu musnah.

         Deruan enjin beberapa buah kereta mengejutkan dia. Sakura boleh nampak mereka daripada retakan pada rumah usang itu. Lebih kurang enam buah kereta mewah  berwarna hitam keluar dari kawasan rumah itu. Dia sudah selamat sekarang.

         Sakura langsung tidak mengenali mereka. Tetapi, daripada gaya kesemua lelaki berkenaan, jelas menampakkan mereka merupakan golongan yakuza. Golongan mafia yang ditakuti oleh semua orang di Jepun. Tetapi, apa kaitan mereka dengan keluarga Yamashita? Setahu dia, yakuza tidak akan mengambil tahu perihal orang lain kecuali dengan orang yang menganggu mereka atau orang yang berurusan dengan mereka. Tidak mungkin Yamashita mempunyai sebarang urusan dengan golongan yakuza? Sepanjang hidupnya bersama-sama lelaki tua itu, belum sekali pun lelaki tua itu mengasarinya sedangkan yakuza terkenal dengan kekejaman mereka.

         Sakura terbatuk-batuk apabila asap semakin tebal. Dia perlu keluar dengan segera jika mahu selamat. Sebelah tangan dibawa ke mulut. Asap semakin berkepul-kepul. Dadanya mula terasa sesak manakala matanya terasa pedih. Asap beracun itu memasuki ruang pernafasannya dan menuruni rengkung.

         “ Arghh!”

         Dia berundur ke belakang. Nafasnya turun naik. Ada tiang yang terbakar jatuh di hadapannya. Sakura mula cemas. Kini sudah semakin sukar buatnya untuk keluar dari rumah itu. Sukar baginya untuk melangkahi kayu yang sedang terbakar itu.

          Sakura cuba mara ke hadapan. Malang bagi dirinya apabila dia terjatuh akibat imbangan badan yang tidak stabil. Terasa ada benda tajam yang menusuk ke kaki. Kepedihan terasa mencengkam segenap rasa. Sakura bangun perlahan-lahan. Darah mengalir daripada luka di kaki. Semangatnya digagahkan untuk keluar demi menyelamatkan diri. Dia tidak mahu mati sia-sia!

         Jangan! Tolonglah! Sesiapa pun, tolong…

         Pandangan matanya semakin kabur. Penglihatan di hadapan menjadi semakin tidak teratur. Imej di hadapan mata mula bertindih-tindih menjadi satu, tidak menampakkan bayangan yang sebenar. Dia rebah ke lantai. Apa yang dia sempat lihat hanyalah sepasang kaki yang sedang berdiri di hadapannya. Perlahan-lahan matanya terpejam rapat. Terasa tubuhnya dicempung perlahan.


SILAU cahaya terasa menyakitkan mata. Perlahan-lahan Sakura membuka kelopak mata dan menumpukan pada pemandangan di hadapan. Kepalanya terasa berat seolah-olah ditimpa sesuatu. Dia menggosok kepalanya yang terasa sakit. Sakura tergamam apabila menyedari di mana dia berada sekarang. Hanya siling putih yang bermain di layar matanya. Dia terlentang di atas sebuah tilam yang empuk.

         Tempat apa ni? Sakura cuba bangun namun tubuhnya terasa sakit. Dia melihat pada pergelangan tangannya. Ada balutan yang kemas di situ. Dia menekan-nekan pada bahagian yang berbalut itu. Sakit terasa ke segenap urat saraf. Di kakinya juga ada balutan yang kemas. Kening Sakura bercantum menjadi satu. Siapa yang tolong aku tadi? Aku...

         “ Kau dah sedar?”

         Pantas Sakura menoleh ke arah suara itu. Seorang lelaki sedang memasuki bilik itu. Terkebil-kebil matanya melihat pada wajah tanpa riak itu.Sakura mula ketakutan. Dia tidak kenal lelaki itu dan dia sedar, mungkin lelaki itu merupakan salah seorang daripada lelaki yang datang ke rumah Yamashita tadi. Jika benar telahannya, dia berada dalam bahaya sekarang.

         “ Dah dua hari kau tak sedarkan diri,” ujar lelaki itu. Dia duduk di birai katil. Tajam pandangan matanya pada wajah Sakura. Sakura menelan liur. Dia memberanikan dirinya untuk bertentang wajah dengan lelaki itu.

         “ Si... siapa awak?”

         Lelaki itu ketawa sinis. Dia mengalih pandangan ke hadapan.

         “ Kau tak sepatutnya ada di rumah tu. Kau dah nampak kami semua. Nasib kau tak baik sebab dijumpai oleh aku,” kata lelaki itu. Nadanya dingin tanpa perasaan. Sakura tergamam.

         “ Kau dah terjebak dalam dunia aku. Kau dah tak boleh berpatah balik lagi,” ujar lelaki itu. Dia bangun daripada birai katil dan melangkah menuju ke pintu. Langkahnya terhenti apabila Sakura mula memanggilnya. Lelaki itu tegak berdiri tanpa berkalih pandang.

         “ Siapa awak?” tegas dia bertanya walaupun perutnya sudah kecut menahan rasa takut yang semakin menyelubungi diri. Agak lama sepi mencelah antara mereka sehingga lelaki itu mula membuka mulut.

         “ Kamenashi Ryuu. Aku tak suka orang panggil nama keluarga walaupun baru kenal. Ryuu,” ujar lelaki itu. Kali ini Ryuu merenung padanya. Wajahnya tetap kelihatan dingin. Lelaki ini benar-benar kelihatan menakutkan.

         “ Siapa nama kau?” tanya Ryuu setelah melihat Sakura mendiamkan diri. Kepala Sakura terangkat. Matanya tertumpu pada wajah lelaki itu.

         “ Ha… Haruno Sakura,” tuturnya tersekat-sekat. Nadanya cukup perlahan.

         Ryuu mengukir senyuman dinginnya. Matanya tidak lepas daripada wajah Sakura.

         “ Haruno Sakura... sakura di musim bunga,” katanya perlahan. Dia mengangguk perlahan sebelum keluar daripada bilik itu. Pintu bilik ditutup rapat. Sakura menarik nafas kelegaan. Kecut hatinya apabila berhadapan dengan lelaki itu.

         “ Aku nak keluar dari sini, tapi macam mana?” bisik Sakura sendirian.

         Setakat ini, lelaki itu masih tidak kelihatan terlalu menakutkan. Dia ingin melarikan diri tetapi Sakura tahu, Ryuu tidak akan melepaskan dirinya dengan mudah. Dia sudah terjebak dengan alam yakuza. Dan untuk keluar daripada alam itu, dia perlu mengatasi maut terlebih dahulu. Itu sudah pasti.


TELEFON bimbit dibawa keluar daripada kocek seluar jean. Ryuu meneliti pada skrin seketika sebelum mula mendail nombor yang dikehendaki. Suara garau seorang lelaki menyapa pendengarannya di hujung talian.

         “ Ya, Tuan Ryuu?”

         “ Kau dah dapat maklumat pasal perempuan tu?” tanya Ryuu tanpa berselindung apa-apa. Dia terus mengemukakan soalan kepada anggota kumpulannya itu. Dia lebih gemar berterus-terang daripada berdolak-dalih.

         “ Belum lagi, tuan,” jujur anak buahnya memberitahu.

         Anak-anak buahnya telah diarahkan mencari maklumat mengenai Sakura namun sampai sekarang masih belum ditemui apa-apa. Ryuu hanya tahu bahawa Sakura dijadikan sebagai anak angkat kepada keluarga Yamashita sejak gadis itu bayi lagi. Maklumat lain masih belum sampai kepadanya. Kehadiran gadis itu dalam keluarga Yamashita dianggap sebagai suatu misteri.

         “ Cari maklumat lagi. Kalau ada apa-apa, segera beritahu aku,” arah Ryuu.

         “ Baik, Tuan Ryuu.”

         Ryuu menamatkan perbualan mereka. Kesemua anak buahnya memanggilnya dengan gelaran Tuan Ryuu, bukannya Tuan Kamenashi seperti mana yang sepatutnya. Dia benar-benar tidak suka menggunakan nama keluarganya. Jika melibatkan urusan rasmi sahaja barulah dia akan menggunakan nama keluarga. Sebabnya? Hanya Ryuu sahaja yang tahu apakah sebabnya. Rahsia yang dipendam sendirian dan hanya seorang sahaja yang mengetahuinya. Seseorang yang begitu penting bagi dirinya melebihi keluarganya sendiri.

         Jam di dinding dilihat seketika sebelum matanya beralih ke pintu bilik Sakura. Satu keluhan berat terhembus keluar. Nampaknya, dia terpaksa menjaga gadis itu. Dia tidak akan sesekali melepaskan Sakura pergi apatah lagi gadis itu sudah mula terjebak dengan dunianya. Dia punya sebab yang tersendiri. Sebab yang kukuh.

         Sekali lagi telefon bimbitnya dikeluarkan. Satu panggilan dibuat sebelum dia mencapai kot yang diletak di atas sofa lantas berjalan keluar dari kediamannya. Pintu kondominium dibuka.

         “ Helo? Tolong sediakan semua keperluan yang saya mahukan. Saya akan hantar mesej sekejap lagi.”

       
LAMUNAN Sakura berkecai sebaik sahaja telinganya menangkap bunyi ketukan di pintu. Dia duduk di atas katil. Tiada gunanya jika dia ke muka pintu untuk membukanya kerana sudah pastinya Ryuu sudah mengunci pintu bilik itu. Dia pasti, lelaki itu tidak bodoh untuk membiarkan pintu itu tanpa dikunci. Kakinya yang masih berbalut itu juga telah mengehadkan pergerakannya. Masih terlalu sakit untuk melangkah ke mana-mana.

         Wajah Ryuu terjengul dari luar. Lelaki itu memasuki bilik dengan beberapa beg plastik di tangan lelaki itu. Sakura hanya memerhatikan sahaja lelaki itu melangkah tenang masuk ke dalam bilik. Langsung tidak mempunyai niat untuk menegur. Beg-beg plastik itu dihulur kepada Sakura tanpa berkata apa-apa.

         “ A... apa ni?”

         Ryuu merenung pada wajah itu sebelum melempar pandangan ke sekitar bilik. Kedua-dua tangannya dimasukkan ke dalam poket jean.

         “ Tu semua keperluan kau. Aku tak pasti sama ada muat atau tak dengan kau, tapi buat sementara ni pakai je apa yang ada. Aku keluar dulu,” kata Ryuu tanpa memandang wajah Sakura yang jelas kebingungan. Pantas sahaja langkah lelaki itu meninggalkan dia termangu-mangu dalam bilik besar itu.

         Sakura mengetap bibir. Walaupun dia takut dengan Ryuu, namun geram juga dia dengan sikap lelaki itu. Seperti tadi, lelaki itu tergesa-gesa keluar dari bilik itu dan meninggalkan dia dengan persoalan di hati.

         Salah satu beg plastik itu dibuka demi memastikan tiada benda yang boleh menimbulkan ketakutannya berada di dalamnya. Sakura tergamam sebaik sahaja isi beg itu dijengah. Beg plastik lain pula dibuka. Semuanya sama sahaja. Kesemuanya mengandungi pakaian! Keperluan peribadi seperti berus gigi, sikat dan bedak juga tersedia! Sakura termengkelan. Matanya jatuh pada pintu biliknya, seolah-olah tembus pandangannya pada Ryuu di luar. Dia perlu bertemu dengan lelaki itu! Mesti!

         Bersusah payah dia menuruni katil. Terhincut-hincut dia berjalan mendekati muka pintu. Tangan mencapai tombol pintu. Walaupun dia tahu lelaki itu tak akan membiarkan pintu itu tanpa dikunci namun dia harus mencuba. Jika tidak ada cara lain, dia akan mengepil engsel pintu itu. Dia benar-benar terdesak sekarang. Berada dalam situasi demikian memungkinkan seseorang melakukan apa sahaja.

         Sekali lagi dia mengalami kejutan. Elok sahaja pintu itu dikuak. Pintu itu tidak berkunci! Lama pintu itu diperhati sebelum perlahan-lahan dia melangkah keluar. Kediaman itu merupakan unit kondominium dua tingkat. Di hadapan pintu biliknya pula merupakan jalan yang berhubung ke ruang tamu. Dia menyusuri laluan itu.

         “ Ryuu,” seru Sakura sebaik sahaja ternampak kelibat lelaki itu ruang tamu. Ryuu sedang bersantai di atas sofa dengan sebuah buku di tangan. Bacaan Ryuu terhenti seketika. Dia mengalih pandangan ke raut gadis itu sebelum menyambung kembali bacaannya.

         “ Kaki kau sakit, lebih baik kau duduk je dalam bilik,” ucap lelaki itu sambil matanya melirik pada abjad-abjad pada buku itu. Sakura menggeleng perlahan.

         “ Saya tak peduli semua tu. Tolonglah, lepaskan saya. Saya tak ada kaitan dengan awak atau dunia awak!” rayu Sakura. Erat genggamannya pada beg plastik yang berisi keperluannya. Kedengaran tawa sinis Ryuu. Perlahan sahaja menyapa telinga.

         “ Kau fikir mudah je untuk aku lepaskan kau? Walau hanya setapak sahaja kau melangkah masuk ke dunia yakuza, belum tentu lagi setapak sahaja kaki kau boleh meninggalkan dunia ni.”

         Buku di tangan ditutup lalu diletakkan di atas meja. Ryuu bangun daripada sofa sebelum mencapai kot hitam yang tersadai di sebelahnya. Kot hitam itu disarung. Lelaki itu langsung tidak melihat pada Sakura yang masih merenungnya tajam.

         “ Tapi… saya tak…”

         “ Aku nak keluar. Kau jangan fikir kau boleh lari. Anak buah aku ada di mana-mana saja di kawasan sekitar ni. Nahas kau kalau aku dapat tahu kau cuba nak larikan diri,” ucap Ryuu sekaligus memotong ayat gadis itu.

         Ryuu berjalan melepasi Sakura yang masih kaku pada tempatnya. Dia membuka pintu sebelum pandangannya beralih pada Sakura. Dia mengangguk sekilas sebelum melangkah keluar.

         Sakura mengetap bibir, menahan air mata daripada tumpah. Dia terduduk di atas sofa. Tangannya mengusap-usap balutan di kakinya. Sakit masih terasa pada bahagian itu. Beg plastik yang jatuh ke lantai dipandang sepi.


p/s: coming up next, SHINE 14 of Book Two :)

하나 

8 comments:

S w e e t said...

kyaa!! yamapi dengan sifat cool dia~
kesian sakura cam orang blurr je.. haha.. best! ble nak sambung?

fallenmoon ( Liya Zafrina ) said...

Ryuu ni jahat eh?
Tp Moon rasa dia ni baik. :D

Unknown said...

to sweet> dlm mnggu ni jugak sblum hana blik hostel :)

to moon> haah. ryuu jahat, yakuza. moon rasa dia baik? tggu ye ;)

Ara Ali Fath said...

best3...
ara klo cte jepun,
plg ske klo ada yakuza2 nie...
minat gle kot ngn yakuza wlpn diorg jahat...hehe

Izyan Nadiah said...

best best..hana suke korea ea..me too!!!!!!!!!!!!!!!!

Anonymous said...

olololo..keciannye kt sakura tu..
ryuu..jgn la buat sakura cmtu..
hu3..
smbg2!!:)
-kyra-

Unknown said...

to ara> haah :). hana pon camtu jugak. even yakuza tu jahat tp mmg bkenan dgn citer yg ada yakuza ni
xD

to izyan> minat sgt! huhu ;)

to kyra> sabar2x. hehe

Anonymous said...

wahh de yamapi...bestnyer..
citer yg best..keep on writing!!!

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...