Ai no Kotoba

Colours make your life beautiful, melody makes your life rhythm and harmony makes your life a life - Hana

Semua karya dalam blog ini hak cipta terpelihara penulis. Anda tidak dibenarkan menciplak, me-copy, memplagiat atau with every means to copy it atau mengaku karya itu anda punya.
Semua karya tidak mempunyai kaitan dengan yang hidup mahupun yang sudah meninggal dunia.
Selamat membaca. Peace!

Watashi no Tomodachi :D

Entri Terbaru! Tengok Sini!

Sunday, December 12, 2010

Endless Love 28

BAHU Ji Hoon ditepuk perlahan. Ji Hoon menggeliat sebelum duduk di atas katil. Dia melihat pada Eun Hee yang berdiri di hadapannya. Sebelah tangannya menggosok mata. Dia masih lagi mengantuk.

         “ Kenapa?”

         Eun Hee mengunjuk pada dulang makanan yang berisi segelas susu dan beberapa keping roti bakar. Ji Hoon tersenyum lantas menggeleng.

         “ Abang tak laparlah, sayang. Eun Hee letak saja kat situ, kalau abang lapar nanti abang makan, okey?” kata Ji Hoon. Eun Hee mengangguk perlahan walaupun dia tidak bersetuju. Dia melihat sahaja pada langkah Ji Hoon yang menuju ke bilik air.

         Eun Hee mengeluh. Sudah lebih sebulan berlalu sejak peristiwa itu. Apa yang dia perasan, Ji Hoon sudah berubah sedikit. Lelaki itu kian mendiamkan diri dari sehari ke sehari. Makan pun sudah tidak ikut waktu. Keadaan lelaki itu kini benar-benar membimbangkan dia.

         Presiden Park sudah kembali ke Seoul bersama-sama Pak Cik Nam Gil. Mereka akan meneruskan usaha untuk membebaskan Ji Hoon daripada tuduhan itu. Buat sementara waktu, Ji Hoon tidak dibenarkan bekerja bagi mengelakkan berlaku tuduhan yang lebih buruk. Sudahnya, masa lelaki itu banyak dihabiskan di rumah sahaja.

         “ Eun Hee?”

         Tiba-tiba sahaja lamunannya berkecai. Ji Hoon sudah keluar dari bilik mandi. Rambut panjang mencecah bahunya kelihatan basah disirami air. Lelaki itu menguntum senyum sambil berjalan mendekati Eun Hee yang masih kaku di tempatnya. Eun Hee langsung tidak menyangka waktu sudah lama berlalu sejak suaminya memasuki kamar mandi.

         “ Tak turun lagi?”

         Hanya itu yang Ji Hoon katakan. Tak ada usikan seperti biasa. Eun Hee tersenyum pahit. Benar sangkaannya, tingkah laku Ji Hoon sudah berubah sedikit.

         “ Tak apalah. Abang nak bersiap, lepas tu kita ke rumah Ryu Min, nak? Dah lama abang tak jenguk dia,” ajak Ji Hoon. Di bibirnya ada senyuman yang terukir namun tidak seceria dahulu.

         Eun Hee mengangguk. Jika itu boleh menceriakan Ji Hoon pada saat-saat sukar sebegini, apa salahnya? Yang penting kini, Ji Hoon boleh kembali seperti dahulu.


LEKA Ji Hoon bermain dengan Ryu Min di pantai. Eun Hee yang memerhatikan mereka berdua hanya menggeleng. Ji Hoon kelihatan betul-betul gembira.

         “ Kak Eun Hee!!!”

         Ryu Min berlari menuju kepadanya. Ji Hoon mengekori di belakang dengan senyuman lebar di wajahnya. Eun Hee menepuk tikar di sebelahnya, meminta Ryu Min duduk di situ. Ryu Min menurut sahaja.

         “ Abang Ji Hoon main tipu! Mentang-mentanglah dia tinggi!” marah Ryu Min. Eun Hee tersenyum. Entah apalah yang mereka berdua mainkan tadi. Ji Hoon ketawa perlahan.

         “ Padan muka!” balas Ji Hoon sebelum meneguk minuman yang dihulurkan oleh isterinya. Ryu Min menjelirkan lidahnya. Ji Hoon buat bodoh.

         Orang awam sudah ramai di pantai ketika mereka sampai tadi. Namun, bahagian pantai yang berdekatan dengan rumah mereka pula lengang, mungkin kerana ketiadaan kemudahan seperti restoran dan lain-lain. Apatah lagi, kawasan pantai itu agak jauh dari kawasan pantai yang disusuri di belakang.

         “ Ryu Min, ayah apa khabar? Dah lama kami tak jumpa dia,” tanya Ji Hoon. Sudah agak lama dia tidak melihat Pak Cik Dam Shik. Entah sihat atau tidak lelaki itu. Barangkali terlalu sibuk dengan kerjanya.

         “ Ayah sihat cuma dia makin sibuk. Dia selalu keluar, waktu malam pun sama juga. Apa yang ayah buat, Ryu Min tak tahu,” jelas Ryu Min. Kening Ji Hoon naik sebelah.

         “ Waktu malam? Ryu Min kena tinggal seorang dirilah?” tanya Ji Hoon terkejut. Begitu juga dengan Eun Hee. Tiba-tiba sahaja dia teringatkan lelaki yang berpakaian serba hitam yang sudah dilihatnya dua kali di halaman belakang rumah Pak Cik Dam Shik.

          “ Ryu Min dah biasa. Bukannya ada apa-apa pun,” kata Ryu Min lagi. Pantas Eun Hee menggeleng. Ji Hoon hairan. Tiba-tiba sahaja wajah Eun Hee berubah menjadi cemas.

         “ Kenapa, Eun Hee?”

         Eun Hee melihat pada wajah suaminya silih berganti dengan Ryu Min. Ji Hoon mengeluh. Dia faham apa maksud isterinya. Sudah pasti Eun Hee bimbangkan Ryu Min. Yalah, Ryu Min masih kecil namun sudah ditinggalkan seorang diri.

         “ Abang faham... Ryu Min?”

         Pandangan Ji Hoon jatuh pada Ryu Min di sisi Eun Hee. Wajah Eun Hee masih menunjukkan perasaan gusar. Ryu Min mengalih perhatian daripada patung permainan pemberian Ji Hoon.

         “ Kenapa, bang?”

         “ Kalau ayah tak ada, Ryu Min datang tidur kat rumah abang, boleh? Bahaya Ryu Min tinggal seorang diri macam tu, tambah-tambah lagi kalau malam pula. Macam mana kalau ada perkara buruk terjadi? Datang rumah abang kalau ayah tak ada, ya?” kata Ji Hoon. Eun Hee mengangguk namun Ryu Min menggeleng.

         “ Tapi...”

         Tiba-tiba sahaja Eun Hee merangkul Ryu Min ke dalam pelukannya. Ryu Min tersentak. Kakak sepupunya itu betul-betul kelihatan risau.

         “ Ryu Min?” panggil Ji Hoon lagi.

         Ryu Min mengeluh. Teragak-agak dia mengangguk perlahan.

         “ Baguslah,” ujar Ji Hoon. Eun Hee sudah senyum kembali. Hatinya sudah lapang sedikit.  


“ WAH! Cantiknya!”

         Ji Hoon terpegun dengan dedaunan yang berguguran daripada pokok-pokok dalam kawasan taman itu. Kesemuanya berwarna perang keemasan seolah-olah daun maple yang berguguran kala musim luruh menjelang.

         Eun Hee yang mengekori dari belakang hanya tersenyum. Ji Hoon sedang leka mengambil gambar seolah-olah sudah melupakan dia di belakang. Eun Hee hanya memerhatikan sahaja perlakuan suaminya itu.

         Sebaik sahaja mereka menghantar Ryu Min pulang, Ji Hoon membawa Eun Hee ke taman itu. Pak Cik Dam Shik sudah ada di rumah. Ji Hoon telah meminta kebenaran daripada lelaki itu agar Ryu Min boleh tinggal di rumahnya ketika Pak Cik Dam Shik tiada dan lelaki itu sudah bersetuju. Pak Cik Dam Shik juga risau akan Ryu Min yang tinggal berseorangan di rumah ketika dia berada di tempat kerja.

         Selesai mengambil gambar, tangan Ji Hoon kembali bertaut dengan jemari Eun Hee. Mereka berdua berjalan-jalan di sekitar taman. Sesekali Ji Hoon akan curi-curi mengambil gambar Eun Hee di saat Eun Hee leka dengan sesuatu. Sepanjang waktu mereka berada di taman, senyuman Ji Hoon langsung tidak pudar.

         “ Maaf, Eun Hee,” kata Ji Hoon secara tiba-tiba. Kening Eun Hee terangkat. Dia tidak memahami maksud lelaki itu. Ji Hoon ketawa perlahan. Rambut yang menutupi dahinya disebak ke belakang. Matanya kembali mencari wajah Eun Hee yang jelas kelihatan kebingungan.

         “ Abang tahu, sejak kebelakangan ni abang dah abaikan Eun Hee. Abang tak patut buat macam tu, tapi abang tak mampu. Abang asyik fikirkan pasal hal tu. Abang memang lemah, kan? Hal sekecil ni pun boleh melemahkan abang sampai macam ni sekali,” kata Ji Hoon lagi. Kata-kata itu diungkap buat kesekian kalinya. Eun Hee menggeleng perlahan. Dia mengetap bibir.

         Andai dia boleh memberitahu lelaki itu bahawa dia tiada apa-apa, andai dia boleh memberitahu lelaki itu bahawa dia amat berterima kasih atas cinta yang lelaki itu hulurkan, andai dia boleh menyatakan bahawa dia akan berada di sisi lelaki itu buat selama-lamanya, sudah pasti dia akan menzahirkannya.

         “ Sudahlah, mari kita… erk?”

         Ji Hoon terduduk di atas laluan pejalan kaki. Mukanya berkerut menahan kesakitan. Kedua-dua tangan menekan bahagian perut. Eun Hee sudah mula panik. Muka Ji Hoon berubah menjadi merah. Terketar-ketar tangannya mengeluarkan telefon bimbit daripada saku seluar. Dia mencari suatu nama.

         “ He…lo? Zack? Tolong aku!”


ZACHARY menggelengkan kepala berulang kali selepas doktor itu memandu keluar dari perkarangan rumah Ji Hoon. Dia mengeluh berat. Zachary mengambil tempat di birai katil bilik lsahabatnya itu. Bahu Ji Hoon ditepuk berulang kali.

         “ Kenapalah, kau tak makan? Dah tahu ada gastrik teruk tu, makanlah ikut waktu! Ni tak, bila dah sakit mulalah nak cari aku. Nasib baik aku boleh tolong, kalau tak memang terkulai sajalah kau kat taman tu tadi,” bebel Zachary. Geram betul dia dengan Ji Hoon. Ikutkan hati mahu sahaja diluku kepala Ji Hoon itu tetapi Ji Hoon bukannya budak kecil lagi. Lelaki itu sudah pandai menimbang sesuatu perkara.

         Ji Hoon ketawa. Lemah sahaja bunyinya. Sebelah tangannya menongkat pada katil manakala sebelah lagi menekan perutnya. Zachary membantunya untuk bangun daripada pembaringan.

         Ketika di taman tadi, mujur sahaja Zachary cepat sampai sesudah dia menelefon lelaki itu. Dia masih meringkuk kesakitan semasa lelaki Eropah itu datang. Zachary menelefon seorang kenalan doktornya untuk datang ke rumah Ji Hoon.

         “ Maaflah. Menyusahkan kau.”

          Lemah Ji Hoon bersuara. Hampir tidak kedengaran suaranya pada pendengaran Zachary. Zachary menggeleng perlahan. Dia tersenyum.

         “ Jangan cakap macam tu. Kalau ada perkara yang aku boleh tolong, aku akan tolong.”

         Ji Hoon tersengih. Dia ketawa.

         “ Ji Hoon, cakap terus terang dengan aku. Kau fikirkan pasal hal tu kan?”

         Tawa Ji Hoon mati. Dia merenung pada wajah Zachary yang sudah bertukar serius. Belum pernah lagi dia melihat sahabatnya itu sedemikian. Ji Hoon mengeluh.

         “ Bukan aku sengaja,” ujar Ji Hoon membela diri. Dia melempar pandangan ke pintu selusur beranda yang terbuka. Eun Hee masih di bawah. Barangkali berada di dapur.

         “ Aku tahu, tapi kau tak boleh asyik fikirkan perkara tu. Lepas kes tu, aku tengok kau makin kurus. Sebabnya? Kau asyik fikirkan perkara yang merisaukan kau tu! Nak kata Eun Hee tak bagi kau makan, memang aku tak percaya. Kenapa kau boleh jadi macam ni, kau tak fikir perasaan Eun Hee ke?” kata Zachary. Lebar juga ceramah percuma yang dia berikan kepada Ji Hoon. Ji Hoon mengeluh berat. Dia kembali merenung Zachary.

         “ Aku tahu dan aku perasan yang aku dah abaikan Eun Hee. Tapi, aku tak boleh... aku betul-betul tak boleh. Selama aku bekerja di syarikat tu, belum pernah aku ditimpa masalah macam ni. Ini kali pertama,” balas Ji Hoon. Zachary tersenyum.

         “ Kuatkan semangat kau, aku tahu kau boleh. Fikirkan pasal diri kau, fikirkan pasal Eun Hee. Dia isteri kau dan kau bertanggungjawab atas dia. Jangan buat dia sedih atau kau akan menyesal nanti. Ingat pesanan aku,” kata Zachary lagi. Dia menepuk bahu Ji Hoon. Ji Hoon mengangguk.

         “ Baiklah, terima kasih Zack.”

         Zachary menggeleng. “ Aku cuma tak nak kau jadi macam aku sebaik saja kau baru tersedar yang kau dah buat orang yang kau cintai sedih disebabkan oleh kau,” kata Zachary perlahan. Kening Ji Hoon terangkat.

         “ Kenapa?”

         “ Aku pernah buat mendiang Julie susah hati kerana aku dulu. Bila aku tersedar, barulah aku tahu betapa hidup dia susah disebabkan aku. Aku betul-betul menyesal. Banyak masalah yang terpaksa dia hadapi disebabkan aku. Penyakit sarafnya bertambah buruk disebabkan oleh aku juga. Dia tidak hiraukan kesihatan dirinya sehinggalah doktor sahkan dia lumpuh. Aku betul-betul menyesal. Senang cerita, aku yang menyebabkan penyakit sarafnya makin kronik,” kata Zachary. Ji Hoon terkesima. Ini merupakan kali kedua Zachary bercerita mengenai mendiang isterinya kepada Ji Hoon.

         “ Zack..”

         Zachary mengangguk sekilas. Dia turut melempar pandangan ke luar tingkap.

         “ Aku akan cuba.”

         Tawa Zachary meletus. Dia menggeleng perlahan. Matanya kembali pada Ji Hoon.

         “ Aku percayakan kau, aku yakin kau boleh lakukan,” balas Zachary. Ji Hoon mengangguk. Dia melihat pada langit yang bersih daripada litupan awan. Ceria sungguh cuaca di luar.


MATA yang pada mulanya melihat setiap baris ayat pada buku di tangan mula beralih untuk melihat pada wajah ceria yang sedang duduk bersimpuh mengupas epal di gazebo. Ji Hoon tertanya-tanya, isterinya kelihatan betul-betul gembira saat ini.

         Eun Hee tersenyum sendirian. Dia langsung tidak perasan bahawa kelakuannya itu sedang dilihat oleh Ji Hoon. Apa yang pasti, hatinya sangat girang saat ini. Dia teringatkan perbualan antara suaminya dan Zachary. Bukan niatnya untuk mencuri dengar sebaliknya dia mendengar perbualan itu ketika mahu masuk ke dalam bilik.

         Dia gembira apabila Ji Hoon berkata sedemikian. Lelaki itu akan cuba berubah seperti dahulu. Dan itulah perkara yang amat dia harap-harapkan.

         Ji Hoon melabuhkan duduk di sisi Eun Hee. Dia melihat sekitar halaman belakang rumahnya. Cantik dengan tumbuh-tumbuhan yang tumbuh menghijau. Seulas epal disuap ke dalam mulut. Dia teringatkan perbualannya dengan Zachary tadi.

         Bukan itu sahaja sebab untuknya berubah. Sebaliknya masih ada satu lagi perkara yang terselindung. Namun, perkara itu tetap berkaitan dengan Eun Hee. Ji Hoon masih tidak lupakan setiap baris dan patah perkataan yang dia baca daripada diari pemberiannya kepada Eun Hee. Malam itu...


LANGKAH Ji Hoon menaiki tangga mati apabila Eun Hee berjalan mendekatinya. Ji Hoon berpaling ke belakang. Wajah gadis itu kelihatan gusar ketika itu.

         “ Kenapa, Eun Hee?” tanya Ji Hoon.

         Eun Hee memberi isyarat pada ruang makan. Ji Hoon faham sendiri. Makan malam. Perlahan Ji Hoon menggeleng.

         “ Abang tak laparlah, maaf ya, Eun Hee?” kata Ji Hoon. Riak Eun Hee berubah sedikit. Gadis itu tunduk merenung lantai. Ji Hoon mula serba salah, tetapi dia memang benar-benar tidak ada selera ketika ini walaupun hidangan itu dimasak oleh Eun Hee.

         “ Eun Hee nak abang temankan? Mari,” kata Ji Hoon lagi. Baru sahaja dia mencapai tangan isterinya, Eun Hee menggeleng pantas.

         “ Kenapa? Marilah, abang temankan Eun Hee makan,” kata Ji Hoon. Eun Hee menggeleng. Dia cuba mengukir senyuman namun terasa kelat sahaja. Tangannya menolak Ji Hoon naik ke tingkat atas.

         “ Tapi…”

         Eun Hee menggeleng lagi. Ji Hoon mengeluh. Nak tak nak terpaksalah dia akur sahaja. Eun Hee berjalan kembali ke dapur. Ji Hoon yang berada di tingkat atas hanya memerhatikan sahaja perlakuan isterinya itu. Ji Hoon mengeluh.

         Pintu bilik dibuka perlahan. Kemas dan teratur susunan perabot dalamnya. Dia duduk di birai katil. Ji Hoon melihat ke sisi apabila terasa tangannya tersentuh sesuatu.

         Apa ni?

         Dia mengeluarkan benda itu daripada balik selimut tebal. Ji Hoon tergamam. Ini diari pemberiannya tempoh hari! Dia langsung terlupa akan diari ini. Hatinya mula bergetar. Tangannya sudah menyelak halaman pertama. Ji Hoon tersentak.


Coretan hatiku...
Khas untuk seseorang yang mencintaiku setulusnya...






하나

9 comments:

OkiE a.k.a WitcH said...

'coretan hatiku' tu buat Ji Hoon atau org lain?

Unknown said...

okie agak untuk sapa?
:)

OkiE a.k.a WitcH said...

hmm..utk Ji Hoon. Tp kenapa dia 'tersentak'pula, bukan 'tersenyum'? entahlah...cepat sambung! hehehe...

Unknown said...

kan Eun Hee tak pernah guna diari tu
sebab tu Ji Hoon terkejut^^
:)

OkiE a.k.a WitcH said...

ooo...rasanya sy perlu baca balik dr mula..huhu

Unknown said...

:)

fallenmoon ( Liya Zafrina ) said...

Sangat romantik! :D

Minho Izzy said...

Hahahahaha....Suka3....Teruskan
N cepat lg...

Unknown said...

thanks Moon, Izzy
:)

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...