Ai no Kotoba

Colours make your life beautiful, melody makes your life rhythm and harmony makes your life a life - Hana

Semua karya dalam blog ini hak cipta terpelihara penulis. Anda tidak dibenarkan menciplak, me-copy, memplagiat atau with every means to copy it atau mengaku karya itu anda punya.
Semua karya tidak mempunyai kaitan dengan yang hidup mahupun yang sudah meninggal dunia.
Selamat membaca. Peace!

Watashi no Tomodachi :D

Entri Terbaru! Tengok Sini!

Wednesday, April 24, 2013

Endless Love 37



KUNCI Paradise Florist dibawa keluar dari poket jaket lalu dimasukkan ke dalam lubang kunci. Eun Hee yang berdiri di sebelahnya hanya senyum memanjang. Pintu dibuka seluas mungkin. Ji Hoon tersenyum memandang wajah riang isterinya.

          “ Silakan masuk, wahai puteri,” ucapnya dengan nada mendatar seperti lagak pegawai istana. Sebelah tangannya berada di belakang tubuh manakala yang sebelah lagi dihala ke dalam kedai bunga. Eun Hee tersenyum malu. Dia menundukkan tubuh lantas memegang kedua-dua hujung skirt paras betisnya.

          “ Eun Hee ada bakat nak jadi puteri raja ni,” usik Ji Hoon sewaktu mengekori langkah gadis itu memasuki kedai bunga. Eun Hee hanya mencebik.

          Jelas di wajah Eun Hee bagaimana gembiranya dia dapat menjenguk kembali kedai bunga warisan mendiang ibunya. Eun Hee mula menari dan berputar seperti seorang ballerina dalam kedai itu. Ji Hoon menarik senyum.

          Sejak Eun Hee berkahwin dengannya, kedai bunga itu sudah tamat beroperasi sepenuhnya. Hanya kadang kala sahaja Ji Hoon akan membawa Eun Hee melawat kedai bunga yang menyimpan kenangan di antara isterinya dan mendiang ibu Eun Hee.

          Jika dahulu kedai itu dipenuhi dengan bunga-bungaan segar, kini hanya ada deretan bunga plastik dan barisan patung beruang di atas para sahaja. Walau bagaimanapun, kedai bunga itu tetap nampak menarik dengan hiasan ala Inggeris. Warna putih yang melatari dinding dengan gambar mawar merah jambu memang menyerlahkan lagi imej kedai bunga itu.

          Mereka berdua duduk berdekatan dengan kaunter. Leka Eun Hee bermain dengan sebuah patung berwarna krim dengan reben merah. Mata Ji Hoon menerawang melihat sekeliling.

          “ Dah lama ke kedai ni buka?” tanya Ji Hoon.

          Sepanjang usai perkahwinan dia dengan Eun Hee, dia tidak pernah membuka perbualan mengenai mendiang ibu dan bapa Eun Hee. Semuanya demi menjaga hati isterinya yang mungkin terluka akibat peristiwa mengerikan yang menimpa keluarganya dahulu. Ji Hoon sendiri masih tidak dapat mempercayai bahawa ibu bapa Eun Hee dibunuh dengan kejam.

          Eun Hee diam seketika. Dia turut merenung sekitar kedai bunga itu. Perlahan-lahan dia mengangguk.

          “ Tentu Eun Hee betul-betul sayangkan kedai ni kan?” kata Ji Hoon lagi. Dengan pantas Eun Hee mengangguk. Dia menguntum senyum.

          Ji Hoon menarik nafas lega apabila mendapati gadis itu kelihatan gembira. Dia mahu merungkai semuanya pada hari ini. Biar Eun Hee lebih tenang menjalani hidupnya dan tidak lagi takut dibayangi dengan masa silam.

          Pandangan mata gadis itu mula berubah redup. Kedua-dua tangannya digenggam Ji Hoon. Ji Hoon tersenyum sayu. Dahi isterinya dikucup.

          “ Mama dan papa Eun Hee dah pergi, tapi Eun Hee perlu teruskan hidup. Tentu mereka kecewa kalau tahu Eun Hee tak bersemangat untuk hidup hanya disebabkan ketiadaan mereka,” perlahan Ji Hoon mula membuka bicara. Eun Hee hanya tunduk sahaja. Melihat jemari halusnya diusap lembut oleh suaminya.

          “ Abang ada kalau Eun Hee perlukan apa-apa. Abang bukan cuma nak jadi suami Eun Hee, tapi abang juga nak jadi seorang pendengar yang baik kalau Eun Hee nak luahkan sesuatu, pinjamkan bahu abang kalau Eun Hee sedih, pelindung Eun Hee kalau Eun Hee ditimpa bahaya...”

           Eun Hee mengangguk perlahan. Dia mendengar sahaja bicara Ji Hoon. Dia terharu mendengarkan setiap bait kata ikhlas lelaki itu. Dia amat berterima kasih kepada Ji Hoon kerana sudi mencintai seorang gadis yang punya kekurangan sepertinya. Sepanjang masa selepas dia sah menjadi isteri lelaki itu, dia telah dapat mengecapi kembali kebahagiaan sama seperti ketika ibu bapanya masih ada dulu.

          “ Eun Hee...”

          Teragak-agak Eun Hee mengangkat muka. Senyuman Ji Hoon masih ada untuknya. Redup dan penuh kasih sayang renungan lelaki itu buatnya. Eun Hee tersenyum nipis.

          “ ... suatu hari nanti, abang harap sangat abang boleh dengar kata keramat yang dah lama abang tunggu daripada Eun Hee... keluar daripada bibir Eun Hee... walau sekali, dah cukup buat abang... Abang teringin nak dengar Eun Hee kata yang Eun Hee cintakan abang... seperti mana abang cintakan Eun Hee...” bergetar suara Ji Hoon tatkala mengucapkan kata-kata itu. Matanya mula merah.

          Terkesima Eun Hee mendengar permintaan itu. Dia tersenyum pahit. Dia tahu, dia tahu bahawa sudah lama Ji Hoon menunggu masa untuk meluahkan itu semua. Dia tahu yang Ji Hoon benar-benar berharap dia dapat meluahkan kata cinta buatnya walau untuk sekali. Dan dia terharu kerana lelaki itu tidak pernah memaksanya.

          Eun Hee mengangguk lantas menguntum senyum. Sebelah tangan suaminya diambil lalu dikucup lama. Ji Hoon hanya membiarkan sahaja. Dia mengusap kepala Eun Hee penuh kasih sayang.

          “ Abang cintakan Eun Hee... untuk selamanya... walau apa pun yang terjadi...”

          Kata-kata itu diucap lagi. Walau untuk kesejuta kali, Ji Hoon tidak akan puas. Dia tidak akan puas dalam menzahirkan cinta dia pada Eun Hee. Dia hanya mahu Eun Hee bahagia dengannya. Cukuplah dengan penderitaan yang gadis itu lalui dahulu. Biar dia sahaja yang menjadi satu-satunya orang yang dapat mengurniakan kebahagiaan buat gadis naif itu.

          Dahi Eun Hee dikucup lagi. Ji Hoon tersenyum pahit.


LOCENG di unit kondominium Chae Rin ditekan perlahan. Tidak perlu lama Hyun Min menunggu. Beberapa saat sahaja Chae Rin sudah membuka pintu untuknya. Manis senyuman yang Chae Rin lemparkan kepada lelaki itu.

          “ Nah, untuk kau,” kata Hyun Min lembut. Sejambak mawar merah dihulurkan kepada Chae Rin. Segera gadis itu menyambutnya.

          “ Terima kasih.” Jambangan mawar itu dicium. Wangi! Hyun Min memang tahu yang dia gemarkan mawar merah. Pintu dibuka seluas mungkin. Hyun Min dipelawa masuk.

          “ Gembira betul kau hari ni. Ada apa-apa ke?” tanya Hyun Min mengusik. Dia mengekori langkah Chae Rin ke balkoni kondominium. Chae Rin hanya senyum sahaja tanpa mengucapkan apa-apa.

          “ Wah! Kau yang masak?” tanya Hyun Min teruja apabila melihat pelbagai jenis hidangan terhidang di atas meja bulat yang diletakkan di balkoni. Semuanya makanan Itali. Dia segera memandang wajah gadis itu. Chae Rin ketawa perlahan.

         “ Habis tu, ada tukang masak ke kat rumah aku ni?” tempelak Chae Rin bergurau. Dia beralih ke dapur sebelum kembali dengan vas bunga. Jambangan mawar pemberian Hyun Min diletakkan di dalam vas. Hyun Min melabuhkan duduk di kerusi yang bertentangan dengan Chae Rin.

          “ Yalah, selama ni kau mana pandai masak. Semalam tiba-tiba kau telefon aku, ajak datang rumah kau tengah hari macam ni. Aku datang, ada masakan kat atas meja. Bukan masakan biasa, Itali pula tu! Mana aku tak terkejut,” seloroh Hyun Min. Chae Rin ketawa geli hati. Moodnya agak baik kini. Ditambah lagi dengan sikap Hyun Min yang suka mengusiknya.

          “ Sudahlah kau, banyak cakap pula. Makanlah, penat aku masak,” pelawa Chae Rin. Hyun Min hanya mengangguk. Kutleri yang sudah tersedia di situ dicapai.

          “ Kau masak kat mana ni? Sedap, pandai juga kau masak,” puji Hyun Min setelah selamat memakan spageti carbonara. Keningnya terangkat sebelah. Boleh tahan juga masakan Chae Rin.

          Chae Rin yang sedang menyisip jus oren tersenyum lagi. Kembang hati kerana pujian Hyun Min pada masakan pertamanya.

          “ Kat sinilah. Aku belajar masak dengan chef kat restoran aku. Lepas tu, aku beli bahan-bahan yang sepatutnya dan mula masak, senang cerita,” jelas Chae Rin. Dia turut mula menjamah hidangan. Hyun Min ketawa perlahan. Dia kembali menyuap makanan.

          Hati Hyun Min mula lapang. Mereka makan sambil berbual-bual, sama seperti ketika dia dan Chae Rin berkasih dahulu. Dia mula menyimpan harapan bahawa Chae Rin akan kembali kepadanya. Layanan gadis itu juga mesra. Hyun Min tersenyum sahaja. Harapannya mula menggunung tinggi.


BERKERUT muka Zachary sebaik sahaja Ji Hoon selesai bercerita. Dia menggosok belakang kepalanya yang jelas tidak gatal. Dia mengeluh kuat. Ji Hoon yang sedang duduk di hadapannya hanya menyepikan diri. Jelas tidak mahu bercakap apa-apa. Cukuplah dia memaklumkan kepada Zachary sahaja.

          “ Kau nak pergi jumpa dengan lelaki tu? Kau dah lupa apa nasihat aku?” tanya Zachary serius.

          Baru sebentar tadi Ji Hoon memberitahunya akan surat yang diterimanya tengah hari semalam. Baru sahaja dia dikejutkan dengan kandungan mencurigakan surat itu, dia dikejutkan pula dengan rancangan Ji Hoon untuk memenuhi permintaan lelaki yang tidak dikenalinya itu.

          “ Aku ingat nasihat kau,” balas Ji Hoon perlahan. Pandangan matanya dilarikan daripada melihat wajah Zachary yang merah padam. Sudah semestinya lelaki itu marah akan dirinya. Sudah berkali-kali dinasihatkan oleh Zachary tetapi dia tetap mahu mengambil risiko.

          “ Kau dah fikir masak-masak?” tanya Zachary. Dia berdiri sambil berpeluk tubuh. Ji Hoon mengangguk sedikit.

          “ Aku dah sedia nak ambil risiko,” balasnya perlahan. Matanya melirik sekilas pada Zachary yang berdiri di hadapannya sebelum kembali merenung dasar tasik yang terdapat di taman bunga berdekatan dengan kawasan perumahannya.

          “ Aku tak boleh nak halang kau, kalau kau rasa semua tu baik untuk kau, kau buatlah. Tapi tolong jaga diri kau. Jangan benarkan apa-apa jadi kat kau,” pinta Zachary penuh mengharap. Dia tidak setuju dengan rancangan Ji Hoon, tetapi dia sedar dia tidak punya hak dalam menentukan hidup lelaki itu.

          “ Kau jangan bimbang...” Ji Hoon mula mengukir senyum. “ ... aku tak akan benarkan apa-apa jadi pada aku dan aku akan balik dengan selamat. Okey?”

          Zachary hanya mampu mengangguk lemah. Janji yang dituturkan Ji Hoon sedikit sebanyak dapat melegakan kerisauan yang membelenggu dirinya walau hatinya masih tidak tenteram.

          “ Malam esok, kan?”

          Ji Hoon mengangguk sahaja. Sebiji batu dilempar ke dalam tasik. Sejurus, dia bangun. Kedua-dua tangannya dimasukkan ke dalam poket khaki putihnya. Dia melempar senyuman kepada sahabatnya yang setia itu.

          “ Aku akan baik-baik saja. Aku janji, takkan ada perkara buruk yang jadi pada aku, okay?”

          Zachary mengangguk lagi. Ji Hoon sudah bertekad dan dia tidak mampu menghalang keputusan lelaki itu. Semuanya terserah pada Ji Hoon.

          “ Aku nak balik dulu. Dah nak tengah hari ni, kau baliklah ke kafe kau semula. Jumpa lagi,” ucap Ji Hoon seraya berjalan membelakangi Zachary. Dia melambai tangan seketika sebelum mula melangkah laju.

          Zachary mengeluh berat. Dia mula tidak sedap hati.


EUN HEE mengemaskan majalah-majalah yang berselerak di atas meja. Ryu Min pula sedang menikmati aiskrim di perkarangan kolam renang. Gadis kecil itu datang ke rumahnya seawal 8 pagi tadi. Bila diaju tentang persekolahan, Ryu Min hanya menjawab dia bercuti pada hari ini lantaran hari sukan tahunan sekolah telah diadakan semalam.

          Deruman enjin kereta mula kedengaran memasuki halaman rumah. Eun Hee mula tersenyum. Sudah pasti Ji Hoon yang pulang. Tadi, suaminya kata ingin pergi bertemu Zachary. Atas urusan apa, tidak pula Ji Hoon beritahu.

          “ Hai,” sapa Ji Hoon lesu. Eun Hee mengerutkan dahi. Hairan melihat wajah pucat suaminya.

          Segera dia melangkah mendekati Ji Hoon yang mula melabuhkan duduk di sofa. Sebelah tangannya dibawa ke dahi Ji Hoon. Tidak panas.

          Ji Hoon tersenyum melihatkan wajah kalut isterinya. Tangan Eun Hee dialihkan daripada dahinya sebelum diusap lembut.

          “ Abang tak demamlah. Pening kepala sikit, sebab tidur lewat semalam kot?”

          Eun Hee tarik senyum nipis. Dia menggelengkan kepalanya perlahan. Tangannya ditarik daripada genggaman Ji Hoon. Dia mula ke dapur. Ji Hoon ditinggalkan seorang diri di ruang tamu. Ryu Min masih di luar.

          Sebiji gelas diambil sebelum air panas dituang ke dalamnya sehingga separuh gelas. Air sejuk pula dituang sedikit sebelum dia mencampurkan perahan lemon ke dalam gelas itu. Sepaket biskut diambil daripada balang kaca. Eun Hee tahu benar, jika pening kepala sebegini, suaminya tidak gemar mengambil makanan berat untuk mengalas perut. Hanya memadai dengan sekeping dua biskut sahaja.

          Gelas, sepaket biskut dan sepapan panadol diletakkan di atas dulang kecil sebelum dibawa ke ruang tamu. Ji Hoon tersengih. Dia sudah menjangkakan apa yang akan dilakukan Eun Hee tadi. Pasti gadis itu membawa ubat dan makanan untuk dia mengalas perut jika dikatakan dia pening kepala atau demam. Tahu benar dia dengan sikap isterinya itu.

          “ Terima kasih,” ucap Ji Hoon sebelum mula meneguk air yang dihulurkan oleh Eun Hee. Eun Hee tersenyum hambar.

          Pening kepala Ji Hoon kembali menyerang, sama seperti ketika kejadian itu menimpa Ji Hoon beberapa bulan yang lalu. Eun Hee bimbang jika suaminya dilanda masalah lagi. Tetapi, itu bukan perkara utama. Yang paling dirisaukan jika kecederaan di kepala suaminya yang disebabkan oleh kemalangan beberapa minggu yang lalu masih belum sembuh.

          “ Abang nak tidur sekejap. Kejutkan abang sejam lagi ya?” pinta Ji Hoon. Dia merebahkan diri di atas sofa berangkai tiga. Bantal kecil yang sudah tersedia menghiasi sofa itu diambil lantas diletakkan selesa di belakang kepalanya. Matanya dikatup rapat. Sejurus, kedengaran dengkuran kecil lelaki itu.

          Eun Hee mengemas dulang tadi dan dibawa ke dapur. Ryu Min sudah masuk daripada halaman rumah. Gadis kecil itu sedang mengambil minuman daripada peti ais.

          “ Abang Ji Hoon tidur ke? Ryu Min dengar dia kata sakit kepala,” tanya Ryu Min. Dia mula meneguk jus laici segar daripada peti ais.

          Eun Hee mengangguk. Jarinya dibawa merentangi bibir, meminta Ryu Min agar senyap. Ryu Min turut mengangguk. Dia membawa diri ke tingkat atas, menonton televisyen di ruang menonton di tingkat dua. Eun Hee pula masih di dapur, ingin menyiapkan makan tengah hari. Sesekali, dia menjenguk ke ruang tamu. Melihat sama ada Ji Hoon tersedar dan perlukan sesuatu.


BAHAGIAN kot di bahu dikemaskan sebaik mungkin. Ji Hoon sudah bercermin sejak tadi lagi, malam ini dia akan bertemu dengan Oh Kwang Hee di Jeju Floral Hotel. Menurut surat itu, janji temu itu akan berlangsung tepat jam 8.30 malam. Masih ada satu jam lagi sebelum janji temu itu bermula.

          Eun Hee mula membetulkan kot di belakang suaminya. Ji Hoon hanya mampu tersenyum hambar kepada isterinya. Eun Hee kelihatan seperti biasa, seperti tidak merasakan apa-apa yang tidak enak akan berlaku.

          “ Abang pergi sekejap saja, abang akan balik malam ni juga. Kalau lewat, Eun Hee tidur dululah. Tak payah tunggu abang,” pesan Ji Hoon ketika mereka beriringan turun ke tingkat bawah.

          Eun Hee mengangguk perlahan. Dia merenung kosong sewaktu Ji Hoon membuka pintu kereta. Sebaik sahaja memanaskan enjin, Ji Hoon kembali mendapatkan Eun Hee yang sedang berdiri di muka pintu. Tanpa sebarang kata, tubuh Eun Hee dibawa ke pelukannya. Tergamam Eun Hee dengan perlakuan tiba-tiba suaminya itu. Apatah lagi dia mula berasa tidak sedap hati.

          Lama Ji Hoon memeluk isterinya, seakan-akan tidak mahu dilepaskan. Perlahan-lahan Eun Hee cuba melepaskan diri daripada pelukan suaminya tetapi Ji Hoon makin mengemaskan pelukannya. Eun Hee menggeleng perlahan. Kenapa ni?

          “ Sentiasa ingat yang abang cintakan Eun Hee, walau apa pun yang terjadi,” bisik Ji Hoon sayu. Eun Hee makin bingung.

          Pelukannya dilepaskan. Ji Hoon berpaling berjalan ke kereta tanpa menoleh lagi ke isterinya. Dia langsung tidak melihat sewaktu Eun Hee melambai selamat jalan kepadanya. Matanya dilarikan daripada melihat wajah insan yang dicintainya itu. Skyline GTR segera dipandu keluar dari halaman rumah.

          Eun Hee mengeluh perlahan. Dia tunduk merenung lantai. Dia bingung dengan sikap Ji Hoon sebentar tadi. Langsung tiada lambaian mesra sebelum lelaki itu pergi seperti mana kebiasaannya. Suaminya juga langsung tidak memandang wajahnya. Kelakuan Ji Hoon yang sedemikian menimbulkan kehairanan dalam dirinya. Ji Hoon tidak pernah berkelakuan seperti itu.

          Dia masuk kembali ke dalam rumah. Pintu segera dikunci bagi mengelakkan ada tetamu yang tidak diundang masuk. Eun Hee berjalan merentasi ruang tamu untuk naik ke tingkat atas. Malangnya dia tergelincir ketika kakinya baru sahaja dijejakkan di anak tangga pertama.

          Aduh!

          Eun Hee mengerang kesakitan. Sebelah tangannya terasa sakit kerana terhempap tubuhnya ketika jatuh tadi. Perlahan-lahan dia memicit pergelangan lengan yang terasa sakit. Dia kaku serta merta. Gelang platinum yang tertera nama JiEun jatuh ke lantai. Wajah Eun Hee pucat. Lama dia memerhatikan gelang itu sebelum dengan teragak-agak dia mengambil gelang itu. Dadanya mula berdebar-debar. Serta merta dia terfikirkan suaminya.

          Tolong... Jangan ada perkara tak baik berlaku pada suamiku... Tolonglah...

          Matanya dikatup rapat. Terasa panas sahaja matanya saat ini. Gelang itu dikepal erat lantas dibawa ke dada. Eun Hee berteleku di situ. Makin lama debarannya semakin kuat. Dia mengetap bibir.


KAUNTER pertanyaan di Jeju Floral Hotel menjadi tumpuan Ji Hoon sebaik sahaja dia menjejakkan kaki di lantai lobi hotel lima bintang itu. Tidak ramai orang yang berlegar di lobi, kebanyakannya menjadikan restoran di dalam hotel itu sebagai tumpuan mereka. Seorang penyambut tetamu lelaki tersenyum kepadanya. Mata Ji Hoon melirik sekilas pada tanda nama di dada kiri lelaki itu. Lee Jung Shin.

          “ Boleh saya berjumpa dengan Encik Oh Kwang Hee? Saya diminta ke sini untuk bertemu dengannya,” kata Ji Hoon jelas dan tenang. Lee Jung Shin tunduk hormat sekilas sebentar sebelum menghulurkan sekeping kad berwarna merah kepada Ji Hoon.

          “ Encik Oh Kwang Hee sedang menunggu encik di bilik J-24. Bilik itu berada di tingkat empat,” tutur lelaki itu sopan. Ji Hoon mengangguk. Kad itu dibaca.

          “ Baiklah, terima kasih.”

           Lee Jung Shin mengangguk lagi. Di bibirnya masih terukir senyuman. Matanya mengiringi langkah Ji Hoon yang menuju ke lif. Dia mula menyeringai. Gagang telefon dicapai lantas suatu siri nombor didail. Sabar dia menanti panggilan diangkat.

          Sesampai sahaja Ji Hoon di hadapan bilik J-24, dia mula menarik nafas. Pintu diketuk terlebih dahulu. Langsung tiada suara yang memberi kebenaran agar dia masuk. Ji Hoon tersenyum sinis. Mungkin telahannya benar bahawa ini merupakan suatu perangkap. Tombol pintu dipulas.

          Benar sangkaannya. Langsung tiada orang di dalam. Perlahan-lahan dan berhati-hati dia menapak masuk ke dalam. Sesekali matanya mengerling ke luar. Balkoni bilik hotel itu terbuka. Biliknya juga kemas, langsung tiada tanda-tanda bahawa ada orang menuju ke balkoni yang terbuka.

           Erk?!

          Ji Hoon memegang bahunya yang terasa perit tiba-tiba. Dia mengalih pandang pada bahu kirinya. Mukanya berkerut. Ada jarum yang melekat di situ. Matanya mula kabur. Ada seseorang yang menembak jarum penenang ke bahunya. 

          Siapa?

          Dia berpaling ke belakang. Dalam kabur pandangannya dia dapat menangkap susuk tubuh seorang wanita sesaat. Pandangannya semakin kabur, langsung tidak membolehkannya mengecam wanita itu. Dunianya gelap serta merta. Ji Hoon rebah di lantai balkoni.   

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...