Ai no Kotoba

Colours make your life beautiful, melody makes your life rhythm and harmony makes your life a life - Hana

Semua karya dalam blog ini hak cipta terpelihara penulis. Anda tidak dibenarkan menciplak, me-copy, memplagiat atau with every means to copy it atau mengaku karya itu anda punya.
Semua karya tidak mempunyai kaitan dengan yang hidup mahupun yang sudah meninggal dunia.
Selamat membaca. Peace!

Watashi no Tomodachi :D

Entri Terbaru! Tengok Sini!

Wednesday, April 24, 2013

Endless Love 51




CAHAYA merah lampu yang tergantung melintang di atas pintu wad pembedahan terpadam. Seketika kemudian, perlahan-lahan pintu itu dibuka. Segera Eun Hee dan Ryu Min menerpa ke arah sekumpulan doktor yang keluar. Beberapa orang jururawat menolak sebuah katil keluar. Zachary dan Hyun Min masih duduk di bangku masing-masing. Wajah kedua-duanya kelihatan lesu.

          Seorang doktor pakar lelaki berhenti di hadapan Eun Hee dan Ryu Min. Dia merenung lama pada sepasang mata yang sembap itu. Doktor itu menghela nafas lalu menggeleng perlahan.

          “ Maaf, kami tak dapat selamatkan dia,” ucap doktor itu perlahan. Ryu Min menangis teresak-esak. Eun Hee segera memeluk tubuh kecil itu. Dia memandang wajah doktor itu sebelum mengangguk lesu. Dia membawa Ryu Min mendekati katil di mana sebuah jasad sedang terbujur kaku.

          Eun Hee mengetap bibir. Dikuatkan hatinya untuk menarik kain yang menutupi kepala mayat itu. Dia termengkelan apabila melihat wajah itu dipenuhi dengan luka. Ryu Min memalingkan wajah daripada melihat mayat itu. Gadis kecil itu menangis lagi.

          “ Eun Hee...”

          Lambat-lambat Eun Hee berpaling ke belakang. Zachary dan Hyun Min sedang merenung sayu kepadanya. Dia mengangguk perlahan.

          “ Biarkan dia pergi dengan aman. Maafkan dia walau sudah banyak salah yang dia buat. Walau apapun yang berlaku, dia tetap antara orang yang rapat dengan awak,” kata Zachary perlahan. Eun Hee tersenyum hambar. Dia mengangguk lagi. Bahu Ryu Min diusap lembut.

          “ Kita tak boleh salahkan dia. Dia sesat dalam dunianya sendiri,” celah Hyun Min. Nadanya agak keras. Matanya singgah pada wajah mayat itu.

          Eun Hee dan Zachary turut mengalih pandang pada mayat tersebut. Jasad Seung Hyun terbujur kaku di atas katil. Eun Hee memejamkan matanya rapat. Dia menghela nafas. Dia masih tidak menerima kenyataan bahawa darah dagingnya sendiri tergamak untuk membunuhnya.

          Ternyata Seung Hyun tersilap percaturan kerana melarikan diri daripada cengkaman Hyun Min. Lelaki itu berlari ke arah jalan raya tanpa menoleh ke kiri dan ke kanan. Seung Hyun dilanggar oleh sebuah pacuan empat roda yang melalui jalan itu. Nasibnya tidak baik kerana kehilangan nyawa bahana kemalangan itu.

          “ Kami pulang dulu. Saya akan ke rumah pak cik awak, jelaskan apa yang berlaku. Awak...” Zachary terhenti. Dia mengukir senyum lalu menoleh ke belakang.

          “ ... jagalah Ji Hoon. Saya tahu awak tentu risaukan dia, kan? Saya akan hubungi ibu Ji Hoon. Jangan risau,” sambung Zachary. Eun Hee bungkam. Lesu dia memandang ke belakang Zachary. Dia mengangguk perlahan.

          Zachary menepuk bahu Hyun Min perlahan. Hyun Min mengangguk tanda mengerti. Tangan Ryu Min dipimpin sebelum mereka bertiga berlalu meninggalkan Eun Hee di situ. Eun Hee merenung kosong pada mereka bertiga.

          Lambat-lambat dia mengatur langkah ke hadapan. Dia berhenti di hadapan sebuah wad ICU. Sebelah tapak tangannya dilekapkan pada dinding kaca wad itu. Dia merenung sayu pada sekujur jasad yang terbaring tidak sedarkan diri di dalamnya.

          Eun Hee menggigit bibir. Dia menggeleng perlahan. Sakit hatinya tatkala melihat wayar yang berselirat di tubuh suaminya. Gerakan dada lelaki itu perlahan namun itu sudah cukup untuk menyakinkan dia bahawa suaminya masih lagi bernyawa. Lelaki itu sudah tidak ubah seperti mayat hidup.

          Ji Hoon bernasib baik kerana peluru yang tertembak ke dada kirinya tidak mengenai jantung sebaliknya hanya menggores sedikit pada bahagian paru-paru kirinya. Selepas berjam-jam bertarung dengan nyawa di dalam bilik pembedahan, lelaki itu disahkan selamat namun Ji Hoon tetap memerlukan bantuan alat penafasan untuk membantu dirinya. Ji Hoon masih terlalu lemah untuk bernyawa sendiri.

          Eun Hee mengucup cincin yang baru dipakainya tadi. Berkali-kali dia berdoa agar suaminya akan selamat. Lututnya terasa lemah. Eun Hee terjelepok ke lantai. Dia menangis hiba.


MATANYA dibuka perlahan-lahan. Eun Hee menggosok matanya berulang kali. Imej kabur pada pandangannya semakin jelas. Eun Hee mengangkat wajah. Dia merenung pada seorang wanita yang sedang berdiri di hadapannya. Dia kaget.

          “ Eun Hee!”

          Terus tubuh itu ditarik ke dalam pelukan. Presiden Park menangis di bahu gadis itu. Teragak-agak Eun Hee menepuk belakang ibu mentuanya itu. Pak Cik Nam Gil sedang merenung sayu kepadanya.

          “ Ji Hoon... dia...” kata-kata Presiden Park terhenti. Dia menangis lagi. Bahunya terhinggut lantaran tidak mampu menahan kesedihan yang teramat. Bayangan bahawa satu-satunya anak kandungnya akan meninggalkan dia buat selama-lamanya bermain di minda.

          Eun Hee menggeleng perlahan. Dia cuba mengukir senyum. Kedua-dua tangan wanita itu dielus perlahan, cuba menenangkan gundah hati wanita itu. Presiden Park menarik tangannya daripada pegangan tangan Eun Hee. Sebelah tangannya mengusap rambut gadis yang dicintai sepenuh hati oleh anaknya itu. Wanita itu turut tersenyum sayu.

          “ Ji Hoon tak akan apa-apa, kan? Betul kan, sayang?” tanya Presiden Park. Suaranya tenggelam timbul disulami dengan esakan. Teragak-agak Eun Hee mengangguk mengiakan kata-kata wanita itu.

          “ Puan, benarkan puan muda balik dulu. Pak cik rasa tentu puan muda dah penat tidur kat hospital semalaman. Puan muda jangan bimbang, kami akan jaga tuan muda,” celah Pak Cik Nam Gil namun Eun Hee menggeleng pantas.

          “ Eun Hee balik dulu, ya sayang? Balik, mandi, berehat dulu kat rumah. Lepas tu baru Eun Hee datang balik, ya? Muka Eun Hee dah pucat ni,” pujuk Presiden Park. Dia mengelus pipi Eun Hee. Eun Hee menggeleng lagi. Dia tidak mahu pulang. Dia mahu kekal di sini untuk menjaga Ji Hoon.

          “ Baliklah dulu. Macam mana kalau jadi apa-apa kat Eun Hee?” Presiden Park memujuk lagi. Gundah hatinya melihat sepasang mata yang kelihatan seolah menyimpan seribu kesedihan. Kepala menantunya diusap lagi.

          Eun Hee menggeleng keras. Dia merenung penuh pengertian pada ibu mentuanya namun Presiden Park hanya menggeleng. Eun Hee tertunduk penuh hampa. Bahunya dipeluk erat oleh wanita itu.

          “ Lepas ni sayang datang lagi ya? Ji Hoon tentu tak nak bila dia sedar nanti, isterinya pula yang sakit. Ya, sayang?”

          Lambat-lambat Eun Hee mengangguk. Dia terpaksa menurut sahaja permintaan wanita itu. Pipinya dicium Presiden Park sebelum dia melangkah pergi. Matanya terhenti pada jasad kaku Ji Hoon tatkala dia melintasi wad itu.


SUASANA sepi menyelubungi wad kelas pertama itu. Mata masing-masing tertumpu pada  kelakuan seorang doktor dengan dua orang jururawat yang sedang membuang wayar-wayar yang berselirat pada tubuh Ji Hoon. Alat bantuan penafasan ditanggalkan daripada lelaki itu. Ji Hoon sudah mampu untuk bernafas sendiri.

          Selepas pemantauan rapi selama 24 jam, doktor yang merawat lelaki itu mengesahkan bahawa Ji Hoon sudah melepasi tahap kritikal. Degupan jantungnya kembali normal walau Ji Hoon masih belum menunjukkan tanda-tanda akan sedarkan diri. Ji Hoon dipindahkan ke wad kelas pertama seperti mana yang diminta oleh Presiden Park.

          Di suatu sudut, Eun Hee menitiskan air mata kegembiraan. Dia tersenyum saat melihat wajah suaminya yang kelihatan sedikit mengembang lantaran penggunaan alat bantuan pernafasan hampir semalaman. Suaminya akan selamat! Itulah berita yang dinanti-nantikan olehnya sejak lelaki itu dimasukkan ke dalam wad ICU sejak semalam.

          “ Eun Hee....”

          Baik Eun Hee mahupun yang lain-lain terkejut mendengar suara itu. Zachary dan Hyun Min saling berpandangan. Presiden Park pula menangis gembira. Pak Cik Nam Gil yang berdiri di hujung bilik hanya mengangguk lesu. Mulut Ji Hoon terkumat kamit menyeru nama Eun Hee. Jari jemarinya bergerak sedikit. Eun Hee menekup mulut. Matanya tidak berkalih daripada wajah pucat Ji Hoon.

          “ Eun Hee...”

          Tanpa mengendahkan pandangan orang lain di dalam wad itu, Eun Hee segera menerpa mendapatkan Ji Hoon. Tangan yang sejuk itu digenggam erat. Dikucup lembut jemari dingin itu. Hangat air matanya mengenai tangan Ji Hoon.

          “ Eun... Hee...” Nada suaranya menyeru Eun Hee semakin perlahan sebelum tenggelam dalam bunyi nafas Ji Hoon. Eun Hee termengkelan. Lama dia merenung wajah yang tidak bermaya itu.

          Eun Hee menarik nafas. Perlahan-lahan dia melepaskan pegangan tangannya pada jemari Ji Hoon. Dia menggeleng. Tanpa memberi reaksi apa-apa dia meninggalkan wad itu. Presiden Park dan Pak Cik Nam Gil terkedu dengan perlakuan Eun Hee. Mereka berdua saling berpandangan. Hanya Zachary dan Hyun Min sahaja yang mengangguk mengerti.

          Eun Hee berjalan ke sekitar koridor hospital. Langkahnya terhenti saat dia membelok ke kanan. Pak Cik Dam Shik sedang merenungnya sayu. Mata lelaki itu basah.

  
MEREKA berdua sama-sama menyepi tatkala mengambil tempat di bangku taman hospital itu. Hanya angin yang menderu sahaja yang menyapa sepi kehadiran mereka di taman yang menghijau itu. Pak Cik Dam Shik mengepal kemas kedua-dua buku limanya. Wajahnya ditundukkan.

          “ Maafkan pak cik,” kata lelaki itu perlahan. Eun Hee tersentak.

          “ Maafkan pak cik, pak cik memang ayah yang tak guna!” Lelaki itu mula tersedu sedan. Eun Hee kaget apabila melihat lelaki itu menangis. Inilah pertama kali dia melihat bapa saudaranya sebegitu.

          “ Kalau pak cik pandai didik anak, tentu... tentu Seung Hyun tak jadi macam ni...” esak Pak Cik Dam Shik. Eun Hee menggeleng pantas. Dia menepuk lembut bahu bapa saudaranya itu.

          Bapa saudaranya tidak bersalah. Lelaki itu sudah berjaya dalam mendidik anak-anaknya tatkala ibu saudaranya meninggal dunia. Ryu Min membesar dengan baik dalam jagaan lelaki itu. Cuma Seung Hyun sahaja yang tersesat dalam liku-liku kehidupannya. Kerana gagal mengawal nafsu dan tamakkan harta lantaran hidup susah sejak kecil, lelaki itu tersasar jauh daripada lapangan asalnya.

          “ Pak cik kesal... apa yang kurang hingga Seung Hyun sanggup bertindak jauh? Dia tergamak nak bunuh kamu! Sepupunya sendiri! Darah dagingnya!” bentak Pak Cik Dam Shik. Lelaki itu mengongoi.         
  
          Eun Hee segera menghalang tatkala Pak Cik Dam Shik meluru ke hadapan lalu menghentak kepalanya pada sebatang pokok. Lelaki itu kelihatan sudah hilang kawalan lantaran kecewa dengan perubahan yang tidak disangka-sangka oleh anaknya. Bahu bapa saudaranya itu ditarik ke belakang.

          “ Pak cik malu dengan kamu...” Mata basah Pak Cik Dam Shik merenung hiba pada wajah Eun Hee. “ ... pak cik malu dengan mendiang ibu bapa kamu... apa kata mereka kalau kamu hampir mati di tangan sepupu kamu sendiri?”

          Eun Hee menghela nafas. Dia menarik tangan bapa saudaranya lalu diusap perlahan. Dia menggeleng perlahan. Tiada apa yang hendak dimalukan. Lelaki itu menjaganya dengan baik selepas kepergian ibu bapa dan abangnya. Lelaki itu sudah banyak berbakti kepadanya.

          “ Maafkan pak cik... Eun Hee...” Dia memeluk tubuh anak saudaranya itu. Eun Hee tersenyum hiba. Dia mengangguk.


“ KAMI pulang dulu. Eun Hee, kamu duduk kat sini ke?”

          Zachary merenung Eun Hee tatkala mahu menghampiri pintu diikuti oleh Hyun Min. Eun Hee mengangguk pantas lalu dia menoleh ke arah ibu mentuanya. Presiden Park mengangguk membenarkan. Wanita itu tersenyum.

          “ Terima kasih sebab sanggup jaga Ji Hoon...” ucap Presiden Park. Ada sendu dalam percakapannya. Eun Hee turut tersenyum.

          Dia mengambil tempat di sisi katil sesudah kesemua mereka telah pergi. Pandangan matanya singgah di wajah Ji Hoon yang masih lagi pucat. Diusap perlahan pipi suaminya. Eun Hee menarik senyum.

          Sebelah tangannya menggengam kemas tangan Ji Hoon. Tangan suaminya sudah tidak sejuk seperti tadi. Dia mengucup hangat jemari kaku itu.

          Malam sudah semakin larut. Eun Hee sudah mula terkuap-kuap menahan kantuk. Dia menggosok matanya, cuba mengelakkan dirinya daripada terlena. Namun, dia tewas juga. Perlahan-lahan kepalanya terkulai di atas katil Ji Hoon. Pegangan tangannya masih tidak dilepaskan. Dia terlena.

          Malam sudah semakin larut tatkala Ji Hoon membuka matanya. Kehangatan tangan Eun Hee menggengam tangannya mengejutkan dia. Perlahan-lahan dia menoleh ke sebelah kirinya. Dia menarik senyum apabila melihat Eun Hee sudah tertidur lantaran kepenatan. Dia cuba bangun, mahu menyelimutkan Eun Hee yang kesejukan namun dia tidak berdaya. Ji Hoon terbaring berputus asa. Kesakitan pada dadanya masih lagi terasa.

          Dia mengusap lembut kepala isterinya penuh kasih sayang. Ji Hoon turut mengemaskan pegangan tangannya pada tangan Eun Hee. Dia menguntum senyum apabila melihat sebentuk cincin berada di jari manis gadis itu. 

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...