Ai no Kotoba

Colours make your life beautiful, melody makes your life rhythm and harmony makes your life a life - Hana

Semua karya dalam blog ini hak cipta terpelihara penulis. Anda tidak dibenarkan menciplak, me-copy, memplagiat atau with every means to copy it atau mengaku karya itu anda punya.
Semua karya tidak mempunyai kaitan dengan yang hidup mahupun yang sudah meninggal dunia.
Selamat membaca. Peace!

Watashi no Tomodachi :D

Entri Terbaru! Tengok Sini!

Saturday, July 31, 2010

Eternal 6

-->


JAKET kulit hitam disarung pada tubuhnya menggantikan kot hitam yang selama ini dipakai. Ryuu menyarung pistol pada tali pinggang. Cuaca pada hari ini agak sejuk walaupun musim bunga sudah menjengah. Ryuu melihat ke luar kondominium. Hari sudah lama siang.

          Ryuu keluar daripada biliknya dan melangkah ke bilik Sakura. Pintu bilik diketuk terlebih dahulu tanpa memulas tombol pintu . Kedengaran suara Sakura menyahut dari dalam bilik. Pintu dibuka.

          “ Kau dah makan?” Soalan lazim Ryuu buat gadis itu jika bertemu. Sakura mengangguk. Ryuu menarik nafas. Dia merenung seketika pada wajah gadis itu. Ryuu tidak masuk ke dalam bilik, hanya sekadar berdiri di hadapan pintu bilik.

          “ Aku nak keluar. Pastikan kau jangan terlalu banyak bergerak. Kaki kau masih belum sembuh lagi. Aku tak nak luka tu makin melarat. Hati-hati bila ke bilik air,” pesan Ryuu seperti seorang ayah. Sakura menggigit bibir. Dia teringatkan peristiwa dia terjatuh ke dalam bilik air beberapa hari yang lalu. Ryuu mengangguk sekilas sebelum menutup pintu bilik Sakura. Sakura termangu.

          Sakura melabuhkan duduk di atas katil. Di situ dia termenung panjang. Ryuu mahupun dia tidak menyentuh langsung berkenaan Yamashita Kazuo sejak hari itu. Tidak pernah. Apa yang dia sering fikirkan kini hanyalah untuk melarikan diri. Patut atau tidak dia melarikan diri? Hatinya meronta-ronta mahu keluar dari kondominium ini dan kembali ke tempat asalnya namun akalnya menghalang. Setiap kali dia memikirkan jalan untuk melarikan diri, setiap kali itu jugalah akalnya menghalang. Memikirkan kemungkinan dia akan dikenakan dengan tindakan yang teruk oleh Ryuu jika ditangkap sekali lagi menghalang dirinya untuk melarikan diri.

          Tapi, sampai bila aku harus macam ni? Aku ada hidup aku sendiri, apa yang aku nak kecapi. Patut atau tidak aku melarikan diri?

          Sakura mengeluh berat. Tidak mahu mengusutkan fikirannya, dia bangun lantas berjalan keluar dari bilik. Dia kebosanan terkurung di dalam kondominium mewah itu. Terasa segala pergerakannya terbatas. Dia menuju ke ruang tamu. Dia dapat melihat longgokan baju yang masih belum dilipat di atas sofa.


KEDENGARAN ketukan di pintu. Pak Cik Ukie masuk ke dalam pejabat Ryuu setelah mendengar  suara lelaki itu memberi kebenaran untuk masuk. Ryuu segera mengalih perhatian daripada fail kepada tuan empunya badan yang kini sedang berdiri di hadapannya. Fail itu ditutup lantas ditolak ke tepi.

          “ Kenapa, pak cik?” tanya Ryuu apabila melihat Pak Cik Ukie masih belum mengeluarkan suara untuk berbicara. Pak Cik Ukie mengukir senyum nipis. Ryuu mempersilakan lelaki itu duduk di hadapannya. Pak Cik Ukie hanya menurut sahaja.

        “ Encik Oda telefon tadi. Dia kata Tuan Mathias berpuas hati dengan rancangan kita. Dia nak tengok hasilnya nanti,” kata Pak Cik Ukie. Ryuu sekadar mengangguk. Dia lebih kerap mengangguk sebagai tanda mengiakan daripada mengatakannya melalui mulut. Itu memang perangainya sejak kecil lagi. Kurang bercakap walau dengan keluarganya sendiri.

          “ Baguslah kalau macam tu,” jawabnya ringkas.

          Surat khabar yang terletak di sisi meja dicapai. Ryuu membelek ke muka surat yang memaparkan akhbar tempatan. Keningnya terangkat apabila membaca tajuk yang berjaya menarik perhatiannya. Tajuk akhbar itu dibaca sekali lagi tanpa menghiraukan kehadiran Pak Cik Ukie yang masih berada di hadapannya.


PEMBUNUHAN BERAMAI-RAMAI DI SELATAN SHIBUYA


          Ryuu melihat pada gambar yang tertera di muka surat itu. Hanyalah gambar yang memaparkan kemusnahan sebuah rumah lama. Kelihatan beberapa mayat yang ditutupi dengan kain hitam berhampiran dengan rumah itu. Beberapa orang anggota polis sedang melakukan siasatan di kawasan berhampiran. Mata Ryuu melirik pada keratan artikel akhbar.


… pihak polis mengesyaki pembunuhan ini mempunyai kaitan dengan kumpulan yakuza di negara ini. Mangsa yang terlibat juga disyaki merupakan anggota sebuah kumpulan yakuza namun sehingga sekarang identiti mangsa masih belum boleh dikenalpasti. Jurucakap polis mengandaikan pembunuhan ini terjadi mungkin disebabkan oleh perbalahan sesama kumpulan yakuza…


          Ryuu merengus perlahan. Belum sempat artikel itu habis dibaca, dia meletakkan kembali akhbar itu di atas meja. Dia mengalih perhatian pada Pak Cik Ukie yang masih setia menunggunya.

          “ Hal yakuza mana?” tanya Ryuu merujuk kepada artikel itu.

          “ Pak cik syak ini masalah dalaman antara ahli Yakuza Gorou. Ada khabar mengatakan mereka sedang mengalami konflik dalaman selepas Tuan Nagamaru mati dibunuh mafia Perancis. Kedua-dua anak lelaki mendiang mahu mengetuai Yakuza Gorou dan Gorou sudah berpecah kepada dua sekarang,” kata Pak Cik Ukie. Ryuu termenung sejenak.

          “ Bukan ke Jiro ada hubungan baik dengan Gorou?” tanya Ryuu lagi. Pantas Pak Cik Ukie mengangguk. Dia sememangnya arif dalam hal yang melibatkan kumpulan yakuza yang lain. Sudah berpuluh-puluh tahun dia berkecimpung dalam dunia yakuza. Walaupun pada zahirnya Pak Cik Ukie kelihatan lembut dan sopan dalam setiap pertuturan dan tingkah lakunya, namun jika lelaki itu sudah memegang sebarang senjata, dia boleh bertukar menjadi seorang pembunuh yang kejam.

          “ Gorou dan Jiro memang ada hubungan baik dan sekarang, dengarnya Jiro turut membantu dalam menyelesaikan masalah ni. Tapi, pak cik fikir Jiro ada adegan tersembunyi di sebalik bantuan mereka. Sekarang, Tuan Nagamaru dah mati dan Gorou mengalami konflik dalaman. Tak mustahil kalau Jiro nak cuba ambil alih kesemua aset Gorou,” kata Pak Cik Ukie. Ryuu menyandarkan tubuhnya pada kerusi. Ada benarnya kata Pak Cik Ukie. Kini pun dia sedang mengalami perbalahan dengan Takuji, anak lelaki Tuan Sakate. Nampaknya dia perlu berhati-hati. Tidak mustahil jika ada serangan hendap yang akan berlaku pada hari mereka menyeludup masuk senjata-senjata itu.

          Ryuu bangun daripada kerusi. Dia berdiri di hadapan Pak Cik Ukie. Wajahnya kelihatan tegang. Pak Cik Ukie turut bangun daripada kerusinya. Dia menunggu bicara Ryuu yang selanjutnya.

          “ Saya nak pihak kita berhati-hati. Pastikan kumpulan infantri elit kita bersiap sedia dengan sebarang kemungkinan yang akan terjadi pada malam Sabtu itu,” kata Ryuu tegas. Pak Ukie termangu-mangu namun dia hanya mengangguk. Pastinya Ryuu dapat mencium bahaya. Jika tidak, kenapa lelaki itu kelihatan begitu cemas sedangkan Ryuu terkenal dengan sikapnya yang tenang?

          “ Pastikan operasi tu berjaya,” kata Ryuu lagi. Pak Cik Ukie mengangguk.

          “ Baiklah, Tuan Ryuu.”

          Ryuu meraup wajah. Entah kenapa dia merasa cemas kali ini sedangkan sudah banyak operasi yang berisiko tinggi sudah dilakukannya. Entah kenapa, perasaannya berubah menjadi tidak enak. Seolah-olah ada sesuatu yang buruk bakal berlaku tidak lama lagi.


RYUU membuka pintu kondominiumnya. Jam di dinding direnung seketika. 7.45 malam. Suasana dalam rumah cerah dengan limpahan cahaya lampu pendafluor. Tentu Sakura yang memasangnya kerana Ryuu hanya akan membuka lampu di bahagian laluan menuju ke ruang tamu sahaja. Laluan itu menghubungkan ruang tamu dengan pintu keluar unit kondominium itu.

          Sesuatu menarik perhatiannya. Dia melihat sekitar ruang tamu itu. Susunan bantal pada sofa kelihatan kemas dan teratur. Begitu juga dengan majalah dan akhbar yang pada asalnya berselerakan di atas meja kopi di hadapan sofa kelihatan kemas tersusun di pelantar bawah meja kopi itu. Baju yang sudah berbasuh yang juga pada asalnya dilonggokkan di atas sofa juga sudah dilipat dengan kemas. Kening Ryuu bercantum.

          “ Sakura?” panggil Ryuu seraya melabuhkan duduk di atas sofa yang terletak di ruang tamu. Jaket ditanggalkan. Ryuu memejamkan mata. Dia bersandar pada sofa berangkai tiga itu. Sesekali dia mengurut lehernya yang terasa lenguh.

          Panggilannya dibiarkan lama tanpa sahutan. Akhirnya Ryuu membuka mata. Kedengaran bunyi di bahagian dapur. Dia juga mencium bau masakan. Ryuu semakin kehairanan. Dia mengatur langkah ke dapur. Ryuu menjenguk ke dalam.

          Kelihatan Sakura sedang menghidangkan makanan di atas meja. Langkah gadis itu perlahan daripada kaunter menuju ke meja makan yang mempunyai dua kerusi itu. Kaki Sakura masih lagi berbalut. Leka gadis itu melakukan kerjanya tanpa menyedari kehadiran Ryuu. Perlahan-lahan Ryuu memasuki dapur. Derap langkahnya langsung tidak kedengaran.

          “ Sakura?”

          Bahu Sakura terhinggut sedikit kerana terkejut dengan sapaan itu. Hampir sahaja mangkuk nasi terlucut daripada genggamannya. Sakura berpusing ke belakang. Dia tergamam apabila melihat Ryuu berada di belakangnya. Jarak antara kedudukan mereka berdua terlalu dekat. Hampir sahaja kepalanya bertemu dengan dada Ryuu sewaktu berpusing tadi. Tiba-tiba sahaja wajahnya merona merah.

          “ Kenapa kau masak?” tanya Ryuu tanpa mempedulikan pipi Sakura yang mula memerah. Dia melihat ke meja makan. Boleh dikatakan banyak juga lauk yang dihidangkan. Sakura menelan liur. Agak-agaknya Ryuu marah tak kalau aku cakap perkara yang sebenar? Err…

          “ Sakura?” panggil Ryuu lagi. Kali ini dia memandang pada wajah itu. Sakura mendongak melihat pada wajah Ryuu. Seketika kemudian dia kembali menunduk ke lantai. Mangkuk di tangannya dipegang erat. Terketar-ketar tangannya tika itu.

          “ Err… saya bosan… tak ada apa yang boleh dibuat. Jadi… saya masaklah… awak… marah ke?” tanya Sakura. Tersekat-sekat suaranya ketika berbicara. Dia kembali merenung wajah Ryuu. Tidak dapat ditafsirkan apa yang sedang Ryuu fikirkan sekarang. Marah ke?

          “ Bosan sangat ke sampai awak buat kerja-kerja rumah?” tanya Ryuu lagi. Dia teringatkan persekitaran ruang tamu yang sudah kelihatan kemas. Dia melihat gadis itu teragak-agak mengangguk. Ryuu mengeluh.

          “ Kaki kau dah baik?” Kali ini soalan Ryuu tertumpu pada luka di kaki Sakura pula. Sakura melihat pada kakinya yang masih berbalut. Sakitnya masih terasa namun tidaklah sekuat beberapa hari yang lalu. Dia sudah boleh berjalan walaupun langkahnya sumbang sedikit.

          “ Dah okey… kot?”

          Ryuu menggelengkan kepalanya. Dia mengambil mangkuk di tangan Sakura dan mengheret gadis itu duduk di meja makan. Sakura terpinga-pinga apabila melihat Ryuu mengisi mangkuknya dengan nasi. Sebuah mangkuk diletak di hadapan Sakura manakala sebuah lagi diletakkan di hadapannya. Ryuu mengambil lauk tempura di hadapannya. Sebelum sempat dia menikmati hidangan, Sakura memanggilnya. Perlahan sahaja nada gadis itu.

          “ Awak… tak takut ke kalau saya letak racun?” tanyanya teragak-agak. Tidakkah lelaki itu terfikir mungkin ini hanya helahnya untuk melarikan diri? Meracuni makanan dan membiarkan Ryuu memakannya. Helah ini boleh dikatakan boleh membantunya untuk melarikan diri.

          Mata Ryuu tepat merenung wajah Sakura. Lama dia berkeadaan sedemikian sehinggakan Sakura merasa tidak selesa. Ryuu meletakkan chopstick di atas mangkuk. Dia menggelengkan kepalanya. Sakura termangu. Kenapa?

          “ Kenapa awak tak takut?” tanya Sakura berani. Ryuu menggelengkan kepalanya sekali lagi. Matanya tidak lepas daripada merenung wajah gadis itu.

          “ Sebab aku percayakan kau,” katanya ringkas. Sekali lagi Sakura tergamam. Dia kehilangan kata-kata. Hatinya terusik dengan kata-kata lelaki itu.

          Ryuu mula menyuap makanan. Setiap perilakunya teratur dan tidak gopoh. Sakura hanya meneguk air. Mindanya sedang memikirkan sesuatu. Semudah itu lelaki ini percayakan dia? Tidakkah lelaki itu tahu dia boleh berbuat demikian jika dia sudah terdesak? Semakin lama dia semakin tidak memahami lelaki yang sedang berada di hadapannya kini. Ryuu langsung tidak mempunyai tanda-tanda bahawa dia merupakan lelaki berdarah dingin yang akan membunuh mangsanya tanpa belas kasihan.  


p/s: tak lama lagi Hana kena duduki Japanese Language Exam. nak kena fokus kat exam tu dulu so may be tak dapat nak post entry dengan kerap  :) sorry


하나

Friday, July 16, 2010

Eternal 5

-->


TERHINCUT-HINCUT Sakura berjalan keluar daripada biliknya. Kakinya masih sakit lagi namun dia sudah cukup kuat untuk melangkah perlahan-lahan. Sesudah mandi tadi, dia terus keluar dari bilik. Jam baru sahaja menunjukkan pukul 6.30 pagi. Keadaan di luar bangunan sudah cerah dilimpahi cahaya matahari. Sakura mengukir senyuman secara tiba-tiba apabila melihat cerahnya suasana di luar.

          “ Kau nak ke mana?”

          Teguran itu menghentikan langkah Sakura serta merta. Dia menoleh ke belakang. Ryuu sedang tercegat berdiri di belakangnya. Lelaki itu hanya mengenakan jeans dan kemeja T hitam. Pakaian kebiasaan buat Ryuu. Setakat ini, belum pernah lagi Sakura melihat lelaki itu mengenakan pakaian lain selain daripada jeans, kemeja T hitam dan kot hitam.
 
          “ Nak ke beranda. Saya dah lama tak tengok suasana luar,” kata Sakura perlahan. Dia memberanikan diri melihat pada wajah lelaki itu. Mungkin Ryuu tidak teruk sangat, apatah lagi memikirkan bahawa lelaki itulah yang menyelamatkan dia daripada rumah Yamashita yang terbakar tempoh hari walaupun lelaki itu menyelamatkannya kerana bersebab. Ryuu terdiam, seakan-akan sedang memikirkan sesuatu. Tidak lama kemudian dia merenung kembali pada wajah gadis itu.

          “ Nak tengok suasana luar? Kita ke taman permainan kat bawah, ya?” putus Ryuu. Sakura terkesima. Perlawaan Ryuu amat aneh kedengaran di telinganya. Berjalan-jalan di taman permainan? Dengan Ryuu? Lelaki ini?

          “ Jom.”

          Ryuu hanya memapah Sakura sepanjang perjalanan mereka ke taman permainanan yang tersedia dalam kawasan kondominium itu. Sakura masih kehairanan namun dia tidak mengatakan apa-apa. Kadang-kadang, dia merasakan dia bukannya tawanan lelaki itu apabila memikirkan layanan yang diterima sepanjang berada di kediaman Ryuu. Boleh dikatakan Ryuu tidak ubah seperti penjaganya sekarang.

          Mereka berdua duduk di buaian yang kosong. Taman permainan itu hanya dipenuhi dengan kanak-kanak di usia tadika. Permainan yang tersedia pula amat banyak. Boleh dikategorikan sebagai taman tema kecil tanpa Ferris Wheel, Marry-Go-Round dan kiosk-kiosk kecil yang terdapat di taman tema. Sakura dan Ryuu hanya duduk sambil memerhatikan kanak-kanak kecil itu bermain.

          “ Boleh aku tanya sesuatu?” kata Ryuu memecahkan kesunyian antara mereka. Ada sesuatu yang dia rasa gadis itu harus tahu. Sakura mengangguk sekilas. Dia menekur tunduk merenung tanah. Kakinya digerakkan sedikit.

          “ Apa hubungan kau dengan keluarga Yamashita?” soal Ryuu. Dia menoleh ke sisi kanannya, merenung wajah gadis itu. Sakura terdiam. Memikirkan apa yang patut dikatakan olehnya. Jika difikirkan kembali, mungkin dia tidak patut menceritakannya pada Ryuu. Ryuu jugalah orang yang bertanggungjawab mengarahkan rumah peninggalan mendiang Yamashita itu dibakar.

          “ Yamashita… keluarga angkat saya,” kata Sakura perlahan. Kening Ryuu terjungkit. Dia hanya mendiamkan diri, menunggu bicara selanjutnya daripada gadis itu. Namun itu hanyalah sia-sia. Sakura mendiamkan diri sesudah bercakap.

          Ryuu mendongak menengadah langit. “ Kau tahu apa pekerjaan sebenar Yamashita Kazuo?”

          Yamashita Kazuo, lelaki yang bertanggungjawab memeliharanya semenjak dia masih bayi sehinggalah hampir 23 tahun dia bernafas di bumi ini. Sakura menggeleng. Lelaki tua itu hanyalah bekerja kampung dan mempunyai kebun dan sawah miliknya sendiri. Kadang-kadang, lelaki tua itu akan menjadi penglipur lara bagi kanak-kanak di kawasan rumahnya dahulu. Sakura menoleh ke arah Ryuu. Ryuu sedang memandang tepat pada wajahnya.

          “ Yamashita Kazuo sebenarnya seorang samurai yang juga merupakan anggota kanan Yakuza Ryuu, ,” kata Ryuu tanpa riak. Bulat mata Sakura mendengar penyataan lelaki itu. Samurai? Yakuza?

          “ Awak… tipu…” kata Sakura tersekat-sekat. Jika dikatakan Yamashita Kazuo itu merupakan samurai, perkara itu dia masih boleh terima tetapi apabila Ryuu mengatakan bahawa lelaki tua itu merupakan seorang yakuza, itu langsung tidak boleh diterima akal. Yakuza terkenal dengan keganasan mereka sedangkan sepanjang berpuluh-puluh tahun dia hidup bersama Yamashita, tidak pernah walau sekalipun dia dikasari oleh lelaki tua itu.

          Ryuu mengangguk. Tentu sukar buat gadis itu untuk menerima kenyataan yang sebenarnya namun itulah hakikatnya. Yamashita Kazuo merupakan sahabat baik mendiang bapanya dan merupakan orang paling kanan dalam organisasi mereka. Tetapi, sesuatu telah berlaku dan Yamashita keluar daripada Yakuza Ryuu dan bermusuhan dengan mendiang bapanya. Apa yang terjadi, tidak pula Ryuu ketahui.

          “ Tapi… saya…”

          “ Mungkin sukar untuk kau percaya, tetapi tulah hakikatnya. Nak tak nak, kau terpaksa terima,” kata Ryuu. Dia menekankan pada perkataan terpaksa. Sakura menelan liur. Dia menafikan kata-kata Ryuu tetapi hatinya seakan-akan percaya dengan kata-kata lelaki itu. Dia mula berbelah bahagi.

          “ Awak tipu!” tekan Sakura. Nadanya tinggi daripada kebiasaannya. Geram benar dia dengan tuduhan Ryuu terhadap lelaki yang telah menjaganya selama ini. Muka Sakura berubah menjadi kemerah-merahan.

          “ Awak tak boleh tuduh macam tu je! Atuk Kazuo tak pernah dah tak akan menjadi yakuza!” marah Sakura. Dadanya berombak menahan rasa marah. Wajah Ryuu turut berubah. Ini kali pertama dia melihat gadis itu marah sebegini rupa. Sakura mengetap bibir apabila melihat wajah Ryuu yang kembali tenang.

          “ Atuk Kazuo bukan seorang yakuza! Awak tipu! Awak…”

          “ Haruno Sakura!”

          Kata-kata Sakura terputus di situ. Ryuu memanggilnya dengan namanya yang sebenar. Wajah lelaki itu berubah menjadi merah padam. Tajam mata lelaki itu menikam wajahnya. Renungan lelaki itu seakan-akan menyimpan bicara yang tidak difahami olehnya. Sakura menelan liur. Dia mula berasa gerun.

          “ Ini kenyataan dan kau harus terima,” tegas Ryuu bersuara. Sakura menggeleng perlahan. Enggan percaya dengan kata-kata Ryuu terhadap mendiang Yamashita. Lelaki itu cukup dihormatinya selama ini dan dia tidak mahu kata-kata Ryuu meracuni fikirannya.

          Sakura bangun daripada duduknya di buaian. Tindakannya mengundang perhatian Ryuu apatah lagi apabila melihat gadis itu mula berjalan meninggalkannya. Ryuu tidak berkata apa-apa sebaliknya dia turut bangun. Dia berjalan pantas menghampiri gadis itu dan mula memaut kemas bahu gadis itu apabila Sakura mula meronta ingin melepaskan pautannya.

          “ Lebih baik kau duduk diam. Jangan sampai aku dukung kau naik atas,” kata Ryuu perlahan namun kedengaran tegas. Sakura menelan liur. Pautan Ryuu kemas di bahunya.


BEBERAPA orang lelaki berkot hitam segera memberi tunduk hormat apabila Ryuu berjalan melintasi mereka. Ryuu hanya mengangguk perlahan. Pintu pejabatnya dibuka. Kelihatan Pak Cik Ukie dan dua orang lelaki Jepun lain sedang menunggunya. Ryuu mendekati mereka. Pak Cik Ukie memberi tunduk hormat kepada ketuanya itu sebelum memperkenalkan kedua-dua orang lelaki Jepun itu kepada Ryuu.

          “ Kenalkan, ini Encik Taguwo Kin manakala ini Encik Oda Taro. Kedua-duanya wakil Tuan Mathias di Jepun,” kata Pak Cik Ukie. Ryuu mengukir senyum nipis. Kedua-dua lelaki itu memberi tunduk hormat. Ryuu hanya mengangguk. Mereka berempat duduk di sofa yang tersedia dalam pejabat Ryuu.

          “ Tuan Mathias sampaikan salamnya pada Tuan Kamenashi Ryuu. Dia akan adakan majlis sempena kejayaan Yakuza Ryuu mendapatkan hak membawa kemasukan senjata-senjata itu ke dalam Jepun,” tutur Encik Taguwo. Lelaki di sebelahnya hanya mengangguk. Apabila melihat lelaki itu mahu bersuara kembali, pantas Ryuu mengangkat sebelah tangannya meminta lelaki itu menghentikan bicaranya.

          “ Tak ada apa-apa yang perlu diraikan lagi. Pihak Ryuu masih belum membawa masuk senjata-senjata itu jadi saya fikir semua ini tidak perlukan diraikan,” kata Ryuu tegas. Walaupun melakukan kerja-kerja haram tetapi Ryuu seorang yang amat komited dengan kerja-kerja yang dilakukannya.

          “ Baik… baiklah, Tuan Kemenashi. Err… berkenaan dengan senjata-senjata itu, semuanya sudah dirancang. Kami hanya menunggu tindakan daripada pihak Ryuu sahaja,” kata Encik Toguwa. Ryuu mengangguk.

          “ Kami akan laksanakan semuanya pada malam Sabtu hari Jumaat ini. Lebih kurang masih ada enam hari sebelum semuanya dijalankan. Semuanya akan selamat di tangan kami,” kata Ryuu penuh keyakinan. Wajah kedua-dua wakil Mathias itu berubah mendadak.

          “ Ada masalah ke, encik?” tanya Pak Cik Ukie. Dia turut menyedari perubahan di wajah kedua-dua lelaki tempatan itu. Encik Oda berdehem. Encik Taguwo mendiamkan diri. Ryuu tidak menyoal sebaliknya hanya menunggu kedua-dua lelaki itu berbicara. Itu caranya. Menunggu pihak lain terlebih dahulu bercakap melainkan jika terpaksa.

          “ Bukan, kami tak ada masalah cuma kami… terkejut. Bagi kami, ini terlalu cepat berbanding ketika kami berurusan dengan yakuza lain,” kata Encik Oda. Ryuu tidak memberi sebarang reaksi. Benar atau tidak kata-kata lelaki itu tidak dapat dia pastikan. Barangkali lelaki itu hanya memaniskan mulut memuji Yakuza Ryuu. Bermanis mulut dan pujian-pujian memungkinkan hubungan antara dua buah organisasi bertahan lebih lama.

          “ Ini cara pihak kami melakukan kerja. Jika bertangguh-tangguh, rahsia boleh terbongkar dan kemungkinan besar pihak berkuasa sudah bersiap sedia untuk memberkas sesiapa yang terlibat,” kata Ryuu. Encik Taguwo mengangguk. Begitu juga dengan Encik Oda di sisinya.

          “ Sudah tentu kerjasama kita akan membuahkan hasil yang lumayan pada kedua-dua pihak,” kata Encik Oda. Ryuu mengangguk. Perbincangan mereka sudah selesai. Tidak perlu memanjangkan perbicaraan jika matlamat sudah hampir dicapai. Ryuu sendiri tidak gemar dengan perbicaraan yang panjang. Cukup sahaja dengan pertemuan yang sedikit dan matlamat kedua-dua pihak tercapai.

          “ Kami minta diri dulu. Kami akan khabarkan pada Tuan Mathias. Tuan masih berada di Russia waktu ni,” kata Encik Taguwo. Selesai sahaja kesemua urusan, mereka berdua keluar daripada pejabat itu diiringi seorang lelaki yang dipanggil oleh Pak Cik Ukie. Pintu pejabat ditutup.

          “ Tuan?” sapa Pak Cik Ukie apabila melihat Ryuu sedang melelapkan mata di sofa. Ryuu menggumam. Pak Cik Ukie mengambil tempat di hadapan Ryuu yang masih memejamkan mata.

          “ Bahagian elit kita sudah bersiap sedia. Pak cik akan ke tempat operasi itu malam Sabtu ini. Orang kita yang berada di bahagian pihak berkuasa akan memaklumkan jika ada perubahan rancangan,” kata Pak Cik Ukie. Ryuu mengangguk. Dia membuka mata.

          “ Saya akan mengetuai operasi tu,” tutur Ryuu. Pak Cik Ukie mengangguk. Arahan seorang ketua tidak akan sesekali dibantah, itu prinsipnya walaupun kadang kala apa yang diarahkan oleh Ryuu terlalu berisiko.


WAJAH lelaki di hadapannya direnung. Sesekali dia berfikir sebentar. Lelaki yang berada di hadapannya kini resah. Beberapa orang lelaki lain yang kemas dalam sut hitam hanya mendiamkan diri. Takuji bangun daripada duduknya dan berjalan mendekati Kenji. Kenji hanya membatu, bimbang sekiranya diapa-apakan oleh Takuji.

          “ Maklumat kau ni boleh dipercayai?” tanya Takuji. Dia mencekak sebelah bahu Kenji. Pantas Kenji mengangguk cemas. Dia mendongak melihat pada wajah Takuji yang kini serius. Takuji mengukir senyum sinis.

          “ Malam Sabtu di pelabuhan?” tanyanya pula. Sekali lagi Kenji mengangguk.

          Takuji melepaskan cengkaman tangannya pada bahu Kenji. Dia ketawa sinis. Dia melihat pula pada Hajime. Orang kanannya dalam Yakuza Jiro, Kobun Hajime. Hanya dipanggil Kobun kerana perbezaan taraf dan hubungan yang tidak terlalu rapat.

          “ Macam mana?”

          “ Pihak kita akan melakukan serangan hendap bila tiba masanya,” kata Hajime. Takuji mengangguk. Dia melihat pula pada wajah pucat Kenji.

          “ Aku percayakan maklumat yang dah kau sampaikan ni. Tapi, kau kena ingat! Kalau kau menipu, aku sendiri yang akan mencabut nyawa kau,” kata Takuji. Nadanya dikeraskan. Kenji mengangguk ketakutan. Takuji tersenyum sinis.

          Tanpa berkata apa-apa lagi dia keluar daripada bilik yang menjadi tempat perbincangan mereka. Tangan kirinya mengusap tangan kanan yang masih berbalut kerana ditembak oleh Ryuu tempoh hari. Dendam semakin membara. Takuji tersenyum sinis. Gembira apabila merasakan kejayaan akan berpihak kepadanya.  



하나

Friday, July 9, 2010

Eternal 4



PINTU bilik dibuka perlahan, bimbang jika bunyinya menganggu penghuni di dalam. Ryuu melihat jam di pergelangan tangannya. Jam baru sahaja menunjukkan pukul 7.30 pagi. Dia menjenguk ke dalam. Sakura masih lena tidur. Barangkali keletihan. 

          Ryuu menjejakkan kaki memasuki kamar itu. Seperti biasa, dia menatang dulang yang berisi ubat-ubatan masuk ke dalam bilik itu. Ada dua termos kecil yang berisi bubur ayam dan susu panas bersama segelas minuman pada dulang itu. Dulang berisi makanan itu diletak di atas meja kecil di sisi katil Sakura. Satu nota kecil diselit di bawah piring kecil yang diletakkan paket-paket ubat. Selesai sahaja menyelesaikan urusannya, Ryuu segera keluar dari bilik itu.

          Kot yang disangkut di ruang tamu dicapai. Ryuu keluar daripada kondominium itu menuju ke tempat parkir kereta. Ada sesuatu yang harus dilakukan kini. Dia melihat lagi pada jam di tangan.


SAKURA menggosok matanya apabila terasa ada sinaran yang melimpahi wajahnya. Matanya dibuka. Hari sudah lama siang. Sakura menggeliat kecil. Dia menggosok lengannya yang terasa lenguh. Jam di sisi katil dilihat. 12.15 tengah hari. Sakura menggelengkan kepalanya. Kerap benar dia bangun lewat kebelakangan ini. Kebiasaannya, dia akan terjaga seawal 5.00 pagi.

          Sakura melihat pada sekeliling bilik. Matanya jatuh pada dulang berisi makanan di atas meja di sisi kiri katilnya. Dia mengerutkan kening. Berhati-hati dia menuruni katil mendekati meja itu.

          Ada dua termos kecil berserta dengan sebuah mangkuk bubur dan cawan di atas dulang itu. Juga terdapat segelas minuman dan paket-paket ubat. Mata Sakura menangkap pada helaian kertas di bawah piring kecil yang diletakkan dengan paket-paket ubat itu. Nota kecil itu dibuka.


Aku keluar dari kawasan Tokyo. Sarapan kau aku dah sediakan. Aku asingkan bubur dan susu dalam dua termos tu. Ubat kau pun aku dah letakkan sekali. Jangan sesekali berani keluar dari kondo.

Ryuu


          Sakura mengeluh berat. Entah ke manalah lelaki itu pergi. Siap dengan amaran jangan melarikan diri lagi. Sakura melangkah ke dalam bilik air. Tuala di belakang pintu dicapai. Dia ingin mandi terlebih dahulu sebelum melakukan apa-apa. Pintu kamar mandi dibuka. Kakinya mula menjejak lantai bilik mandi yang basah dengan kesan air.


JAMBANGAN bunga kekwa diletak dengan berhati-hati di atas kubur itu. Ryuu tunduk buat beberapa ketika. Dia melihat pada potret yang diletakkan pada batu kubur itu. Wajah seorang wanita cantik menghiasi potret itu.

          “ Mak, saya datang melawat mak,” tutur Ryuu perlahan. Matanya tidak dilarikan daripada melihat potret itu. Wajah wanita itu sedang tersenyum seolah-olah menghadiahkan senyumannya buat Ryuu. Ryuu mengukir senyum nipis.

          “ Mak…”

          Hari ini genap 20 tahun wanita itu meninggalkannya. Puan Kamenashi meninggal dunia ketika Ryuu baru sahaja berumur tujuh tahun. Semenjak itu, Ryuu dijaga oleh Tuan Kamenashi berserta pekerja-pekerjanya yang lain. Kehilangan amat dirasainya apatah lagi ibunya seorang yang sentiasa sabar melayan kerenahnya.

          Ryuu melabuhkan duduk di hadapan kubur itu. Dia tunduk merenung tanah. Sebelah tangannya mengenggam sekepal tanah keras. Dihancurkan bongkah tanah itu dengan tangannya. Ryuu menggelengkan kepalanya.

          Dia masih ingat, pada hari kematian ibunya. Ketika melihat wanita itu dimasukkan ke dalam keranda, dia berkeras mahu mengikuti ibunya apatah lagi dia masih dangkal dalam mengenali erti kematian ketika itu. Kerana kedegilannya, dia ditampar oleh bapanya di hadapan para tetamu yang hadir. Dengan lantang Tuan Kamenashi mengingatkannya bahawa ibunya sudah meninggal dunia dan tidak akan kembali lagi. Dia tidak dibenarkan mengikuti yang lain-lain ke tanah perkuburan. Pak Cik Ukie sahaja yang tinggal di sisinya untuk menemani Ryuu di rumah. Lelaki tua itu jugalah yang berusaha memujuk dirinya yang makan hati dengan tindakan bapanya itu.

          “ Tak sangka kau kat sini.”

          Sapaan seseorang daripada belakang mengejutkan Ryuu. Dia menoleh ke belakang. Wajah Takuji menyapa dirinya. Lelaki itu sedang berdiri di belakangnya dengan kedua-dua tangan dimasukkan ke dalam poket seluar.

          “ Kenapa kau ke sini?” keras nada yang dilontarkan. Takuji tersenyum sinis.

          “ Hari ni kan ulang tahun kematian mak kau?” jawab Takuji mudah. Ryuu merengus. Semestinya Takuji masih belum berpuas hati dengan apa yang terjadi antara mereka. Perlahan-lahan dia bangun daripada duduknya.

          “ Kau nak tuntut hak bawa kemasukan senjata tu,? sinis Ryuu bertanya. Berubah riak wajah Takuji dengan nada yang dilontarkan oleh Ryuu itu. Buku limanya dikepal. Wajah Ryuu dipandang bengis. Walaupun wajah Takuji sudah sedemikian rupa namun Ryuu tetap tenang. Matanya tepat merenung wajah yang sedang membengis itu.

          “ Aku dah kata, aku akan rampas balik hak tu daripada kau,” kata Takuji. Nadanya naik daripada percakapannya yang asal. Ryuu tersenyum. Senyum sinis.

          “ Yang terbaik menang,” kata Ryuu ringkas. Takuji makin berang. Dia meluru ke arah Ryuu. Belum sempat dia melakukan apa-apa, tangannya sudah dikilas ke belakang oleh ketua Yakuza Ryuu itu. Takuji tersentak. Wajahnya berkerut menahan kesakitan.

          “ Aku tak ada masa nak layan kau dan aku tak nak bergaduh dengan kau di depan kubur mak aku. Lebih baik kau pergi sebelum aku tembak kau dan jawapannya hanya satu, mati. Kau faham?” kata Ryuu perlahan hampir di telinga Takuji. Cengkaman tangannya di lengan Takuji dikuatkan. Laras pistol ditarik. Takuji mula panik. Dia langsung tidak perasan bila lelaki itu meletakkan pistol rapat di dada bahagian kirinya.

          Ryuu menolak kuat Takuji ke belakang. Takuji jatuh terduduk di atas tanah. Dia mendongak melihat pada lelaki di hadapannya itu. Tanpa sebarang riak di wajah Ryuu menghala muncung pistol ke arahnya. Bila-bila sahaja nyawanya boleh melayang sekarang.

          “ Aku nak kau pergi,” kata Ryuu perlahan namun sudah cukup untuk sampai ke pendengaran Takuji. Takuji merengus perlahan. Ryuu berkalih daripada Takuji dan berjalan membelakangi lelaki itu. Takuji mengetap bibir. Sepucuk pistol ditarik daripada poket jaketnya. Pistol itu dihala ke arah Ryuu yang sedang berjalan membelakanginya. Laras pistol ditarik.


MUKA Sakura berkerut menahan kesakitan. Kedua-dua tangannya berpaut pada sinki. Sedaya upaya dia cuba bangun namun usahanya sia-sia sahaja. Apa yang dilakukannya kini hanya menambah kesakitan pada dirinya sendiri. Kerana kelalaiannya, dia terjatuh semasa memasuki bilik mandi tengah hari tadi. Sudah berjam-jam dia berada dalam bilik air. Setiap kali dia ingin berdiri, setiap kali itu jugalah dia akan terjatuh kembali. Pinggangnya terasa sakit. Luka kakinya yang sudah bertambah baik juga sudah berdarah kembali.

          Sakura bersandar pada dinding. Dia sudah tidak kuat lagi. Apa yang boleh dilakukan kini hanyalah menunggu Ryuu pulang. Berharap lelaki itu dapat membantunya. Dahinya sudah berpeluh. Kesakitan di pinggangnya menghalang dia daripada melakukan apa-apa kini. Sakura memejamkan matanya. Dia benar-benar letih. Nafasnya dihela perlahan. Lemah.

          “ Sakura?”

          Mendengarkan namanya diseru, Sakura kembali membuka matanya. Dia dapat melihat Ryuu sedang memasuki biliknya. Lelaki itu menghala ke arah bilik air yang pintunya terbuka. Sakura cuba bangun tetapi seperti usahanya tadi, dia tetap jatuh kembali ke lantai. Melihat Sakura yang bersusah payah untuk bangun itu membuatkan Ryuu menpercepatkan langkahnya mendekati gadis itu.

          “ Apa dah jadi?” tanya Ryuu perlahan. Hairan melihat Sakura hanya duduk bersandar pada dinding bilik air. Sakura mendiamkan diri. Badannya terlalu lemah sekarang. Dia hanya membiarkan sahaja ketika Ryuu memapah dia keluar daripada bilik air. Sebahagian besar bahagian di pakaiannya kini lembap kerana dibasahi air ketika terjatuh tadi. Gadis itu didudukkan di atas katil.

          “ Apa dah jadi?” Ryuu mengulangi soalannya. Sakura menundukkan wajah. Dia menekan-nekan pada bahagian kakinya yang terasa sengal. Darah masih mengalir keluar, menitis ke atas lantai.

          “ Nak mandi. Jatuh,” kata Sakura sepatah-patah tanpa melihat ke wajah Ryuu. Ryuu memejamkan mata. Dia menghela nafas. Tanpa berkata apa-apa dia bangun dan keluar daripada bilik Sakura. Sakura terpinga-pinga. Tidak lama kemudian Ryuu muncul kembali dengan First Aid Kit di tangan berserta dengan semangkuk kecil air suam.

          “ Kaki kau luka balik,” kata Ryuu sambil membuka balutan di kaki Sakura. Sakura tergamam. Dia teringatkan peristiwa semalam di mana Ryuu turut membalut lukanya seperti saat ini. Ryuu melakukan kerjanya dengan pantas dan cekap. Darah yang mengalir dikesat dengan tisu dengan berhati-hati. Darah merah yang menitis di lantai juga disapu. Sesudah melaksanakan kerjanya, dia mendongak melihat wajah Sakura.

          “ Mana lagi bahagian yang sakit?”

          Sakura mengetap bibir. Takkanlah dia mahu memberitahu Ryuu bahawa bahagian pinggangnya sakit juga? Perlahan-lahan Sakura menggeleng. Ryu mengangguk sekilas. Dia bangun dan berdiri di hadapan gadis itu.

          Ryuu mengerling pada dulang makanan di atas meja. Langsung tidak berusik makanan dan minuman yang tersedia di dulang itu. Dia mengalih perhatian kembali pada Sakura yang sedang mengusap kakinya.

          “ Kau dah makan?” tanya Ryuu. Sakura mendongak. Soalan dilontar sekali lagi. Sakura menggeleng. Selepas Ryuu menyoalnya, barulah dia tersedar bahawa betapa laparnya dia kini. Sakura mencari jam. Permukaan jam loceng yang terletak di atas meja di sisi katil diperhati lama. 3.20 petang. Hampir tiga jam lebih dia berada di dalam kamar mandi itu tadi.

          “ Kau nak makan apa?”

          Soalan Ryuu kali ini menghairankan Sakura. Keningnya bertaut menjadi satu. Bukankah bubur yang Ryuu sediakan pagi tadi masih belum dimakan? Kenapa pula dia menyoal lagi?

          “ Aku boleh masakkan.”

          Kerutan di dahi Sakura kian bertambah.


RYUU merebahkan badan di atas katil. Dia mengiring ke kanan. Sesudah menemani Sakura makan petang tadi, dia hanya mahu merehatkan diri. Hari ini dia langsung tidak ke markas kumpulannya. Sesudah menziarahi kubur mendiang ibunya, Ryuu terus pulang ke kediamannya. Dia memejamkan mata, cuba mengimbas kembali apa yang telah terjadi di tanah perkuburan tadi.


“ Arghh!!!”

          Ryuu melihat pada lelaki yang tersungkur menahan kesakitan di atas tanah itu. Pistol di tangan dibawa ke sisi. Dia berjalan mendekati Takuji yang sedang mengerang kesakitan. Tangan kanan anak lelaki Tuan Sakate itu berlumuran darah. Terdapat sepucuk pistol tidak jauh daripada kedudukan Takuji.

          “ Jangan kau pernah bermimpi untuk cederakan aku. Aku yang akan cederakan kau dulu,” kata Ryuu. Ketika dia mahu meninggalkan tanah perkuburan itu, nalurinya dapat mengesan bahaya. Mungkin kerana sudah dilatih dengan berbagai-bagai ilmu mempertahankan diri membuatkan dirinya peka dengan alam sekeliling. Tanpa membuang masa dia menarik laras pistol dan melepaskan tembakan di belakangnya. Tembakan Ryuu tepat mengenai tangan Takuji yang sedang menghalakan pistol ke arahnya.

          Takuji mengerang kesakitan. Pedih terasa apabila mata peluru mengenai kulitnya dan pastinya kini peluru itu sedang tertanam di dalam tangannya. Darah semakin membuak-buak keluar. Wajah Ryuu yang tenang direnung.

          “ Tak guna! Aku akan balas balik apa yang kau dah buat pada aku!” teriak Takuji. Ryuu tidak mempamerkan reaksi apa-apa. Dia hanya menghela nafas dan menoleh ke arah sekeliling sebelum kembali berjalan meninggalkan Takuji di belakang. Pistol kembali disimpan ke dalam sarungnya. Dia tidak mahu ada sesiapa melihat dia dalam keadaan sedemikian.

          Ryuu menyebak rambut ke belakang. Tidak mustahil Takuji akan bertindak lagi untuk memusnahkannya. Takuji lebih muda daripadanya dan lelaki itu gemar bertindak menurut perasaan. Mungkin disebabkan itulah lelaki itu gagal menguasai setiap perlawanan antara mereka berdua.

          Perlahan-lahan, Ryuu mengukir senyuman nipis. Kakinya pantas dihayun ke arah Skyline GTR yang diparkir di bawah sebatang pokok.


          Ryuu tersentak seketika. Dia menggelengkan kepalanya berulang kali sambil memejamkan matanya. Sudah jauh dia mengelamun. Ryuu merubah posisi pembaringannya. Matanya dipejam rapat.
    

p/s: coming up next, Don't Forget 2

하나



Saturday, July 3, 2010

SHINE: You're My Melody 15


YOU’RE MY MELODY oleh Tohoshinki berlagu di telinga. Fon telinga dibawa rapat letaknya di telinga. Hikari membelek-belek majalah di tangannya. Bunyi yang datang daripada bilik tarian langsung tidak didengarinya. Hikari khusyuk dengan dunianya sendiri.

          Hikari menghitung hari di kalendar. Masih ada lebih kurang dua minggu lagi sebelum perkhemahan selama tiga hari dua malam itu berlangsung. Tidak sabar rasanya mahu pergi berkhemah. Jarang bagi Hikari melepaskan peluang untuk menyertai aktiviti lasak seperti ini. Lainlah jika dia mengalami kecemasan.

          Jam di pergelangan tangan direnung. Masih ada dua jam sebelum latihan SHINE tamat. Bosan juga jika terus menunggu sebegini. Hikari beralih ke arah televisyen. Kotak berisi DVD ditarik keluar. Tangannya membelek DVD-DVD yang ada. Hampir kesemuanya merupakan filem yang sudah dia tonton. Sebuah DVD lagi dibuka. Tanpa sedar dia menarik senyum. Crows Zero. Oguri Shun. Segera tangannya memasukkan DVD itu ke dalam DVD Player.

          Fon kepala disambung dengan DVD Player. Hikari membatukan diri di hadapan televisyen sebaik sahaja Crows Zero bermula. Dia menarik sengih lebar.


SHO menepuk tangan berulang kali. Kesemua rakannya berhenti daripada sebarang pergerakan tarian. Kepala masing-masing melihat ke arah Sho. Tiba-tiba sahaja dia meminta mereka berhenti. Sho mengukir sengih.

           “ Rehatlah dulu. Aku dah lapar ni,” kata Sho dengan sengihan di bibir. Empat bibir lagi menarik senyum. Mereka juga sama seperti Sho. Perut sudah ingin berlagu, daripada tempo perlahan kepada tempo rancak. Kelima-lima mereka keluar daripada bilik tarian didahului Sho.

          “ Erk?”

          Langkah Sho yang tiba-tiba sahaja berhenti hampir membuatkan Itsuki dan Eichii berlanggar di belakang. Mereka kesemua kehairanan. Bahu Sho ditolak daripada belakang.

          “ Kenapa?” tanya Itsuki. Pelik kerana Sho berhenti secara mendadak. Sho menoleh ke belakang. Dia tersengih lebar.

          “ Sejak bila pulak bilik kita jadi pusat latihan mempertahankan diri?” tanya Sho sambil tersengih lebar. Empat wajah lagi beriak pelik. Mereka berempat menjenguk ke ruang tamu. Kelihatan Hikari sedang membuat pelbagai aksi mempertahankan diri di hadapan televisyen. Fon kepala masih lagi terlekat di kepala. Nasib baik sahaja fon kepala itu tidak tertanggal kerana wayar sambungannya yang panjang.

          “ Nah! Makan tendangan aku!”

          “ Kau tak boleh elak punyalah!”

          “ Oguri Shun! Pukul dia!”

          “ Haishh!!!”

          Pelbagai lagi aksi mempertahankan diri ditunjuk oleh Hikari. Semuanya hanyalah kerana dia terlalu obses dengan adegan pertarungan yang ditunjuk di layar skrin. Babak ketika Oguri Shun melawan ketua gangster yang dimusuhinya. Sho dan yang lain-lain hanya menggeleng kepala.

          “ Iiyyyaaah!!! Eh?”

          Bulat mata Hikari memandang Sho dan yang lain-lain. Matanya jatuh pula pada kaki kanannya yang terangkat tinggi dan kini sedang dipegang oleh Sho. Segera kakinya dijatuhkan. Hampir sahaja mengenai kepala Sho.

         “ Kau ni… nyaris-nyaris nak sepak aku,” komen Sho. Hikari tarik muka. Kenapalah mereka semua ni tak boleh tengok aku senang? Aku tengak syok layan cerita ni!

          “ Peduli apa? Siapa yang suruh korang semua ganggu aku layan cerita ni?” kata Hikari sambil mencebik. Fon ditarik melepasi kepala. Hikari duduk di atas sofa. Dia mematikan skrin televisyen dan mengeluarkan DVD.

          “ Kenapa pulak kau buang? Kami pun nak tengok jugak,” celah Itsuki. Hikari mencebik.

          “ Banyaklah kau punya nak tengok. Hasrat aku yang nak tengok cerita ni terbantut tahu tak bila korang ganggu?” kata Hikari. Kotak DVD dilempar ke arah Itsuki. Cekap Itsuki menyambut kotak DVD itu. Sesudah itu Hikari mencapai beg sandang lalu menuju ke pintu keluar.

          “ Kak nak ke mana tu?” tanya Eichii apabila melihat Hikari membuka pintu. Hikari menoleh sekilas sebelum kembali memandang ke hadapan.

          “ Balik.”

          SHINE hanya mampu melihat pemergian Hikari sambil menggelengkan kepala. Pintu ditutup.


HIKARI berjalan menuju ke perhentian bas. Hari ini dia tidak menunggang basikal sebaliknya memilih untuk menaiki bas sahaja. Sudah lama dia tidak menaiki bas apatah lagi semenjak dia sibuk menguruskan SHINE.

          “ Eh?”

          Hikari menoleh ke belakang. Seorang wanita yang kelihatan sebaya dengan ibunya sedang memerhatikannya. Bahu mereka berdua terlanggar tadi. Hikari tunduk sebagai tanda meminta maaf. Wanita itu hanya tersenyum lalu meneruskan perjalanannya. Hikari menjungkit bahu lantas berlari-lari anak ke perhentian bas. Dia mahu segera sampai ke rumah. Apa yang sedang difikirkannya kini hanyalah tidur, tidur dan tidur. Hikari menarik senyum segaris.

          Hikari mendapatkan tempat duduk sebaik sahaja dia menaiki bas. Tidak ramai orang yang menggunakan pengangkutan awam itu ketika ini. Dia mahu berlama-lama bersendirian di dalam bas. Jika dia memilih untuk menggunakan Shinkansen, dia akan segera sampai ke rumah.

          MP3 dikeluarkan daripada beg sandang lalu fon telinga disumbat. Hikari menyandarkan kepalanya pada sandaran. Dia memejamkan mata, menikmati lagu yang kini menjadi halwa telinganya.


“ TAK nak yang tu!”

          “ Kau yang tak nak, aku nak,” balasnya dengan senyuman mengusik.

          “ Asyik dengar cakap kau je, aku pun nak pilih sendiri!” bentaknya.

          “ Warna tu tak cantiklah. Baik pilih warna merah.”

          Muka itu muncung. “ Lebih baik hijau, nama lagi kita nak pergi berkhemah!”

          “ Aku…”

          “ Dah! Dah!”

          Sebelum perbalahan antara Hikari dengan Sho bertambah teruk, Jun pantas meleraikan mereka berdua. Dia menjadi penghadang di tengah-tengah. Wajah Hikari dan Sho dan sama-sama masam. Kedua-duanya berpeluk tubuh.

          Jun menggelengkan kepalanya. Pening dia dengan kerenah Hikari dan Sho yang gemar bergaduh. Sekarang ini, mereka bergaduh hanya kerana mahu memilih warna untuk pakaian pasukan mereka pada perkhemahan itu!

          “ Abang Jun, warna mana lebih sesuai? Hijau atau merah?” tanya Hikari dengan jelingan tajam pada wajah Sho. Sho mencebik. Keempat-empat ahli SHINE yang lain hanya membisu. Malas mahu masuk campur dengan pergaduhan mereka yang sering berulang itu.

          Jun melihat pada kemeja T yang berada di tangan Hikari dengan Sho. Satu berwarna hijau muda dengan jaluran kuning pada lengan manakala satu lagi berwarna merah dengan jaluran putih pada bahagian bawah baju. Lama matanya melihat pada kedua-dua kemeja T yang disua kepadanya itu. Payah betul bila nak pilih!

          Kumpulan untuk perkhemahan itu sudah dibahagikan. Setiap kumpulan perlu memiliki pakaian pasukan mereka masing-masing. Pakaian pasukan bergantung pada kreativiti masing-masing asalkan perkataan ‘Hari Bumi Sedunia-Jepun 2010’ tercatat pada baju itu.

          “ Kamu berdua ni, pasal baju pun nak gaduh. Tak tahulah apa lagi yang abang boleh cakap dengan kamu berdua ni,” kata Jun seraya menggosok kepalanya. Pantas Hikari menoleh ke arah Sho.

          “ Hijau!”

          “ Merah!” Sho membalas pantas. Muka Hikari semakin berkerut.

          “ Hijau!”

          “ Merah!”

          “ Aku cakap hijau, hijaulah!” Hikari makin bengang.

          “ Merah, okay?”

          Sebelum sempat kedua-duanya bertikam lidah sekali lagi, segera Itsuki dan Eichii menerpa ke arah mereka berdua. Itsuki menutup mulut Sho daripada belakang sambil mencengkam bahu Sho sementara Eichii menarik kakaknya daripada mendekati Sho. Susah betul kalau dua musuh ketat ni bergaduh!

         “ Sudah, sudahlah tu. Kami yang dengar ni dah naik bosan tau tak?” kata Itsuki. Wajahnya jelas benar kebosanan. Sho melepaskan diri daripada cengkaman Itsuki pada bahunya. Dia mengangkat kedua-dua tangannya.

          “ Yalah, yalah,” ucapnya perlahan. Dia tersenyum sinis pada wajah Hikari yang masih lagi masam.

          “ Macam mana nak selesaikan ni?” tanya Hikari. Tangannya direntap daripada pegangan Eichii. Masing-masing melihat pada wajah Jun yang jelas sedang memikirkan sesuatu. Lama Jun berkeadaan sedemikian sebelum akhirnya dia bertepuk tangan. Perhatian mereka berenam hanya pada Jun.

          “ Perkara ni abang serahkan pada Kak Kumi, boleh? Lagipun dia pun satu kumpulan dengan kita,” putus Jun. Hikari mengangguk manakala Sho kelihatan teragak-agak.

          “ Sho?” panggil Jun.

          Sho menggumam. Dia memasukkan kedua-dua tangannya ke dalam poket jean. Dia mengangguk perlahan. Kesemua ahli SHINE juga begitu. Mereka bersetuju dengan cadangan Jun. Jun tersenyum nipis.

          “ Baiklah. Abang akan serahkan hal ni pada Kak Kumi, okay?” kata Jun. Serentak mereka mengangguk. Jun tersenyum lagi. Sesuatu bermain dalam fikirannya.


TERGESA-GESA Kumi berlari mendapatkan telefon yang berada di atas katil. Sebelah tangan memegang telefon bimbit manakala sebelah lagi memegang tuala yang masih di kepala. Dia baru sahaja keluar dari kamar mandi ketika deringan telefon mula menyapa telinga.

          “ Helo, Jun,” sapa Kumi. Jun membalas sapaan gadis itu. Kumi beralih ke tingkap.

          “ Kenapa? Ada hal ke?” tanya Kumi. Dia tersenyum kecil.

          “ Nak minta tolong sikit, pasal perkhemahan tu,” kata Jun. Dia tersenyum sendirian. Harap-harap apa yang Kumi lakukan nanti seiring dengan rancangannya. Harapnyalah.

          “ Emm… kenapa?”

          “ Tolong pilihkan warna baju untuk kumpulan kita,” kata Jun pantas. Senyumannya makin lebar. Kumi yang sedang berada di dalam biliknya menghadap tingkap pula sudah berkerut dahinya.

          “ Saya?”

          “ Ya.”

          Muka Kumi semakin berkerut. “ Pilih warna? Semua tak kisah ke dengan pilihan saya nanti?”

          Bimbang pula jika kesemua ahli kumpulannya tidak bersetuju dengan warna yang bakal dipilihnya nanti. Bukan ke perkara seperti ini memerlukan persetujuan semua.

          Jun ketawa kecil. “ Kami tak kisah. Suka hati awaklah nak pilih warna apa. Lepas awak pilih, kita berdua pergi tempah baju.”

          “ Warna apa ye?”

          “ Warna kegemaran awak?”

          “ Warna kegemaran saya?” ulang Kumi.

          “ Ya,” ujar Jun dengan senyuman di bibir. Di hujung talian, Kumi mula mengukir senyum.

          “ Okey.”

          Di dalam bilik di sebuah rumah, Jun sedang ketawa ceria. Gembira kerana rancangannya akan berjalan dengan lancar.


SHINE dan Hikari sama-sama menanti Jun dan Kumi di dalam bilik muzik. Kata Jun, mereka akan membahagikan pakaian untuk kumpulan mereka selepas ini. Mereka akan ke perkhemahan itu esok namun hari ini barulah Jun akan membahagikan pakaian mereka.

          “ Dah lama tunggu?” tanya Jun seraya membuka pintu. Kumi muncul di belakangnya dengan beg plastik di tangan. Mereka menggeleng. Mata masing-masing mula tertumpu pada beg plastik di tangan Kumi. Kumi tersengih.

          “ Dah tak sabar ke?” tanya Kumi dengan gelak kecil. Beg plastik dihulurkan kepada Jun. Jun tersengih.

          “ Abang dan Kak Kumi dah pilih warna dan rekaannya. Harap kamu semua sukalah,” ujar Jun. Dia mengeluarkan kemeja T yang berlipat kemas di dalam beg plastik itu. Terlopong mulut Hikari dan SHINE apabila melihat warna kemeja T itu.

          “ Merah jambu?”


p/s: ni je yang mampu Hana buat :) coming up next, Eternal 4

하나


LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...