Ai no Kotoba

Colours make your life beautiful, melody makes your life rhythm and harmony makes your life a life - Hana

Semua karya dalam blog ini hak cipta terpelihara penulis. Anda tidak dibenarkan menciplak, me-copy, memplagiat atau with every means to copy it atau mengaku karya itu anda punya.
Semua karya tidak mempunyai kaitan dengan yang hidup mahupun yang sudah meninggal dunia.
Selamat membaca. Peace!

Watashi no Tomodachi :D

Entri Terbaru! Tengok Sini!

Friday, October 1, 2010

Eternal 9



BERUBAH air muka Takuji saat dikhabarkan berita kekalahan memalukan anggota kumpulannya. Wajahnya berubah menjadi merah, seolah-olah mahu sahaja dia menelan Hajime yang datang memberi khabar buruk itu kepadanya. Tangannya menggeletar menahan daripada menampar Hajime. Hajime hanya tunduk sahaja di hadapan ketuanya itu. Dia tidak mahu bercakap jika tidak diminta. Buruk padahnya jika dia tersalah cakap.

          “ Ahli kita seramai 80 orang… antara yang terbaik… tak mampu menewaskan Ryuu yang hanya mempunyai bilangan 20 orang?” kata Takuji terketar-ketar. Bibirnya diketap menahan marah. Hajime mengangkat sedikit kepalanya.

          “ Kumpulan infantri elit Ryuu turut berada di kawasan pertempuran, tuan,” tutur Hajime perlahan. Serentak dengan itu, tangan Ryuu menghentak meja. Bergegar perhiasan kecil dek gegaran itu. Wajah Takuji semakin membengis.

          “ Kenapa boleh jadi macam ni? Ahli kita lebih ramai! Mereka antara ahli Jiro yang terbaik! Bodoh!” melahar marah lelaki itu. Hajime hanya tunduk. Dia tidak berani berkata apa-apa. Bila-bila masa sahaja kesabaran Takuji akan hilang. Berita kematian kesemua anggota Jiro semasa berlawan dengan anggota Ryuu amat memalukan.

          “ Maafkan kami,” kata Hajime seraya memberi tunduk hormat. Takuji merengus. Sekarang ini bukannya kekalahan memalukan itu sahaja yang harus diterima tetapi juga kemarahan bapanya yang mungkin akan menimpanya pada bila-bila masa. Tuan Sakate telah melarang dia melakukan serangan itu dan dia telah melanggar arahan itu kerana beranggapan Jiro akan memenangi pertarungan itu. Sangkaannya meleset sama sekali. Jiro bukan sahaja kalah namun kesemua ahlinya yang diarahkan menentang Ryuu itu telah terbunuh kesemua sekali.

          Sekali lagi Takuji menghentak meja. Barah dendamnya semakin bercambah dalam hatinya. Keinginan dia untuk menewaskan Ryuu semakin memuncak.


SAKURA membuka pintu biliknya perlahan-lahan. Jam sudah menunjukkan pukul 2 pagi namun sehingga kini dia masih belum dapat melelapkan matanya. Ryuu masih belum pulang sejak awal pagi tadi lagi. Dia juga tidak mendapat sebarang panggilan daripada lelaki itu. Sakura berjalan ke arah ruang tamu.

          Kening Sakura terangkat apabila melihat ada sesusuk tubuh sedang lena di atas sofa berangkai tiga di ruang tamu. Perlahan-lahan dia mendekati ruang tamu. Lelaki itu Ryuu. Dia itu sedang tidur berbantalkan lengan di atas sofa itu. Kening Sakura bertaut. Sejak bila pula dia pulang?

          “ Kenapa tak tidur lagi?”

          Pertanyaan itu mengejutkan Sakura. Mata Ryuu celik melihat kepadanya. Ternyata lelaki itu sebenarnya hanya memejamkan mata tanpa lena. Sakura mula gelisah. Langsung tidak terkeluar sebarang bicara daripada bibirnya.

          “ Tak mengantuk?” tanya lelaki itu lagi. Teragak-agak Sakura mengangguk. Kedengaran keluhan lelaki itu terhembus.

          Ryuu bangun daripada pembaringannya dan melangkah mendekati gadis itu. Kaki Sakura seolah-olah dipaku pada tempatnya. Dia mahu bergerak namun seakan-akan ada sesuatu yang menghalang. Dia hanya tunduk apabila Ryuu berhenti hanya satu langkah di hadapannya.

          “ Kau dah okey?” tanya Ryuu perlahan. Sakura mendongak sedikit. Mata Ryuu terus ke wajahnya. Teragak-agak dia mengangguk. Ryuu berundur ke belakang sedikit, menjarakkan  dirinya dengan Sakura. Jelas di matanya bagaimana gadis itu mula tidak selesa.

          “ Aku nak masuk tidur. Lebih baik kau tidur juga, sekarang dah hampir 2.30 pagi,” tutur Ryuu lalu berpusing ke belakang. Dia menaiki anak tangga menuju ke tingkat atas. Sakura yang masih berada di ruang tamu hanya memandang sepi setiap langkah lelaki itu.

          “ Sakura.”

          Pantas Sakura menoleh mendengarkan namanya diseru. Ryuu sedang berdiri di anak tangga paling atas, sedang merenung kepadanya. Sakura berpusing menghadap lelaki itu. Dia menanti bicara Ryuu.

          “ Esok, kita ke taman tasik,” kata Ryuu. Kening Sakura terangkat. Taman tasik?

          “ Aku nak bawa kau jalan-jalan esok.”

          Kata-kata Ryuu menyebabkan Sakura tersentak. Jalan-jalan?

          “ Kau juga yang bosan duduk dalam kondo je. Esok, kau sediakan bekalan berkelah, ya?” tutur Ryuu lagi. Lama Sakura mendiamkan diri. Akhirnya dia mengangguk perlahan-lahan. Ryuu terus ke biliknya. Sakura yang berada di ruang tamu mula termangu.

          Kenapa dengan Ryuu? Tiba-tiba je nak bawa aku… jalan-jalan?


RYUU segera berbaring di atas katil tanpa menukar pakaiannya. Dia terasa benar-benar letih apatah lagi memikirkan serangan mengejut daripada Yakuza Jiro. Selepas menguruskan penyimpanan bekalan senjata api tersebut , dia terus pulang ke kediamannya. Kesemua bekalan senjata api yang dibawa masuk secara haram itu telah disembunyikan di dalam tempat yang dikawal menggunakan teknologi yang serba canggih. Lusa, dia akan menemui wakil Mathias di Jepun bagi menguruskan hal senjata api itu. Dia enggan memindahkan bekalan senjata itu pada esok hari kerana tidak mahu pihak berkuasa dapat menghidu pergerakannya. Apatah lagi mungkin esok akan gempar dengan pembunuhan beramai-ramai berdekatan dengan pelabuhan itu.

          Ryuu beralih ke kanan. Dia berbaring menghadap pintu selunsur balkoni. Matanya dipejamkan seketika. Sebelah tangannya teraba-raba bahagian bawah bantal. Sesuatu diambil dari bawah bantal itu. Matanya kembali dicelik.

          Gambar mendiang ibunya.

          Dia amat menyayangi wanita itu. Ibunya seorang yang lemah lembut dan baik. Kadang kala, Ryuu terfikir bagaimana seorang wanita seperti ibunya boleh berkahwin dengan seorang lelaki yang sering kali terlibat dalam jenayah kejam? Adakah kerana faktor cinta atau sebaliknya? Ryuu mengakui, mendiang bapanya seorang suami yang baik namun tidak sebagai seorang yakuza. Tidak pernah sekalipun dia melihat lelaki itu mengasari atau bercakap kasar dengan ibunya.

          Walau dia berjaya menerajui Yakuza Ryuu dalam usia yang muda namun Ryuu sering kali resah dengan tindakannya. Dia terkenal sebagai seorang pembunuh yang kejam tatkala berdepan dengan musuhnya dan pengatur strategi yang baik apabila operasi dijalankan namun seolah-olah ada perkara yang masih menghalangnya daripada merasai kepuasan dalam hidup. Adakah kerana tujuan dia hidup adalah untuk menggerakkan Yakuza Ryuu semata-mata?

          Dan Sakura…

          Gadis itu diheret masuk ke dunia jenayah itu secara tiba-tiba. Melihatkan Sakura seakan-akan dia melihat bayangan mendiang ibunya. Wajah polos gadis itu, senyuman Sakura, benar-benar membuatkan dia teringatkan mendiang ibunya.

          Ryuu mengeluh berat. Gambar itu dibawa rapat ke dada. Air mata mengalir daripada wajah tanpa riak itu.

          Mak…


SEAWAL 4.30 pagi lagi Sakura bangun demi menyiapkan bekalan berkelah. Dia masih lagi mengantuk namun dikuatkan juga semangat untuk bangun. Sakura hanya sempat lena tidak kurang daripada tiga jam.

          Dia melihat pada meja dapur. Senyumannya terukir. Bekalan makanan sudah hampir siap. Banyak juga bekalan yang dia siapkan. Sushi, onigiri, sandwich, kiub-kiub ayam yang disaluti  tempura malah buah-buahan yang berada di dalam peti juga diambil. Walaupun hairan dengan ajakan Ryuu untuk pergi berkelah itu namun dia tetap teruja. Dia rindu untuk menghirup udara segar di luar. Dia rindu akan cahaya matahari di luar sana.

          Bekas-bekas plastik yang berisi makanan disusun sebaik mungkin di dalam bakul berkelah. Dua botol minuman, satu berisi jus manakala satu lagi berisi air biasa turut diletakkan di dalam bakul itu. Ryuu muncul di dapur tatkala Sakura sibuk mencari tikar.

          “ Kau cari apa?” tanya Ryuu yang melihat Sakura sedang menyelongkar almari dapur. Sakura menoleh ke belakang. Lelaki itu sudah siap berpakaian. Ryuu meneguk segelas minuman. Matanya berlabuh pada wajah gadis itu.

          “ Err… tikar ada kat mana? Saya dah cari tapi tak jumpa,” tanya Sakura. Ryuu melihat ke luar dapur.

          “ Stor kat bawah tangga,” tuturnya. Segera Sakura pergi mendapatkan tikar. Tidak betah dia berdua-duaan dengan Ryuu di dapur walaupun selepas ini dia terpaksa berdua-duaan dengan lelaki itu juga di dalam kereta.

          Sesudah selesai semuanya, mereka turun ke tempat meletak kereta. Bakul diletak di ruang belakang. Sakura hanya mendiamkan diri sepanjang perjalanan. Kereta meluncur laju menghala ke kawasan tasik berdekatan dengan pergunungan Fuji.

          “ Kenapa?”

          Sakura menoleh kepada Ryuu apabila mendengar kata-kata lelaki itu. Lelaki itu sedang berbicara dengannya namun perhatian Ryuu masih pada jalan raya. Sakura kembali meluruskan pandangan ke hadapan. Jalan raya sudah mula sibuk walaupun jam baru sahaja menunjukkan pukul 6.30 pagi. Matahari sudah lama terbit.

          “ Kenapa kau langsung tak percaya masa aku cakap Yamashita Kazuo sebenarnya seorang yakuza?” kata Ryuu melanjutkan bicara. Sakura tersentak. Ryuu memulakan kembali perbicaraan mereka yang telah lama berlalu. Mengenai mendiang lelaki itu. Sakura mendiamkan diri.

          “ Aku hairan, kenapa seorang lelaki seperti dia boleh menjaga kau,” kata Ryuu lagi. Sakura masih mendiamkan diri. Dia tiada hati untuk bercakap. Ryuu mengerling pada Sakura melalui ekor matanya.

          “ Biasanya, seorang yakuza tak akan mampu menjadi seorang bapa atau suami yang baik.” Ryuu terlupa bahawa bapanya merupakan seorang suami dan bapa yang baik walaupun tidak sebagai seorang yakuza.

          Sakura tergamam mendengarkan kata-kata itu. Dalam maksud kata-kata Ryuu itu. Hatinya mendongkol geram. Dia marah kerana lelaki itu telah memburukkan Atuk Kazuo namun Sakura tidak pasti apa yang patut dikatakan. Dia bimbang jika semuanya benar. Mereka kembali menyepi. Baik Sakura mahupun Ryuu langsung tidak bersuara.

          Perhatian Sakura tertumpu pada kawasan yang sedang dilalui mereka. Pokok bunga sakura berada di hampir semua jalan yang sedang mereka lalui. Akhirnya, Skyline GTR Ryuu berhenti di hadapan sebuah tasik yang luas. Langsung tiada orang di kawasan tasik itu namun tasik itu memang cantik. Pokok bunga sakura memenuhi kawasan sekitar tasik itu.

          “ Cantiknya,” tutur Sakura perlahan. Hatinya benar-benar terusik dengan keindahan kawasan itu. Ryuu mengambil bakul berkelah lantas keluar dari kereta. Dia mengatur langkah ke bahagian tempat duduk pemandu. Cermin kereta diketuk. Sakura tersentak.

          Ryuu mengunjuk pada sebatang pokok bunga sakura yang berada berdekatan dengan tasik. Pintu kereta dibuka lantas Sakura menyertai lelaki itu di bawah pokok itu. Tikar dihampar dan makanan dihidangkan.

          “ Apa tujuan awak bawa saya ke sini?” soal Sakura buat pertama kalinya sejak mereka sampai di tasik itu. Ryuu yang sedang menuang jus ke dalam gelas, terhenti perbuatannya. Mata aisnya merenung wajah gadis itu. Ryuu menebar pandang ke sekitar tasik.

          “ Aku tahu kau sunyi.”

          Dahi Sakura berkerut. Aku sunyi?

          Ryuu kembali merenung wajah polos itu. Pandangannya tetap sebegitu. Tidak pernah berubah. Dingin seperti ais. “ Aku tahu hidup kau sunyi kat kondo aku.”

          Sepi sejenak ruang antara mereka. Sakura kehilangan kata-kata dan Ryuu tidak meneruskan bicara. Asyik lelaki itu melihat ke permukaan tasik yang cantik dipanah dengan cahaya matahari.

          “ Awak…”

          “ Kau dibesarkan oleh seorang yakuza tapi kau tak pernah mengerti hidup seorang yakuza,” kata Ryuu lagi sekaligus memotong kata-kata Sakura. Dia membaringkan tubuh di atas rumput yang menghijau, di atas hamparan kelopak sakura yang gugur ke bumi.

          “ Awak… ada bukti ke yang Atuk Kazuo seorang yakuza?” tanya Sakura teragak-agak. Dia berharap agar Ryuu berbohong dalam setiap kata-katanya. Tidak sanggup rasanya menerima hakikat bahawa orang yang disayanginya di dunia ini pernah terlibat dengan dunia jenayah yang kejam.  

          Ryuu mengangguk kecil. Matanya dipejamkan. Angin pagi yang dingin mula menyapa mereka. Sakura memerhatikan lelaki itu. Ryuu sememangnya seorang yang aneh dan penuh misteri. Ya. Seorang lelaki yang misteri.

          “ Aku ada simpan album gambar masa Yamashita Kazuo berkhidmat dengan mendiang bapa aku,” kata Ryuu tanpa membuka matanya. Pantas Sakura menggelengkan kepalanya.

          “ Awak bohong!”

          “ Sakura…”

          Sakura terpana apabila renungan lelaki itu menikam wajahnya. Nada perlahan itu dirasakan telah mengusik hatinya. Sakura mendiamkan diri. Dia melarikan wajah daripada pandangan lelaki itu. Helaan nafas Ryuu kedengaran.

          “ Kau kena belajar terima hakikat suatu hari nanti,” kata Ryuu.

          Kadang kala kebenaran itu menyakitkan. Ryuu hanya berharap agar gadis itu tersedar daripada lenanya selama ini. Mungkin Yamashita Kazuo melayannya dengan baik selama ini namun hakikat bahawa lelaki itu pernah membunuh ratusan orang tidak dapat dielakkan. Ryuu juga berharap Sakura akan mengerti bagaimana hidup seorang yakuza. Dia merasakan bahawa dia bertanggungjawab terhadap gadis itu.

          Sakura memejamkan matanya. Berharap agar kata-kata lelaki itu semuanya bohong. Hanyalah dusta semata-mata. Tanpa Sakura sedari, air mata mengalir daripada kelopak mata yang tertutup itu. Basah menuruni pipi. Sama seperti kelopak sakura yang gugur pada permukaan tasik.


p/s: modem Streamyx baru :) ya da ya da~~~~~

하나 

3 comments:

u-knew yufa said...

muahaha...kesian takuji. next time kena angkut satu angkatan nak kalahkan ryuu.

pRincEssaLiE said...

erm, lme dh xjguk blog hana nieh. busy sgt dh skrg nieh. btw, nice story. n congrats 4 ur lovin you. :)

fallenmoon said...

:O
Saspens!

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...