Ai no Kotoba

Colours make your life beautiful, melody makes your life rhythm and harmony makes your life a life - Hana

Semua karya dalam blog ini hak cipta terpelihara penulis. Anda tidak dibenarkan menciplak, me-copy, memplagiat atau with every means to copy it atau mengaku karya itu anda punya.
Semua karya tidak mempunyai kaitan dengan yang hidup mahupun yang sudah meninggal dunia.
Selamat membaca. Peace!

Watashi no Tomodachi :D

Entri Terbaru! Tengok Sini!

Saturday, April 2, 2011

Eternal 14


“ APA!”

          Bergema suara Tuan Sakate di dalam bilik besar itu. Kelopak matanya membulat. Wajah anak buahnya di hadapan direnung dengan pandangan yang sukar untuk dipercayai. Terketar-ketar tangannya di atas meja. Lelaki tua itu terduduk di atas kerusi.

          “ Kamu kata… Takuji dah mati?” katanya terketar-ketar. Lambat-lambat mereka mengangguk. Bimbang kemarahan lelaki itu sebagai ketua organisasi akan dimuntahkan kepada mereka. Tuan Sakate terkedu.

          “ Bila lagi?” Suaranya mengendur.

          “ Le… lewat petang semalam,” jawab salah seorang daripada anak buahnya yang berdiri di situ. Terbeliak biji mata Tuan Sakate seakan-akan ingin terbojol keluar. Dia bingkas bangun. Kedua-dua tapak tangannya menghempas meja.

          “ Kenapa sekarang baru saya diberitahu? Kenapa tak beritahu semalam lagi?” bentaknya. Renungannya pada kedua-dua lelaki yakuza itu seakan-akan boleh membunuh. Kedua-dua anak buahnya semakin resah.

          Tuan Sakate mendengus. Tidak hairanlah kenapa semalam Takuji tidak pulang ke rumah sekaligus tidak menjawab panggilan telefonnya. Rupa-rupanya, anaknya sudah terbunuh.

          “ Macam mana hal ni boleh terjadi?” tanya Tuan Sakate berang.

          “ Errr… Tuan Muda rancang nak culik dan bunuh gadis yang tinggal dengan Tuan Kamenashi Ryuu. Tapi, kami tak sangka yang Ryuu sempat datang selamatkan gadis tu. Tuan Muda terbunuh di tangan Ryuu sendiri.” Kata-kata itu semakin menyentap kesabaran Tuan Sakate. Sekali lagi dia menghempas meja. Kali ini lebih kuat malah perhiasan-perhiasan kecil yang menghiasi meja itu tumbang. Kedua-dua lelaki itu hanya mampu menelan liur.

          “ Ryuu!!!”


SEMALAMAM Sakura tidak lena tidur. Dia hanya berbaring di atas katil tanpa dapat melelapkan mata. Tidak betah mengiring ke kiri, dia beralih ke kanan. Dia selesa dia berbaring ke kanan, dia menelentang pula. Semuanya serba tidak kena. Dia terus menerus memikirkan lamaran Ryuu malam semalam. Lelaki itu nampak serius ketika melamarnya. 

          Ya. Ryuu sememangnya seorang lelaki dingin yang serius tetapi Sakura tidak dapat melupakan bagaimana renungan lelaki itu padanya semalam. Redup sehingga terasa menusuk jiwanya. Hatinya tertawan dengan renungan itu. Sakura menghela nafas berat. Dia bangun daripada katilnya.

          Sakura berkaca di cermin meja solek tanpa membuka lampu. Kelihatan tidak bermaya wajah pada pantulan cermin itu. Dia masih lagi dihantui kejadian yang menakutkan semalam walaupun sudah berkurangan. Kawasan sekitar bawah matanya sedikit bengkak kerana tidak tidur semalamam. Dia menggosok matanya sedikit. Walau terasa mengantuk tetapi dia tetap tidak boleh lena. Akhirnya Sakura memutuskan untuk mandi sahaja setelah melihat jam sudah menginjak ke 5.30 pagi.

          Lama dia berada dalam kamar mandi. Membiarkan sahaja air mencurah-curah keluar daripada shower membasahi badannya. Dia berendam dalam tab. Lututnya dibawa rapat lalu dipeluk kedua-dua kakinya. Dia termenung sendirian. Perbualannya dengan Ryuu semalam di balkoni kembali menerjah fikiran.


          “ Kita kahwin.”

          A…apa?

          “ Kita kahwin dan aku akan jaga kau. Kau dah tak ada sesiapa lagi dan aku juga bukannya seorang lelaki yang mengejar cinta wanita. Kau fikirlah, kalau kau nak lari daripada aku, aku tak boleh jangka berapa lama nyawa kau akan bertahan lama.”


          Kelopak matanya dikatup rapat. Renungan Ryuu semalam mula terbayang saat matanya dipejam rapat. Dia terkesan dengan renungan redup itu. Amat terkesan. Hatinya seakan tersentuh dengan renungan redup itu.

          “ Apa keputusan aku?” bisik Sakura bersendirian. Bayang wajahnya pada air jernih menunjukkan betapa wajahnya kusut sekarang. Sakura menarik nafas. Terasa sesuatu beban yang berat tergalas di bahunya kini. Dia menggelengkan kepalanya perlahan. Kedua-dua tapak tangannya menutup muka.

          Sesudah menyiapkan diri, dia bergegas ke dapur. Sarapan pagi disediakan dan dihidangkan di atas meja dapur. Walau sarapan sudah lama terhidang di atas meja namun bayang Ryuu langsung tidak kelihatan. Sakura resah bersendirian di dapur. Dia merenung pada roti bakar yang disediakan. Dia hanya menyediakan sarapan itu sahaja hari ini. Tidak terasa untuk memasak masakan lain.

          Sakura menghela nafas. Dia melihat pada jam di dinding dapur. Sudah menjangkau pukul 7.15 pagi dan Ryuu masih belum memunculkan diri. Dua keping roti bakar dan segelas susu diletak ke atas dulang. Begitu juga dengan sebekas kecil mentega. Sakura berhasrat untuk membawanya ke bilik Ryuu. Mungkin lelaki itu akan memarahinya seperti tempoh hari kerana menceroboh masuk ke dalam bilik peribadinya namun Sakura hanya mampu menguatkan semangat. Tidak sanggup rasanya membiarkan lelaki yang telah menyelamatkannya itu berlapar. Perlahan-lahan dia menatang dulang menaiki tangga ke kamar Ryuu.

          Sakura menarik nafas perlahan apabila dia sudah berada di hadapan pintu bilik Ryuu. Teragak-agak dia mengangkat tangan untuk mengetuk pintu. Ketika tangannya ingin mendarat ke muka pintu, dengan segera dia menariknya kembali. Terasa tidak berani untuk berhadapan dengan lelaki itu. Matanya dipejamkan rapat-rapat.

          “ Sakura?”

          Pantas Sakura membuka mata sebaik sahaja suara Ryuu menerpa telinga. Dia terkesima seketika. Ryuu sedang berdiri di hadapannya. Mata lelaki itu merenung wajah Sakura. Sakura mengunci bibir. Seperti semalam, dia kehilangan kata-kata. Mata Ryuu jatuh pada dulang makanan yang berada di tangan gadis itu. Dia mengeluh perlahan.

          “ Kenapa kau bawa sarapan ke sini? Aku boleh turun ke dapur kalau aku nak,” kata Ryuu. Wajah Sakura berubah riak.

          “ Se… sebab awak tak turun-turun jadi… saya bawa naik,” tutur Sakura tersekat-sekat. Dia menunduk. Matanya merenung dulang di tangan. Ryuu menggelengkan kepala.

          “ Terima kasih.”

          Kepala Sakura terangkat sedikit apabila mendengar ucapan lelaki itu. Dia mengangguk kecil. Pintu bilik dibuka luas. Mata Ryuu masih pada gadis itu.

           “ Masuklah,” katanya sepatah sebelum kembali ke dalam bilik. Sakura termengkelan. Kehairanan kerana Ryuu dengan rela hatinya membenarkan dia masuk ke dalam kamar lelaki itu sedangkan dia pernah dimarahi dengan teruk hanya kerana kesilapannya melanggar arahan Ryuu dengan memasuki bilik Ryuu suatu ketika dahulu. Sakura mengangguk perlahan. Kakinya melangkah masuk ke dalam bilik itu.

         Ryuu sedang duduk di birai katil. Tangan kanannya memegang bahagian bahu kirinya yang luka semalam. Sakura hanya memerhatikan sahaja tingkah laku lelaki itu. Dulang diletakkan di atas meja kecil di sisi katil. Dia berdiri di hadapan Ryuu. Wajahnya kelihatan gusar.

          “ Ryuu…”

          Panggilan itu membawa Ryuu mengangkat kepalanya. Wajah Sakura yang penuh kerisauan terhidang di layar mata. Ryuu tidak berkata apa-apa namun renungannya seakan-akan menyimpan bicara yang tidak dapat ditafsirkan dengan baik oleh Sakura.

          “ Luka awak… macam mana?” tersekat-sekat Sakura menyoal. Dia melihat pada bahu yang dibalut kemas itu. Ryuu alih pandang pada balutan di bahunya pula sebelum kembali merenung wajah gadis itu.

          “ Tak ada apa-apa,” ujarnya ringkas. Ryuu meneruskan kerjanya yang tertangguh tadi. Balutan di bahu dibuka perlahan-lahan. Sakura menekup mulut apabila melihat luka yang masih berdarah di bahu kiri Ryuu. Ada lubang kecil menandakan ia pernah ditembak. Lubang itu kelihatan dalam kerana Ryuu merobek lukanya dengan pisau semalam untuk mengeluarkan peluru yang terbenam di situ.

          “ Luka awak…”

          Sakura lekas duduk di sisi Ryuu. Matanya tidak lepas daripada luka itu. Ryuu menutup bahu yang tercedera dengan sebelah tangan lagi. Ditutup dengan sehelai tuala putih. Wajah gusar Sakura direnung. Ada kesan air mata di pelupuk mata Sakura. Dia menarik nafas perlahan.

          “ Aku dah biasa,” kata Ryuu. Wajah gadis itu tidak lepas daripada renungannya. Sakura mengetap bibir. Tentu Ryuu mengalami kesakitan juga walaupun dia mengatakan bahawa dia telah biasa mengalami kecederaan seperti itu. Sakura menggelengkan kepalanya. Dia tidak dapat menyingkir rasa bersalah daripada dirinya.

          “ Tapi…,” kata-kata Sakura mati di situ. Suaranya tersekat-sekat daripada keluar. “… maaf.” Sakura tunduk. Ryuu menghela nafas perlahan. Wajah gadis itu diangkat seketika sebelum tangannya diletakkan kembali pada bahu kiri.

          “ Kau tak salah apa-apa. Takuji sudah lama berdendam dengan aku dan dia jadikan kau mangsanya untuk membalas dendam. Bukan salah kau perkara ni terjadi,” kata Ryuu perlahan. Dia cuba memujuk gadis itu. Sakura telah meletakkan dirinya sendiri sebagai punca masalah yang asalnya dicetuskan oleh Takuji.

          “ Tapi, semuanya salah saya. Kalau saya tak larikan diri dah tentu… dah tentu perkara ni takkan terjadi dan awak tak cedera,” kata Sakura agak beremosi. Ryuu menggelengkan kepala. Tangan kanannya memegang pipi Sakura. Pelupuk mata gadis itu yang basah dikesat perlahan. Sakura terpana namun dia hanya membiarkan sahaja tindakan lelaki itu. Dibiarkan sahaja jemari kasar Ryuu mengesat air mata yang sudah mula bertakung.

          “ Jangan pernah sesekali kau salahkan diri kau. Kami yakuza dan perkara ini sering berlaku. Setiap kali kami bertarung, semuanya ditentukan dengan kalah mati. Walau kau tak pernah muncul dalam hidup aku, dalam dunia kami, aku dan Takuji akan bertarung juga suatu hari nanti. Salah seorang daripada kami akan mati juga,” tutur Ryuu. Sakura terdiam seketika. Wajah Ryuu direnung lama. Kata-kata Ryuu seakan-akan telah memujuk hatinya. Menenangkan kembali jiwanya yang resah sejak semalam lagi. Perlahan-lahan dia mengangguk.

          “ Hmm…”

          Ryuu melepaskan tangan daripada pipi gadis itu. First Aid Kit dibawa keluar daripada laci meja. Beberapa alatan perubatan dibawa keluar. Sakura merenung setiap tingkah laku lelaki itu.

          “ Awak?”

          Ryuu mengangkat wajah. Mata Sakura tertumpu pada kotak perubatan di atas riba Ryuu sebelum dia mengangkat wajah melihat pada Ryuu. Teragak-agak dia mengukir senyuman.

          “ Err… boleh saya balut luka awak?” tanya Sakura perlahan. Lama Ryuu mendiamkan diri. Bahu kirinya yang masih berdarah direnung. Akhirnya dia mengangguk perlahan. Senyuman di wajah Sakura berbunga.

          “ Tunggu sekejap,” pinta Sakura sebelum keluar dari bilik Ryuu. Sejurus kemudian dia masuk kembali dengan satu bekas plastik yang mengandungi air suam. Bekas itu diletak di atas meja di tepi katil. Sehelai tuala putih dicelup sebelum diperah.

          “ Tahan sikit ya?” kata Sakura seraya membawa kain itu ke bahu kiri Ryuu. Ryuu hanya mengangguk tanpa berkata apa-apa. Dia bukannya jenis yang senang melatah jika ditimpa kecederaan malah, luka yang lebih teruk daripada ini pernah dirasainya. Diperhatikan sahaja tindak tanduk gadis itu. Berhati-hati Sakura mengelap lukanya. Sakura bimbang jika luka di bahu kiri Ryuu akan bertambah teruk. Ubat disapu sebelum bahu itu dibalut kemas.

          “ Dah siap,” tutur Sakura agak ceria. Ryuu menarik senyum kecil. Sakura menyimpan alatan perubatan itu kembali ke dalam kotak perubatan itu. Dulang yang berisi sarapan tadi diletak ke ribanya. Wajah Ryuu direnung.

          “ Sarapan awak?”

          Ryuu mengangguk. Sekeping roti bakar diambil lalu mentega disapu padanya. Sakura duduk sahaja menemani lelaki itu bersarapan. Sama seperti Ryuu menemaninya makan tidak lama dahulu.

          “ Sakura,” Ryuu menyeru nama gadis itu ketika Sakura mengemaskan dulang makanan untuk dibawa keluar. Sakura mengangkat kening.

          “ Pasal lamaran aku semalam, aku nak kau fikirkan baik-baik. Semuanya terpulang pada kau sama ada nak terima atau tak. Fikirkan kebaikan dan risiko yang harus kau ambil jika berkahwin dengan seorang yakuza. Aku bukannya seorang lelaki yang baik,” pinta Ryuu. Dia langsung tidak melihat pada wajah Sakura ketika berkata-kata. Pandangannya hanya tertumpu pada kawasan luar balkoni biliknya yang terbuka. Sakura agak tergamam dengan permintaan itu.

          Mereka berdua menyepi tanpa sebarang kata. Kedua-duanya sedang memikirkan perkara yang sama. Sakura menggeleng perlahan. Situasi yang memerlukan dia memilih antara dua dan dia tidak pasti apakah pilihan yang paling tepat untuknya.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...