Ai no Kotoba

Colours make your life beautiful, melody makes your life rhythm and harmony makes your life a life - Hana

Semua karya dalam blog ini hak cipta terpelihara penulis. Anda tidak dibenarkan menciplak, me-copy, memplagiat atau with every means to copy it atau mengaku karya itu anda punya.
Semua karya tidak mempunyai kaitan dengan yang hidup mahupun yang sudah meninggal dunia.
Selamat membaca. Peace!

Watashi no Tomodachi :D

Entri Terbaru! Tengok Sini!

Showing posts with label Eternal. Show all posts
Showing posts with label Eternal. Show all posts

Monday, February 6, 2012

Eternal 17

GAUN putih yang sudah tersarung di tubuhnya direnung kosong. Sakura tidak pasti apakah perasaannya kini. Gembira, sedih atau marah? Dia mengetap bibir. Dia melihat pula pada cermin besar di hadapannya kini. Di hadapannya kelihatan seorang gadis yang sudah dirias cantik dengan sehelai gaun pengantin yang indah di mata sudah tersarung di tubuh langsing gadis itu. Sakura senyum sendiri namun hambar. Perlahan-lahan air matanya menitis.

          “ Sakura?”

          Panggilan Mak Cik Megumi dari belakang menyedarkan dia. Wajah wanita itu dipandang sayu. Langkah Mak Cik Megumi pantas mendekati gadis yang sudah selamat bergelar isteri Kamenashi Ryuu itu. Belakang Sakura digosok perlahan.

          “ Kenapa ni?” tanya Mak Cik Megumi perlahan. Sedih terasa apabila melihat gadis semuda Sakura kelihatan keliru dengan pilihannya sendiri. Sakura menggelengkan kepala. Tubuh Mak Cik Megumi dipeluk. Wanita itu kembali menggosok belakang Sakura. Sesekali rambut Sakura diusap di balik veil itu. 

          “ Kenapa ni? Jangan sedih macam ni. Lepas ni majlis keraian akan bermula,” kata Mak Cik Megumi dengan soalan yang masih belum dijawab oleh Sakura. Matanya melihat pada pintu bilik yang agak terbuka. Bimbang jika ada orang yang mendengar perbualan mereka. Sakura mengeluh berat. Pelukannya pada wanita itu dilepaskan. Wajah Mak Cik Megumi ditenung.

          “ Saya tak tahu. Saya sangka semuanya akan berjalan dengan lancar tapi… lepas balik dari kuil, lepas semuanya, saya… saya keliru,” luah Sakura. Air matanya semakin galak mengalir. Menanggalkan mekap yang sudah dipakaikan di wajahnya. Mak Cik Megumi mengeluh.

          “ Sayang, kalau kamu nak menyesal dah terlambat. Kamu dah sah sebagai isteri Tuan Ryuu. Jangan risau, semuanya baik, okay?” pujuk Mak Cik Megumi. Sendu Sakura semakin menjadi-jadi. Dia menggelengkan kepala perlahan.

          “ Mak cik… boleh ke saya bahagia lepas ni? Sebagai isteri Ryuu?” tanya Sakura tenggelam timbul. Mak Cik Megumi terpana. Dia diam sejenak. Soalan itu sukar untuk dijawab. Jawapannya hanya ada pada Ryuu. Lambat-lambat Mak Cik Megumi mengangguk.

          “ Ya… kamu akan bahagia. Mak cik percaya kamu akan bahagia juga,” balas Mak Cik Megumi. Suaranya semakin perlahan. Dia sendiri tidak yakin dengan apa yang dikatakan tadi. Sekadar untuk memujuk Sakura yang semakin tenggelam dalam kesedihannya.

          Teriakan Sakura semakin meledak. Pantas dia merangkul balik tubuh wanita itu. Dia teresak-esak dalam pelukan Mak Cik Megumi. Dan, Ryuu yang berdiri di luar bilik itu menyandarkan diri pada dinding. Matanya dipejamkan buat seketika. Keluhan terhembus daripada bibirnya. Ryuu menggeleng perlahan. Terasa kata-kata Sakura menyentap tangkai hatinya.


“ KI.. KITA nak ke mana?” tanya Sakura teragak-agak apabila melihat laluan yang diambil Ryuu bukannya menuju ke kondominium mereka. Wajah suami yang baru dikahwininya itu tidak berani ditenung. Ryuu menoleh ke arah Sakura yang kelihatan takut-takut.

          “ Aku cakap pada Pak Cik Ukie dan Mak Cik Megumi yang kita akan ke vila percutian aku kat kawasan pergunungan untuk sementara waktu. Kau anggap jelah ni percutian untuk kita berehat lepas apa yang dah berlaku,” balas Ryuu. Sakura mengangguk perlahan. Dia melihat ke luar.

           Skyline Ryuu melintas jalan raya yang hanya terdapat pokok-pokok sakura di bahu jalan. Dari kejauhan kelihatan gunung ganang. Sesekali kelihatan burung-burung terbang bertentangan dengan arah mereka sedang tuju. Tenang suasana yang sedang dilihatnya kini. Sakura senyum sendiri.

          Ryuu di sebelah hanya mengerling pada gadis itu tanpa sepatah kata. Mindanya kembali mengingati apa yang didengarinya secara tidak sengaja tadi. Perbualan di antara Sakura dengan Mak Cik Megumi.


          “ Saya tak tahu. Saya sangka semuanya akan berjalan dengan lancar tapi… lepas balik dari kuil, lepas semuanya, saya… saya keliru.”

          “ Mak cik… boleh ke saya bahagia lepas ni? Sebagai isteri Ryuu?”


          Ryuu menggelengkan kepalanya perlahan. Pada mulanya, dia ingin menemui Sakura sebelum majlis bermula namun niatnya terbantut selepas mendengar apa yang dikatakan oleh Sakura kepada Mak Cik Megumi tadi. Dia tidak menyangka bahawa gadis itu akan meluahkan kata-kata yang sedemikian kepada Mak Cik Megumi. Ryuu resah sendirian.

          Kereta membelok ke sebuah selekoh sebelum berhenti di hadapan sebuah vila dua tingkat. Mereka berdua keluar daripada perut kereta. Mata Sakura meliar ke sekeliling. Vila itu dibina daripada kayu malah rekaannya cantik walaupun hanyalah sebuah vila dua tingkat yang biasa. Hanya rumput yang berada di sekitar kawasan itu. Tidak jauh dari vila itu, kelihatan sebuah tasik yang agak besar. Dari kejauhan, Sakura dapat lihat Gunung Fuji yang dilitupi oleh awan. Memang cantik.

          “ Kita masuk dalam. Lepas tu aku bawa kau jalan-jalan,” tutur Ryuu. Sakura hanya mengangguk. Dia mengekori langkah Ryuu dari belakang. Lelaki itu menarik sebuah bagasi kecil masuk ke dalam.

          Seperti suasana di luar, begitu juga dengan dalam vila itu. Perabot tersusun kemas malahan setiap ruang vila itu kelihatan lapang. Mereka menuju ke tingkat atas. Ada dua buah bilik yang kedudukannya saling bertentangan. Ryuu membuka salah sebuah pintu bilik itu. Sakura hanya mengagak mungkin itu biliknya dan bilik Ryuu merupakan yang satu lagi.

          “ Kita kemaskan barang-barang ni dulu. Aku nak turun ke bawah sekejap. Dalam beg ni ada pakaian kau dan pakaian aku. Aku dah kemaskan untuk kau. Bilik aku kat depan. Kalau kau perlukan apa-apa, cari aku kat bawah,” pesan Ryuu. Bagasi diletakkan di sisi katil. Sakura mengangguk sahaja. Ryuu segera keluar dari bilik itu menuju ke tingkat bawah.

          Zip bagasi itu dibuka. Pakaiannya mula diasingkan daripada pakaian Ryuu. Selesai sahaja menyusun pakaian-pakaian itu, Sakura beralih ke pintu selunsur yang terdapat di dalam bilik itu. Langsir ditarik ke tepi. Pintu itu dibuka. Sakura mengatur langkah ke beranda. Pandangannya dilemparkan ke luar. Kening Sakura terangkat. Perhatiannya tertumpu pada Ryuu yang sedang bersandar di sebatang pokok sakura di bawah. Kelopak mata lelaki itu terpejam rapat.

          Gadis itu mengeluh perlahan. Kadang kala, dia merasakan bahawa lelaki itu mudah sahaja untuk difahami namun ada masanya dia merasakan lelaki itu terlalu sukar untuk difahami. Sakura tidak pasti bagaimana hidupnya selepas ini, selepas bergelar isteri kepada lelaki itu. Sebelum ini pun, sudah banyak kejutan yang dia alami bahana terjebak dalam alam yakuza.

          Sakura menuruni tangga menuju ke luar. Ryuu masih lagi berada di bawah pokok itu, bersandar pada pokok sekaligus membelakanginya. Terasa angin yang bertiup menyapa lembut tubuhnya.

          “ Dah siap kemas barang?”

          Pertanyaan itu mengejutkan Sakura. Dia melihat pada Ryuu yang kini menoleh ke arahnya. Teragak-agak dia mengangguk. Ryuu menggamit gadis itu agar mendekati dirinya. Perlahan sahaja langkah Sakura. Dia hanya berdiri sahaja manakala Ryuu masih lagi bersandar pada pokok itu. Masing-masing mengunci bicara.

          Air tasik yang kelihatan berkocak sedikit direnung lama. Sakura mengetap bibir. Sesekali dia mengerling pada Ryuu di sisi melalui ekor matanya. Lelaki itu turut merenung ke tasik. Sakura melepaskan keluhan halus. Dia memejamkan mata. Menghirup udara segar sekitar kawasan itu.

           Eh?

          Matanya dibuka semula. Kepalanya terangkat melihat Ryuu yang kini sedang memegang belakang kepalanya. Sakura mula tidak keruan. Mata Ryuu seperti kebiasaannya merenung tajam padanya.

          “ Ryuu… kenapa?” tanyanya gugup.

          Lama Ryuu memerhatikan wajah itu. Tanpa berkata apa-apa, dia menarik Sakura ke dalam pelukannya. Sakura tergamam dengan tindakan lelaki itu. Inilah kali pertama lelaki itu memeluknya selepas kejadian di dalam gudang lama itu. Jantung Sakura berdegup kencang. Perlahan-lahan dia mengangkat wajah merenung Ryuu. Gerun tatkala melihat muka Ryuu yang sedang melihat tepat ke matanya. Seakan-akan ada sesuatu yang ingin disampaikan oleh lelaki itu.

          “ Ryuu?” tanyanya perlahan.

          Pelukannya dilepaskan. Kejap tangan Ryuu pada kedua-dua bahu Sakura. Sakura semakin hairan dengan perilaku lelaki itu. Mata Ryuu masih tidak lepas daripada wajah Sakura yang kelihatan tidak keruan. Bibir gadis itu bergetar.

          “ Ryuu… kenapa?” Sakura sudah rasa mahu menangis. Apa yang dibualkan bersama-sama Mak Cik Megumi tadi kembali berlayar di ruang ingatannya. Dia bimbang jika Ryuu mendengar perbualan mereka. Dia takut dengan penerimaan Ryuu.

          “ Kau menyesal dengan apa yang dah jadi?”

          Sakura terkesima. Wajah Ryuu turut dipandang.

          “ A… apa maksud awak?” tanyanya teragak-agak.

          Ryuu terdiam seketika. Dia menjarakkan sedikit dirinya daripada gadis itu. Wajah Sakura masih tidak lepas daripada renungannya. Jelas di matanya gadis itu sebenarnya tidak selesa tidak dengan keadaan mereka.

          “ Kau menyesal kahwin dengan aku?” tanya Ryuu tanpa berselindung.

          Sakura terkesima. Dia mula panik memikirkan kemungkinan Ryuu mendengar perbualan dia dengan Mak Cik Megumi tadi. Matanya dilarikan daripada melihat Ryuu.

          “ Kenapa awak tanya macam tu?” tanya Sakura teragak-agak, langsung tidak berani melihat wajah lelaki itu. Berharap bahawa lelaki itu tidak mendengar perbualannya dengan Mak Cik Megumi. Bukan sahaja Sakura takut jika Ryuu mengamuk namun entah mengapa, dia risau hati lelaki itu akan terguris.

          “ Aku yakuza, kau gadis biasa. Kita dari dunia yang berbeza,” balas Ryuu pantas. Sakura mengangguk perlahan. Kenyataan itu memang tidak dapat disangkal.

          “ Saya… saya seorang diri kat dunia ni. Tak pernah kenal ibu bapa saya. Saya patut bersyukur sebab awak sudi jaga saya dengan baik walaupun awak…” Kata-kata Sakura mati di situ. Tidak berani untuk meneruskan kata-katanya. Keluhan Ryuu kedengaran.

          “ Walau aku kejam, kan?”

          Kepala Sakura terangkat merenung Ryuu. Dia mengetap bibir. Tidak menyangka Ryuu salah faham akan apa yang ingin dia sampaikan. Apa yang dia ingin katakan bukannya itu. Bukan! Mereka berdua sama-sama tidak pernah saling mengenal sebelum ini namun lelaki itu sudi menjaganya. Dia benar-benar berterima kasih kepada Ryuu.

        “ Aku dah janji yang aku akan jaga kau dan aku tak suka mungkiri janji aku. Aku akan lindungi kau kalau kau ada masalah, dan kita akan kekal macam ni sebab aku tak akan pernah lepaskan kau. Kau faham?” kata Ryuu tegas. Sakura hanya mampu mengangguk. Dia hanya mampu berharap yang Ryuu akan mengotakan kata-katanya.

          Mereka kembali menyepi. Sakura hanya mampu merenung air tasik yang berkocak daripada merenung wajah lelaki itu. Ryuu juga hanya membisu tanpa sebarang bicara. Lama mereka berada dalam keadaan sedemikian sehingga tiba-tiba Sakura merasakan tangannya ditarik Ryuu.

          “ Ryuu?” serunya apabila mula menyedari Ryuu menariknya berjalan ke hadapan. Ryuu menoleh ke belakang.

          “ Kita nak ke mana?” tanya Sakura ragu-ragu.

          “ Aku nak bawa kau ke suatu tempat.”

          Dan… Ryuu terus menarik tangan gadis itu tanpa menghiraukan Sakura yang sudah kehairanan dengan tingkahnya.


SAKURA terpegun seketika. Suasana di sekitar memang cantik. Kini dia dan Ryuu sedang berdiri di atas sebuah kawasan berbukit yang menghadap tasik di sekitar vila itu. Jelas kelihatan keindahan tasik itu dari atas bukit itu. Sakura menoleh ke arah Ryuu di sisinya.

          “ Kenapa awak bawa saya ke sini?” soalnya hairan. Mata Sakura jatuh pada kilauan pada permukaan tasik itu. Memang membuatkan dia terpukau dengan keindahan tasik itu.

          Ryuu menghela nafas. Dia turun sedikit ke kawasan yang curam di bawah. Sakura hanya memerhatikan sahaja perbuatan lelaki itu. Lama Ryuu merenung permukaan tasik yang tenang itu. Kedua-dua tangannya dimasukkan ke dalam poket.
          “ Kawasan ni ada kenangan antara aku dengan mendiang ibu aku. Kat sinilah kami selalu berkelah sebelum dia meninggal dunia,” jelas Ryuu. Nadanya amat perlahan, hampir sahaja tidak didengari Sakura. Sakura agak tergamam dengan pernyataan itu. Dia merenung Ryuu yang masih membelakanginya.

          “ Mak awak…”

          Ryuu menoleh ke belakang. Kata-kata Sakura mati di situ juga. Nampaknya ada sesuatu yang menganggu Ryuu. Sakura turut berjalan mendekati Ryuu. Ryuu melontarkan pandangan ke hadapan.

          “ Mak aku meninggal masa aku tujuh tahun. Aku takkan dapat lupakan hari tu, sejak hari tu aku merasakan aku dah sebatang kara di dunia ni. Tanpa ada siapa-siapa lagi dalam hidup aku,” kata Ryuu. Suaranya makin merendah. Sakura tunduk ke tasik itu.

          “ Ayah awak?”

          Mendengarkan pertanyaan Sakura, Ryuu tergelak sinis. Dahi Sakura berkerut.

          “ Dia bukan ayah aku. Dan, aku tak mahu kau cakap apa-apa lagi pasal dia,” kata Ryuu keras. Dia merenung ke mata Sakura. Sakura termangu. Perlahan-lahan dia mengangguk. Risau jika Ryuu akan naik marah kelak.

          Ryuu kembali melihat ke permukaan tasik. Wajahnya berubah tegang. Dia paling tidak suka jika berbicara soal bapanya. Baginya, lebih baik dia hidup sebagai gelandangan daripada pernah hidup dengan lelaki itu. Ryuu tersentak apabila merasakan hujung sikunya disentuh seseorang. Dia menoleh ke belakang.

          “ Maaf…” ucap Sakura perlahan. Redup renungannya pada wajah Ryuu. Ryuu menggeleng perlahan. Dia meraup wajah. Sekali lagi dia merenung wajah polos itu.

          “ Jangan risau, aku yang terlebih emosi tadi,” kata Ryuu perlahan. Dia cuba mengukir senyuman. Kepala Sakura digosok perlahan. Sakura juga tersenyum namun hambar sahaja.

          Ryuu menghela nafas. Hidup barunya sudah bermula. Dia bukan lagi hidup seorang diri seperti dahulu. Sudah ada orang yang sudi hadir dalam hidupnya. Walau tidak berlandaskan cinta, tetapi dia amat berharap Sakura tidak akan pergi daripadanya. Dia sendiri tidak mengerti kenapa. Adakah kerana dia tidak mahu keseorangan lagi? Ryuu mengeluh berat. Kepalanya digeleng perlahan.

Friday, December 16, 2011

Eternal 16

ANGIN malam yang menyapa dibiarkan berlalu begitu sahaja. Dingin terasa sehingga mencengkam ke tulang hitam namun kedinginan itu dibiarkan sahaja. Mata Sakura masih pada wajah kosong tanpa riak Ryuu. Ryuu menghela nafas. Wajah gadis itu direnung. Dia berdiri berpeluk tubuh.

          “ Kalau kita berdua depan orang lain, jangan terkejut kalau aku layan kau dengan romantik terutama di depan Pak Cik Ukie dan Mak Cik Megumi. Depan orang, panggilan kita ‘abang-Sakura’. Kalau kita berdua saja, kita guna panggilan asal, boleh?” tanya Ryuu. Sakura mengangguk. Bukannya susah sangat pun syarat Ryuu. Sekadar untuk mengabui mata orang lain dengan perkahwinan mereka yang tidak berlandaskan cinta.

          “ Baik.”

          Ryuu mengangguk. Sekurang-kurangnya Sakura bersetuju dengan syarat yang dirasakan mudah untuk dipenuhi itu. Ternyata gadis itu tidak banyak kerenah.

          “ Kedua, kita tetap tinggal kat bilik masing-masing. Aku tahu yang kau tak akan selesa kalau aku tinggal berdua dengan kau, jadi syarat kedua ni sekurang-kurangnya dapat memberi keselesaan sikit pada kau,” ujar Ryuu lagi. Sakura mengangguk lagi. Okey…

           “ Dan, syarat terakhir.”

          Sakura mengangguk walau Ryuu masih belum berkata apa-apa. Ryuu memejamkan mata. Kedengaran dia mengeluh berat. Kelopak matanya kembali dibuka. Lama dia merenung wajah gadis itu sebelum kembali membuka mulutnya untuk berbicara.

          “ Antara kita jangan pernah sesekali jatuh cinta.”

          Wajah Sakura berubah riak namun secepat mungkin disembunyikan daripada penglihatan Ryuu. Tidak pernah dia menduga bahawa Ryuu akan mengemukakan syarat sedemikian. Walaupun dia tidak mencintai lelaki itu tetapi perkara ini berkait dengan hati dan perasaan. Sakura bimbang jika suatu hari nanti dia akan mula jatuh cinta pada lelaki itu. Apatah lagi mereka sering bersama. Lambat-lambat Sakura mengangguk.

          “ Baik…” Nadanya berubah perlahan. Sakura melarikan wajah daripada renungan Ryuu. Ryuu mengangguk sahaja sebelum kembali berdiri menghadap pemegang beranda.

          “ Esok, kita jumpa Pak Cik Ukie. Bincang hal perkahwinan kita,” ucap Ryuu tanpa memandang wajah Sakura. Sakura hanya mampu mengangguk. Dia melangkah meninggalkan Ryuu bersendirian di balkoni. Masuk sahaja ke dalam bilik, dia merebahkan badannya ke atas katil. Bulan yang sedang mengambang di luar direnung lama.

          “ Aku harap… perkahwinan ini bukan satu kesilapan,” Sakura berbisik sendirian. Renungannya masih pada bulan mengambang yang cantik dikelilingi oleh bintang-bintang yang berkelipan.


SAKURA terkedu apabila melihat Ryuu sedang berdiri di hadapan pintu biliknya. Lambat-lambat dia menjejakkan kaki keluar dari bilik. Pintu bilik ditutup perlahan sebelum wajah lelaki itu direnung.

          “ Dah siap?” tanya Ryuu. Sakura mengangguk perlahan. Ryuu beralih daripadanya lalu berjalan ke ruang tamu. Sakura hanya mampu menggelengkan kepala melihat tingkah lelaki itu. Dia mengekori Ryuu keluar dari kondominium. Langkah Ryuu yang pantas tidak terdaya dikejar olehnya. Serta merta kaki Ryuu berhenti daripada melangkah. Hampir sahaja dilanggar oleh Sakura yang hanya menunduk sepanjang perjalanan.

          “ Ouch! Ryuu!” Sakura menjerit kecil. Digosok perlahan hidungnya yang terlanggar belakang lelaki itu. Ryuu menarik senyum kecil. Senyuman yang jarang dipamerkan kepada sesiapa. Dahi Sakura dikerutkan sambil tangannya ligat menggosok hidng yang mula merah.

          “ Kenapa berhenti tiba-tiba?” tanya Sakura hairan. Nasib baik sahaja dia tidak terdorong dan jatuh ke belakang.

          “ Kau lambat sangat. Cepat,” gesa Ryuu. Tangannya menarik tangan Sakura manakala langkahnya dimulakan. Sakura terpaksa berlari sedikit untuk mengelakkan dirinya daripada terjatuh. Lif dinaiki untuk ke tingkat bawah tanah. Mereka berdua beriringan menuju ke kereta Ryuu yang diparkir ke situ.

          Kereta dipandu ke sebuah bangunan tinggi yang terletak di tengah-tengah bandar Shinjuku. Sakura hanya mampu menurut sahaja apabila Ryuu menariknya masuk ke dalam bangunan itu. Tatkala Ryuu masuk, beberapa orang lelaki yang lengkap bersut hitam yang sedang berjaga di lobi bangunan segera memberi tunduk hormat. Ryuu hanya membalas dengan anggukan perlahan. Butang lif ditekan. Sakura yang kelihatan cemas di sisinya dikerling sahaja.

          “ Kenapa?” Mata Ryuu melihat pada pintu lif di hadapan yang masih belum terbuka. Sesekali dia melihat Sakura melalui ekor matanya.

          “ Tem… tempat apa ni?” Hampir tidak kedengaran sahaja suara Sakura tatkala menyoal Ryuu. Kawasan dalam bangunan itu diterangi dengan cahaya malap malah suasananya sunyi sepi. Sakura teringatkan kumpulan lelaki yang menyapa Ryuu sebentar tadi. Kelihatan bengis walaupun tidak dizahirkan melalui perbuatan.

          “ Pusat utama Yakuza Ryuu. Aku ada hal sikit kat sini, lepas tu kita ke Eastern Star. Aku akan adakan majlis perkahwinan kita di Dewan Besar. Walau kau tak terlibat, tapi posisi kau dalam kumpulan ni akan berada dalam tempat yang tertinggi selepas kedudukan aku selepas kita berkahwin,” jawab Ryuu tanpa memandang Sakura. Seperti biasa, nadanya sekata sahaja seakan-akan tidak pernah punya perasaan. Sakura hanya mampu mengangguk.

          Sejurus pintu lif terbuka, Ryuu menarik Sakura masuk ke dalamnya. Pegangan pada tangan gadis itu tidak dilepaskan. Sehingga mereka keluar dari lif itu pun tangan Ryuu tetap memegang jemari Sakura. Sakura ditarik memasuki sebuah bilik pejabat. Kelihatan Pak Cik Ukie sedang menunggu di dalam pejabat itu. Lelaki itu bangun memberi tunduk hormat sebaik sahaja terlihat Ryuu memasuki pejabat.

          “ Macam mana, pak cik?” Ryuu menyoal selepas melabuhkan duduk di atas sofa hitam yang berada dalam pejabat itu. Sakura pula ditarik duduk di sebelahnya. Tergesa-gesa Pak Cik Ukie mengeluarkan satu pita video yang bersaiz kecil. Pita itu diserahkan kepada Ryuu.

          “ Semuanya dalam tu, tuan. Pak cik dah siasat semuanya,” tutur Pak Cik Ukie. Ryuu mengangguk sekilas manakala matanya berada pada pita video itu. Sakura yang mendengar hanya mendiamkan diri apatah lagi dia tidak tahu menahu urusan apakah yang sedang mereka berdua bincangkan kini.

          Ryuu mengangguk sedikit. Matanya tertumpu pada pita video itu. Harap-harap segala rancangan yang dilaksanakan secara rahsia bersama-sama Pak Cik Ukie itu akan membuahkan hasil. Hanya Pak Cik Ukie sahaja yang tahu mengenai perkara ini apatah lagi lelaki itu merupakan orang yang paling dipercayainya. Melibatkan anggota lain dielakkan sama sekali.

          “ Terima kasih. Saya datang ni juga nak cakap pasal perkahwinan saya,” kata Ryuu. Pita video itu dimasukkan ke dalam poket kot. Pak Cik Ukie mengangguk.

          “ Kalau ada apa-apa, pak cik akan bantu sedaya pak cik. Kenapa, tuan?” tanya Pak Cik Ukie. Ryuu diam sejenak. Tangan Sakura yang dilepaskan tadi kembali digenggam erat. Sakura agak terkejut dengan perlakuan itu. Dia merenung Ryuu dari hujung matanya. Tidak berani berkata apa-apa.

          “ Saya dah tetapkan tarikhnya. Hari Isnin minggu depan. Kami akan berkahwin di kuil dan saya nak pak cik uruskan bahagian majlis sambutan di Dewan Besar.” Kata-kata Ryuu mengejutkan Sakura. Isnin minggu depan? Cepatnya?

          Pak Cik Ukie mengangguk. Lelaki itu tersenyum lebar. “ Baiklah, tuan. Pak cik akan usahakan. Ada apa-apa lagi?”

          “ Jemput Encik Taguwo dan Encik Oda juga. Tapi, ini majlis tertutup. Hanya kita sahaja tanpa melibatkan mana-mana kumpulan lain,” pesan Ryuu. Pak Cik Ukie hanya mengangguk. Walau apapun, arahan Ryuu tetap akan dipatuhi dan Pak Cik Ukie berbesar hati kerana dia merupakan orang penting dalam segala urusan yang melibatkan perkahwinan Ryuu itu.

          “ Pak cik pergi dulu. Hubungi pak cik kalau tuan perlukan apa-apa,” ujar Pak Cik Ukie seraya memberi tunduk hormat. Ryuu mengangguk dan memerhatikan saja saat lelaki tua itu meninggalkan ruang pejabatnya. Sejenak, dia merenung Sakura di sisi. Gadis itu hanya menunduk sahaja daripada tadi.

          “ Berapa umur kau?”

          Sakura tersentak dengan pertanyaan itu. Perlahan-lahan dia mengangkat kepala dan merenung Ryuu yang sudah bangun daripada duduk. Tergesa-gesa dia turut bangun daripada sofa empuk itu.

          “ Berapa umur kau?” Ryuu mengulangi soalan itu. Sakura kelihatan agak-agak terpinga-pinga. Hairan dengan pertanyaan mengejut lelaki itu.

          “ 23 tahun,” jawab Sakura perlahan. Ryuu mengangguk sekilas.

          “ Aku 27 tahun. Kau tak kisahkan kalau suami kau boleh dikatakan agak tua daripada kau?” tanya Ryuu. Sakura kaget. Langsung tidak dapat memahami maksud kata-kata lelaki itu? Apa kaitannya dengan umur pula?

          Secara tiba-tiba tangan Sakura ditarik mengikuti langkahnya meninggalkan pejabat itu. Sakura tersentak dengan tindakan lelaki itu. Hanya itu sahaja yang mahu ditanya. Belakang Ryuu direnung. Lelaki ini benar-benar misteri dan sukar dijangka tindakannya.

 
KEPALANYA dipicit perlahan. Sakura hanya mampu memerhatikan sahaja Ryuu yang sedang berunding dengan seorang perunding perkahwinan. Sudah berjam-jam mereka berada di Eastern Star semata-mata untuk menguruskan hal perkahwinan mereka. Walaupun perkahwinan antara mereka berdua tidak berlandaskan cinta namun Ryuu bertegas untuk mengadakan perkahwinan mereka secara besar-besaran. Mahu membantah, dia bimbang akan menimbulkan kemarahan Ryuu. Sudahnya dia menyerahkan sahaja hal perkahwinan mereka bulat-bulat kepada Ryuu.

          Sakura menyandar pada sofa yang tersedia untuk para pelanggan di butik itu. Matanya dipejam rapat. Hampir sahaja dia terlena sebelum terasa bahunya ditepuk perlahan. Lambat-lambat Sakura membuka mata. Kepalanya terasa semakin memberat. Figura Ryuu agak kabur pada pandangannya. Kelihatan lelaki itu sedang berdiri merenung ke arahnya. Sakura membetulkan duduk.

          “ Kau okey?” tanya Ryuu perlahan. Sakura hanya mengangguk. Pening kepalanya semakin menjadi-jadi. Dia tidak kuasa untuk berbicara. Ryuu duduk di sisi gadis itu. Tanpa berkata apa-apa dia menarik gadis itu lantas dijatuhkan kepala Sakura pada bahunya. Sakura tergamam. Dia mengangkat wajahnya namun selepas itu Ryuu kembali merapatkan kepalanya pada bahu lelaki itu.

          “ Kekal macam tu. Kita pulang nanti, kau rehat. Dah hampir seharian kita kat sini,” kata Ryuu tanpa melihat wajah gadis itu. Sakura melihat wajah lelaki itu melalui ekor matanya. Dia menggumam. Malas mahu bersuara. Dia benar-benar malas mahu melakukan apa-apa kini. Yang difikirkannya sekarang hanyalah pening kepalanya yang semakin menjadi-jadi.

          Seorang jurujual wanita yang berurusan dengan Ryuu tadi mendekati mereka berdua. Langkah wanita itu disedari oleh Ryuu. Baru sahaja wanita itu membuka mulut untuk mengatakan sesuatu sebelum dengan segera Ryuu menghalakan telunjuk kanannya merentang pada bibir meminta wanita itu tidak berkata apa-apa. Wanita itu terdiam. Dia hanya mengangguk faham apabila melihat seorang gadis sedang melentokkan kepala pada bahu lelaki itu dengan mata yang terpejam rapat. Jurujual itu hanya meletakkan sebuah katalog di hadapan Ryuu sebelum berlalu pergi. Katalog itu dicapai.

          Helaian demi helaian katalog yang memaparkan contoh kad perkahwinan itu dibuka. Sesekali mata Ryuu jatuh pada wajah Sakura yang sedang lena tidur. Senyuman terukir di wajah dingin itu tanpa sedar.


SAKURA membuka matanya apabila merasakan tidurnya terganggu. Dia agak tersentak apabila melihat dirinya sudah berada di dalam kereta Ryuu. Ryuu sedang duduk di bahagian tempat duduk pemandu, sedang menanggalkan tali pinggang keledarnya. Lelaki itu hanya menghela nafas sahaja melihatkan Sakura yang sudah membuka mata.

          “ Kita…”

          “ Kau tertidur di butik tadi. Aku yang dukung kau sepanjang keluar dari Eastern Star tadi sehinggalah ke tempat letak kereta bawah tanah. Sekarang kita dah sampai ke kondo,” kata Ryuu pantas. Sakura terkesima mendengarkan jawapan itu. Tertidur? Dukung sepanjang perjalanan?

          “ Kenapa tak kejutkan saya?” Sakura menjerit kecil. Memikirkan sahaja tentang dia didukung Ryuu sudah memalukan, apatah lagi jika disaksikan oleh orang ramai. Wajah tenang lelaki itu direnung. Pipinya mula memerah.

          “ Kau nampak pening sangat. Lagipun, kalau aku kejut mungkin kau belum tentu lagi bangun. Tak payah bimbang, aku bawa kau keluar dari pintu belakang terus ke tempat letak kereta,” balas Ryuu sekaligus berbohong. Dia tidak pernah menggunakan tangga menuju ke pintu belakang sebaliknya dia hanya menggunakan laluan biasa sahaja. Memang tadi mereka menjadi tumpuan pengunjung pusat beli belah itu namun Ryuu tidak peduli. Asalkan dia tidak diganggu sudah tidak mengapa. Dia sengaja berbohong kepada gadis itu. Pembohongan itu sekadar mahu melegakan perasaan gadis itu. Sakura terdiam.

          “ Kepala kau pening lagi?” tanya Ryuu tiba-tiba. Sakura mengangkat wajah. Perlahan-lahan dia mengangguk. Dia masih pening walau sudah agak berkurangan sekarang. Pintu kereta dibuka. Sakura keluar dahulu mendahului Ryuu. Ryuu hanya memerhatikan sahaja perlakuan gadis itu.

          Sakura berjalan meninggalkan tempat parkir bawah tanah. Ryuu mengekori dari belakang. Langkah gadis itu kelihatan agak tidak stabil namun Ryuu membiarkan sahaja. Ryuu menghela nafas. Jujurnya, dia berada agak lapang apabila berdampingan dengan gadis itu. Kehadiran gadis itu seakan-akan telah menceriakan hidupnya kembali.  Menceriakan kembali hidupnya yang selama ini kelam dilindungi bayang-bayang hitam.

p/s: jumpa back-up untuk dokumen EL~ hehe 

Saturday, August 6, 2011

Eternal 15





BUNYI loceng di pintu menarik perhatian Sakura yang berada di dapur. Api dapur dikecilkan. Apron ditanggalkan sebelum disangkut pada kepala kerusi. Sakura bergegas ke ruang tamu. Kelihatan Ryuu sudah berada di muka pintu. Kedengaran lelaki itu sedang bercakap dengan tetamu yang hadir.

          “ Ryuu?” panggil Sakura dari belakang. Ryuu menoleh ke belakang. Dia berkalih sedikit bagi memberi ruang kepada Sakura. Sepasang suami isteri berdiri di hadapan pintu. Pak Cik Ukie dan Mak Cik Megumi. Sakura mengukir senyuman lantas memberi tunduk hormat. Dia cam akan lelaki itu. Pak Cik Ukie turut bersama dengan Ryuu semasa dia melarikan diri dahulu.

          “ Selamat tengah hari, Cik Haruno,” sapa Pak Cik Ukie dan Mak Cik Megumi serentak. Sakura tersenyum simpul.

          “ Panggil Sakura saja, pak cik, mak cik,” pinta Sakura. Kedua-dua tetamunya mengangguk.

          “ Sakura, ini Pak Cik Ukie dan yang sebelahnya tu isteri Pak Cik Ukie, Mak Cik Megumi,” jelas Ryuu. Sakura tersenyum lagi. Dia mengangguk sebagai tanda hormat.

          Ryuu mempelawa pasangan suami isteri itu masuk ke dalam kediamannya. Pak Cik dan Mak Cik Megumi duduk di ruang tamu berserta Ryuu. Sakura pula masuk ke dapur. Dia kembali dengan sedulang minuman dan biskut. Berhati-hati dihidangkan makanan itu ke atas meja.

          “ Kau tengah masak makan tengah hari, kan?” tanya Ryuu. Matanya tertumpu pada Sakura. Sakura mengangguk. Dia bangun daripada duduknya di lantai tadi.

          “ Boleh masak lebih?”

         Pantas Sakura mengangguk. Dia mengukir senyum kecil.

          “ Baiklah.”

          “ Tak payahlah, Tuan Ryuu. Kami datang nak melawat saja,” tegah Pak Cik Ukie. Mak Cik Megumi mengangguk. Ryuu menggeleng. Dia terus memandang Sakura.

          “ Masak lebih, ya?” pinta Ryuu. Sakura mengangguk sekali lagi. Dia mengangguk sekilas pada Pak Cik Ukie dan Mak Cik Megumi sebelum berpusing untuk ke dapur. Langkahnya mati apabila mendengar namanya dipanggil Mak Cik Megumi. Sakura kembali menghadap mereka bertiga.

           “ Ya, mak cik?”

          Mak Cik Megumi bangun daripada duduknya. Dia memaut bahu Sakura dan berjalan ke dapur. Ditinggalkan Ryuu dan suaminya di ruang tamu.

          “ Biar mak cik tolong kamu.”

          Hasrat Sakura untuk membantah tidak terhasil apabila melihat senyuman wanita itu. Perlahan-lahan dia mengangguk dengan senyuman di bibir. Mereka berdua beriringan menuju ke dapur. Mak Cik Megumi menoleh sekilas pada suaminya. Pak Cik Ukie hanya tersenyum.


LAMA Ryuu dan Pak Cik Ukie menyepi. Gelas berisi jus di atas meja diambil sebelum disisip perlahan. Lama mata Pak Cik Ukie melekat pada wajah Ryuu yang sedang termenung kini. Pak Cik Ukie mengeluh berat. Gelas kembali diletak di atas meja.

          “ Kecederaan tuan macam mana?” tanya Pak Cik Ukie. Matanya tertumpu pada bahu kiri Ryuu yang hanya bersinglet. Walaupun sudah berbalut namun kesan darah masih terdapat di bahagian yang berbalut kemas itu. Ryuu mengerling sekilas pada bahu kirinya.

          “ Saya okey. Tak apa-apa,” perlahan Ryuu menutur ayat. Pak Cik Ukie mengeluh.

          “ Tuan tetap guna cara lama untuk buang peluru?” tanya Pak Cik Ukie lagi.

          Kepalanya terasa sakit tiba-tiba. Pening memikirkan perihal anak bekas majikannya yang dijaga sejak daripada kecil. Walaupun Ryuu terkenal dengan sikapnya yang berani mengambil risiko namun Pak Cik Ukie bimbang juga. Jika mengalami kecederaan kerana ditembak, Ryuu lebih suka menggunakan caranya sendiri untuk berubat. Jarang benar lelaki itu akan menemui doktor.

          “ Saya tak apa-apa, pak cik,” ulang Ryuu. Dia memegang bahu kiri yang terasa berdenyut seketika. Kesakitan yang sedikit tidak memberi apa-apa kesan kepadanya. Sudah banyak kali dia mengalami kecederaan seumpama itu.

          Pak Cik Ukie hanya mampu menggelengkan kepalanya. Sukar benar buat lelaki muda itu itu mengikuti arahannya walau sekali dua. Namun Pak Cik Ukie sedar, belum pernah lagi Ryuu bercakap kasar dengannya. Anak muda itu tetap menghormatinya.

           “ Betul ke yang tuan nak kahwin dengan Cik Haruno?” tanya Pak Cik Ukie mengalih topik perbualan. Gelaran Cik Haruno menggantikan nama Sakura. Dia tetap menggunakan gelaran Cik Haruno pada Sakura walau sudah diminta untuk memanggil nama sahaja. Ryuu tersedar daripada khayalan singkatnya setelah mendengar pertanyaan Pak Cik Ukie. Matanya kembali pada wajah tua itu.

          “ Tuan betul-betul nak kahwin dengan Cik Haruno?” Pak Cik Ukie mengulangi pertanyaanya setelah melihat Ryuu kekal mendiamkan diri. Kali ini nada Pak Cik Ukie serius. Tidak lembut dan perlahan seperti kebiasaannya.

          Lambat-lambat Ryuu mengangguk. Pak Cik Ukie menggelengkan kepalanya. Kedatangan dia dengan isterinya ke sini bukan sekadar mahu menjenguk Ryuu yang tercedera semalam namun juga untuk bertanyakan perihal rancangan perkahwinannya dengan Sakura. Perkara itu dimaklumkan oleh Ryuu awal pagi tadi. Bergegas dia dengan isterinya ke kediaman lelaki itu. Mereka berdua mahukan penjelasan Ryuu.

          “ Tuan cintakan dia? Pak cik tak setuju kalau tuan kahwin dengan Cik Haruno tanpa perasaan cinta,” kata Pak Cik Ukie tegas. Lagaknya seperti seorang bapa. Ryuu terdiam. Tidak menyangka kata-kata itu akan muncul daripada bibir Pak Cik Ukie.

          “ Tuan cintakan Cik Haruno?” Sekali lagi Pak Cik Ukie terpaksa mengulangi pertanyaannya. Wajah Ryuu tidak dapat digambarkan dengan kata-kata. Dia mendiamkan diri. Renungan Pak Cik Ukie hinggap lama di wajahnya.


IKAN yang telah disiang dibiarkan di bawah curahan air. Sakura beralih ke peti sejuk. Sebotol sos cili dikeluarkan lalu di diletak ke atas meja. Mak Cik Megumi pula sedang mengacau sup. Wanita itu merenung gadis yang sedang leka menyediakan makanan itu.

          “ Kamu baik-baik saja tinggal kat sini?” tanya Mak Cik Megumi. Kacauan pada sup tidak dihentikan. Wajah Sakura yang berubah riak dipandang dengan senyuman ikhlas di bibir. Sakura tersenyum. Teragak-agak dia mengangguk.

          “ Tuan Ryuu tu baik. Mungkin dia seorang pembunuh yang kejam tetapi dia tetap seorang anak yang baik,” kata Mak Cik Megumi. Kening Sakura terangkat. Rasanya lebih baik dia berbincang dengan Mak Cik Megumi berkenaan lamaran Ryuu. Mak Cik Megumi tentu sudah lama mengenali Ryuu dan Mak Cik Megumi juga berkahwin dengan seorang yakuza. Itu yang paling penting.

          Sakura mengalih perhatian pada wanita tua itu.

          “ Mak cik, boleh saya nak tanya sesuatu?” kata Sakura teragak-agak. Mak Cik Megumi menghentikan kacauannya. Dia turut merenung wajah gadis itu. Senyuman di bibir tidak pernah mati. Hati Sakura yang gelisah mula tenang sedikit.

          “ Kamu nak tanya apa?”


WAJAH Ryuu ditenung lama. Sudah agak lama Ryuu dan Pak Cik Ukie mengunci kata sejak pertanyaan Pak Cik Ukie tadi. Ryuu langsung tidak menjawab pertanyaannya dan ini membuatkan Pak Cik Ukie gelisah. Dia gembira kerana Ryuu akan berkahwin namun dia tidak bersetuju jika perkahwinan Ryuu kosong sahaja tanpa cinta masing-masing. Pak Cik Ukie mengeluh.

          “ Tuan memang berhasrat nak jadikan Cik Haruno isteri tuan?”

          Pertanyaan itu diulangi lagi. Ryuu tetap mendiamkan diri. Pak Cik Ukie memicit kepala yang terasa pening. Sudah betul kalau nak berbincang sesuatu dengan Ryuu. Anak muda itu lebih suka mendiamkan diri daripada menjawab pertanyaan.

          “ Perkahwinan bukan perkara main-main, tuan. Pak cik harap tuan takkan sia-siakan hidup tuan dengan perkahwinan sia-sia.” Hanya itu sahaja yang mampu dinasihatkan oleh Pak Cik Ukie.

          Ryuu tersentak sedikit. Matanya berkalih pada wajah Pak Cik Ukie. Lama wajah itu direnung sebelum Ryuu mula membuka mulut.

          “ Saya memang… cintakan dia.”

          Serta-merta senyuman terukir di wajah Pak Cik Ukie. Itulah pengakuan yang ditunggu-tunggu. Apa yang diharapkan olehnya hanyalah Ryuu tidak berbohong dengan kata-katanya itu. Pak Cik Ukie mengangguk perlahan.

          “ Baguslah.”

          Ryuu tunduk merenung lantai. Jika Pak Cik Ukie tahu bahawa dia sedang berbohong, sudah pasti lelaki itu akan kecewa dengannya. Senyuman di wajah Pak Cik Ukie hanya disambut hambar.


SAKURA dan Mak Cik Megumi duduk di meja dapur. Sakura duduk dengan kepala menunduk ke lantai manakala Mak Cik Megumi kelihatan tenang sahaja. Tangan wanita itu mengusap lembut jemari Sakura. Sakura tersentak dengan sentuhan lembut itu. Membuatkannya dia mula berfikir akan hidupnya di dunia yang tidak pernah bertemu dengan ibu kandung yang melahirkannya. Teragak-agak dia mengukir senyuman buat wanita itu.

          “ Apa yang kamu nak tanya?” lembut suara Mak Cik Megumi menerpa telinga. Kelembutan wanita itu sedikit sebanyak menghalau galau di hati Sakura. Keluhan berat terhembus menelusuri rengkungan. Wajah tua itu ditatap.

          “ Saya… tak pasti…” Kata-katanya mati di situ. Sakura menyusun ayat yang baik dalam meluahkan masalahnya. Mak Cik Megumi tersenyum lagi. Jemari Sakura dipegang erat. Dia membelai rambut Sakura yang panjang. Rambut gadis itu yang terjuntai dibawa ke sisi telinga.

           “ Tak pasti dengan lamaran Tuan Ryuu?” Bukannya pertanyaan, sebaliknya lebih kepada pernyataan. Sakura agak terperanjat dengan kata-kata Mak Cik Megumi. Wajah wanita itu direnung dengan pelbagai persoalan di benaknya. Mak Cik Megumi hanya menguntum senyum.

          “ Tuan Ryuu dah beritahu kami pasal lamarannya. Jadi, kamu nak minta pendapat mak cik ke?” ujar Mak Cik Megumi agak berseloroh. Sakura terdiam sejenak. Teragak-agak dia mengangguk. Memang itulah tujuannya.

          “ Apa yang kamu nak tanya?” soal Mak Cik Megumi. Masih bernada lembut. Sakura tersenyum. Dia menyenangi wanita yang sudah agak berusia itu. Sentiasa lembut dalam berbicara sekaligus menyenangkan hati orang yang mendengarnya.

          “ Sakura?” Teguran itu menyedarkan Sakura daripada lamunannya. Sejurus dia tersenyum malu.

          “ Err… saya nak tanya mak cik… emm…” Beberapa kali kata-katanya putus. Dia masih tidak dapat memikirkan ayat yang terbaik untuk berkata-kata. Dia bimbang jika kata-katanya bakal menyinggung perasaan wanita itu.

          Mak Cik Megumi ketawa perlahan. “ Berkahwin dengan yakuza, begitu?”

          Sekali lagi Sakura terperanjat. Serkap jarang Mak Cik Megumi begitu tepat sekali. Diam-diam dia menggagumi naluri wanita itu. Sudah dua kali Mak Cik Megumi meneka dengan tepat. Dia tersenyum kecil.

          “ Pak Cik Ukie memang seorang yakuza sejak dia muda lagi,” kata Mak Cik Megumi perlahan sekaligus menarik perhatian Sakura. Dada Sakura terasa berdebar seketika tanpa diketahui sebabnya. Dia tertarik dengan apa yang bakal Mak Cik Megumi ceritakan sebentar lagi.

          “ Masa tu, mak cik baru berumur 18 tahun masa mak cik bertemu dengan pak cik. Pada mulanya, mak cik memang mengaku yang mak cik sukakan pak cik pada pertemuan pertama kami. Kami bertemu di sebuah festival musim bunga. Masa tu mak cik nak ke tokong dan terlanggar pak cik. Jika kamu melihat Pak Cik Ukie pada perkenalan pertama kami, kamu memang tidak akan percaya bahawa dia seorang yakuza,” ucap Mak Cik Megumi sekaligus membongkar rahsia pertemuan kali pertamanya dengan Pak Cik Ukie. Sakura tersenyum-senyum. Tumpuannya hanya pada penceritaan Mak Cik Megumi.

          “ Pak cik baik. Kemudian kami bertemu lagi kat sebuah kedai bunga. Sejak hari tu kami sering keluar bersama,” ujar Mak Cik Megumi dengan tompokan merah pada pipi. Sakura tertawa perlahan. Mak Cik Megumi menggelengkan kepalanya sedikit.

          “ Suatu hari tu, ada sekumpulan yakuza menyerang kami. Mak cik memang takut sangat masa tu, tambah-tambah lagi bila lihat mereka serang Pak Cik Ukie dengan pedang samurai. Tapi, pak cik memang hebat. Dia keluarkan pistol dan mula menyerang. Tak lama kemudian, kesemua penyerang tu mati. Memang mak cik terkejut bila tengok dia bunuh orang. Kemudian, pak cik terangkan hal yang sebenar. Mak cik rasa nak nangis je lepas dia cakap yang dia sebenarnya seorang yakuza,” cerita Mak Cik Megumi. Sakura hanya duduk sahaja tanpa mencelah apa-apa. Hanya pada Mak Cik Megumi sahaja tempatnya untuk mengadu kini.

          “ Pak cik suruh mak cik tinggalkan dia. Dia tak nak mak cik terbunuh kalau suatu hari nanti ada yakuza lain yang nak balas dendam. Mak cik tak tahu nak fikir apa masa tu. Mak cik anak yatim, bila mak cik jumpa pak cik, mak cik rasa bahagia sangat. Jadi, bila pak cik suruh mak cik tinggalkan dia, hati mak cik betul-betul hancur. Lama mak cik dan pak cik tak jumpa sejak hari tu.” Mak Cik Megumi terhenti di situ. Walau sudah lama peristiwa itu berlaku namun sedikit sebanyak masih memberi kesedihan kepadanya.

          “ Suatu hari, pak cik datang cari mak cik. Dia kata, dia tak sanggup nak berpisah dan ajak mak cik kahwin. Dia suruh mak cik fikir dulu sebab dia kata dia bukannya orang baik. Sudah banyak orang yang dia bunuh. Mak cik memang muda sangat masa tu, mak cik ikutkan hati mak cik dan bersetuju. Tapi, mak cik bersyukur sebab pilihan mak cik tepat. Pak cik tak pernah mengasari mak cik selama kami berkahwin. Kadang-kadang, mak cik tak percaya yang dia pernah bunuh orang. Kami tiada anak dan kami sudah anggap Tuan Ryuu seperti anak kami sendiri. Jadi, apa yang kamu nak tanya mak cik?” Mak Cik Megumi menoktahkan ceritanya. Sakura tersenyum hambar. Dia kembali menundukkan kepala.

          “ Saya… saya keliru.”

          Mak Cik Megumi kembali mengusap tangan Sakura seakan-akan cuba memberi kekuatan kepada gadis itu. Kelopak matanya dikatup rapat. Helaan nafas Sakura sudah boleh menggambarkan kekusutan yang dialami.

          “ Ryuu seorang yakuza malah dia merupakan ketua kumpulannya. Jujurnya, saya tak pernah tengok dia membunuh orang sehinggalah semalam. Saya betul-betul takut, tak dapat gambarkan macam mana kalau saya mati dan… Ryuu muncul dan selamatkan saya. Bila saya tengok dia, saya… tak tahu nak percaya atau tidak yang dia merupakan seorang pembunuh. Ryuu dingin tapi dia tak pernah melayan saya dengan kasar. Waktu dia melamar saya semalam, saya…”

          Sakura putus bicara. Dia menggelengkan kepala sedikit. Mak Cik Megumi hanya tersenyum tanpa berkata apa-apa. Hanya membiarkan gadis itu meleraikan segala kekusutan yang sedang dialami. Sakura mengeluh. Terasa sukar apa yang sedang dia lalui kini.

          “ … saya rasa gembira. Saya anak yatim, sama macam mak cik. Walaupun saya dan Ryuu tak bercinta, tapi bila mendengar dia melamar saya semalam, sedikit sebanyak hati saya terusik untuk menerima dia. Tapi, saya tetap keliru. Saya…”

          “ Mak cik tahu apa yang kamu keliru sekarang,” celah Mak Cik Megumi sekaligus mematikan kata-kata Sakura. Sakura mengangkat kepalanya, melihat terus ke dasar anak mata wanita itu. Memperlihatkan kejujuran Mak Cik Megumi dalam menasihatinya.

          “ Tuan Ryuu mungkin boleh menjadi seorang suami yang baik tetapi tidak sebagai seorang yakuza. Mak cik kata macam ni bukan sebab nak pujuk kamu terima lamaran Tuan Ryuu tapi sebab mak cik dah laluinya. Pak Cik Ukie seorang suami yang baik pada mak cik tetapi tidak sebagai seorang yakuza. Bila berhadapan dengan musuh, kamu seakan-akan tidak mengenalinya lagi,” jelas Mak Cik Megumi. Dilihatnya gadis itu mengangguk kecil.

          “ Tuan Ryuu seorang lelaki yang baik walaupun sudah banyak nyawa hilang di tangannya. Mungkin dia seorang pembunuh berhati kejam tetapi mak cik percaya, dia boleh menjadi seorang suami yang baik pada kamu. Mak cik dan pak cik dah kenal dengan dia sejak Tuan Ryuu kecil lagi. Setakat ini, tidak pernah walau sekali pun dia meninggikan suara atau bersikap kasar dengan kami dan kami amat menghormatinya,” kata Mak Cik Megumi lagi.

          Dia mengucup dahi gadis itu sebelum membawa Sakura ke dalam pelukannya. Sakura mengangguk. Erat dia membalas pelukan wanita itu. Kata-kata Mak Cik Megumi terasa meresap ke hatinya.


SUDAH beberapa kali Sakura menggigit bibir. Dipandang sepi sahaja Ryuu yang sedang bersantai di balkoni. Memang di situlah tempat kegemaran Ryuu malam-malam. Dia akan berdiri di balkoni sambil menikmati hembusan sejuk angin malam.

          Sakura sudah memikirkan keputusannya dan dia harus memberitahunya kepada Ryuu. Jika boleh, dia tidak mahu bertangguh-tangguh lagi. Kata-kata Mak Cik Megumi diingat berulang kali dalam kepala. Sudah banyak kali dia berfikir dan dia merasakan apa yang dia akan ucapkan pada Ryuu nanti itu merupakan yang terbaik.

          Sakura menarik nafas. Langkah mula diatur menuju ke balkoni kondominium itu. Dia berhenti betul-betul di belakang Ryuu. Lama dia merenung lelaki itu sebelum mula membuka mulut, menyeru lelaki itu.

          “ Ryuu?”

          Ryuu menoleh ke belakang mendengarkan dirinya dipanggil. Matanya jatuh pada Sakura yang kini sedang berdiri di belakang. Ryuu tidak mempamerkan reaksi apa-apa. Hanya melihat sahaja pada gadis itu yang kini sudah mula gelisah.

          “ Pasal lamaran awak…”

          Sakura tunduk ke bawah. Tidak sanggup rasanya melihat wajah lelaki itu.

          “ … sa… saya terima.”

          Terluah juga apa yang ingin dikatakan sejak daripada tadi lagi. Ryuu terdiam. Tidak menyangka gadis itu akan menerima lamarannya. Wajah gadis itu direnung. Dia mengangkat dagu Sakura memaksa gadis itu bertentang mata dengannya. Sakura termengkelan. Mata Ryuu terus merenungnya.

          “ Kau dah fikir baik-baik? Aku yakuza, seorang pembunuh. Kau sanggup?” tanya Ryuu perlahan. Dia mahu Sakura berfikir dengan sebaik mungkin. Hatinya lapang apabila Sakura menyatakan persetujuan untuk berkahwin dengannya tetapi dia tidak mahu memaksa.

          “ Ya. Saya… saya terima lamaran awak,” ucap Sakura seolah-olah bertegas dengan keputusannya. Pegangan Ryuu dilepaskan. Dia bertentangan mata dengan lelaki itu. Ryuu mengangguk sedikit seraya mengatupkan kelopak mata.

          “ Baiklah. Tapi, aku akan sertakan syarat-syaratnya.”

          Sakura mengangguk pantas. Sedaya upaya akan cuba menyanggupi segala syarat yang dikemukan oleh Ryuu. Ryuu membuka mata. Melihat gadis itu yang sudah seakan-akan sudah bersedia dengan segala kemungkinan.




p/s: Hana pernah terfikir untuk tutup blog ni buat sementara sehingga SPM. sekarang ni pun dah jarang update sbb sibuk. korang rasa patut ke Hana tutup for a while?




春の花

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...