“ AKU nampak dia kat rumah kau minggu lepas.” Hyun
Min berterus-terang. Pertanyaan Ji Hoon tidak dihiraukan. Ji Hoon senyap buat
seketika. Dahinya berkerut.
“ Kau nampak? Bila?”
“ Hari kau buat dia menangis depan
rumah kau,” jawab Hyun Min terburu-buru. Tidak dapat dipastikan sama ada dia
ingin memarahi Ji Hoon kerana telah membuat Chae Rin menangis atau atas sebab
apa. Muka Hyun Min jelas kemerahan dengan kerutan di muka.
“ Aku dah jelaskan semuanya pada dia.
Aku dah beritahu dia, kalau dia nak aku kembali pada dia, perkara tu mustahil
untuk berlaku. Aku dah ada isteri dan aku hanya anggap dia sebagai adik aku,”
jelas Ji Hoon.
“ Yalah...” jawab Hyun Min malas. “
Aku pun...”
“ Kau kan tahu yang aku dan ada Eun
Hee dan tak akan kembali pada dia,” tegas Ji Hoon. Tajam matanya pada wajah
kelat Hyun Min.
“ Yalah, aku tahu aku bertindak bodoh
sebab dia,” getus Hyun Min. Ji Hoon tersenyum lucu.
“ Kenapa kau senyum pula?” tanya Hyun
Min. Hairan melihatkan senyuman di wajah Ji Hoon. Tadi lelaki itu kelihatan
tegas, kali ini senyum pula?
“ Biasalah kalau kau rasa kau
bertindak bodoh sebab dia. Kau cintakan dia dan bukannya kau seorang saja yang
rasa telah bertindak bodoh sebab orang yang kau sayang. Aku pun macam tu,” ucap
Ji Hoon tenang. Hyun Min menyeringai.
“ Kau nak cakap yang kau dah banyak
kali rasa bertindak bodoh sebab Eun Hee. Betul tak apa yang aku cakap?” usik
Hyun Min. Ji Hoon ketawa perlahan. Dia menjungkit bahunya.
“ Mungkin. Kita mana sedar, kan?”
Kali ini Hyun Min pula yang turut
ketawa. Rasa bebannya berkurang lepas bercakap dengan Ji Hoon. Lelaki ini
memang menyenangkannya. Apatah lagi dalam keadaan fikirannya kusut memikirkan
Chae Rin.
“ Dua hari lepas, aku telefon dia,”
kata Hyun Min perlahan.
Mata Hyun Min beralih menembusi
dinding kaca kafe resort terus ke taman. Ji Hoon hanya mendiamkan diri.
Menunggu lelaki itu menyambung bicaranya.
“ Dia menangis.”
Sekali lagi kerutan muncul di dahi Ji
Hoon.
“ Kenapa?”
Hyun Min tersenyum pahit. Matanya
kembali pada Ji Hoon sebelum mula menunduk merenung lantai kafe.
“ Tentu sebab kau. Dia tak pernah
menangis macam tu sepanjang aku kenal dia,” luah Hyun Min. Nadanya jelas
perlahan dan seakan-akan tidak mahu Ji Hoon mendengar kata-katanya.
Ji Hoon mula mengeluh berat. Jelas di
matanya betapa Hyun Min terluka. Lelaki itu benar-benar cintakan Chae Rin. Jika
tidak, sudah lama Hyun Min pergi mencari wanita lain untuk dirinya daripada
menunggu Chae Rin yang masih mengharapkan Ji Hoon.
“ Aku percaya yang kau dengan dia
ditakdirkan bersama. Kalau tak, kenapa kau masih betah di sisi dia. Chae Rin
pun langsung tak hilangkan diri dia daripada kau. Sabarlah, aku yakin suatu
hari nanti dia akan sedar betapa pentingnya kau pada dia,” pujuk Ji Hoon walau
dia tahu sudah banyak kali ayat seperti itu diluahkan kepada Hyun Min. Hyun Min
menjungkit bahu.
“ Mungkin.”
Ji Hoon mula menyepi. Dia kasihankan
Hyun Min tetapi tidak tahu apa yang patut dilakukan olehnya. Chae Rin punya
banyak pilihan tetapi malangnya gadis itu terlalu mengharapkannya. Dia hanya
boleh berharap, sekali lagi, yang gadis itu sedar akan kehadiran Hyun Min yang
ikhlas terhadapnya tidak lama lagi.
JI HOON senyum sahaja apabila melihat Da Wei sedang
tekun dengan kerjanya. Agaknya, adakah disebabkan oleh sikap Da Wei yang
mementingkan kerja yang menyebabkan sepupunya itu tiada teman wanita? Memang
patutlah bapa dan ibu saudaranya itu menggesa Da Wei untuk segera berkahwin.
Pintu pejabat Da Wei diketuk
perlahan. Perhatian Da Wei yang hanya pada kertas-kertas yang bertimbun di atas
meja mula beralih kepadanya. Sepupunya itu mula tersenyum sebelum mengangguk.
“ Aku fikir kau tak datang? Dah lama
aku tunggu,” kata Da Wei sebaik sahaja Ji Hoon membuka pintu. Eun Hee masih di
pejabatnya. Sengaja tidak mahu menyusahkan gadis itu dengan urusannya.
“ Aku jumpa dengan Hyun Min tadi, tu
yang lambat jumpa kau. Apa pun, boleh tak kau tunggu aku duduk dulu baru kita
borak?” kata Ji Hoon. Da Wei tersenyum. Dia menepuk dahi menyedari
kesilapannya.
“ Yalah, yalah.”
Ji Hoon duduk di set sofa di suatu sudut
manakala Da Wei masih di meja kerjanya. Fail di hadapannya ditutup sebelum dia
berjalan menyertai Ji Hoon di sofa itu. Dia duduk berhadapan dengan lelaki itu.
Ji Hoon mencapai akhbar yang tergeletak di atas meja kopi.
“ Kepala kau dah okey ke?” tanya Da
Wei.
“ Kalau tak okey, kau tak akan nampak
aku muncul kat sini,” kata Ji Hoon sinis. Akhbar di hadapannya dibuka. Beberapa
tajuk menarik minatnya.
“ Jadi, apa kata Mak Cik Da Hae?
Teruk ke dia marah?” tanya Da Wei lagi tanpa dapat menahan gelak. Mengingati
bagaimana pucatnya wajah Ji Hoon apabila dimaklumkan bahawa ibunya itu
mengetahui kemalangan yang menimpanya membuatkan dia ketawa lucu.
“ Kau rasa mak aku macam mana dalam
konteks ayat ‘teruk ke dia marah’ tu?” tanya Ji Hoon pula. Matanya masih
melekat pada baris-baris ayat di akhbar. Da Wei tersengih lagi. Jika
berdasarkan perangai Mak Cik Da Haenya itu, jelas benar teruk sepupunya itu
dimarahi.
“ Mak kau tak cuba datang sini?”
Ji Hoon mengangguk malas. “ Cuba
juga. Nasib baik Pak Cik Nam Gil dapat halang. Kalau tak, dah tentu makin teruk
aku kena marah.”
Kepala Da Wei tersentak ke hadapan.
Dia menepuk dahi seakan-akan baru mengingati sesuatu. Ji Hoon mengangkat muka
daripada akhbar yang sedang dibacanya apabila menyedari lagak aneh Da Wei.
“ Kenapa?” tanyanya hairan.
Da Wei bingkas bangun daripada sofa
yang sedang didudukinya dan segera menuju ke meja kerjanya. Laci dibuka lantas
sepucuk surat dikeluarkan. Surat itu diserahkan kepada Ji Hoon sebaik sahaja
dia duduk kembali.
“ Surat apa ni?” tanya Ji Hoon hairan
namun huluran itu disambut. Nama dan alamat yang tertera merupakan nama dan
alamat resort ini.
“ Aku dapat surat ni kelmarin. Aku
tak buka sebab beralamat dan nama kau. Cubalah buka, mana tahu ada urusan
penting,” jelas Da Wei.
Ji Hoon menurut sahaja. Berhati-hati
dia mengoyak bahagian hujung sampul surat itu, bimbang akan turut mengoyakkan
kandungannya. Sekeping yang berlipat kemas dibuka. Matanya mula melirik pada
isi kandungan yang bertaip kemas pada permukaan kertas itu.
“ Surat apa?” tanya Da Wei sebaik
sahaja melihat Ji Hoon melipat kembali surat itu.
“ Aku diminta ke Jeju Floral Hotel
malam lusa,” kata Ji Hoon perlahan. Jelas dia sendiri bingung dengan kandungan
surat yang turut diterimanya itu. Dia merenung wajah Da Wei yang turut kehairanan.
“ Jeju Floral Hotel? Siapa yang ajak
kau?” tanya Da Wei lagi. Kedua-dua keningnya bercantum.
Sekali lagi mata Ji Hoon melirik pada
kertas itu. Oh Kwang Hee, Pengurus Besar Jeju Floral Hotel. Satu nama yang
asing baginya. Dia tidak mengenali sesiapa dengan nama itu dan apa yang
difikirkannya adakah lelaki itu merupakan salah satu daripada rakan kongsinya
daripada hotel itu sedangkan resort itu tidak pernah bekerjasama dengan Jeju
Floral Hotel.
“ Siapa?”
Ji Hoon tersentak. Segera dia
menghulurkan kertas itu kepada Da Wei. Da Wei sendiri kelihatan hairan sebaik
sahaja selesai membaca isi kandungan surat itu.
“ Oh Kwang Hee? Dia bukan salah
seorang pemegang saham kita, kan?” tanya Da Wei. Ji Hoon menggelengkan kepala.
Seperti mana Ji Hoon, Da Wei sendiri tidak pernah bersua dengan lelaki itu.
“ Kalau ikutkan surat tu, dia nak aku
jumpa dia malam lusa. Kat bilik hotel J-24 dan dia nak aku hadir seorang diri.
Apa pendapat kau, patut ke aku pergi?”
Lama mata Ji Hoon singgah pada wajah
sepupunya. Masing-masing mula berandaian yang tidak buruk. Hairan dengan
kehadiran surat yang dianggap misteri itu. Seorang lelaki yang tidak dikenali
mahu bertemu secara persendirian dengan Ji Hoon. Mungkin lelaki itu mahu
menawarkan kerjasama dengan Ji Hoon, tetapi kenapa harus dilakukan pada waktu
malam? Secara persendirian dan tanpa ditemani sesiapa pula tu.
“ Aku tak yakin yang lelaki ni
berniat baik. Kalau tak, tentu dia jelaskan sebab dia nak bertemu dengan kau. Lagipun,
kenapa dia nak jumpa kau seorang? Tentu dia ada niat tak baik,” gerutu Da Wei.
Matanya merenung marah pada kertas di tangan Ji Hoon.
“ Tak baik kau fikir macam tu. Mana
tahu dia ada masa nak jumpa waktu malam saja?
Lagipun, ada nombor telefon dia kalau aku nak hubungi dia. Takkan dia nak
tinggalkan nombor telefon dia kalau dia ada niat tak baik?” ucap Ji Hoon
tenang. Da Wei mula bengang.
“ Kau nak pergi seorang diri? Kau dah
hilang akal ke? Macam mana kalau dia ada tak baik?” Da Wei mengulang
kebimbangannya. Ji Hoon agak tersentak dengan nada sepupunya yang mula meninggi
tetapi dia kelihatan tenang sahaja.
“ Jangan bimbang. Aku akan okey.
Aku...”
“ Jujurnya, kau fikir semua orang
atas dunia ni baik ke? Kalau jadi apa-apa pada kau, macam mana?” pintas Da Wei
geram. Berkerut mukanya menahan marah.
Inilah satu perangai Ji Hoon yang
tidak disukai Da Wei. Memanglah baik kalau tidak berprasangka buruk terhadap
orang lain tanpa menyiasat dulu. Tetapi kalau sampai mengabaikan keselamatan
sendiri, itu bukan baik namanya. Sudah sampai tahap menganiayai diri sendiri.
“ Aku boleh temankan kau malam tu.
Aku tetap fikir lelaki ni ada niat tak baik.” Da Wei mendengus.
Ji Hoon menggeleng pantas. Terang-terangan dia tidak bersetuju dengan
cadangan Da Wei walaupun ia hanyalah demi keselamatan dia.
“ Tak, tak. Aku seorang saja yang
pergi, kau duduk senyap-senyap dalam bilik resort kau tu. Dia nak jumpa aku
seorang, maknanya aku seorang saja. Jangan nak memandai temankan aku pula.
Lagipun, kalau jadi apa-apa pada kita berdua, macam mana dengan resort ni?
Takkan kau nak Hyun Min seorang yang kendalikan?” bantah Ji Hoon agak tegas.
“ Tapi ni demi keselamatan kau juga!”
marah Da Wei. Sekali lagi Ji Hoon menggeleng. Lelaki itu bangun daripada
duduknya. Surat itu kembali dilipat sebelum dimasukkan ke dalam sampulnya.
“ Kau dengar apa aku kata, Da Wei.”
Perlahan tetapi tegas dia mengucapkan
kata-kata itu dengan renungan tajam pada wajah Da Wei. Da Wei terpaku di situ.
Ji Hoon sudah menunjukkan ketegasannya dan dia tidak berani menyangkal lagi.
Buruk padahnya jika dia membantah walau dia tahu Ji Hoon sudah menunjukkan
ketegasan yang jarang sekali dipamerkan kepada sesiapa. Dia hanya merenung sepi
sahaja langkah lelaki itu keluar daripada pejabatnya.
SEKALI lagi Ji Hoon membaca kandungan surat itu.
Kata-kata Da Wei tadi kembali diingatinya. Dia tidak boleh mengatakan bahawa
sepupunya itu salah tetapi dia punya sebab yang tersendiri mengapa dia mahu
melakukannya sendirian, bertemu seorang diri dengan Oh Kwang Hee.
Bagaimana kalau Oh Kwang Hee
merupakan orang yang terlibat dalam kemalangannya tempoh hari? Bagaimana kalau
lelaki itu merupakan orang suruhan dia yang terlalu ingin melihat kemusnahan
hidupnya. Atau... mungkin lelaki itu merupakan dalangnya? Dia tidak mengenali
sesiapa dengan nama itu dan mungkin telahannya benar. Mungkin lelaki itu punca
segala-galanya.
Pantas Ji Hoon menyimpan kembali surat
itu apabila menyedari pintu bilik dibuka dari luar. Segera dia menoleh ke
belakang. Eun Hee muncul di pintu. Ji Hoon cuba mengukir senyum dalam
melindungi rasa gugupnya.
“ Kenapa?” tanya Ji Hoon lembut. Eun
Hee turut membalas senyumannya. Perlahan-lahan dia meraih tangan suaminya.
Sesuatu diletakkan dalam telapak tangan Ji Hoon sebelum ditutup.
“ Apa ni?” tanya Ji Hoon lagi apabila
merasakan ada sesuatu yang lembut berada di tapak tangannya. Segera dia membuka
kepalan tangannya. Suatu ukiran kayu berbentuk hati dengan tali berwarna hitam.
Jelas tertera di ukiran itu suatu nama, nama yang dianggap membahagiakan
dirinya. Nama ‘JiEun’ jelas terukir pada ukiran hati berbentuk kayu itu.
“ Eun Hee yang buat sendiri?” soal Ji Hoon
teruja. Eun Hee mengangguk gembira. Dia menunjukkan gelang platinum pemberian
Ji Hoon tidak lama dahulu yang turut terukir nama itu.
Telefon bimbit diambil daripada saku
jean. Ukiran itu digantung sebagai hiasan telefon bimbit. Dahi Eun Hee dikucup
lembut. Hiasan yang tergantung di telefon bimbitnya ditunjuk betul-betul di
hadapan mata gadis itu.
“ Terima kasih, abang akan jaga
baik-baik.”
Eun Hee mengangguk lagi. Dia
tersenyum bahagia.
“ Petang ni...” Ji Hoon menarik Eun
Hee membelakanginya. Tubuh gadis itu dipeluk. Kepalanya direhatkan di atas bahu
Eun Hee. “ ... kita ke Paradise Florist...”
Belum pun habis Ji Hoon berkata-kata,
Eun Hee sudah melepaskan pelukannya. Pantas gadis itu berpusing menghadapnya di
belakang. Ji Hoon melepaskan tawanya apabila melihat mata Eun Hee yang mula
bersinar.
“ Kita ke Paradise Florist. Abang
tahu, Eun Hee nak sangat lawat kedai tu, kan? Lagipun, dah lama kita tak ke
sana,” kata Ji Hoon yang masih ketawa geli hati. Hidung Eun Hee dicuit.
Senyuman di bibir Eun Hee mula
melebar. Dia melompat kegembiraan sebelum leher Ji Hoon dirangkul erat. Ji Hoon
yang masih ketawa hanya membalas pelukan isterinya. Dia melupakan terus
kerisauannya. Yang penting Eun Hee gembira.
“ Dahlah tu... Eun Hee nak abang mati
tercekik ke? Nanti tak ada siapa pula yang boleh bawa Eun Hee ke sana...”
Eun Hee mencebik. Segera dia
melepaskan rangkulannya sebelum menjelirkan lidah kepada Ji Hoon. Kakinya
pantas berlari meninggalkan bilik itu sebelum dia menjadi mangsa Ji Hoon pula.
Ji Hoon hanya tersengih sebelum turut mengejar isterinya.
“ Nak lari ya? Tunggu!!!”
Riuh banglo itu dengan jeritan Ji
Hoon mengejar Eun Hee. Sehingga ke halaman rumah dikejar isterinya itu. Di
wajah masing-masing tertera kebahagiaan.
No comments: