Ai no Kotoba

Colours make your life beautiful, melody makes your life rhythm and harmony makes your life a life - Hana

Semua karya dalam blog ini hak cipta terpelihara penulis. Anda tidak dibenarkan menciplak, me-copy, memplagiat atau with every means to copy it atau mengaku karya itu anda punya.
Semua karya tidak mempunyai kaitan dengan yang hidup mahupun yang sudah meninggal dunia.
Selamat membaca. Peace!

Watashi no Tomodachi :D

Entri Terbaru! Tengok Sini!

Wednesday, April 24, 2013

Endless Love 45



“...LANGGAR dia sekali lagi.”

          “ Baiklah.” Tae Hwan menyeringai. Panggilan dimatikan. Dia melangkah ke almari. Sehelai jaket hitam diambil. Dia akan melaksanakan apa yang sudah dirancangnya secepat mungkin. Malah, dia terlalu menginginkan kematian lelaki yang bernama Park Ji Hoon itu. Ada sesuatu yang didendaminya terhadap lelaki yang langsung tidak mengenalinya itu.

          Ini merupakan kali kedua dia akan melakukan tugasnya untuk mencederakan Ji Hoon sebelum dia akan bebas daripada cengkaman lelaki itu. Dia hanya tersenyum mengejek apabila memikirkan jumlah upah yang akan diterimanya kelak.

          Tae Hwan menuju ke pintu bilik hotelnya. Dia mahu berfoya-foya dahulu sebelum dia melaksanakan tugasnya pada malam ini. Malam ini, dia akan memburu mangsanya apabila masanya yang sesuai tiba. Dia akan mengintip terlebih dahulu pergerakan Ji Hoon, kemudian barulah dia bertindak. Dia tidak mahu tersilap langkah dengan menjeratkan dirinya dalam perangkap ciptaannya sendiri jika polis menjadi penghalangnya.


EUN HEE merenung kosong pada dasar kolam ikan peliharaan Pak Cik Dam Shik. Celoteh Ryu Min seolah-olah tidak masuk dalam fikirannya. Dia hanya duduk merenung sahaja pada kolam itu sementara jarinya mengusap pada jari manis yang pernah disarungkan Ji Hoon sebentuk cincin perkahwinan mereka. Sayu dia merenung jari manisnya yang sudah kosong tanpa sebarang cincin itu.

          Sudah beberapa hari berlalu sejak peristiwa itu dan sejak itu jugalah dia tidak bersua dengan suaminya. Eun Hee takut untuk berdepan dengan Ji Hoon. Di terpaksa mengeraskan hatinya tatkala berhadapan dengan lelaki itu. Pada setiap detik, ungkapan terakhir Ji Hoon kepadanya akan bermain-main di telinganya kembali.


          “ Abang... cintakan Eun Hee... selamanya...”


          Sebagaimana sayu suara itu mengungkapkan kata-kata itu, begitu jugalah dengan hatinya yang tidak kuat untuk menahan perasaannya. Dia tahu Ji Hoon kecewa dengan tindakannya tetapi Eun Hee hanya mampu pasrah. Lelaki itu akan bahagia kelak dengan pilihan yang lain. Dia bukannya yang terbaik untuk lelaki itu.

          “ Kak Ryu Min?”

          Perhatian Eun Hee beralih pada Ryu Min yang sedang melambaikan tangan tepat di hadapan mukanya. Dia tersenyum lesu. Ryu Min memeluk lehernya dari belakang.

          “ Kita ke pantai, nak? Bosanlah asyik duduk di rumah,” ajak Ryu Min bersungguh-sungguh. Eun Hee terdiam.

          Jika mereka ingin ke pantai, dia dan Ryu Min akan melalui jalan di hadapan banglo Ji Hoon. Eun Hee tidak mahu terserempak dengan suaminya dalam waktu yang terdekat ini. Teragak-agak dia menggeleng. Ryu Min mengeluh kecewa.

          “ Jomlah, Kak Eun Hee! Bosanlah duduk kat rumah,” Ryu Min merengek pula. Eun Hee tersepit. Antara kemahuan Ryu Min dengan keinginan dia, mana satu yang harus dia utamakan terlebih dahulu?

          “ Kak Eun Hee!” rengek Ryu Min lagi.

          Eun Hee menghela nafas. Dia merenung lama ke wajah Ryu Min. Jelas bahawa dia tidak akan mampu menolak permintaan Ryu Min. Akhirnya dia mengangguk. Ryu Min melompat kegembiraan.

          “ Sayang Kak Eun Hee.” Leher gadis itu dirangkul kembali. Eun Hee hanya tersenyum hambar. Selepas mengunci pagar, dia berjalan berpimpinan tangan dengan Ryu Min menuju ke pantai.

          Eun Hee mengelakkan pandangan saat dia melalui banglo putih di hujung jalan itu. Dia tidak mahu Ji Hoon perasan akan kehadirannya. Cukuplah dengan tempoh hari yang dia hampir kalah dengan perasaannya sendiri. Tidak hari ini.

          Suasana lengang di pantai itu mencuit hati Eun Hee. Matanya tertumpu pada suatu kawasan. Dia menelan liur. Dia situlah tempat di mana dia bertemu Ji Hoon buat kali kedua. Ryu Min terjatuh ke dalam sebuah lubang dan lelaki itu muncul dengan menawarkan bantuan. Tidak disangka pertemuan kedua mereka telah membuatkan pertemuan-pertemuan lain menyusul tiba.

          “ Kak Eun Hee, ke sinilah!” laung Ryu Min dari suatu arah. Eun Hee tersentak. Matanya mula melilau mencari Ryu Min. Dia kaku seketika apabila menyedari di mana Ryu Min sedang berada.

          Ryu Min sedang menuju ke gigi air. Jauh di sana pula, seseorang yang cukup dikenalinya sedang merenung ke gigi air. Ji Hoon sedang berteleku sambil tangannya sedang mengusap sesuatu. Nampaknya dia tidak perasan akan kehadiran Ryu Min. Lelaki itu sedang tenggelam dalam dunianya sendiri.

          Renungan Eun Hee kaku pada jasad suaminya. Dia mengetap bibir. Adakah ini takdir atau kebetulan? Kenapa mereka sama-sama berada di tempat ini? Adakah kerana sudah ditakdirkan?

          Ji Hoon mengangkat pandangannya. Hati Eun Hee berdetap apabila menyedari tempat apakah itu. Ji Hoon sedang duduk betul-betul di tempat dia pernah melamar Eun Hee dahulu. Pulau yang berada di tengah lautan direnung sayu.

          Tanpa berbuat apa-apa, Eun Hee terus berpaling ke belakang. Tergamam Ryu Min yang melihat gadis itu berjalan meninggalkan pantai secara tiba-tiba. Termengah-mengah dia berlari mengejar langkah Eun Hee.

          “ Kak Eun Hee... kenapa?” tanya Ryu Min tidak faham. Dia langsung tidak perasan akan kehadiran Ji Hoon di pantai tadi. Dia merenung bingung pada wajah Eun Hee yang mula kemerahan.

          Eun Hee pantas menggelengkan kepalanya. Dia terus memaut bahu Ryu Min lantas beredar di situ. Dia menggigit bibir. Kenapa mereka harus bertemu kembali? Kenapa? Adakah keputusan dia untuk meninggalkan Ji Hoon tidak tepat? Adakah semuanya ditentukan oleh takdir?

          Kakinya semakin pantas meninggalkan pantai. Dia tidak mahu berjumpa dengan Ji Hoon lagi. Tidak!

     
HYUN MIN merenung lama pada telefon bimbit di tangannya. Dia mengeluh perlahan. Telefon bimbit diletakkan kembali di atas meja. Hajatnya untuk membuat panggilan sudah mati. Dia bersandar kelesuan pada kerusi empuk dalam pejabatnya itu. Fail-fail yang bertimbun di atas meja hanya dipandang kosong.

          Sudah lama dia tidak mendengar khabar Chae Rin. Gadis itu seolah-olah telah hilang dari dunia ini selepas hari itu. Dia sendiri tidak pergi mencari Chae Rin. Dia sudah berjanji yang dia tidak akan menganggu hidup Chae Rin lagi dan dia akan menunaikan janjinya walau pada ketika ini hatinya meronta-ronta untuk menelefon gadis itu, mendengar suara Chae Rin kembali.

          Hyun Min menarik laci meja kerjanya. Dia mengeluarkan sesuatu daripada perut laci itu. Senyuman hambar terukir pada wajahnya. Matanya merenung sayu pada gambar itu.

          Dia dan Chae Rin sedang ketawa gembira berlatarbelakangkan Menara Eiffel di Paris. Dia melihat senyuman gadis itu seakan-akan hidup. Hyun Min tersenyum sayu. Dia akan mengeraskan hatinya untuk melepaskan gadis itu pergi. Itu tekadnya.

          Telefon bimbitnya dicapai. Dia membuka senarai nombor telefon yang tersimpan dalam kad memeri telefon bimbitnya. Nama Chae Rin dicari. Selepas menekan Options, terketar-ketara tangannya saat memilih Delete. Sekali lagi butang itu ditekan. Delete.


ANGIN malam yang menderu dingin menyapa wajah Ji Hoon namun itu semua tidak diendahkan olehnya. Dia mendongak ke langit. Langit pada malam ini cerah. Hampir tidak dilitupi oleh awan.

          Sengaja dia berjalan di sekitar taman yang terletak berhampiran dengan kawasan perumahannya. Sesekali luka di bahu kirinya akan berdenyut sakit lantaran masih belum sembuh sepenuhnya. Ji Hoon menarik hud jaket ke kepala, sejuk terasa semakin mencengkam dirinya.

          Dia berhenti di suatu kawasan tinggi. Dia dapat melihat cahaya-cahaya neon yang bergemerlapan dalam kegelapan malam di bandar-bandar di Pulau Jeju. Pulau itu sentiasa sibuk dengan kehadiran pelancong sama ada dari dalam atau luar negara. Sememangnya Pulau Jeju terkenal di mata dunia, sebagaimana dengan Pulau Nami.

          Ji Hoon menghela nafas. Dia menarik tangan yang memakai jam keluar. Perhatian dia bukannya pada muka jam itu, sebaliknya pada sebentuk cincin yang berkilauan dalam kegelapan malam. Dia menggantung cincin Eun Hee pada hujung jamnya. Dia tidak mahu kehilangan cincin itu daripada pandangannya walau sesaat. Dia yakin bahawa Eun Hee akan memakainya kembali.

          Ji Hoon beredar dari tempat itu menuju ke jalan besar. Tidak ramai orang yang mengunjungi taman itu pada malam hari. Kebanyakan yang datang merupakan pasangan yang bercinta atau seorang diri sepertinya.

          Langkahnya terhenti di jalan besar. Jalan itu lengang dengan orang. Sesekali dia akan menoleh ke kanan, sesekali pula dia akan menoleh ke kiri. Ji Hoon mula tidak yakin dengan arah yang harus ditujunya. Dia tiada hati untuk kembali ke rumahnya dalam masa yang terdekat ini. Berada di banglo itu akan mengingatkan dirinya akan kenangan manis yang pernah dikongsi bersama-sama Eun Hee. Saat dia memejamkan mata, suatu sinaran yang menyilaukan mata menyakitkan pandangannya. Pantas dia membuka mata.

          Bum!

          Ji Hoon terus melompat ke sisi jalan. Dia tergolek di situ. Matanya jatuh pada sebuah pacuan empat roda yang sedang bergerak ke arahnya semula. Itu kenderaan yang sama yang melanggarnya tempoh hari! Ji Hoon terpaksa melompat meninggalkan kawasan itu sebelum berlari ke arah rumahnya. Dia menoleh ke belakang. Kereta itu sedang mengejarnya. Dia bungkam.

          Bum!

          Sekali lagi dia terpaksa bergolek ke sisi jalan. Ji Hoon mengerang apabila lengan kirinya terhempap dengan berat tubuhnya. Dia membuka mata. Kereta itu bergerak laju meninggalkan kawasan itu. Termengah-mengah Ji Hoon menarik nafas. Apa yang berlaku ni?

          Perlahan-lahan dia bangkit daripada jatuhnya. Ji Hoon menekan kuat pada lengan kirinya yang berdarah kembali. Terhincut-hincut dia berjalan menuju ke jalan yang mengarah ke rumahnya. Fikirannya dipenuhi dengan pelbagai soalan.

          Kenapa kereta itu pergi sedangkan dia masih hidup lagi? Adakah ini suatu petanda bahawa dia akan ditimpa bahaya lagi kelak? Adakah dia akan bertemu dengan orang yang ingin membunuhnya tidak lama lagi?

        Tergesa-gesa Ji Hoon membuka pintu pagar kecil rumahnya. Dia terus menuju ke dalam rumah. Kesemua pintu dan selak tingkap dipastikan dikunci dengan sempurna. Segenap inci ruang rumahnya diperiksa dengan berhati-hati. Selepas berpuas hati, barulah dia kembali ke biliknya.

          Suis lampu ditekan. Terang cahaya lampu itu menerangi keseluruhan ruang bilik itu. Ji Hoon membuka jaket lalu duduk di atas katil. Dia merenung pada darah yang mengalir daripada luka torehan di situ.

          Ji Hoon bangun menuju ke kamar mandi. Dia membuka kemeja T yang membaluti tubuh. Pancuran air panas ditadah ke dalam sinki. Lubang sinki itu disumbat. Dia mengerang saat sehelai tuala yang sudah dibasahkan dengan air panas itu ditekap pada lukanya.

          Ji Hoon menekapkan tuala pada luka itu sekuatnya. Dia tidak mahu darahnya mengalir kembali. Dia masuk semula ke dalam kamarnya. First Aid Kit dibawa keluar daripada laci. Gulungan kain pembalut, kapas dan antiseptik diletakkan di atas katil. Dia melalukan jarinya pada luka torehan yang agak dalam itu. Dia tersenyum apabila terkenangkan bahawa luka itu pernah dibalut oleh Eun Hee.

          Ji Hoon merebahkan diri di atas katil tanpa menutup lampu. Dia terlalu letih untuk berjalan semata-mata untuk menutup lampu. Ji Hoon mencapai patung pemberiannya kepada Eun Hee dahulu dari atas kepalanya. Patung beruang itu dipeluk erat.


“ KAU dah buat apa yang aku arahkan?” dia bertanya sambil meneguk champagne di bar. Tae Hwan mengangguk tanpa suara. Dia meliarkan pandangannya ke seluruh kelab malam itu. Sesekali dia terangguk-angguk mengikut rentak lagu yang dimainkan. Pengunjung sedang leka menari di lantai tarian.

          “ Aku dah buat seperti mana yang kau suruh aku buat. Aku cederakan dia tapi aku tak bunuh dia, puas hati?” Tae Hwan meneguk bir yang dipesan. Matanya melirik pada lelaki yang sedang duduk di sebelahnya.

          “ Bila kau nak tinggalkan Jeju? Tugas kau kat sini dah selesai. Upah pun aku dah bayar penuh,” tanya lelaki itu.

          “ Aku ada urusan peribadi kat sini. Lepas semuanya selesai, aku tak akan jejakkan kaki lagi ke sini,” kata Tae Hwan meluat. Lelaki itu tergelak perlahan.

          “ Bila kau nak bertindak?” tanya Tae Hwan pula sambil mula mengunyah kacang. Gelak lelaki itu kembali menyapa pendengarannya namun tenggelam dalam suasana riuh di dalam kelab malam itu. Lelaki itu tersenyum sinis.

          “ Masa yang sesuai akan tiba tak lama lagi. Tapi yang pasti, dalam waktu yang terdekat,” katanya yakin. Lelaki itu menyeringai. Tae Hwan turut tersenyum sinis.

          Dalam suasana hingar bingar di dalam kelab malam itu, mereka berdua terleka untuk menyedari bahawa perbualan mereka didengar dengan jelas oleh seorang lelaki. Lelaki itu menghabiskan minumannya sebelum berlalu pergi.

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...