
“
ADDA…” Auni buat muka comel sebaik mungkin namun
Adda hanya menggeleng. Tangannya ligat meneruskan apa yang sedang dia lakukan
sekarang. Auni mula muncung apabila Adda
tidak memberi sebarang respon kepadanya.
Takkan
tak terkesan langsung dengan kecomelan aku? Huh!
“ Kau tak payah mengarut. Mana ada
orang pakai tudung gaya biasa aje masa wedding?
Aku simbah dengan perfume sebotol
baru tahu,” bebel Adda namun Auni masih lagi dengan muncungnya. Tidak terkesan
betul dengan kata-kata Adda.
Adda geleng kepala. Ada ke nak pakai
tudung pin sana satu, pin sini satu? Pakailah pasmina! Kasi belit-belit sikit,
nama lagi wedding day! Pakailah grand, hari ni patut masuk Hari Ini
Dalam Sejarah, tahu tak? Sekali seumur hidup tau? Aku yang belum kahwin ni pun
tahu macam mana nak hargai hari bahagia macam ni.
Auni gigit bibir, geram kerana
kata-katanya masih lagi tidak diendahkan oleh Adda. Dia mengalih perhatian pada
ummi yang hanya tersenyum sejak daripada tadi lagi. Auni tayang muka sedih
semata-mata mahukan simpati ummi. Ummi menggeleng seraya menguntum senyum.
“ Betul kata Adda tu. Kamu pakailah
cantik-cantik, hari ni kan majlis kamu,” kata ummi sekaligus membela Adda. Adda
yang bertindak sebagai mak andam untuknya pada hari ini tersenyum megah.
“ Dengar! Ummi kau sendiri sokong apa
yang aku buat ni. So, duduk diam-diam
dan biar aje aku solek muka kau. Ada faham?” kata Adda. Auni terpaksa
mengangguk. Hatinya sebal.
Ummi ketawa perlahan, disusuli Kak
Syara yang sedang mendukung bayinya di atas kerusi beroda. Along pula duduk
sahaja di sisi isterinya. Tengah bahagialah katakan.
Kecoh betul lepas upacara akad nikah
berjalan beberapa hari yang lalu. Tidak disangka-sangka Kak Syara akan
melahirkan anak sulungnya pada hari itu juga. Tapi itu tidak dapat disangkal lagi
kerana Kak Syara memang sudah sarat benar ketika itu. Bergegas mereka semua ke
hospital.
Auni hanya mampu tersenyum lucu
apabila mengingatkan dia dan Najwan yang lengkap berpakaian cantik sempena akad
nikah mereka menunggu Kak Syara yang dimasukkan ke dalam wad. Setiap kali ada
orang yang melalui kawasan itu, pastinya diri dia dan Najwan akan menjadi
tumpuan.
Hampir dua jam berlalu, akhirnya
selamat juga Kak Syara melahirkan seorang bayi lelaki. Hero Along dan Kak Syara
yang diberi nama Amzar Syazwan bin Aisar Aizuddin itu diam sahaja saat dibawa
keluar oleh doktor. Saat itu juga Along mengazankan anak sulungnya itu.
“ Dah!”
Auni tersentak. Cepat-cepat dia
menggeleng, menghalau lamunannya. Dia melihat pantulan dirinya pada cermin
besar di bilik hotel itu. Mukanya berkerut. Lama dia memerhatikan setiap inci
wajahnya yang sudah disolek oleh Adda itu.
“ Nasib baik muka aku tak macam
pelakon opera China. Kalau tak, memang aku paksa kau bersolek macam aku juga,”
kata Auni. Adda mencebik.
“ Kau nak sangat ke aku solek macam
tu?” Adda menyimpan alatan bersolek yang dipinjam daripada ibu saudaranya. Auni
tersengih.
Kerana mempunyai kemahiran bersolek disebabkan
Adda pernah bekerja sebagai pembantu mak andam bersama-sama ibu saudaranya
selepas SPM dahulu, Auni meminta Adda menjadi mak andam untuknya sempena hari
persandingan dia dengan Najwan. Bukan sahaja sekadar mahu menjimatkan kos,
sebaliknya dia boleh meminta Adda menyoleknya seperti kemahuannya sahaja.
Auni
tidak mahu menjadi seperti Kak Syara yang terpaksa beralah dengan mak andam
yang ditugaskan untuk menyolek kakak iparnya pada hari persandingan Along-Kak
Syara dua tahun dulu. Boleh dikatakan merah betul pipi Kak Syara dek blusher. Auni tidak mahu kelihatan
seperti pelakon opera China yang sememangnya tebal dengan mekap pada wajah
mereka.
“ Dah cantik, bukan aje Najwan yang
akan berkenan dengan kau, tukang cuci hotel ni pun boleh berkenan, tahu tak?”
kata Adda lagi. Auni sekadar mencebik. Dia bangun daripada duduknya.
“ Okey tak, ummi?” tanya Auni.
Persalinan berwarna biru muda membaluti tubuhnya. Jubah yang dikenakan sentuhan
moden itu kena benar dengan tubuh kecil molek Auni. Ummi mengangguk. Tubuh anak
bongsunya itu dipeluk erat.
“ Mari, Naj dah tunggu tu,” kata
ummi. Auni sekadar mengangguk. Dia mengekori langkah umminya keluar dari bilik
hotel itu.
Pasangan Nawal-Syah mengenakan
persalinan merah jambu manakala dia dan Najwan sepakat mengenakan persalinan
biru muda. Para tetamu sudah lama menanti di laman hotel yang telah dikhususkan
oleh pihak pengurusan hotel sempena majlis mereka berdua.
Najwan yang segak dengan baju Melayu
songket biru mudanya serta bertengkolok tersenyum apabila melihat Auni berjalan
ke arahnya sambil diiringi oleh ummi. Auni mengangguk sahaja pada Najwan yang
sudah 72 jam sah bergelar suaminya itu.
“ Ready?”
tanya Najwan. Auni mengangguk. Dia melihat pada E-jat yang juga mengenakan baju
Melayu berwarna biru muda di sisi Najwan.
“ E-jat dah ready?” tanya Auni. Pantas E-jat mengangguk. Najwan pula melihat
pada pasangan Nawal dan Syah. Mereka juga mengangguk.
“ Baiklah, sedia,” kata Najwan.
Sebelah tangan Najwan memegang tangan kanan E-jat manakala Auni memegang tangan
kiri kanak-kanak itu.
Pada mulanya mummy membantah apabila Auni dan Najwan memberi cadangan bahawa
mereka akan memimpin E-jat tatkala mahu masuk ke dalam majlis namun akhirnya mummy mengalah apabila dipujuk oleh
baba. Auni dan Najwan mahu mengabadikan kenangan persandingan mereka
bersama-sama E-jat.
Seorang
lelaki yang kemas dengan baju Melayu hitam bersamping dan bersongkok mendahului
mereka sebelum disusuli oleh dua barisan flower
girls yang comel dengan kurung putih mereka. Kawan-kawan yang bukan
berbangsa Melayu turut mengenakan baju Melayu dan berbaju kurung moden, kebaya
atau jubah.
Para tetamu yang berpakaian seperti
mana yang ditetapkan dalam kad undangan perkahwinan mula bertepuk tangan.
Mereka tidak dikenakan warna khusus. Ahli keluarga kedua-dua belah pihak
termasuk keluarga Syah mengenakan pakaian tradisional berwarna biru muda bagi
lelaki manakala bagi perempuan pula mereka berbaju kurung atau berkebaya merah
jambu.
Berhati-hati Auni mengatur langkah
seiring dengan Najwan ke pentas yang berhias cantik di hadapannya. Dua set
pelamin yang seakan-akan sofa itu kelihatan indah di matanya. Bunga-bunga segar
menghiasi pentas itu. Sememangnya perkahwinan dalam taman menjadi impiannya.
Dua meja yang turut dihias berada di
hadapan pelamin-pelamin itu. Dua tingkat pulut kuning diletakkan di atas setiap
meja itu. Pulut kuning digantikan dengan kek. Selepas memotong pulut kuning dan
bersanding buat beberapa ketika, mereka akan turun kembali untuk melayan tetamu
yang hadir. Pelamin itu hanyalah hiasan semata-mata.
Auni tersenyum bahagia. Dia
benar-benar bersyukur kerana dipertemukan dengan Najwan. Wajah Najwan yang
sedang tersenyum sedari tadi dikerling sekilas. Dia tersenyum sekali lagi. Erat
genggaman tangan Najwan pada jari-jemari Auni.
ADDA tersenyum sahaja melihat hidangan
di hadapannya. Dia mula mencedok lauk untuk nasi berianinya. Dia akan menyertai
keluarga Auni di meja yang telah dikhususkan untuk mereka sekeluarga. Keluarga
Adda tidak dapat turut serta kerana mereka telah ke Pulau Pinang untuk
menjenguk adik Adda yang mengambil jurusan medikal di Universiti Sains Malaysia
Pulau Pinang.
Berhati-hati Adda membawa pinggannya
ke meja keluarga Auni. Hanya Alin dan Reza sahaja yang duduk di meja itu.
Bayang ummi dan walid Auni langsung tidak kelihatan. Adda mula tidak sedap
hati. Takkanlah dia mahu mengacau pasangan itu pula. Dia berhenti melangkah.
“ Cik?”
Pantas Adda menoleh. Seorang lelaki
yang berbaju Melayu hijau pucuk pisang sedang berdiri di belakangnya. Matanya
bulat seketika apabila melihat wajah lelaki itu. Dia tergamam. Kenapa aku
tengok dia ni macam… arghhh!!!! Aku
ni dah terlebih angau dengan Siwon ni…
“ Err…
ada apa?” tanya Adda gusar.
Lelaki itu tertawa perlahan. “ Boleh
saya minta awak temankan saya makan? Family
saya tengah berbual dengan family
Najwan tu. So, saya tengah sorang-sorang ni. Awak pun nampak
seorang diri aje,” kata lelaki itu sopan. Adda diam. Dia menoleh sekejap pada
meja di belakangnya. Alin dan Reza masih duduk di situ. Dia mengeluh.
“ Okey,” jawabnya sepatah. Lelaki itu
tersenyum. Dia membawa Adda ke sebuah meja yang terletak tidak jauh daripada
kedudukan mereka sekarang. Mereka berdua duduk di situ.
“ So…”
Adda berhenti mengunyah. Matanya
terarah pada lelaki itu yang juga sedang menikmati hidangannya.
“ ... boleh saya tahu nama awak?”
tanya lelaki itu perlahan. Adda diam sejenak.
“ Panggil aje Adda, awak?” tanya Adda
pula. Lelaki itu tersenyum.
“ Ashraf.”
Adda mengangguk. Gelas yang berisi
jus buah diambil lalu diminum perlahan-lahan. Dia melihat pada wajah kenalan
barunya itu.
“ Awak datang atas undangan family Najwan ke?” tanya Adda. Dia
memberanikan diri untuk bertanya. Bosan juga kalau diam sahaja.
“ Yes.
I’m their neighbour. Awak dari Najwan’s
wife’s family?” teka Ashraf. Adda mengangguk mengiakan.
“ Her
friend actually,” balas Adda kembali bersuara. Ashraf hanya mengangguk.
Mereka kembali menjamu hidangan. Bunyi-bunyi perbualan para tetamu yang hadir
tidak diendahkan oleh mereka berdua.
“ Adda!”
“ Siwon!”
Pantas Adda menoleh ke belakang.
Berkerut mukanya apabila melihat Auni sedang tertawa kepadanya. Najwan yang
berdiri di sisi Auni hanya mampu menggeleng sahaja melihatkan perlakuan
isterinya. Mereka berdua mengambil tempat di meja itu.
“ Nama itu jugalah yang kau sebut
masa kau terkejut,” omel Auni. Adda sengih geram.
Nasib
baik suami kau ada, kalau tak tahulah kau aku nak buat apa, rungut Adda di
dalam hati.
Selepas berbual-bual dengan Adam dan
isterinya, Qistina, Najwan mengajak Auni menemui kawan yang juga jirannya.
Tidak disangka-sangka mereka akan bertemu Adda bersama-sama kawan Najwan itu.
“ Kenapa kau makan seorang aje ni? Auntie Lia mana? Aku tak nampak pun
lagi. Si Nad tu pun,” tanya Najwan. Ashraf tersengih.
“ Kalau kau tak nampak mama aku,
memang sah kau takkan nampak si Nad tu jugak.
Dua-dua tengah berborak dengan mummy
kau. Mana kau nak nampak, asyik berkepit aje dengan bini kau,” balas Ashraf
pedas. Najwan mencebik.
“ Cakap ajelah yang kau dengki dengan
aku,” kata Najwan. Ashraf hanya ketawa. Dia meneruskan suapannya yang terhenti.
Sesekali matanya melirik pada Adda yang sedang leka berbual dengan Auni. Ashraf
tidak sedar bahawa perlakuannya itu disedari oleh seseorang.
AUNI terus merebahkan diri di atas
katil. Najwan hanya tertawa perlahan melihat lagak isterinya itu. Dia mencapai
tuala yang tersangkut berdekatan dengan pintu bilik air lalu mengatur langkah
ke arah katil.
“ Penat sangat ke?” tanya Najwan.
Rambut Auni yang melepasi pinggang diusap perlahan. Ketika pertama kali dia
melihat gadis itu tanpa tudung di kepala pada hari pertama mereka bergelar
suami isteri, dia tergamam apabila menyedari betapa cantiknya Auni dengan
rambut lurus panjangnya itu.
Namun, Najwan juga bangga kerana
hanya dia sahaja satu-satunya lelaki yang bukan muhrim Auni selam ini yang
dibenarkan melihat mahkota isterinya itu. Agaknya ini merupakan salah satu
kebaikan wanita-wanita Islam diwajibkan bertudung. Hanya suami mereka,
anak-anak mereka serta muhrim-muhrim mereka sahaja yang boleh melihat mahkota
indah milik wanita dan ini membuatkan Najwan merasakan dia berada di kedudukan
yang begitu istimewa pada isterinya.
“ Letih…” balas Auni perlahan.
Wajahnya ditekup pada bantal. Najwan ketawa lagi.
“ Kalau penat pun, majlis kita juga,
sayang. Bukannya majlis orang lain. By
the way, lusa abang nak bawa Nini ke suatu tempat,” kata Najwan. Auni
membuka matanya. Dia bangun lalu duduk di hadapan Najwan.
“ Nak ke mana?” soal Auni dengan dahi
yang berkerut. Najwan tersenyum lantas menggeleng. Senyumannya penuh dengan
rahsia.
“ Secret,”
balas Najwan mudah. Dia bangun daripada duduknya lalu berjalan ke bilik air.
Suis lampu dibuka. Auni yang masih duduk di atas katil mula mencebik.
“ Aa.. abang! Abang!” panggil Auni
secara tiba-tiba. Dia mula menyedari sesuatu. Langkah Najwan mati di hadapan
pintu bilik air. Dia menoleh ke arah isterinya.
“ Ada apa?” tanya Najwan. Kali ini
dahinya pula yang berkerut.
“ Si Ashraf tu dah kahwin ke belum?”
tanya Auni pantas. Kerutan di dahi Najwan kian bertambah.
“ Don’t
say yang Nini berkenan dengan dia pula,” kata Najwan. Auni mencebik.
“ Mana ada! Hello! My hubby is Najwan Faqqimi, not Ashraf, okay?” balas Auni geram. Najwan mula tertawa. Suka
benar dia dapat melihat wajah masam Auni bahana usikannya.
“ Ya, ya. Abang tahu, tapi kenapa
tanya macam tu? Tiba-tiba aje tanya Ashraf tu dah kahwin ke belum, mana abang
tak pelik,” kata Najwan yang masih lagi ketawa. Auni tersenyum.
“ Bukan apa, sebab Nini perasan something pasal dia,” kata Auni dengan
senyuman yang makin melebar.
“ Okay,
Ashraf is still a single person. So,
apa yang Nini perasan pasal dia? Nampak tua sangat ke untuk seorang bachelor umur 30?” kata Najwan. Auni
tersengih. Dia menggeleng.
“ Bukan yang tu. Tapi, Nini perasan
yang dia asyik tengok Adda aje masa kita kat meja makan tadi. Sebab tu Nini
tanya,” jelas Auni berterus terang. Najwan kaku di tempatnya. Perlahan-lahan
dia menarik senyum. Sebelah keningnya dijongket.
“ I
think I know the reason,” balas
Najwan. Dia masuk ke dalam bilik air tanpa menunggu Auni bertanya kepadanya.
Pintu bilik air ditutup.
1 comment:
best.. nak lagiiiu