Ai no Kotoba

Colours make your life beautiful, melody makes your life rhythm and harmony makes your life a life - Hana

Semua karya dalam blog ini hak cipta terpelihara penulis. Anda tidak dibenarkan menciplak, me-copy, memplagiat atau with every means to copy it atau mengaku karya itu anda punya.
Semua karya tidak mempunyai kaitan dengan yang hidup mahupun yang sudah meninggal dunia.
Selamat membaca. Peace!

Watashi no Tomodachi :D

Entri Terbaru! Tengok Sini!

Thursday, September 16, 2010

Endless Love 26

CHAE RIN menekan loceng berulang kali. Tangannya mengipas tubuhnya yang kepanasan. Walau dia mengenakan kemeja T lengan pendek dan seluar paras paha, kepanasan tetap terasa. Sebentar kemudian pintu itu dikuak. Presiden Park muncul di hadapan. Chae Rin mengukir senyum manis.

         “ Chae Rin? Kenapa kamu ke sini?” gusar Presiden Park melontarkan pertanyaan. Dia bimbang jika gadis itu mahu melakukan kekecohan di rumah Ji Hoon. Walau muka Presiden Park sudah berkerut seribu, Chae Rin hanya mengukir senyum.

         “ Saya dengar mak cik ada kat sini, jadi saya datang melawat,” kata Chae Rin penuh ceria walaupun apa yang terkandung dalam hati jauh berbeza dengan apa yang dikatakan. Mahu melawat Presiden Park? Tolonglah!

         “ Emm… masuklah. Mak cik tinggal sorang kat rumah. Ji Hoon keluar dengan Eun Hee. Pak Cik Nam Gil pun ikut sekali. Masuklah dulu,” pelawa Presiden Park. Chae Rin mengangguk.

         Sebaik sahaja Chae Rin memasuki banglo putih itu, matanya meliar pada sekeliling. Banyak foto Ji Hoon dengan Chae Rin yang digantung pada dinding. Malah, gambar perkahwinan mereka berganda-ganda lebih besar daripada foto-foto yang lain. Hati mula menggelegak.

         “ Err… mereka ke mana, mak cik?” Chae Rin melontar pertanyaan sekadar untuk berbasa-basi. Dia mengambil tempat duduk bertentangan dengan wanita itu.

         “ Kata Ji Hoon, dia nak bawa Pak Cik Nam Gil ke kafe kawan dia. Eun Hee pulak dipaksa ikut. Memang tak boleh berenggang. Kesian mak cik tengok Eun Hee tu,” cerita Presiden Park sambil ketawa.

         Hati Chae Rin semakin terbakar. Walaupun begitu dia tetap memaniskan wajah. Hati Presiden Park juga perlu diambil, bukan hati Ji Hoon sahaja.

         “ Macam mana dengan restoran yang baru dibuka tu? Bagus tak dari segi tumpuan orang ramai?” tanya Presiden Park.

         Berita mengenai restoran itu dimaklumkan sendiri oleh bapa Chae Rin kepada Presiden Park. Wanita itu mengalakkan penglibatan Chae Rin dalam perniagaan keluarga Lee. Apatah lagi Chae Rin bakal mewarisi perniagaan Encik Lee kelak.

         “ Semuanya baik. Pelanggan tak putus-putus datang,” jelas Chae Rin.

         Rancak mereka berdua berbual sehinggalah bunyi dua buah kereta memasuki perkarangan rumah menyapa telinga. Presiden Park meminta diri untuk keluar sebentar. Chae Rin hanya menunggu di dalam rumah sahaja. Pasti itu Ji Hoon, Eun Hee dan Pak Cik Nam Gil.

         “ Mak, saya ada belikan kek dari kafe tu. Maaf sebab lambat sangat,” suara Ji Hoon jelas kedengaran dari luar rumah. Chae Rin termangu.

         “ Kamu tu memang suka buat mak menunggu, tinggalkan mak sorang-sorang. Yalah, orang dah ada isterikan sekarang ni, tentulah tak nak berkepit dengan mak,” balas Presiden Park seolah merajuk. Ji Joon ketawa.

         “ Kita ada tetamu. Chae Rin datang.”

         Serta merta tawa Ji Hoon mati. Bulat matanya yang sepet merenung wajah ibunya. Eun Hee yang berada di sisi turut kelihatan terkejut. Begitu juga dengan Pak Cik Nam Gil yang baru sahaja muncul setelah mengambil barangan dalam bonet kereta.

         “ Sudahlah, mari masuk. Takkan kamu nak tercegat di luar sepanjang hari?” tanya Presiden Park yang tidak menyedari perubahan wajah anaknya itu. Ji Hoon menelan liur. Kelat terasa. Perlahan-lahan dia mengangguk.

         “ Baiklah…”

         Baru sahaja mereka mahu melangkah masuk ke dalam rumah, Chae Rin muncul di muka pintu. Langkah Ji Hoon terhenti. Wajahnya berubah tegang sebaik sahaja melihat muka Chae Rin. Wajah yang amat dibencinya kini.

         “ Mak Cik Da Hae,” Chae Rin bersuara perlahan. Matanya bertentangan seketika dengan Ji Hoon, namun pantas dia melarikan pandangan. Sakit hatinya apabila melihat lelaki itu di samping Eun Hee.

         “ Kamu dah nak balik ke?” tanya Presiden Park. Pantas Chae Rin mengangguk.

         “ Saya ada urusan dengan Hyun Min. Kalau ada masa, saya akan melawat mak cik lagi, ya?” bohong Chae Rin. Presiden Park mengangguk. Tanpa melihat pada pasangan suami isteri itu, Chae Rin melangkah pergi.

         Kereta dipandu meninggalkan kawasan perumahan Ji Hoon. Hatinya benar-benar sakit. Kadangkala Chae Rin terfikir juga, kenapalah dia bodoh sangat sehingga dengan mudahnya melepaskan Ji Hoon pergi? Melepaskan Ji Hoon ke tangan perempuan lain merupakan kesilapan terbesar yang pernah dilakukan dalam hidupnya.

         “ Aku takkan lepaskan kau! Takkan! Aku akan pastikan suatu hari nanti kau akan melutut di hadapan aku dan merayu aku kembali kepada kau!”

         Kuat tangannya menghentak stereng kereta. Kereta dihentikan di bahu jalan. Mukanya ditekup pada stereng kereta. Berjurai air matanya menuruni pipi.


TELEFON bimbit berbunyi menandakan ada panggilan yang masuk. Hyun Min melihat pada nama yang tertera pada permukaan skrin. Chae Rin.

         Hyun Min melepaskan keluhan. Tanpa menjawab apatah lagi mematikan panggilan, telefon bimbit itu dilempar ke atas katil. Dia tiada hati untuk menjawab panggilan Chae Rin.

         Dia masih ingat kata-kata gadis itu tempoh hari. Chae Rin tetap berkeras untuk merebut hati Ji Hoon, terutamanya dalam keadaan Ji Hoon yang tidak menentu kini. Silap hari bulan, Ji Hoon boleh tewas juga dalam permainan ini.

         “ Adakah memang tidak ada peluang untuk aku meraih kembali cintanya?” Hyun Min bermonolog sendirian. Dia duduk di atas kerusi rehat yang diletakkan di kawasan beranda. Angin pantai mula menyapa pipi.

         Telefon sudah berhenti berdering. Hyun Min memejamkan mata. Buat masa sekarang, dia mahu membebaskan fikirannya daripada sebarang fikiran mengenai Chae Rin.

         Baru dia mengerti, bagaimana sakitnya cinta. Jika dia menyedari kesannya, mungkin dia tidak akan mempermainkan perasaan perempuan lain. Perempuan-perempuan yang pernah hadir dalam hidupnya.


EUN HEE menoleh ke belakang apabila terasa bahunya ditepuk perlahan. Sangkanya Ji Hoon, rupa-rupanya ibu mentuanya yang sedang berdiri di belakang. Damai terasa apabila melihat senyuman wanita itu.

         “ Kamu fikirkan pasal Chae Rin ke?”

         Eun Hee tersentak namun pantas dia menggeleng. Presiden Park tersenyum lagi sebelum menggamit gadis itu ke taman belakang rumah. Eun Hee hanya menurut langkah ibu mentuanya.

         Mereka berdua duduk di atas kerusi batu yang sememangnya sudah tersedia di situ. Presiden Park membawa sebelah tangan Eun Hee ke dalam genggamannya. Keluhan Presiden Park kedengaran, menyapa telinga Eun Hee.  

         “ Ji Hoon anak yang baik. Mak puji dia bukan sebab dia anak kandung mak, tapi sebab mak dah jaga dia, tinggal bersama dia dalam 25 tahun ni. Pasal Chae Rin, mak dah lama kenal dia. Dia anak kawan mendiang suami mak.”

         Presiden Park berhenti seketika. Dia mengangkat wajah. Lurus pandangannya ke hadapan. Eun Hee hanya menunggu bicara wanita itu.

         “ Ji Hoon kecewa teruk lepas Chae Rin putuskan hubungan mereka. Mak tahu, tapi mak tetap bertegas nak kahwinkan mereka. Mak memang tak patut buat perkara macam tu. Sebab perkara tulah, Ji Hoon nekad untuk hilangkan diri,” kata Presiden Park lagi. Eun Hee mengangguk.

         Presiden Park mengusap kepala Eun Hee. Redup pandangannya pada wajah gadis itu. Senyuman Presiden Park terukir sedikit.

         “ Mak gembira sebab dia bertemu dengan kamu. Kamu terlalu baik untuk Ji Hoon, Eun Hee.”

         Eun Hee tersenyum hiba. Dia terharu dengan kata-kata itu. Benar kata wanita itu, Ji Hoon memang baik. Dia sendiri yang menyaksikan kebaikan lelaki itu dalam tempoh beberapa bulan ini.

         “ Eun Hee…”

         Eun Hee tersedar daripada lamunannya. Dia merenung pada wajah tua itu.

         “ Mak nak tengok kamu bahagia dengan Ji Hoon. Kalau ada yang menganggu perkahwinan kamu, jangan terus mengalah. Mak percaya, bahagia kamu ada pada Ji Hoon dan bahagia Ji Hoon terletak pada kamu.”

         Eun Hee tergamam. Kata-kata itu terlalu indah buat dirinya. Perlahan-lahan dia mengangguk. Eun Hee menangis dalam sepi. Presiden Park segera memeluk gadis itu.  


NOMBOR telefon didail. Sabar dia menunggu panggilan di talian sebelah diangkat. Dia beralih ke ruang tamu. Beberapa saat kemudian, suara Tae Hwan menjengah telinga.

         “ Kenapa?”

         Dia ketawa. Sinis sahaja bunyinya di pendengaran Tae Hwan.

         “ Tak lama lagi dia akan terjerat. Aku nak kau bersiap sedia untuk rancangan yang seterusnya,” jelas lelaki itu. Tae Hwan merengus.

         “ Apa lagi yang kau nak aku buat?”

         “ Bunuh dia.”

         Tae Hwan ketawa. “ Boleh. Tapi aku nak upahnya lebih berganda daripada yang biasa aku dapat,” beritahu Tae Hwan. Lelaki itu mengangguk walau sudah jelas Tae Hwan tidak mampu melihat anggukan itu.

         “ Aku tak kisah. Kerja beres, kau dapat bahagian kau,” dia bersetuju. Tae Hwan ketawa sinis. Kuat bunyinya.

         “ Aku tunggu arahan kau.”

         Dia ketawa sekali lagi. Talian dimatikan. Lelaki itu berjalan ke luar kediaman. Dia melihat pada langit yang membiru.

         “ Masa untuk kau dah hampir tamat Ji Hoon. Dah tiba masa untuk aku pula,” perlahan dia berkata-kata. Lelaki itu berterusan menikmati pemandangan di luar.


KUAT bunyi pintu bilik dihempas mengejutkan Eun Hee yang masih berada di dapur. Dia segera keluar dari dapur dan melihat ke tingkat atas. Dia pasti bunyi itu datang daripada bilik tidurnya. Agaknya...

         Pantas dia berlari menaiki tangga. Pintu bilik dikuak. Eun Hee tergamam.

         Ji Hoon.

         Lelaki itu sedang duduk berteleku di hujung katil. Wajah disembunyikan di balik kaki yang dibawa rapat ke dada. Esakan Ji Hoon menyapa telinga Eun Hee. Perlahan-lahan dia mendekati lelaki itu.

         Ji Hoon tersentak apabila merasakan ada tangan yang halus sedang memegang bahunya. Dia mengangkat wajah. Wajah Eun Hee kabur dalam kolam air matanya.

         Lembut Eun Hee mengusap ubun-ubun suaminya. Hatinya gusar. Tidak pernah dia melihat Ji Hoon dalam keadaan seperti ini. Dia tertanya-tanya sendirian, agaknya apalah yang telah berlaku. Ibu mentua dan Pak Cik Nam Gil pula masih tiada di rumah. Ji Hoon kembali dari pejabat lebih awal daripada kebiasaannya. Eun Hee renung wajah itu. Air mata Ji Hoon mengalir seolah-olah tiada penghujungnya.

         “ Eun Hee…”

         Pantas dia meraih tubuh itu ke dalam dakapan. Ji Hoon benar-benar tertekan saat ini. Dia sudah tidak dapat menahan lagi perasaan yang dipendam selama ini. Dia harus meluahkannya. Jika tidak, semakin parah luka di hati.

         Eun Hee tergamam namun dia membiarkan sahaja pelukan itu. Basah baju di bahagian bahunya dengan air mata Ji Hoon. Tangannya masih mengusap kepala Ji Hoon.

         “ Maaf… Eun Hee…” lemah Ji Hoon menutur kata. Dia memang lemah. Teramat lemah.


 í•˜ë‚˜ 

6 comments:

Miss Kira said...

yeay!!
new entry..
agagagaga
=)

fallenmoon ( Liya Zafrina ) said...

Mcm nak hempuk je Chae Rin dkt dinding.

akira_bita said...

moon, jom belasah chae rin reramai jom? kakakakak

~ZYX~ said...

nape ji hoon nangis...?smbg lg..

Minho Izzy said...

Bodoh la chae rin tu...
Bla sy bca part"dah tiba masa untuk aku pula" tu sy rsa mgkin itu da wei...atau Pak Cik Nam Gil..
Hahaha...
Itu pendapat sy je la...

Unknown said...

hehe
tunggu misteri selesai ya?
^^

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...