Ai no Kotoba

Colours make your life beautiful, melody makes your life rhythm and harmony makes your life a life - Hana

Semua karya dalam blog ini hak cipta terpelihara penulis. Anda tidak dibenarkan menciplak, me-copy, memplagiat atau with every means to copy it atau mengaku karya itu anda punya.
Semua karya tidak mempunyai kaitan dengan yang hidup mahupun yang sudah meninggal dunia.
Selamat membaca. Peace!

Watashi no Tomodachi :D

Entri Terbaru! Tengok Sini!

Wednesday, April 24, 2013

Endless Love 49


GALAK Ryu Min ketawa sewaktu dikejar oleh Seung Hyun. Riuh kawasan pantai itu dengan jeritan mereka berdua. Eun Hee memerhati sahaja perlakuan dua beradik itu dari kejauhan. Dia lebih selesa duduk di bawah teduh pokok palma di sepanjang pantai itu.

          Ryu Min dan Seung Hyun berlari sepanjang gigi air. Percikan air laut pada pakaian mereka seakan-akan tidak diendahkan. Mereka berdua sudah tenggelam dalam keseronokan masing-masing.

          “ Abang, dahlah! Jom naik! Makin panaslah!” laung Ryu Min pada Seung Hyun yang berada agak jauh daripadanya. Seung Hyun menuruti sahaja kata-kata adiknya. Mereka berdua berlari meredah tanah berpasir yang lembut mendapatkan Eun Hee.

          Eun Hee menghulurkan tuala kepada kedua-duanya. Sebotol minuman sejuk diserahkan kepada Ryu Min yang nampak seperti kehausan. Tergesa-gesa gadis kecil itu membuka penutup minuman itu.

          “ Habis basah seluar abang. Kenapa tak lipat saja kaki seluar tu?” rungut Ryu Min sambil melihat pada kaki seluar Seung Hyun yang basah lantaran berkejaran di gigi air. Seung Hyun langsung tidak melipat hujung seluarnya itu. Membiarkan sahaja kaki seluarnya basah.

          Seung Hyun tersengih. Dia mengambil botol minuman di tangan Ryu Min. “ Tak ingatlah, Ryu Min. Seronok sangat nak kejar Ryu Min tadi,” jawab Seung Hyun mudah. Ryu Min pantas mencebik.

          “ Jom balik. Ryu Min dah laparlah, kak,” Ryu Min merungut. Eun Hee mengangguk sahaja. Dia menyimpan kembali kedua-dua tuala tadi ke dalam beg kecil yang dibawa bersama.

          Mereka berdua meninggalkan pantai yang berpasir putih itu. Sebelum mereka membelok masuk ke laluan yang menghala ke rumah Pak Cik Dam Shik, Eun Hee menoleh sekilas ke belakang. Dia tersenyum pahit.

          Eun Hee merenung pada jari jemarinya. Kosong. Cincin itu hanya akan dipakai pada malam hari, pada saat dia masuk tidur dan ditanggalkan apabila pagi menjelma. Dia tidak pasti kenapa dia berbuat sebegitu. Yang jelas, dia mahu tidur bersama-sama benda yang membawa kenangan indah kepadanya, membuatkan mimpinya indah kembali.

          “ Besarnya rumah tu, tentu pemiliknya orang kaya, kan?” kata Seung Hyun tiba-tiba sebaik sahaja mereka melalui rumah Ji Hoon. Lelaki itu terpegun melihat sebuah banglo putih yang indah tersergam di hadapannya.

          “ Ya, memang pemiliknya orang kaya,” jawab Ryu Min lalu berlari ke hadapan. Seung Hyun terhenti sejenak sebelum menyeringai pada adiknya itu. Dia membuka langkah untuk mengejar Ryu Min.

          “ Jangan lari!” pekik Seung Hyun. Ryu Min yang sudah jauh ke hadapan mula ketawa mengekeh. Hanya Eun Hee sahaja yang masih di belakang.

          Eun Hee menarik nafas. Dengan berat hati dia menoleh ke belakang, melihat pada banglo putih di hujung jalan itu. Kereta Ji Hoon tiada di garaj. Mungkin lelaki itu keluar menemui Zachary, teman rapatnya. Eun Hee melangkah perlahan-lahan meninggalkan kawasan banglo itu. Matanya mulai merah.  


SUDAH hampir seminggu Ji Hoon memulakan kembali tugasnya di resort itu. Perjalanan resort itu berjalan dengan baik. Dia dan Hyun Min saling bekerjasama dalam semua urusan resort. Malah, resort mereka turut menjadi tumpuan ramai pelancong sama ada pelancong tempatan mahu pun pelancong asing. Tempahan bilik pada saban hari semakin meningkat.

          Berkenaan kes pembunuhan Da Wei pula, pihak polis masih menyiasat punca kes namun sehingga kini tiada perkembangan yang dilaporkan. Pihak polis tidak dapat mengesan siapa orang terakhir yang dtemui mangsa sebelum dibunuh. Zachary dan Hyun Min pula menggesa Ji Hoon agar menutup mulut. Biarkan sahaja pihak polis yang menyiasatnya.

          Ji Hoon mencoretkan kata-kata yang terakhir sebelum menutup sebuah fail tebal berwarna hitam. Fail itu disimpan di laci yang menempatkan fail-fail semakannya di belakang meja kerjanya. Kot yang tersangkut pada kerusi empuk yang didudukinya diambil lalu disarungkan ke tubuh. Dia keluar dari bilik itu.

          Tatkala melalui bilik Hyun Min, Ji Hoon berhenti seketika. Dia mengetuk pintu. Sesudah mendengar suara Hyun Min memberi kebenaran kepadanya, dia terus masuk. Hyun Min tersenyum melihat kepadanya. Ji Hoon dipelawa duduk.

          “ Dah nak balik? Macam biasa ke?” tanya Hyun Min sambil bangun menuju ke sofa di suatu sudut. Ji Hoon tersengih lalu mengangguk.

          “ Saja aku singgah kejap,” jawab Ji Hoon. Dia melabuhkan duduk di hadapan Hyun Min.

          “ Semoga berjaya,” ucap Hyun Min. Ji Hoon mengangguk lagi.

          Sejak hari pertama dia memulakan kerja, Ji Hoon akan ke rumah Pak Cik Dam Shik seusai waktu bekerja. Dia bukan bertemu dengan Eun Hee, sebaliknya hanya memerhati dari jauh. Hanya Ryu Min sahaja yang mengetahui perkara itu. Malah, gadis kecil itu jugalah yang membantunya. Pada setiap petang, Ryu Min akan mengajak Eun Hee turun bermain di halaman rumah, agar membolehkan Ji Hoon untuk melihat isterinya dari kejauhan. Sehingga kini perbuatannya tidak dapat dihidu oleh Eun Hee.

          “ Ada apa kau singgah sini? Ada masalah ke dalam kerja?” tanya Hyun Min. Pantas Ji Hoon menggeleng. Dia langsung tidak menghadapi masalah mengendalikan kembali tampuk pengurusan resort itu.

          “ Aku nak tanya kau pasal...” Ji Hoon terdiam seketika. Dia menarik nafas. Matanya tepat merenung ke wajah Hyun Min yang kebingungan.

          “ ... Chae Rin.”

          Bulat mata Hyun Min seketika. Air mukanya berubah gelisah. Dia melarikan pandangannya daripada renungan Ji Hoon.

          “ Kenapa kau tanya pasal dia?” tanya Hyun Min lemah. Dia bersandar lesu pada sofa. Ji Hoon tersenyum hambar. Dia tahu Hyun Min terluka dengan pertanyaannya.

          “ Kau ada hubungi dia sejak hari tu?” tanya Ji Hoon berhati-hati. Lemah Hyun Min menggeleng. Dia menghela nafas.

          “ Sejak hari tu, aku langsung tak tahu berita pasal dia. Aku dah putuskan yang aku akan lupakan dia, lupakan semuanya pasal dia. Biarlah aku sendirian kalau dia tak akan bahagia dengan aku,” jawab Hyun Min. Sesudah dia mengucapkan kata, Ji Hoon terus bangun lalu menghalakan tangannya ke Hyun Min yang duduk di hadapan.

          Buk!

          “ Aduh!”

          Pantas Hyun Min menggosok kepalanya yang sakit lantaran tumbukan Ji Hoon yang tiba-tiba. Bukan calang-calang tumbukan. Hampir bergegar otaknya dek tumbukan itu. Dia merenung marah kepada Ji Hoon yang sedang tersengih. Bibirnya diketap geram.

          “ Kenapa dengan kau ni?” sungutnya geram. Ji Hoon buat wajah selamba. Dia kembali mengambil tempat di sofa. Matanya tidak lepas daripada memandang Hyun Min.

          “ Kenapa kau cepat putus asa?” tanya Ji Hoon. Walau wajahnya kelihatan selamba namun nada yang dituturkan dingin sahaja. Hyun Min terkedu. Lambat-lambat dia menggeleng.

          “ Biarlah aku dan dia macam ni. Dia bukannya terasa kalau aku hilang daripada hidupnya,” kata Hyun Min hambar. Wajahnya mula kelihatan kusut.

          “ Aku tak akan bantah, tapi aku tak nak kau menyesal dengan keputusan kau. Aku dan Zack ada sokong kau kat belakang. Aku nak pergi dah ni, kau fikirlah baik-baik ya?” Ji Hoon bangun daripada duduknya. Dia mengenyit kepada Hyun Min sebelum berlalu dari pejabat lelaki itu.

          Hyun Min menghela nafas panjang. Ji Hoon hanyalah seorang penutur, sudah tentu dia merasakan ini perkara yang mudah. Hanya dia yang melaluinya, bukan Ji Hoon.

          Buat pertama kali, Hyun Min terlupa akan masalah Ji Hoon dengan Eun Hee. Dia terlupa bahawa situasi yang dialami Ji Hoon lebih teruk daripada keadaan dia dengan Chae Rin.


SESUDAH menukar pakaian, Ji Hoon bergegas ke luar rumah. Dia berjalan menuju ke rumah Pak Cik Dam Shik. Dia merendahkan sedikit topi yang dipakainya sebaik sahaja semakin menghampiri rumah itu. Melalui sebatang pokok yang melindungi dirinya, dia melilaukan matanya ke halaman rumah Pak Cik Dam Shik.

          Dia tersenyum lega apabila melihat Eun Hee sedang melayan Ryu Min bermain bola di halaman rumah. Tenang sahaja gadis itu menyambut bola yang dibaling kepadanya. Ji Hoon mengangguk sekilas. Spontan dia mengeluarkan telefon bimbitnya.

          Kamera di telefon bimbit itu difokuskan pada Eun Hee. Dia mahu mengambil gambar gadis itu hari ini. Sekurang-kurangnya dapat mengubat sedikit kerinduannya pada Eun Hee walau sudah banyak gambar gadis itu di dalam biliknya. Butang tengah ditekan lama.

          Ji Hoon melihat pada gambar yang baru sahaja ditangkapnya. Dia tersenyum lagi melihat pada gambar yang memaparkan Eun Hee sedang tersenyum kepada Ryu Min. Bagi Ji Hoon, Eun Hee sedang melemparkan senyuman kepadanya.

          Sekali lagi kamera difokuskan pada Eun Hee sebelum butang tengah ditekan. Saat Ji Hoon melihat pada skrin telefon bimbitnya, dahinya berkerut apabila melihat seorang lelaki sedang berdiri di muka pintu memerhatikan Ryu Min dan Eun Hee bermain. Wajah lelaki itu jelas pada gambar itu.

          Agaknya, ini abang Ryu Min, Seung Hyun, bisik hati Ji Hoon perlahan. Ryu Min ada memberitahunya bahawa satu-satunya abang kandungnya sudah pulang dari Macau. Namun Ji Hoon tidak pernah berkesempatan untuk melihat lelaki itu. Inilah pertama kali dia melihat Seung Hyun.

          Ji Hoon mengeluh kecewa. Eun Hee sudah naik ke dalam rumah. Seung Hyun pula yang menggantikan tempat Eun Hee bermain dengan Ryu Min. Ryu Min kelihatan teragak-agak, malah sudah beberapa kali gadis kecil itu berpaling cemas ke luar rumah, tepat pada pokok di mana Ji Hoon bersembunyi di baliknya.

          Ji Hoon keluar dari tempat persembunyiannya. Walaupun hampa, dia tetap gembira kerana boleh melihat Eun Hee hari ini walau hanya sekejap. Dia akan kembali pula hari esok.


SEUNG HYUN membantu Ryu Min duduk di kerusi di sebelahnya. Eun Hee meletakkan semangkuk kimchi ke atas meja. Pak Cik Dam Shik pula leka membaca akhbar. Suasana pagi itu seperti kebiasaannya.

          “ Bila kamu pulang ke Macau?” tanya Pak Cik Dam Shik tanpa memandang Seung Hyun. Seung Hyun tarik muka sebelum akhirnya ketawa galak bersama-sama Ryu Min.

          “ Ayah ni macam nak halau saya saja. Baru seminggu saya balik ke sini,” kata Seung Hyun yang masih ketawa. Dia menggosok kepala Ryu Min yang turut ketawa. Pak Cik Dam Shik tersengih.

          “ Yalah, bukan ke susah kamu nak dapat cuti kat sana? Sebab tu ayah pelik kamu cuti lama-lama macam ni,” balas Pak Cik Dam Shik. Akhbar di tangan dilipat. Dia meneguk kopi panas yang dihidangkan oleh Eun Hee.

          “ Mungkin lusa saya balik. Lagipun, dah lama saya tak ambil cuti. Sekarang ni saya bertukar kontrak lepas kontrak lama tamat, kontrak baru tu akan bermula tak lama lagi. Tapak pembinaan bar utu pun di kawasan Macau juga,” jelas Seung Hyun. Pak Cik Dam Shik mengangguk tanda mengerti. Dia mula menyuap nasi.

          Sesudah bersarapan, Ryu Min segera berlari ke ruang tamu. Beg sekolahnya sudah diletakkan di sana. Pak Cik Dam Shik turut ke ruang tamu disusuli Eun Hee dan Seung Hyun.

          “ Kami pergi dulu. Seung Hyun, kalau kamu nak keluar jumpa kawan-kawan kamu, keluarlah. Eun Hee tinggal di rumah saja, tak ke mana-mana pun,” kata Pak Cik Dam Shik. Basikal disorong ke halaman rumah. Seung Hyun mengangguk.

          “ Hajatnya saya memang tak keluar. Baiklah, ayah.”

          Ryu Min duduk di pelantar basikal sambil memeluk erat pinggang ayahnya. Dia melambai-lambai sebelum mereka keluar dari kawasan rumah. Eun Hee dan Seung Hyun kekal berdiri di situ sehinggalah bayang Pak Cik Dam Shik dan Ryu Min menghilang.

          “ Oh ya, Eun Hee,” seru Seung Hyun tiba-tiba. Eun Hee segere menoleh lantas mendongak. Abang sepupunya ini memang tinggi. Lebih tinggi daripada Pak Cik Dam Shik sendiri.

          “ Abang nak keluar tengah hari ni. Kamu ada nak pesan apa-apa?” tanya Seung Hyun. Eun Hee berfikir sejenak sebelum dia menggeleng pantas. Seung Hyun menjungkit bahu lalu tersenyum.

          “ Kalau macam tu tak apalah,” ucap Seung Hyun. Dia masuk ke dalam rumah. Eun Hee masih berdiri di muka pintu. Dia turun ke halaman. Dia mahu menjenguk kolam ikan milik bapa saudaranya. Sudah lama lelaki itu tidak sempat untuk mempedulikan perihal kolam ikan itu.


KELAKUAN Ji Hoon yang asyik tersenyum-senyum tatkala menghadap telefon bimbitnya menghairankan Hyun Min. Mana tidaknya, asyik betul lelaki itu menghadap skrin telefonnya tanpa perasan akan kehadirannya. Perlahan-lahan dia mendekati lelaki itu yang masih lagi leka dengan telefon bimbit di tangan.

          “ Woi!”

          Terkejut Ji Hoon dengan sergahan itu. Berkerut mukanya melihat wajah Hyun Min yang sudah mula ketawa. Dia tarik muka masam.

          “ Kau ni, tak boleh ke tengok aku senang? Asyik nak buat kacau betullah kau ni. Dahlah masuk tak ketuk pintu,” rungut Ji Hoon. Hyun Min turut mencebik.

          “ Banyaklah kau aku tak ketuk pintu. Dah banyak kali aku ketuk, kau tu  yang tak perasan. Mana taknya, asyik dengan telefon tu,” balas Hyun Min. Ji Hoon tersengih. Dia menggaru kepalanya yang jelas tidak gatal.

          “ Yalah, salah aku. Kenapa kau ke...”

          “ Kau tengok apa sampai asyik macam ni?” pintas Hyun Min lalu dia merampas telefon bimbit di tangan Ji Hoon. Ji Hoon hanya membiarkan sahaja Hyun Min mengambil telefon bimbit yang masih dalam pegangannya tadi. Baginya Hyun Min tidak menganggu privasinya, apatah lagi dia sendiri kerap merampas telefon bimbit lelaki itu atau pun Zachary jika mereka berdua leka dengan telefon bimbit masing-masing.

          “ Patutlah, gambar isteri kesayangan rupanya,” ejek Hyun Min sambil ketawa. Ji Hoon turut ketawa.

          “ Memanglah. Nama lagi...”

          Ucapannya berhenti di situ apabila menyedari perubahan di wajah Hyun Min. Hyun Min kelihatan cemas namun matanya masih melirik pada skrin telefon bimbit Ji Hoon. Ji Hoon kaget melihat pada perubahan sikap Hyun Min.

          “ Hyun Min, kenapa?” tanyanya hairan. Hyun Min terdiam. Dia mengangkat wajah daripada skrin itu lalu tepat merenung Ji Hoon dengan cemas. Hyun Min menarik nafas. Ji Hoon tidak dapat menafsir dengan tepat emosi yang tergambar pada wajah itu.

          “ Kena...”

          “ Siapa lelaki ni? Lelaki dalam gambar ni?” potong Hyun Min. Nadanya berubah cemas. Ji Hoon jelas kebingungan.

          “ Lelaki mana?” tanyanya tidak mengerti. Pantas Hyun Min menunjukkan gambar yang sedang dilihatnya tadi. Gambar yang diambilnya sewaktu mengintip Eun Hee semalam. Kelihatan Eun Hee sedang bermain dengan Ryu Min manakala Seung Hyun pula sedang memerhatikan mereka dari muka pintu. Ji Hoon semakin tidak mengerti.

          “ Itu abang sepupu Eun Hee. Kena...”

          Sekali lagi Hyun Min tidak membenarkan dia menghabiskan ayatnya. Ji Hoon tergamam apabila melihat betapa bengisnya muka Hyun Min memandangnya.

          “ Kenapa kau tanya? Lelaki tu lelaki yang bercakap dengan Da Wei untuk bunuh kau, kau tahu?! Dialah lelaki yang Da Wei upah untuk langgar kau!”

          Ji Hoon kaku di tempatnya. Matanya terbeliak. Dia merenung wajah Hyun Min tidak percaya. Serta merta wajah Eun Hee menerpa ke mindanya.   


SESUDAH menyidai pakaian, Eun Hee masuk kembali ke dalam rumah. Seung Hyun sedang berbaring sambil membaca akhbar di atas sebuah sofa lama di hujung ruang. Tatkala dia berjalan melintasi lelaki itu, Seung Hyun menyeru namanya. Eun Hee menghentikan langkah. Dia berpaling pada abang sepupunya itu.

          “ Boleh Eun Hee tolong buatkan kopi panas untuk abang?” minta Seung Hyun. Tanpa sebarang bantahan Eun Hee terus mengangguk. Dia berlalu ke dapur selepas menyimpan bakul pakaian di dalam bilik.

          Eun Hee mengambil teko di atas meja. Kopi yang dibuatnya tadi telah hampir habis. Dia mengambil bekas yang berisi serbuk kopi di atas para. Sebiji cawan dicapai berserta dengan piring kecil.

          Cawan yang berlapikkan piring itu dibawa berhati-hati ke ruang tamu. Langkahnya perlahan sahaja bimbang dia tersadung tatkala membawa kopi panas itu. Seung Hyun tersenyum sebaik sahaja melihat Eun Hee masuk ke ruang tamu bersama-sama sebiji cawan.

          “ Terima kasih,” ucapnya ringkas. Akhbar yang dibaca diletakkan ke tepi.

          Cawan itu diserahkan kepada Seung Hyun. Sewaktu cawan itu bertukar tangan, tanpa sengaja Eun Hee melepaskan pegangannya sebelum Seung Hyun sempat menyambut cawan itu. Dia menekup mulut apabila melihat air kopi panas itu mengenai kaki Seung Hyun yang menjerit kesakitan.

          “ Cepat, ambilkan kain lembap. Cepat,” pinta Seung Hyun tergesa-gesa. Dia mengerang sedikit. Terasa terbakar sahaja kakinya dengan curahan air panas itu. Tangannya mula melipat hujung seluar yang dipakainya. Eun Hee mengangguk pantas tanpa menghiraukan apa-apa. Tergesa-gesa dia berlari ke dapur. Sehelai tuala kecil dibasahkah. Langkahnya terhenti secara tiba-tiba apabila tiba di ruang tamu.

          Matanya tertumpu pada parut besar yang jelas kelihatan di betis Seung Hyun. Kesan parut itu seakan-akan bekas ditikam dengan sebilah pisau yang tajam. Dia terkedu di situ. Imbauan masa lampau mula menerjah minda.

          “ Kau dah nampak?”

          Dingin suara Seung Hyun berkata-kata. Tajam matanya merenung pada Eun Hee yang sedang menggigil ketakutan. Eun Hee termengkelan.

          Parut itu...

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...