Ai no Kotoba

Colours make your life beautiful, melody makes your life rhythm and harmony makes your life a life - Hana

Semua karya dalam blog ini hak cipta terpelihara penulis. Anda tidak dibenarkan menciplak, me-copy, memplagiat atau with every means to copy it atau mengaku karya itu anda punya.
Semua karya tidak mempunyai kaitan dengan yang hidup mahupun yang sudah meninggal dunia.
Selamat membaca. Peace!

Watashi no Tomodachi :D

Entri Terbaru! Tengok Sini!

Wednesday, April 24, 2013

Endless Love 43



“ JANGAN kau cuba nak lari!” garau suara lelaki itu menerpa pendengarannya. Eun Hee mula panik. Tanpa menghiraukan kata-kata lelaki itu, dia segera berlari meninggalkan dapur. Lelaki berpakaian serba hitam itu terkejut dengan tindakan berani Eun Hee. Wajahnya berkerut menahan marah.

          “ Tak guna kau!”

          Supp!

          Eun Hee pantas menunduk melepasi sebilah pisau yang dilempar kepadanya. Pisau itu terlekat pada pintu almari usang yang terletak di laluan menuju ke ruang tamu. Matanya kaku melihat pada hujung pisau yang terbenam pada kayu almari itu. Dia mula menggigil ketakutan. Pucat wajahnya dengan tangisan ketakutannya. Tanpa mempedulikan ancaman pembunuh itu, langkahnya semakin pantas berlari ke ruang tamu.

          Namun nasib jelas tidak menyebelahinya. Eun Hee jatuh terdorong ke hadapan lantaran tersadung bendul rumah. Dia menoleh ke belakang. Langkah pembunuh itu semakin mendekatinya. Dia dapat mendengar dengan jelas suara ketawa menggila di sebalik serkup muka hitam itu.

          “ Kau takkan dapat lari lagi,” ucap pembunuh itu dengan nada mendayu yang mengejek. Eun Hee menggeleng kepalanya menggila, dia tidak mahu mati dengan sia-sia. Dia bangun daripada jatuhnya. Langkahnya semakin menghampiri pintu keluar rumah namun tiba-tiba sahaja kolar blausnya disentap dari belakang. Kasar pembunuh itu menarik belakang blausnya. Eun Hee terjatuh ke belakang.  

          Eun Hee cuba bangun namun perbuatannya itu sia-sia sahaja. Perutnya mula diinjak-injak oleh pembunuh itu. Mulutnya mula mengeluarkan darah. Senak perutnya kerana dipijak kasar membuatkan dia semakin lemah.

          “ Dah lama aku tunggu saat ni,” ucap pembunuh itu lagi. Sebilah pisau ditunjuk di hadapan Eun Hee yang masih mengalirkan air mata. Eun Hee pantas menggeleng apabila mata pisau itu dibawa ke pipinya.

          “ Kau pilih, kau nak mati macam mana. Kau nak aku kerat-kerat mayat kau atau kau nak... aku humban kau ke dalam gaung?” Kata-kata pembunuh itu semakin mencemaskan Eun Hee. Mata pisau itu dihala ke lehernya. Dia mengerang apabila merasakan ada tusukan di hujung lehernya.
    
          “ Aku akan...”

          Tolong... jangan bunuh aku... tolong... abang... selamatkan Eun Hee!!!

          Matanya ditutup rapat. Dia tidak dapat membayangkan apa yang akan dia lalui selepas ini. Dia akan mati di tangan pembunuh gila ini. Namun, tiada apa-apa yang berlaku. Teragak-agak dia membuka mata.

          Eun Hee tergamam apabila melihat pembunuh itu tumbang di sebelahnya. Pisau yang ditusuk ke lehernya jatuh tepat berdekatan dengan tangan kanannya. Terasa tubuhnya dipeluk erat oleh seseorang. Pantas Eun Hee mengangkat wajah.

          “ Eun Hee... Eun Hee tak apa-apa? Nyaris betul tadi...” Suara risau Ji Hoon kedengaran di telinganya.

          “ Eun Hee... Eun Hee tak apa-apa, kan?” tanya Ji Hoon lagi. Pelukannya dilepaskan. Matanya merenung tepat pada sepasang mata jernih itu. Eun Hee hanya menggeleng. Gadis itu pantas merangkul lehernya. Ji Hoon terkesima.

          “ Tak ada apa-apa... tak ada apa-apa...” pujuk Ji Hoon. Belakang kepala Eun Hee diusap lembut.

          Cemas benar dia saat dia baru sahaja sampai di hadapan rumah Pak Cik Dam Shik apabila mendengar bunyi orang jatuh dan ketawa menggila seorang lelaki. Dia tambah panik apabila melihat Eun Hee sedang diseksa oleh seorang lelaki yang hanya berpakaian serba hitam. Terus dia menyerang lelaki itu tanpa menghiraukan keselamatan dirinya. Apa yang lebih penting buat Ji Hoon hanyalah diri Eun Hee.

          “ Eun Hee... abang...” Kata-kata Ji Hoon terhenti di situ. Tubuh Eun Hee segera dipeluk erat sebelum dia berguling pantas ke sebelah kanannya. Lelaki pembunuh itu sudah sedarkan diri dan mula menghalakan pisau ke arahnya.

          “ Kau!”

          Eun Hee ditolak jauh daripadanya saat pembunuh itu menerkamnya dengan pisau. Ji Hoon dapat mengelak daripada serangan pembunuh itu namun pisau tajam itu sudah menoreh dalam bahagian bahu kirinya. Eun Hee menekup mulut kengerian.

          Ji Hoon mengerang kesakitan. Tangan kanannya menekan kuat pada bahagian bahu yang tercedera itu. Berkerut wajahnya menikam tajam pada wajah pembunuh itu. Tanpa menghiraukan kesakitan yang dialami, Ji Hoon segera menerpa ke arah pembunuh itu. Tangan lelaki itu yang memegang pisau dikilas ke belakang. Berdenting bunyi pisau jatuh ke lantai. Ji Hoon menendang pada pelipat kaki pembunuh itu sebelum dia menekan kuat dengan sebelah lututnya pada belakang lelaki pembunuh yang sudah tertiarap di atas lantai. Kedua-dua tangan lelaki itu dibawa ke belakang.

          “ Siapa kau? Kenapa kau nak bunuh isteri aku! Cakap!” bentak Ji Hoon. Lututnya semakin kuat menekan pada belakang pembunuh itu manakala cengkaman tangannya pada kedua-dua tangan lelaki pembunuh itu dikuatkan. Pembunuh itu mula mengerang kesakitan. Sedaya upaya dia cuba melepaskan cengkaman tangan Ji Hoon.

          “ Kau tak nak cakap? Baik! Mari kita lihat wajah sebenar kau!” Sebelah tangan Ji Hoon menarik hujung serkup wajah lelaki itu. Namun dia tersilap langkah. Tangan kirinya yang cedera yang mencengkam pada kedua-dua tangan lelaki pembunuh itu dapat ditepis. Dia ditolak kasar ke belakang sebelum pembunuh itu tergesa-gesa melarikan diri ke pintu utama.

          “ Cis!” Ji Hoon berlari ke muka pintu namun pembunuh itu sudah lesap entah ke mana. Dia menumbuk pagar konkrit rumah Pak Cik Dam Shik. Genggaman tangan kanannya mula mengeluarkan darah.

          Kecewa kerana tidak dapat menangkap lelaki misteri yang cuba membunuh isterinya itu, Ji Hoon segera masuk ke dalam rumah. Dia segera mendapatkan Eun Hee yang sedang tersandar lesu pada dinding rumah. Jelas di matanya bahawa gadis itu masih menggigil ketakutan.

          “ Eun Hee... Eun Hee tak apa-apa, kan? Kan?” cemas Ji Hoon bertanya. Dia memeriksa jika ada luka pada tubuh isterinya. Dia tersenyum lega apabila melihat isterinya tidak mengalami sebarang kecederaan. Hanya ada kesan darah sahaja di sekitar bibir Eun Hee. Barangkali tersembur sewaktu perut gadis itu dipijak kasar oleh pembunuh itu tadi.

          “ Baguslah Eun Hee tak apa-apa,” ucap Ji Hoon perlahan. Hujung lengan panjang kemeja putihnya dibawa ke tepi bibir Eun Hee. Berhati-hati dia mengesat kesan darah di sekitar bibir isterinya. Eun Hee hanya membiarkan sahaja perbuatan Ji Hoon. Dia masih terkejut dengan apa yang dilaluinya sebentar tadi.

          Tiba-tiba Ji Hoon mengerang kesakitan. Dia menoleh pada bahu kirinya. Dia terlupa akan luka yang dialaminya tadi. Tangan kanannya dibawa ke bahu kiri lalu ditekan kuat pada lukanya.

          Ji Hoon tergamam apabila merasakan ada tangan halus yang mengalihkan tangannya daripada bahu yang tercedera itu. Dia mengalih pandang pada wajah sendu Eun Hee. Sayu gadis itu melihat luka di bahunya.

          “ Abang tak apa-apa. Luka sikit saja ni,” ucap Ji Hoon sambil tersenyum. Namun Eun Hee seakan-akan tidak mempedulikan kata-katanya. Eun Hee bangun perlahan-lahan lalu menuju ke dapur.

          Ji Hoon duduk berteleku di lantai. Beberapa ketika kemudian Eun Hee muncul dengan satu bekas kecil berisi air panas bersama-sama kotak perubatan kecemasan dengan sehelai tuala tersangkut pada bahunya. Dia duduk bersimpuh di sisi Ji Hoon. Tuala itu dicelup ke dalam air panas itu sebelum diperah. Tuala basah itu dibawa ke bahu Ji Hoon yang tercedera.

          Ji Hoon tersenyum hambar saat gadis itu mula merawat lukanya. Selepas berkali-kali Eun Hee mencuci luka Ji Hoon, gadis itu mengambil pula kain pembalut luka dengan sebotol kecil yang mengandungi cecair antiseptik. Ji Hoon mengaduh kecil saat cecair itu ditekap pada lukanya.

          “ Eun Hee...” Eun Hee yang sedang mengepinkan hujung kain pembalut Ji Hoon terhenti perbuatannya. Teragak-agak dia mengangkat wajah. Sepasang mata milik suaminya sedang merenung sayu kepadanya. Pantas Eun Hee melarikan pandangan.

          “ ... balik rumah kita, ya?”

          Eun Hee terkedu mendengarkan ucapan itu. Dia bungkam dengan nada yang dilontarkan oleh Ji Hoon. Itu bukannya permintaan, sebaliknya Ji Hoon sedang merayu kepadanya. Merayunya untuk pulang.

          “ Balik rumah kita ya? Dengan abang?” rayu Ji Hoon lagi. Sepenuh harapan diletakkan buat Eun Hee. Namun dia hampa apabila melihat gadis itu menggeleng. Eun Hee masih melarikan matanya daripada renungan Ji Hoon.

          “ Tapi... kenapa? Eun Hee... tak percayakan abang?” Lirih suara Ji Hoon meminta penjelasan. Kali ini Eun Hee terdiam.

          Perlahan-lahan dia bangun lalu berjalan membelakangi Ji Hoon menuju ke dapur. Ji Hoon terkedu di situ. Merah anak matanya merenung setiap langkah gadis itu meninggalkannya. Perlahan-lahan dia menggelengkan kepala tidak mahu menerima hakikat sebenar. Dengan berat hati, dia bangun lalu berjalan keluar dari rumah itu. Dia hampir terlanggar Ryu Min yang baru pulang dari sekolah di saat mahu menuruni anak tangga.  

          “ A... abang Ji Hoon? Kenapa luka-luka ni?” tanya Ryu Min kaget. Terkejut dengan kedatangan Ji Hoon dalam keadaan kemeja putih dan seluar khaki putihnya berlumuran dengan darah. Ji Hoon hanya tersenyum hambar.

          “ Ryu Min, tolong jaga Kak Eun Hee untuk abang,” kata Ji Hoon tiba-tiba. Ryu Min bertambah kaget.

          “ Tapi kenapa? Abang nak ke mana? Ryu Min...” Kata-kata gadis kecil itu terhenti apabila Ji Hoon menunduk sambil memaut kemas kedua-dua bahunya.

          “ Janji dengan abang, tolong jaga Kak Eun Hee untuk abang, ya? Janji, ya?” kata Ji Hoon lagi. Matanya tepat merenung wajah Ryu Min. Teragak-agak Ryu Min mengangguk walau masih bingung dengan keadaan sebenar.

          “ Abang Ji Hoon, ceritalah! Apa dah jadi ni? Kenapa tiba-tiba...”

          Perlahan-lahan Ji Hoon menggeleng. Dia melepaskan pautan pada bahu Ryu Min.

          “ Janji dengan abang yang Ryu Min akan tolong abang jagakan Kak Eun Hee untuk abang. Abang... dah tak mampu untuk jaga dia,” ucap Ji Hoon hiba. Tergesa-gesa dia berjalan meninggalkan Ryu Min sebelum gadis itu menghujaninya dengan sebarang pertanyaan.

          Saat Ji Hoon keluar dari halaman rumah itu, kakinya mula lemah untuk melangkah lagi. Dia bersandar pada sebatang pokok yang terletak di sepanjang jalan ke rumahnya. Sekali lagi dia tewas dengan perasaannya.   

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...