Ai no Kotoba

Colours make your life beautiful, melody makes your life rhythm and harmony makes your life a life - Hana

Semua karya dalam blog ini hak cipta terpelihara penulis. Anda tidak dibenarkan menciplak, me-copy, memplagiat atau with every means to copy it atau mengaku karya itu anda punya.
Semua karya tidak mempunyai kaitan dengan yang hidup mahupun yang sudah meninggal dunia.
Selamat membaca. Peace!

Watashi no Tomodachi :D

Entri Terbaru! Tengok Sini!

Saturday, February 13, 2010

You're In My Forgotten Memories 1


PERLAHAN-LAHAN balutan di kepala Yun Ho dibuka oleh doktor. Mereka yang menunggu hanya mampu bersabar. Sesudah doktor melakukan kerjanya, kain balutan yang baru pula membaluti kepala Yun Ho. Doktor itu mengalih pandang pada wajah masing-masing yang sedang menunggu.

         “ Ada perkara yang saya nak beritahu, sila ikut saya,” kata doktor itu pada Pengerusi Jung. Lelaki itu mengangguk sebelum mengekori langkah lelaki itu.

         Hye Sun menahan debar di dalam hati. Wajah tunangnya yang kelihatan pucat lesu menambah rawan di hati. Puan Jung memaut bahu gadis itu.

         “ Jangan risau. Mak cik tahu kamu bimbang, Yun Ho takkan apa-apa,” pujuk Puan Jung. Hye Sun hanya mengangguk. Wajah pucat itu masih di pandangan matanya sebelum dia menoleh ke luar. Tembus melalui cermin kaca, kelihatan Pengerusi Jung sedang rancak berbual dengan doktor itu. Wajah masing-masing dah tayang muka gelisah. Tidak lama kemudian, Pengerusi Jung kembali memasuki wad kelas satu itu manakala lelaki bergelar doktor itu pula terus menuju ke hadapan. Wajah Pengerusi Jung jelas kelihatan resah.

         “ Kenapa, bang?” tanya Puan Jung. Keluhan yang terhembus daripada mulut lelaki itu jelas kedengaran berat.

         Pengerusi Jung melihat wajah isteri dan bakal menantunya silih berganti sebelum dia meraup wajah. Lelaki itu menapak berdekatan katil Yu Hho. Wajah lesu anaknya ditatap sebelum dia mula berbicara.

         “ Doktor kata, ada kemungkinan Yun Ho akan mengalami amnesia,” tutur Pengerusi Jung perlahan namun itu sudah cukup untuk sampai ke telinga Hye Sun dan Puan Jung.

         “ Di… dia akan lupakan kita?” tanya Hye Sun perlahan. Dia cuba menahan air mata daripada mengalir keluar. Pengerusi Jung mengeluh.

         “ Belum tahu lagi. Kita akan tunggu sehingga Yun Ho sedar daripada koma.”

         Hye Sun mengangguk. Dia menoleh pada wajah jelita Puan Jung walau sudah dimamah usia.

         “ Saya nak keluar sebentar, nak telefon papa,” pinta Hye Sun. Puan Jung mengangguk. Hye Sun mengambil tas tangan yang diletakkan di atas meja di sebelah katil dan berjalan keluar daripada bilik itu. Telefon bimbit dicapai.

         “ Helo, papa?”


HYE SUN berhenti melangkah. Telefon bimbit dibawa ke sisi. Wajah lelaki itu dipandang tanpa sebarang perasaan. Hanya kenangan lalu yang menerjah minda. Dong Wook mempercepatkan langkah ke arah gadis itu. Wajahnya gusar.

         “ Macam mana dengan Yun Ho?” tanya Dong Wook.

         “ Masih koma dan doktor kata... dia mungkin akan mengalami amnesia,” jelas Hye Sun. Dong Wook mengangguk. Dia menggamit Hye Sun duduk di kerusi taman. Hye Sun menurut sahaja walaupun dia kekok apabila berdampingan dengan lelaki itu.

         “ Awak… menyesal?”

         Hye Sun tersentak. Dia mengangguk perlahan. Wajah Dong Wook langsung tidak dipandang. Matanya jatuh ke rumput yang menghijau. Kedengaran keluhan Dong Wook terhembus.

         “ Saya tak patut panggil dia ke sana, kalau tak... perkara takkan jadi macam ni,” kata Hye Sun tersekat-sekat.

         Dia masih ingat, pada pagi semalam dia meminta Yun Ho datang ke rumahnya. Hye Sun mahu membawa Yun Ho menemani dia bertemu dengan rakan-rakannya. Yun Ho bersetuju tanpa sebarang soal jawab. Itulah yang mengejutkan dia. Jarang bagi lelaki itu untuk memenuhi kemahuan dia tanpa sebarang pertelingkahan. Hubungan dia dengan Yun Ho sendiri bukannya baik.

         “ Perkara yang nak berlaku, kita tak boleh halang,” pujuk Dong Wook. Dia sudah lama berkawan dengan Yun Ho, semenjak zaman persekolahan lagi.

         “ Tapi, kalau saya tak…”

         Dong Wook merenung wajah itu. Kata-kata Hye Sun mati di situ juga.

         “ Awak doakan saja agar dia selamat. Kalau awak menangis sehingga air mata darah sekalipun, kemalangan tu dah berlaku. Tak ada apa yang boleh awak buat,” kata Dong Wook lagi. Hye Sun terpaksa mengangguk. Dong Wook bangun daripada duduknya.

         “ Saya nak pergi melawat dia. Boleh tunjukkan mana wad Yun Ho?”

         Hye Sun turut bangun. Tanpa sebarang ucapan, dia berjalan lalu diekori Dong Wook. Mereka berdua hanya mendiamkan diri. Hye Sun kenal siapa Yun Ho dan siapa Dong Wook. Yun Ho sering bertelingkah dengannya semata-mata pertunangan mereka yang datang daripada cadangan ibu bapa Yun Ho manakala Dong Wook pula seorang teman yang baik.

         Pertunangan antara mereka berdua merupakan persetujuan antara kedua-dua belah keluarga. Pengerusi Jung yang mencadangkan dan Pengerusi Min hanya bersetuju, sementelah lagi mereka berdua merupakan sahabat baik sejak sekian lama. Pada mulanya Hye Sun terkejut namun dia hanya menurut kehendak bapanya. Tambahan lagi, dia sememangnya menyimpan perasaan pada Yun Ho.

         Berlainan pula dengan Yun Ho. Lelaki itu tidak bersetuju namun tiada bantahan keras yang dilakukan. Itu merupakan perkara yang menghairankan Hye Sun. Yun Ho tidak bersetuju namun lelaki itu tidak membantah. Sepanjang pertunangan mereka, Hye Sun hanya bersabar melayan kerenah lelaki itu.

         “ Dong Wook?”

         Lamunan Hye Sun berkecai. Puan Jung sedang berdiri di hadapannya dan sedang melihat pada Dong Wook. Dia langsung tidak sedar dia sudah selamat sampai di hadapan pintu wad itu.

         “ Apa khabar, mak cik?” sapa Dong Wook. Puan Jung mengangguk. Senyuman mekar di bibir.

         “ Lama kita tak jumpa, sejak kamu ke Amerika,” kata Puan Jung. Dong Wook mengangguk.

         Mereka bertiga masuk ke dalam wad. Pengerusi Jung sudah tiada. Barangkali sudah kembali ke pejabat. Hanya Yun Ho sahaja yang berada di dalam. Masih lagi terbaring tidak sedarkan diri.

         “ Teruk sangat ke mak cik?” Dong Wook melontarkan soalan walaupun dia sudah keadaan yang sebenar. Puan Jung tersenyum lemah.

         “ Doktor tak boleh jamin jika dia terkena amnesia.”

         Dong Wook mengangguk. Hye Sun duduk di birai katil. Matanya lekat pada wajah Yun Ho. Lelaki yang sering menyakiti hatinya.

         “ Hye Sun, mak cik rasa lebih baik kalau kamu pulang dulu. Dah berapa jam kamu di sini. Balik berehat, ya?” kata Puan Jung. Hye Sun menggeleng perlahan. Bibirnya tersenyum kecil.

         “ Tak apalah, mak cik. Saya okey je,” kata Hye Sun. Puan Jung mendekati gadis itu. Sebelah bahu Hye Sun diusap perlahan.

         “ Baliklah dulu. Mak cik tak nak kamu pula yang sakit. Kalau kamu nak datang lepas kamu berehat, mak cik takkan halang kamu,” pujuk Puan Jung lagi.

         Hye Sun mendiamkan diri. Dia melihat pada jam di dinding. Sudah lebih daripada tiga jam dia berada di sini, tidak terasa waktu sudah lama berlalu. Hye Sun serba salah. Adakah dia patut mengikut nasihat wanita itu atau terus kekal di sini?

         “ Betul kata Mak Cik Young Ran. Lebih baik awak pulang berehat dulu. Kalau awak nak, saya boleh tolong hantarkan,” celah Dong Wook.

         Wajah Puan Jung dan Dong Wook dilihat silih berganti. Lama kemudian, Hye Sun mengangguk. Nak tak nak, terpaksalah dia mengikut sahaja nasihat Puan Jung.

         “ Baiklah,” katanya perlahan.

         “ Awak nak saya hantarkan?” pelawa Dong Wook sekali lagi namun Hye Sun menggeleng.

         “ Tak apa. Saya boleh pulang sendiri. Awak temanlah Mak Cik Young Ran di sini,” kata Hye Sun dengan senyuman hambar. Dong Wook mengangguk.

         Puan Jung memeluk bakal menantunya itu. Belakang Hye Sun digosok perlahan. Wanita itu mengeluh.

         “ Mak cik tahu kamu sayangkan Yun Ho tapi fikirkan juga kesihatan kamu, ya?” kata Puan Jung. Hye Sun mengangguk sekilas. Pelukan Puan Jung dilepaskan secara perlahan-lahan.

         “ Saya tahu. Mak cik jangan bimbang. Saya pulang dulu.”

         Wad itu ditinggalkan dengan perasaan sayu di hati. Hye Sun menekup mulut dengan sebelah tangan. Air mata yang ditahan sejak sekian lama akhirnya mengalir keluar.  


TERGESA-GESA sahaja langkah Hye Sun memasuki bangunan hospital. Di rumah tadi, dia mendapat panggilan daripada Puan Jung. Menurut wanita itu, Yun Ho sudah sedar. Mendengar sahaja kata-kata Puan Jung, kelam kabut dia menyiapkan diri. Dia mahu segera berada di hospital.

         Pintu wad dibuka. Pengerusi Jung dan isteri serta seorang doktor dan jururawat sudah berada di dalam wad itu. Hye Sun menarik nafas. Seperti kelmarin, doktor sedang menukar balutan di kepala Yun Ho.

         “ Mak cik,” panggil Hye Sun perlahan. Puan Jung menoleh.

         “ Hye Sun.”

         Hye Sun berdiri berdampingan dengan wanita itu. Wajahnya jelas menunjukkan kerisauan yang sedang melanda dirinya saat ini. Puan Jung mencapai jemari gadis itu lalu diusap perlahan.

         “ Yun Ho tak apa-apa. Dia baru je sedar dan doktor tak benarkan kami ganggu dia. Kami berdua pun baru je masuk wad, tak sempat lagi nak sapa Yun Ho,” kata Puan Jung. Hye Sun mengangguk. Bunyi pintu dikuak menarik perhatian mereka.

         Dong Wook muncul di muka pintu. Tanpa sebarang bunyi dia masuk di ke dalam wad. Dia mengambil tempat di sisi Puan Jung. Puan Jung memerhati wajah anak muda itu.

         “ Menyusahkan kamu datang ke sini pula,” kata wanita itu. Dong Wook mengukir senyum lantas menggeleng.

         “ Tak ada apa-apa. Lagipun, saya tak sibuk kat pejabat,” jelas Dong Wook. Puan Jung tersenyum sebelum kembali melihat pada anaknya.

         Doktor itu berbicara seketika dengan Pengerusi Jung. Pengerusi Jung hanya mengangguk sahaja. Seketika kemudian, doktor itu keluar dari wad itu bersama jururawat tadi. Mereka berempat mendekati Yun Ho.

         “ Yunho, kamu tak apa-apa?” tanya Puan Jung risau. Dia duduk di birai katil, lurus pandangannya ke arah anak lelakinya itu. Yun Ho kelihatan kebingungan.

         “ Kamu kenal siapa kami?” tanya Pengerusi Jung pula.

         Yun Ho mengangkat wajah. Satu persatu wajah itu diperhatikannya.

         “ Mak… ayah… Dong Wook…” kata-katanya mati ketika dia merenung Hye Sun. Hye Sun tergamam. Telunjuk Yun Ho menghala ke arahnya.

         “ Awak siapa?”

         Pertanyaan itu merentap tangkai hati Hye Sun. Lidahnya kelu untuk berkata-kata. Yang lain-lain turut terkejut. Puan Jung meraih jari-jemari anaknya itu. Mukanya pucat.

         “ Kamu tak ingat Hye Sun?” tanya Puan Jung tidak percaya. Yun Ho mendiamkan diri. Matanya masih melekat pada wajah Hye Sun yang kekal dengan riak terkejut.

         “ Nama awak… Hye Sun?” tanya Yun Ho perlahan.

         Hye Sun mendiamkan diri. Nada pertuturan Yun Ho sudah berubah. Jika dahulu, dia akan membahasakan diri ‘ aku’, ‘kau’ apabila berbicara dengan Hye Sun namun kini... lelaki itu lebih bersopan. Hye Sun menggelengkan kepala perlahan.

         “ Awak... Hye Sun?” tanya Yun Ho sekali lagi.

         Pengerusi Jung mengeluh. “ Dia ingat kita semua, tapi dia lupakan Hye Sun.”

         “ Apa kata doktor, pak cik?” celah Dong Wook.

         “ Gegaran di otak Yun Ho terlalu kuat. Doktor kata, jika dia hanya lupakan satu dua perkara sahaja sudah cukup baik untuk kita lega. Tapi, pak cik tak sangka pula dia akan lupakan Hye Sun,” kata Pengerusi Jung. Puan Jung mengeluh.

         “ Yun Ho, Hye Sun tunang kamu,” kata Puan Jung perlahan.
 
         “ Tunang?”

         Yun Ho terkejut. Gadis yang sedang berdiri di hadapannya kini merupakan tunangnya?

         “ Kamu kemalangan beberapa hari lalu. Doktor kata, dia hilang ingatan,” kata Pengerusi Jung.

         “ Tapi, saya ingat pada ayah, mak. Dong Wook juga,” kata Yun Ho lagi. Pengerusi Jung mengangguk.

         “ Ayah tahu, tapi gegaran di otak kamu terlalu kuat. Sedikit sebanyak ingatan kamu akan terganggu,” jelas Pengerusi Jung. Yun Ho terdiam. Dia melihat pada Hye Sun.

         “ Maaf…”

         Hye Sun mengangguk. Setitik air matanya gugur jua.


하나

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...