
AUNI merenung lama pada sebentuk cincin
yang tersarung di jari. Dia senyum sendirian. Tidak percaya rasanya bahawa dia
sudah bergelar tunangan Najwan. Hanya menunggu hari untuk akad nikah sahaja
yang akan berlangsung dalam masa beberapa hari sahaja lagi sebelum dia sah
bergelar isteri Najwan.
Pap!
Pantas Auni mengangkat muka. Berubah
air mukanya apabila melihat Najwan yang sedang tercegat di hadapannya. Kedua-dua
tapak tangan Najwan rapat dek menepuk betul-betul di hadapan wajah Auni. Auni
sengih malu. Cepat-cepat dia bangun daripada duduknya. Tawa Najwan mula menyapa
telinga.
“ Kalau ya tak sabar pun, janganlah
asyik tenung aje cincin tu,” usik Najwan.
Auni mencebik. “ Mana ada! Yang awak
sampai lambat ni siapa suruh? Dah, pegang beg saya.”
Auni sengaja berbuat demikian semata-mata mahu mengelakkan
Najwan terus mengetawakannya. Dia mengekalkan riak wajah tegasnya. Nanti tak
adalah usikan Najwan yang berterusan kerana kantoi asyik merenung pada cincin
pertunangannya itu.
Auni segera meninggalkan Najwan di
belakang. Najwan yang masih tertawa, hanya menurut sahaja apa yang gadis itu
arahkan. Tote bag dan laptop beg dicapai dari atas meja
sebelum dia berlari mengejar Auni yang sudah menunggu di hadapan lif.
Rutin kerja Auni berubah selepas
bergelar tunangan Najwan. Dia tidak akan terus pulang walau waktu kerjanya
sudah tamat sebaliknya dia akan menunggu di dalam pejabatnya. Semua itu idea
Najwan yang mengatakan ianya demi keselamatan tunang tersayang.
Najwan
akan muncul dan mereka akan pulang bersama-sama. Sama seperti ketika mereka ke
Mid Valley tempoh hari, lelaki itu akan memandu keretanya dan mengekori Swift
Auni dari belakang. Auni tidak berkata apa-apa, sebaliknya dia berasa selamat
berada di samping lelaki itu. Sekurang-kurangnya Najwan pandai menjaga dirinya.
“ Marah ke?” tanya Najwan mengusik.
Auni memasamkan muka. Sengaja mahu membuat Najwan gelabah. Lelaki itu senang
benar gelabah jika dia menunjukkan perilaku mahu merajuk.
“ Nini?”
Auni mendiamkan diri. Seolah-olah
tidak mendengar apa yang dikatakan oleh lelaki itu. Tepat seperti sangkaannya,
lelaki itu sudah mula cemas. Dia dapat mengesannya daripada nada percakapan
lelaki itu.
“ Awak marah sangat-sangat ke? Saya
usik aje tadi,” kata Najwan. Nadanya sudah berubah. Auni di sisi direnung
cemas.
Auni masih tidak berkata apa-apa kerana
dia sedang menahan diri daripada ketawa. Dia melangkah masuk ke dalam lif
diekori oleh Najwan. Bangunan pejabatnya hampir kosong. Kawan-kawan
sepejabatnya sudah ramai yang pulang ke rumah masing-masing. Adda juga sudah
lama pulang.
“ Nini?” seru Najwan lagi. Dia mula
garu kepala. Merajuk ke? Ala…
“ Saya minta maaf. Saya nak bergurau
aje…” Mata Najwan merenung pada wajah masam Auni. Dia membuat mimik muka
kasihan.
Auni mengerling sekilas pada Najwan
di sebelah. Matanya jatuh pada tote bag
di bahu kanan lelaki itu dan laptop beg
di kedua-dua bahu Najwan. Sengaja dia mahu mendera lelaki itu dengan membawa
kedua-dua begnya.
Biasanya
Najwan akan menolong dia membawa laptop
beg sahaja, tote bag pula dia
akan bawa sendiri. Bukannya berat pun tote
bag itu. Tidak sama dengan laptop beg
yang beratnya melebihi 2 kilogram jika diisi bersama-sama laptopnya.
“ Nini…” panggil Najwan lagi dan kali
ini Auni tidak lagi dapat menahan gelak. Dia menekup mulutnya. Muka Najwan
berubah bingung.
“ Kenapa…”
Auni tenung pada muka Najwan yang
jelas-jelas bingung dengan situasi yang berlaku. Dia senyum segaris. “ Saya tak
marah pun. Saja nak usik awak,” jawab Auni mudah.
Muka Auni yang masih sedang tersenyum
kepadanya ditatap tidak percaya. Perlahan-lahan senyumannya meleret. Kepalanya
digeleng perlahan. Najwan menarik nafas lega.
“ Buat cemas orang aje dia ni,”
rungut Najwan. Auni ketawa lagi.
“ Asyik saya aje yang kena usik, nak
juga rasa macam mana usik awak,” balas Auni membela diri. Najwan tersengih. Beg
yang memberat di bahu seakan tidak terasa beratnya apabila melihat Auni tertawa
kembali.
“ Rasa apa? Masam? Manis? Pahit?”
tanya Najwan dengan riak muka selamba. Auni menjuihkan bibir.
“ Taklah. Rasa pedas,” jawab Auni
mudah. Najwan pula yang ketawa. Leganya hati apabila mendapat tahu Auni
hanyalah bergurau sahaja. Naya dia jika gadis itu benar-benar merajuk.
Pintu Swift dibuka. Kedua-dua begnya
diletakkan oleh Najwan di tempat duduk di sebelah pemandu. Lelaki itu beralih
pada Prius yang diparkir tidak jauh daripada kereta Auni. Enjin dihidupkan.
Swift bergerak meninggal ruang parkir
kereta bawah tanah itu, disusuli Prius dari belakang. Sesekali Auni akan
melihat pada cermin sisi kereta. Jelas di matanya Najwan sedang tersenyum
merenungnya. Tak takut langgar kereta orang ke dia ni?
Auni tersenyum sendirian. Dia
langsung tidak menyangka hubungannya dengan Najwan akan lancar sebegini. Dia
menerima Najwan seadanya dan lelaki itu turut menerima kebaikan dan kelemahan
yang ada pada dirinya. Siapa sangka dia akan bertemu jodoh dengan pilihan
keluarganya sendiri. Mereka berdua hanya menunggu saat sahaja untuk
diijabkabulkan. Auni cuma mengharapkan pilihannya tidak salah.
Walaupun hanya tinggal beberapa hari sahaja lagi sebelum
upacara akad nikah mereka, namun kedua-duanya tidak mahu mengambil cuti. Apatah
lagi mummy dan ummi awal-awal lagi
sudah berpesan jangan nak sibuk-sibuk. Biar keluarga aje yang uruskan.
Apabila mummy dan
ummi sama-sama bergabung tenaga, memang mustahillah untuk Auni dan Najwan
berkata tidak.
IKATAN tali leher dilonggarkan. Najwan
masuk ke ruang tamu. Seperti biasa, E-jat akan berlari-lari mendapatkan dia
sebaik sahaja menjejakkan kaki ke rumah selepas pulang dari pejabat. Mummy menyusuli E-jat dari belakang.
“ Lambat kamu pulang? Hantar Auni
macam biasa ke?” tanya mummy. Najwan
tersengih. Dia mengangguk mengiakan.
“ Baguslah kalau macam tu.
Sekurang-kurangnya bolehlah kamu tengok-tengokkan Auni tu. Dua tiga hari lagi
dah nak kahwin,” kata mummy. Najwan
mengangguk lagi.
Sebenarnya saat Najwan memberitahu
dia akan menghantar Auni pulang selepas tamat waktu kerjanya, mummy membantah keras cadangannya itu. Mummy kata tidak elok pasangan yang
bakal berkahwin bertemu dengan kerap. Selepas dipujuk berulang kali dan
disokong oleh baba, barulah mummy
bersetuju. Rahsia dia menyamar sebagai jurugambar pada hari pertunangan itu pun
masih tidak terbongkar. Baba memang pandai menyimpan rahsia.
Najwan mendukung E-jat di sebelah
tangan manakala tangannya yang sebelah lagi memegang beg bimbitnya. Mereka
berdua naik ke tingkat atas. Mummy
pula mengatur langkah ke dapur.
“ Papa, bila papa nak kahwin? E-jat
tak sabar nak dapat mama,” tanya E-jat petah. Dia berlari naik ke atas katil
Najwan selepas diturunkan di hadapan pintu. Najwan tersengih.
“ E-jat memang nak mama ke?” tanya
Najwan. Tuala yang tersangkut dicapai. Dia mahu membersihkan diri terlebih
dahulu sebelum mengerjakan solat Asar. Barulah dia boleh menunaikan solat
dengan khusyuk.
E-jat mengangguk laju. Tertawa Najwan
melihat lagak anak buahnya itu. Dia melangkah ke katil lalu duduk di sisi
E-jat. Kepala E-jat diusap perlahan.
“ E-jat akan dapat mama tak lama
lagi. Tinggal beberapa hari aje lagi,” kata Najwan.
E-jat
tersenyum. Tak sabarnya nak dapat mama! Sudah terbayang dalam fikirannya apa
yang akan dilakukan sekiranya dia sudah punya mama nanti.
PELENGKAP HIDUPKU berlagu daripada Corby
yang tergeletak di atas katil. Bergegas Auni mendapatkan telefon bimbitnya.
Nama Adda tertera di skrin. Butang hijau ditekan. Salam dihulurkan.
“ Auni!!!”
Berkerut muka Auni mendengar lontaran
vokal Adda yang lantang. Apa yang tak kena lagi ni? Kena sampuk ke atau apa
nie?
“ Kenapa dengan kau ni? Menjerit aje
kau tahu,” rungut Auni. Hamtaro yang terletak di atas katil dicapai lantas
dipeluk. Auni membetulkan duduknya untuk memberi keselesaan kepadanya.
Adda gelak perlahan. “ Saja, nak usik
kau. Lepas ni dah tak bolehlah aku usik kau macam ni. Yalah, dah ada suamilah
katakan,” kata Adda. Auni mencebik.
“ Kau ni… buat aku serba salah nak
kahwin aje,” kata Auni sebal. Adda ketawa lagi.
“ Tak ada maknanya! Yang aku nak, kau
selamat jadi isteri Najwan hari Jumaat ni, you
got it? Kalau tak, memang aku akan paksa kau kahwin dengan sesiapa pun.”
kata Adda. Auni tersengih.
“ Yalah! Yalah!”
Sepi seketika. Mata Auni meliar pada
langit malam yang terbentang luas di hadapan tingkap biliknya. Dia menggigit
bibir.
“ Adda…” panggil Auni perlahan.
Hamtaro dipeluk semakin erat.
“ Ya?” jawab Adda mendayu. Kenapa aku
rasa sayu semacam aje ni? Hailoh… hailoh…
Auni tarik senyum. “ Memang aku
doakan kau jumpa jodoh kat majlis kahwin akulah. Atuk yang dah bongkok pun tak
apa asalkan aku boleh tengok kau kahwin tahun depan.”
“ Hampeh
betul kau ni!”
Mereka berdua sama-sama tergelak.
Namun kening Auni berkerut apabila mendengar keluhan Adda pula.
“ Kenapa ni?” tanya Auni perlahan,
bimbang ada sesuatu yang membuatkan Adda mengeluh sedemikian rupa. Adda
mengeluh lagi.
“ Kalau kau dah kahwin, payahlah nak
ajak kau keluar macam biasa, sleepover
kat rumah aku,” luah Adda. Auni menarik senyum nipis. Sangkanya besar sangat
apa yang sedang dirisaukan oleh Adda itu.
“ Kau janganlah risau. Aku tengok Naj
tu bukannya jenis control bini. Kalau
gaya dia kena control dengan aku tu
adalah,” ucap Auni berseloroh. Adda tertawa perlahan.
“ Memang malanglah dia dapat kau jadi
bini dia. Bukan dia yang control kau,
tapi kau yang control dia.” Adda
gelak lagi. Auni pula sengih jahat. Dia menyeringai. Lantas, Auni pula yang
tertawa.
“ Aku tak adalah jahat macam tu.
Alah, kau jangan bimbanglah. Kita boleh keluar macam biasa lagilah,” ucap Auni
lagi. Gelak Adda di hujung talian meredakan kebimbangan dia terhadap gadis itu.
“ Kau doakan aku jumpa jodoh kat
majlis nikah kaulah nanti,” kata Adda selamba. Auni membulatkan matanya.
“ Aku doakan kau nikah sekali dengan akulah.
Habis cerita,” balas Auni.
“ Yalah…” kata Adda mendayu. Auni
tergelak lagi. Dia menggelengkan kepalanya perlahan.
Usai berbual dengan Adda, Auni terus berbaring di atas
katil. Namun sekali lagi Corby berlagu. Kali ini mesej pula yang masuk. Pantas
Auni mencapai Corbynya. Nombor yang tidak dikenali tertera pada skrin Corby.
Salam, Auni. Can we
meet? For the last time? Please? – Kimi
Auni tercengang. Tiba-tiba sahaja Hakimi muncul kembali dalam
hidupnya selepas peristiwa di hadapan firma arkitek Adam itu terjadi. Auni
langsung tidak ambil peduli akan apa yang terjadi selepas hari itu. Apa yang
dia tahu, dia lega kerana sejak hari itu Hakimi sudah tidak muncul lagi di
hadapannya. Namun, tiba-tiba sahaja dia mendapat mesej daripada Hakimi pada
malam ini.
Mesej itu
dibaca lagi. Auni mengetap bibir. Tidak pasti apa yang perlu dilakukan olehnya.
Menerima pelawaan itu atau tidak? Dia tidak mahu mengundang masalah lagi dalam
hidupnya.
Apa patut aku buat ni?
Pantas Auni membuka Contact. Nombor Najwan dicari lantas
didail. Lama dia menunggu sebelum panggilannya diangkat.
“ Assalamualaikum…”