Ai no Kotoba

Colours make your life beautiful, melody makes your life rhythm and harmony makes your life a life - Hana

Semua karya dalam blog ini hak cipta terpelihara penulis. Anda tidak dibenarkan menciplak, me-copy, memplagiat atau with every means to copy it atau mengaku karya itu anda punya.
Semua karya tidak mempunyai kaitan dengan yang hidup mahupun yang sudah meninggal dunia.
Selamat membaca. Peace!

Watashi no Tomodachi :D

Entri Terbaru! Tengok Sini!

Tuesday, May 7, 2013

464 Untuk Nini Bab 5



SEDIKIT demi sedikit E-jat atur langkah ke sekeliling rumah. Mana papa ni? Bosannya!

            Mata E-jat meliar ke sekeliling ruang tamu mencari Najwan. Dia baru sahaja bangun daripada tidur di dalam bilik Najwan tadi. Tadi E-jat dan Najwan sama-sama tidur selepas selesai menunaikan solat Zohor. Sedar-sedar sahaja, papa kesayangannya itu sudah tiada di sebelah.

            Mana papa ni? Che Su pun tak ada.

            E-jat berlari ke ruang rumah. Dia tersenyum gembira apabila menemui Najwan di kolam renang.

E-jat dah berlari-lari mendapatkan Najwan yang sedang enak bersantai di hadapan kolam renang. Leher Najwan dipeluk dari belakang. Najwan hanya gelak sahaja sebelum memeluk E-jat.

          “ Kenapa ganggu papa ni? Dah puas tidur?” tanya Najwan bergurau. E-jat tarik sengih.

          “ E-jat dah puas tidur. E-jat cari papa, tak ada. Che Su pun tak ada. E-jat tak tahu nak buat apa ni ,” jelas E-jat. Najwan tersenyum. Rambut E-jat digosok perlahan.

Che Su. Gelaran lain buat Nawal selain daripada Mama Nawal oleh E-jat. Kadang-kadang E-jat akan memanggil Nawal dengan panggilan Che Su, kadang-kadang pula gelaran Mama Nawal pula yang digunakan.

          “ Che Su pergi jumpa tunang dia. Kan lepas raya nanti Che Su dah nak kahwin?” kata Najwan. E-jat hanya mengangguk.

          Haru betul kau ni, Naj. Adik dah nak kahwin, kau pulak takde sorang pun anak dara yang sangkut? Takkan nak jadi bujang lapok kot? Mengingatkan Nawal yang akan bergelar isteri orang tak lama lagi boleh membuatkan dia tidak sedap duduk. Apatah lagi dengan mummy yang saban hari berleter menyuruh dia kahwin cepat.

          Takkan mummy nak Naj tangkap muat aje calon isteri Naj?

          “ Papa!”

          Serta merta lamunan Najwan terhenti. Wajah E-jat direnung.

          “ Kenapa?” tanyanya dengan senyum di bibir. Pipi comel E-jat dicubit-cubit.

          E-jat koyak sengih. “ Papa pulak bila nak kahwin?”

          Senyuman Najwan terus mati. Tiba-tiba sahaja E-jat mengeluarkan soalan yang tidak mampu dijawabnya. Cuba difikir baik-baik namun tidak tahulah kenapa, muka Auni juga yang terbayang diselangi dengan muka mummy ketika membebel kepadanya. Alahai…

          “ Kenapa? E-jat nak papa kahwin ke?” tanya Najwan. Pantas E-jat mengangguk. Tangan comelnya menarik kedua-dua belah pipi Najwan. Najwan hanya tersenyum.

          “ Kalau papa kahwin, E-jat akan ada mama. E-jat boleh main dengan mama, boleh tidur dengan mama, ajak mama jalan-jalan, kan? Betul tak, papa?” tanya E-jat ceria. Bersungguh benar E-jat bercerita mengenai mama barunya yang entah bila akan dia peroleh. Najwan mengangguk sahaja. Tangan E-jat ditarik daripada pipinya.

          “ Lepas tu… bolehlah mama marah kalau E-jat nakal-nakal!” E-jat ditarik lantas digeletek. Terkekeh-kekeh E-jat ketawa mahu melepaskan diri. Najwan pula masih galak menggeletek E-jat.

          “ Papa! Gelilah! Janganlah papa!” laung E-jat kuat. Najwan melepaskan tawa. E-jat dilepaskan. Laju sahaja E-jat menjauhkan diri daripadanya. E-jat berdiri bercekak pinggang. Najwan hanya ketawa melihat aksi itu.

          “ E-jat nak mama yang baik! Tak nak yang jahat macam papa! Wekkk!!!”

          E-jat menjelir lidah sebelum berlari masuk ke dalam rumah. Najwan menggelengkan kepala. Dia berbaring pada lantai. Ini kali pertama E-jat meminta seorang ‘mama’ daripadanya. Najwan risau jika E-jat sakit rindu akan Wawa. Dia mengeluh berat. Mungkin betul kata mummy selama ni, dia perlu mencari seorang ‘mama’ untuk E-jat.


KEPINGAN-KEPINGAN DVD di tangan Auni, Adda renung dengan mata yang bulat. Kadang-kadang matanya akan beralih pula pada dua keping DVD di tangannya. Muka Auni direnung tidak percaya. Auni buat selamba.

          “ Nani (apa)?” tanyanya seakan-akan tidak ada apa-apa yang berlaku. Adda sengih geram.

          “ Rasanya, kau cakap kau nak beli drama King Two Hearts aje, kan? Kenapa banyak sangat kat tangan kau tu?” tanya Adda. Auni renung DVD-DVD di tangan.

          “ Memanglah banyak kalau aku asyik tangguh aje nak beli sume ni,” balas Auni selamba lantas ke kaunter pembayaran. Adda tepuk dahi.

          Selesai sahaja urusan mereka membeli DVD, Adda terus tarik Auni ke ESPRIT. Memang butik kegemaran Adda. Kalau ke mana-mana dan nampak papan tanda ESPRIT, sanggup dia bersusah payah menarik sesiapa sahaja yang berada bersamanya untuk ke ESPRIT.

          “ Kau nak cari apa? Raya lambat lagilah,” rungut Auni. Adda laju menggeleng.

          “ Banyaklah kau punya raya lambat lagi. Lagi tiga minggu, tahu tak? Dah, jom ikut aku,” bantah Adda. Auni mengeluh. Matanya dijulingkan.

          Adda dah tertumpu pada deretan skirt denim di hadapannya. Auni hanya memerhati sahaja. Bukannya dia tidak berminat, tetapi dia tiada mood untuk membeli belah. Sekiranya dia mahu membeli belah, dia pasti akan menarik ummi bersama-samanya.

          “ Wei, citerlah pasal kau ke rumah kawan parents kau tu,” tanya Adda tanpa mengalih perhatian daripada skirt di tangannya. Kening Auni dah berkerut.

          “ Buat apa nak cerita kat kau?” tanya Auni selamba.

          “ Mana tahu ada apa-apa yang menarik ke. Citerlah!” gesa Adda. Auni termenung seketika. Lambat-lambat dia mengangguk.

          “ Rupa-rupanya klien yang aku jumpa kat Al-Azwar tu anak kawan parents aku. Al-Azwar tu syarikat bapak dia. Ummi dan walid sibuk dok puji bisnes bapak dia,” kata Auni. 

          “ Iya? Handsome tak anak dia?” tanya Adda teruja.

          “ Bolehlah. Aku tengok dia macam Mukai Osamu. Dia…” Kata-kata Auni mati di situ. Terkejut dia apabila Adda memaut kuat bahunya.

          “ Giler punya handsome! Kau tak berkenan ke?” tanya Adda kuat. Mahu sahaja Auni menampar mulut itu. Tak sedar kita kat mana ke? Kuat tangan Auni menolak Adda jauh daripadanya.

          “ Kau ni, padan-padanlah! Tak sedar ke kita kat mana ni Cik Adda oi?” rungut Auni. Mujur sahaja tika itu tidak ramai pelanggan di dalam ESPRIT. Jika tidak, tentu sahaja mereka menjadi tumpuan ramai. Adda sengih.

          “ He he, sorry…”

          Auni tepuk dahi. Apalah kawan aku sorang ni…

          “ Citerlah lagi. Aku tak sabar ni,” kata Adda lagi. Auni mengeluh.

          “ Malaslah. Baik kau cepat sebelum aku tinggal kau,” ugut Auni. Adda mencebik.

          “ Yalah, yalah. Tunggu jap, aku nak pergi bayar skirt ni,” kata Adda. Sebelum Adda siap membayar, awal-awal lagi Auni ke luar butik. Duduk seorang diri di luar, dia teringatkan malam dia berbuka puasa di rumah Najwan. Teringat masa Najwan menjadi imam. Macam terngiang-ngiang sahaja suara Najwan tatkala menjadi imam.

          Ish! Aku ni kena sawan ke apa? Mentang-mentanglah dia tu iras Mukai, aku boleh jadi weng camni? Bahaya, bahaya. Cepat-cepat dia menepuk dahi.

          “ Auni?”

          Auni toleh ke belakang. Adda sudah siap dengan urusannya.

          “ Pelik semacam aje aku tengok kau ni. Dah, jom. Jangan risaulah, aku takkan tarik kau ke mana-mana lagi,” kata Adda. Auni senyum lega.

          “ Yalah…”

            Auni terpaku di pintu masuk butik ESPRIT. Hakimi sedang berdiri betul-betul di hadapannya. Nafasnya terasa sesak. Redup lelaki itu merenung ke arahnya.

            “ Boleh kita bercakap?”


NAJWAN merenung sayu pada pusara di hadapannya. Batu nisan diusap perlahan. Dia mengukir senyum pahit. Lama dia merenung pusara itu. Al Fatihah disedekahkan buat arwah Wawa dan Fuad.

          “ Wawa, Along datang nak jenguk Wawa,” tutur Najwan sayu. Bagaikan terbayang sahaja wajah Najwa di hadapannya.

          “ Along tunaikan janji Along, I’m taking good care of E-jat. He’s a nice boy, a really nice boy, bertuah Wawa dan Fuad dapat anak macam E-jat,” sambung Najwan lagi.

          Dengan kemeja dengan slack masih bersarung di tubuh, Najwan terus ke kawasan perkuburan di mana arwah Najwa dan Fuad disemadikan. Sudah lama dia tidak menjenguk kubur adik kembarnya. Semuanya gara-gara E-jat semalam.

         
          “ Mummy! Daddy!”

          Kelam kabut Najwan meluru ke arah E-jat yang sudah mengigau sakan di atas katil. Buku yang dibacanya tadi dibiarkan sahaja terbuka di atas meja bacaan Tubuh kecil E-jat digoncang kuat. Najwan mula cemas.

          “ E-jat, bangun sayang. E-jat?” Cemas suara Najwan mengejutkan E-jat bangun. E-jat masih lagi mengigau. Tubuh kecil itu mula berpeluh walau dalam bilik berhawa dingin.

          “ Mummy! Daddy! E-jat nak ikut! E-jat nak ikut!!!” E-jat melalak lagi. Najwan sudah tidak tahu nak buat apa. Nasib baik mummy dan baba ikut masuk ke dalam bilik dek raungan E-jat yang kuat.

          “ Naj, kenapa ni?” Mummy pula yang cemas. Najwan hanya membisu. Direnung E-jat yang sudah dipeluk oleh mummy. Mata E-jat mula celik perlahan-lahan. Ada air mata yang mengalir di pipi mulus itu.

          “ Tuk mummy… E-jat nak ikut mummy dan daddy…”

          Najwan tergamam. Wajah sayu E-jat direnung lama. Dia mengetap bibir. Terasa tubuhnya menggigil perlahan tanpa musabab.

          “ Dah, sayang. Malam ni E-jat tidur dengan tok mummy dan tok baba ya? Nak?” tanya mummy lembut. Kepala E-jat diusap.

          E-jat menggeleng. “ E-jat nak tidur dengan papa. Boleh, papa?”

          Wajah Najwan direnung dengan sepasang mata yang masih lagi berair itu. Lambat-lambat Najwan mengangguk. Dia senyum tanpa gula. Wajah mummy dan baba direnung lama.

          “ Biarlah E-jat tidur dengan Naj. Mummy jangan risau,” kata Najwan perlahan. Mummy dan baba hanya mengangguk. Bahu E-jat digosok perlahan.

          “ Baiklah. Baba dan mummy masuk tidur dulu. Naj pun tidurlah sekarang, tak payah pedulikan dulu soal kerja. Jaga E-jat baik-baik,” pesan baba. Najwan hanya mengangguk lemah. Pintu ditutup rapat.

          “ Papa…” E-jat panggil perlahan. Najwan cuba ukir senyum. Dia bawa E-jat ke pelukannya.

          “ E-jat rindu mummy dan daddy…”

           Najwan hanya mengangguk. Dia kehilangan kata-kata.


          Najwan tersenyum hambar. Pedihnya hati ketika melihat wajah sayu E-jat yang merindui mummy dan daddy yang sudah pergi. Tambah-tambah lagi, ketika kanak-kanak lain sedang bergembira dengan ibu bapa masing-masing untuk menyambut Aidilfitri. E-jat masih terlalu kecil untuk merasai erti kehilangan orang tersayang.

          “ Along tak tahu nak pujuk E-jat macam mana. E-jat perlukan mummy dia, Wawa,” kata Najwan perlahan. Dia terhenti seketika. Ketulan tanah keras dihancurkan dengan tangan. Najwan mengeluh berat.

          “ E-jat dah minta Along beri dia mama. Mummy pun dah lama bising suruh Along kahwin. Tapi, ada ke mana-mana perempuan yang sudi jaga E-jat sekali? Along sayangkan E-jat macam anak Along sendiri,” kata Najwan lagi.

          Permintaan E-jat tempoh hari telah banyak kali membuatkan dia berfikir. Buruk baik jika dia beristeri. Najwan sedar E-jat perlukan kasih sayang seorang ibu, tetapi dia tidak yakin sama ada seorang gadis akan menerimanya dengan E-jat? Dia tidak pernah bercinta selama ini.

          “ Along tak tahu nak buat macam mana. Kalau Wawa dan Fuad ada lagi, tentu E-jat takkan jadi macam ni, kan? Tapi Along tahu, Allah lebih sayangkan kamu berdua, sebab tu kamu pergi dulu daripada kami.”

          Najwan bangun lantas meninggalkan tanah perkuburan itu. Wajahnya yang suram diraup berulang kali. Dia sudah rindu pada E-jat yang hanya berada di rumah. Kasihnya pada anak kecil itu sama seperti kasih seorang bapa kepada anak kandungnya.


“ AKAK ada hal nak cakap dengan Yam,” kata Puan Sofiah sejurus memberi salam. Ummi hanya mengangguk selepas menjawab salam wanita separuh abad itu.

          “ Akak nak cakap terus terang, akak dan Abang Man dah setuju sangat dengan apa yang kita bincangkan tempoh hari,” kata Puan Sofiah lagi. Ummi hanya tersenyum.

          “ Yam pun setuju, kak. Yam pun berkenan sangat dengan si Najwan tu. Tapi, betul ke si Najwan tu tak kisah? Kalau Auni, Yam rasa tak ada masalah,” kata ummi. Puan Sofiah hanya mengangguk.

          “ Najwan memang tak ada masalah. Dia serahkan semuanya pada akak. Lagipun, kan kita dah janji dulu yang kita nak berbesan?” kata Puan Sofiah lagi.

          “ Kalau boleh, Yam nak Najwan baik-baik dulu dengan Auni. Biarlah mereka kahwin atas dasar family pun tapi perasaan suka sama suka tu ada,” pinta ummi. Puan Sofiah tergelak.

          “ Tahulah akak nak buat macam mana,” kata Puan Sofiah bergurau. Ummi turut gelak sama.

          “ Macam mana kalau akak ajak Auni ke rumah akak lepas Yam bagitau pasal ni? Biar akak cakap baik-baik dengan dia,” kata Puan Sofiah lagi. Ummi mengangguk perlahan.

          “ Bagus jugak tu. Nanti Yam slow talk dengan Auni. Yam…”

          Ummi yang masih belum menghabiskan percakapannya terganggu dengan suara memberi salam dari luar. Ummi renung dari celah-celah langsir putih. Bulat mata ummi melihat luar. Auni!

          “ Auni dah balik. Insya-Allah malam ni Yam beritahu dia pasal ni. Akak pula cakaplah dengan Najwan, ya?”

          Ummi dapat lihat wajah Kak Sofinya di skrin laptop itu sedang mengangguk. Selepas memberi salam, terus laptop ditutup. Agak lama juga ummi dan Puan Sofiah buat video call di Skype hanya gara-gara rancangan nak menjodohkan Auni dan Najwan.

          “ Ummi buat apa depan laptop tu? Asyik betul adik tengok,” kata Auni. Tangan ummi dicapai lantas dikucup perlahan. Wajahnya yang kelihatan mendung sejak pertemuannya dengan Hakimi tadi cuba disorokkan daripada pengetahuan ummi.

Ummi hanya tersengih. Dia cuba mengawal riak wajahnya yang masih lagi terkejut dengan kepulangan Auni yang tidak disangka-sangka.

          “ Tak penting pun. Dahlah, baik adik pergi mandi. Lambat lagi nak berbuka ni. Ummi nak adik rehat dulu, ya?” kata ummi. Auni hanya mengangguk.

            Fuh! Nasib baik ummi tak perasan.

          Tote bag diletakkan di atas katil. Tudung dibuang lantas disangkut. Tanpa lengah-lengah lagi Auni terus baring di atas katil. Dia dah solat Asar di Mid Valley tadi. Letihnya!!!

Urghh!!!

          Matanya dipejamkan. Dia masih malas lagi untuk mandi. Tambah-tambah lagi lepas Asar. Makhruh, kan?

            Auni termenung panjang. Bibirnya digigit. Terasa nak lempang sahaja muka Hakimi tadi. Penjelasan sudah diberi dengan elok-elok tetapi lelaki itu tetap berdegil dengan keputusannya. Bayangan peristiwa tadi kembali menerjah minda.


HENING sahaja suasana antara mereka. Adda yang menemani Auni pula kelihatan serba salah. Mahu bertanya khabar Hakimi tetapi nampaknya tidak sesuai untuk masa sekarang.

            “ Apa yang awak nak cakap dengan saya?” soal Auni merendah.
         
            “ Auni, please. Dah lama saya cari awak, ekori awak. Boleh tak kita berbincang baik-baik?” Hakimi merayu.

            Bukannya dia tidak perasan dengan nada yang digunakan oleh Auni. Agak dingin berbanding kebiasaan jika mereka berdua berbicara. Sudah beberapa tahun mereka tidak bertemu dan Hakimi mengharapkan ada sinar untuknya bagi memulakan hubungan dengan Auni.

            “ Encik Hakimi Adnan, saya dah beritahu awak sebelum ni. Maybe lots of time before. Saya tak boleh terima awak. Saya cuma anggap awak sebagai kawan saya sahaja. Hanya K.A.W.A.N! I can’t accept this different side of you, boleh awak faham yang itu?”

            Jika bahasa yang elok dan sopan tidak dapat membuatkan Hakimi faham, mungkin sudah tiba masanya untuk dia menggunakan bahasa yang agak kasar. Berharap agar lelaki itu faham.

            “ Tapi kenapa? Kita tak mencuba lagi?” Hakimi juga tetap berkeras.

            Auni menggeleng. “ Sorry, I can’t accept it. Being in a relationship bukan sekadar nak mencuba aje. Ianya lebih bermakna daripada itu.”

            Hakimi menarik nafas. Cuba menenangkan diri. Tajam pandangan matanya pada wajah Auni.

            “ It’s not me yang awak cari, Kimi. Awak keliru sebenarnya. Awak yang tak sedar. Awak keliru dengan perasaan awak aje,” kata Auni. Nadanya perlahan tetapi berbaur tegas dan misteri.

            Kening Hakimi bercantum. Apa maksud Auni?

            “ What did you mean by that?”

            Auni tersenyum hambar. Rasanya tidak perlulah dia menerangkannya kepada Hakimi. Dia tidak mahu ada hati yang terluka kelak.

            “ Saya hantar rombongan meminang?”

            Kata-kata Hakimi mengejutkan Auni dan juga Adda yang sedari tadi hanya mendiamkan diri sahaja. Serius?

            “ Kalau awak nak, saya boleh hantar rombongan minggu depan juga.”

            “ Tak boleh!”

            Wajah Hakimi berkerut. Tidakkah Auni nampak keikhlasan hatinya?

            “ Kenapa?”

            “ Saya kata tak boleh, tak bolehlah! Susah ke untuk awak faham? Saya tak boleh terima awak!”

            Auni merasakan tangannya kini sedang menggeletar menahan kemarahan. Kenapa Hakimi tidak faham-faham lagi? Tolonglah! Jangan kusutkan keadaan lagi.

            “ Awak tentu ada alasan kan kenapa awak tak nak? Hak saya kalau saya tetap nak hantar rombongan meminang awak,” Hakimi berkeras.

            Auni mengetap bibir. Alasan apa yang aku nak bagi ni?

            “ Auni, saya…”

“ Saya dah nak bertunang. Percaya atau tidak, saya akan bertunang tak lama lagi. Jangan ganggu saya lagi,” kata Auni tegas.

            Hakimi dan Adda sama-sama terkejut. Pantas Auni menarik tangan Adda untuk meninggalkan Hakimi yang masih lagi terkedu.

            Dan dalam sepanjang perjalanan mereka keluar dari Mid Valley, Adda tidak habis-habis menyoal kebenaran kata-kata Auni mengenai berita pertunangannya itu. Auni terpaksa mendiamkan Adda dengan meminta Adda agar tidak membocorkan pembohongannya itu tadi. Ternyata itu hanyalah suatu pembohongan.


BODOH! Bodoh! Bodoh!

            Auni menepuk dahinya kuat. Kenapalah dia boleh menipu sehingga keterlaluan sebegitu. Siapalah yang nak masuk meminang dirinya dalam masa terdekat ini? Kalau tidak Hakimi tentu tidak akan berhenti menganggunya jika lelaki itu tahu bahawa Auni sudah menipunya.

            Tipulah jika Auni mengatakan hatinya tidak tersentuh saat Hakimi mengatakan dia akan menghantar rombongan meminangnya. Tetapi dia tidak sanggup mempertaruhkan masa depannya. Hanya kosong dan hambar sahaja yang dirasakan saat Hakimi mengungkapkan kata-kata puitis untuknya. Auni mahu percaya akan kata hatinya yang itu.

            “ Adik?”

            Kuakan pintu yang dibuka menarik perhatian Auni. Angah muncul di hadapannya.

            “ Angah, kenapa?”

            “ Kenapa apanya? Dah nak berbuka ni. Cepat turun,” kata Alin. Auni mengangguk lalu pantas turun daripada katilnya.

            Kerana terlalu lama memikirkan mengenai Hakimi, Auni langsung tidak menyedari bahawa waktu berbuka puasa sudah hampir tiba. Auni mengekori langkah Alin daripada belakang. Ummi dan walid sudah menunggu mereka di meja makan.



3 comments:

Ruunna Qizbal said...

smbng lagiii

Norhaizam Mustaffa said...

Dah habis baca bab 5. Menunggu bab 6 =D

tenku butang said...

hai yunk!! follow u 525

done follow/singgah sini.. jom follow/singgah blog teman.. heee.. http://tengkubutang.blogspot.com/

klu minat kucen leh follow blog ni jugak.. =)
http://kucenkucenbelog.blogspot.com/

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...