Ai no Kotoba

Colours make your life beautiful, melody makes your life rhythm and harmony makes your life a life - Hana

Semua karya dalam blog ini hak cipta terpelihara penulis. Anda tidak dibenarkan menciplak, me-copy, memplagiat atau with every means to copy it atau mengaku karya itu anda punya.
Semua karya tidak mempunyai kaitan dengan yang hidup mahupun yang sudah meninggal dunia.
Selamat membaca. Peace!

Watashi no Tomodachi :D

Entri Terbaru! Tengok Sini!

Saturday, June 19, 2010

Eternal 3

-->


SUASANA bilik yang hanya dilengkapi dengan satu set sofa berwarna hitam dan satu meja kecil itu tegang. Lebih kurang sepuluh orang lelaki yang lengkap bersut hitam berdiri mengelilingi bilik itu. Ada dua orang lelaki yang berada di tengah-tengah bilik. Takuji dan anak buahnya.

         Ringan tangan Takuji menampar kuat wajah lelaki di hadapannya. Kemarahannya benar-benar tidak boleh dibendung buat masa ini. Lelaki itu terjatuh di hadapannya dek tamparan Takuji yang kuat. Langkah Takuji mendekati lelaki itu. Wajahnya membengis.

         “ Beritahu aku macam mana hak pemilikan tu boleh jatuh ke tangan Ryuu? Bukan ke aku dah kata, lakukan apa saja yang Mathias arahkan asalkan hak pemilikan itu tetap menjadi milik kita! Apa yang kau dah buat? Cakaplah!” Bergema suara Takuji mendominasi ruang bilik itu. Boleh menimbulkan ketakutan pada sesiapa sahaja. Lelaki di hadapannya menggeletar kuat.

         “ Tuan, saya…”

         Satu sepakan yang kuat mengenai perut lelaki itu sebelum sempat dia habis berkata-kata. Suara lelaki itu yang kuat mengaduh kesakitan tidak dipedulikan. Takuji duduk bercangkung di hadapan Yoshi. Anak buahnya itu jelas kelihatan sedang menggigil ketakutan. Tajam renungan matanya menikam wajah Yoshi.

         “ Bu… bukan salah saya tuan muda! Saya dah lakukan apa saja yang Mathias arahkan tapi... tapi... Mathias yang ubah fikiran. Mathias kata Ryuu lebih layak untuk hak pemilikan tu!” tergesa-gesa Yoshi bersuara. Bayangan maut terasa semakin menghampiri.

         Takuji ketawa sinis. Semakin lama semakin membahak. Dia bangun dan berjalan ke arah pintu. Dia berhenti di sisi salah seorang anak buahnya. Dia melihat sekilas ke arah Yoshi sebelum kembali meluruskan pandangan ke hadapan.

         “ Uruskan manusia tu. Jiro tak perlukan orang yang lemah macam dia. Aku tak nak kotorkan tangan aku dengan membunuh anggota Jiro yang lemah,” kata Takuji perlahan namun sudah cukup untuk sampai ke pendengaran Yoshi. Tubuh Yoshi semakin menggeletar. Dia merangkak mendekati Takuji. Sebelah kaki ketuanya itu dipeluk erat.

         “ Tolonglah tuan, saya… saya akan dapatkan balik hak pemilikan tu. To... tolonglah... jangan bunuh saya,” rayu Yoshi. Dalam keadaan sekarang dia sudah tidak peduli jika ada orang lain melihatnya sebagai seorang yang lemah. Apa yang penting sekarang hanyalah nyawanya. Satu-satunya nyawanya itu boleh melayang pada bila-bila masa sahaja sekarang.

         “ Kau ingat aku akan percayakan kau? Kobun, uruskan dia. Aku nak tengok pedang yang kau gunakan tu berlumuran dengan darah dia. Faham?” Rayuan Yoshi tidak dihiraukan. Kobun Hajime mengangguk. Arahan Takuji tidak akan sesekali dipertikaikan. Buruk padahnya jika dia mengingkari arahan lelaki itu.

         Takuji berjalan keluar daripada bilik itu. Tidak lama kemudian, kedengaran suara seorang lelaki menjerit kuat sebelum beransur perlahan. Suasana kembali menjadi sepi. Takuji tersenyum sinis. Dia mengatur langkah ke pejabat bapanya.


SAKURA tersentak apabila mendengar bunyi pintu dibuka. Matanya dilarikan daripada saluran air itu. Segera dia berjalan keluar dari kawasan balkoni itu. Tidak lama kemudian, Ryuu muncul dengan beberapa beg plastik di tangan. Matanya singgah pada wajah Sakura.

         “ Kenapa kau keluar dari bilik?” tanpa nada suara itu bertanya. Sakura mula resah. Dia mengetap bibir. Ryuu mengeluh. Dia berjalan ke arah Sakura sebelum tangan kasarnya menarik tangan kecil gadis itu sebelum dibawa ke bilik Sakura. Sakura tergamam. Dia mendongak, melihat pada wajah dingin itu.

         “ Sudahlah, kau masuk balik dalam bilik kau. Lepas ni aku bawa makanan untuk kau,“ kata Ryuu. Sakura tidak berkata apa-apa. Terasa janggal dengan perilaku Ryuu yang seolah-olah menunjukkan bahawa lelaki itu... mengambil berat akan dirinya.

         Sakura didudukkan di atas katil sebelum Ryuu keluar menuju ke dapur. Tidak lama kemudian, lelaki itu kembali sambil menatang sedulang makanan. Ubat dan pembalut untuk luka juga ada. Siap disertakan dengan gunting lagi.

         Dulang itu diletakkan di atas meja kecil di sisi katil. Segelas minuman dihulurkan kepada Sakura.

         “ Minum dulu,” kata suara itu. Bukannya arahan, sebaliknya lebih kepada pujukan walaupun tiada nada dalam percakapan Ryuu. Sakura menyambut gelas itu sebelum meneguk sedikit.

         Semangkuk bubur ayam diserahkan pula. Sakura hanya menyambut tanpa sebarang bicara. Ryuu kekal di dalam biliknya, menunggu dia selesai makan. Mangkuk kembali diserahkan kepada Ryuu. Masih banyak yang berbaki.

         “ Dah kenyang?” tanya Ryuu. Hanya beberapa sudu bubur sahaja yang ditelan oleh gadis itu. Sakura mengangguk. Dia langsung tidak berani melihat pada wajah lelaki itu.

         Ryuu mengangguk. Mangkuk diletakkan di atas dulang sebelum berganti dengan gelas. Sedang Sakura meminum air, Ryuu pula sedang sibuk mengunting kain balutan tersebut. Tanpa sebarang kata, tangan Sakura yang berbalut ditarik. Sakura tergamam.

         “ Kau belum tukar lagi kain balutan ni,” kata Ryuu perlahan. Sakura mengangguk sahaja. Sesungguhnya dia tidak berani untuk berkata apa-apa.

         Cekap Ryuu merungkai pembalut di tangan gadis itu. Sakura hanya memerhatikan sahaja tingkah laku lelaki itu. Sepi menjengah antara mereka. Masing-masing tidak bersuara.

         Selesai sahaja membalut tangan gadis itu, Ryuu turun daripada katil dan duduk bersila di atas lantai. Dia membuka pembalut di kaki Sakura pula. Tersentak Sakura apabila melihat lelaki itu sanggup turun ke lantai semata-mata untuk membalut kakinya pula.

          “ Aku tak nak kau keluar daripada bilik ni sesuka hati. Kalau terjadi apa-apa masa aku tak ada, macam mana?” tegas Ryuu memberitahu. Sakura menggumam perlahan. Tiba-tiba sahaja dia terasa sakit ketika Ryuu menyapu ubat pada luka di kakinya. Air matanya menitis secara tiba-tiba. Ryuu mendongak apabila terasa ada air yang menitis pada tangannya.

          “ Sakura?”

          Sakura menggeleng perlahan. Pantas dia mengesat air matanya namun mutiara jernihnya masih gugur malah semakin lebat. Ryuu tergamam namun dia kembali meneruskan kerjanya. Berhati-hati dia menyapu ubat pada luka di kaki Sakura.

          “ Sa… kit…”

          Ryuu mendongak lagi bagi mencari wajah itu. Sakura tunduk ke bawah, menutup kedua-dua matanya dan mengetap bibir. Kedua-dua tangannya pula menutup telinga, mungkin untuk mengurangkan rasa ngilu di kakinya. Air mata gadis itu tidak berhenti mengalir.

          Ryuu menghentikan kerjanya buat seketika. Dia melihat pada luka di kaki kanan gadis itu. Luka itu agak dalam kerana serpihan kayu yang tajam telah menusuk masuk ke dalam kaki gadis itu. Nasib baik sahaja tiada serpihan-serpihan kecil yang tertinggal. Ryuu melabuhkan pandangan pada wajah gadis itu. Dia menarik kedua-dua tangan Sakura daripada menutup telinga. Sakura tersentak. Pantas dia membuka mata.

          “ Tak sakit, okey? Tahan sikit,” perlahan Ryuu menuturkan. Sakura terkelip-kelip. Dia mengangguk sekilas. Ryuu menarik nafas. Kali ini gerakannya lebih perlahan, bimbang akan menyakitkan gadis itu. Sesekali ada juga Sakura mengaduh kesakitan.

          “ Dah siap.” Tangan Ryuu ligat mengemas kesemua alatan yang dia gunakan. Pembalut luka, ubat, gunting. Kesemuanya diletakkan kembali di atas dulang.

          Ryuu bangun daripada duduknya. Baru sahaja dia ingin melangkah apabila merasakan hujung kot hitamnya ditarik daripada belakang. Ryuu menoleh. Terketar-ketar tangan Sakura memegang hujung kot Ryuu. Ryuu mengangkat kening.

          “ Awak… boleh lepaskan saya kalau saya dah sembuh?” tanya Sakura teragak-agak. Tidak perlu lama untuk dia menunggu jawapan lelaki itu. Sebaik sahaja soalan itu meluncur keluar daripada bibir mungilnya, dengan pantas Ryuu menggeleng.

          “ Aku tak boleh lepaskan kau. Walau apa pun yang berlaku, aku tak akan lepaskan kau. Aku dah beritahu kau sebabnya,” kata Ryuu tegas tanpa memandang wajah Sakura. Segera dia keluar dari bilik itu meninggalkan Sakura bersendirian. Dulang makanan juga ditinggalkan dengan begitu sahaja.

          Sakura tergamam. Dia melihat sahaja pada langkah Ryuu. Dia mengetap bibir. Sukarnya untuk berunding dengan lelaki itu. Dia melihat pada kaki dan tangannya yang telah dibalut dengan rapi. Sakitnya masih terasa jika dia menggerakkan tangan atau kaknya walau sudah berkurangan.

          Sakura mengeluh. Kali ini dia nekad. Jika susah benar ingin meminta Ryuu melepaskannya, dia sendiri yang akan melarikan diri. Namun, apabila difikirkan balik kata-kata Ryuu yang mengatakan dirinya diawasi oleh anak-anak buahnya membuatkan semangat Sakura luntur. Dia tidak pasti apa yang patut dilakukan olehnya.


RYUU menghentikan Skyline GTR hitamnya di hadapan sebuah rumah tradisonal Jepun. Dia keluar daripada kereta lalu pintu rumah Pak Cik Ukie itu diketuk perlahan. Tidak lama kemudian pintu dibuka. Seorang wanita yang kelihatan agak berusia keluar dari rumah itu.

          “ Tuan Ryuu, ada apa tuan?” tanya wanita itu. Ryuu mengangguk sekilas. Matanya dilarikan ke sekitar kawasan rumah binaan tradisional Jepun itu.

          “ Pak Cik Ukie ada?” tanya Ryuu. Pandangannya dikalih pada wajah isteri Pak Cik Ukie. Mak Cik Megumi mengangguk.

          “ Ada. Masuklah dulu tuan. Pak cik tengah mandi,” jawab Mak Cik Megumi. Ryuu mengangguk. Dia mengekori langkah wanita itu memasuki ruang tamu. Wanita itu meninggalkannya keseorangan di ruang tamu itu.

          Ryuu melihat keadaan sekelilingnya. Walaupun rumah itu sudah kelihatan lama namun binaannya masih teguh. Rumah itu bercirikan binaan rumah tradisional Jepun sepenuhnya. Matanya tertumpu pada kolam ikan kap di luar rumah. Ryuu menarik senyum tanpa sedar.

          “ Tuan Ryuu?”

          Pantas Ryuu menoleh. Senyumannya mati. Pak Cik Ukie masuk ke ruang tamu itu. Lelaki tua itu memberi tunduk hormat sebelum duduk di hadapan Ryuu. Ryuu hanya mengangguk. 

          “ Ada apa hal tuan ke mari? Penting sangat ke?” tanya Pak Cik Ukie sebaik sahaja dia melabuhkan duduk bertentangan dengan ketuanya yang muda berpuluh-puluh tahun daripadanya itu. Ryuu merenung ke hadapan. Pandangannya kosong tidak beriak. Dia mendiamkan diri.

           “ Tuan?” panggil Pak Cik Ukie. Tangannya digawangkan di hadapan Ryuu. Melihatkan lelaki itu tidak memberi sebarang reaksi, dia menepuk tangannya sekali tepat di hadapan wajah Ryuu. Ryuu tersentak. Dia merenung pada Pak Cik Ukie. Wajahnya jelas kelihatan kebingungan.

          “ Kenapa, tuan? Tuan ada masalah?” tanya Pak Cik Ukie. Jarang benar mahu melihat Ryuu termenung sedemikian. Seolah-olah lelaki itu dilanda masalah yang berat. Ryuu menekur pada lantai, langsung tidak menjawab pertanyaan Pak Cik Ukie. Lama dia berkeadaan sedemikan. Sabar Pak Cik Ukie menunggu bicara ketuanya itu.

          “ Saya… saya tak pasti apa yang patut saya buat,” kata Ryuu. Bicaranya perlahan. Mulutnya berbicara dengan Pak Cik Ukie tetapi fikirannya menerawang jauh. Ryuu teringat bagaimana wajah Sakura apabila dia mengatakan gadis itu tidak akan sesekali dilepaskannya. Sayu…

          “ Apa yang tuan tak pasti?” tanya Pak Cik Ukie. Dahinya berkerut. Ini kali pertama dia mendengar lelaki itu mengatakan bahawa dia ragu-ragu dalam tindakannya sedangkan selama ini Ryuu begitu yakin dengan setiap tindakannya. Langsung tiada perasaan ragu-ragu walaupun perkara yang dilakukan berisiko tinggi.

          Ryuu menggeleng. Tiada apa-apa yang perlu disembunyikan pada Pak Cik Ukie. Lelaki itu sememangnya boleh dipercayai tanpa sebarang perasaan ragu. Dia mengalih pandang ke kawasan luar. Ryuu bangun dan berjalan ke arah beranda luar. Dia melihat pada kolam ikan kap. Sememangnya rumah Pak Cik Ukie mempunyai unsur-unsur rumah tradisional Jepun yang sepenuhnya.

          Pak Cik Ukie masih duduk di tempatnya. Jauh pandangan Ryuu menebar ke luar. Lelaki itu menarik nafas. Ryuu menyebak rambutnya yang agak panjang ke belakang.

          “ Saya tak pasti sama ada saya patut lepaskan Sakura atau tidak. Saya boleh lepaskan dia dan tak hiraukan dia kalau dia dibunuh oleh kumpulan lain tapi… saya tak tahu. Saya rasa saya tak sanggup kalau saya… lepaskan dia,” kata Ryuu. Pak Cik Ukie tunduk menekur pada lantai. Dia faham apa yang dikatakan oleh Ryuu itu.

          Ryuu membesar dalam suasana yakuza. Ini kali pertama sepanjang hidupnya dia menemui seorang gadis. Mungkin pertemuan ini telah mengundang rasa aneh pada lelaki itu. Hanya itu yang dapat diandaikan oleh Pak Cik Ukie.

          “ Berkenaan dengan gadis itu, takkanlah tak ada orang yang membuat laporan orang hilang? Setakat ini, masih belum lagi ada berita seorang gadis hilang,” tutur Pak Cik Ukie. Ryuu menjungkit bahu.

          “ Saya pun hairan tapi perkara ini akan memudahkan kita. Sekurang-kurangnya kita tahu yang tiada pihak yang sedang mencari dia sekarang,” balas Ryuu. Pak Cik Ukie. Kata-kata Ryuu benar. Sekurang-kurangnya pihak polis tidak terlibat.

          Penglibatan pihak polis dalam urusan mereka akan mengundang padah namun mereka masih lagi boleh menarik nafas lega. Ada di kalangan anggota Yakuza Ryuu yang menyelinap masuk dan menyamar sebagai anggota polis di setiap cawangan jabatan polis yang besar. Malah, ada juga di antara anggota polis yang berpangkat tinggi diberikan rasuah dan gaji bulanan walaupun jumlah tali barut negara itu terlalu kecil. Wang boleh mengaburi mata sesiapa sahaja jika tidak dapat melawan nafsu yang tamakkan harta.

          “ Sekali kita melangkah masuk, sukar buat kita untuk berpatah balik,” tutur Pak Cik Ukie, kembali kepada topik asal mereka. Ryuu hanya mendiamkan diri. Dia mengakui kata-kata Pak Cik Ukie. Dia masih ingat, dahulu ada seorang lelaki yang tidak mahu terlibat dengan dunia yakuza lagi. Nyaris-nyaris bapanya ingin membunuh lelaki itu. Sesiapa yang mahu meninggalkan dunia yakuza perlu membayarnya dengan harga yang besar.

          “ Saya akan biarkan saja,” balas Ryuu. Dia berpaling menghadap Pak Cik Ukie. Pak Cik Ukie mengukir senyuman segaris. Lelaki tua itu mengangguk.
    
          “ Pak cik pun rasa itu tindakan yang baik.” Pak Cik Ukie tersenyum. Dalam maksud kata-katanya kali ini. Semoga apa yang diharapkannya berjalan dengan baik. Ryuu mengangguk. Dia kembali melontar pandangannya ke luar rumah. Angin sepoi-sepoi bahasa menyamankan suasana.


p/s: 2 weeks lagi new entry, kay? 

하나


3 comments:

Aoi said...

sweetnyer ryuu tu :)
x nmpak jahat sgt pon time dia balut kaki sakura
(^o^)

Hananorisa said...

sweet....
hehhehehe..

fallenmoon said...

Ryuu..anda sgt sweet ;)

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...