Ai no Kotoba

Colours make your life beautiful, melody makes your life rhythm and harmony makes your life a life - Hana

Semua karya dalam blog ini hak cipta terpelihara penulis. Anda tidak dibenarkan menciplak, me-copy, memplagiat atau with every means to copy it atau mengaku karya itu anda punya.
Semua karya tidak mempunyai kaitan dengan yang hidup mahupun yang sudah meninggal dunia.
Selamat membaca. Peace!

Watashi no Tomodachi :D

Entri Terbaru! Tengok Sini!

Monday, September 6, 2010

Eternal 8




SAKURA menghentikan langkah apabila melihat Ryuu keluar dari arah dapur. Dia tunduk ke bawah dan berjalan melepasi lelaki itu. Ryuu hanya membiarkan tanpa berkata apa-apa. Dia melihat gadis itu sedang menyiapkan sarapan di dapur. Akhirnya dia meneruskan langkah ke ruang tamu.

          Di dapur, Sakura berasa serba tidak kena. Dia mengetap bibir. Tangan yang pada asalnya ligat mengacau teh di dalam teko akhirnya berhenti. Dia melihat pada dasar teko itu. Mindanya mula menerawang memikirkan peristiwa yang terjadi semalam.

          Selepas kejadian dia ditemui kembali oleh Ryuu, Ryuu membawanya ke sebuah taman tasik. Malam itu mereka berdua menghabiskan masa di situ. Sama-sama membisu daripada sebarang bicara sambil menikmati pemandangan malam sambil ditemani kelopak bunga sakura yang sudah mekar.

          Sakura menarik nafas. Dia langsung tidak tahu bagaimana untuk berhadapan dengan lelaki itu. Perasaan malu, takut, sedih, semuanya bercampur menjadi satu. Dia tidak tahu apakah perasaannya yang sebenarnya saat ini.

          Dia malu kerana Ryuu tetap melayannya dengan baik selepas apa yang dia lakukan, melarikan diri dan berkemungkinan akan menjejaskan lelaki itu jika dia membuat laporan polis. Dia takut kerana merasakan pada bila-bila masa sahaja Ryuu akan memuntahkan amarahnya walau kini lelaki itu kelihatan tenang. Dia sedih kerana dunia asalnya semakin jauh, semakin menjauh dan mungkin tidak dapat digapai lagi.

          Pantas Sakura menggelengkan kepalanya. Mungkin dia takut, mungkin dia sedih dan mungkin dia malu namun dia sudah bosan dengan hidupnya kini. Dia tidak mahu terjebak dengan alam yakuza walaupun Ryuu melayannya dengan baik. Terlalu baik. Tempatnya bukan di sini tetapi di luar sana.

          Sesekali Sakura akan merasa benci pada lelaki itu di saat Ryuu mengatakan dia tidak mungkin kembali ke tempat asalnya lagi. Tempatnya bukan di sini! Bukan!

          Sakura membulatkan tekad. Dia akan mencuba lagi. Dia tidak mahu terperangkap dalam alam yakuza buat selama-lamanya dan dia akan melakukannya apabila masanya sesuai. Kini, Ryuu sudah mengetatkan pengawasan anggotanya di kawasan sekitar kondominium mewah itu. Buat masa sekarang, sukar buatnya untuk melaksanakan rancangannya itu.

          Sesudah menghidang makanan, Sakura beralih ke ruang tamu. Hajatnya mahu memanggil Ryuu untuk bersarapan tetapi itu hanyalah sekadar hajat. Ryuu sudah tiada di ruang tamu. Lelaki itu sudah keluar dari unit kondominium itu dan meninggalkan nota seperti biasa. Nota itu diletakkan di atas meja di hadapan sofa. Nota itu dicapai.


Aku keluar. Mungkin pulang pagi esok. Jaga diri.
Ryuu


          Pesanan kali ini terlampau ringkas. Sakura menggelengkan kepalanya berulang kali. Sudah pasti Ryuu mempunyai urusan yang bersangkut paut dengan kumpulannya itu. Apa urusannya, Sakura tidak mahu masuk campur. Sudah pasti apa yang sering dilakukan oleh lelaki itu mempunyai risiko yang tinggi.

          Nota itu direnyuk lantas dilempar ke dalam tong sampah. Tanpa disedari, air matanya mula mengalir. Sakura berdiri berpeluk tubuh. Dia tidak tahu kenapa air matanya mengalir kali ini. Malah kali ini, air matanya seakan-akan tidak mahu berhenti daripada menuruni pipi. Semakin lama semakin lebat. Hatinya mula keliru.


WALKIE-TALKIE digunakan sebagai alat perhubungan ketika sebarang operasi dijalankan. Ryuu membuka laptop di dalam keretanya dengan sambungan internet yang sudah dikawal dengan rapi. Melalui pancaran satelit dia dapat melihat dengan jelas bagaimana sebuah kapal kargo yang besar melalui jalan yang sama dengan kapal-kapal kargo lain menuju ke sebuah pelabuhan utama. Semuanya sudah dirancang. Sebaik sahaja kapal itu sampai ke destinasinya, operasi akan berjalan dengan serta merta. Kesemua anggota Yakuza Ryuu sudah bersiap sedia.

          “ Tuan Ryuu,” kedengaran suara Pak Cik Ukie dari walkie-talkie. Ryuu segera menyambut panggilan lelaki itu. Matanya tidak lepas daripada skrin laptop. Kapal kargo yang menjadi sasarannya itu semakin mendekati pelabuhan.

          “ Ya,” sahutnya ringkas.

          “ Subjek dah menghampiri pelabuhan. Kami dah bersedia,” kata Pak Cik Ukie memaklumkan ketibaan kapal kargo yang membawa masuk senjata api itu. Ryuu menggumam. Dia menutup laptop sebelum keluar dari kereta.

          “ Siap sedia, semua. Saya akan ke sana sekarang juga,” arah Ryuu. Pak Cik Ukie segera menurut arahan. Langkah Ryuu semakin pantas menuju ke arah kapal kargo yang akan diperiksa oleh pegawai-pegawai kastam pada bila-bila masa itu. Pergerakannya terlalu tangkas bagi mengelakkan kehadirannya disedari oleh pegawai-pegawai yang berada di situ.

          Seperti yang dirancangkan, kapal itu berlabuh agak jauh daripada kapal-kapal kargo yang lain malah kedudukannya juga agak tersorok. Selain itu, Ryuu juga mengarahkan beberapa orang kumpulannya menyamar sebagai pegawai kastam di pelabuhan itu. Mereka akan memastikan tiada apa-apa ancaman yang akan diterima oleh Yakuza Ryuu sepanjang penyeludupan senjata itu berlaku. Dari kejauhan Ryuu dapat melihat beberapa orang pegawai kastam memasuki kapal itu. Ryuu menarik senyum sinis. Dia sudah dapat mengagak apa yang akan berlaku selepas ini.

          Cekap Ryuu menyelinap masuk ke dalam kapal itu. Seperti yang dijangka, pegawai-pegawai tadi sudah terlantar pada lantai dalam keadaan tidak sedarkan diri. Mereka bukannya dibunuh sebaliknya dipukul sehingga pengsan. Orang-orang Ryuu mengheret pegawai-pegawai itu ke suatu sudut dan mengikat tangan dan kaki mereka. Mulut mereka ditampal dengan pelekat. Kehadiran Ryuu disedari oleh Pak Cik Ukie yang sedang memerhatikan orang-orang bawahannya menyeludup keluar kotak-kotak besar yang mengandungi senjata-senjata api berkenaan. Segera Pak Cik Ukie memberi tunduk hormat.

          “ Semuanya terlalu mudah, tuan. Tiada halangan,” lapor Pak Cik Ukie. Ryuu mengangguk. Wajahnya tegang. Dia melihat ke luar kapal. Kotak-kotak itu akan dipindah masuk ke dalam sebuah van yang disamarkan sebagai sebuah van pengangkutan sebelum dibawa ke Shinjuku.
         
          Semuanya berjalan dengan lancar. Sebuah kereta berwarna hitam berada di hadapan van itu dalam keadaan jarak yang jauh bagi mengelakkan disyaki manakala kereta Ryuu pula berada di belakang van berkenaan. Mereka menyusuri satu laluan berbukit yang sunyi bagi mengelakkan dikesan oleh pihak polis.

          Bang!

          Ryuu tergamam. Sebutir peluru bermata dilepaskan ke arah kereta hitam di hadapan. Jelas di matanya bagaimana kereta hitam itu terbabas ke tepi jalan dan melanggar pokok. Ada antara orangnya yang berada di dalam kereta itu bertindak pantas dengan melompat keluar daripada kereta itu. Tidak lama kemudian, letupan berlaku lantas menghancurkan kereta mewah itu. Ryuu mengetap bibir. Pantas tangannya mencapai sepucuk pistol. Kereta dihentikan. Dia segera keluar dari keretanya dan mula membalas serangan. Jaket kalis peluru yang dipakainya dibetulkan.

          Tembak-menembak berlaku. Beberapa orang Ryuu yang terselamat daripada pelanggaran itu mula memberi serangan balas. Tidak lama kemudian, musuh yang menyerang mereka kelihatan di hadapan mereka. Sah! Ini angkara Jiro!

          “ Tuan Ryuu!”

          Pak Cik Ukie tangkas mendekati Ryuu yang sedang berbalas tembakan dengan beberapa orang Yakuza Jiro. Wajah Ryuu mula berpeluh. Tembakan demi tembakan dilepaskan namun masih tiada tanda-tanda bahawa salah satu kumpulan akan menang. Ryuu berpaling ke arah Pak Cik Ukie. Sebuah pedang samurai berada dalam pegangan lelaki tua itu. Darah sudah berlumuran pada pedang itu.

          “ Cepat! Arahkan infantri kita mula bertindak!” arah Ryuu. Seorang ahli Yakuza Jiro yang ingin melakukan serang hendap di belakang Ryuu berjaya ditumpaskan oleh Pak Cik Ukie. Tangkas Pak Cik Ukie menguis lengan lelaki itu yang sedang memegang sepucuk pistol. Ryuu segera berhadapan dengan lelaki itu. Tanpa belas kasihan muncung pistolnya dihala kepada lelaki itu. Sebutir peluru dimuntahkan dan tepat mengenai dada kiri lelaki itu. Lelaki Jiro itu tersungkur kehilangan nyawa.

          Ryuu melepaskan satu tembakan ke udara. Sejurus itu tujahan anak panah mula kelihatan daripada segenap arah dan pastinya mengenai anggota-anggota Jiro. Orochi dan anak-anak buahnya mengenakan persalinan ninja yang berwarna hitam. Kehadiran mereka langsung tidak disedari oleh anggota-anggota Jiro yang lain apatah lagi pergerakan mereka tertumpu di dalam hutan. Mereka bergerak terlalu pantas dan senyap tanpa sebarang bunyi bagaikan ular yang bergerak di dedahan pokok.

          Anggota-anggota Jiro yang ditujah dengan hujan anak panah itu mula menggelupur di saat nyawa mula dicabut. Ahli Jiro yang masih hidup pula kian galak melancarkan serangan namun langkah mereka sumbang gara-gara perasaan panik yang mula mengawal emosi. Selepas anak panah dilepaskan, sekumpulan ninja muncul daripada hutan yang berhampiran dengan gerakan pantas. Hayunan pantas pedang mereka mencantas mana-mana mangsa yang berdekatan. Suasana semakin riuh-rendah apatah lagi kebanyakan ahli Jiro sudah rebah kehilangan nyawa.

          Tidak sampai sepuluh minit pertarungan berlangsung, mayat-mayat sudah banyak yang bergelimpangan di atas jalan raya. Ryuu mengarahkan infantrinya menghentikan serangan. Orochi dan pengikutnya segera mematuhi arahan ketua mereka. Ryuu berjalan mendekati seorang pengikut Jiro yang sudah hampir kehilangan nyawa. Lelaki itu menggelupur kesakitan. Tanpa sebarang riak di wajahnya, Ryuu duduk mencangkung di hadapan lelaki itu yang kini terbaring di atas jalan raya menunggu ajal.

          “ Takuji yang arahkan semua ni?” tanya Ryuu perlahan. Lelaki Jiro itu pantas mengangguk. Ryuu bangun selepas mendapat penjelasan daripada lelaki itu. Laras pistol ditarik dan muncung dihala pada lelaki itu. Wajah lelaki itu kian pucat.

          “ Selamat tinggal,” ucap Ryuu. Tanpa sebarang perasaan dia melepaskan tembakan tepat mengenai dahi lelaki Jiro itu. Lelaki Jiro itu kehilangan nyawa saat itu juga. Ryuu menggosok telapak tangannya. Dia melihat pada ahli-ahlinya yang masih berdiri di kawasan itu.

          “ Kumpulkan mayat-mayat ini dan buang ke gaung. Biarkan sahaja mereka di dalam gaung, biar pihak polis menemui mereka. Yang berada di dalam van, teruskan perjalanan dan berhati-hati. Jumpa di pejabat,” arah Ryuu. Kesemua yang ada patuh. Mereka mula bergerak bagi melaksanakan arahan. Ryuu menghela nafas. Dia melihat pada Pak Cik Ukie.

          “ Seperti yang saya jangka, sesuatu dah berlaku,” kata Ryuu perlahan. Pak Cik Ukie terdiam seketika sebelum dia mengangguk. Pak Cik Ukie tunduk sebagai tanda hormat. Dia memejamkan matanya rapat.

          “ Benar kata tuan,” katanya lelaki itu perlahan. Ryuu melihat ke sekitar. Dia mendongak ke langit. Dia akan memastikan Takuji mendapat balasannya nanti sekiranya lelaki itu berkeras mahu menentangnya. Itu tekadnya.


p/s: may be ini entry last buat sementara waktu nie sebab Hana akan sibuk dengan Japanese Languange Exam lepas bukak sekolah nie. gomen~~~


하나 

2 comments:

fallenmoon said...

Woah!
:O
Tergamam Moon dibuatnya.

Haruno Hana 하나 said...

hehe~~~
ada yg yg lbih dashyat...
mmg Hana kuat imagination la kalu buat citer ni...
hehehe

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...