Ai no Kotoba

Colours make your life beautiful, melody makes your life rhythm and harmony makes your life a life - Hana

Semua karya dalam blog ini hak cipta terpelihara penulis. Anda tidak dibenarkan menciplak, me-copy, memplagiat atau with every means to copy it atau mengaku karya itu anda punya.
Semua karya tidak mempunyai kaitan dengan yang hidup mahupun yang sudah meninggal dunia.
Selamat membaca. Peace!

Watashi no Tomodachi :D

Entri Terbaru! Tengok Sini!

Friday, August 26, 2011

Endless Love 31


PERLAHAN langkah Eun Hee menuju ke banglo putih itu. Di tangannya ada beberapa beg plastik dan beg kertas yang memuatkan barangan basah dan roti. Dia keluar awal pagi lagi untuk ke pasar. Ji Hoon masih belum sedar daripadanya lenanya tatkala dia keluar rumah. Eun Hee tidak mahu menganggu lena suaminya lantas dia mengambil keputusan untuk pergi seorang diri sahaja. Kalau dahulu, boleh sahaja dia mengajak Ryu Min menemaninya ke pasar.

          Eh?

          Eun Hee mematikan langkahnya. Perlahan-lahan dia menoleh ke belakang. Terasa seperti setiap gerak gerinya diperhatikan seseorang. Dia menelan liur. Matanya diliarkan melihat kawasan sekeliling.

          Sepi sahaja. Langsung tiada tanda ada orang lain selain daripadanya melalui jalan itu. Jalan yang menuju ke rumahnya agak lengang apatah lagi kebanyakan penduduk sudah pergi ke tempat kerja. Matahari masih di ufuk timur. Cahayanya baru sahaja menyinari bumi.

          Pantas Eun Hee menggelengkan kepalanya. Cuba menyingkirkan segala bayangan buruk yang mula terbayang di dalam mindanya. Eun Hee mula mengatur langkah kembali. Kali ini kakinya laju menuju ke kawasan rumahnya. Sesekali dia menoleh ke belakang. Rasa diperhatikan seseorang mula menakutkan dia. Apatah lagi jalan yang dilaluinya itu lengang. Susah jika musibah menimpa lantaran tiada orang yang boleh diharapkan menolongnya.

          Eun Hee masuk melalui pintu kecil di sebelah pintu pagar utama banglo itu. Tergesa-gesa dia masuk melalui pintu dapur. Pintu dapur terus dikunci. Eun Hee berpaling ke belakang. Dia terperanjat apabila melihat Ji Hoon betul-betul sedang berdiri di belakangnya. Nasib baik sahaja tidak berlanggar.

          “ Eun Hee? Kenapa ni? Nampak kalut saja,” tanya Ji Hoon hairan.

          Eun Hee menelan liur. Perlahan-lahan dia menggelengkan kepala. Dia mengukir senyuman. Kerut di dahi Ji Hoon masih tidak hilang. Dia masih hairan melihatkan kekalutan isterinya memasuki rumah itu. Seakan-akan diancam dengan bahaya di luar sana.

          “ Betul tak apa-apa ni?” tanya Ji Hoon risau.

          Eun Hee mengangguk lagi. Dia menuju ke sinki. Sayur-sayuran dan daging ayam serta ikan diletakkan di dalam sinki. Roti pula diletakkan di atas meja. Gerak gerinya diperhatikan Ji Hoon. Ji Hoon mendekati isterinya yang sedang sibuk membasuh sayuran. Pergerakan Eun Hee terhenti apabila tangannya dipegang Ji Hoon. Eun Hee mengangkat wajah, merenung ke wajah suaminya. Ji Hoon mengeluh.

          “ Lain kali kalau Eun Hee nak ke mana-mana tolong beritahu abang ya? Jangan buat macam ni lagi. Risau betul abang, sedar-sedar Eun Hee dah tak ada. Tolong ya” pinta Ji Hoon bersungguh-sungguh. Matanya melirik pada mata bundar Eun Hee.

          Eun Hee termangu. Jelas riak kerisauan di wajah Ji Hoon kini. Mata Ji Hoon masih lekat pada sepasang matanya. Dia mula serba salah.

          “ Kalau abang tidur sekalipun, tolong kejutkan abang kalau Eun Hee nak ke mana-mana. Abang minta sangat-sangat, ya?” kata Ji Hoon lagi. Dia risau dengan keadaan Eun Hee kini. Hatinya sering kali berasa tidak sedap kalau Eun Hee hilang di hadapan matanya. Ada sesuatu yang menganggu perasaannya. Apatah lagi apabila mengingati kejadian di rumah Pak Cik Dam Shik tempoh hari.

          Eun Hee menundukkan wajah. Tidak berani untuk bertentangan mata dengan suaminya lagi. Tangannya dilepaskan perlahan daripada pegangan suaminya. Dia menarik nafas panjang. Perlahan-lahan dia mengkat wajah. Wajah suaminya ditatap kembali.

          “ Abang bukan nak mengongkong Eun Hee tapi abang takut kalau apa-apa jadi kat Eun Hee. Eun Hee kan tahu situasi abang sekarang ni? Abang takut kalau orang yang nak apa-apakan abang turut libatkan Eun Hee dalam hal ni,” kata Ji Hoon lagi. Kepala isterinya diusap penuh kasih. Kerutan makin bertambah di wajahnya menzahirkan emosinya kini.
         
          Eun Hee tersenyum nipis. Tangan suaminya diraih lalu dielus perlahan. Dia mengangguk sahaja.

          “ Ingat apa yang abang pesan, ya?” kata Ji Hoon lagi. Eun Hee mengangguk lagi.

           Kalaulah Ji Hoon tahu bahawa dia merasakan dirinya diekori seseorang tadi sudah tentu suaminya akan lebih bimbang. Dia tidak mahu memberitahu Ji Hoon akan perkara itu. Kelak Ji Hoon akan risau lagi. Dia hanya mengangguk sahaja atas apa sahaja pesanan Ji Hoon. Eun Hee tersenyum hambar.

          “ Maaf, kalau Eun Hee rasa abang dah kongkong Eun Hee.” Ji Hoon menyuarakan kekesalannya. Pantas Eun Hee menggeleng. Cukuplah dengan kerisauan suaminya kini. Dia tidak mahu menambah beban lelaki itu.

          Ji Hoon cuba mengukir senyum namun semuanya sia-sia. Dia menggeleng perlahan. Perasaannya mula tidak enak. Nafasnya terasa sesak memikirkan bahaya yang akan menimpa tanpa diduga kelak.


JI HOON membuka pintu D’Amour Cafe. Zachary sedang berbicara dengan salah seorang pekerjanya di kaunter. Mungkin membicarakan hal kerja. Ji Hoon hanya mengangguk lantas melambaikan tangan sekilas apabila Zachary menyedari akan kehadirannya. Zachary bergegas mendapatkan Ji Hoon di hujung kafe.

          “ Jadi... apa cerita kau semalam?” tanya Zachary tanpa sempat melabuhkan duduk terlebih dulu. Ji Hoon mula ketawa.

          “ Aku tahulah kau teruja sangat nak tahu, tapi duduklah dulu. Ini tak, belum apa-apa lagi kau dah serbu aku dengan soalan,” kata Ji Hoon. Zachary turut ketawa.

          “ Yalah, yalah. Aku duduklah ni.”

          Salah seorang pelayan di kafe itu mendekati mereka. Buku yang memaparkan kesemua jenis menu itu dihulurkan kepada Ji Hoon. Ji Hoon hanya menggeleng sahaja.

          “ Macam biasa,” pintanya. Pelayan itu hanya mengangguk. Macam biasa. Kopi hitam pekat panas dan sekeping kek keju. Menu yang sentiasa dipesan oleh Ji Hoon jika singgah di kafe Zachary sehingga semua pelayan di situ mengenalinya dan mengetahui menu kegemarannya.

          Telefon bimbit dikeluarkan daripada poket jean. Nama Eun Hee dicari sebelum dia menaip mesej. Ji Hoon senyum sendirian. Langsung tidak menghiraukan Zachary yang sudah tidak sabar menunggu dia bercerita.


          Tunggu abang balik.


          Butang Send ditekan. Ji Hoon senyum lagi.

          “ Ha... ceritalah cepat! Kau ni suka betul buat aku tertunggu-tunggu,” gesa Zachary tidak sabar. Ji Hoon termangu sebelum ketawa lagi. Lucu melihatkan gelagat Zachary yang tidak sabar-sabar. Telefon bimbit diletakkan di atas meja.

          “ Ya, aku nak ceritalah ni. Semalam, aku bawa dia ke pantai, macam aku rancanglah. Bukan ada apa-apa yang istimewa pun,” kata Ji Hoon mudah. Zachary menjegilkan matanya lantas kepala Ji Hoon diketuk kuat.

          “ Aduh!”

          “ Padan muka kau! Aku suruh cerita baik-baik, kau main-main pula!” Zachary meluahkan ketidakpuasan hatinya. Ji Hoon hanya mampu tersengih.

          “ Malulah nak cerita kat kau,” balas Ji Hoon. Zachary hanya mampu menggelengkan kepalanya. Nasiblah dapat kawan macam ni...

          Perbualan mereka terhenti seketika apabila pelayan tadi kembali dengan menu pesanan Ji Hoon. Secawan kopi panas juga dihidangkan pada Zachary. Seusai mengucapkan terima kasih, pelayan itu beredar.

          “ Kita tutup cerita pasal semalam dan aku nak tanya kau benda lain pula,” putus Zachary. Ji Hoon mengangkat kening. Kopi pekat itu dihirup perlahan.

          “ Apa cerita kau sekarang? Mereka masih syak kau dalang yang menggelapkan duit syarikat tu?” tanya Zachary. Ji Hoon tersentak. Cawan itu kembali diletakkan di atas piring. Keluhan berat terhembus. Dia mengangguk perlahan.

          “ Hal ni tak selesai lagi. Tapi, bukan tu yang aku bimbangkan sekarang ni.”

          “ Kau bimbangkan apa pula?” tanya Zachary pantas. Ji Hoon mengeluh lagi. Pandangannya dilontar keluar tingkap sekilas.

          “ Pasal Eun Hee.”

          Kening Zachary bertaut menjadi satu. Hairan mendengarkan kerisauan Ji Hoon. Rancangan semalam tak berjalan dengan lancar ke?

          “ Kenapa pula dengan dia?” tanya Zachary gusar.

          “ Aku bimbangkan keselamatan dia. Aku tak pernah lagi cerita kat kau, tapi benda ni dah lama. Perkara ni terjadi kat rumah Pak Cik Dam Shik,” kata Ji Hoon resah. Zachary tergamam.

          “ Apa yang dah jadi?” tanya Zachary perlahan. Ji Hoon menggelengkan kepalanya. Keluhan kedengaran lagi daripada bibirnya.

          “ Masa aku dan Eun Hee ke rumah Pak Cik Dam Shik, ada lelaki yang berpakaian serba hitam kat halaman belakang rumah Pak Cik Dam Shik dan Eun Hee jelas-jelas nampak takutkan dia. Muka dia nampak pucat sangat lepas nampak lelaki tu. Macam dia pernah jumpa dengan lelaki tu. Dan, pagi tadi... Aku... aku tahu yang dia tipu aku tapi aku nampak yang dia macam ketakutan... tergesa-gesa masuk ke dalam rumah lepas pulang dari pasar. Aku tak tahu nak buat macam mana. Aku tinggalkan dia kat rumah ni pun aku dah bimbangkan dia,” jelas Ji Hoon. Jelas nada resah dalam percakapannya. Zachary termangu.

          “ Kau tak tanya dia betul-betul?”

          “ Eun Hee tak nak cakap dan aku pun tak nak paksa dia. Sekarang aku cuma boleh minta dia benarkan aku teman dia kalau dia nak ke mana-mana. Aku risau... tapi aku tak tahu apa yang patut aku buat,” jelas Ji Hoon lagi. Dia menunduk.

          Zachary mengangguk perlahan. Dia faham perasaan Ji Hoon. Itu jugalah perasaannya terhadap mendiang Julie ketika mendiang isterinya ditimpa bahaya dulu. Memang jelas di matanya bahawa Ji Hoon benar-benar cintakan Eun Hee.

          “ Aku rasa... baik kau balik cepat,” kata Zachary perlahan. Ji Hoon mengangkat wajah. Wajah Zachary direnung hairan.

          Zachary mengukir senyum. “ Aku tahu kau risaukan dia dan aku percaya kau tak betah tinggalkan dia seorang diri kat rumah, kan? Jadi, aku rasa lebih baik kau balik cepat dan temankan Eun Hee kat rumah. Aku rasa kau akan lebih tenang kalau nampak Eun Hee depan mata kau.”

          Ji Hoon hanya mampu mengangguk. Kata-kata Zachary ada benarnya. Hatinya mula tidak tenteram tatkala menjejakkan kaki ke luar rumah dan meninggalkan Eun Hee berseorangan di rumah. Dia khuatir jika ada perkara buruk yang menimpa Eun Hee. Apatah lagi dia tidak berada bersama isterinya.

          “ Baliklah...”

          Mata Zachary masih melekat pada wajah Ji Hoon. Dibibirnya terukir senyuman.

          “ Baliklah. Aku tahu kau risaukan dia, kan?” kata Zachary lagi.

          Ji Hoon termangu. Perlahan-lahan dia mengangguk. Zachary senyum lagi.

          “ Aku doakan kau dan Eun Hee baik-baik saja. Dah, cepat balik. Kali ni aku belanja kau, tak payah bayar. Cepatlah!” gesa Zachary. Dia menarik Ji Hoon bangun lantas ditolak ke muka pintu kafenya. Ji Hoon tersengih.

          “ Terima kasih, Zack.”

          Zachary hanya mengangguk. Dia melambai sahaja kepada Ji Hoon yang sudah berjalan meninggalkan kafenya. Akhirnya, dia mengeluh perlahan.


JI HOON melangkah laju menyusuri jalan yang menghala ke rumahnya. Jalan yang dilaluinya lengang sahaja. Langkah dicepatkan. Tidak sabar-sabar sahaja mahu sampai ke rumah. Hatinya masih risau memikirkan akan keselamatan Eun Hee.

          Lama kelamaan, langkahnya beransur perlahan. Kepalanya menunduk ke bawah. Ji Hoon mengeluh berat. Memikirkan Eun Hee membuatkan dia mula terfikirkan suatu perkara. Suatu perkara yang penting buatnya.

          Adakah dia boleh melindungi Eun Hee selamanya dan adakah dia boleh melindungi Eun Hee sebaik mungkin?

          Ji Hoon sedar yang dia tidak mahu dan sesekali tidak akan mahu Eun Hee disakiti. Dia mahu gadis itu selamat disisinya. Tetapi, dia bimbang jika dia tidak mampu menjadi pelindung yang terbaik buat gadis itu. Ji Hoon khuatir keselamatan Eun Hee tidak terjamin dalam tangannya sedangkan dia mahukan yang terbaik buat isterinya.

          Dia berhenti melangkah. Kepalanya didongakkan ke langit. Sejenak, dia mendengar bunyi deruman enjin kenderaan sebelum...

          “ Arghhh!!!”

          Ji Hoon jatuh terdorong ke hadapan. Terasa kuat dia dilanggar dari belakang. Dia jatuh meniarap di atas tanah. Pandangannya mula menjadi tidak teratur. Imej di hadapannya mula bertindih-tindih. Samar-samar dia dapat melihat ada sebuah kereta memecut laju meninggalkannya di belakang. Ji Hoon mengerang kesakitan. Terasa ada cecair pekat mengalir daripada kepalanya. Pandangannya terus kabur. Dia seakan-akan dapat melihat wajah Eun Hee sedang tersenyum manis kepadanya dan... gelap.

          Eun Hee...
     

2 comments:

Farah nyotnyot said...

wahh..!minat ngn karya2 kak hana...<3

Haruno Hana 하나 said...

farah> thanks dear^^.. teruskan myokong :)

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...