Ai no Kotoba

Colours make your life beautiful, melody makes your life rhythm and harmony makes your life a life - Hana

Semua karya dalam blog ini hak cipta terpelihara penulis. Anda tidak dibenarkan menciplak, me-copy, memplagiat atau with every means to copy it atau mengaku karya itu anda punya.
Semua karya tidak mempunyai kaitan dengan yang hidup mahupun yang sudah meninggal dunia.
Selamat membaca. Peace!

Watashi no Tomodachi :D

Entri Terbaru! Tengok Sini!

Saturday, July 31, 2010

Eternal 6

-->


JAKET kulit hitam disarung pada tubuhnya menggantikan kot hitam yang selama ini dipakai. Ryuu menyarung pistol pada tali pinggang. Cuaca pada hari ini agak sejuk walaupun musim bunga sudah menjengah. Ryuu melihat ke luar kondominium. Hari sudah lama siang.

          Ryuu keluar daripada biliknya dan melangkah ke bilik Sakura. Pintu bilik diketuk terlebih dahulu tanpa memulas tombol pintu . Kedengaran suara Sakura menyahut dari dalam bilik. Pintu dibuka.

          “ Kau dah makan?” Soalan lazim Ryuu buat gadis itu jika bertemu. Sakura mengangguk. Ryuu menarik nafas. Dia merenung seketika pada wajah gadis itu. Ryuu tidak masuk ke dalam bilik, hanya sekadar berdiri di hadapan pintu bilik.

          “ Aku nak keluar. Pastikan kau jangan terlalu banyak bergerak. Kaki kau masih belum sembuh lagi. Aku tak nak luka tu makin melarat. Hati-hati bila ke bilik air,” pesan Ryuu seperti seorang ayah. Sakura menggigit bibir. Dia teringatkan peristiwa dia terjatuh ke dalam bilik air beberapa hari yang lalu. Ryuu mengangguk sekilas sebelum menutup pintu bilik Sakura. Sakura termangu.

          Sakura melabuhkan duduk di atas katil. Di situ dia termenung panjang. Ryuu mahupun dia tidak menyentuh langsung berkenaan Yamashita Kazuo sejak hari itu. Tidak pernah. Apa yang dia sering fikirkan kini hanyalah untuk melarikan diri. Patut atau tidak dia melarikan diri? Hatinya meronta-ronta mahu keluar dari kondominium ini dan kembali ke tempat asalnya namun akalnya menghalang. Setiap kali dia memikirkan jalan untuk melarikan diri, setiap kali itu jugalah akalnya menghalang. Memikirkan kemungkinan dia akan dikenakan dengan tindakan yang teruk oleh Ryuu jika ditangkap sekali lagi menghalang dirinya untuk melarikan diri.

          Tapi, sampai bila aku harus macam ni? Aku ada hidup aku sendiri, apa yang aku nak kecapi. Patut atau tidak aku melarikan diri?

          Sakura mengeluh berat. Tidak mahu mengusutkan fikirannya, dia bangun lantas berjalan keluar dari bilik. Dia kebosanan terkurung di dalam kondominium mewah itu. Terasa segala pergerakannya terbatas. Dia menuju ke ruang tamu. Dia dapat melihat longgokan baju yang masih belum dilipat di atas sofa.


KEDENGARAN ketukan di pintu. Pak Cik Ukie masuk ke dalam pejabat Ryuu setelah mendengar  suara lelaki itu memberi kebenaran untuk masuk. Ryuu segera mengalih perhatian daripada fail kepada tuan empunya badan yang kini sedang berdiri di hadapannya. Fail itu ditutup lantas ditolak ke tepi.

          “ Kenapa, pak cik?” tanya Ryuu apabila melihat Pak Cik Ukie masih belum mengeluarkan suara untuk berbicara. Pak Cik Ukie mengukir senyum nipis. Ryuu mempersilakan lelaki itu duduk di hadapannya. Pak Cik Ukie hanya menurut sahaja.

        “ Encik Oda telefon tadi. Dia kata Tuan Mathias berpuas hati dengan rancangan kita. Dia nak tengok hasilnya nanti,” kata Pak Cik Ukie. Ryuu sekadar mengangguk. Dia lebih kerap mengangguk sebagai tanda mengiakan daripada mengatakannya melalui mulut. Itu memang perangainya sejak kecil lagi. Kurang bercakap walau dengan keluarganya sendiri.

          “ Baguslah kalau macam tu,” jawabnya ringkas.

          Surat khabar yang terletak di sisi meja dicapai. Ryuu membelek ke muka surat yang memaparkan akhbar tempatan. Keningnya terangkat apabila membaca tajuk yang berjaya menarik perhatiannya. Tajuk akhbar itu dibaca sekali lagi tanpa menghiraukan kehadiran Pak Cik Ukie yang masih berada di hadapannya.


PEMBUNUHAN BERAMAI-RAMAI DI SELATAN SHIBUYA


          Ryuu melihat pada gambar yang tertera di muka surat itu. Hanyalah gambar yang memaparkan kemusnahan sebuah rumah lama. Kelihatan beberapa mayat yang ditutupi dengan kain hitam berhampiran dengan rumah itu. Beberapa orang anggota polis sedang melakukan siasatan di kawasan berhampiran. Mata Ryuu melirik pada keratan artikel akhbar.


… pihak polis mengesyaki pembunuhan ini mempunyai kaitan dengan kumpulan yakuza di negara ini. Mangsa yang terlibat juga disyaki merupakan anggota sebuah kumpulan yakuza namun sehingga sekarang identiti mangsa masih belum boleh dikenalpasti. Jurucakap polis mengandaikan pembunuhan ini terjadi mungkin disebabkan oleh perbalahan sesama kumpulan yakuza…


          Ryuu merengus perlahan. Belum sempat artikel itu habis dibaca, dia meletakkan kembali akhbar itu di atas meja. Dia mengalih perhatian pada Pak Cik Ukie yang masih setia menunggunya.

          “ Hal yakuza mana?” tanya Ryuu merujuk kepada artikel itu.

          “ Pak cik syak ini masalah dalaman antara ahli Yakuza Gorou. Ada khabar mengatakan mereka sedang mengalami konflik dalaman selepas Tuan Nagamaru mati dibunuh mafia Perancis. Kedua-dua anak lelaki mendiang mahu mengetuai Yakuza Gorou dan Gorou sudah berpecah kepada dua sekarang,” kata Pak Cik Ukie. Ryuu termenung sejenak.

          “ Bukan ke Jiro ada hubungan baik dengan Gorou?” tanya Ryuu lagi. Pantas Pak Cik Ukie mengangguk. Dia sememangnya arif dalam hal yang melibatkan kumpulan yakuza yang lain. Sudah berpuluh-puluh tahun dia berkecimpung dalam dunia yakuza. Walaupun pada zahirnya Pak Cik Ukie kelihatan lembut dan sopan dalam setiap pertuturan dan tingkah lakunya, namun jika lelaki itu sudah memegang sebarang senjata, dia boleh bertukar menjadi seorang pembunuh yang kejam.

          “ Gorou dan Jiro memang ada hubungan baik dan sekarang, dengarnya Jiro turut membantu dalam menyelesaikan masalah ni. Tapi, pak cik fikir Jiro ada adegan tersembunyi di sebalik bantuan mereka. Sekarang, Tuan Nagamaru dah mati dan Gorou mengalami konflik dalaman. Tak mustahil kalau Jiro nak cuba ambil alih kesemua aset Gorou,” kata Pak Cik Ukie. Ryuu menyandarkan tubuhnya pada kerusi. Ada benarnya kata Pak Cik Ukie. Kini pun dia sedang mengalami perbalahan dengan Takuji, anak lelaki Tuan Sakate. Nampaknya dia perlu berhati-hati. Tidak mustahil jika ada serangan hendap yang akan berlaku pada hari mereka menyeludup masuk senjata-senjata itu.

          Ryuu bangun daripada kerusi. Dia berdiri di hadapan Pak Cik Ukie. Wajahnya kelihatan tegang. Pak Cik Ukie turut bangun daripada kerusinya. Dia menunggu bicara Ryuu yang selanjutnya.

          “ Saya nak pihak kita berhati-hati. Pastikan kumpulan infantri elit kita bersiap sedia dengan sebarang kemungkinan yang akan terjadi pada malam Sabtu itu,” kata Ryuu tegas. Pak Ukie termangu-mangu namun dia hanya mengangguk. Pastinya Ryuu dapat mencium bahaya. Jika tidak, kenapa lelaki itu kelihatan begitu cemas sedangkan Ryuu terkenal dengan sikapnya yang tenang?

          “ Pastikan operasi tu berjaya,” kata Ryuu lagi. Pak Cik Ukie mengangguk.

          “ Baiklah, Tuan Ryuu.”

          Ryuu meraup wajah. Entah kenapa dia merasa cemas kali ini sedangkan sudah banyak operasi yang berisiko tinggi sudah dilakukannya. Entah kenapa, perasaannya berubah menjadi tidak enak. Seolah-olah ada sesuatu yang buruk bakal berlaku tidak lama lagi.


RYUU membuka pintu kondominiumnya. Jam di dinding direnung seketika. 7.45 malam. Suasana dalam rumah cerah dengan limpahan cahaya lampu pendafluor. Tentu Sakura yang memasangnya kerana Ryuu hanya akan membuka lampu di bahagian laluan menuju ke ruang tamu sahaja. Laluan itu menghubungkan ruang tamu dengan pintu keluar unit kondominium itu.

          Sesuatu menarik perhatiannya. Dia melihat sekitar ruang tamu itu. Susunan bantal pada sofa kelihatan kemas dan teratur. Begitu juga dengan majalah dan akhbar yang pada asalnya berselerakan di atas meja kopi di hadapan sofa kelihatan kemas tersusun di pelantar bawah meja kopi itu. Baju yang sudah berbasuh yang juga pada asalnya dilonggokkan di atas sofa juga sudah dilipat dengan kemas. Kening Ryuu bercantum.

          “ Sakura?” panggil Ryuu seraya melabuhkan duduk di atas sofa yang terletak di ruang tamu. Jaket ditanggalkan. Ryuu memejamkan mata. Dia bersandar pada sofa berangkai tiga itu. Sesekali dia mengurut lehernya yang terasa lenguh.

          Panggilannya dibiarkan lama tanpa sahutan. Akhirnya Ryuu membuka mata. Kedengaran bunyi di bahagian dapur. Dia juga mencium bau masakan. Ryuu semakin kehairanan. Dia mengatur langkah ke dapur. Ryuu menjenguk ke dalam.

          Kelihatan Sakura sedang menghidangkan makanan di atas meja. Langkah gadis itu perlahan daripada kaunter menuju ke meja makan yang mempunyai dua kerusi itu. Kaki Sakura masih lagi berbalut. Leka gadis itu melakukan kerjanya tanpa menyedari kehadiran Ryuu. Perlahan-lahan Ryuu memasuki dapur. Derap langkahnya langsung tidak kedengaran.

          “ Sakura?”

          Bahu Sakura terhinggut sedikit kerana terkejut dengan sapaan itu. Hampir sahaja mangkuk nasi terlucut daripada genggamannya. Sakura berpusing ke belakang. Dia tergamam apabila melihat Ryuu berada di belakangnya. Jarak antara kedudukan mereka berdua terlalu dekat. Hampir sahaja kepalanya bertemu dengan dada Ryuu sewaktu berpusing tadi. Tiba-tiba sahaja wajahnya merona merah.

          “ Kenapa kau masak?” tanya Ryuu tanpa mempedulikan pipi Sakura yang mula memerah. Dia melihat ke meja makan. Boleh dikatakan banyak juga lauk yang dihidangkan. Sakura menelan liur. Agak-agaknya Ryuu marah tak kalau aku cakap perkara yang sebenar? Err…

          “ Sakura?” panggil Ryuu lagi. Kali ini dia memandang pada wajah itu. Sakura mendongak melihat pada wajah Ryuu. Seketika kemudian dia kembali menunduk ke lantai. Mangkuk di tangannya dipegang erat. Terketar-ketar tangannya tika itu.

          “ Err… saya bosan… tak ada apa yang boleh dibuat. Jadi… saya masaklah… awak… marah ke?” tanya Sakura. Tersekat-sekat suaranya ketika berbicara. Dia kembali merenung wajah Ryuu. Tidak dapat ditafsirkan apa yang sedang Ryuu fikirkan sekarang. Marah ke?

          “ Bosan sangat ke sampai awak buat kerja-kerja rumah?” tanya Ryuu lagi. Dia teringatkan persekitaran ruang tamu yang sudah kelihatan kemas. Dia melihat gadis itu teragak-agak mengangguk. Ryuu mengeluh.

          “ Kaki kau dah baik?” Kali ini soalan Ryuu tertumpu pada luka di kaki Sakura pula. Sakura melihat pada kakinya yang masih berbalut. Sakitnya masih terasa namun tidaklah sekuat beberapa hari yang lalu. Dia sudah boleh berjalan walaupun langkahnya sumbang sedikit.

          “ Dah okey… kot?”

          Ryuu menggelengkan kepalanya. Dia mengambil mangkuk di tangan Sakura dan mengheret gadis itu duduk di meja makan. Sakura terpinga-pinga apabila melihat Ryuu mengisi mangkuknya dengan nasi. Sebuah mangkuk diletak di hadapan Sakura manakala sebuah lagi diletakkan di hadapannya. Ryuu mengambil lauk tempura di hadapannya. Sebelum sempat dia menikmati hidangan, Sakura memanggilnya. Perlahan sahaja nada gadis itu.

          “ Awak… tak takut ke kalau saya letak racun?” tanyanya teragak-agak. Tidakkah lelaki itu terfikir mungkin ini hanya helahnya untuk melarikan diri? Meracuni makanan dan membiarkan Ryuu memakannya. Helah ini boleh dikatakan boleh membantunya untuk melarikan diri.

          Mata Ryuu tepat merenung wajah Sakura. Lama dia berkeadaan sedemikian sehinggakan Sakura merasa tidak selesa. Ryuu meletakkan chopstick di atas mangkuk. Dia menggelengkan kepalanya. Sakura termangu. Kenapa?

          “ Kenapa awak tak takut?” tanya Sakura berani. Ryuu menggelengkan kepalanya sekali lagi. Matanya tidak lepas daripada merenung wajah gadis itu.

          “ Sebab aku percayakan kau,” katanya ringkas. Sekali lagi Sakura tergamam. Dia kehilangan kata-kata. Hatinya terusik dengan kata-kata lelaki itu.

          Ryuu mula menyuap makanan. Setiap perilakunya teratur dan tidak gopoh. Sakura hanya meneguk air. Mindanya sedang memikirkan sesuatu. Semudah itu lelaki ini percayakan dia? Tidakkah lelaki itu tahu dia boleh berbuat demikian jika dia sudah terdesak? Semakin lama dia semakin tidak memahami lelaki yang sedang berada di hadapannya kini. Ryuu langsung tidak mempunyai tanda-tanda bahawa dia merupakan lelaki berdarah dingin yang akan membunuh mangsanya tanpa belas kasihan.  


p/s: tak lama lagi Hana kena duduki Japanese Language Exam. nak kena fokus kat exam tu dulu so may be tak dapat nak post entry dengan kerap  :) sorry


하나

4 comments:

akira_bita said...

hahaha! makin jatuh cinta pulak dgn ryuu! ahahah!

gud luck for ur exam hana!

Nurul.Liyana said...

all the best for ur exam hana...

i'll wait 4 ur next n3, patiently...hehe

Haruno Hana 하나 said...

to akira> tahnks byk2 :)
kamsahamnida ;)

to nurul.liyana> arigatou. insya-Allah, n3 ttap ada ;)

p/s: leh o9 skejap dr skul :D

fallenmoon said...

Suka Ryuu! :D

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...